You are on page 1of 11

HUBUNGAN ANTARA STATUS SOSIAL MURID DENGAN TAHAP TINGKAH

LAKU BULI

Jamalsafri Saibon
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia
11800 USM Pulau Pinang
E-mail : jamalsafri@usm.my

Ahmad Zamri Khairani


School of Educational Studies
11800 Universiti Sains Malaysia
Email: emel_zamri@yahoo.com

Abstrak :
Kertas kerja ini berdasarkan data kajian berkaitan dengan tingkah laku buli
dalam kalangan murid lelaki sekolah menengah di Pulau Pinang. Kertas ini bertujuan
menjelaskan kefahaman masyarakat tentang pentingnya fenomena buli yang berlaku di sekolah
dengan mengenal pasti sejauh mana aspek status sosial mempunyai hubungan dengan tingkah
laku buli. Data kajian melibatkan seramai 74 murid lelaki yang dikenal pasti memiliki tingkah
laku buli menerusi soal selidik Tahap Tingkah Laku Buli (TTLB). Kaedah sosiometrik digunakan
untuk menentukan status sosial murid melalui pencalonan populariti oleh rakan sebaya. Data
kajian dianalisis menggunakan statistik deskriptif seperti frekuensi, peratusan, dan min bagi
menerangkan tahap status sosial murid. Sementara itu, statistik inferensi yang digunakan ialah
ujian pekali korelasi Pearson (Pearsons Correlation). Dapatan kajian mendapati wujud hubungan
yang signifikan di antara status sosial dengan tingkah laku buli dalam kalangan murid lelaki di
sekolah. Hal ini menunjukkan faktor status sosial seharusnya diberi perhatian serius dan diambil
kira dalam merancang program intervensi bagi menghalang dan mencegah fenomena buli
daripada bertambah serius di sekolah-sekolah.
Kata Kunci: tingkah laku buli, status sosial murid, populariti

Abstract:
This paper illustrates the findings on the study related to the bullying behaviours
among male students in secondary schools in Penang. The findings of this study are intended to
explain the significance of the bullying phenomenon among male students and its relation to the
students social status. The study involves 74 male students with bullying behaviours. The
subjects are chosen using the Levels of Bullying Behaviours survey. In identifying the social
status of the students in the peers hierarchy, the sociometric method has been used whereby the
social status is obtained through popularity voting by their peers. Analysis of data is done by
using both descriptive and inferential statistics like correlation (Pearsons Correlation). Findings
highlight that there is a significance correlation between sosial status of the students and their
levels of bullying behaviours. Findings also show that the social status has to be taken into
serious consideration in planning intervention programs in schools in order to curb bullying, as
well as preventing the problem from escalating.

Keywords: bully behaviours, students social status, popularity

PENDAHULUAN
Kejadian buli dalam kalangan murid sekolah di Malaysia merupakan kejadian serius yang sering
berlaku di sekolah. Sepanjang tahun 2000-2005, Kementerian Pelajaran Malaysia telah
merekodkan sebanyak 5,909 kes buli telah dilaporkan berlaku di sekolah menengah dan rendah
di seluruh negara (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006). Akhir-akhir ini kejadian buli yang
berlaku di sekolah bukan setakat mencederakan mangsa malah sehingga mengakibatkan
kecederaan berat serta kes kematian murid (Noran, 2004)
Kajian lepas menunjukkan tingkah laku buli memberi gambaran tentang perhubungan sosial
yang kurang sempurna dalam kalangan murid sekolah dan gejala ini kemudiannya mempunyai
implikasi kepada pembelajaran akademik mereka di sekolah (Rigby, 2008). Literatur mendapati
wujudnya kesan psikologi yang negatif terhadap murid yang menjadi mangsa buli. Mereka
didapati mempunyai harga diri yang rendah, kerisauan yang tinggi, mengalami kemurungan
dan akhirnya ada yang membunuh diri. Selain itu, pembuli juga turut mengalami gangguan
psikologi (Noran, 2002). Oleh yang demikian, masalah buli di sekolah harus diberi perhatian
serius kerana kesan yang dialami oleh mangsa serta pembuli itu sendiri boleh mengganggu
proses sosialisasi dan pembelajaran di sekolah serta masa depan mereka.
Definisi Buli dan Status Sosial
Definisi buli merujuk kepada situasi apabila seseorang murid terdedah kepada tindakan yang
negatif secara berulang kali dan berbentuk secara langsung atau tidak langsung oleh seorang
murid atau kumpulan yang lebih dominan (Olweus, 1996). Tingkah laku buli ini bertujuan untuk
menyakitkan mangsa dan membuatkannya berada dalam keadaan tertekan (Tattum, 1992). Buli
ini biasanya mempamerkan hubungan kuasa asimetri (Olweus, 1996), atau satu sistem
penyalahan kuasa (Smith & Sharp, 1994). Tingkah laku buli berlaku dalam satu jangka masa
tertentu. Kebiasaannya murid yang terlibat dengan tingkah laku membuli mempunyai tahap
kesedaran yang berbeza terhadap apa-apa yang dirasa oleh mangsa akibat perlakuan buli
tersebut. Kebanyakan daripada mereka menyedari bahawa sesetengah tingkah laku mereka itu
adalah sesuatu yang salah (Rigby, 1996).
Bagi kajian ini definisi operasional tingkah laku buli akan memfokuskan kepada tindakan negatif
(fizikal, verbal, psikologi, pemulauan dan peras ugut) yang dilakukan oleh seorang atau
sekumpulan murid lelaki secara langsung atau tidak langsung terhadap mangsa buli semasa
berada di sekolah. Tingkah laku buli ini berlaku dalam keadaan pembuli mempunyai fizikal,
verbal atau kuasa yang lebih dominan berbanding mangsa buli.
Tindakan negatif secara fizikal merujuk kepada tindakan memukul, menendang dan serangan
yang ganas serta kadang kala menggunakan senjata. Tindakan negatif secara verbal adalah
dalam bentuk ejekan dan penghinaan. Sekiranya pembuli mengugut untuk mencederakan
mangsa, perlakuan ini dinamakan tindakan negatif secara psikologi. Peras ugut melibatkan

tingkah laku mengambil barang-barang berharga, seperti wang daripada mangsa. Sementara itu,
pemulauan bermaksud tidak mengendahkan atau melibatkan mangsa untuk mengambil
bahagian dalam sesuatu aktiviti (Tattum, 1993).
Di dalam kajian ini jenis buli secara langsung merujuk kepada tindakan negatif yang dilakukan
secara terbuka ke atas mangsa manakala buli secara tidak langsung adalah tingkah laku buli
yang dilakukan secara pemulauan sosial dan cuba untuk memencilkan mangsa daripada sesuatu
kumpulan (Olweus, 1996).
Status sosial muridpula merujuk kepada kedudukan seseorang murid di dalam hirarki sosial
kumpulan rakan sebaya di sekolah. Status sosial dibahagikan kepada status popular, kontroversi
(controversy), biasa (average), ditolak (rejected), dan diabai (ignored) oleh rakan sebaya (French
1988). Status sosial seseorang murid ditentukan berdasarkan pencalonan populariti rakan sebaya
terhadap mereka.
Sementara itu, definisi operasional bagi status sosial murid dalam kajian ini merujuk kepada lima
jenis status sosial yang terdapat dalam hirarki sosial rakan sebaya (murid lelaki tingkatan empat)
iaitu popular, kontroversi, biasa, ditolak dan diabai. Status sosial murid di dalam kajian ini
diklafikasikan menerusi ujian sosiometrik berdasarkan pencalonan rakan sebaya sejauh mana
seseorang murid itu dikenali dan disukai dalam kalangan rakan sebaya di sekolah.

Hubungan Antara Status Sosial dengan Tingkah Laku Buli

Literatur yang berkaitan tingkah laku buli dengan status sosial murid sering mencadangkan
bahawa murid yang membuli mempunyai hubungan dengan status popular dan status ditolak.
Boivin dan Begin, (1989); Eder, (1995); Espelage dan Holt, (2001); Wentzel dan Asher, (1995) telah
mendapati murid yang membuli sering kali dikaitkan dengan status popular dalam hirarki sosial
rakan sebaya di sekolah . Hal ini disebabkan pembuli ini menerima sokongan rakan sebaya yang
kukuh yang menyebabkan mereka dihormati, ditakuti serta mempunyai ramai kawan (Espelage
& Holt, 2001) serta memiliki pandangan kendiri yang lebih positif (Boivin dan Begin, 1989).
Mereka juga memiliki fizikal yang tegap dan mempamerkan tingkah laku agresif yang
merupakan ciri yang penting dalam menentukan status popular dalam kalangan murid lelaki
(Eder, 1995). Ciri-ciri ini telah menyebabkan sesetengah pembuli berada di status popular dalam
hirarki sosial rakan sebaya di sekolah.
Walau bagaimanapun, terdapat juga literatur yang mengaitkan pembuli dengan status ditolak
dalam hirarki sosial rakan sebaya di sekolah (Coie et al., 1990; Dodge, 1983; Juvonen, 1992; Ladd,
1981; Wheeler, 2004). Pembuli yang berada dalam status ditolak oleh rakan sebaya ini secara
khususnya mempunyai hubungan dengan tingkah laku negatif di sekolah, menjauhkan diri dari
sekolah dan tahap pencapaian akedemik yang rendah (Ladd, 1981). Selain itu, Wheeler (2004),
juga mendapati murid yang membuli tidak disukai dan sering diabaikan oleh rakan sebaya.
Mereka juga dilihat lebih agresif dalam berinteraksi dengan rakan sebaya dan mempamerkan
tingkah laku sosial yang negatif. Hal ini berkaitan dengan dapatan Olweus (1978), yang
mengaitkan pembuli yang berada di dalam status ditolak adalah pembuli pasif manakala
pembuli agresif sering kali dikaitkan dengan status popular dalam hirarki sosial rakan sebaya di
sekolah.
Menurut Olweus (1978) pembuli yang agresif cenderung dikategorikan memiliki fizikal yang
kuat, dorongan yang tinggi, panas baran, suka bergaduh, tiada rasa takut, suka memaksa,

berkeyakinan dan tiada rasa simpati terhadap mangsa. Mereka mempunyai personaliti yang
agresif dan dimotivasikan menerusi kuasa di samping keinginan untuk mendominasi orang lain.
Pembuli jenis ini juga cenderung untuk menjadi murid yang popular di peringkat awal
persekolahan.
Sebaliknya Olweus (1978) menjelaskan bahawa pembuli pasif pula lebih cenderung untuk berasa
tidak selamat, memiliki tahap keyakinan yang rendah dan personaliti yang tidak disukai. Di
samping itu pembuli pasif ini juga tidak suka kehidupan di rumah, bermasalah di sekolah,
pemarah dan sering menimbulkan masalah dengan rakan sebaya. Mereka hanya menunjukkan
kesetiaan yang tinggi kepada pembuli agresif. Oleh demikian pembuli pasif ini tidak popular
dalam kalangan rakan sebaya berbanding pembuli agresif. Keadaan ini menunjukkan bahawa
mungkin pembuli pasif cenderung berada dalam status ditolak manakala pembuli agresif
cenderung berada dalam status popular dalam hirarki sosial rakan sebaya di sekolah.

TUJUAN KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap tingkah laku buli dalam kalangan murid lelaki
yang membuli semasa berada di sekolah. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk
mengenal pasti status sosial murid yang membuli dalam hirarki sosial rakan sebaya serta
hubungannya dengan tingkah laku buli dalam kalangan murid-murid lelaki di sekolah.
Soalan 1
Soalan 2
Soalan 3

Apakah tahap tingkah laku buli dalam kalangan murid lelaki yang membuli di
sekolah?
Apakah kedudukan status sosial murid-murid lelaki yang membuli di sekolah?
Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara status sosial murid-murid
dengan tingkah laku buli dalam kalangan murid lelaki yang membuli di
sekolah?

METODOLOGI KAJIAN
Untuk mencapai tujuan kajian, penyelidik menggunakan kajian berbentuk korelasi bagi
memperolehi maklumat yang diperlukan. Dalam hal ini kaedah soal selidik dan sosiometrik
digunakan untuk mendapatkan data. Lokasi kajian ini dijalankan di beberapa buah sekolah
menengah di negeri Pulau Pinang. Sebanyak lima buah sekolah menengah yang mempunyai
masalah disiplin yang tinggi telah dipilih mengikut daerah di Pulau Pinang.
Kajian ini telah menggunakan kaedah pesampelan secara bertujuan (Purposive sampling) untuk
mendapatkan sampel murid lelaki yang memiliki tingkah laku buli. Menerusi kaedah
pesampelan ini, seramai 74 daripada 420 murid-murid lelaki tingkatan empat (berusia enam
belas tahun) telah dipilih sebagai sampel kajian berdasarkan skor soal selidik Tahap Tingkah
Laku Buli (TTLB).
Soal selidik (TTLB) ini, mempunyai 25 item soalan bagi mengumpul maklumat bagi kekerapan
tingkah laku buli secara langsung dan tidak langsung. Bagi menentukan tahap tingkah laku buli,
skor min yang diperoleh oleh respondan soal selidik TTLB digunakan sebagai kriteria
pengelasan tahap tingkah laku buli seperti tahap rendah, tahap sederhana rendah, tahap
sederhana, tahap sederhana tinggi dan tahap tinggi. Hanya murid-murid yang memperolehi
skor buli dari tahap sederhana rendah hingga tahap tinggi sahaja dipilih sebagai sampel kajian.

Borang sosiometrik Pengklasifikasian Populariti Murid (PPM) digunakan untuk


mengklasifikasikan status sosial murid berdasarkan rating populariti oleh rakan sebaya. Bagi
mendapatkan min skor bagi Pengklasifikasian Populariti Murid (PPM), murid diberikan senarai
nama murid lelaki di tingkatan empat di sekolah tersebut. Kemudian mereka diminta untuk
menentukan sejauh mana murid tersebut popular dalam kalangan rakan sebaya dengan
membuat rating di dalam borang sosiometrik.
Sebagai asas bagi kaedah sosiometrik ini, skor pengklasifikasian populariti murid dikira dengan
menggunakan skor min daripada rating yang diterima daripada rakan sebaya terhadap
seseorang berdasarkan senarai nama. Menerusi sistem rating rakan sebaya, tiada murid yang
akan tertinggal untuk diklafikasikan status sosial mereka dalam kalangan rakan sebaya (French,
1990). Sistem sosiometrik ini telah mengklasifikasikan lima status sosial murid seperti dalam
jadual di bawah.
Jadual 1. Pengkelasan Status Sosial Murid
Status Sosial Murid
Min
Diabai
1.00 1.80
Ditolak
1.81 2.60
Biasa
2.61 3.40
Kontroversi
3.41 4.20
Popular
4.21 5.00

Bagi menganggar kebolehpercayaan soal selidik TTLB, satu ujian rintis dijalankan terhadap 44
orang murid lelaki tingkatan empat di sekolah yang tidak terlibat dengan kajian ini di Pulau
Pinang. Penentuan kaedah pengukuran bagi menentukan koefisien kebolehpercayaan di dalam
kajian ini telah menggunakan kaedah kestabilan dalaman (Internal Consistency). Model
kebolehpercayaan yang digunakan adalah Croncbach Alpha yang diasaskan kepada model
kekonsistenan dalaman. Kebolehpercayaan item menggunakan pekali Croncbach Alpha bagi soal
selidik TTLB ini adalah 0.88 bagi 25 item soalan.
Beberapa orang pakar dalam bidang kajian, bahasa dan psikometrik ditemui bagi mendapatkan
pandangan serta nasihat tentang kesahan soal selidik. Nasihat dan pandangan daripada pakar
dalam bidang yang dikaji diperoleh untuk menilai kesahan kandungan soal selidik. Perubahan
dan ubahsuai dilakukan atas nasihat pakar. Di samping itu atas nasihat pakar beberapa
perubahan dilakukan terutama penggunaan istilah di dalam soal selidik.
Statistik yang digunakan untuk menganalisis data dalam kajian ini ialah statistik deskriptif
(frekuensi, peratusan, min dan sisihan piawai) dan statistik inferensi (Ujian Pekali Korelasi
Pearson (Pearsons Correlation). Program yang digunakan untuk menganalisa data ialah Statistical
Package for the Social Science (SPSS) versi 12.0.

DAPATAN KAJIAN
Tahap Tingkah Laku Buli Bagi Murid-murid Lelaki Tingkatan Empat di Pulau Pinang
Secara keseluruhannya tahap tingkah laku buli bagi 74 murid lelaki tingkatan empat yang
membuli berada pada tahap buli sederhana rendah berdasarkan skala tahap tingkah laku buli

yang digunakan di dalam kajian ini. Skor min tingkah laku buli bagi 74 orang murid lelaki yang
membuli ialah 2.43. Sementara itu, seramai 53 pembuli (72%) berada di tahap sederhana rendah
berdasarkan pengelasan tahap buli murid. Keputusan ini dapat dilihat dalam jadual 2 dan 3 di
bawah.

Jadual 2. Min Tingkah Laku Buli Bagi Pembuli


N
Min
Std. Dev.
Tingkah Laku Buli
74
2.43
.7599
Valid N

74

Jadual 3. Peratusan Murid Mengikut Tahap Tingkah Laku Buli


Tahap Tingkah Laku Buli
Bilangan
Peratusan
Tahap sederhana rendah
53
72%
Tahap sederhana
12
16%
Tahap sederhana tinggi
8
11%
Tahap tinggi
1
1%
Jumlah
74
100%
Status Sosial Murid-murid yang Membuli di Sekolah
Skor min status sosial 74 murid yang membuli di dalam kajian ini adalah 2.56. Secara tidak
langsung berada dalam status ditolak berdasarkan hierarki status sosial murid-murid yang
digunakan dalam kajian ini. Skor min populariti yang diperoleh respondan di dalam borang
sosiometrik Pengklasifikasian Populariti Murid (PPP) dijadikan sebagai petunjuk status sosial
murid-murid. Data ini ditunjukkan dalam jadual 4 di bawah.
Jadual 4. Min Status Sosial Bagi Pembuli
N
Min
Std. Dev.
Status Sosial Murid
74
2.56
.8122
Valid N

74

Peratusan Murid-murid Mengikut Status Sosial


Berdasarkan skor min status sosial murid didapati seramai 32 pembuli (43.2%) diklasifikasikan
ke dalam status ditolak. Tiada murid (0%) yang diklasifikasikan dalam status popular. Seramai
10 orang (13.5%) diklasifikasikan dalam status kontroversi, 27 orang (36.5%) status biasa, dan
hanya 5 orang (6.8%) murid-murid yang diklasifikasikan dalam status diabai. Data ditunjukkan
dalam jadual 5 di bawah.
Jadual 5. Peratusan Pembuli Mengikut Status Sosial
Status Sosial Murid
Bilangan Pembuli
Peratusan (%)
Popular
0%
Kontroversi
10
13.5%
Biasa
27
36.5%
Ditolak
32
43.2%

Diabai
Jumlah

5
74

6.8%
100%

Hubungan Antara Status Sosial Murid dengan Tahap Tingkah Laku Buli
Pekali korelasi bagi menilai hubungan di antara status sosial dengan tingkah laku buli mendapati
bahawa nilai r = -.425; df = 74, p < 0.000. Nilai ini menunjukkan wujud hubungan yang signifikan
di antara status sosial dengan tingkah laku buli dalam kalangan murid-murid lelaki di sekolah.
Hubungan yang berbentuk negatif ini menjelaskan bahawa seorang murid yang mempunyai
status sosial yang rendah cenderung untuk memiliki tahap tingkah laku buli yang tinggi. Hal ini
menjelaskan bahawa murid yang berada di status diabai dan ditolak di dalam hirarki sosial
rakan sebaya cenderung untuk mempunyai tahap tingkah laku buli yang tinggi manakala bagi
murid yang di status popular cenderung memiliki tahap tingkah laku buli yang rendah.
Jadual 6. Keputusan Korelasi Antara Status Sosial Murid dengan Tingkah Laku Buli
Tingkah Laku Buli
Status Sosial Murid

Korelasi Pearson
Sig. (2-hala)
N

- .425(**)
.000
74

Korelasi signifikan pada aras 0.01 (2-hala).

PERBINCANGAN
Status Sosial Murid-murid Yang Membuli
Status sosial murid merujuk kepada kedudukan seseorang murid di dalam hierarki sosial rakan
sebaya di sekolah. Hierarki status sosial murid-murid dibahagikan kepada status popular,
kontroversi (controversy) ,biasa (average), ditolak (rejected), dan diabai (ignored) oleh rakan sebaya
(French 1990). Status sosial seseorang murid-murid itu di dalam kajian ini ditentukan oleh rakan
sebaya mereka. Penentuan status sosial murid-murid di sekolah adalah mengikut skor
Pengklasifikasian Populariti Murid (PPM) berdasarkan sejauh mana seseorang murid itu popular
dalam kalangan rakan sebaya di sekolah tersebut.
Kajian mendapati murid-murid lelaki yang membuli tergolong dalam status ditolak berdasarkan
hirarki status sosial murid-murid di sekolah. Dapatan ini bertepatan dengan kajian yang
dijalankan oleh Rigby (1996), Bierman dan Wargo (1995), dan Coie & Dodge (1990) yang
mendapati murid-murid yang membuli di sekolah berada dalam pengkelasan status ditolak
dalam kalangan rakan sebaya. Oleh yang demikian, pembuli dalam kajian ini adalah jenis
pembuli pasif.
Murid yang ditolak oleh rakan sebaya ini juga berada dalam kumpulan murid minoriti semasa di
sekolah (Rigby, 1996). Mereka membuli mungkin disebabkan untuk memperoleh status yang
lebih tinggi serta untuk mendapatkan sokongan dan pengiktirafan daripada rakan sebaya. Di
samping itu, tarikan untuk menjadi ahli kumpulan murid-murid popular menyebabkan mereka

sanggup untuk melakukan apa saja (termasuk melakukan perlakuan buli) untuk mencapai
matlamat tersebut.
Teori Anomie (Merton, 1938) menjelaskan bahawa murid-murid yang membuli berada dalam
status ditolak dalam hirarki status sosial murid-murid di sekolah. Merton (1938) mendefinisikan
anomie itu sebagai keadaan seseorang yang sedang mengalami kekecewaan di dalam
hidupnya. Dalam kajian ini, rasa tidak puas hati dan kecewa yang dialami oleh murid-murid
adalah berkait dengan status sosial mereka (ditolak oleh rakan sebaya). Oleh kerana gagal dalam
mencapai status popular melalui cara yang disahkan (akademik, sukan, persatuan dan lain-lain)
menyebabkan mereka berusaha untuk memperolehnya melalui cara yang tidak diinstitusikan
iaitu dengan melakukan perlakuan buli terhadap murid lain.
Pada anggapan murid ini dengan melakukan buli terhadap murid yang lemah akan menarik
perhatian dan mendapatkan sokongan daripada murid-murid lain. Secara tidak langsung
perlakuan buli boleh menjadikan mereka popular dan dikenali. Bagimanapun, pandangan
murid-murid lain adalah sebaliknya. Murid-murid yang membuli juga akan dikenali oleh rakan
sebaya namun dikenali dengan cara yang negatif. Pembuli ini terkenal tetapi mereka tidak
disukai dan dihormati oleh rakan sebaya. Justeru, mereka ditolak oleh rakan sebaya. Teori
Anomie ini jelas dapat menerangkan bagaimana murid-murid yang membuli tergolong dalam
kumpulan murid-murid yang ditolak dalam hierarki status sosial murid-murid di sekolah.
Hubungan Antara Status Sosial Dengan Tingkah Laku Buli
Analisis korelasi mendapati hubungan yang signifikan antara status sosial murid dengan tahap
tingkah laku buli dalam kalangan murid-murid lelaki yang membuli di sekolah. Hubungan yang
berbentuk negatif ini menjelaskan bahawa murid-murid yang memiliki tahap tingkah laku buli
yang tinggi, cenderung untuk berada dalam status yang rendah di dalam hierarki status sosial
murid-murid. Dalam kajian ini mendapati murid yang membuli berada di status ditolak oleh
rakan sebaya.
Dapatan ini dilihat selari dengan beberapa kajian yang telah dijalankan di luar negara iaitu Rigby
(1996), French (1990) dan Coie et al. (1990) yang menyatakan terdapatnya hubungan antara status
sosial murid dengan tingkah laku buli. Dapatan kajian juga bertepatan dan menyokong Teori
Pembelajaran Sosial yang dikemukakan oleh Bandura (1973). Beliau menyatakan bahawa
pengaruh sub budaya juga menyumbang ke arah pemerolehan tingkah laku agresif ini. Muridmurid yang berada di dalam persekitaran rakan sebaya yang menggalakkan atau mengamalkan
tindakan agresif (perlakuan buli) untuk mencapai sesuatu matlamat akan meniru dan
memperoleh perlakuan agresif tersebut.
Status sosial murid yang merupakan salah satu sub-budaya dalam hubungan rakan sebaya di
sekolah boleh menyebabkan seseorang murid itu melakukan buli. Murid yang membuli
tergolong dalam status ditolak oleh rakan sebaya dalam hierarki status sosial di sekolah.
Kebiasaannya murid yang ditolak ini hanya bergaul dengan kumpulan murid-murid yang
berada di dalam status yang sama. Mereka mengamal dan menggalakkan perlakuan buli untuk
menjadi popular kerana tidak mempunyai kelebihan yang positif untuk bersaing dengan muridmurid lain di sekolah.
Menerusi proses pemerhatian, pembelajaran, dan peniruan terhadap perlakuan buli yang
dilakukan oleh rakan-rakan dalam kumpulan terhadap murid yang lemah, secara tidak langsung
mengajar mereka untuk menjadi pembuli. Ganjaran dan motivasi yang diperoleh (keseronokan,

dikenali, ditakuti dan dipuji rakan kumpulan) daripada


memperkukuhkan lagi tingkah laku buli murid-murid ini.

perlakuan

tersebut

akan

Bandura (1973) menjelaskan apabila murid menyaksikan tingkah laku agresif (buli) di mana
pelakunya memperoleh ganjaran, maka akan menimbulkan satu jangkaan kepadanya. Murid ini
menjangkakan ia juga akan memperoleh ganjaran yang sama jika turut mempamerkan tingkah
laku sedemikian. Oleh yang demikian, keadaan ini mencetuskan satu tanggapan kepada murid
tersebut bahawa tingkah laku buli itu merupakan satu perbuatan yang diterima dan perlakuan
tersebut memberikan ganjaran kepadanya.
Berdasarkan kajian ini, ganjaran yang diperoleh (keseronokan, dikenali, ditakuti dan dipuji rakan
kumpulan) dikaitkan status popular. Perlakuan buli ini menjadikan murid yang membuli
dikenali dalam kalangan rakan kumpulan (kumpulan status ditolak). Walau bagaimanapun,
murid yang melakukan buli ini akan dikenali secara negatif oleh rakan sebaya. Namun ia akan
menjadi role model dalam kalangan ahli kumpulannya. Dapatan ini menyokong Olweus (1996)
yang menjelaskan murid yang membuli di sekolah akan menjadi role model kepada murid-murid
lain. Secara tidak langsung akan menggalakkan murid lain untuk meniru tingkah laku buli yang
dipamerkan oleh idola mereka untuk memperoleh ganjaran (status popular).
Justeru, situasi ini mencetuskan buli di sekolah kerana mereka juga ingin menjadi seperti ketua
kumpulan yang dikenali, dihormati serta ditakuti oleh murid-murid lain. Hal ini berhubung kait
dengan peneguhan fungsional keagresifan yang merupakan salah satu ciri dalam Teori
Pembelajaran Sosial (Bandura, 1973). Dalam kajian ini status merupakan satu peneguhan bagi
anggota kelompok atau geng yang menyanjung dan mengiktiraf perlakuan buli dalam kumpulan
rakan sebaya mereka. Mereka tidak menyedari walaupun mereka dikenali, dihormati dan
ditakuti di dalam kumpulannya, sebenarnya mereka ditolak oleh rakan sebaya di sekolah.
PENUTUP
Fenomena buli di sekolah merupakan isu yang memerlukan tindakan segera semua pihak. Tidak
perlu menuding jari menyalahkan sesama sendiri apabila berlakunya lagi kes buli di sekolah.
Apa yang perlu adalah kerjasama semua pihak bagi merancang dan melaksanakan usaha
pencegahan buli di sekolah dengan kadar segera. Kebiasaannya faktor status sosial murid dalam
hirarki rakan sebaya jarang diambil kira semasa merancang program pencegahan buli di sekolah.
Pastinya maklumat yang diperoleh menerusi kajian ini sangat berguna terhadap bidang
pendidikan di negara ini serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung
khususnya bagi pihak yang merancang program intervensi bagi mencegah masalah buli
daripada terus berlaku di sekolah. Semoga usaha ini menjamin kelestarian pembelajaran di
samping memberi peluang kepada murid untuk mendapatkan suasana pembelajaran yang
selamat. Keperluan keselamatan ini adalah juga berkaitan dengan falsafah atau idea tentang hak
kanak-kanak untuk belajar dalam suasana dan persekitaran yang selamat semasa berada di
sekolah.

RUJUKAN
Bandura, A. (1973). Aggression: A Social Learning Analysis. Englewood Cliffs, NJ: Prentice-Hall.

Bierman, K. L. dan Wargo, J. B. (1995). Predicting the longitudinal course associated with aggressiverejected, aggressive (nonrejected), and rejected (nonaggressive) status. Development and
Psychopathology, 7, 669-683.
Boivin, M. dan Begin, C. (1989). Peer status and self-perception among early elementary school
children: The case of the rejected children. Child Development, 60, 591-596.
Boulton, M. J. dan Smith, P. K. (1994). Bully/victim problems in middle-school children: Stability,
self-perceived competence, peer perceptions and peer acceptance. British Journal of
Developmental Psychology, 12, 315-329.
Coie, J. D., Dodge, K. A. dan Kupersmidt, J. B. (1990). Peer group behavior and social status.
Dalam Asher, S. A. dan Coie, J. D. (Eds.), Peer rejection in childhood (pp. 17-59). New York:
Cambridge University Press.
Cillessen, A. H. N., Van Izendoorn, H. W. V., Van Lieshout, F. M. dan Hartup, W. (1992).
Heterogeneity among peer-rejected boys: subtypes and stabilities. Child Development, 63, 893905.
Dodge, K. A. (1983). Social cognition and children's aggressive behavior. Child Development, 51,
162-170.
Dorothy, L. (2002). Bullying in Early Adolescence: The Role of the Peer Group. ERIC Digest, By:
Espelage
Eder, D. (1985). The cycle of popularity: Interpersonal relations among female adolescents.
Sociology of Education, 58(3), 154-165.
Espelage, D. dan Holt, M. (2001). Bullying and victimization during early adolescence: Peer
influences and psychosocial correlates. Journal of Emotional Abuse, 2, 123-142.
French, D. C. (1988). Heterogeneity of peer-rejected boys: Aggressive and nonaggressive
subtypes. Child Development, 59, 976-985.
French, D. C. (1990). Heterogeneity of peer-rejected girls. Child Development, 61, 2028-2031.
Juvonen, J. (1992). Negative peer reactions from the perspective of the reactor , By: Journal of
Educational Psychology, 84, 0022-0663.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2006). Jumlah kes buli di sekolah menengah dan rendah (2000
2005), Bahagian Sekolah.
Ladd, G. W. 91981). Effectiveness of a social learning method for enhancing children's social
interaction and peer acceptance. Child Development, 52, 171-178.
Merton, R. K. (1938). Social Structure and Anomie. American Sociological Review, 3, 672-682.
Noran Fauziah Yaakub. (2002). Insiden Buli di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah: Implikasi kepada
Pengurusan Sekolah. Prosiding Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan
Ke-11, 2002, 261-272.

10

Noran Fauziah Yaakub. (2004). Masalah Disiplin di Kalangan Murid Sekolah Rendah. Kertas yang
dibentangkan di Seminar Hala Tuju Pendidikan Prima: Cabaran dan Harapan. Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Olweus, D. (1978). Aggression in schools: Bullies and Whipping Boys. New York: Wiley.
Olweus, D. (1993) Bullying at School: What We Know and What We Can Do. Oxford: Blackwell.
Olweus, D. (1996). Bullying of students by teachers. Bergen, Norway: Alma Mater Forlag.
Pellegrini, A. D., Bartini, M. dan Brooks, F. (1999). School bullies, victims, and aggressive victims:
Factors relating to group affiliation and victimization in early adolescence. Journal of
Educational Psychology, 91, 216-224.
Rigby, K. (1996). Bullying in School and What to Do About It. Melbourne: The Australian Council for
Educational Research ltd.
Rigby, K. (2008). Children and Bullying: How Parents and Educators Can Reduce Bullying at School.
Oxford: Blackwell.
Smith, P. K. dan Sharp, S. (Eds.). (1994). School bullying: Insights and perspectives. London:
Routledge.
Tattum, D. P. (1988). Violence and aggression in schools. Dalam Tattum, O. P. dan Lane, D. A.
(Eels.), Bullying in schools (pp.7-20). Stoke-on-Trent: Trentham Books.
Violato, C. dan Tanya, N. (2004). A Model of childhood perceived peer harassment: analyses of
the Canadian national longitudinal survey of children and youth data, Journal of Psychology,
00223980, 138, (2).
Wentzel, K. R. dan Asher, S. R. (1995). Children's social and scholastic lives in kindergarten:
Related spheres of influence? Child Development, 70, 1373-1400.
Wheeler, E. (2004). Childhood Education. Olney: Fall Vol.81, Iss. 1; pg. 32L.

11

You might also like