You are on page 1of 1

SPM: Wajib lulus BI lahir pelajar bermutu

KUALA LUMPUR 11 Mac - Pelaksanaan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016 mampu melahirkan pelajar berkualiti dalam pelbagai bidang, sekali gus membantu membangunkan negara ke arah negara maju. Tokoh pendidikan, Tan Sri Dr. Rafiah Salim berkata, tindakan tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing di peringkat global. "Rakyat Malaysia disarankan lebih berfikiran terbuka untuk menerima sesuatu perubahan yang positif demi kebaikan negara dan bangsa dan inilah salah satu caranya iaitu menguasai Bahasa Inggeris dengan cekap. "Walaupun sektor ekonomi terutamanya menuntut penguasaan Bahasa Inggeris, namun ini tidak bermakna kita harus mengetepikan kepentingan bahasa kebangsaan. Perlu ada keseimbangan dalam melaksanakan kedua-duanya supaya bahasa kebangsaan tidak diketepikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang berkemungkinan besar Bahasa Inggeris akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus SPM bermula 2016. Sementara itu, tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (gambar) berkata, Penutur Jati merupakan satu program yang efektif kepada guru-guru bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka, sekali gus membantu dalam pembelajaran dan pengajaran kepada pelajar di dalam kelas. "Program ini turut membantu guru yang terlibat mahir sepenuhnya sebelum gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dapat dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130312/pe_01/SPM-Wajib-lulus-BIlahir-pelajar-bermutu#ixzz2O24oIkrN Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like