You are on page 1of 2

AL FARABI “AL MU’ALIM AT THANI”

Pada masa kini, kita pasti pernah terdengar teori-teori politik berkisarkan tentang
pembangunan negara dan masyarakat yang datang dari pemikir barat. Namun, teori
pembentukan sesebuah negara juga pernah dikemukan oleh seorang ahli falsafah ulung
dalam dunia Islam iaitu Al Farabi.

Al Farabi atau nama penuhnya Abu Nasr Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin
Awzalagh bin Tarkhan Al Farabi dilahirkan pada tahun 874M bersamaan 259H. Beliau
dilahirkan di sebuah tempat yang bernama Wasij di Negeri Farab, Khazakhstan. Bapa Al
Farabi dikatakan berasal dan berbangsa Parsi, manakala ibunya pula berbangsa Turki. Beliau
hidup pada zaman kemunduran kerajaan Abbasiyyah.

Sejak dari Kecil lagi Al Farabi telah menghafaz Al Quran. Beliau turut mempelajari ilmu
agama di Masjid Iqlim di Farab. Beliau menuntut ilmu disitu dalam pelbagai bidang seperti
ilmu hadis, tafsir Al Quran, dan fiqh. Al Farabi turut mempelajari ilmu matematik di Kuttab,
di samping itu beliau turut menekuni ilmu Bahasa Arab dari segi pembacaan dan penulisan.

Kesungguhan dan semangat Al Farabi sangat tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau bukan
sahaja mempelajari ilmu fiqh, malah menekuni ilmu fiqh mazhab Imam Syafie sehingga
mencapai tahap qadhi serta menjadi alin dalam ilmu tersebut. Selain itu, Al Farabi juga
mampu bertutur di dalam pelbagai bahasa. Antaranya ialah Bahasa Arab yang merupakan
Bahasa utama ilmu pada ketika itu, Bahasa Parsi yang merupakan Bahasa bapanya serta
Bahasa Turki yang merupakan Bahasa ibundanya.

Di Samping itu, Al Farabi turut menekuni ilmu-ilmu lain yang pelbagai. Beliau telah
berpindah ke Baghdad untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Di sana
beliau telah bertemu dengan Abu Bisrh Matta bin Yunus Al-Qunnā’ī, seorang ahli falsafah
Kristian berbangsa Syria. Dengan Abu Bishr ini, Al Farabi telah mempelajari mantiq dan
falsafah Yunani. Beliau telah menekuni ilmu falsafah sehingga menjadi pakar di dalam
falsafah sehingga di gelar Al Mu’alim At thani yang bermaksud guru kedua. Gelaran ini
diberikan kepada beliau kerana penguasaan Al Farabi yang amat tinggi dalam mantiq serta
falsafah Aristotle yang turut digelar Al Mu’alim Al awwal atau guru pertama.

Al Farabi merupakan individu terawal daripada kalangan cendikiawan Islam yang membawa
serta menyebarkan ajaran falsafah Plato dan Aristotle ke dalam dunia Islam. Jasanya telah
membawa kepada penguasaan yang luar biasa oleh umat islam dalam falsafah Plato dan
Aristotle seperti yang ditunjukkan oleh ahli falsafah selepas Al Farabi, antaranya ialah Ibnu
sina dan Ibnu Rushd.(Clifford Sawhney, 2004)

Al Farabi turut mempelajari dan menekuni ilmu Bahasa Arab dengan Ibnu Al Siraj sebagai
gurunya. Beliau juga turu menguasai ilmu muzik, Bahasa, perubatan serta matematik.

Al Farabi telah menulis pelbagai karya-karya ilmu pengetahuan. Menurut Dr Shehata Hafiz
Muhammad Ridhwan El Sheikh di dalam buku “ Al Falsafah Al Islamiyah: Baiyna Al Ibda’ Wa
Al Itiba’ “ karya-karya penulisan Al Farabi mencecah bilangan 128 buah buku dalam pelbagai
bidang ilmu pengetahuan. Namun, sayangnya buku-buku karangan Al Farabi yang sampai
pada kita pada hari ini hanya lah sekitar 40 buah buku sahaja. 30 buah daripadanya
merupakan karya berbahasa Arab, 6 buah buku yang telah diterjemahkan ke Bahasa Hebrew
serta dua buah lagi yang sampai pada kita merupakan terjemahan karya Al Farabi di dalam
Bahasa Latin.
Antara contoh karya-karya Al Farabi ialah :

 Bidang Ilmu Mantiq :


o Al-Tawti’ah Fi Al Mantiq
o Al Burhan
o Al Sharaith Al Yaqin
o Shrah Al Maqulat li Arustu
o Al Ibarah Wa At-tahlilat

 Bahagian Syair dan Pidato :


o Sharah Al kitobah li Arustu
o Sharah Al syi’r

 Bahagian Epistemologi :
o Mausu’ah Ihsa’ Al ‘ulum
o Maratib Al ‘ulum

 Bahagian Metafizik dan falsafah :


o Maqalah fi Aghradh Ma Ba’da Al Tobi ’ah
o Risalah Fi Tahqiq Gharadh Arustu Tolis fi Kitab Ma Ba’da Al Tobi ’ah

 Bahagian Fizik : Usul Ilmu Al Tobi ’ah


 Bahagian Muzik : Kitab Al Musiqi Al Kabir
 Bahagian akhlak dan falsafah politik :
o Ara’ Ahl Al Madinah Al Fadhilah
o As siyasah Al Madinah
o Sharah Al Akhlak Ila Naiqumakhus li Arustu
o Kitab Nawamis li Aflatun.

Al Farabi dikatakan tidak pernah berkahwin sepanjang hidupnya. Kesemua masa hidup
beliau dicurahkan untuk mencari khazanah ilmu semata-mata. Beliau telah meninggal dunia
pada ketika umur nya menjangkau 80 tahun pada bulan Rejab 339H bersamaan 950M. Jasad
beliau telah disemadikan di Damsyiq.

Rujukan :

Dr Shehata Muhammad Ridhwan El Shiekh, Al Falsafah Al Islamiyah: Baiyna Al Ibda’ Wa Al


Itiba’, Univerisiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah, Malaysia,
2019.

Clifford Sawhney ,The World’s Greatest Seers & Philosophers Plus the Philospohy of
Bhagavad Gita revealed by Bhagwan Krishna, Pustak Mahal, Delhi, India, 2004.

You might also like