You are on page 1of 1

Gurauan Yang Dituntut Oleh Islam

SELAIN mengumpat, satu daripada bencana yang dilakukan oleh lidah manusia ialah
gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, melawak, olok-olok dan
berjenaka. Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan
sebagai 'al-mizah'. Beliau membawa hadis Rasulullah yang bermaksud; "Jangan engkau
bantahi saudaramu dan jangan engkau perguraukan dia." (Hidayatus Salikin: 170).
Menurut Imam al-Ghazali, bergurau itu ditegah syarak kerana ia membawa kepada
banyak tertawa.

Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh 'menanggalkan' hati. Paling dahsyat,
menurut beliau, ia boleh membawa atau mendorong kepada perbuatan derhaka. Ini
berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; "Seseorang lelaki yang berkata dengan
suatu perkataan supaya rakannya tertawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70
tahun." Imam Ghazali menasihatkan supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-
kata untuk menimbulkan gelak ketawa.

Kata-kata gurau senda sebenarnya boleh menghilangkan malu seseorang. Ini kerana
dalam mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak
munasabah. Untuk mereka-reka bahan lucu, mereka membuat cerita yang ganjil dan tidak
masuk akal dan kebanyakannya cerita dusta. Inilah puncanya orang yang membuat
kelakar boleh hilang malu. Pada hakikatnya malu senjata orang beriman. Malu adalah
alamat atau tanda orang yang beriman.

Yang paling mengaibkan, sebahagian daripada kita suka membawa cerita lucah atau
separuh lucah dalam perkataan semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain.
Rasulullah bersabda bermaksud; "Malu adalah cabang daripada iman." Dalam sabda lain,
baginda menyatakan; "Malu dan iman seganding. Apabila terangkat salah satu
daripadanya maka terangkatlah kedua-duanya." Dapat difahami daripada hadis ini, jika
seseorang itu hilang perasaan malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya.

Namun begitu, bergurau ala kadar dibolehkan. Bagi sesetengah orang yang tidak tahan
bergurau mungkin menimbulkan persengketaan atau perkelahian. Maka ini bertentangan
dengan kehendak Islam. Firman Allah bermaksud; "Sesungguhnya orang beriman itu
adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan antara kedua-duanya." (al-Hujurat: 11).
Justeru, elakkanlah bergurau, bersenda melampaui batas perasaan atau pemikiran rasional
supaya ukhuwah sesama kita tetap terpelihara.

You might also like