You are on page 1of 4

Peranan Perubatan Forensik Di KKM

KEPERLUAN DAN KEPENTINGAN BEDAH SIASAT SERTA PANDANGAN DARI SUDUT AGAMA

Pengenalan Kepada Perubatan Forensik

Perubatan Forensik adalah satu bidang ilmu yang mengasimilasi fakta, pengetahuan dan kemahiran
perubatan untuk membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes-kes kematian yang melibatkan proses
perundangan (Shahrom, 2001). Cabang ilmu ini dapat membantu pihak yang berkenaan mendapatkan
gambaran sebenar akan perihal kejadian sesuatu jenayah. Ia juga dapat membantu pihak perundangan
dan mahkamah mencapai pertimbangan yang lebih adil kepada penjenayah dan mangsa jenayah
tersebut. Selain itu, maklumat yang diperolehi daripada proses ilmu ini juga boleh digunapakai dalam
urusan-urusan berkaitan takaful dan insurans.

Peranan Perubatan Forensik

Perkhidmatan Perubatan Forensik di Kementerian Kesihatan Malaysia diterajui oleh Institut Perubatan
Forensik Negara (IPFN) yang berpusat di Hospital Kuala Lumpur. Institusi ini yang dipecahkan mengikut
wilayah-wilayah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak berperanan dalam menyediakan
perkhidmatan patologi forensik, klinikal forensik dan juga sains forensik. Perkhidmatan-perkhidmatan
yang disediakan adalah seperti berikut:

1. Patologi Forensik/Pemeriksaan Bedah siasat (Postmortem)

Keadaan di dalam bilik bedah siasat dengan seorang kakitangan sedang menyediakan
kelengkapan yang diperlukan

Pemeriksaan bedah siasat (postmortem) ke atas mayat/jenazah akan dilakukan jika ada
keperluan didasari oleh arahan Polis DiRaja Malaysia. Bedah siasat akan hanya dijalankan sekiranya
pihak berkuasa melalui Pegawai Penyiasat Polis mengeluarkan Borang Polis 61 Permintaan
Pemeriksaan Mayat. Pemeriksaan ini tidak hanya melibatkan pembedahan ke atas mayat/jenazah tetapi
adakalanya hanya melibatkan pemeriksaan luaran mayat/jenazah sahaja (jika tiada keperluan untuk
pembedahan).

Pemeriksaan bedah siasat ini akan dijalankan oleh pegawai-pegawai yang terlatih dalam bidang
Perubatan Forensik. Kebiasaannya semasa pemeriksaan bedah siasat dijalankan, seorang Pakar
Perubatan Forensik akan mengetuai operasi dengan dibantu oleh Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai
Perubatan dan Pembantu Perawatan Kesihatan yang terlatih. Pegawai Penyiasat Polis dan
kakitangannya yang berkenaan juga perlu hadir bersama.

Di antara tujuan pemeriksaan bedah siasat adalah untuk:

mengenalpasti identiti si mati (bangsa, jantina, dsb)
menganggarkan masa kematian
mengenalpasti dan merekodkan keadaan yang membawa kepada kematiannya (kecederaan
pada keadaan fizikalnya)
menentukan sebab kematian dan membantu mengenalpasti cara kematian sama ada akibat
penyakit semulajadi, kemalangan, bunuh diri ataupun dibunuh. mengumpul sampel sebagai bahan bukti
mengenalpasti sama ada terdapat pengaruh dadah atau racun kepada kematiannya
*dipetik daripada Saukko & Knight, 2004Proses pemeriksaan bedah siasat ini akan dijalankan
dengan teliti dan mengikut garispanduan yang telah disediakan agar pegawai yang menjalankan proses
ini sentiasa bersikap profesional dan menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh undang-undang dan
agama.

2. Klinikal Forensik


Peti simpanan mayat untuk menempatkan mayat-mayat sama ada untuk menunggu pemeriksaan bedah
siasat dijalankan atau menunggu dituntut oleh waris.

Pemeriksaan Klinikal Forensik adalah pemeriksaan ke atas mangsa-mangsa yang telah diserang secara
fizikal ataupun seksual oleh penjenayah sama ada dalam kes keganasan rumahtangga, penderaan kanak-
kanak, pergaduhan, rogol, liwat, cabul dan sebagainya. Ia dilakukan oleh doktor pakar dengan dibantu
pegawai perubatan dan lain-lain kakitangan.

Tujuannya adalah untuk mengenalpasti dan merekodkan kecederaan mangsa serta mengumpul bahan
bukti (biologi dan fizikal) dari tubuh mangsa.

3. Sains Forensik

Perkhidmatan Sains Forensik melibatkan pemeriksaan melalui analisia di makmal. Bahan bukti atau
sampel biologi diambil daripada si mati (seperti darah, air kencing dan organ/tisu badan) untuk
dijalankan analisa bagi mengenalpasti kandungan bahan kimia atau mengesan indikator biokimia dan
patologi yang terdapat di dalam tubuh si mati sebelum, semasa atau selepas kematian berlaku.

Di antara analisia yang dijalankan adalah toksikologi (analisia berkaitan racun dan bahan-bahan kimia
berbahaya), antropologi (analisia tulang), histopatologi (analisia tisu/organ) dan entomologi (analisis
serangga).

Seorang saintis forensik sedang menyediakan sampel untuk dianalisa di makmal.

Keperluan dan Kepentingan Pemeriksaan Bedah Siasat Dijalankan

Ada beberapa keperluan yang mendesak dalam menjustifikasikan kepentingan menjalankan
pemeriksaan bedah siasat bagi kes-kes kematian yang melibatkan isu medikolegal.

Pemeriksaan bedah siasat ke atas si mati adalah penting dalam menegakkan keadilan kepada semua
pihak; si mati, yang dituduh, waris dan syarikat insurans yang terlibat.
Ia adalah penting dalam mengetahui sebab kematian yang sebenar dan faktor-faktor penyebab kepada
kecederaan yang dialami serta fakta-fakta dalam mengenalpasti dan mengesahkan kejadian yang
mengakibatkan kematian tersebut.
Ia bukan sahaja dapat membantu mengenalpasti si pelaku jenayah malah juga dapat menidakkan
penglibatan seseorang (yang dituduh) daripada jenayah yang telah berlaku (sehingga menyebabkan
kematian).
Data dan keputusan daripada semua pemeriksaan bedah siasat ini juga boleh digunakan dalam
merangka dasar dan tindakan-tindakan pencegahan seperti mengurangkan risiko kemalangan jalanraya
yang melibatkan kematian, risiko kemalangan di tempat kerja dan lain-lain lagi yang berkaitan.
Bedah siasat Mengikut Pandangan Islam

Pendekatan yang diambil oleh para ulama dan pemikir-pemikir Islam di seluruh dunia dalam
membicarakan perihal bedah siasat dan hubungkaitnya dengan Islam adalah secara kritikal. Asal hukum
pembedahan ke atas mayat adalah haram tetapi disebabkan oleh keadaan dharuriyyat yang
mencengkam, ia menjadi sesuatu yang diharuskan selagi tidak melampaui batas dan menganiaya mayat
bagi tujuan yang selainnya.

Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1989 telah menfatwakan seperti berikut:

Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan
(dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si
mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya
masih hidup (JAKIM, 2011).

Oleh yang demikian, berdasarkan kefahaman para ulama dan pemikir Islam ini, pemeriksaan bedah
siasat boleh dilakukan ke atas mayat si mati atas tujuan-tujuan seperti yang telah dibincangkan di
Perkara 3. di atas. Pemeriksaan bedah siasat itu juga perlu mengikut garispanduan yang telah ditetapkan
oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambilkira etika-etika yang perlu dipatuhi dalam
menghormati mayat semasa mengendalikan pemeriksaan bedah siasat ini.
Semakan Akhir : 5 Oktober 2011
Penulis : Khairul Adli b. Nikman

You might also like