You are on page 1of 4

UCAPAN PENGARAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN MINGGU INTEGRITI

PERINGKAT IPGK SULTAN ABDUL HALIM 22 SEPTEMBER 2014



Yang Berusaha, Tuan Haji Ahmad Sobri bin Saad,
Timbalan Pengarah IPGK Sultan Abdul Halim.

Yang Diraikan, (tetamu)
.

Yang Dihormati, Tuan Haji Abdullah b. Abdul Wahab
Pengerusi Jawantankuasa Pelaksana Minggu Integriti Peringkat IPGKSAH bagi
tahun 2014.

Yang Dihormati,
Ketua-ketua jabatan,
Ketua-ketua unit,
Para pensyarah kanan,
Para pensyarah,
Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar,
Seterusnya guru-guru pelatih yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Satu
Malaysia.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah, kurnia
dan izin-Nya, maka dapatlah kita berhimpun pada pagi ini bagi bersama-sama
menjayakan Majlis Pelancaran Minggu Integriti Peringkat IPG Kampus Sultan
Abdul Halim tahun 2014.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan
terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Pelaksanaan Minggu Integiriti
IPGK Sultan Abdul Halim kerana telah berjaya merancang dan seterusnya
melaksanakan Majlis Pelancaran Minggu Integriti Peringkat IPG Kampus Sultan
Abdul Halim tahun 2014 pada pagi ini.

Tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada seluruh warga institut yang telah
bertungkus lumus bagi memastikan perjalanan majlis pelancaran ini berjalan dengan
lancar.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saya percaya, Minggu Integriti Institut Pendidikan Guru Malaysia yang diadakan
dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Integriti
Malaysia (IIM) selaras di 27 Institut Pendidikan Guru pada setiap tahun, adalah
untuk meningkatkan kefahaman warga pendidik mengenai integriti dan Pelan
Integriti Nasional (PIN) serta meningkatkan komitmen warga pendidik dalam
mengukuhkan integriti masyarakat.
Bagi pengetahuan semua, tema Minggu Integriti kita pada tahun ini ialah Amalan
Berintegriti, Pendidik Berkualiti. Tema ini sememangnya amat relevan dan
signifikan bagi melahirkan golongan pendidik yang bukan sahaja berkualiti dalam
perkhidmatan, tetapi juga mampu memanifestasikan nilai integriti seterusnya
menjadi suri teladan kepada masyarakat.
Namun, kita perlu sedar bahawa, integriti bukan sekadar untuk difahami, tetapi ianya
perlu diaplikasikan tanpa mengira walau di mana kita berada, dengan siapa kita
berurusan, dan pada bila-bila masa sahaja. Sebagai contoh, antara amalan baik
berteraskan nilai murni yang dikenal pasti dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) ialah
jujur, ikhlas, bijaksana, adil, telus dan bersyukur. Perkara-perkara yang mungkin
kedengaran remeh dan kurang penting ini perlu kita hayati dan amalkan, lebih-lebih
lagi bagi guru-guru pelatih sekalian sebagai bakal peneraju bidang pendidikan di
negara ini pada masa hadapan.
Hadirin sekalian,
Sesungguhnya, tidak ada maknanya jika kita memperoleh banyak kejayaan
sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai pendidik, sedangkan elemen-elemen
amalan baik yang membenih dan menyuburkan nilai integriti, tidak digarapkan
bersama untuk mencapai kejayaan tersebut. Sehubungan dengan itu, integriti
sewajibnya menjadi pegangan kukuh setiap daripada kita. Integriti ini bukan sahaja
wajar menjadi amalan dan cerminan diri kita secara peribadi, sebaliknya mesti
diamalkan oleh setiap individu daripada kita dan dalam sesebuah organisasi.
Hal ini penting kerana apabila kita mempunyai kesedaran, percaya serta menjadikan
integriti sebagai amalan seharian, maka akan wujudlah satu persekitaran kondusif
untuk pembudayaan nilai integriti dalam organisasi kita. Sememangnya, sebagai
seorang pendidik, kita tidak dapat lari daripada bergantung kepada integriti orang
lain khususnya rakan-rakan pendidik dan lebih penting daripada itu, seorang ketua
sebenarnya juga turut bergantung kepada integriti para pekerjanya untuk
menggerakkan organisasi mereka dengan lebih cemerlang. Pendek kata, kita perlu
membangunkan nilai-nilai integriti dalam diri dan organisasi kita bermula pada saat
ini demi kepentingan diri sendiri dan orang lain.
Penekanan terhadap integriti seperti yang saya jelaskan sebentar tadi, tidak lain dan
tidak bukan adalah untuk menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan responsif
terhadap kewajiban kita di Institut Pendidikan Guru ini untuk membudayakan amalan
integriti. Pada hari ini, IPG menerapkan para guru pelatih dengan etika dan nilai-nilai
integriti. Pada masa hadapan, setelah tamat pengajian dan anda ditugaskan untuk
berkhidmat di mana-mana sekolah, pada ketika itulah, anda bawa dan curahkan
kembali kualiti integriti yang anda peroleh di kampus ini kepada murid-murid dan
kepada sekolah tempat anda berkhidmat.
Hadirin sekalian,
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua warga IPGK Sultan
Abdul Halim yang menunjukkan sokongan padu terhadap pelaksanaan Minggu
Integriti peringkat IPGK Sultan Abdul Halim dengan bersama-sama hadir bagi
memeriahkan Majlis Pelancaran Minggu Integriti pada hari ini. Harapan saya agar
Minggu Integriti pada kali ini dapat menjadi penggerak kepada kita untuk terus
mentransformasikan diri melalui pelbagai aspek dengan sentiasa mencerminkan
nilai integriti dalam semua tindakan kita sama ada melalui penampilan, sikap dan
sebarang keputusan yang diambil. Hal ini kerana, dalam usaha untuk melestarikan
tema Minggu Integriti secara berterusan iaitu Amalan Berintegriti, Pendidik
Berkualiti kita harus sentiasa dinamik dan fleksibel serta mempunyai nilai integriti
yang tinggi.

Dengan itu, saya dengan sukacitanya dan lafaz Bismillahirrahmanirrahim,
merasmikan Majlis Pelancaran Minggu Integriti Peringkat IPG Kampus
Sultan Abdul Halim tahun 2014.
Sekian, Terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

You might also like