You are on page 1of 28

MESYUARAT KHAS

PARLIMEN KEEMPAT BELAS, PENGGAL YANG KETIGA


PENERANGAN DARIPADA MENTERI
MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
BERKENAAN PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN
RABU - 28 JULAI 2021

Assalamualaikum warahmatullahi waabarakatuh, salam sejahtera, salam


lindung diri, lindung semua.

1) Terima kasih Tuan Yang Di-Pertua, izinkan saya memberikan penerangan


berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

TADBIR URUS DAN PUNCA KUASA

Tuan Yang Di-Pertua,

2) Sebagaimana yang semua sedia maklum, Program Imunisasi COVID-19


Kebangsaan (PICK) telah bermula pada 24 Februari 2021. Walaupun PICK
secara rasminya bermula pada tarikh ini, namun pelbagai persediaan
serta tindakan telah dilaksanakan lebih awal terutamanya melibatkan
proses rundingan dan perolehan vaksin COVID-19 yang digunakan di
bawah PICK.

3) Secara kronologinya, Kerajaan menerusi tiga buah kementerian iaitu


Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar serta MOSTI telah membentuk
suatu pendekatan diplomasi sains pada 21 April 2020 iaitu tidak lama
selepas Malaysia diserang wabak COVID-19 bagi membolehkan
tindakan proaktif dalam menjalin kerjasama antarabangsa untuk
mendapatkan bekalan vaksin.

1
4) Menerusi pendekatan diplomasi sains ini, Kerajaan telah mengadakan
pelbagai rundingan sama ada bersama negara luar mahupun dengan
syarikat pembuat vaksin di seluruh dunia. Pada ketika pendekatan ini
dimulakan, kesemua vaksin COVID-19 masih lagi di peringkat kajian dan
kebanyakannya belum lagi memulakan apa-apa ujian klinikal ke atas
manusia.

5) Susulan daripada pelbagai siri rundingan bersama negara dan syarikat


pengeluar vaksin, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020
telah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses
Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dianggotai oleh pelbagai kementerian
dan agensi untuk memastikan bekalan vaksin COVID-19 diperoleh
dengan segera, selamat dan sempurna dan dipengerusikan bersama
oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

6) JKJAV akan memainkan peranan penting sebagai Jawatankuasa Induk


dalam merancang, melaksana dan memantau keseluruhan Program
Imunisasi COVID-19 Kebangsaan termasuklah dalam membentuk polisi
dan dasar vaksinasi COVID-19, memberikan syor tentang jenis vaksin,
keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin dan pemantauan kesan
vaksin yang akan digunakan di bawah PICK serta implikasi kewangan
dan perolehan PICK.

7) Seterusnya pada 23 Disember 2020, Mesyuarat Jemaah Menteri telah


mengambil maklum berkenaan Pelan Program Imunisasi COVID-19
Kebangsaan yang telah dibangunkan Kementerian Kesihatan sebagai
persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada
rakyat berjalan lancar apabila bekalan vaksin mula diperoleh pada suku
pertama tahun 2021.

2
8) Pada 20 Januari 2021 pula, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju
supaya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menguruskan
pelaksanaan pelan ini dari aspek bukan perkhidmatan kesihatan
khususnya dalam isu-isu berkaitan logistik, penyelarasan dengan negeri-
negeri dan agensi-agensi Kerajaan manakala Kementerian Kesihatan
pula, akan terus memberi tumpuan kepada hal-hal menangani
penularan pandemik COVID-19. Keputusan ini adalah selaras dengan
Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perenggan 6(1) di bawah tajuk
Arahan Untuk Rawatan Imunisasi Pengasingan Pemerhatian Atau
Pengawasan dan perenggan 11(a) di bawah tajuk Kuasa Eksekutif dan
Perundangan Bagi Tempoh Darurat Berkuat Kuasa.

9) Mesyuarat Jemaah Menteri juga pada 3 Februari 2021 telah bersetuju


supaya sebuah Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 atau COVID-
19 Immunisation Taskforce (CITF) ditubuhkan bagi memastikan
kelancaran pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. CITF
ini dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang
bertindak selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19
Kebangsaan. Penubuhan CITF ini turut diumumkan dalam Perutusan Khas
Perdana Menteri pada 4 Februari 2021.

10) Tujuan penubuhan CITF adalah untuk menangani pandemik wabak


COVID-19 melalui inisiatif imunisasi seluruh masyarakat di dalam negara
yang seterusnya mempercepatkan pemulihan ekonomi negara serta
mengkoordinasi Persekutuan dan Negeri serta memberikan
perkhidmatan sokongan kepada pelan PICK. CITF diketuai secara
bersama oleh dua orang Pengarah Pengurusan Projek iaitu Timbalan
Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Panglima Tentera Darat.

PERJANJIAN PEROLEHAN DAN PORTFOLIO VAKSIN

Tuan Yang Di-Pertua,

3
11) Susulan daripada rundingan yang telah dijalankan bersama negara dan
syarikat pengeluar vaksin, serta selepas dibawa kepada pertimbangan
JKJAV dan Mesyuarat Jemaah Menteri, Kerajaan mula menandatangani
perjanjian perolehan vaksin pada bulan November 2020.

12) Perjanjian pertama yang telah ditandatangani adalah penyertaan


Malaysia ke dalam fasiliti COVAX di bawah kelolaan Global Alliance for
Vaccines and Immunisation (GAVI), The Coalition for Epidemic
Preparedness Innovations (CEPI), dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO). Menerusi COVAX, setiap negara peserta mendapat jaminan
bekalan vaksin antara 10 hingga 50 peratus populasi negara. Menerusi
penyertaan Malaysia ke dalam fasiliti COVAX, Kerajaan sehingga kini
telah bersetuju untuk memperolehi vaksin AstraZeneca, Janssen serta
Novavax daripada kemudahan COVAX ini.

13) Kerajaan juga telah menandatangani perjanjian perolehan bersama


Pfizer BioNTech bagi vaksin Comirnaty. Bagi perjanjian pertama yang
ditandatangani pada 24 November 2020 oleh Menteri Kesihatan, jumlah
dos vaksin yang akan diperolehi menerusi syarikat pembekal ini adalah
sebanyak 20% populasi negara. Walau bagaimanapun, jumlah ini telah
ditambah menerusi dua perjanjian tambahan (amended agreement)
yang ditandatangani pada 22 Mac 2021 dan 19 Mei 2021 menjadikan
jumlah terkini bekalan vaksin Pfizer yang dibeli adalah bersamaan 70%
populasi negara.

14) Seterusnya pada 21 Disember 2020 pula, Kerajaan telah


menandatangani perjanjian pembelian vaksin COVID-19 keluaran
AstraZeneca sebanyak 10% populasi negara.

4
15) Kerajaan juga pada 26 Januari telah memeterai perjanjian pembelian
vaksin keluaran Sinovac dan Gamaleya serta pada 29 Januari bagi
vaksin CanSino.

16) Berdasarkan perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani ini, jumlah


vaksin yang terdapat di dalam portfolio vaksin COVID-19 Malaysia
adalah sebanyak 8 jenis daripada 6 pembekal serta mencukupi bagi
130.3% populasi negara Malaysia.

17) Pecahan portfolio vaksin di bawah PICK adalah seperti berikut:

Bilangan Penduduk Peratus Penduduk


Bil. Pembekal Vaksin
Dilindungi Dilindungi

Fasiliti COVAX
1 3,200,000 10.00%
(AstraZeneca/Jannsen/Novavax)

2 Pfizer & BioNTech 22,399,650 70.00%


3 AstraZeneca 3,200,000 10.00%
4 Sinovac 6,200,000 19.4%
5 CanSino 3,500,000 10.9%
6 Gamaleya* 3,200,000 10.00%
JUMLAH KESELURUHAN 41,699,650 130.3%
*Tertakluk kepada penilaian NPRA

18) Selain daripada jumlah yang dinyatakan ini, Kerajaan juga sedang
meneruskan rundingan bersama syarikat pembekal vaksin bagi
memastikan bekalan vaksin Malaysia mempunyai jumlah penimbal
sekiranya terdapatnya gangguan bekalan ataupun penghantaran
daripada mana-mana syarikat pembekal vaksin yang terganggu. Ini
termasuklah tambahan bekalan vaksin Sinovac sebanyak 3 juta dos yang
ketika ini sedang dimuktamadkan.

5
19) Lebihan pembelian melebihi 100% keseluruhan populasi Malaysia ini
adalah sebagai simpanan penimbal atau kecemasan bagi kumpulan
masyarakat yang tercicir daripada statistik seperti warganegara asing
yang tiada dokumen dan juga keperluan pemberian vaksinasi kepada
golongan kanak-kanak yang ketika ini masih belum dilaksanakan atau
keperluan booster shot yang ketika ini masih diperingkat kajian
pelaksanaan dan keperluannya oleh panel pakar di bawah JKJAV.

KELULUSAN DAN KAWAL SELIA VAKSIN COVID-19

Tuan Yang Di-Pertua,

20) Vaksin COVID-19 merupakan highly-regulated product serta tertakluk


kepada peruntukan undang-undang untuk dibawa masuk dan
digunakan di Malaysia. Bagi maksud ini, setiap vaksin COVID-19 perlulah
melepasi penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta
mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

21) Sebagai mana produk farmaseutikal yang lain, setiap vaksin COVID-19
perlulah didaftarkan oleh sebuah syarikat farmaseutikal tempatan
sebagai Pemegang Pendaftaran Produk. Kesemua vaksin COVID-19 yang
diluluskan penggunaannya diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat.
Pendaftaran bersyarat ini memerlukan syarikat pemegang pendaftaran
untuk mengemukakan analisis data-data tambahan dan terkini secara
rolling submission atau berkala untuk dinilai oleh Bahagian Regulatori
Farmasi Negara (NPRA).

22) Penilaian NPRA akan dibuat berdasarkan piawaian regulatori


antarabangsa seperti yang digariskan oleh WHO dan The International
Council for Harmonisation of Technical Requirements for Pharmaceuticals
for Human Use (ICH). Aspek-aspek yang dinilai adalah seperti berikut:

6
a) Kualiti – aspek pengawalan bahan mentah dan proses
pengilangan agar produk mengikut spesifikasi;

b) Keselamatan – selain efektif dalam memberi perlindungan,


vaksin mungkin memberi kesan-kesan sampingan lain. NPRA
berperanan memastikan kebaikan produk yang diterima adalah
melebihi risiko kesan sampingan yang diketahui;

c) Keberkesanan – aspek penghasilan antibodi yang mencukupi


bagi melawan jangkitan.

23) Atas keperluan mendesak bagi membolehkan pendaftaran vaksin


COVID-19 dibuat secara segera tanpa mengabaikan aspek kualiti,
keselamatan dan keberkesanan, NPRA telah mengeluarkan Direktif
Berkenaan Pelaksanaan Pendaftaran Fast-Track Bersyarat Untuk Produk
Farmaseutikal Semasa Bencana yang merangkumi syarat-syarat berikut:

(i) Produk digunakan untuk penyakit serius dan mengancam


nyawa serta berpotensi menyebabkan wabak, epidemik dan
pandemik; dan

(ii) Produk (ubat dan vaksin) sedia ada berdaftar belum berjaya
membasmi penyakit atau mencegah wabak, epidemik dan
pandemik; dan

(iii) Produk mestilah sekurang-kurangya sedang menjalani kajian


klinikal fasa III yang mempunyai data awal berkaitan
keselamatan dan keberkesanan berdasarkan sekurang-
kurangnya satu kajian klinikal fasa III yang telah dirancang
dengan baik dan menunjukkan keselamatan dan
keberkesanan produk farmaseutikal dengan jelas; dan

7
(iv) Produk telah berdaftar atau diberi emergency use authorization
oleh badan regulatori negara pengeluar atau badan regulatori
rujukan oleh PBKD atau WHO.

24) Selain itu, pendaftaran vaksin COVID-19 yang dibekalkan melalui fasiliti
COVAX juga telah dipermudah cara menerusi mekanisme recognition
berdasarkan WHO Emergency Use Listing (WHO EUL). Menerusi
mekanisme ini, pakej laporan dan dossier termasuklah pengemasikinian
maklumat sesuatu vaksin akan diterima terus oleh NPRA daripada pihak
WHO.

25) Selain daripada keperluan Pemegang Pendaftaran Produk oleh syarikat


farmaseutikal tempatan, setiap kilang pengeluaran vaksin juga akan
dinilai oleh NPRA sebelum kelulusan bersyarat diberikan. Pematuhan
pihak pengilang vaksin terhadap keperluan Amalan Perkilangan Baik
(APB) atau Good Manufacturing Practice (GMP) merupakan kriteria
utama dalam memastikan produk yang dihasilkan berkualiti mengikut
piawaian di samping meminimumkan risiko yang mungkin wujud dalam
aktiviti pengeluaran.

26) Daripada 8 jenis vaksin COVID-19 yang terdapat di dalam portfolio PICK,
sebanyak 6 daripadanya telah melepasi penilaian NPRA dan mendapat
kelulusan pendaftaran bersyarat daripada PBKD. Vaksin-vaksin tersebut
adalah:

Pembekal / Pemegang Pendaftaran Jenis Vaksin Tarikh Kelulusan


Vaxzevria (AstraZeneca) 2 April 2021
Fasiliti COVAX
Janssen (J&J) 15 Jun 2021
Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. Comirnaty (Pfizer) 8 Januari 2021
Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. CoronaVac (Sinovac) 2 Mac 2021
Astrazeneca Sdn. Bhd. AstraZeneca 2 Mac 2021
Solution Biologics Sdn. Bhd. Convidecia (CanSino) 15 Jun 2021

8
27) Vaksin Sputnik V keluaran Gamaleya National Research Centre for
Epidemiology and Microbiology, Russia ketika ini masih sedang melalui
proses penilaian NPRA manakala bagi vaksin Novavax yang ditawarkan
pembeliannya menerusi fasiliti COVAX masih belum mendapat kelulusan
WHO EUL.

28) Selain daripada vaksin di dalam portfolio PICK, terdapat dua lagi jenis
vaksin COVID-19 yang turut telah mendapat kelulusan bersyarat
daripada PBKD iaitu:

Pembekal / Pemegang Pendaftaran Jenis Vaksin Tarikh Kelulusan


Duopharma (M) Sdn. Bhd COVILO (Sinopharm) 16 Julai 2021
Johnson & Johnson Sdn Bhd Janssen (J&J) 16 Julai 2021

29) Walaupun tidak berada dalam portfolio PICK ketika ini, pendaftaran
bersyarat ini akan membolehkan vaksin-vaksin ini digunakan di Malaysia
sekiranya keadaan memerlukan menerusi perolehan Kerajaan ataupun
dijual bagi pasaran pihak swasta.

30) Dalam memastikan vaksin COVID-19 sentiasa terjamin kualiti,


keselamatan dan keberkesanannya, NPRA juga turut menjalankan
aktiviti lot release bagi setiap kumpulan atau batch vaksin yang dihantar
oleh pembekal.

31) Menerusi aktiviti lot release, suatu penilaian lot release protocol akan
dijalankan yang mana Pemegang Pendaftaran Produk perlu
menghantar dokumen serta butiran untuk dinilai NPRA bagi memastikan
ia adalah sama seperti maklumat yang terdapat dalam dossier ketika
permohonan pendaftaran dibuat. Aktiviti lot release juga
berkehendakkan pemeriksaan rangkaian sejuk (cold-chain) dijalankan di
gudang produk atau fasiliti kesihatan yang menerima vaksin tersebut.

9
32) Dalam konteks penilaian dan kelulusan ini, ia bukan sahaja bagi vaksin
yang akan dibawa masuk menerusi perolehan Kerajaan, malah turut
terpakai kepada mana-mana vaksin yang diterima menerusi
sumbangan daripada negara mahupun mana-mana pihak yang
hendak membawa masuk vaksin untuk digunakan di negara ini.

33) Justeru, mana-mana pihak yang sebelum ini telah menyatakan


kesediaan untuk memberikan sumbangan vaksin, kita sangat alu-alukan,
malah akan cuba memudah cara proses, tetapi mereka perlulah terlebih
dahulu mengemukakan dokumen berkaitan kepada NPRA bagi
membolehkan vaksin ini digunakan. Kerajaan tidak boleh dan tidak akan
mengambil ringan dalam soal keselamatan dan keberkesanan
memandangkan vaksin ini akan digunakan ke atas tubuh badan
manusia serta melibatkan nyawa seseorang.

34) Selain kawal selia vaksin, Kerajaan dalam usaha meyakinkan orang ramai
terhadap keberkesanan dan keselamatan vaksin juga telah bersetuju
untuk mewujudkan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin
COVID-19 kepada individu yang mendapat kesan sampingan yang serius
setelah menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah PICK iaitu;
• RM50,000 jika berlaku kesan sampingan yang serius kepada
penerima vaksin COVID-19 yang memerlukan rawatan
berpanjangan di hospital; dan

• RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian


disebabkan vaksin COVID-19

35) Untuk itu, Kerajaan telah meluluskan dana permulaan sebanyak RM10
juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara
(KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara
(NADMA) bagi tujuan bayaran bantuan khas tersebut. Bantuan khas ini
akan diberikan kepada penerima vaksin terkesan setelah dinilai dan

10
ditentukan kesahihan kes oleh KKM yang boleh menunjukkan causality
antara vaksin dengan kesan sampingan.

PELAKSANAAN PICK

Tuan Yang Di-Pertua,

36) Seterusnya izinkan saya untuk memberikan penerangan tentang


pelaksanaan PICK yang telah secara rasminya bermula semenjak 24
Februari yang lalu apabila Perdana Menteri menjadi individu pertama
menerima suntikan vaksin COVID-19 dan disusuli pula oleh Ketua
Pengarah Kesihatan pada hari tersebut.

Fasa dan Sasaran PICK

37) Pelaksanaan PICK merangkumi rancangan yang komprehensif meliputi


pra-pelaksanaan, pelaksanaan dan pasca-pelaksanaan, yang
mengambil kira penyediaan fasiliti, koordinasi tenaga kerja, garis
panduan, pemantauan, pelaporan dan infrastruktur sokongan bagi
memastikan keseluruhan fasiliti yang selesa dan selamat untuk rakyat.

38) Sebuah buku panduan bersifat dinamik (living document) dan dikemas
kini dari semasa ke semasa mengikut perkembangan terbaharu juga
telah dilancarkan pada 16 Februari 2021 untuk dijadikan rujukan awam.

39) Menerusi perancangan awal, sasaran PICK bagi mencapai sasaran 80%
penduduk Malaysia menerima vaksin dijangka diselesaikan pada
Februari 2022. Namun, tempoh masa ini telah disingkatkan kepada
Disember 2021 apabila mengambil kira keadaan penularan COVID-19
yang sangat membimbangkan untuk tempoh beberapa bulan ini dan
garis masa ini disingkatkan lagi untuk kita selesaikan menjelang Oktober
ini.

11
40) Justeru, strategi pelaksanaan PICK meliputi empat (4) fasa utama
mengikut keutamaan kumpulan sasaran selepas sasaran 80% populasi
menerima vaksin pada Disember 2021 adalah seperti berikut:

a) Fasa 1 (Februari – Mei 2021): Vaksin akan diberi untuk melindungi


petugas barisan hadapan di bawah Kementerian Kesihatan dan
di luar Kementerian Kesihatan melibatkan anggaran seramai 500
ribu orang;

b) Fasa 2 (April – Ogos 2021): Vaksin diberi bagi melindungi


kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu
komorbid dan juga OKU;

c) Fasa 3 (Jun – Disember 2021): Vaksin diberi kepada warganegara


dan bukan warganegara berumur 18 tahun dan ke atas bagi
mencapai sasaran populasi berjaya divaksinasi melibatkan
anggaran seramai 14 juta orang; dan

d) Fasa 4: Merupakan fasa kawalan wabak dan berlangsung


sepanjang masa mengikut penilaian semasa.

42) Selain daripada sasaran jumlah penerima vaksin, prestasi PICK juga turut
menjadi salah satu daripada nilai ambang yang ditetapkan bagi
peralihan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara. Nilai ambang yang
ditetapkan adalah berdasarkan peratusan populasi dewasa 18 tahun ke
atas yang telah menerima dos vaksin lengkap di setiap negeri. Nilai
ambang yang ditetapkan bagi PICK adalah seperti berikut:

a) Fasa 1 kepada Fasa 2: 10% menerima dos lengkap

b) Fasa 2 kepada Fasa 3: 40% menerima dos lengkap

c) Fasa 3 kepada Fasa 4: 60% menerima dos lengkap

12
Pendaftaran Vaksinasi

Tuan Yang Di-Pertua,

43) Seperti mana vaksin bagi penyakit lain, vaksinasi COVID-19 pada ketika
ini juga adalah secara sukarela dan tidak diwajibkan. Setiap individu
perlu terlebih dahulu memberikan kebenaran (consent) sebelum suntikan
vaksin COVID-19 diberikan kepada mereka.

44) Bagi tujuan ini, pendaftaran vaksinasi COVID-19 kepada populasi awam
berumur 18 tahun ke atas telah dibuka secara rasminya pada 24 Februari
yang lalu. Individu berumur 18 tahun ke bawah juga kini telah boleh
mendaftar walaupun keputusan pemberian vaksin kepada golongan ini
secara massa masih sedang diperhalusi mengambil kira faktor kebaikan
dan risiko.

45) Terdapat beberapa kaedah yang telah dilaksanakan bagi


memudahkan orang ramai membuat pendaftaran. Ini termasuklah
menerusi aplikasi MySejahtera, laman web www.vaksincovid.gov.my,
talian hotline, pendaftaran manual di klinik dan hospital kerajaan serta
menerusi kaedah jangkau luar komuniti (community outreach).

46) Dalam hal ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua
Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana telah membantu dalam proses
pendaftaran penduduk di kawasan masing-masing, mengambil kira
permohonan saya semasa taklimat Pelaksanaan PICK kepada semua
Ahli Parlimen pada 22 Mac 2021 yang lalu.

47) Selain daripada membantu pendaftaran, ramai juga Ahli-ahli Yang


Berhormat yang mengambil inisaitif menyediakan pengangkutan
kepada penerima vaksin untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Ia juga

13
membuktikan komitmen semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dan solidariti
secara bersama tanpa mengira fahaman politik.

48) Sehingga hari Isnin, 26 Julai 2021, seramai 20,134,971 orang telah
mendaftar bagi tujuan ini atau bersamaan 61.7 peratus keseluruhan
populasi Malaysia berjumlah 32.7 juta orang.

49) Daripada jumlah ini, 18.8 juta orang merupakan individu dewasa berumur
18 tahun ke atas dan 1.2 juta orang merupakan individu di bawah umur
18 tahun.

50) Jumlah populasi dewasa yang telah mendaftar adalah bersamaan 80.5
peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia. Manakala
bagi golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang berjumlah
keseluruhan 3.5 juta orang , sebanyak 89 peratus telah mendaftar bagi
mendapatkan vaksinasi COVID-19 mereka.

51) Berdasarkan statistik yang saya sebutkan, jelas sekali jumlah pendaftaran
pada ketika ini adalah rendah berbanding sasaran PICK iaitu sebanyak
80% daripada keseluruhan populasi yang perlu divaksin.

52) Malah jika dilihat statistik pendaftaran vaksinasi beberapa buah negeri,
peratusan pendaftaran adalah rendah berbanding nilai ambang yang
ditetapkan di bawah Program Pemulihan Negara untuk sesebuah negeri
beralih daripada satu fasa kepada fasa yang lain.

53) Walau bagaimanapun, saya menyedari terdapat beberapa negeri yang


mungkin menghadapi kekangan pendaftaran disebabkan keadaan
geografi dan demografi yang berbeza-beza yang menghadapi
kesukaran perhubungan dan akses komunikasi.

14
54) Untuk itu, beberapa strategi dan kaedah telahpun kita rancang dan
laksanakan, yang mana saya akan jelaskan sebentar lagi. Ini dibuat bagi
memastikan tiada sesiapa yang tertinggal daripada mendapatkan
vaksinasi mereka yang seterusnya akan membantu untuk memperluas
capaian vaksin COVID-19 ini.

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Tenaga Kerja

Tuan Yang Di-Pertua,

55) Sebagai program imunisasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara


kita, kejayaan PICK bergantung sepenuhnya terhadap keterlibatan oleh
pelbagai pihak baik daripada kementerian dan agensi kerajaan
Persekutuan dan Negeri, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO)
serta ahli masyarakat menerusi pendekatan whole-of government dan
whole-of-society dan ini termasuklah bagi pengoperasi Pusat Pemberian
Vaksin (PPV) yang melibatkan petugas kesihatan dan bukan kesihatan.

56) Sehingga 22 Julai yang lalu, terdapat 2,313 PPV daripada pelbagai jenis
dan saiz kapasiti sedang beroperasi di seluruh negara. Pecahan jumlah
PPV mengikut jenis dan kapasiti adalah seperti berikut:

Jenis PPV Jumlah


PPV Mega Tier 1 (5,000 ke atas) 17
PPV Mega Tier 2 (3,000 - 5,000) 16
PPV Awam Bukan Kesihatan 300
PPV Institut Pengajian Tinggi 16
PPV Pandu Lalu 4
PPV Klinik Kesihatan 193
sPPV 124
PPV GP dan Klinik Pakar Swasta 1,443
PPV Hospital Swasta 121
PPV Ambulatory Care 19
PPV Industri (termasuk on-site) 60
JUMLAH 2,313

15
57) Jumlah PPV yang disebutkan ini adalah tidak termasuk PPV yang dibuka
secara sementara melalui program jangkau luar atau menerusi unit
bergerak yang telah dilaksanakan di banyak tempat di seluruh negara.

58) Selain petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan,


pelaksananaan PICK juga turut melibatkan petugas kesihatan daripada
pihak swasta dan juga NGO. Kementerian Kesihatan telah melantik
ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu sebuah syarikat
bukan berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan
sebagai pelaksana dan penyelaras bagi penyertaan pengamal
perubatan swasta dan NGO Penjagaan Kesihatan dalam PICK.

59) Daripada keseluruhan 2,313 PPV di seluruh negara, penglibatan petugas


kesihatan yang diselaraskan di bawah ProtectHealth adalah di sebanyak
1,954 buah PPV yang melibatkan pemberian vaksinasi sehingga 340 ribu
dos sehari.

60) Bagi petugas bukan kesihatan pula, PICK juga telah melaksanakan
program mobilisasi sumber manusia merangkumi penjawat awam
dalam sektor perkhidmatan kesihatan dan bukan perkhidmatan
kesihatan, sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi
MyVac serta anggota pasukan keselamatan.

61) Sehingga kini, seramai 16,133 orang sukarelawan bukan kesihatan yang
juga terdiri daripada pelbagai pasukan keselamatan telah menyumbang
bakti dalam pengoperasian PPV di seluruh negara dengan pecahan
seperti berikut:

Kategori Sukarelawan Jumlah


Penjawat Awam 1,373
Sukarelawan bukan kesihatan (MyVac) 7,724
Angkatan Pertahanan Awam (APM) 3,275
RELA 2,902

16
ATM/ PDRM 859
Jumlah 16,133

62) Selain daripada kumpulan sukarelawan yang saya sebutkan, pelbagai


entiti dan organisasi juga turut menyalurkan bantuan tenaga
sukarelawan bukan kesihatan seperti entiti korporat, pihak swasta dan
juga parti politik.

63) Berdasarkan angka yang telah disebutkan tadi, kita sememangnya tidak
mempunyai masalah daripada segi kapasiti suntikan mahupun
ketersediaan petugas kesihatan dan bukan kesihatan, namun
penghantaran bekalan vaksin serta jumlah dos yang diterima daripada
syarikat pembekal vaksin tetap menjadi petunjuk utama dalam
menentukan kadar pemberian vaksin di Malaysia.

Jumlah Vaksin Diterima dan Sumbangan Vaksin

Tuan Yang Di-Pertua,

64) Sehingga 26 Julai yang lalu, jumlah vaksin yang telah diterima daripada
syarikat pembekal menerusi perolehan Kerajaan adalah sebanyak 23,88
juta dos. Daripada jumlah ini, sebanyak 1,085,790 dos telah diterima pada
suku pertama; 8,906,530 dos telah dihantar pada suku kedua dan
manakala bakinya adalah jumlah vaksin yang diterima pada bulan Julai
ini.

65) Selain daripada bekalan vaksin yang diterima daripada perolehan


Kerajaan, Malaysia juga telah menerima sumbangan vaksin daripada
tiga buah negara. Tiga buah negara tersebut adalah Jepun yang telah
menyumbang 998,400 dos vaksin AstraZeneca yang diterima pada 1
Julai, Amerika Syarikat yang telah menyumbang 1,000,350 dos vaksin
Pfizer yang diterima pada 5 Julai serta China yang menyumbang vaksin
Sinovac sebanyak 500,000 dos yang telah diterima pada 16 Julai.

17
66) Ini bermakna, vaksin yang telah diterima oleh Malaysia menerusi
perolehan Kerajaan dan juga sumbangan daripada negara luar
sehingga kini adalah berjumlah 26,383,670 dos.

67) Selain tiga buah negara yang saya sebutkan tadi, Kerajaan juga sedang
dalam perbincangan dengan beberapa buah negara lagi yang telah
menyatakan kesediaan untuk turut menyumbang bekalan vaksin
kepada Malaysia seperti negara United Kingdom dan Arab Saudi.
Penerimaan sumbangan vaksin daripada negara-negara ini akan dapat
membantu Malaysia untuk mempercepatkan lagi pemberian vaksin
disamping bekalan vaksin yang telah dibeli oleh Kerajaan. Bagi pihak
Kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kepada negara-
negara ini.

Pengagihan Vaksin kepada Negeri

Tuan Yang Di-Pertua,

68) Berdasarkan jumlah vaksin yang telah diterima ini, pengagihan kepada
negeri-negeri telah dan akan dibuat. Pecahan pengagihan jumlah dos
vaksin kepada negeri-negeri sejak PICK bermula sehingga 31 Julai ini
adalah seperti berikut:

NEGERI JUMLAH
Johor 2.056 juta
Kedah 1.113 juta
Kelantan 914.8 ribu
Lembah Klang 9.086 juta
(KL, S, WPP)
Melaka 623 ribu
Negeri Sembilan 1.024 juta
Pahang 948 ribu
Perak 1.437 juta
Perlis 218.5 ribu
Pulau Pinang 1.255 juta

18
Sabah 1.856 juta
Sarawak 3.645 juta
Terengganu 795.7 ribu
W.P. Labuan 236.1 ribu
ATM 418.8 ribu
JUMLAH 25,63 juta

69) Dalam banyak keadaan, CITF akan cuba memastikan keseimbangan


agihan vaksin kepada negeri-negeri. Keseimbangan ini adalah dengan
mengambil kira jumlah vaksin yang telah dihantar pihak pembekal,
jumlah populasi setiap negeri dan sudah pastinya nilai ambang yang
ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara agar setiap negeri dapat
beralih daripada satu fasa kepada fasa berikut dalam tempoh masa
yang tidak jauh berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

70) Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu seperti


contohnya jika fasa kawalan wabak perlu diaktifkan di satu-satu
kawasan, CITF perlu membuat perubahan jumlah pengagihan vaksin
yang telah dijadualkan bagi membolehkan kawasan kawalan wabak
dapat melaksanakan vaksinasi kepada populasi di kawasan tersebut
pada kadar segera.

Jumlah dan Kadar Vaksinasi

Tuan Yang Di-Pertua,

71) Kadar dan capaian vaksinasi COVID-19 di negara kita sangat


bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang diterima daripada
syarikat pembekal. Seperti mana yang saya sebutkan tadi, kita mula
menerima jumlah dos vaksin yang lebih banyak pada bulan Jun dan
jumlah ini akan terus bertambah pada suku ketiga iaitu pada bulan Julai,
Ogos dan September.

19
72) Sehingga 27 Julai 2021, seramai 12,487,441 orang penduduk Malaysia
atau bersamaan 38.2% keseluruhan populasi telah menerima sekurang-
kurangnya satu dos vaksin COVID-19. Daripada jumlah ini, 5,905,906
orang atau 18.1% populasi telah mendapat dos lengkap vaksin. Ini
menjadikan jumlah vaksin COVID-19 yang telah diberikan adalah
sebanyak 18,393,347 dos. Berdasarkan populasi dewasa pula, sebanyak
53.3% telah menerima sekurang-kurang satu dos dan 25.2% populasi
dewasa di Malaysia telah menerima dos lengkap.

73) Bagi petugas barisan hadapan yang termasuk dalam kumpulan


penerima vaksin Fasa 1, sejumlah 695 ribu telah selesai menerima dos
lengkap masing-masing. Jumlah ini adalah 195 ribu lebih tinggi
berbanding sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak 500 ribu orang.

74) Bagi kumpulan Fasa 2, sehingga 25 Julai, seramai 2.9 juta orang warga
emas atau 92.6% daripada jumlah keseluruhan populasi berumur 60
tahun ke atas yang telah mendaftar sudah menerima sekurang-
kurangnya satu dos. Bagi golongan OKU dan komorbid pula, masing-
masing sebanyak 289,238 dan 6.32 juta orang telah menerima sekurang-
kurangnya satu dos vaksin ataupun diberikan janji temu dalam tempoh
masa terdekat.

75) Seperti mana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, kadar vaksinasi
harian di seluruh negara akan mencapai purata sebanyak 150 hingga
160 ribu suntikan dos sehari menjelang Jun dan jumlah ini akan terus
meningkat pada suku ketiga 2021. Pada bulan Jun yang lalu, purata
suntikan yang telah dicapai adalah sebanyak 169 ribu dos.

76) Manakala bagi bulan Julai, sasaran purata yang telah ditetapkan
adalah sebanyak 300 ribu suntikan dos sehari. Sehingga semalam, purata
yang telah dicapai sepanjang bulan Julai adalah sebanyak 378 ribu dos

20
sehari. Ini bermakna, telah berlaku peningkatan sebanyak 124% apabila
dibandingkan kadar purata antara bulan Jun dan purata bulan Julai
sehingga hari semalam. Sebagai perbandingan peningkatan kadar
vaksinasi, pemberian vaksinasi semenjak permulaan PICK pada Februari
sehingga bulan Jun yang lalu adalah sekitar 8 juta dos. Tetapi untuk bulan
Julai ini sahaja, sehingga ke hari ini, pemberian vaksin telah melebihi 10
juta dos.

77) Selain itu juga, kadar vaksinasi harian juga telah mencatatkan jumlah
tertinggi pada hari semalam apabila sebanyak 553,871 dos berjaya
diberikan di seluruh Malaysia yang mana semalam, seramai 356,112
orang adalah penerima dos pertama manakala 197,759 orang lagi
adalah penerima dos kedua.

78) Catatan semalam juga menyaksikan pemberian vaksin harian mencapai


angka melebihi 500 ribu suntikan bagi dua hari berturut-turut. Pada Isnin
yang lalu, sebanyak 521,923 dos vaksin telah diberikan. Ini menjadikan
jumlah bagi pemberian vaksin untuk dua hari ini adalah sebanyak
1,075,794 dos dengan penambahan penerima dos pertama sebanyak
dua peratus populasi Malaysia atau bersamaan 692,733 orang.

79) Malah, berdasarkan statistik yang dikeluarkan menerusi laman web Our
World in Data yang dikendalikan oleh University of Oxford, kadar
vaksinasi per kapita di Malaysia kini adalah antara yang terpantas di
seluruh dunia. Peratusan penduduk Malaysia yang telah menerima vaksin
bagi sekurang-kurangnya satu dos juga pada semalam mengatasi
beberapa negara maju seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan New
Zealand.

21
80) Selain daripada 3 fasa utama di bawah PICK yang sedang giat
dilaksanakan di seluruh negara, fasa 4 atau fasa kawalan wabak juga
akan sentiasa diaktifkan mengikut keperluan semasa.

81) Menerusi fasa kawalan wabak ini, CITF akan membuat keputusan
apabila terdapatnya satu keperluan yang mengambilkira kepentingan
kesihatan awam untuk mempercepatkan vaksinasi di satu-satu kawasan
yang sedang menunjukkan peningkatan mendadak kes jangkitan
COVID-19. Sehingga kini, CITF Persekutuan telah mengaktifkan tiga fasa
kawalan wabak iaitu;
i. bagi pekerja sektor penting dan perlu yang harus bekerja
sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP);

ii. Operasi kawalan wabak di Labuan disebabkan penularan


varian Delta. Pada ketika itu, jumlah jangkitan yang direkodkan
adalah setinggi 1,344 kes dalam masa seminggu. Menerusi
operasi kawalan wabak di Labuan ini, sehingga kini, sebanyak
90 peratus populasi dewasa telah menerima sekurang-
kurangnya satu. Hasilnya, kes COVID-19 di Labuan telah
menurun dan pada 26 Julai lalu, hanya 8 kes baru dicatatkan,
kadar kemasukan ke hospital dan ICU juag telah menurun; Dan
yang terkini;

iii. Operasi Lonjakan Kapasiti atau Operation Surge Capacity (OCS)


di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk memberikan
keseluruhan populasi dewasa yang telah mendaftar menerima
sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos ini. Bagi OCS ini,
saya ingin berterima kasih kepada Yang Berhormat Bangi kerana
turut bersama-sama CITF untuk menjayakan operasi ini sebagai
koordinator antara Persekutuan dan Negeri.

22
85) Selain fasa kawalan wabak yang diaktifkan oleh CITF Persekutuan, CITF
Negeri juga dibenarkan untuk melaksanakan fasa kawalan wabak
mengikut keperluan bagi negeri masing-masing.

Strategi Pelaksanaan PICK

Program Jangkau Luar Komuniti dan Unit Bergerak

Tuan Yang Di-Pertua,

86) Dalam memastikan capaian vaksinasi adalah meyeluruh serta sampai


kepada setiap sasaran, PICK turut melaksanakan beberapa strategi.
Sebagai contohnya, selain daripada pemberian vaksin di PPV, PICK juga
dilaksanakan menerusi program jangkau luar dan unit bergerak. Menerusi
kaedah ini, petugas kesihatan akan melaksanakan vaksinasi di kawasan-
kawasan yang terpencil dan mempunyai kesukaran perhubungan
seperti perkampungan Orang Asli, rumah panjang di Sarawak dan
kawasan pedalaman Sabah.

87) Program jangkau luar ini juga turut diperluas ke kawasan-kawasan


kampung yang mana seperti yang kita ketahui mempunyai populasi
warga emas yang ramai dan mungkin tercicir daripada pendaftaran
vaksinasi. Dengan pelaksanaan kaedah ini, pendaftaran dan vaksinasi
kepada penerima ini akan terus dilaksanakan pada ketika itu juga. Selain
itu, unit bergerak juga telah menjalankan vaksinasi rumah-ke-rumah
kepada golongan warga emas, individu terlantar serta OKU.

PPV Industri, Peniaga dan Penjaja Kecil

88) PICK juga telah mengaktifkan pemberian vaksin kepada golongan


pekerja di pelbagai sektor dan industri yang diselaraskan oleh pelbagai
kementerian. Menerusi kerjasama awam-swasta yang mana pihak
majikan akan membiayai kos PPV manakala pihak Kerajaan akan
menyediakan vaksin secara percuma, usaha ini akan memudahkan

23
usaha Kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi di kalangan tenaga
kerja di Malaysia dan mengurangkan bilangan kluster dalam kelompok
tempat kerja.

89) Selain itu, pemberian vaksinasi kepada golongan penjaja dan peniaga
kecil tanpa sebarang kos yang perlu ditanggung golongan penjaja dan
peniaga kecil juga sedang giat diusahakan.

90) Pelaksanaan program seumpama ini juga akan membolehkan sektor


dan industri serta perniagaan kecil dan sederhana untuk terus beroperasi
selain dapat memastikan para pekerja tidak kehilangan sumber
pendapatan para pekerja.

Ibunisasi

Tuan Yang Di-Pertua,

91) Wanita mengandung merupakan antara golongan berisiko tinggi


mengalami gejala serius sekiranya dijangkiti COVID-19. Bagi memastikan
golongan ini terlindung, JKJAV telah memutuskan agar wanita
mengandung dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu
diberikan keutamaan untuk diberikan vaksin COVID-19. Keputusan ini
dibuat berdasarkan data serta maklumat terkini meyakinkan yang
menunjukan vaksin COVID-19 adalah selamat kepada mereka.

92) Sehingga kini, daripada 129 ribu wanita mengandung yang telah
mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19, 68 ribu daripadanya
telahpun menerima vaksin ataupun janji temu vaksinasi mereka.

Pelajar ke Luar Negara

93) PICK juga turut memberikan keutamaan kepada para pelajar yang akan
melanjutkan pelajaran di luar negara. Satu ciri di MySejahtera telah

24
diwujudkan yang mana para pelajar ini boleh memohon untuk
mendapatkan janji temu vaksinasi sebelum mereka berlepas ke luar
negara.

Peruntukan dan Kos Pelaksanaan

Tuan Yang Di-Pertua,

94) Pada persidangan yang lalu iaitu pada 7 Disember tahun lalu, saya telah
memaklumkan kepada Dewan ini bahawa Kerajaan memperuntukkan
sejumlah RM3.0 bilion bagi tujuan perolehan vaksin sahaja iaitu untuk
hanya 70% penduduk Malaysia. Pada masa tersebut, anggaran RM3
bilion ini diperolehi menerusi simulasi yang telah dijalankan dengan
mengambilkira jangkaan harga purata vaksin-vaksin COVID-19 yang
sedang dibangunkan ketika itu. Selain itu juga, anggaran RM3 bilion ini
juga adalah tidak termasuk kos-kos lain yang perlu ditanggung bagi
pelaksanaan PICK.

95) Seterusnya, pada 18 Januari yang lalu, di bawah Pakej Bantuan


Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Perdana Menteri
telah mengumumkan peruntukan tambahan sehinga RM5 bilion bagi
pelaksanaan PICK yang ketika itu dijangka bermula pada bulan Mac
2021 dengan penambahan jumlah dos vaksin yang mencukupi bagi
120% populasi negara.

96) Manakala pada 28 Jun yang lalu, Perdana Menteri menerusi Pakej
Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sekali lagi
mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM800 juta dengan
jumlah dos vaksin ditingkatkan kepada 130% populasi Malaysia bagi
tujuan stok penimbal serta mempercepatkan pelaksanaan PICK.
Peruntukan RM800 juta ini juga adalah termasuk tambahan bayaran

25
elaun daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan bukan
kesihatan yang turut diperluas kepada mereka yang bertugas di
lapangan selain PPV selain kadar pembayaran elaun khas kepada
petugas barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada
RM200 ringgit kepada RM600.

97) Daripada beberapa pengumuman yang telah dibuat ini, peruntukan


keseluruhan yang disediakan bagi pelaksanaan PICK adalah sebanyak
RM5.8 bilion. Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.8 bilion disalurkan
kepada Kementerian Kesihatan manakala RM1 bilion disalurkan kepada
MOSTI.

PROSIDING JK PARLIMEN DAN PROGRAM LIBAT URUS BERSAMA AHLI PARLIMEN

Tuan Yang Di-Pertua,

98) Pelaksanaan PICK memperuntukkan suatu perbelanjaan yang besar


kepada negara. Sudah pastinya, jumlah peruntukan sebanyak RM5.8
bilion ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana wang ini telah dan
akan dibelanjakan.

99) Berkenaan perkara ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah
mengadakan prosiding sebanyak dua kali yang mana pada kali
pertama pada 5 Januari yang lalu, Menteri Kesihatan dan saya telah
memberikan keterangan dan sekali lagi pada hari semalam, saya sekali
lagi telahpun memberikan keterangan di hadapan ahli-ahli PAC. Di
dalam prosiding PAC ini, dokumen perjanjian perolehan vaksin serta
butiran perbelanjaan bagi PICK telahpun dibentangkan.

100) Selain daripada PAC, pada hari Jumaat yang lalu juga, MOSTI yang
diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian telah memberikan

26
keterangan di dalam prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan,
Sains dan Inovasi.

101) Bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan PICK, satu taklimat dengan
jemputan kepada semua ahli Parlimen juga telah diadakan pada 22
Mac yang lalu di Dewan Seri Siantan, Putrajaya.

PENUTUP

Tuan Yang Di-Pertua,

102) Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merupakan satu ikhtiar serta


usaha kita keluar daripada keadaan wabak COVID-19 yang telah
mengubah kehidupan kita semua semenjak hampir dua tahun yang lalu.

103) Bagi pihak Kerajaan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada semua ahli masyarakat yang telah bersama-sama tampil
kehadapan untuk memastikan sasaran yang ditetapkan di bawah PICK
dapat mencapai kejayaan.

104) Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan saya kepada petugas


barisan hadapan sama ada petugas kesihatan ataupun bukan kesihatan
yang telah membanting keringat tanpa mengenal penat dan lelah untuk
membantu memastikan vaksin sampai ke lengan penduduk Malaysia.

105) InsyaAllah dengan kerjasama dan solidariti berterusan daripada kita


semua, usaha yang sedang kita jalankan ini mampu mencapai kejayaan
dan seterusnya membolehkan kita untuk keluar daripada masa sukar
ketika ini.

27
106) Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh. Terima kasih.

28

You might also like