You are on page 1of 2

Pernyataan Profesional Penyataan Sebelum Praktikum

Sebelum menjalani Praktikum Fasa 1 di SK Taman Universiti 4, Skudai, Johor, satu taklimat telah diadakan di DDKA IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor pada 6 Mac 2012 yang dihadiri oleh semua guru pelatih PISMP Semester 5. Semasa taklimat ini, pensyarah pembimbing telah memberikan penerangan tentang praktikum kali pertama ini dan tugasan yang perlu dibuat sepanjang tempoh praktikum selama satu bulan.

Pensyarah pembimbing kemudian mengedarkan beberapa lampiran yang boleh dijadikan panduan kepada kami semasa menjalani praktikum di sekolah masing-masing. Setelah mendengar taklimat yang diberikan, kami diberi peluang untuk menanyakan soalan kepada pensyarah pembimbing.

Saya telah meneliti setiap lampiran yang diberikan. Saya lebih memahami tugasan yang perlu dibuat untuk Praktikum Fasa 1 ini setelah membaca bahagian peranan dan tanggungjawab pelajar. Dalam bahagian ini, semua perkara yang perlu dilakukan telah tercatat termasuklah prosedur-prosedur menghasilkan portfolio.

Sebelum cuti bermula, saya mula membuat persiapan. Saya telah pergi ke sekolah praktikum saya, iaitu SK Taman Universiti 4, Skudai, Johor untuk berjumpa dengan Guru Besar sekolah tersebut. Saya telah memaklumkan kepada beliau bahawa saya dan rakan saya akan menjalani praktikum selama satu bulan di sekolah beliau selepas cuti sekolah. Beliau merupakan seorang yang penyayang dan menerima kedatangan kami dengan tangan terbuka. Pada perjumpaan kali pertama itu, beliau telah menceritakan serba sedikit tentang budaya SK Taman Universiti 4, Skudai, Johor serta memberikan nasihat dan tunjuk ajar tentang cara untuk menjadi seorang guru yang berjaya.

Untuk perjumpaan kedua, kami telah berjumpa dengan Guru Penolong Kanan 1 untuk pengaturan guru pembimbing serta kelas dan jadual waktu yang berkaitan. Kami telah memaklumkan kepada beliau bahawa kami hanya perlu fokus kepada

mata pelajaran major kami, iaitu Matematik untuk Praktikum Fasa 1 ini. Beliau juga seorang yang mesra dan telah mengaturkan dua orang guru pembimbing kepada kami bertiga. Beliau juga menyediakan kepada kami jadual waktu kelas yang dipertanggungjawabkan kepada kami sepanjang tempoh satu bulan berada di SK Taman Universiti 4, Skudai, Johor.

Selain itu, saya telah menyediakan senarai semak yang mengandungi perkara dan maklumat yang perlu dikumpulkan. Saya juga mula menyediakan beberapa soalan temu bual yang akan digunakan untuk mendapatkan maklumat semasa menjalani praktikum. Tidak ketinggalan juga, saya mula menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat portfolio bagi Praktikum Fasa 1.

Setelah membuat persiapan awal, saya berasa lebih yakin untuk menjalani praktikum di SK Taman Universiti 4, Skudai, Johor. Saya berharap dengan persediaan yang dibuat, saya boleh menjalani praktikum dengan lancar di sekolah tersebut. Saya juga berharap Guru Besar dan guru-guru serta murid-murid di sekolah akan mempunyai tanggapan yang baik terhadap saya.

You might also like