You are on page 1of 2

Cara menghayati nikmat kemerdekaan Lidah Pengarang

SAMBUTAN Bulan Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-46 sudah pun bermula.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kedua-duanya diadakan untuk memupuk kecintaan dan kesetiaan seluruh rakyat Malaysia kepada negara.

Aktiviti sambutan yang mendedahkan sejarah perjuangan bagi membebaskan negara daripada belenggu penjajahan diharap terus dihayati oleh rakyat terutama generasi muda yang lahir selepas merdeka.

Kesedaran mengenai kesengsaraan hidup semasa dijajah serta kenikmatan hidup, kebebasan dan keamanan di tanah air sekarang, pastinya akan meningkatkan semangat patriotisme rakyat.

Sehubungan itu, amatlah wajar kerajaan saban tahun menjelang 31 Ogos, menganjurkan kedua-dua acara itu di pelbagai peringkat sama ada di peringkat negeri, daerah, mukim, kampung dan tamantaman perumahan.

Sungguhpun begitu, keluhan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir ekoran kurangnya kibaran bendera negara di rumah-rumah dan bangunanbangunan pejabat, sedikit sebanyak mencerminkan tahap kesedaran rakyat dalam erti kata menghayati kemerdekaan negara masih perlu ditingkatkan lagi.

Barangkali ada kalangan masyarakat kita yang malu-malu untuk menegak sebatang bendera di rumah atau premis perniagaan masing-masing dengan anggapan meskipun tidak berbuat demikian, mereka tetap cintakan negara ini.

Tetapi lebih terserlah jika rasa bangga kepada kemerdekaan dan kejayaan negara yang wujud dalam diri setiap rakyat itu diterjemahkan dengan mengibarkan bendera. Cara itu boleh mencerminkan semangat patriotisme.

Harapan kerajaan ialah kesedaran sedemikian wujud di setiap pelosok negara, tanpa mengira ia kawasan bandar mahupun luar bandar, golongan berada ataupun mereka yang kurang berada.

Kesedaran kepada erti nikmat kemerdekaan perlu wujud dalam diri seluruh rakyat tanpa mengira batas politik, agama dan kaum.

Hanya dengan cara itu, pengisian kemerdekaan akan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan sempurna.

Menyelami keperitan hidup semasa negara dijajah pastinya akan menggerakkan rakyat termasuk generasi muda yang mengisi 60 peratus daripada penduduk negara, berusaha gigih menjadikan Malaysia sebagai negara terbilang.

Di tangan merekalah terletaknya tanggungjawab untuk melaksanakan wawasan yang telah dirangka oleh pemimpin-pemimpin negara.

Keupayaan rakyat khususnya generasi pelapis menyediakan kekuatan ilmu dan kemahiran serta kekuatan moral, pengisian kemerdekaan dapat dilakukan dengan sempurna.

Apa yang lebih penting ialah kekuatan yang dimiliki oleh rakyat itu yang disertai dengan tahap kecintaan dan kesetiaan kepada negara yang tinggi, akan menjadi benteng kepada sebarang bentuk penjajahan baru yang kini kelihatan menular.

Mengibarkan Jalur Gemilang, dengan sendiri perasaan dan semangat patriotisme dapat dipupuk kepada individu, ahli keluarga, pemimpin masyarakat dan organisasi untuk memelihara kedaulatan dan martabat bangsa, negara dan agama.

You might also like