You are on page 1of 2

Siri 3: Nuh ditertawa dan dituduh gila

NUH bin Lamik bin Matusyalak bin Akhnukh adalah nabi dan rasul selepas datuknya yang tertua,
Nabi Idris. Keturunannya berakhir pada Nabi Syits bin Adam dan jarak masa antara beliau
dengan Nabi Adam lebih 1,000 tahun.

Kisah beliau banyak dinyatakan dalam al-Quran, dengan 43 tempat, seperti pada surah al-A’raaf,
Hud, al-Mukminun, as-Syuara dan al-Qamar.

Di samping surah berkenaan, ada surah khusus bagi Nabi Nuh, iaitu surah Nuh, yang
menceritakan keseluruhan mengenainya, dari mula kebangkitan, kerasulan, cara berdakwah,
penentangan dan maksiat yang dilakukan umatnya.

Turut dinyatakan mengenai kesabarannya berdepan caci maki dan penghinaan oleh sebahagian
besar umatnya, azab ditimpakan Allah kepada umatnya dan keselamatan ke atas orang beriman.

Usia Nabi Nuh panjang, malah beliau berdakwah selama 950 tahun, dengan mengingatkan dan
menasihati umatnya supaya menjalani kehidupan mengikut keredaan Allah, namun mereka
mendustakan ajaran yang disampaikan.

Hati mereka lebih keras daripada batu, manakala akal fikiran mereka lebih tumpul daripada besi,
menyebabkan setiap ajaran disampaikan Nabi Nuh ditentang dan dipersendakan. Ini sesuai
dengan firman Allah, bermaksud: “Dan tidak beriman bersama Nuh itu melainkan sedikit.”

Malah, sesetengah umatnya melemparkan pelbagai tuduhan pada Nuh, termasuk mendakwa
beliau gila dan mentertawakannya. Selain itu, ada yang mengugut beliau dengan pelbagai
ancaman, namun Nabi Nuh tidak pernah gentar atau berhenti berdakwah.

Firman Allah, bermaksud: “Sebelum mereka, telah mendustakan (pula) kaum Nuh, maka mereka
mendustakan hamba kami (Nuh) dan mengatakan, beliau seorang gila dan beliau pernah
menerima ancaman.”

Sehingga satu ketika Nabi Nuh mendapat tentangan cukup hebat daripada umatnya, lalu beliau
memutuskan untuk mengadu perkara itu terus kepada Allah, supaya Yang Maha Berkuasa
membuat keputusan dengan adil.

Pengaduannya diiringi doa seperti berikut: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku


mendustakanku, kerana itu adakanlah keputusan antaraku dengan mereka serta selamatkanlah
aku dan orang beriman bersamaku.”

Menerima doa

Seterusnya, Nabi Nuh memohon supaya kaumnya yang kafir dihancurkan. Beliau berkata:
“Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun antara orang kafir itu tinggal di atas
bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, pasti mereka akan menyesatkan
hambaMu dan mereka tidak akan melahirkan, selain anak yang melakukan maksiat lagi sangat
kafir.”

Allah menerima doa itu, namun sebelum mengirimkan azab untuk menghancurkan kaum Nuh
yang kafir, Allah menyampaikan wahyu pada Nabi Nuh. Apabila wahyu itu disampaikan pada
orang ramai, tiada siapa mempercayainya kecuali segelintir saja, iaitu kalangan orang beriman.

Melalui wahyu itu, diperintahkan Nuh supaya membina kapal, yang membolehkannya mendapat
perlindungan daripada azab Allah. Nuh juga dilarang bersifat belas kasihan terhadap orang kafir,
kerana mereka akan ditenggelamkan.

Nabi Nuh berdoa kepada Allah dan memanggil tukang kayu untuk sama-sama membina kapal
itu. Melihat tingkah laku dan tindakan Nuh, menyebabkan kesombongan orang kafir makin
menjadi-jadi dan terus mengejek Nuh.

Nuh berkata: “Jika kamu masih mengejek aku dan pengikutku (orang beriman), kami juga akan
menghina kamu sebentar lagi, kerana aku lebih mengetahui siapa akan ditimpa azab serta
kehancuran dan kamu akan mengetahui nanti siapa akan dijerumuskan ke dalam seksa dunia,
kemudian seksa abadi di akhirat.”

Selesai saja Nabi Nuh membina kapal, wujud beberapa tanda azab, termasuk terpancar air dari
tanah. Allah memerintahkan Nuh supaya mengumpulkan semua jenis tumbuhan dan haiwan,
masing-masing sepasang (jantan dan betina) untuk dibawa ke dalam kapal.

Nabi Nuh bersedia dengan kapalnya dan memerintahkan orang beriman menaikinya, dengan
mendahulukan kaki kanan sambil berzikir kepada Allah sehingga turun dari kapal.

Azab berupa banjir itu sungguh dahsyat, kerana air hujan (dari langit) bertemu dengan air dari
perut bumi, menghasilkan banjir cukup besar dengan menenggelamkan semua orang kafir,
seperti yang didoakan Nuh kepada Allah.

Semua orang kafir hancur, lalu Allah memerintahkan bumi supaya menelan semula air banjir itu
dan langit tidak lagi menurunkan hujan. Air surut dan kapal Nuh pula terdampar di Bukit Juud.
Diperintahkan Nuh dan pengikutnya turun ke darat. Mereka menerima keberkatan Allah.

You might also like