You are on page 1of 11

TAJUK : PERUBAHAN IKLIM GLOBAL a) Apakah yang dimaksudkan dengan perubahan iklim ?.

Jawapan: Maksud Perubahan Iklim:


Perubahan iklim merujuk kepada perubahan unsur-unsur iklim seperti suhu, kelembapan, angin, musim dan lain-lain dalam jangka masa panjang iaitu dalam tempoh 100 tahun ke 10,000 tahun. Dalam penggunaan terkini, istilah "perubahan iklim" dirujuk kepada fenomena pemanasan global, Pemanasan global merupakan satu fenomena meningkatnya suhu permukaan baik di atas daratan, lautan, ataupun kombinasi kedua-duanya di seluruh dunia. Dunia semakin hari semakin panas. Menurut Profesor James. G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar USA. Beliau menyatakan bahawa Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4C hingga 0.5C pada setiap 5 tahun bermula tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8C hingga 3.6C.

[ 4 Markah ]

b) Bagaimanakah fenomena perubahan iklim masa kini berlaku ?. Jawapan:

[ 6 Markah ]

Mekanisme Perubahan Iklim (Pemanasan Global). Perubahan iklim dunia berlaku melalui dua mekanisme iaitu; Kesan Rumah Hijau dan Penipisan Lapisan Ozon: 1. Kesan Rumah Hijau (Green House Efect). Mekanisme pemanasan global berpunca daripada pembebasan karbon dioksida

serta gas pemerangkap haba yang lain ke atmosfera yang dikenali sebagai gas rumah hijau Gas ini bertindak sebagai selimut tebal yang memerangkap bahang matahari dan memanaskan bumi. Gas-gas rumah hijau khususnya karbon dioksida bersifat lutsinar kepada sinar lembayung (bahangan matahari) tetapi bersifat menyerap kepada bahangan bumi (bahangan terestrial). Oleh sebab itu ia membenarkan bahangan matahari menembusinya untuk diserap oleh permukaan bumi tetapi menghalang pembebasan bahangan bumi ke angkasa. Kesanya bahangan bumi akan berkitar di dalam ruang atmosfera yang sama yang menyebabkan berlakunya peningkatan suhu. Secara teorinya sekiranya tiada gas-gas rumah hijau di atmosfera, maka suhu di bumi mungkin 33C lebih sejuk daripada suhu hari ini.

2.

Penipisan Lapisan Ozon : Selain daripada kesan rumah hijau, pemanasan global juga disebabkan oleh

fenomena penipisan lapisan ozon. Ozon tertumpu di bawah stratosfera di antara 15 dan 30 km di atas permukaan bumi yang dikenali sebagai 'ozonsfera'. Ozon terdiri daripada tiga molekul oksigen (O3) yang bertindak melindungi permukaan bumi daripada terus ditembusi oleh sinar UV (sinar lembayung) matahari. Ini

kerana ozon secara semulajadi bertindak menyerap, memantul, menapis dan menyerak bahangan matahari sebelum ia tiba ke permukaan bumi. Ancaman terbesar yang menipiskan lapisan ozon adalah pembebasan gas kloroflorokarbon (CFC) buatan manusia ke atmosfera yang menyerang dan memutuskan ikatan kovalen molekul ozon.. CFC digunakan oleh masyarakat moden dengan cara yang tidak terkira banyaknya seperti; dalam peti sejuk, bahan penyembur, bahan pencuci dan pelarut terutamanya bagi kilang-kilang elektronik. Apabila lapisan ozon semakin nipis bermakna input bahangan matahari lebih banyak diterima oleh permukaan bumi dan pada masa yang sama gas-gas rumah hijau pula bertindak menghalang output bahangan bumi keluar ke angkasa. Kombinasi ke dua-dua mekanisme inilah yang menyebabkan fenomena pemanasan global berlaku yang menyaksikan bumi semakin lama semakin panas.

c) Bagaimanakah aktiviti manusia telah menyebabkan berlakunya perubahan iklim masa kini . [ 6 Markah ] Jawapan: Tindakan manusia yang menyebabkan perubahan iklim boleh ditinjau daripada beberapa aspek iaitu:
1. Manusia mengubah sifat fizikal permukaan bumi menerusi aktiviti pembinaan dan pembandaran. Bangunan konkrit dan jalan bertar mengubah kadar albedo permukaan bumi yang menyebabkan bahangan matahari lebih banyak diserap dan disimpan sebagai haba pendam oleh bangunan konkrit dan jalan bertar tersebut. Haba pendam ini akan dibebaskan pada waktu malam sebagai bahangan bumi yang kemudiannya dihalang pula oleh gas-gas rumah hijau. 2. Aktiviti manusia yang membebaskan bahan-bahan pencemaran udara khususnya yang bersifat gas-gas rumah hijau seperti Karbon dioksida, Metana, Nitrus Oksida dan Sulfur oksida menerusi aktiviti perindustrian, pengangkutan dan pembakaran terbuka.

Gas-gas rumah hijau membentuk selimut atmosfera yang mampu memerangkap bahangan bumi daripada dibebaskan ke angkasa. Bahangan bumi yang terperangkap akan dihantar semula ke permukaan bumi menyebabkan suhu permukaan bumi akan meningkat. Di antara aktiviti-aktiviti manusia yang tergolong dalam kategori ini ialah aktiviti pembakaran bahan api fosil misalnya petroleum dan gas asli menerusi perindustrian, kenderaan dan pembakaran terbuka. Aktiviti Pertanian. Penggunaan baja nitrogen yang banyak membawa kepada pembebasan gas pencemar udara (nitrus oksida). Gas ini akan di bawa naik ke udara samada sewaktu proses sejatan atau sewaktu pelepasan bahangan bumi ke ruang atmosfera, seterusnya bergabung dengan gas rumah hijau yang lain membentuk selimut atmosfera.

Peningkatan gas-gas rumah hijau yang begitu ketara di dalam atmosfera global dikesan sejak penghujung kurun ke 19 lagi. Berdasarkan rekod pencerapan iklim dunia yang dibuat menunjukkan kepekatan gas karbon dioksida ini meningkat sebanyak 17% setahun semenjak tahun 1960.

3. Aktiviti manusia yang membebaskan gas Kloroflorokarbon (CFC) dan gas Halon yang mampu menipiskan lapisan ozon. Di antara aktiviti manusia dalam konteks ini ialah:

Penggunaan alat penghawa dingin dan peti sejuk. Gas yang terhasil khususnya gas CFC, ia sangat aktif apabila bertindakbalas dengan molekul ozon untuk memutuskan ikatan kovalen molekul ozon lalu menghakis dan menipiskan lapisan ozon tersebut. Penggunaan bahan pencuci dan pelarut seperti bahan pencuci untuk peralatan elektrik dan elektronik, mikrocip yang menggunakan CFC dlm bentuk cecair. Penggunaan alat penyembur seperti aeorosol, pewangi, alat pemadam api dll. Perindustrian. Pembebasan asap yang mengandungi gas-gas berbahaya seperti CFC yang juga akan menipiskan lapisan ozon.

4. Aktiviti penyahutanan. Hutan sebenarnya berfungsi menyerap dan menyimpan karbon dioksida dunia. Tetapi penebangan hutan yang berleluasa turut menyumbang kepada peningkatan karbon dioksida dalam atmosfera. Pembersihan hutan menyumbang kepada pembebasan sebanyak 25% karbon dioksida di atmosfera menerusi pembakaran dan pemotongan kira-kira 34 juta ekar hutan setiap tahun. Kehilangan jutaan ekar hutan hujan pada hari ini adalah hampir sama dengan saiz negara Italy. Kemusnahan hutan tropika sahaja telah menyebabkan pembebasan beratus juta tan karbon dioksida ke atmosfera setiap tahun. Lebihan karbon dioksida ini menyebabkan dunia menjadi semakin panas.

d) Jelaskan kesan perubahan iklim ke atas persekitaran fizikal global. [10 Markah ] Jawapan: Kesan perubahan iklim ke atas persekitaran fizikal global 1.
Pencairan ais kutub

a) Kutub Utara (Artik) : Bulatan Artik terletak di Kutub Utara meliputi lautan Artik, Greenland, Pulau Baffin dan pulau-pulau kecil utara. Berdasarkan data IPPC daripada tahun 1983-2003, didapati pola pemanasan permukaan di Artik adalah lapan kali lebih tinggi berbanding pola yang berlaku pada 100 tahun yang lalu. Ini menyebabkan pencairan lautan ais di artik meningkat daripada 10 kepada 17 kali ganda. Didapati isipadu ais di Artik telah berkurangan sebanyak 40% pada abad ini akibat peningkatan suhu yang begitu ketara di Artik. IPPC juga meramalkan ais di kutub (Artik) akan menipis sehingga 60% jika peratus karbon dioksida ( CO2) di atmosfera meningkat dua kali ganda dari sekarang. Hal ini dijangka akan berlaku menjelang tahun 2050 sekiranya tiada sebarang tindakan atau langkah-langkah yang diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk mengcegahnya daripada berterusan.

b) Kutub Selatan (Benua Antartika). Antartika terletak di kutub Selatan. Benua ini mengandungi tujuh juta kubik batu persegi ais yang mewakili 90% ais di bumi. Antartika adalah seluas saiz Amerika Syarikat dan Mexico apabila digabungkan. Ia mewakili 70% daripada air tawar dunia. Jika bahagian baratnya cair, aras laut dunia boleh meningkat setinggi 15-20 kaki. Manakala aras laut akan meningkat 200 kaki jika bahagian timurnya cair. Melalui pemerhatian saintis, didapati bongkah ais mega terbentuk dari Larsen ice shelf di semenanjung Antartika dan berlaku pencairan ais pada skala besar di bahagian utara ice shelf ini. Berdasarkan laporan oleh British Antartic Survey (BAS), suhu di semenanjung Antartika meningkat 0.5C setiap dekad sejak 1947. Pada tahun 2002, sebuah seksyen gergasi Kepingan Ais Larsen B di Semenanjung Antartik runtuh dan tenggelam ke dalam lautan. Ia berlaku dalam jangkaan masa 25 hari, melibatkan 1,255 batu persegi iaitu satu kawasan di mana lebih besar daripada Pulau Rhode. Dirakam daripada angkasa menggunakan pelbagai peralatan pengorbitan, gambar tersebut mengilustrasikan perubahan dramatik yang berlaku akibat perubahan iklim. 2. Peningkatan Aras Laut. Kesan yang paling dibimbangkan oleh saintis pada abad ke 21 ini akibat impak pencairan ais kutub ialah kenaikan aras laut .Ahli sains meramalkan keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas 2099. Litupan ais Greenland mungkin juga akan cair sepenuhnya. Satu lagi yang dijangka mengalami nasib yang sama ialah litupan ais Antartika Barat. Jika ia terus mencair, paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter. Ini akan menggelamkan negara-negara yang rendah seperti Belanda dan Bangladesh serta negara-negara kepulauan mungkin lenyap dari peta dunia. Sebagai contoh, aras laut kini dijangka meningkat 15 cm pada tahun 2050 dan 34 cm pada tahun 2100. Para saintis meramalkan jika kadar kenaikan aras laut kini berterusan ia boleh meneggelamkan kira-kira 2,000 buah pulau di Indonesia menjelang tahun 2030. Pada masa ini pun kawasan-kawasan dan bandar-bandar tepi laut seperti New York dan Rotterdam sudah mula mengalami kenaikan aras laut. Negara Belanda misalnya berada di bawah aras 10 meter dari laut dan mereka terpaksa mengatasi masalah itu dengan pembinaan benteng Negara-negara pulau (island states) seperti Vanuatu telah kehilangan beberapa pulau-pulau kecil akibat kenaikan aras laut yang berpunca daripada pencairan ais kutub.

3.

Fenomena Penggurunan (Desertification)

Penggurunan adalah proses degradasi di tanah gersang, semi-gersang dan kawasan kering subtropika. Proses degradasi ini akan menyebabkan saiz kawasan gurun semakin membesar. Penggurunan terhasil daripada kombinasi pelbagai faktor termasuk variasi iklim (pemanasan global) dan juga aktiviti manusia khususnya yang berkaitan dengan penyahutanan, pertanian dan penternakan di kawasan pinggir gurun Perubahan iklim yang drastik menerusi fenomena pemanasan global menyebabkan kekeringan yang berpanjangan. Kadar sejatan melebihi kerpasan (imbangan air negatif) berlaku di kawasan sub gurun. Keadaan yang kering kontang ini memudahkan proses layangan angin berlaku melampaui sempadan gurun. Lama kelamaan kawasan gurun semakin meluas. Sebagai contoh proses penggurunan di Nigeria Utara terus melebar hingga 10 km setiap tahun dan fenomena ini menjejaskan hampir 35 juta orang penduduknya. Di Morocco, lebih kurang 93% wilayah gersangnya sedang menghadapi resiko penggurunan yang ketara. Manakala lebih daripada 2.6 juta kilometer persegi padang pasir di negara China sedang menghadapi masalah penggurunan yang kritikal.

4.

Kemarau dan Banjir El Nino dan La-Nina

Selain itu senario pemanasan global turut menggiatkan kesan El Nino dan La Nina, terutama membabitkan kejadian kemarau dan banjir. Dalam tempoh 50 tahun mutakhir ini telah terjadi 23 kali fenomena El Nino dan 15 kali fenomena La Nina.. El Nino sendiri terjadi dengan selang masa antara 3 hingga 7 tahun sekali. El Nino akan mengakibatkan sesetengah tempat mengalami kemarau manakala La Nina menyebabkan sesetengah tempat lagi mengalami banjir. El Nino dicirikan dengan naiknya suhu permukaan laut (warm phase) sedangkan La Nina mempunyai ciri yang berlawanan iaitu turunnya suhu permukaan air laut (cold phase) di kawasan lautan Pasifik Khatulistiwa. Kejadian El Nino adalah peristiwa semula jadi akibat kenaikan suhu arus lautan Pasifik yang didorong oleh fenomena pemanasan global. Apabila suhu laut meningkat, proses pembuakan akan terjadi yang menyebabkan tekanan udara di laut menjadi rendah. Keadaan ini akan melemahkan tiupan angin dari laut ke darat yang menyebabkan daratan tidak menerima hujan. Kesannya bahagian daratan mengalami tempoh kemarau yang panjang. Kejadian La Nina pula merujuk kepada perubahan cuaca dari panas kepada sejuk yang menyebabkan hujan lebat dan banjir. Ia berlawanan dengan El Nino. Pada kebiasannya La Nina berlaku selepas El-Nino terjadi. Fenomena ini berlaku disebabkan tekanan atmosfera permukaan di lautan Pasifik Barat telah menurun yang menyebabkan pembentukan awan yang lebih banyak dan seterusnya membawa hujan lebat, angin kencang (taufan) dan juga bencana banjir.

5.

Kemusnahan Ekosistem.

Pemanasan global boleh mencairkan ais kutub yang akan meningkatkan aras laut. Hal ini menyebabkan penghakisan pesisir pantai, pemusnahan hutan paya bakau dan terumbu karang Impak pemanasan global terhadap ekosistem boleh ditinjau daripada pelbagai aspek seperti kesan ke atas ekosistem hutan, ekosistem akuatik (laut, muara, paya bakau) dan lain-lain. Misalnya peningkatan aras laut mampu menghasilkan gelombang/ombak besar yang mengancam garis pantai dan memusnahkan zon penampan paya bakau dan paya laut yang menjadi habitat asli bagi pelbagai spesis ekosistem muara. Akibat pemanasan global hutan paya bakau mengalami kemusnahan menerusi dua cara. Pertama kebanjiran air laut hasil peningkatan ombak dan ke dua proses sejatan yang terlalu cepat yang mengeringkan kandungan air paya apabila suhu dunia meningkat. Ke dua-dua cara ini akan memusnahkan habitat paya bakau, rantaian makanan dan kepelbagaian biologi (biodiversiti) di dalamnya yang terkenal dengan hidupan dua alam. Selain hutan bakau, pemanasan global juga boleh memusnahkan ekosistem tanah bencah (wetland) seperti paya gambut, paya gelam dan paya air tawar yang lain apabila air paya tersebut mengering. Kesan buruk paling ketara daripada pengeringan itu dapat dilihat dengan jelas pada paya gambut. Pengeringan ini menyebabkan lebih banyak karbon dari paya gambut terbebas ke udara dan lebihan karbon dioksida yang seterusnya memburukkan lagi masalah pemanasan global.

e ) Jelaskan kesan perubahan iklim global ke atas persekitaran manusia [ 8 Markah ] 1) Bencana Alam dan Kerosakan Fizikal.
Suhu bumi yang kian meningkat mengakibatkan kehidupan manusia menghadapi satu ancaman besar berikutan berlakunya bencana alam yang lebih kerap dalam tempoh yang singkat. Bencana banjir dan ribut taufandalam tempoh La Nina misalnya akan merosakkan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, jambatan dan bangunan serta rumah-rumah kediaman. Rangkaian dan akses telekomunikasi juga turut terjejas. Keadaan ini memerlukan kos yang tinggi untuk membaikpulihnya. Dengan 9% daripada kawasan daratan di Malaysia terdedah kepada bencana banjir, maka sejumlah 2.7 juta masyarakat negara ini yang mendiami kawasan dataran banjir akan menjadi mangsa. Contoh terbaik adalah kejadian bencana banjir yang melanda Johor, pada Januari 2007 telah memusnahkan banyak rangkaian jalan raya dan perhubungan negeri Johor, melumpuhkan kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat setempat seterusnya mengakibatkan kemusnahan yang besar.

2)

Impak Ekonomi

Kesan pemanasan global sudah pasti memberi impak kepada ekonomi dunia. Bencana kemarau yang panjang akan menjejaskan pengeluaran tanaman makanan dunia khususnya padi dan gandum. Ini membawa kepada krisis bekalan makanan dan menjejaskan kelestarian hidup penduduk. Perubahan cuaca bumi akan menyebabkan perubahan dalam kandungan kelembapan tanah yang seterusnya akan membantutkan tumbesaran tanaman. Pengeluaran makanan di negaranegara Afrika, Korea Utara, China dan India terjejas teruk. Ini menambahkan lagi derita penduduk daripada segi kebuluran dan kelaparan. Laporan dari Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO) menyatakan bahawa kemarau dan bahang panas di Asia, China, Sudan, Mozambique dan Uruguay telah menimbulkan masalah kekurangan bekalan makanan ruji pada setiap tahun. Begitu juga di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan India. Mengikut FAO krisis makanan global boleh mengancam usaha badan dunia itu, khususnya dalam kempen memerangi kelaparan dan kemiskinan sejagat. Ada kira-kira 854 juta penduduk dunia yang kelaparan dan bilangan itu bertambah empat juta orang, setiap tahun. Menurut Laporan Stern seorang pakar ekonomi Britain (2006), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan merosot sebanyak 5% setahun akibat pemanasan global ini. Jika risiko dan impak diperluaskan definisinya merangkumi kerugian masa, harta benda perseorangan dan pengembelengan sumber, maka kerugian dalam KDNK menjangkau 20% atau lebih.

3)

Impak Sosial Menjejaskan Kesihatan Penduduk.

Kesan perubahan iklim dan pemanasan global turut mengancam keselamatan dan kesihatan manusia. Menurut WHO, tekanan cuaca panas mengakibatkan penduduk terdedah kepada penyakit katarak dan kanser kulit. Malah, perubahan cuaca yang ekstrem kesan daripada perubahan iklim menyebabkan pertambahan kes wabak penyakit yang berpunca daripada haiwan pembawa ataupun vektor seperti malaria dan denggi. Pada tahun 2009, cuaca panas telah mempercepatkan lagi penularan penyakit H1N1 khsusunya di rantau Asia Pasifik.

Perubahan suhu bumi turut menyebabkan gelombang haba (heatwave) di beberapa tempat dan ini mengakibatkan penduduk terutamanya warga tua mudah mengalami strike haba (heatstroke) yang boleh mengakibatkan kematian. Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 dan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk.

4)

Krisis Kemanusiaan.

Perubahan iklim telah mengakibatkan dua kemungkinan boleh berlaku iaitu samada banjir atau kemarau . Kedua-dua jenis bencana alam yang berlaku ini sudah pasti mengundang krisis kemanusiaan yang serius. Kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, krisis makanan dan tempat tinggal serta kehilangan mata pencarian yang secara tidak langsung memberi kesan psikologi kepada penduduk dunia. Pada Jun 2007, Bank Dunia dalam laporan perubahan cuaca menyatakan peningkatan suhu global menyebabkan kemarau berpanjangan sehingga menjejaskan dengan teruk kumpulan negaranegara miskin. Krisis kebuluran dan kelaparan yang dialami oleh kumpulan negara-negara Afrika menjadi bertambah serius terutama sekali di Darfur, Sudan. Di samping itu fenomena kemarau juga menyebabkan kekurangan sumber air bersih untuk kegunaan isi rumah, sektor pertanian dan industri. Bank Dunia juga meramalkan, pada 2020 hampir 75 juta hingga 250 juta penduduk Afrika akan mengalami kekurangan sumber air bersih yang akan mempercepatkan merebaknya pelbagai jenis penyakit yang boleh membawa maut. Manakala penduduk di kota-kota besar di Asia pula akan berisiko dilanda banjir besar. Kedua-dua bencana alam ini boleh membawa krisis kemanusiaan yang amat serius. Di Eropah pula akan dilanda perubahan cuaca yang melampau seperti kekerapan ribut salji. Manakala di Amerika Utara, gelombang panas yang semakin lama dan menyengat sehingga perebutan sumber air menjadi semakin tinggi yang mampu menjejaskan kualiti hidup penduduknya.

e) Jelaskan langkah untuk mengurangkan fenomena perubahan iklim global masa kini. [ 7 Markah ]

1.
a)

Langkah Perundangan : Kerjasama Antara Bangsa Menangani


Protokol Montreal

Perubahan Iklim Global.

Protokol Montreal ialah satu ketetapan standard mengenai pengurangan pengeluaran gas kloroflorokarbon yang dikenalpasti menyebabkan penipisan lapisan ozon. Ia telah dikeluarkan pada 16 september 1987 di Ibu Pejabat International Civil Aviation Organization di Montreal. Protokol Motreal menetapkan bahawa pengeluaran dan penggunaan barangan yang boleh menyebabkan penipisan ozon di stratosfera adalah korofluorokarbon (CFCs), halon, karbon tetraklorida, and metil kloroform akan dikurangkan menjelang tahun 2000. Pada dasarnya Protokol Montreal telah dipersetujui bersama oleh 24 buah negara termasuk EEC (European Economic Community) yang menjadi penyumbang utama pelepasan gas CFC ke atmosfera.

b)

Protokol Kyoto

Nama rasmi protokol ini ialah '"Kyoto Protocol to the United Nations Framework Convention on Climate Change (Protokol Kyoto dalam Persidangan Rangka Kerja PBB tentang Perubahan Iklim). Protokol ini telah dibentangkan di Kyoto, Jepun pada Disember 1997 dan mula berkuat kuasa pada 16 Februari 2005. Protokol Kyoto merupakan persetujuan sejagat untuk mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida dan lima gas rumah hijau yang lain atau negara-negara terlibat bekerjasama dalam perdagangan kontrak pembebasan gas jika mereka menjaga jumlah atau menambah pembebasan gas-gas tersebut, yang menjadi punca gejala pemanasan global. Jika berjaya dilaksanakan, Protokol Kyoto berupaya menurunkan kenaikan suhu global antara 0.02 C dan 0.28 C setahun sehingga tahun 2050. Di bawah Protokol Kyoto negara-negara perindustrian pada dasarnya bersetuju bahawa mereka akan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau mereka secara kolektif sebesar 5.2%. Enam gas rumah hijau itu ialah karbon dioksida, metana, nitrus oksida, sulfur heksafluorida, kloroflurokarbon/CFC, dan perfluorokarbon/PFC. Manakala tahap pengurangan pembebasan gas rumah kaca mengikut zon pula diperkirakan 8% untuk Eropah, 7% untuk Amerika Syarikat, 6% untuk Jepun, 0% untuk Rusia, dan penambahan yang diizinkan sehingga 8% untuk Australia dan 10% untuk Britain.

c) Persidangan Perubahan Denmark, Tahun 2009

Iklim

Dunia,

di

Copenhagen,

Protokol Kyoto dianggap gagal mendapatkan sokongan global dengan beberapa negara utama pengeluar karbon seperti China, Amerika Syarikat, India, Australia dan Britain tidak bersetuju menandatanganinya. Tanpa penyertaan negara terbabit secara struktural, pencapaian Protokol Kyoto hdala tidak bermakna. Satu kesepakatan baru perlu dicapai bagi menggantikan Protokol Kyoto. Justeru itu Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dilangsungkan di Copenhagen, Denmark, mulai 7 hingga 18 Disember 2009. Persidangan Copenhagen mengakui bahawa perubahan iklim adalah salah satu cabaran tergetir pada masa kini, oleh itu tindakan harus diambil untuk memastikan kenaikan suhu dunia tidak melebihi 2 C. Persidangan ini bertujuan untuk mendapatkan persetujuan mengenai komitmen negara kaya dan negara membangun berhubung had pelepasan gas karbon dioksida (CO2), selain komitmen bantuan dana di kalangan negara maju terhadap negara membangun dalam mengurangkan pembebasan CO2 itu. Justeru itu semua pemimpin dunia perlu mencapai persetujuan sebulat suara untuk merealisasikan semua keputusan menjadi perjanjian, lantas mengikat semua negara mematuhinya bagi mengelak impak yang lebih buruk ke atas iklim global.

Di antara cadangan untuk mengurangkan pembebasan gas Karbon Dioksida Mengikut Kawasan Dalam Copenhagen Agreement ialah seperti berikut:

Kawasan Jepun EU Rusia Afrika Selatan New Zealand Australia Kanada Amerika Syarikat Brazil

Peratus Pengurangan Karbon Dioksida Yang dicadangkan (1990 2020 ) 25% 20 hingga 30% 20 hingga 25% 18% 10 hingga 20% 4 hingga 24% 3% 1.3% +5 hingga 1.8%

2.

Langkah Bukan Perundangan: Pengurusan Strategik Menangani

Perubahan Iklim Global (a) Pendekatan Mitigasi. Pendekatan mitigasi adalah langkah-langkah yang diambil bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana. Di antara langkah-langkah mitigasi ialah:
Meningkatkan bekalan dan penggunaan bahan api alternatif seperti tenaga yang boleh diperbaharu (RE- renewable energy).Antaranya seperti tenaga hidroelektrik, tenaga solar (sistem hibrid suria) tenaga ombak, tenaga dari kincir angin dan biomass. Selain itu menggalakkan projek RE yang menggunakan sisa pepejal sebagai tenaga baru mengaplikasikan teknologi insenerator. Menggalakkan kecekapan penggunaan tenaga (energy efficiency) di sektor perindustrian, bangunan-bangunan dan juga sektor pengangkutan. Misalnya menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam seperti KOMUTER, LRT dan ERL, penggunaan petrol tanpa plumbum dll.

(b) Pendekatan Adaptasi. Pendekatan adaptasi ialah langkah-langkah yang diambil bagi menyesuaikan kesan perubahan iklim kepada manusia dan alam sekitar. Antaranya seperti:
Melindungi kawasan hutan melalui pengurusan hutan secara lestari bagi memastikan kawasan hutan ini terus kekal menjadi penyerap atau sink kepada gas rumah hijau iaitu karbon dioksida. Umpamanya mewartakan hutan simpan kekal dan projek perladangan hutan/tanam semula hutan. Amalan pembangunan lestari. Mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka sebaliknya menjalankan aktiviti kitar semula, amalan tebang reput dalam pertanian disamping penggunaan produk yang mesra alam.

3.
a)

Langkah Bukan Perundangan: Kempen Kesedaran dan Pendidikan


Kempen EARTH HOURS

Alam Sekitar.

Kempen ini mula dilaksanakan di peringkat global pada tahun 2009. Earth Hour mengajak penduduk seluruh dunia untuk bergelap selama satu jam dengan memadamkan semua lampu yang menggunakan tenaga elektrik tepat pukul 8.30 malam waktu tempatan. Tujuan utama Earth Hour ialah bagi menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai perlunya satu tindakan proaktif bagi menangani isu pemanasan global. Sasaran kempen ini ialah mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus, sekali gus mengawal fenomena pemanasan global

b)

Kempen-Kempen Lain.

Di samping earth hours, kempen kesedaran awam bagi mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau. juga boleh dijalankan. Antaranya ialah:
Kempen mengelakkan pembaziran. Kempen dan amalan penjimatan penggunaan tenaga di rumah dan di pejabat, memadamkan lampu dan alat-alat elektronik seperti televisyen, komputer dan alat pencetak yang tidak mustahak. Kempen Mengamalkan kitar semula. Dalam pengurusan sisa pepejal, sentiasa menggunakan prinsip 3R, iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna semula) dan Recycle (Kitar semula). Asingkan bahan boleh dikitar semula daripada sampah-sarap yang lain supaya sisa pepejal perlu dihantar ke tempat pembuangan demi mengelakkan pembakaran terbuka. Kempen penghijauan persekitaran dengan cara menanam pokok-pokok dipersekitaran rumah atau di taman-taman perumahan khususnya menanam pokok-pokok peneduh untuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida. Kempen menjadi peniaga dan pengguna yang cekap dan bertanggungjawab dengan menggunakan banyak produk yang mesra alam. Kempen menggunakan sistem pengangkutan awam seperti sistem komuter dan LRT atau kempen berkongsi kereta demi mengelakkan penggunaan bahan bakar yang berlebihan. Seterusnya berjalan kaki atau berbasikal ke destinasi yang dekat.

c) Pendidikan Alam Sekitar:


Masyarakat sejagat juga perlu ditanam dengan nilai menghargai dan bersyukur terhadap alam sekitar anugerah tuhan. Pendidikan alam sekitar menjadi wadah utama untuk menanamkan nilainilai murni ini terutamanya melalui matapelajaran Geografi di peringkat sekolah menengah dan universiti. Di samping itu agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu berkerjasama mendidik masyarakat menghargai alam sekitar.

10

11

You might also like