You are on page 1of 28

1.

Pengenalan Pendidikan merupakan salah satu faktor kritikal dalam menghadapi situasi tegang seperti masalah pengganguran. Maka, kemahiran dan pengetahuan boleh dibina melalui proses latihan dan pendidikan. Pendidikan juga dilihat menjadi faktor yang penting dalam membantu sesebuah negara menikmati kelebihan persaingan dan peningkatan ekonomi yang berterusan. Ini kerana melalui pendidikan, tenaga mahir yang kompeten dan berdaya saing dapat dihasilkan dan ia turut memberikan impak positif kepada perkembangan ekonomi negara. Sistem pendidikan negara akan membawa kepada perkembangan ekonomi negara dimana terdapat hubungan yang positif antara pendidikan dan perkembangan ekonomi. Oleh itu, merujuk kepada kehendak tugasan ini akan menerangkan mengenai sistem pendidikan mengikut peringkat zaman hingga terkini seiring dengan perkembangan ekonomi .

2.0

Sistem Pendidikan di Malaysia Pendidikan telah berkembang seiring dengan zaman maka, sistem pendidikan di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu sebelum merdeka, selepas merdeka dan sistem pendidikan semasa. Perkembangan sistem pendidikan sebelum merdeka terbahagi kepada empat peringkat iaitu sebelum kedatangan British, tempoh penjajahan pertama, tempoh penjajahan kedua dan awal kemerdekaan, iaitu sebelum pembentukan gagasan Malaysia. Perkembangan sistem pendidikan selepas merdeka terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap pertama (1963-1965), tahap kedua (1966-1970) dan tahap ketiga (1971-1975). Perkembangan sistem pendidikan semasa pula berlaku selepas tempoh 1975. 2.1 Perkembangan Sistem Pendidikan Sebelum Merdeka Pada peringkat pertama sistem pendidikan sebelum merdeka iaitu sebelum kedatangan British pendidikan pada umumnya merupakan pendidikan yang tidak menekankan soal formal. Penekanan hanyalah kepada pengajaran kitab suci AlQuran, tingkah laku dan akhlak yang baik, pengetahuan dan juga sifat kerohanian.
1

Terdapat juga sebilangan pelajar yang mempelajari pendidikan agama di sekolahsekolah pondok yang ditubuhkan oleh para ulama Islam yang terkenal pada zaman tersebut. Sekolah-sekolah jenis ini masih boleh dilihat sekarang di negerinegeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pada amnya pendidikan tradisi ini mempunyai kurikulum yang terlalu sempit kerana pelajaran adalah terhad kepada teks Al-Quran sahaja. Namun, kelebihan yang boleh diperolehi daripada aspek pengajaran sebegini ialah ia telah berjaya mewujudkan ramai tokoh agama yang bukan sahaja terkenal dalam bidang agama, tetapi juga mempunyai tahap etika yang amat tinggi. Perkembangan sistem pendidikan semasa penjajahan British(1984-1986) pula bermula setelah Francis Light mengambil Pulau Pinang hingga menjelang Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, kerajaan British mula memberi perhatian terhadap pendidikan di negeri-negeri Selat. Blundell(Gabenor negeri Selat) telah mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-sekolah Vernakular Melayu di negerinegeri Selat dengan bantuan kerajaan British. Pada tahun 1856, Blundell dengan bantuan kewangan daripada DYMM Temenggung Johor telah menubuhkan dua buah sekolah Vernakular Melayu di Singapura. Selepas itu, pada tahun 1858 hingga 1863, kerajaan British telah menubuhkan beberapa buah sekolah Melayu di Pulau Pinang dan Melaka. Mata pelajaran-mata pelajaran yang biasa diaplikasikan di sekolah-sekolah Vernakular ialah Bacaan, Mengarang, Ejaan, Menulis, Ilmu Hisab, Latihan Jasmani dan Ilmu Alam. Gerakan bimbingan juga mula dikembangkan di Tanah Melayu ketika ini. Pejabat Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Tanah Melayu Bersekutu mengeluarkan A Guide To Careers In Malaya For Parents, Teachers and Pupils. Buku tersebut mengandungi analisis senarai kerja yang terdapat di dalam perkhidmatan kerajaan. Pada awal kurun ke-20, mata pelajaran Perkebunan dan Anyaman telah ditambah ke dalam kurikulum sekolah. Murid-murid akan memasuki Darjah I

hingga Darjah IV. Selepas itu, hanya sebilangan kecil pelajar sahaja yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Special Malay Class, di mana mereka dapat meneruskan persekolahan di sekolah Inggeris kelak. Sekolah Vernakular Cina yang pertama telah didirikan oleh Persatuan Mubaligh London di negeri Melaka pada tahun 1815, dan kemudiannya di Singapura pada tahun 1819. Pada tahun 1900, dua orang menteri dan pendidik dari negeri China, Kang You Wei dan Liang Qi Chau telah mendirikan sekolah Vernakular Cina dan menggabungkan pengajaran Confucious dengan pengajaran sains Barat. Kurikulum yang diperkenalkan adalah berorientasikan kepada negara China. Sesetengah sekolah dijadikan pusat untuk menyebarkan sentimen anti British. Pentadbiran Inggeris kemudiannya telah mengawal segala aktiviti sekolah dan kurikulumnya menjadi bertambah baik. Perkembangan sekolah Vernakular Tamil bermula semasa perkembangan ladang getah, kelapa sawit, kopi dan gula di Tanah Melayu. Terdapat ramai buruh dari negara India telah diambil untuk bekerja di estet-estet. Pendidikan dalam bahasa Tamil diberi di salah sebuah sekolah cawangan Singapore Free School mulai tahun 1834. Kumpulan-kumpulan mubaligh Kristian banyak memberi sumbangan kepada perkembangan pendidikan formal dalam bahasa Tamil pada peringkat awalnya. Sehingga tahun 1938, terdapat 13 buah sekolah Tamil kerajaan, 511 buah sekolah estet, 23 buah sekolah mubaligh dan 60 buah sekolah Tamil swasta di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Sepertimana sekolah Vernakular Melayu, sekolah-sekolah Vernakular Tamil terhad pada peringkat rendah sahaja dan seperti sekolah-sekolah Cina, kurikulum sekolah-sekolah Tamil berorientasikan negara asal mereka, India. Buku-buku dan tenaga pengajar dibawa dari Sri Lanka dan India. Sementara itu, perkembangan bagi sekolah Inggeris pula bermula apabila pada peringkat awal penubuhannya, kebanyakan sekolah Inggeris didirikan daripada hasil usaha kaum mubaligh Kristian. Pada tahun 1816, Penang Free School telah ditubuhkan dan mempunyai beberapa matlamat seperti berikut:
3

i. ii. iii.

untuk semua bangsa; mendidik supaya berdisiplin, berkelakuan baik dan rajin; ibu bapa yang berkemampuan dikehendaki membayar yuran sekolah dengan kadar berpatutan;

iv.

murid akan belajar membaca dan menulis Bahasa Inggeris dan mempelajari Ilmu Kira-kira;

v. vi. vii.

murid Melayu akan diajar Bahasa Melayu; rancangan yang sama diadakan juga untuk bangsa lain; murid akan diajar tentang pekerjaan seperti pertukangan menjahit dan lain-lain;

viii.

diajar supaya menghormati ibu bapa dan agama Kristian. Pada tahun 1826, Melaka Free Schol ditubuhkan serta disusuli dengan

penubuhan Victoria Insitute pada tahun 1893, Sekolah King Edward VII di Taiping pada tahun 1906. Pada awal kurun ke-20, semua Free School telah diambil alih oleh kerajaan. Pada tahun 1905 pula, sebuah sekolah Melayu iaitu Malay College Kuala Kangsar ditubuhkan khas untuk anak-anak Melayu peringkat atasan. Sementara itu, perkembangan sistem pendidikan untuk tempoh kedua selepas kedatangan British pula bermula dari tempoh 1946-1957. Perkembangan pendidikan terbantut apabila pihak Jepun telah menakluki Tanah Melayu pada tahun 1941 sehingga tahun 1945 iaitu pada Perang Dunia Kedua. Pada zaman ini, kebanyakan sekolah terpaksa ditutup dan hanya sebilangan kecil daripadanya digunakan untuk mengajar bahasa Jepun. Selepas kekalahan pihak Jepun ke atas pihak Inggeris, kurikulum asal telah diaplikasikan semula. Walau bagaimanapun, beberapa laporan cadangan terhadap kurikulum baru telah digubal. Laporan-laporan yang dimaksudkan ialah Laporan Barnes 1951, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Laporan Razak 1956. Di antara cadangan yang telah dikemukakan ialah menuntut kerajaan supaya menyediakan kemudahan-kemudahan pelajaran dan pembelajaran serta
4

menyediakan guru-guru terlatih di sekolah-sekolah. Guru-guru ini merangkumi mereka yang mempunyai rekod penilaian yang baik serta mempunyai etika pengajaran yang boleh dicontohi oleh para pelajar. Sistem pendidikan di Malaysia pada awal kemerdekaan bermula setelah Parti Perikatan merebut 51 daripada 52 kerusi dalam Pilihan Raya Umum pertama di Persekutuan Tanah Melayu.Sistem pendidikan pada zaman ini masih berorientasikan sistem yang telah tercatat di dalam Laporan Razak. Pada tahun 1959, cawangan Universiti Malaya telah ditubuhkan di Kuala Lumpur. Kursuskursus yang ditawarkan ialah Kejuruteraan, Sastera dan Sains. Pada tahun ini juga Laporan Rahman Talib diwujudkan iaitu pada tahun 1960. 2.2 Perkembangan Sistem Pendidikan Selepas Merdeka Perkembangan sistem pendidikan di Malaysia selepas merdeka bermula pada tahun 1963 hingga 1975. Tahap pertamanya(1963-1965) pula menekankan perlaksanaan Akta Pelajaran 1961. Antara yang dilaksanakan dalam tahap pertama ini, termasuklah pemansuhan Peperiksaan Masuk Sekolah

Menengah(1964), penubuhan sistem Pendidikan Aneka Jurusan(1965) dan penubuhan Pusat Latihan Daerah. Tahap kedua(1966-1970) pula dilaksanakan dibawah Rancangan Malaysia Pertama yang digubal untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial yang timbul pada masa itu. Antara yang dilaksanakan dalam tempoh ini termasuklah penubuhan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional, penyelarasan sistem pendidikan melalui Polisi Pendidikan Kebangsaan serta penubuhan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Tahap ketiga(1971-1975) merupakan pengubahsuaian sistem pelajaran dan latihan untuk memenuhi keperluan-keperluan perkembangan ekonomi serta mengeluarkan lebih ramai tenaga kerja mahir bagi melancarkan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Antara yang ditekankan ialah peranan pendidikan dalam

perpaduan(Rancangan Malaysia Kedua), penubuhan Rukun Negara dan Pusat Pengajian Sains. 2.3 Perkembangan Sistem Pendidikan Semasa Dalam jangka waktu ini, ideologi negara bagi sistem pendidikan adalah Rukun Negara dan tumpuannya adalah sejajar dengan pembangunan negara. Aspek yang sangat penting dalam pendidikan iaitu berkaitan dengan etika turut ditekankan dalam Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Aspek ini sering diaplikasikan dalam banyak mata pelajaran yang diajar di sekolah-sekolah bagi mewujudkan para pelajar yang tinggi moral dan etika mereka. Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran ditubuhkan pada bulan September 1974 untuk mengkaji pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan bagi: Mengkaji semula matlamat dan berkesannya sistem pelajaran sekarang, termasuk kurikulumnya, dalam rangka dasar palajaran yang wujud, dengan tujuan untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang

bersatupadu, berdisiplin dan terlatih. (Sumber: Education In Malaysia, 1980) Mengikut Laporan Kabinet pada tahun 1979 bagi peringkat sekolah rendah iaitu kurikulum, kemahiran adalah tertumpu kepada bidang komunikasi, alam sekitar, perkembangan diri yang menekankan aspek 3M dan perkembangan bakat, membantu murid yang lemah serta mengadakan program pengayaan, pengajaran pemulihan diperbaiki lagi dan Kurikulum Baru Sekolah Rendah dicadangkan.

Bagi peringkat sekolah menengah pula, sistem baru bagi pelajaran vokasional, jurusan perdagangan dipertingkatkan, penekanan terhadap mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa, penekanan kepada aktiviti ko-kurikulum, bimbingan dan kaunseling diwujudkan di sekolah serta Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dicadangkan. Pada tahun 1990-an, peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR), Penilaian Menengah Rendah(PMR), Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM) telah diperkenalkan. Selain itu, beberapa akta telah digubal untuk memantapkan sistem pendidikan di negara ini termasuklah: i. Akta Pelajaran 1995 ii. Rang Undang-Undang Pendidikan 1995 iii. Rang Undang-Undang Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 iv. Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej(Pindaan 1996) v. Rang Undang-Undang Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 vi. Rang Undang-Undang Lembaga Akreditasi Negara 1996 Perkembangan terhadap sistem pendidikan berterusan sehingga ke hari ini antaranya termasuklah penubuhan Sekolah BESTARI 1995, Koridor Raya Multimedia 1999, Ujian Bahasa Inggeris(MUET), PSMI 2003, Sekolah Wawasan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006. Perlaksanaan pelbagai program ke arah perkembangan sistem pendidikan ini akan berlanjutan untuk masa-masa yang akan datang. Pelajar-pelajar yang dahagakan ilmu pengetahuan terus meningkat dari setahun ke setahun dalam mendaftarkan diri mereka ke sekolahsekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia. 3.0 Ciri-ciri Pendidikan Malaysia Pendidikan Malaysia terdiri daripada beberapa peringkat iaitu prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan pengajian tinggi.

3.1

Pendidikan prasekolah Sekolah tadika (prasekolah) menerima kemasukan kanak-kanak daripada 4-6 tahun. Pengajian tadika bukan merupakan pengajian wajib dalam Pendidikan Malaysia. Namun begitu penubuhan tadika oleh pihak swasta amat menggalakkan. Setakat ini, sebahagian besar Sekolah Kebangsaan mempunyai kelas prasekolah. Namun kemasukan ke kelas ini dibuka kepada anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah. Pendidikan prasekolah bertujuan untuk menyediakan kanak-kanak dengan asas sosialisasi yang kukuh sebelum mendapatkan pendidikan formal. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) digubal dalam tahun 2003 membolehkan kanakkanak berumur 5 tahun memperoleh asas yang kukuh dalam komunikasi, sosial dan kemahiran-kemahiran lain sebagai persediaan ke sekolah rendah. Semua kelas prasekolah sama ada anjuran Kementerian, agensi kerajaan seperti KEMAS, Jabatan Perpaduan Negara dan kelas-kelas anjuran pihak swasta ketika itu digalakkan menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan. Walaubagaimanapun, Kurikulum Berasaskan Standard bermula tahun 2010tujuannya adalah untuk ekuiti dan kualiti. Di mana ekuiti bermaksud semua murid diberi pendidikan yang sama dan kualiti merujuk kepada bahawa semua murid perlu diberi pendidikan yang berkualiti. Standard Kandungan merupakan pernyataan spesifik tentang perkara yang patut murid tahu dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan. Ia merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard Pembelajaran pula merupakan satu penetapan criteria atau indikator pencapaian dalam bentuk objektif tingkahlaku (behavioural) untuk memastikan pencapaian setiap standard kandungan.

3.2

Sekolah Kebangsaan Bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan. Sekolah Kebangsaan merupakan salah satu jenis sekolah rendah. Pendidikan di peringkat rendah bermula apabila kanak-kanak mencapai umur 7 tahun dan
8

mengambil masa enam tahun. Sebagai sebuah negara yang penduduknya berbilang kaum, pendidikan rendah terdiri daripada dua jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK Cina, dan SJK Tamil). Sekolah Kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar manakala Sekolah Jenis Kebangsaan menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar. Pendidikan peringkat ini merupakan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu dari segi struktur, pendekatan dan bahan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Ini adalah untuk membolehkan perkembangan yang menyeluruh dan sembang dar segi intelek, rohani, emosi dan jasmani kanak-kanak. Kurikulum peringkat rendah dibahagikan kepada dua tahap. Tahap I bermula pada Tahun 1 hingga Tahun 3 yang menekankan penguasaan kemahiran asas 3M serta memupuk nilai dan bakat. Tahap II bermula pada Tahun 4 hingga Tahun 6, penekanan diberi kepada pengukuhan kemahiran asas 3M, pemupukan sikap, nilai dan bakat, penguasaan ilmu serta kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Kemahiran membaca dan menulis dalam Jawi juga diberi penekanan. Di akhir Tahap II murid-murid akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)untuk mentafsir prestasi murid-murid dalam bidang akademik. Walaubagaimanapun, bermula tahun 2011, semua sekolah akan

menggunakan satu kurikulum baru yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum ini akan dijalankan secara berperingkat di seluruh Malaysia bermula tahun 1 2011. Kurikulum ini selaras dengan perkembangan dan permintaan semasa yang menuntut modal insan yang lebih berkualiti sejajar dengan zaman yang serba maju dan canggih kini.

3.3

Sekolah Kluster Sekolah kluster satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.

3.4

Sekolah Jenis Kebangsaan Bahasa Cina atau Bahasa Tamil digunakan sebagai bahasa pengantar. Sekolah Jenis Kebangsaan merupakan salah satu jenis sekolah rendah. Dari tahun 1995 hingga 2000, pengagihan Rancangan Malaysia Ketujuh membahagikan 96.5% kepada Sekolah Kebangsaan yang hanya mempunyai 75% daripada pelajar sekolah rendah. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (21% daripada pelajar sekolah rendah) mendapat 2.4% daripada pengagihan manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (3.6% daripada pelajar sekolah rendah) mendapat 1% daripada pengagihan.

3.5

Sekolah Wawasan Beberapa sekolah awam berkongsi kemudahan yang sama di dalam sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Wawasan. Penubuhan Sekolah Wawasan adalah untuk menggalakkan interaksi yang lebih rapat antara kaum. Akan tetapi, kebanyakan orang Cina dan orang India membantah Sekolah Wawasan kerana mereka percaya bahawa Sekolah Wawasan akan mengehadkan penggunaan bahasa ibunda di sekolah.

3.6

Sekolah Agama Islam Sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama Islam lain merupakan bentuk sekolah asal di Malaysia. Sekolah-sekolah sedemikian masih wujud di Malaysia tetapi bukan sebahagian daripada pelajaran kanak-kanak di kawasan bandar.

10

Pelajar di kawasan luar bandar masih belajar di sekolah-sekolah ini. Oleh sebab keputusan pelajaran di sekolah-sekolah ini tidak diterima oleh kebanyakan universiti di Malaysia, kebanyakan pelajar ini perlu melanjutkan pelajaran ke kawasan seperti Pakistan atau Mesir. 3.7 Sekolah Mubaligh Terdapat juga sekolah mubaligh Kristian. 3.8 Sekolah Bestari Sekolah bestari cuba menerapkan komputer dan teknologi dalam kaedah pembelajaran. 3.9 Sekolah berasrama penuh Sekolah berasrama penuh (SBP) serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) merupakan sekolah menengah perdana yang dikhaskan untuk pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan PMR. 3.10 Pendidikan Peringkat Menengah

Menawarkan program pendidikan yang komprehensif dan berkualiti kepada warganegara Malaysia yang berusia 13 tahun hingga 17 tahun dengan menggunakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

3.10.1

Pendidikan Peringkat Menengah Rendah

Pendidikan peringkat menengah rendah bermula dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan3. Pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang tidak mencapai keputusan memuaskan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah akan menduduki Kelas Peralihan yang bertujuan bagi

11

meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantar di sekolah menengah.

Mulai tahun 2003, pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di ajar menggunakan Bahasa Inggeris sebagai persediaan ke arah persangan global. Mata pelajaran yang diajar di sekolah menengah rendah meliputi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam (pelajar Islam), Pendidikan Moral (pelajar bukan Islam), Matematik, Sains, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup, Pendidikan Seni, Pendidikan Muzik, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Kesihatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Pelajar akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) di akhir persekolahan menengah rendah.

3.10.2

Pendidikan Peringkat Menengah Atas

Bermula di Tingkatan 4 hingga Tingkatan 5 yang menawarkan mata pelajaran pengkhususan kepada pelajar berdasarkan keputusan PMR. Malaysia mengamalkan dasar kenaikan automatik ke tingkatan 4 di mana pelajar boleh menduduki tingkatan 4 tanpa mengambil kira keputusan PMR. Ini bertujuan untuk memastikan pelajar berada dalam sistem pendidikan selama 11 tahun bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran dalam bidang tertentu sebagai persediaan ke alam pekerjaan. Pelajar sekolah menengah boleh mengikuti pelajaran di Sekolah Menengah Akademik, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Agama, Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Sukan.

Berdasarkan pilihan dan kelayakan, pelajar boleh memilih untuk mengikuti pengajian sama ada dalam aliran sastera, sains, teknikal atau agama. Semua pelajar dari sekolah menengah sama ada akademik, teknik, vokasional, agama serta pendidikan khas akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Pensijilan Terbuka.
12

3.10.3

Pendidikan Lepas Menengah

Pelajar Lepasan SPM yang dapat memenuhi syarat tertentu, berpeluang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di Sekolah Kerajaan dan Bantuan Kerajaan. Pada akhir tempoh dua tahun, pelajar akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke Universiti. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang yang memenuhi syarat berpeluang mengikuti program Matrikulasi iaitu program persediaan untuk melayakkan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Perakaunan di Universiti awam. 4.0 Teori Perkembangan Ekonomi Mengikut Adam Smith Secara fitrahnya sesuatu yang hidup akan mengembang dan membesar. Perkembangan dan pertumbuhan berkait rapat dengan faktor masa. Perkembangan dan pertumbuhan juga tidak hanya memakan masa hanya seminit dua, tetapi memakan masa bertahun malah berabad. Contoh yang paling dekat dengan diri kita sendiri. Manusia juga melalui tempoh perkembangan dan pertumbuhan. Perkembangan dari janin, menjadi bayi, kemudian menjadi seorang kanak-kanak seterusnya pula remaja dan dewasa. Itulah dikatakan perkembangan dan pertumbuhan. Pertumbuhan dan perkembangan bukan sahaja berlaku pada diri manusia, malah ekonomi juga mengalami perkara yang sama. Bagaimana ekonomi boleh dikatakan berkembang sedangkan ekonomi tidak memilki jasad dan fizikal secara zahir? Perkembangan ekonomi boleh dilihat melalui perkembangan beberapa perkara yang menjadikan ekonomi juga turut berkembang. Pelbagai teori yang dikemukakan berkaitan perkembangan ekonomi ini. Malah ramai tokoh melahirkan idea-idea mengenai perkembangan dan pertumbuhan ekonomi. Sebenarnya perkembangan ekonomi ini dihasilkan dengan wujudnya beberapa faktor.

13

Seperti contoh tadi, perkembangan manusia berlaku pada setiap manusia. Faktor mendorong berlakunya pertumbuhan terhadap manusia seperti makanan, suasana persekitaran, ginetik dan sebagainya. Begitu juga ekonomi juga memerlukan kepada faktor lain untuk berkembang. Bagi Adam Smith, beliau menyatakan bahawa ekonomi berkembang dengan 3 faktor utama. Faktor perkembangan ekonomi yang pertama ialah faktor pembangunan dalam sesebuah negara. Pembangunan negara akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi. Pembangunan merupakan salah satu proses perkembangan dan pertumbuhan ekonomi. Dengan pembangunan, pasaran ekonomi akan menjadi semakin luas. Pembangunan pula berlaku kerana berlaku pertambahan penduduk di dalam sesebuah negara. Semakin ramai penduduk di sesuatu tempat, maka akan membawa kepada peningkatan pembangunan negara. Negara yang membangun pula akan membawa kepada perkembangan ekonomi. Faktor kedua yang mendorong berlakunya pertumbuhan ekonomi ialah faktor tabungan. Semakin banyak rakyat menabung, semakin banyak pelaburan boleh dijalankan. Kerajaan juga mempunyai banyak sumber kewangan untuk membiayai projek-projek yang membawa kepada pembangunan. Apabila banyak projek-projek pembangunan dibangunkan, maka ekonomi akan terus berkembang dan bertumbuh. Seterusnya pula fakator yang terakhir yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi ialah pengkhususan pekerjaan. Apabila sebuah firma memiliki pekerja yang mahir dan khusus dalam sesuatu bidang, pengeluaran akan menjadi semakin efisyen dan lancar. Bila pengeluaran semakin banyak maka akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat. Pelbagai produk akan dikeluarkan malah produk tersebut menjadi berkualiti kerana dikeluarkan oleh pekerja yang berkemahiran tinggi. Keadaan ini akan meningkatkan pelaburan dan pengeluaran. Pasaran juga akan menjadi semakin luas, perdagangan antarabangsa juga akan berlaku. Import dan eksport semakin meningkat, seterusnya akan meningkatkan tahap perkembangan ekonomi negara tersebut.

14

Inilah teori yang dikemukakan oleh Adam Smith dalam proses perkembangan ekonomi di dalam sesebuah negara. Kesimpulan bagi teori ini ialah peningkatan jumlah penduduk akan membawa kepada peningkatan jumlah tabungan. Jumlah tabungan yang bertambah akan membawa kepada peningkatan jumlah pelaburan yang mampu dilakukan untuk menmbiayai projek-projek pembangunan. Semakin banyak projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan, maka pelaburan keatas projek tersebut juga akan bertambah. Keadaan ini akan membawa kepada perkembangan ekonomi dalam negara tersebut. Teori ini boleh diterima sebagai salah satu teori yang menyatakan mengenai tahap perkembangan dan pertumbuhan ekonomi. 5.0 Pencapaian Pendidikan Prasekolah Pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan Negara hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai sasarannya. Walau bagaimanapun, KPM sentiasa peka dan prihatin kepada perubahan yang berlaku dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan menghasilkan modal insan beracuan sendiri. Pencapaian penyediaan pendidikan (pendidikan prasekolah dan sekolah rendah sahaja dibincangkan bagi kesesuaian tajuk tugasan) dapat diperhatikan seperti di bawah :

I.

Prasekolah Bilangan sekolah KPM yang menawarkan prasekolah bertambah 2,156 (190.6%) daripada 1,131 pada tahun 1992 kepada 3,287 pada tahun 2005. Enrolmen bertambah 259.1 peratus, daripada 26,000 pada tahun 1992 kepada 93,376 pada tahun 2005. Bilangan kelas prasekolah yang disediakan oleh KEMAS adalah sebanyak 8,307, Jabatan Perpaduan Negara 1,500 kelas, Jabatan Agama Islam Negeri 962 kelas, ABIM 788 kelas dan pihak swasta 11,000 kelas. Bagi memastikan kualiti prasekolah yang disediakan, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan diperkenalkan pada tahun 2003 dan diwajibkan penggunaannya di semua prasekolah KPM dan swasta.
15

Perlaksaan Kurikulum Standard Prasekolah bermula pada tahun 2010.

II.

Sekolah Rendah Bilangan sekolah rendah bertambah 773 (11.3%) buah, daripada 6,828 pada tahun 1990 kepada 7,601 pada tahun 2005. Pecahan mengikut lokasi dan jenis sekolah pada tahun 2005: 33.2 peratus sekolah terletak di bandar dan 66.8 peratus di luar bandar. 29.4 peratus SK di bandar dan 70.6 peratus di luar bandar. 49.5 peratus SJKC di bandar dan 50.5 peratus di luar bandar. 32.2 peratus SJKT di bandar dan 67.8 peratus di luar bandar. Bilangan Sekolah Kurang Murid (enrolmen kurang daripada 150) berjumlah 2,529 atau 33.3 peratus daripada jumlah sekolah rendah pada tahun 2005 yang mana 89.4 peratus daripadanya terletak di luar bandar. Enrolmen bertambah 28.2 peratus, daripada 2.45 juta (1990) kepada 3.14 juta (2005). Bilangan guru sekolah rendah bertambah 58.6 peratus, daripada 120,025 (1990) kepada 190,336 (2005).

6.0

Pendidikan dan Pembinaan Modal Insan Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Malahan proses pendidikan merupakan kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna.

Daripada perspektif yang berbeza, bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan progresif bagi menggerakkan kemajuan negara. Jepun dan Korea Selatan adalah dua buah negara yang aset materialnya sangat sedikit, berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan

16

yang mantap dapat membantu memajukan diri dan negara mereka setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Dua belas tahun yang lalu, Gary S. Becker, penerima Hadiah Nobel dalam ekonomi pada tahun 1992 menyatakan bahawa perkara terpenting untuk menarik pelaburan asing bukanlah kerana sesebuah negara itu mempunyai golongan elit atau rakyat yang terpelajar. Faktor yang utama ialah golongan pekerja khususnya yang mempunyai tahap literasi yang tinggi, budaya kerja yang positif dan potensi mendapatkan pengetahuan bagi membentuk kemahiran-kemahiran baru.

Pengaruh ketiga-tiga elemen ini sangat ketara kerana pekerja yang berupaya menerapkan budaya ilmu dan mahir dalam bidangnya adalah mereka yang akan menghasilkan produk berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat luar yang membuat pelaburan. Inilah keputusan pertama yang akan difikirkan dan isu utama yang diberi penekanan oleh pelabur luar negara.

Generasi muda Malaysia pada hari ini memperuntukkan masa yang lebih lama di sekolah iaitu 11.5 tahun. Oleh itu, asas pendidikan formal yang dilaksanakan kini oleh kerajaan sangat memberangsangkan kerana 95 peratus daripada rakyat negara ini celik huruf. Pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan turut mempercepatkan proses pembangunan modal insan kerana rakyat yang terpelajar adalah kunci kepada pembentukan negara maju pada tahun 2020 nanti.

6.1

Modal Insan

Hasrat kerajaan untuk memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah sangat luar biasa dan meyakinkan. Pelaburan dalam modal insan ini dilihat sebagai usaha kerajaan bagi meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan ekonomi serta membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai sistem nilai yang boleh diteladani. Fokus akan diberi kepada galakan dan usaha membina

17

serta membangunkan modal insan yang bersifat holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang teguh.

Terdapat pelbagai definisi mengenai modal insan. Ada yang melihat daripada perspektif ekonomi, sosial dan agama. Para pengkaji di Barat melihat daripada perspektif yang berbeza. Gary S. Becker berpendapat modal insan adalah berkaitan dengan ekonomi masyarakat dan negara kerana individu tidak dapat dipisahkan daripada pengetahuan, kemahiran, kesihatan ataupun nilai. Oleh sebab itulah pendapatan yang tinggi, kesihatan yang baik dan pembentukan nilai dan tabiat yang baik akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan seseorang.

Beliau menekankan dua elemen yang penting sebagai pelaburan masa depan dalam modal insan iaitu pendidikan dan latihan. Bagi beliau, institusi pendidikan seperti sekolah, universiti, kelas komputer, pembelajaran kesihatan dan perbincanganperbincangan mengenai nilai hidup juga dianggap sebagai modal insan ke arah meningkatkan aset insan itu sendiri. Oleh itu modal insan adalah harta terpenting yang ada pada seseorang yang membawa pendapatan kepadanya.

Seorang lagi sarjana yang melihat modal insan daripada perspektif ekonomi ialah Theodore W. Schultz yang memperkenalkan teori modal insan. Beliau berhujah menyatakan bahawa pengetahuan dan kemahiran adalah elemen modal yang terhasil daripada pelaburan yang disengajakan. Contoh yang jelas ialah peningkatan hasil ekonomi di negara-negara Barat adalah kesan positif daripada pelaburan dalam modal insan. Dengan kata lain, wujud hubungan di antara peningkatan pelaburan modal insan dan peningkatan pendapatan pekerja. Selari dengan pandangan Gary S. Becker, Schultz turut bersetuju dengan konsep pelaburan modal insan ini. Jadi, negara-negara maju yang melabur dalam pendidikan, kesihatan dan latihan dalam jangka panjang akan menguatkan struktur ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat mereka.

Manakala negara-negara membangun dan mundur masih mementingkan pelaburan jangka pendek bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat
18

perlindungan dan keselamatan. Definisi modal insan dalam Islam sangat berbeza daripada Barat yang asasnya adalah fahaman kapitalis. Islam mengenal pasti pembangunan sumber manusia sebagai elemen terpenting dalam modal insan kerana sumber yang utama ialah individu. Modal insan tidak seharusnya dilihat dari sudut latihan, kemahiran, kepakaran, profesional, kelebihan maklumat dan sebagainya malah harus mempunyai ciri-ciri pembangunan ke atas insan yang menerapkan sifat-sifat amanah, jujur, berakhlak mulia, progresif, cergas dan bertamadun.

Pendekatan fizikal melalui sesebuah dasar yang memberi fokus terhadap ekonomi tidak akan dapat memaksimumkan pembangunan modal insan. Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang memberi perhatian terhadap membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, strategi seterusnya beralih kepada memberi keutamaan terhadap pembangunan jasmani dan rohani melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang (19911995), (A.Aziz Deraman,2005). Perhatian yang lebih serius terhadap modal insan ini terserlah dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Keseriusan kerajaan terhadap pembangunan modal insan ini diterjemahkan sebanyak RM45.1 bilion yang diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan dan latihan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Sebanyak lapan teras Dasar Pembangunan Modal Insan yang telah digariskan iaitu 1. Melaksanakan penambaikan serta komprehensif terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan. 2. Memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara. Untuk tujuan ini, subjek bahasa Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan. 3. Melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi di antara sekolah luar bandar dan bandar termasuk menggantikan semua sekolah daif bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta

menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar. 4. Mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan majikan.

19

5. Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) yang berkualiti di semua peringkat. 6. Membina masyarakat yang inovatif dengan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh dan memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan. 7. Memperkukuh perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, sistem nilai yang boleh diteladani dan budaya mengutamakan prestasi tinggi serta menghargai tradisi dan warisan. 8. Memperluas dan memperkemas forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan. Permintaan ekonomi terhadap kualiti tenaga buruh dipertingkatkan dengan menambah peratusan kelompok ini yang mempunyai pencapaian pendidikan di peringkat tertiari. Dijangka pada tahun 2010, seramai 12.4 juta tenaga kerja ini diperlukan. Pelaksanaan pembangunan modal insan di peringkat negara akan dijalankan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang akan bertanggungjawab menyediakan lebih banyak peluang pendidikan prasekolah, rendah dan menengah serta pendidikan guru yang berkualiti seterusnya meningkatkan peluang pendidikan tertiari yang berkualiti.

Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Belia dan Sukan akan mengambil tanggungjawab bagi menyediakan program latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga buruh.

Peranan pendidikan sentiasa mendapat perhatian utama oleh kerajaan yang memperuntukkan jumlah yang sangat besar dalam belanjawan tahunan. Justeru, agenda pembangunan sumber manusia perlu diutamakan dalam proses pembangunan sesebuah negara kerana modal insan adalah pemangkin yang bakal mencorak tahap kemajuan dan kemunduran masyarakat dan negara berkenaan.

20

6.2

Kepentingan Modal Insan Dalam Pendidikan

Perkembangan modal insan di Malaysia telah bermula dengan terancang selepas negara mencapai kemerdekaan. Rancangan Lima Tahun yang diperkenalkan oleh kerajaan sentiasa menitikberatkan sumber manusia sebagai tumpuan. Kajian oleh NAFSA (National Association of Foreign Students in America) pada tahun 1985 meletakkan pelajar Malaysia di tangga kedua (32,000 orang) selepas Taiwan (35,000 orang) dari segi bilangan pelajar asing yang menuntut di sana.

Malaysia akan mencapai status negara maju kira-kira 14 tahun yang akan datang. Jangka masa ini akan diisi oleh generasi muda yang berada dalam masyarakat kita yang sedang ghairah meniti perkembangan usia dan mereka inilah akan merasai sepenuhnya nikmat negara maju. Merealisasikan Wawasan 2020 adalah suatu tugas yang penuh kebertanggungjawaban di atas bahu semua pihak khususnya peneraju pendidikan negara. Sembilan cabaran Wawasan 2020 yang sebahagian besarnya berkaitan pembangunan modal insan bermula dengan cabaran membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan berakhir dengan cabaran membentuk masyarakat yang makmur (Mahathir Mohamad,1991).

Melihat cabaran-cabaran ini yang begitu besar, pengisian terhadap sumber utama ialah prasyarat terhadap kemajuan sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan. Abad ke-19 adalah detik yang menyaksikan pelaburan modal insan secara sistematik tidak begitu diutamakan di semua negara. Keperluan terhadap pendidikan, latihan dalam kerja dan semua jenis pelaburan adalah begitu kecil. Perubahan secara radikal yang berlaku pada abad ini telah bermula di Great Britain setelah aplikasi dan pembangunan sains bagi mencipta barangan baru dan kaedah pengeluaran yang lebih cekap. Perubahan demi perubahan berlalu dan merebak ke negara-negara lain dalam masa yang singkat.

Pertumbuhan ekonomi yang sangat pantas pada abad ke-20 boleh dianggap sebagai era modal insan kerana taraf hidup, pembangunan ilmu,
21

kemahiran, kesihatan dan produktiviti telah meningkat di negara-negara yang membuat pelaburan besar dalam pendidikan. Malaysia juga telah membuat pelaburan yang banyak bagi meningkatkan modal insan

Pentingnya modal insan terhadap sesebuah negara boleh dilihat daripada pencapaian Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan dan negara-negara Asean yang pesat membangun. Negara-negara ini tidak mempunyai sumber semula jadi yang banyak bagi membangunkan negara masing-masing tetapi keupayaan mereka ialah mengurus apa yang ada sangat membanggakan. Mereka mempunyai masyarakat yang terlatih, berpendidikan, tenaga kerja yang gigih dan ibu bapa yang berdedikasi.

Pelaburan modal insan akan meningkatkan kebajikan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan. Usaha kerajaan Malaysia melaksanakan program pendidikan kepada seluruh lapisan masyarakat kena pada masanya kerana hasil daripada proses pembelajaran dapat membantu masyarakat berpendapatan rendah mengubah kaedah pemikiran, sikap dan amalan seterusnya menjayakan program kerajaan bagi mengurangkan tahap kemiskinan di kalangan rakyat berpendapatan rendah. Masyarakat yang berpendidikan akan lebih cenderung membuat pelaburan ke atas kesihatan diri dan keluarga. Apatah lagi berkemungkinan pendidikan adalah satu-satunya faktor tunggal yang menentusahkan kesihatan dan jangka hayat. Umpamanya di Amerika Syarikat dan negara-negara yang kaya, tidak ramai golongan terpelajar yang merokok. Tabiat merokok di Amerika Syarikat hanya terhad kebanyakannya kepada mereka yang tidak ada pendidikan dan pelajar sekolah yang tercicir.

Pendidikan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah membantu meningkatkan pengambilan makanan dengan cara melatih mereka untuk memilih makanan yang sihat, bersih dan segar. Secara umum, mereka yang berpendidikan lebih cenderung mengamalkan diet yang lebih baik. Persekitaran ekonomi moden
22

meletakkan pendidikan, latihan dan sumber-sumber ilmu pengetahuan sebagai sangat relevan walaupun dalam jangka masa 50 tahun. Perubahan di antara pendidikan dan tahap pendapatan boleh dilihat di banyak negara. United Kingdom contohnya, 40 tahun yang lepas menyaksikan para graduan memperolehi 40 hingga 50 peratus lebih pendapatan daripada lulusan sekolah tinggi. Mereka yang berpendidikan amat diperlukan di Korea Selatan sejak 20 tahun yang lepas bagi memenuhi keperluan pembangunan negara.

Pendidikan dan latihan bukan sekadar menggalakkan pertumbuhan dan kecekapan ekonomi malah turut mengurangkan ketidaksamaan dan impak ke atas golongan yang tidak berkemampuan. Pendidikan merupakan kaedah paling berkesan kepada orang muda yang datang daripada kelompok miskin untuk meningkatkan tahap ekonomi kerana modal insan merupakan 90 peratus aset berharga untuk mana-mana penduduk sesebuah negara. Jurang pendapatan yang tidak seimbang pada sesebuah negara menjadi lebih besar apabila jurang dalam pendidikan menjadi besar.

Modal insan tidak banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jika mereka yang terlibat tidak dilatih dengan berkesan. Jika sesebuah organisasi tidak cekap, pekerjanya akan mendapat kemahiran yang salah disebabkan insentif yang lemah. Sebagai contoh, sistem pekerjaan yang tidak menggalakkan pekerja terlatih mendapatkan gaji lebih tinggi akan memberi kesan terhadap pelaburan dalam meningkatkan latihan dan kemahiran mereka. Itulah yang berlaku ke atas bekas Kesatuan Soviet dan negara-negara komunis. Mereka mempunyai program pendidikan yang meluas dan menarik tetapi sistem ekonomi kekurangan kakitangan yang terlatih dan berkemahiran. Institusi pendidikan mempunyai tiga peranan utama dalam masyarakat iaitu:

I.

Sosialisasi Sosialisasi adalah proses pembelajaran sosial melalui pelbagai aktiviti seperti berfikir, bertaakul dan bertingkah laku sesuai dengan kehendak masyarakat.
23

Oleh yang demikian kebanyakan negara telah menetapkan tempoh tertentu bagi kanak-kanak untuk melalui proses pendidikan formal. Dalam pada itu, terdapat kanak-kanak yang menghadiri kelas di luar masa persekolahan seperti kelas bahasa, agama, muzik tarian dan seni.

Kepentingan pendidikan adalah jauh melebihi apa yang terdapat di dalam silibus. Sekolah adalah tempat belajar bagaimana untuk bersama dengan orang lain, patuh kepada peraturan, belajar bagaimana untuk belajar, menilai kebolehan diri dan berusaha memenuhi pengharapan masyarakat dan negara. Semua ini dapat menyediakan kehidupan dewasa yang lebih baik dengan meningkatkan keupayaan diri untuk bekerjasama dengan orang lain.

II.

Menyediakan tenaga kerja Sekolah dan institusi pendidikan turut mengajar pengetahuan dan kemahiran yang sangat berguna bagi pasaran kerja. Memandangkan gaji adalah sangat penting, persediaan ke arah prospek kerjaya yang baik sangat penting. Jika dahulu proses pemilihan kerjaya sebahagiannya ditentukan oleh keluarga, pada hari ini keputusan terhadap masa depan pelajar lebih banyak ditentukan oleh sekolah, institusi dan dasar kerajaan. Terdapat beberapa sebab kenapa hal ini wajar berlaku. Pertama ialah bertambahnya pengkhususan terhadap ilmu dan kemahiran yang memerlukan tumpuan. Kedua ialah kebanyakan pekerja dewasa bekerja di luar kawasan kediaman yang kadangkala tidak diketahui oleh anak-anak. Keadaan ini meyebabkan anak-anak mereka tidak dapat memerhati dengan dekat jenis kemahiran yang ada pada ibu bapa. Ketiga ialah peningkatan tahap kelayakan bagi sesuatu jawatan. Sebahagian besar pekerjaan pada hari ini memerlukan pendidikan peringkat tertiari untuk mendapatkannya.

III.

Promosi integrasi dalam masyarakat Pendidikan adalah kaedah yang sangat penting untuk proses integrasi pelbagai kaum dan latar belakang. Perbezaan budaya memberi pelbagai dimensi
24

terhadap usaha mempromosi integrasi. Pendidikan memberi ruang yang banyak bagi penyuburan nilai-nilai positif, menghormati antara satu sama lain dan kesedaran memberi sumbangan ke arah kesatuan masyarakat.

6.3

Reformasi Pendidikan

Malaysia bersama-sama negara-negara Asean yang lain sedang berhadapan dengan cabaran yang tidak dapat dijangka dan salah satu daripadanya ialah ekonomi pengetahuan (k-ekonomi) iaitu pengumpulan pengetahuan dan menggunakannya secara produktif. Pembangunan ekonomi sangat penting mengambil kira k-ekonomi dan sedang dipergiatkan oleh kerajaan. Kualiti modal insan negara dilihat sebagai penentu utama kejayaan sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Terdapat beberapa usaha yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menjadikan Malaysia sebagai hub untuk pendidikan tinggi seperti menarik kemasukan pelajar-pelajar luar negara, membenarkan universiti luar membuka cawangan, kerjasama pintar di antara universiti tempatan dan luar negara dan penubuhan kampus pengajian oleh beberapa institusi Malaysia di luar negara. Kawalan kualiti ke atas institusi pendidikan tinggi bagi mencapai taraf antarabangsa akan menjadi mantap dengan penubuhan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) nanti.

Pengantarabangsaan universiti adalah satu langkah yang sangat tepat bagi menjadikan Malaysia mempunyai universiti bertaraf global supaya para pensyarah dan penyelidik dapat bekerjasama dengan para akademik daripada luar negara. Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, globalisasi adalah elemen utama bagi mendapatkan tenaga kepakaran dari seluruh dunia untuk memenuhi fakulti-fakulti di universiti dengan tenaga pengajar yang bertaraf dunia. Mereka ini bukan sahaja bertindak sebagai memberi nilai tambah terhadap imej dan kedudukan universiti malah terhadap kerajaan dan organisasi antarabangsa.
25

Pembinaan modal insan melalui pendidikan harus bermula seawal yang boleh dan berbentuk formal supaya sistem yang dilalui oleh seseorang itu akan menghasilkan produk yang sama di semua tempat. Pembentukan nilai bagi hidup seseorang bermula sejak kecil iaitu ketika perkembangan mental dan fizikal sedang pesat berlaku (Siegler & Alibali,2005). Umur kritikal ketika ini ialah tiga hingga lima tahun. Pembentukan mental umpamanya, amat pesat semasa kanakkanak berumur tiga tahun dan masa inilah proses pembelajaran mudah berlaku. Penyerapan maklumat dan informasi amat pantas dan mudah berlaku kerana bagi memenuhi keperluan perkembangan mental tersebut.

Pelaburan bagi membina asas pendidikan prasekolah tidak boleh dipandang mudah begitu sahaja ketika ini kerana penyelidikan dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran prasekolah sangat cepat berubah. Infrastruktur yang sempurna dan tenaga pengajar yang profesional di samping sokongan ibu bapa adalah antara prasyarat yang perlu bagi membentuk warganegara kecil yang mempunyai nilai dan jati diri yang positif.

Hasrat kerajaan untuk menerapkan pendidikan awal sebagai asas melahirkan generasi muda yang lebih hebat dan menjadi modal insan yang berguna kepada negara amat dihargai. Pembangunan pendidikan prasekolah adalah di antara fokus utama dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Sebanyak 1400 tadika baru akan dibina yang melibatkan kos RM450 juta. Tadikatadika yang uzur dan usang akan dibaik pulih dan dinaik taraf supaya para pelajar dapat berada dalam suasana pembelajaran yang lebih sesuai. Bagi membolehkan ia berkembang, modal insan perlu dilaburkan dalam persekitaran yang betul dan berupaya memberi pulangan yang maksimum. Pendidikan awal usia adalah sangat perlu kerana bagi jangka masa panjang, Malaysia memerlukan sebuah masyarakat yang berilmu pengetahuan.

26

7.0

Rumusan Pembangunan ekonomi merupakan teras kepada kejayaan sistem pendidikan negara. Dengan tenaga manusia yang terdidik dan terlatih negara akan lebih mudah menghadapi cabaran yang datang. Sektor pendidikan dan latihan adalah penting bagi memastikan sumber tenaga manusia negara Malaysia dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. Justeru, Malaysia merancang pelan pembangunan pendidikan secara menyeluruh dan bersepadu bagi memastikan kecemerlangan dan kualiti pendidikan bertaraf dunia agar matlamat Wawasan 2020 Malaysia tercapai.

Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat Malaysia mempunyai rasa keyakinan diri, ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokratik, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur, dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamik, tangkas serta mempunyai daya ketahanan. Oleh itu, pendidikan prasekolah memainkan peranan yang paling penting sebagai langkah pertama untuk mencapai hasrat tersebut.

27

Bibliografi

Dr. Jamil Ahmad Universiti Kebangsaan Malaysia dan Norlia Goolamally Open University Malaysia (2008). Pentadbiran dan Pengurusan Sistem Pendidikan Malaysia Ke Arah Pendidikan Berkualiti. www.eprints.oum.edu.my

Sufean Hussin (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia, Teori dan Analisis. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

Said Bin Darkasi (2011). Modul Pengajian Sosial (Diploma Pendidikan Prasekolah) ETD 1123. Universiti Industri Selangor.

www.en.wikipedia.org

www.scribd.com

28

You might also like