You are on page 1of 3

MONDAY, OCTOBER 6, 2008 Congkak

Congkak sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lainlain. Di utara semenanjung congkak dipanggil juga Jongkok.Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu. Papan Congkak

Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah.Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain. Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah". Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak. Cara Bermain

Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam ka

mpung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.

Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.

Perbezaan peraturan Walaupun permainan congkak kelihatan sama dengan permainan lain yang berasaskan lubang dan buah seperti Manchala dan Sungka, terdapat beberapa perbezaan dari segi peraturan. Perbezaan utama ialah semasa permulaan permainan di mana permainan congkak bermula serentak antara kedua-dua pemain. Pengagihan buah dalam permainan congkak juga bergerak mengikut arah jam berbanding dengan permainan lain yang bergerak secara melawan arah jam.

You might also like