You are on page 1of 6

Rasional mengapa etika profesional sangat ditekankan dalam

perkhidmatan kaunseling
1.0 Pengenalan

Secara umunya etika adalah merupakan satu garis panduan yang digunakan bagi membantu seseorang
ahli profesional menjalankan tugasnya mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Pada dasarnya istilah
etika berasal daripada istilah Yunani iaitu ethos yang bermaksud hukum, adat resam, budi pekerti dan
kebiasaan. Secara umumnya terdapat tiga ciri utama etika iaitu bertindak sebagai peraturan, manual
kerja atau prosedur kerja, dan nilai-nilai murni yang perlu dipatuhi (Professional Counseling, 2010).
Etika memainkan peranan penting dalam menjalankan tugas dan peranan dalam pekerjaan, matlamat
utama etika digubal adalah untuk membimbing ke arah tahap profesional yang lebih tinggi (Francis,
2009). Etika dalam kaunseling adalah merupakan salah satu contoh etika yang ditekankan dalam bidang
perkhidmatan kaunseling yang perlu dipatuhi oleh kaunselor bagi mengukuhkan lagi tahap profesional
mereka.

Dalam perkhidmatan kaunseling terdapat beberapa kod etika yang boleh dijadikan sebagai panduan dan
rujukan, antaranya ialah seperti kod etika yang digariskan oleh Persatuan Kaunseling Amerika (ACA).
Lazimnya setiap negara mempunyai kod etika dalam amalan kaunseling yang dijalankan dalam negara
tersebut, sebagai contohnya di malaysia badan yang bertanggungjawab mengeluarkan kod etika dan
prinsip-prinsip kaunseling dijalankan oleh Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA). Secara amnya
kesemua kod etika yang digariskan oleh persatuan-persatuan kaunseling tersebut mempunyai
persamaan iaitu menitikberatkan amalan profesionalisme kaunselor dan hal ehwal kebajikan klien.
Matlamat utama etika ini digubal adalah untuk menjamin perkhidmatan kaunseling agar menjadi lebih
cekap, telus, amanah, serta menjamin keselamatan dan kerahsiaan klien.

Terdapat pelbagai etika yang ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling, secara ringkasnya etika
profesional yang ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling dapat dibahagikan kepada empat prinsip
etika yang utama iaitu yang pertama ialah autonomi, merujuk kepada syarat yang membenarkan klien
untuk bebas membuat pilihan. Prinsip kedua ialah bukan berbentuk kejahatan (nonmaleficence), iaitu
merujuk kepada tindakan kaunselor untuk mengelak daripada perkara-perkara yang membawa mudarat
kepada klien. Prinsip ketiga ialah kepatuhan yang merujuk kepada persetujuan limitasi perhubungan di
antara kaunselor dengan klien. Seterusnya prinsip yang keempat ialah kebajikan yang merujuk kepada
tindakan kaunselor untuk memberikan hasil yang positif kepada klien (Pack-Brown & Williams, 2003).
Huraian dalam perbincangan kertas kerja ini akan memfokuskan kepada rasional penekanan etika
profesional dalam perkhidmatan kaunseling.
2.0 Rasional penekanan etika profesional dalam perkhidmatan kaunseling

Dalam profesion menolong, etika adalah merupakan panduan yang dapat memastikan tugas kaunselor
dapat dijalankan dengan lebih cekap selari dengan matlamat kaunseling yang ingin dicapai. Antara
tujuan utama etika profesional sangat ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling adalah untuk
menjadikan kaunselor menjadi lebih cekap dimana sebarang kesilapan yang dilakukan oleh kaunselor
dapat diminimakan. Selain itu, etika yang ditekankan akan dapat meningkatkan keberkesanan
perkhidmatan kaunseling yang dijalankan (Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md. Yusof,
2002).

Dari segi rasionalnya, etika profesional ini dapat membantu seseorang kaunselor dapat menjalankan
tugas dan peranan mereka dengan lebih baik. Dari sudut pandangan masyarakat, kaunselor dilihat
sebagai seorang model sosial yang baik kerana mereka terlibat dengan profesion menolong, oleh itu jika
berlaku perkara-perkara seperti ketidakcekapan yang dilakukan oleh kaunselor maka tanggapan
masyarakat mungkin akan berubah terhadap kaunselor dan ahli-ahli profesional yang lainnya. Dalam hal
ini, ketidakcekapan seorang kaunselor lazimnya akan digeneralisasikan secara keseluruhannya oleh
segelintir individu terhadap profesion kaunseling. Sebagai contohnya disini segilintir individu dalam
masyarakat tentu akan memandang serong terhadap profesion seorang kaunselor apabila mereka
mendengar kes-kes dimana kaunselor yang melanggar etika seperti melakukan aktiviti seksual dengan
klien mereka atau cubaan mencabul kehormatan klien mereka. Kesannya masyarakat akan sentiasa
memberi kritikan sehingga membentuk stereotaip secara keseluruhannya ke atas mereka yang berada
dalam bidang profesion kaunseling. Oleh sebab itulah mengapa etika profesional dalam perkhidmatan
kaunseling sangat ditekankan untuk mengelak kaunselor bertindak di luar daripada etika yang
digariskan, jika etika profesional dipatuhi oleh kaunselor maka perkhidmatan kaunseling akan dapat
dijalankan dengan cekap dan baik.

Satu lagi faktor yang menyebabkan etika sangat ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling ialah
menggalakkan

kaunselor

mengarah

ke

arah

tahap

profesional.

Dalam

profesion

kaunseling,

profesionalisme membantu membawa kepada nama baik (good will) kepada mereka yang yang
mengamalkan kod etika dengan baik (Francis, 2009). Secara rasionalnya apabila seseorang kaunselor
mempunyai nama baik maka ini tentu akan mengekalkan reputasi baik mereka dan boleh membawa
manfaat yang lain kepada mereka. Sebagai contohnya bagi kaunselor profesional yang mempunyai
reputasi yang baik, hal ini akan menyebabkan mereka mudah mendapatkan klien untuk menerima
perkhidmatan kaunseling daripada mereka kerana klien biasanya akan lebih yakin dengan kaunselorkaunselor yang mempunyai nama baik dan rekod reputasi yang baik dalam menjalankan perkhidmatan
kaunseling mereka.
3.0 Rasional penekanan prinsip etika persetujuan termaklum (informed consent)

Salah satu etika profesional utama yang ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling ialah persetujuan
termaklum. Menurut Fisher (2003), persetujuan termaklum adalah merupakan perjanjian utama bagi
melindungi hak-hak privasi klien yang dilakukan pada awal sebelum perkhidmatan kaunseling
dijalankan. Prinsip etika ini menekankan kepada keperluan seseorang kaunselor untuk memberikan
penerangan yang secukupnya kepada klien tentang perkara-perkara berkaitan matlamat kaunseling,
teknik dan prosedur dalam perkhidmatan kaunseling, kerahsiaan, limitasi dan risiko tertentu serta halhal penting lain yang melibatkan kaunselor dan juga klien. Dalam hal ini kaunselor juga seharusnya
menjelaskan dengan lebih mendalam kepada klien terhadap perkara-perkara seperti implikasi daripada
proses kaunseling, penarikan diri daripada terus menerima perkhidmatan, pengunaan ujian dan laporan
serta jumlah bayaran bagi khidmat kaunseling yang dijalankan tersebut.

Secara rasionalnya dengan adanya etika ini, klien dapat mengetahui dengan lebih mendalam dan dapat
memberi gambaran secara kasar tentang proses-proses yang akan berlaku pada keseluruhan khidmat
kaunseling yang diterima oleh mereka. Klien juga akan dapat menilai sejauhmana keberkesanan
daripada khidmat kaunseling yang bakal dijalankan di samping mempunyai kebebasan untuk menarik
diri jika syarat-syarat yang dijelaskan seperti mana yang dijelaskan oleh kaunselor tidak dipatuhi. Selain
itu, melalui makluman dan penjelasan yang diberikan juga membantu klien untuk mengelak daripada

sebarang penipuan dalam aspek-aspek tertentu seperti bayaran bagi khidmat kaunseling yang
dijalankan, klien juga dapat mengetahui hak-hak mereka dalam undang-undang. Bagi kaunselor pula,
perkara-perkara yang dijelaskan dalam etika persetujuan termaklum ini berperanan sebagai panduan
kepada mereka untuk menjalankan perkhidmatan kaunseling secara cekap dan telus sesuai dengan
prinsip profesional yang dipegang oleh mereka. Dengan erti kata lainnya kaunselor akan melaksanakan
tugas berdasarkan kepada apa yang telah dijelaskan dan dimaklumkan kepada klien.

4.0 Rasional penekanan prinsip etika kerahsiaan.

Seterusnya etika profesional yang sangat ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling ialah prinsip
kerahsiaan. Berdasarkan etika yang digariskan, seseorang kaunselor tidak boleh mendedahkan
maklumat sulit tanpa persetujuan daripada klien. Kaunselor juga harus memastikan bahawa setiap
rekod maklumat berkaitan klien seperti laporan, rakaman kaset dan video disimpan di tempat yang
selamat dan hanya pihak yang mempunyai kuasa tertentu sahaja boleh mendapatkan rekod maklumat
tersebut (ACA, 2005). Prinsip kerahsiaan dalam etika kaunseling ini sangat penting dan perlu
diterangkan kepada klien pada setiap sesi kaunseling yang dijalankan.

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan prinsip etika ini sangat rasional ditekankan dalam
perkhidmatan kaunseling. Salah satu di antaranya ialah untuk mengelakkan klien daripada menerima
keaiban daripada orang lain, sebagai contohnya klien tersebut mungkin terlibat dengan isu-isu sensitif
atau peristiwa trauma yang berlaku dalam dirinya seperti penderaan, menjadi mangsa rogol, masalah
seksual, terlibat dengan penyalahgunaan dadah, mempunyai keinginan untuk membunuh diri, menyertai
kumpulan haram dan sebagainya. Setiap klien yang menerima perkhidmatan kaunseling tidak akan
dapat mengelak daripada meluahkan pengalaman tidak kira pahit atau pun manis terhadap kaunselor.
Oleh itu prinsip kerahsiaan dalam bidang kaunseling ini sangat rasional ditekankan agar menjadikan
klien lebih yakin, percaya dan berasa selamat dengan maklumat yang mereka dedahkan. klien juga
dapat meluahkan masalah yang dihadapinya dengan rasa bebas tanpa wujud perasaan ragu-ragu.
Kesannya hal ini akan menyebabkan kaunselor mudah mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh klien.
Dengan adanya prinsip kerahsiaan ini, kaunselor akan dapat menonjolkan diri sebagai individu yang
boleh dipercayai, amanah dan bertanggungjawab untuk menjaga hak dan kepentingan privasi klien.

5.0 Rasional penekanan prinsip etika keadilan

Satu lagi prinsip utama dalam etika profesional perkhidmatan kaunseling ialah keadilan. Prinsip etika ini
menekankan kaunselor bersikap adil secara sama rata terhadap klien yang datang mendapatkan
bantuan kaunseling. Mengikut etika ini, kaunselor tidak boleh mengamalkan atau melakukan
diskriminasi terhadap perbezaan manusia dari segi aspek-aspek seperti budaya, umur, gender, bangsa,
etnik, agama, kepercayaan, ketidakupayaan fizikal dan mental, orientasi seksual, bahasa yang
digunakan, status perkahwinan, status sosioekonomi dan apa-apa sahaja yang membezakan di antara
klien dengan kaunselor (NCDA, 2007). Kaunselor seharusnya perlu mengambil kira isu-isu sensitif yang
dimiliki oleh klien. Kaunselor haruslah mempunyai kemampuan mengubah perasaan negatif mereka
terhadap sesetengah klien suapaya klien merasa diri mereka dihormati (Sapora Sipon, Ahmad Jazimin
Jusoh & Hapsah Md. Yusof, 2002).

Dalam hal ini, terdapat rasionalnya mengapa etika keadilan ini sangat ditekankan, perkara ini dapat
membantu klien berasa selesa semasa menerima khidmat kaunseling. Bayangkan jika seseorang
kaunselor itu menekan klien dengan isu-isu sensitif yang tidak disukainya, keadaan ini akan membawa
kepada kesan negatif kepada klien tersebut. Keadilan dalam perkhidmatan kaunseling ini bukan sahaja
terhad kepada isu-isu yang sensitif tetapi juga kepada pengalaman-pengalaman lepas yang dilalui oleh
klien. Sebagai contohnya kaunselor tidak sepatutnya cuba menghakimi klien tentang pengalaman lepas
klien yang pernah terlibat dengan masalah mendera anak-anaknya dengan teruk. Akibatnya apabila
berlaku perkara-perkara seperti ini, persepsi negatif akan wujud di antara kaunselor dan juga klien,
contohnya dalam situasi tadi kaunselor akan cenderung menilai klien sebagai seorang yang jahat
kesannya klien mula hilang kepercayaan kepada kaunselor dan beranggapan bahawa tidak ada sesiapa
lagi di dunia ini yang sudi memaafkan kesalahan lampaunya. Situasi-situasi seperti ini akan menjejaskan
perjalanan kaunseling, kesannya matlamat kaunseling yang dibina tidak tercapai. Perkara ini
membuktikan kepada kita bahawa etika keadilan dalam perkhidmatan kaunseling sangat penting, ia juga
menjadi garis panduan kepada kaunselor agar tidak bersikap prejudis kepada klien dan melayan klien
secara sama rata tanpa mengimbilkira perbezaan yang ada pada manusia.

6.0 Rasional penekanan prinsip etika kesejahteraan (wellness)

Kod etika profesional juga mengariskan bahawa dalam perkhidmatan kaunseling, kaunselor seharusnya
menjaga kesejahteraan klien yang datang mendapatkan khidmat kaunseling. Etika ini menekankan
seseorang kaunselor perlu menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan klien dengan cara
memelihara minat dan kesejahteraan klien (Pack-Brown & Williams, 2003). Kesejahteraan klien tersebut
termasuklah memberi perlindungan kepada klien dari segi fizikal, emosi dan juga trauma psikologikal.
Selain itu, etika ini juga menggariskan bahawa klien tidak boleh diperalatkan untuk kepentingan diri
kaunselor bagi tujuan kewangan, emosi, seksual dan sebagainya. Seseorang kaunselor tidak boleh
menyalahgunakan hasil penilaian dan intrepretasi dalam kaunseling dan mereka juga bertanggungjawab
untuk menghalang orang lain daripada menggunakan maklumat tersebut. Bagi menjaga perasaan klien,
kaunselor juga perlu menghormati hak klien yang mana klien berhak untuk mengetahui keputusan sesi
yang dijalankan, intrepretasi, kesimpulan dan cadangan-cadangan yang dibuat oleh kaunselor (ACA,
2005).

Secara rasionalnya etika ini ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling adalah agar memastikan
bahawa kebajikan dan kepentingan klien dapat dijaga sepanjang mereka menerima khidmat kaunseling.
Bayangkanlah

jika terjadi perkara-perkara yang tidak diingini dalam sesi kaunseling sehingga

menyebabkan emosi dan mental klien terganggu disebabkan oleh kaunselor, maka perkara ini boleh
menyebabkan matlamat kaunseling yang dibina di antara klien dan kaunselor tidak akan dapat tercapai.
Matlamat utama perkhidmatan kaunseling adalah untuk membimbing klien dalam mencari penyelesaian
masalah dan bukannya untuk lebih memudaratkan lagi keadaan klien dengan menyebabkan emosi dan
mental mereka terganggu. Oleh yang demikian, etika untuk menjaga kesejahteraan klien ini sangat
ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling bagi mengelak kaunselor bertindak yang tidak sepatutnya
dilakukan. Etika ini juga membantu ke arah proses menolong secara profesional dimana dengan adanya
sikap untuk melindungi klien dan menjaga kesejahteraan mereka dari aspek fizikal, emosi dan juga
psikologikal maka perkhidmatan kaunseling yang dijalankan akan dapat dilaksanakan dengan baik dan
lebih berkesan.

7.0 Rasional penekanan prinsip etika perhubungan kaunselor dan klien dalam kaunseling
Satu lagi aspek yang ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling adalah etika berkaitan dengan
perhubungan kaunselor dengan klien dan juga ahli profesional yang lain. Etika profesional ini
menggariskan bahawa seseorang kaunselor tidak boleh menjalankan perkhidmatan kaunseling dengan
klien yang mempunyai pertalian atau hubungan tertentu dengan kaunselor, jika perkara itu berlaku
kaunselor hendaklah merujuk klien tersebut kepada ahli profesional yang lain. selain itu, kaunselor juga
harus

mengelak

hubungan

hubungan

dua

hala

(dual

relationship)

dengan

klien

yang

boleh

mempengaruhi penilaian profesional ataupun apa-apa yang boleh menyebabkan risiko kemudaratan
kepada klien (Pack-Brown & Williams, 2003). Sebagai contohnya disini kaunselor terlibat dengan
perhubungan intimasi dan seksual dengan klien. Dalam etika profesional seseorang kaunselor tidak
boleh mengadakan sebarang interaksi dan hubungan peribadi dengan klien ataupun mana-mana ahli
keluarga klien dalam jangka masa selama lima tahun selepas perkhidmatan kaunseling terakhir
dilakukan. Selain itu terdapat juga etika lain yang melibatkan perhubungan di antara kaunselor dengan
klien, antaranya ialah kaunselor tidak boleh terlibat dengan aktiviti yang memberi kepentingan kepada
mereka seperti terlibat dengan perniagaan atau aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh klien.

Dalam hal ini terdapat rasional mengapa etika ini ditekankan oleh kaunselor dalam perkhidmatan
kaunseling. Salah satu perkara yang menyebabkan etika ini rasional ditekankan ialah jika klien yang
datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling tersebut adalah merupakan ahli keluarga, saudara mara
dan orang-orang yang dikenali seperti sahabat handai maka hal ini sudah tentu akan mempengaruhi
pertimbangan kaunselor secara profesional ketika melakukan sesi kaunseling. Begitu juga halnya
pertimbangan wajar sebagai seorang kaunselor juga akan terganggu jika mereka terlibat dengan
sebarang perhubungan emosi (percintaan) dan seksual dengan klien, apabila keadaan seperti ini berlaku
sesi kaunseling yang dijalankan cenderung akan berubah kepada suasana romantik yang mana ia boleh
mempengaruhi pemikiran dan emosi kaunselor. Keadaan seperti ini boleh lari daripada prinsip
profesionalisme yang dipegang oleh seseorang kaunselor, sebagai akibatnya perkara-perkara seperti ini
boleh menjejaskan matlamat proses kaunseling.

8.0 Penutup

Secara kesimpulannya dapatlah dijelaskan bahawa penekanan etika profesional dalam perkhidmatan
kaunseling boleh membawa kepada manfaat penting kepada pihak-pihak yang terlibat dalam proses
kaunseling iaitu kaunselor, klien mahupun kepada ahli-ahli profesional lain yang berada dalam bidang
profesion kaunseling. Etika yang digariskan dalam kaunseling secara amnya bertujuan untuk
memastikan perkhidmatan kaunseling dapat dilaksanakan dengan baik seperti mana matlamat
kaunseling yang sepatutnya yang ingin dicapai. Selain itu, etika profesional yang ditekankan juga adalah
bertujuan untuk mengurangkan kesilapan-kesilapan biasa yang dilakukan oleh kaunselor yang mana
ianya boleh menggangu proses perjalanan dalam memberikan perkhidmatan yang dilakukan secara
profesional. Oleh sebab itulah terdapat rasionalnya mengapa etika-etika profesional ini perlu diberi
perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perkhidmatan kaunseling.

You might also like