You are on page 1of 1

Atlet IPT raih pingat Sukan SEA bakal terima habuan

Putrajaya: Atlet institusi pengajian tinggi (IPT) yang berjaya membawa pulang pingat pada Sukan SEA 2013 di Myanmar bakal menerima insentif kecemerlangan sukan daripada Kementerian Pendidikan sebagai pencetus semangat supaya terus cemerlang dalam bidang berkenaan. Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, peruntukan yang dianggarkan bernilai RM237,000 itu membabitkan RM5,000 bagi pingat emas; RM3,000 untuk pingat perak manakala RM1,500 bagi pingat gangsa. Pada Sukan SEA 2013 yang berakhir kelmarin, sebanyak 24 daripada 43 emas disumbangkan ialah daripada atlet IPT manakala pingat perak 19 daripada 38 pingat. Bagi pingat gangsa, 40 daripada 76 adalah daripada atlet IPT dan jumlah keseluruhan ialah sebanyak 83 daripada 157 pingat yang dibawa pulang disumbangkan atlet IPT, katanya selepas melancarkan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014, semalam. Idris berkata, pemberian insentif berkenaan bukan sahaja sebagai pencetus semangat untuk terus cemerlang dalam bidang sukan tetapi turut menggalakkan lebih ramai lagi atlet IPT untuk berusaha mewakili negara pada masa akan datang. Sebelum ini, kita mensasarkan sebanyak 30 peratus atlet IPT akan menyertai Sukan SEA tetapi kita lihat pembabitan mereka lebih daripada yang disasarkan iaitu sebanyak 32 peratus. Walaupun pembabitan atlet IPT sebanyak 32 peratus, mereka berjaya menyumbangkan kemenangan pingat sebanyak 53 peratus dan ini jelas menunjukkan pentingnya kualiti atlet negara melalui sumbangan daripada IPT, katanya. Idris berkata, insentif kecemerlangan sukan itu tidak hanya tertumpu kepada acara Sukan SEA 2013 tetapi turut membabitkan sukan Komanwel dan sukan Olimpik. Bagi sukan komanwel, sebanyak RM15,000 akan diberikan kepada atlet IPT yang berjaya membawa pingat emas, RM10,000 bagi perak dan RM7,000 gangsa. Untuk Sukan Olimpik, sebanyak RM25,000 insentif untuk pingat emas, RM15,000 perak dan RM10,000 gangsa, katanya. Selain insentif sukan, Idris berkata, pihak universiti turut menyediakan biasiswa sukan kepada atlet IPT masing-masing bagi memastikan mereka terus kekal melanjutkan pengajian di universiti berkenaan. Mengenai SUKIPT 2014, Idris berkata, kejohanan sukan itu akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan pada 3 Februari depan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Menurutnya, acara sukan itu akan berlangsung pada 3 hingga 16 Februari membabitkan peruntukan kira-kira RM3 juta dan mempertandingkan 24 acara dengan jumlah keseluruhan 229 pingat emas.

You might also like