You are on page 1of 6

BERIMAN KEPADA KITAB ALLAH

Beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah termasuk dalam rukun iman. Setiap
muslim yang wajib percaya kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi
Muhammad s.a.w dan nabi-nabi yang terdahulu daripadanya iaitu :

Al-Quran Nabi Muhammad a.s


Injil Nabi Isa a.s
Taurat Nabi Musa a.s
Zabur Nabi Daud a.s

Selain kitab, umat Islam juga wajib beriman dengan suhuf-suhuf yang diturunkan kepada
nabi-nabi seperti nabi suhuf Nabi Ibrahim a.s, suhuf Nabi Musa a.s dan suhuf Nabi Sith a.s.
sepanjang sejarah perjalanan kitab-kitab yang Allah turunkan itu, didapati kitab tersebut telah
melalui proses perubahan dan penambahan dan pengurangan mengikut kehendak dan selera
serta nafsu pemimpin-pemimpin mereka pada masa itu. Kitab-kitab tersebut telah diubah dan
telah mensyirikkan Allah yang Maha Esa, kecuali kitab al-Quran yang telah dijamin oleh Allah
SWT untuk memeliharanya sampai hari kiamat nanti.

Mengenai janji Allah tentang jaminan al-Quran tidak diubah, dipinda atau dikurangkan
telah dijelaskan dalam Surah al-Hijr (15:9),

Maksudnya: sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang


memelihara dan menjaganya.

Mengenai kaum Yahudi yang telah mengubah dan meminda kitab Taurat (Taurat berasal
daripada perkataan Torah) iaitu bahasa Ibri bahasa Yahudi lama yang bererti syariat,
mengikut hawa nafsu mereka ini, al-Quran telah membuktikan dalam surah al-Nisa
(4:46),

Maksudnya: Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar


ganti) Kalamullah (isi kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar.

Kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s untuk kaum Bani Israil (Nasara) juga telah diubah
dan dipinda mengikut hawa nafsu mereka. Hakikat ini telah dijelaskan dalam al-Quran Surah al-
Maidah (5:14),

Maksudnya: dan di antara orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini orang-orang
Nasrani, kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga
melupakan sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu kami
tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari
kiamat; dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang mereka kerjakan.

Salah satu bukti dan alasan yang menunjukkan bahawa kitab Taurat dan Injil telah
diubah ialah bahawa orang Kristian dan Yahudi telah mensyirikkan Allah. Bagaimana orang
Kristian dengan kosep trinity of god (god father, god son dan holy spirit) dan mempercayai Isa
anak Tuhan, manakala Yahudi pula mempercayai Uzair anak Tuhan, sedangkan setiap Nabi dan
Rasul yang diutuskan Allah sejak dari Nabi Adam a.s hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w
telah membawa ajaran tauhid yang sama iaitu menyembah Allah yang Esa.

Walau bagaimanapun, cuma syariat (perundangan) antara satu nabi dengan satu nabi
yang lainsahaja yang tidak sama, bahkan syariat yang dibawa oleh seorang nabi hanya sesuai
untuk umat zamannya sahaja dan tidak sesuai untuk zaman nabi yang lain. Syariat Nabi
Muhammad s.a.w adalah penyudah segala syariat yang terdahulu dan ianya sesuai untuk
semua umat dan semua kaum serta sesuai sepanjang zaman hingga kiamat.

Oleh itu, secara umumnya terdapat perbezaan antara kitab-kitab terdahulu dengan al-
Quran. Antaranya ialah, kitab terdahulu lebih ditujukan kepada golongan manusia yang
tertentu sahaja dalam kalangan berbagai bangsa berbanding dengan al-Quran yang bersifat
syumul atau menyeluruh kerana semua ajaran dan perundangan dapat diamalkan pada setiap
tempat di muka bumi ini dalam segala zaman untuk semua manusia hingga akhir zaman. Teks
asal kitab lalu telah hilang, yang ada Cuma salinannya sahaja namun sehingga sekarang, al-
Quran masih seperti yang telah diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w di mana sedikit pun
tidak berubah, walau satu huruf sekalipun. Kitab terdahulu diturunkan dalam bahasa yang telah
pupus sejak beberapa abad silam tetapi al-Quran diturunkan dalam bahasa yang hidup. Hari ini
ramai yang boleh berbicara dalam bahasa al-Quran iaitu bahasa Arab. Selain itu, kitab terdahulu
telah bercampur aduk antara wahyu Allah dengan perkataan manusia namun al-Quran tetap
wahyu Allah yang asli dan telah dibuktikan oleh sejarah dan juga kemurniannya terjamin.

Al-Quran telah diturunkan secara berperingkat. Peringkat pertama ialah daripada Allah
ke Luh Mahfuz. Peringkat kedua ialah dari Luh Mahfuz ke langit dunia iaitu Baitul Izzah. Akhir
sekali, peringkat ketiga ialah dari langit dunia kepada Nabi Muhammad. Al-Quran mengandungi
30 juzuk, 114 surah dan 6236 ayat. Kandungan al-Quran pula lengkap dan menyeluruh
merangkumi semua aspek kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Antara kandungan al-
Quran ialah akidah, ibadat, akhlak, muamalat, munakahat, jenayah, siasah, sejarah, perkara
ghaib dan juga perubatan.

Tujuan utama al-Quran diturunkan adalah sebagai mukjizat yang menunjukkan


kebenaran Rasulullah sebagai pesuruh Allah SWT. Al-Quran juga menjadi petunjuk dan panduan
serta peraturan dalam seluruh kehidupan manusia. Al-Quran juga menjadi bacaan yang diberi
ganjaran pahala oleh Allah kepada sesiapa yang membacanya. Al-Quran merupakan mukjizat
yang terulung nabi kita Muhammad s.a.w yang kekal abadi hingga hari kiamat. Antara tanda al-
Quran itu mukjizat ialah tiada siapa mampu membuat dan menandingi al-Quran, isi kandungan
al-Quran terjamin kebenaran dan keasliannya sepanjang masa serta tidak mengalami
perubahan (Surah al-Hajr:9).

Setiap muslim yang beriman dan beramal dengan al-Quran dalam kehidupan seharian
memberi banyak manfaat dalam kehidpan seharian. Kesan beriman kepada al-Quran ialah
mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT. Selain itu, mendapat rahmat dan
keredaan Allah dan mendapat ketenangan jiwa. Seterusnya, melahirkan masyarakat berilmu
yang mampu membangunkan diri, masyarakat dan negara. Beriman kepada al-Quran juga
menjamin keamanan dan kesejahteraan manusia sejagat.

BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT


Beriman kepada hari akhirat bermaksud setiap muslim wajib beriman serta percaya
dengan yakin apa sahaja yang diberitakan oleh Allah SWT melalui Kalamnya (al-Quran) dan apa
yang disampaikan melalui rasulnya Nabi Muhammad s.a.w. (hadis) tentang peerkara-perkara
yang berkaitan dengan akhirat. Hari kiamat terbahagi kepada dua jenis iaitu;

Kiamat sugra (kecil) - kiamat kecil yang sering terjadi dalam kehidupan manusia
yaitu kematian. Selain itu, kiamat sugro adalah kejadian-kejadian yang terjadi
sebelum Kiamat Besar datang.
Kiamat kubra (besar) - hari berakhirnya dunia dan seluruh kehidupan yang ada di
dunia akan hancur.

Tanda-tanda kiamat terbahagi kepada dua iaitu, tanda awal dan tanda akhir. Antara
tanda aawal ialah wanita menyerupai lelaki dan sebaliknya. Selain itu, urusan agama
dikendalikan oleh orang yang bukan ahlinya dan kejahatan dan maksiat berlaku secara terang-
terangan. Seterusnya, anak-anak berani melawan orang tua serta penzinaan berlaku secara
berleluasa. Tanda-tanda akhir pula munculnya Yajuj dan Majuj (bangsa yang suka membuat
kerosakan di bumi). Selain itu, munculnya Dajjal iaitu makhluk penyebar fitnah yang membuat
manusia meninggalkan agama Islam. Seterusnya, munculnya Dabbah serta al-Dukhan. Terbitnya
matahari dari barat dan turunnya Nabi Isa a.s ke bumi.

Nama-nama kiamat ada banyak, antaranya:

Yaumul Qiyamah Hari kiamat


Yaumul Fasl Hari keputusan
Yaumul Hisab Hari perhitungan
Yaumul Saah Masa yang ditetapkan
Yaumul Waqiah Peristiwa yang pasti berlaku
Yaumul Zalzalah Hari goncangan
Yaumul Jaza Hari pembalasan
Yaumul Qariah Hari yang menggemparkan

Perkara-perkara yang berkaitan dengan akhirat ialah:

1. Alam Barzakh merupakan batas antara alam dunia dan alam akhirat yang setiap
manusia akan alami setelah mati sementara menunggu hari kiamat. Juga merupakan
batas antara alam dunia dan alam akhirat.
2. Hari kebangkitan merupakan hari kebangkitan manusia dari alam kubur menuju ke
padang mahsyar setelah tipan sangkakala yang kedua oleh malaikat Israfil.
3. Hari Pengumpulan hari di mana seluruh umat manusia dari umat Nabi Adam sampai
umat Nabi Muhammad di padang mahsyar dalam keadaan yang bermacam-macam
sesuai dengan amal perbuatan masing-masing.
4. Hari Perhitungan merupakan hari perhitungan amal perbuatan manusia selama hidup
di dunia. Ketika ini, mulut tidak berbicara tetapi anggota badan yang menjadi saksi
sehingga tiada satu pun perbuatan yang terlepas dari perhitungan.
5. Hari Timbangan hari di mana setiap amal baik manusia di timbang al-mizan yang
sangat adil dan setiap perbuatan sama ada baik atau buruk akan ditimbang. Pada tahap
ini manusia akan ditentukan mask syurga atau neraka.
6. Hari Titian As-Sirat ini adalah jambatan yang berada di atas neraka jahanam dengan
jalan yang sangat menakutkan, semua manusia akan melaluinya untuk ke syurga.
Terdapat pelbagai cara manusia untuk melalui titian ini. Ada yang melintas dengan
pantas dan ada yang melintas dengan lambat sehingga akhirnya terjatuh ke dalam
neraka jahanam.
7. Syurga atau Neraka syurga merupakan tempat mulia yang Allah sediakan untuk orang-
orang bertaqwa yang mengandungi sungai-sungai yang mengalir, kamar-kamar yang
megah dan isteri-isteri yang cantik. Di syurga juga terdapat apa sahaja yang diinginkan
oleh jiwa. Manakala neraka ialah tempat azab atau seksaan yang Allah sediakan untuk
orang kafir dan yang berbuat maksiat. Di dalamnya tedapat berbagai macam siksaan dan
beragam hukuman. Penjaganya malaikat yang sangat kasar dan keras.

Sebagai manusia, beriman dan percaya akan hari kiamat berfungsi untuk kita menyedari
bahawa alam dan seisinya akan hancur lebur maka setiap muslim harus banyak melakukan
amal kebaikan serta menjauhi segala amal perbuatan yang tidak baik atau menjauhi
larangan Allah SWT. Selain itu, mengingat bahawa hidup di dunia hanya sementara dan
hidup di akhirat yang kekal maka mempersiapkan diri dengan amal kebaikan dan pahala di
dunia sebagai bekalan. Seterusnya, memupuk sikap berani dan tidak takut akan kematian
dalam membela agama, serta menegakkan dan menjunjung tinggi agam Islam. Juga
menenangkan hati individu yang dikhianati atau mendapat ketidakadilan.

Hikmah beriman kepada hari qiamat ialah memperkuat keyakinan bahawa Allah SWT
Mahakuasa dan Mahaadil. Seterusnya, memberikan dorongan untuk membiasakan diri dengan
perangai dan sikap terpuji dan baik serta menjauhi sikap terkutuk dan tercela sebagai seorang
individu muslim.

BERIMAN DENGAN QADA DAN QADAR


Qada bermaksud ketentuan Allah yang telah ditetepkan sejak dari azali lagi terhadap
sesuatu perkara yang berlaku. Manakala Qadar ialah apabila berlakunya segala ketentuan
tersebut. Qada terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

Qada mubram ketentuan yang sudah pasti


Qada muallaq ketentan yang masih bergantung

Qada mubram ialah ketentuan yang pasti berlaku dan tidak boleh diubah lagi.
Contohnya ialah kematian, apabila berlaku kematian, apabila berlaku kematian ke atas
seseorang bererti telah berlaku qada mubram ke atasnya dan tidak boleh diubah lagi untuk
hidup semula.

Sementara Qada muallaq ialah ketentuan yang belum pasti lagi berlakunya ke
atas seseorang. Qada muallaq masih boleh berubah dengan cara berdoa kepada Allah
SWT. Contohnya seseorang ditakdirkan miskin dan hidup susah tetapi jika dia berdoa dan
memohon kepada Allah supaya dilimpahkan rezeki kepadanya, di samping dia berusaha
bersungguh-sungguh serta bertawakal kepada Allah maka akhirnya Allah menjadikan dia
hidup senang dan kaya. Dalam konteks ini Allah SWT berfirman Surah al-Talaq (65:2-3)

Maksudnya: dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya
dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar
(dari segala perkara yang menyusahkannya), (2). Serta memberinya rezeki dari jalan yang
tidak terlintas dihatinya... (3)

Beriman kepada qada dan qadar mencakupi beriman dan percaya hanya Allah maha
mengetahui perkara yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Selain itu, beriman
dan percaya Allah menentukan segala yang ditentukan (qada) dan segala yang berlaku (qadar).
Seterusnya, beriman dan percaya dengan sifat iradat iaitu kehendak Allah di mana apabila
Allah menghendaki sesuatu perkara berlaku maka pasti akan berlaku. Jika Allah menghendaki
tidak akan berlaku, maka pasti tidak aakn berlaku. Perkara ini bertepatan seperti dalam firman
Allah dalam Surah Yasin (36:82-83),

Maksudnya: sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila ia menghendaki adanya


sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu : Jadilah engkau!. Maka ia
terus menjadi.(82) Oleh itu, akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhanallah!)
Tuhan Yang Memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepada-Nyalah kamu semua
dikembalikan.(83)

Seorang muslim yang percaya dengan yakin akan ketentuan Allah SWT pasti memiliki
ketaatan dan ketakwaan yang tinggi dalam kehidupannya. Ini kerana, ketentuan Allah amat
menyangkut kehidupannya di dunia malah di akhirat kelak. Ciri-ciri orang yang beriman kepada
qada dan qadar antaranya ialah mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi serta
meninggalakan segala larangan-Nya. Selain itu, berusaha dan bekerja dengan bersungguh-
sungguh untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Bersabar dalam menghadapi dugaan dan liku-
liku kehidupan yang sukar dengan ketabahan dan keredaan. Muslim yang beriman juga akan
sentiasa bertawakkal kepada Allah dalam kehidupan seharian dan juga sentiasa berdoa kepada
Allah.

Beriman kepada qada dan qadar memberikan impak positif dalam kehidupan seorang
muslim baik di dunia mahupun di akhirat kelak. Antara kelebihan beriman kepada qada dan
qadar ialah dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT serta meningkatkan keimanan dan
ketakwaan dalam menjadi seorang muslim yang baik. Selain itu, mendidik manusia untuk
sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk mengubah nasib hidup yang kurang bernasib baik
berbanding hanya menangisi dan mengeluh dengan kesusahan yang dihadapi. Beriman kepada
qada dan qadar juga mendidik manusia untuk sentiasa bersabar dan bertawakkal dengan ujian
hidup kerana yakin bahawa segala apa yang berlaku merupakan yang terbaik untuk kita.
Akhirnya, mendidik manusia untuk tidak bersikap sombong dan takabbur terutama terhadap
pencita kita iaitu Allah SWT kerana sentiasa mengharap akan bantuan Allah dan sentiasa
berdoa kerana yakin Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya.

You might also like