You are on page 1of 2

Zunaidah Zainon

20 Julai 2018 3:03 AM

5.3K

KUALA LUMPUR 19 Julai - Keputusan kerajaan untuk memperkenalkan semula cukai


jualan dan perkhidmatan (SST) 1 September ini me​
nimbulkan pelbagai persoalan
terutama kebimbangan rakyat sama ada harga barang akan meningkat ataupun tidak
setelah rata-rata berpendapat GST sebelum ini adalah membebankan poket pengguna.
Timbalan Presiden, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Saizol Ismail
berkata, pelaksanaan semula SST secara tidak langsung akan mengembalikan semula
trend lama pelarian cukai dan meningkatkan aktiviti dalam pasaran gelap.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu mencari kaedah terbaik untuk menangani
kelemahan SST dan pada masa sama berupaya mengekalkan kadar pematuhan
setelah cukai itu dikuatkuasakan.
“Mengenai trend lari daripada cukai ini, saya ambil contoh, pengilang mengurangkan
kos di peringkat awal supaya cukai SST yang dibayar adalah rendah. Tetapi dalam
masa sama, ia mempunyai syarikat-syarikat lain yang berkaitan antara satu sama lain
dan mengambil kesempatan dengan menaikkan kembali harga barang.
“Dalam perkara ini, kerajaan tidak boleh mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat
itu kerana cukai hanya dikenakan di peringkat pengilang sahaja.
“Dari sudut pasaran gelap pula, dengan adanya GST, mereka lebih cenderung memilih
untuk membeli atau dapatkan produk daripada syarikat yang berdaftar dengan GST.
Dengan ini supaya mereka dapat membuat tuntutan semula yang mampu
mengurangkan kos mereka. Tanpa GST, mereka boleh memberi produk daripada mana-
mana syarikat termasuk seludup daripada pasaran gelap kerana harga produk adalah
murah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurut Saizol yang juga Pengarah Urusan Firma JTB Partners Sdn.
Bhd. dan merupakan perunding cukai profesional (cukai pendapatan dan GST) dengan
pengalaman lebih 13 tahun dalam bidang berkenaan, SST dilihat selesa untuk rakyat
kerana ia tidak melibatkan kos untuk semua produk dan cukai pula hanya dikenakan
kepada produk tertentu.
“SST lebih mudah bagi peniaga kerana ia cukai satu peringkat maknanya pengilang dan
pengimport dan pemberi perkhidmatan mengenakan cukai dan membayarnya kepada
kastam tanpa perlu membuat tuntutan kredit sebagaimana GST sekali gus
mengurangkan beban operasi terutama bagi syarikat kecil yang terlibat.
“GST pula adalah mekanisme yang berjaya membantu kerajaan dari segi hasil dan
proses kutipan cukai juga lebih efisien. Malah, ia juga berupaya meningkatkan kadar
pematuhan dalam kalangan peniaga. Dari sudut cukai, saya melihat kedua-duanya
ditanggung oleh pengguna, cuma rak​
yat kita terlalu fobia dengan istilah cukai baik SST
mahupun GST,” katanya.
Rejim cukai di negara ini akan bertukar sekali lagi 1 September ini bagi menggantikan
GST sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan untuk mengurangkan beban kos sara
hidup rakyat. Kerajaan bercadang untuk mengenakan 10 peratus bagi kadar cukai
jualan dan enam peratus bagi cukai perkhid​
matan.
Secara dasarnya, menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataannya hari ini, SST
merupakan cukai satu peringkat yang secara amnya dikenakan ke atas pihak pengilang
dan bukannya pengguna. Sebaliknya, GST adalah cukai pelbagai peringkat yang
terpaksa dibayar dan dikutip pada setiap peringkat rantaian bekalan.
Malah, katanya, GST merangkumi 60 peratus daripada Bakul Barangan dan
Perkhidmatan CPI (Indeks Harga Pengguna), berbanding SST yang hanya merangkumi
38 peratus daripada Bakul Barangan CPI.
Sebelum pelaksanaan GST pada April 2015, Malaysia telah mengamalkan sistem cukai
SST sejak 1970-an dengan cukai jualan dikenakan kepada pengilang atau pengguna
manakala cukai perkhidmatan pula dikenakan kepada pengguna yang menggunakan
perkhidmatan bercukai.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Axcelasia Inc., Dr. Veerinderjeet Singh berkata,
secara dasarnya tidak ada perbandingan khusus yang boleh dibuat antara SST dan GST
kerana ia perlu mengambil kira kos sebenar, apatah lagi GST melibatkan beberapa
pengecualian.
“Sebagai contoh, kenderaan dijangka lebih mahal dengan adanya SST kerana
mengenakan cukai jualan 10 peratus itu. Sama ada di peringkat pengilang, pemborong
atau peruncit mereka dianggap sebagai pengilang yang melibatkan banyak kos di
peringkat itu. Jadi kita perlu dapatkan kos sebenar dan perbandingan keuntungan,”
katanya.

You might also like