You are on page 1of 2

Di Malaysia, golongan orang kurang upaya (OKU) sentiasa mendapat perhatian dan pembelaan daripada

masyarakat dan kerajaan. Bincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk membantu OKU agar
mereka dapat berdikari dan berupaya menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara.

Orang Kurang Upaya (OKU) ialah manusia yang tidak sempurna tubuh badan mereka dan cacat anggota.
Namun begitu, mereka juga merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang mempunyai
perasaan, kebolehan, keterampilan, bakat dan kepintaran dalam pelbagai bidang seperti manusia
normal yang lain. Oleh itu, kita harus memberi layanan yang sopan kepada mereka supaya tidak berasa
tersisih dan mengiktiraf mereka sebagai insan ciptaan Tuhan. Kehadiran golongan OKU dalam
masyarakat sewajarnya dihargai dan diberi keutamaan agar mereka dapat berdikari dan juga berupaya
menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara.

Kerajaan akan menubuhkan pusat pemulihan dalam komuniti bagi OKU. Pusat pemulihan itu akan
dibangunkan sebagai pusat khidmat setempat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif
bagi OKU. Antara perkhidmatan yang disediakan oleh pusat pemulihan tersebut ialah pemeriksaan dan
pengesanan ketidakupayaan, khidmat rujukan, penyebaran maklumat mengenai OKU, serta
perkhidmatan sokongan. Sebagai contoh, Pusat Pemulihan dan Latihan Industri di Bangi telah
menyediakan latihan kepada 703 OKU dalam bidang komputer, mereka bentuk dan membuat pakaian.
Langkah ini meningkatkan kemampuan mereka bekerja dan berdikari, terbuktilah bahawa penubuhan
pusat pemulihan bagi OKU dapat membantu mereka supaya hidup lebih berdikari.

Selain Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, agensi kerajaan yang lain dan Pertubuhan Kebajikan
Sukarela (NGO) pula bergerak aktif dalam perkhidmatan pemulihan bagi OKU. Dalam sektor awam, satu
peratus peluang pekerjaan diperuntukkan kepada OKU menyebabkan pelbagai jenis pekerjaan telah
dijawat oleh golongan OKU iaitu dari peringkat kumpulan sokongan sehinggalah peringkat profesional
dan pakar. Dalam hal ini, Jabatan Tenaga Kerja menggalakkan pihak swasta menyediakan peluang
pekerjaan kepada OKU melalui Jawatankuasa Penggalakan Pengajian Orang Kurang Upaya di sektor
swasta. Pendek kata, penglibatan agensi tertentu dapat meningkatkan semangat OKU agar lebih
berdikari.

Perkhidmatan dan kemudahan turut disediakan kepada OKU untuk membantu mereka menjalani
kehidupan yang normal. Geran Pelancaran telah memberi bantuan kewangan kepada golongan istimewa
ini yang mempunyai minat dan potensi untuk maju bagi menceburi bidang perusahaan atau perniagaan
kecil serta memberi galakan kepada penerima bantuan JKM untuk berdikari dan meningkatkan taraf
hidup mereka. Oleh itu, geran ini membolehkan OKU melancarkan rancangan jayadiri mereka agar dapat
berdikari dengan usaha sendiri. Jelaslah bahawa, kerajaan telah memberi banyak bantuan dan
kemudahan bagi membolehkan golongan OKU menjalani kehidupan normal.

Perkhidmatan kaunseling dan khidmat nasihat juga merupakan satu langkah yang dapat membantu
OKU. Bagi OKU atau keluarga mereka yang menghadapi masalah dari segi emosi, keyakinan diri dan
sebagainya, mereka boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada Pegawai atau Pembantu
Kebajikan Masyarakat. Perkhidmatan yang diberikan dapat memberi sokongan dan dorongan kepada
golongan tersebut agar lebih bersemangat dan tidak berputus asa dalam menjalani kehidupan. Dengan
itu, mereka akan bersikap lebih terbuka dan sanggup menerima nasib mereka atas takdir Tuhan.
Perkhidmatan kaunseling dan nasihat yang diberikan kepada OKU sememangnya dapat membantu
mereka dalam menjalani kehidupan.
Satu lagi langkah adalah dengan melaksanakan pendidikan khas oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas bermasalah
pembelajaran, bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan. Program ini diwujudkan di
sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik atau vokasional yang
menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif. Oleh
itu, golongan tersebut dapat memperoleh pendidikan atau ilmu pengetahuan seperti orang normal.
Mereka juga dapat mempelajari pelbagai kemahiran dan berupaya mendapat prestasi yang lebih baik
berbanding dengan orang normal. Tegasnya, OKU juga dapat memperoleh pendidikan dan kemahiran
agar dapat hidup berdikari.

Akhir sekali, dalam meraikan golongan OKU ini, pihak kerajaan perlu menyediakan infrastruktur yang
mesra OKU supaya mereka mudah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.
Kemudahan seperti tempat duduk OKU, parkir khas OKU dan lif-lif di setiap bangunan sama ada
bangunan awam mahupun bangunan persendirian dapat membantu memudahkan golonan OKU ini
untuk bekerja ataupun memanfaatkan kemudahan awam. Kemudahan awam untuk golongan OKU akan
membantu golongan OKU untuk bergerak tanpa bantuan daripada pihak lain. Jelas di sini infrastruktur
untuk golongan OKU perlu disediakan dalam projek pembangunan negara.

Kesimpulannya, setiap lapisan masyarakat haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam
usaha untuk membangun modal insan OKU. Kita sepatutnya memberi keutamaan dalam melahirkan
sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran sejajar dengan keperluan semasa,
penekanan terhadap bidang pendidikan dan latihan kemahiran. Oleh itu, kita perlu menghormati dan
memberi bantuan kepada OKU kerana mereka juga berupaya dalam memberi sumbangan dalam
pembangunan negara. Aga, pembangunan negara dapat dipergiatkan.

You might also like