You are on page 1of 1

Perkhemahan Pengakap di Sekolah Saya

Pada cuti sekolah baru-baru ini, saya telah menyertai perkhemahan pengakap
yang diadakan di sekolah saya selama dua hari satu malam. Perkhemahan ini telah
disertai oleh 25 orang ahli pengakap dan diiringi oleh 4 orang guru penasihat.

Kira-kira pada pukul 7.30 pagi, kami telah berhimpun di padang sekolah. Ketua
perkhemahan, Cikgu Rosli memberikan taklimat ringkas kepada semua ahli pengakap
dan membahagikan kami kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan tugas. Kami
pasang telinga untuk mendengar arahan beliau.

Mula-mula, kami mendirikan khemah mengikut kumpulan masing-masing. Semua


ahli pengakap berganding bahu untuk melaksanakan tugas yang diarahkan oleh ketua
kumpulan bagai aur dengan tebing. Selepas itu, kami menghadiri ceramah pertolongan
cemas di dewan sekolah. Cikgu Kamar dan beberapa orang ahli pengakap senior
mendemonstrasikan cara-cara memberi pertolongan cemas. Beliau juga mengajar kami
cara-cara membalut luka dengan kain anduh.

Pada waktu tengah hari, kami mengadakan pertandingan memasak. Setiap


kumpulan dikehendaki menyediakan satu hidangan tradisional. Kumpulan saya telah
menyediakan Nasi Goreng Kampung. Walaupun kami hanya berjaya mendapat tempat
ketiga, namun saya berasa sangat gembira kerana dapat mempelajari cara-cara
memasak dan menikmati masakan sendiri walaupun tidak seenak masakan ibu.

Pada sebelah petang, kami berlatih kawad kaki di tengah padang. Semua ahli
pengakap mendengar arahan ketua denga teliti. Kami berkawad kaki dengan penuh
disiplin dan semangat berpasukan. Kemudian, kami mengutip kayu api untuk
menyalakan unggun api di hadapan khemah.

Selepas makan malam, kami duduk mengelilingi unggun api. Setiap kumpulan
mempersembahkan pertunjukan mengikut kreativiti masing-masing. Cikgu Saifudin
turut memetik gitar sambil menyanyi lagu Rasa Sayang. Kami semua berasa gembira
dan terhibur.

Pada keesokan pagi, semua ahli pengakap menjalankan senamrobik di padang.


Selepas bersarapan pagi, kami pun membersihkan tapak perkhemahan dan berkemas
untuk pulang ke rumah. Kami telah mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan
yang berharga hasil daripada perkhemahan ini.

You might also like