You are on page 1of 8

Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

Amalan rumah terbuka sudah menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Apabila tiba sahaja musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan
Hari Krismas, masyarakat Malaysia akan mengambil kesempatan untuk mengunjungi rumah
terbuka yang diadakan oleh jiran tetangga, pihak kerajaan tempatan, mahupun mengunjungi
rumah terbuka yang diadakan di peringkat negara atau peringkat kebangsaan. Bermula pada
tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan kaum
utama di Malaysia dianggap sebagai perayaan utama dan akan disambut sebagai perayaan
peringkat nasional iaitu Sambutan Hari Raya Aidil Fitri, Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Hari
Krismas, Perayaan Deepavali, Perayaan Hari Gawai dan juga Perayaan Hari keamatan. Oleh
sebab itu, semenjak tarikh berkenaan perayaan-perayaan kaum utama masyarakat berkenaan
diraikan pada peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri pada
setiap tahun. Sekiranya, amalan menyambut perayaan-perayaan berkenaan berterusan sudah
pasti keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia akan terus mampan. Menyedari
kesungguhan kerajaan menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional sudah pasti
sambutan perayaan berkenaan ada kemaslahatannya kepada negara dan masyarakat. Persoalan
yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan
rumah terbuka?

Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kemaslahatan


terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di
negara kita. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau
misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu,
amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai
perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang unsur prejudis terhadap
keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan masyarakat yang
melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun
berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. Pada sambutan hari perayaan
utama berkenaan semua masyarakat Malysia tidak kira warna kulit, agama, dan kaum akan
mengambil kesempatan Keadaan ini persis peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih.
Oleh sebab itu, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh
berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang kekangan yang perlu dibimbangi.
Sekiranya, amalan murni ini tetap kukuh dalam kalangan masyarakat Malaysia, sudah pasti
ukhuwah dalam kalangan masyarakat Malaysia akan kekal akrab. Kesannya, perasaan muhibah
antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih harmoni dan dapat
mengelakkan polemik yang mampu mencentus perbalahan antara kaum. Tegasnya, konsep
penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.

Dari perspektif yang lain , amalan rumah terbuka dapat membantu rakyat Malaysia
memahami budaya kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun
mereka berbeza latar belakang, budaya dan agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum
mengenali juadah kaum-kaum lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang
rakan-rakan mereka sendiri. Maklumlah tak kenal, maka tak cinta. Sebagai contoh, orang-orang
India, Cina, Iban dan Kadazan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan
orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya
kaum lain, malah budaya sihat ini juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang
kaum di negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan
generasi sekarang. Sebaliknya, jika amalan rumah terbuka ini pudar, sudah pasti hubungan
antara masyarakat yang terdiri daripada pellbagai kaum akan terhakis. Impaknya, usaha
kerajaan untuk mengekalkan keharmonina masyarakat mungkin terhakis. Tuntasnya, budaya
dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini dan masyarakat Malaysia
akan memahami budaya kaum lain melalui amalan kunjung mengunjung semasa rumah terbuka
diadakan peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

Dari kaca mata yang berbeza, penganjuran rumah terbuka juga merupakan daya tarikan
kepada pelancong asing yang melancong di negara kita. Mereka bukan sahaja datang ke
Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat
mengalami dan menghayati sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini
semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. Keadaan ini bertepatan dengan kata
mutiara jauh perjalanan, luas pemandangan. Dalam konteks ini, kerajaan melalui Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan
telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru
Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas. Pengalaman pelancong asing
meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia
sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali
gus dapat merancakkan industri pelancongan negara. Sekiranya situasi ini berlaku, sudah pasti
budaya dan keharmonian masyarakat negara akan disanjung oleh masyarakat global dan akan
meningkatkan minat pelancong asing untuk melancong ke negara kita. Izharnya, konsep rumah
terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat
Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.

Setelah menghalusi hujah-hujah di atas, bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka
memang banyak membawa manfaat kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, konsep rumah
terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami
dan dihayati, kemungkinan amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat
sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap pahat
berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. Jika amalan murni ini dibudayakan, sudah pasti
hasrat negara untuk mencapai Gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-
angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil dalam peta dunia, namun
usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan
kepada negara-negara di dunia.Semoga dengan kekuatan iltizam masyarakat Malaysia, kita akan
dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain seperti
Singapura, Amerika Syarikat, China, Britain dan negara-negara besar dunia yang lain.
Setiap individu mempunyai impiannya tersendiri. Sebagai seorang pelajar yang berwawasan,
anda mempunyai impian untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Jelaskan persiapan-persiapan yang perlu anda lakukan untuk merealisasikan impian anda itu.

Sebagai insan yang masih berdenyut, kita tidak boleh sekadar berdiam diri dan memasang
impian dan cita-cita dalam kehidupan ini. Begitu juga dengan saya, hidup ini mesti dihias dengan
impian, harapan dan cita-cita barulah sempurna. Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil
Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan dipecahkan. Suatu waktu dahulu, ada calon yang
berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum pernah dicapai. Akan tetapi
beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina yang
berjaya memperoleh 17A1. Sebagai pelajar yang berwawasan, saya mempunyai impian untuk
mencapai kecemerlangan dalam dunia akademik saya. Persiapan-persiapan awal amatlah
mustahak sebagai persediaan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan
terbilang.

Pertama-tama, saya perlu menetapkan suatu matlamat yang jelas sama ada dalam jangka
masa pendek atau jangka masa panjang. Saya perlu belajar memahami diri dari segi
kecenderungan, kemampuan, kekuatan dan kelemahan supaya saya dapat menepati matlamat
diri. Yang perlu ditingkatkan sebenarnya ialah usaha kita untuk membahagikan masa dengan
lebih cermat dan berhemah. Kita digalakkan membuat jadual waktu dan menuruti jadual itu
tanpa gagal agar perjalanan hidup seharian kita sistematik, berdisiplin dan seimbang. Kita perlu
membahagikan masa kita untuk membuat ulang kaji, beriadah atau bersenam, dan berinteraksi
dengan ahli keluarga secara seimbang. Jadual waktu kita tidak semestinya penuh dengan aktiviti
ulang kaji dan kelas tambahan, sebaliknya kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat
dengan pelbagai akitiviti yang dapat mengurangkan tekanan hidup seperti bersenam, menyertai
kem, menonton televisyen dan sebagainya.

Selain itu, semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, saya perlu
memberikan perhatian penuh tanpa kompromi. Pada hari yang sama, saya perlu membuat nota
ringkas untuk memudahkan saya membuat ulang kaji pada bila-bila masa. Mungkin setiap orang
mempunyai cara belajar yang tersendiri dan berbeza tetapi bagi saya kaedah perbincangan
antara rakan sebaya atau belajar secara berkumpulan merupakan kaedah yang terbaik untuk
kita mengingati fakta. Setiap ahli kumpulan mesti bersifat tegas, berdedikasi dan berdisiplin
untuk memastikan tiada perkara lain yang dibincangkan selain intipati pelajaran. Debat dan
perbincangan boleh diadakan sesama sendiri untuk memahami sesuatu topik. Maklumat yang
dikongsi bersama juga mampu mendatangkan impak yang positif kepada setiap individu.

Antara amalan lain yang boleh saya amalkan termasuklah rajin menimba ilmu dan
pengalaman. Pada hemat saya, membaca buku dapat meningkatkan daya fikir dan ilmu
pengetahuan bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Saya suka memilih buku-buku yang
bertema berat dan berkaitan dengan kecemerlangan hidup. Buku-buku yang dikarang oleh
Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat yang terunggul pada abad ini misalnya menjadi pilihan
saya pada masa santai. Bagi saya, pelajar yang menginginkan kecemerlangan tidak boleh malas
membaca. Sebagai insan pelajar, kita tidak harus bersikap angkuh ketika menimba ilmu. Sikap
rendah diri secara positif ibarat padi semakin berisi semakin tunduk wajar kita amalkan dalam
kehidupan sehari-hari.

Akhirulkalam, kejayaan tidak akan dapat direalisasikan oleh manusia yang asyik leka dan
malas tanpa hala tuju hidup yang jelas dan berwawasan. Sebaliknya, sebagai insan yang dahaga
akan ilmu, pengalaman, dan kejayaan, kita perlu senantiasa bersikap tekun, gigih dan tabah
berusaha tanpa putus asa. Yang paling penting, kita perlu pasrah, berdoa dan mendapat
keberkatan daripada Tuhan, ibu bapa, dan guru-guru sebelum menduduki peperiksaan agar
usaha kita senantiasa diberkati dan berjaya.
Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal
amat penting sebelum anda menceburi bidang pekerjaan tersebut. Bincangkan persediaan-
persediaan yang perlu anda lakukan.

Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat ekoran sikap
manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapai dan mendominasi kejayaan dalam kehidupan.
Manusia juga sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa berputus asa untuk memperoleh
kejayaan, bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang. Saya meminati
sesuatu bidang kerjaya yang amat mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal adalah
amat penting sebelum saya dapat menceburi bidang pekerjaan ini. Saya perlulah melakukan
beberapa persediaan yang sewajarnya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak
datang melayang.

Persediaan yang afdal yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan diri saya
dengan kemahiran insaniah yang meliputi beberapa aspek, iaitu kemahiran berkomunikasi,
mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja
berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran
keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah
sangat penting untuk melahirkan modal insan yang kamil dan yakin untuk berhadapan dengan
sebarang cabaran yang mendatang. Sebagai contoh, saya perlulah menggunakan peluang yang
ada untuk bergerak aktif sama ada dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan atau kebudayaan. Hal
ini adalah kerana kemahiran insaniah dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang
boleh diaplikasikan pada masa hadapan terutamanya semasa berada dalam alam pekerjaan.
Oleh itu, usaha untuk memiliki kemahiran insaniah amat penting agar saya dapat berkecimpung
dalam bidang yang saya minati itu.

Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing yang tinggi
kerana saya merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal berhadapan dengan dunia yang
kian mencabar ini. Sesungguhnya remaja di Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara
lain. Mereka sememangnya sudah diajar berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita
masih ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi, tidak hairanlah mereka lebih matang dan daya
saing mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita. Menyedari hakikat ini, saya perlu
kental dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai rintangan. Saya
perlu berupaya untuk menghasilkan teknologi dan robotik yang setanding dengan remaja yang
lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin mencapai kejayaan dalam bidang yang
diceburi perlulah memiliki daya saing yang tinggi.

Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap
bidang pekerjaan yang bakal saya ceburi itu. Hal ini adalah kerana ketinggian ilmu yang saya
miliki dapat memastikan jati diri saya tidak mudah rapuh. Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah
didedahkan dengan amalan membaca kerana mereka percaya bahawa membaca itu jambatan
ilmu. Hanya dengan membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka dengan pelbagai
teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak membaca buku-buku yang berkaitan
dengan bidang yang saya minati. Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi mampu
mematangkan saya untuk mengatur setiap langkah kehidupan. Sememangnya pelangi hari ini
tidak mampu berjanji untuk muncul pada hari keesokan. Oleh hal yang demikian, saya perlulah
meningkatkan pengetahuan dan keyakinan saya bagi merealisasikan impian saya untuk
menceburi bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko.

Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai prasyarat


untuk mencapai kejayaan dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu, saya perlulah menitikberatkan
kemajuan diri saya dalam semua aspek sama ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek
dan sosial. Dengan cara ini, saya pasti dapat menangkis segala dugaan yang mendatang kerana
saya percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga impian saya akan
menjadi realiti dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.
Pelancongan dianggap sebagai satu industri yang menguntungkan negara. Kemukakan usaha-
usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan kedatangan para pelancong ke Malaysia.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pelancongan telah menggalakkan


pertumbuhan ekonomi negara Malaysia. Pihak kerajaan pernah menjelaskan bahawa sektor
pelancongan akan terus menawarkan peluang pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi
melebihi daripada jumlah yang dijangkakan. Berdasarkan hakikat itu, usaha-usaha perlu
ditingkatkan lagi oleh semua pihak supaya setiap perancangan yang diatur terhadap industri
pelancongan dapat berjalan dengan lancar.

Keistimewaan Malaysia dapat diperhatikan melalui budaya dan etika kerja


penduduknya, bangunan dan perusahaannya, tempat-tempat sejarah yang unik, dan keindahan
alam semulajadinya seperti bukit-bukau yang menghijau, rangkaian pulau yang cantik, air terjun
yang bertingkat-tingkat, dan pantainya yang putih bersih. Keistimewaan-keistimewaan tersebut
menjadi faktor pendorong kepada kedatangan pelancong ke negara kita. Untuk menggalakkan
lagi kedatangan mereka, langkah-langkah yang wajar dan program terancang harus
dilaksanakan, seperti membuka tempat-tempat rekreasi yang baru dan berpotensi, dan
melaksanakan pembangunan di kawasan pelancongan. Ini termasuklah menyediakan prasarana
dan kemudahan penginapan untuk kegiatan pelancongan, serta mengekalkan tempat-tempat
bersejarah. Projek pembangunan semula jadi juga dapat mendatangkan pulangan yang besar
kepada ekonomi negara.

Kita juga dapat mengembangkan aktiviti pelancongan melalui usaha-usaha politik


seperti menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara luar yang boleh dilakukan melalui
misi-misi lawatan rasmi. Di samping itu, pihak Perbadanan Pelancongan Malaysia boleh
memajukan industri pelancongan dengan cara mengedarkan risalah tentang keistimewaan-
keistimewaan yang terdapat di Malaysia, misalnya tempat-tempat pelancongan yang menarik,
tempat-tempat yng bersejarah, pelbagai kebudayaan kaum, makanan masyarakat setempat, dan
sebagainya. Usaha-usaha promosi boleh dijalankan menerusi penayangan filem-filem rencana
tentang keindahan negara Malaysia. Agensi-agensi pelancongan juga boleh memainkan peranan
dengan cara menawarkan pakej pelancongan yang berpatutan agar pelancong mudah tertarik
dan tidak menghadapi masalah untuk berkunjung ke negara kita.

Di samping kestabilan politik, pihak kerajaan juga harus memastikan perkembangan


ekonomi negara terus meningkat. Oleh itu, pengeluaran pelbagai barangan tempatan dan
industri desa seperti kraf tangan, batik, dan barangan makanan perlu ditingkatkan. Seterusnya,
kemudahan tempat membeli-belah dan kawasan bebas cukai harus disediakan untuk
menampung keperluan pelancong. Dengan itu, kemudahan-kemudahan tersebut akan
menjadikan tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Satu perkara lagi ialah
pihak kerajaan perlu memastikan nilai mata wang negara terus berkeadaan stabil.

Kesimpulannya, industri pelancongan merupakan satu projek atau program


pembangunan yang menguntungkan negara daripada pelbagai sudut. Sebagai satu industri yang
menguntungkan, faktor-faktor semula jadi yang menarik dalam negara harus dikekalkan.
Manakala semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung hendaklah mengambil tahu
tentang industri ini. Orang awam sekurang-kurangnya boleh memainkan peranan dengan cara
bertegur sapa dengan para pelancong atau sekadar mengukir senyuman sebagai tanda
persahabatan.

You might also like