You are on page 1of 13

Sistem pemerintahan Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Sistem pemerintahan zaman Melayu Melaka pada umumnya adalah bercorak


feudal. Ini kerana rakyat dibahagikan kepada beberapa lapisan mengikut susun lapis yang
tersendiri dalam bentuk piramid. Manakala nagi hierarki golongan pemerintah pula,
terdapat dua golongan iaitu golongan pemerintah atau bangsawan dan golongan yang
diperintah.
Bagi menjelaskan sistem pembesar ini kita akan merujuk kepada Kesultanan
Melayu Melaka. Kesultanan Melayu Melaka ini merupakan kerajaan Melayu tradisional
yang terawal dan juga merupakan pengasas kepada kepada sistem pemerintahan beraja di
negara Malaysia kini.
Kesultanan Melayu Melaka mengamalkan sistem Pembesar Empat Lapis. Ini
kerana pemerintahan Sultan Melaka dibantu oleh empat orang pembesar iaitu Bendahara,
Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Mereka inilah yang menjadi tunggak
pembangunan pada zaman Melayu Melaka pada satu ketika dahulu. Masing-masing
mempunyai fungsi mereka yang tersendiri dalam memastikan pemerintahan berjalan
dengan lancar. Mereka diberikan kuasa bagi mentadbir sesebuah kawasan yang terletak
dalam jajahan takluk negeri Melaka.
Di bawah pembesar berempat, terdapat beberapa lapis lagi golongan pembesar.
Antaranya ialah Pembesar Berlapan, Pembesar Enam Belas dan juga Pembesar Tiga
Puluh Dua. Shahbandar, Hulubalang Besar dan juga Penghulu merupakan antara
golongan pembesar yang terletak di bawah Pembesar Berempat. Kesemua pembesarpembesar ini saling bantu-membantu dan bekerjasama bagi memastikan negeri Melaka
aman dan makmur sepanjang masa.
Sultan merupakan ketua negari di Melaka. Baginda juga merangkap ketua politik,
ketua tentera, ketua agama Islam dan pentadbiran. Sultan Melaka menjadi lambang

keagungan negeri Melaka dan para pembesar membantu baginda dalam menguruskan
hal-hal pentadbiran seharian.
Pembesar Berempat di Melaka dan Fungsinya.
Bendahara pada zaman Kesultanan Melayu Melaka boleh disamakan dengan
jawatan Perdana Menteri pada masa kini. Kuasa Bendahara sangat besar kerana beliau ini
merupakan orang yang paling kakan kepada Sultan Melaka. Biasanya, sebelum menjadi
Bendahara, seseorang itu perlulah menjadi Temenggung atau Penghulu Bendahari
sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan Bendahara.
Bendahara biasanya merupakan orang yang menpunyai pengalaman yang luas
dalam selok-belok pentadbiran dan hal ehwal politik. Beliau bertanggungjawab dalam
menyelia dalam hampir semua perkara di negeri Melaka. Maka tidak hairanlah bahawa
seseorang Bendahara itu sangat dihormati oleh Sultan.
Tun Perak merupakan Bendahara Melaka yang paling diingati dalam sejarah
Kesultanan Melayu Melaka kerana berjaya membawa Melaka ke zaman kegemilangan di
bawah pemerintahan tiga orang Sultan Melaka.
Bendahara juga merupakan pemerintah tertinggi dalam angkatan bersenjata
kerajaan Melaka, pertahanan dan adat istiadat kerajaan. Beliau berhak menyusun dan
merangka segala dasar-dasar kerajaan disamping menjaga keadaan di dalam istana dan
juga memilih isteri bagi teman hidup Sultan Melaka. Bendahara juga berperanan dalam
melantik seseorang Sultan Melak. Malah jika Sultan yang mentadbir tidak mempunyai
zuriat, Bendaharalah orang yang paling layak untuk menjadi Sultan, seperti mana yang
pernah terjadi kepada Bendahara Tun Habib.
Penghulu Bendahari boleh disamakan dengan jawatan Menteri Kewangan pada
zaman Malaysia moden kini. Biasanya jawatan ini diwarisi secara turun-temurun.
Gelaran bagi Penghulu Bendahari ialah Seri Nara Diraja. Tugas utama Penghulu

Bendahari ialah menjaga dan menyelia segala urusan kewangan negeri, menyelia urusan
cukai perdagangan dan harta-benda kerajaan.
Penghulu Bendahari merupakan ketua kepada semua Shahbandar dan bendaharibendahari yang bertanggungjawab menjaga pelabuhan Melaka. Selain itu, Penghulu
Bendahari juga berperanan menjaga bangunan istana dan memastikan segala kelengkapan
istana mencukupi. Dari segi adat istiadat pula, Penghulu Bendahari merupakan ketua adat
bagi semua acara-acara rasmi yang melibatkan Sultan Melaka. Dalam erti kata yang
ringkas, Penghulu Bendahari juga boleh diibaratkan sebagai setiausaha peribadi kepada
Sultan.
Temenggung merupakan satu lagi jawatan yang terdapat dalam sistem
pemerintahan Melayu Melaka. Jawatan Temenggung ini pula boleh diibaratkan sebagai
Ketua Polis Negara di Malaysia kini. Temenggung ditugaskan menjaga dan memastikan
keamanan di negeri Melaka terjamin daripada anasir-anasir luar. Gelaran nama jawatan
temenggung ialah Seri Maharaja dan Seri Awadana.
Selain daripada memastikan keamanan di Melaka terjamin, tugas Temenggung
juga termasuklah seperti menjamin keadaan ekonomi negeri Melaka berada di tahap yang
baik. Segala perkara yang berkaitan dengan ukuran, timbangan dan urusan perdagangan
juga menjadi tanggungjawab Temenggung.
Tugas lain Temenggung yang tidak kurang pentingnya ialah memastikan segala
infrastruktur di negeri Melaka berada dalam keadaan yang baik. Antaranya ialah
membetulkan jalan yang rosak, menjalankan rondaan pada waktu malam, menentukan
sistem sukatan dan sebagainya.
Satu lagi jawatan yang penting di Melaka ialah Laksamana. Laksamana ialah
pembesar yang bertanggungjawab dalam mengepalai angakatan pertahanan negeri
Melaka sama ada di laut mahupun di darat. Selain itu, Laksamana bertanggungjawab
menjadi ketua utusan politik dan perdagangan. Maka, adalah menjadi tanggungjawab

Laksamana dalam memastikan negeri Melaka bebas daripada serangan dan ancaman
musuh. Laksamana juga bertanggungjawab menyediakan angkatan tentera dalam
menghadapi peperangan dengan musuh.
Sistem Pemerintahan Malaysia Kini.
Negara Malaysia kini mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan
bukan monarki. Ini bermakna jawatan Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara
digilirkan selama lima tahun dengan sembilan orang raja-raja Melayu yang terdapat di
Malaysia. Jawatan Yang Di-Pertuan Agong ini telah diwujudkan pada 31 Ogos 1957 dan
merupakan jawatanyang unik yang tidak ada di mana-mana negara lain di dunia ini. Ini
kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai Ketua Negara yang
digilir-gilirkan pemerintahan mereka setiap lima tahun sekali.
Yang Di-Pertuan Agong dipilih oleh 9 orang Raja-raja Melayu mengikut
kedudukan yang paling kanan berdasarkan tarikh menaiki takhta. Fungsi utama Yang DiPertuan Agong seperti menjadi pemerintah tertinggi Angkatan Tentera, ketua agama
Islam bagi negeri-negeri yang tidak bersultan dan juga negerinya sendiri.
Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memerintah negara dan kuasa ini
boleh dijalankan sendiri oleh baginda ataupun kabinet Malaysia. Jika baginda sendiri
menjalankan pemerintahan, baginda perlulah mengikuti nasihat daripada kabinet.
Bagindalah yang akan melantik kabinet yang akan menjalankan pemerintahan bagi pihak
baginda.
Lain-lain tugas Yang Di-Pertuan Agong ialah melantik Perdana Menteri atas budi
bicara, memberikan keampunan terhadap pesalah jenayah, berkuasa membuat undangundang, kuasa pemerntahan dan perundangan. Baginda juga boleh sama ada mahu atau
tidak membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihanraya diadakan.

Yang Di-Pertuan Agong juga mempunyai seorang Timbalan Yang Di-Pertuan


Agong bagi menjalankan pemerintahan sekiranya Yang Di-Pertuan Agong itu gering
ataupun melakukan lawatan ke luar negara selama lebih daripada 15 hari. Tempoh
memegang jawatan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong juga ialah selama lima tahun.
Ketua kabinet di Malaysia digelar Perdana Menteri. Tugas utama Perdana Menteri
tentulah mengetuai kabinet, memimpin kerajaan dan menjalankan pentadbiran serta
menjalankan dasar-dasar kerajaan. Perdana Menteri boleh melantik Timbalan Perdana
Menteri dan Jemaah Menteri Kabinet bagi membantu beliau dalam menjalankan urusan
pentadbiran. Mereka ini dilantik daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat atau Dewan
Negara. Timbalan Perdana Menteri pula fungsinya ialah membantu Perdana Menteri
dalam urusan pentadbiran. Ini termasuklah sekiranya Perdana Menteri bercuti atau berada
di luar negara atas urusan rasmi.
Jika seseorang Perdana Menteri itu tidak lagi mendapat kepercayaan lebih separuh
daripada kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat, maka beliau perlulah meletakkan jawatan dan
ini membolehkan Yang Di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri yang baru.
Bagi melaksanakan tugas-tugas eksekutif Kerajaan Persekutuan, beberapa buah
kementerian, jabatan dan badan-badan kerajaan telah diwujudkan. Bilangan kementerian
dan jabatan-jabatan ini bergantung kepada keperluan. Kementerian-kementerian di
Malaysia diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri. Terdapat
juga beberapa orang Menteri yang tidak mengetuai mana-mana kementerian dikenali
sebagai Menteri Tanpa Portfolio. Mereka ini biasanya ditugaskan di Jabatan Perdana
Menteri.
Badan-badan kerajaan di Malaysia dikenali sebagai Badan Berkanun. Ia
merupakan agensi separuh kerajaan dan ditubuhkan bagi mempercepat dan melicinkan
lagi pentadbiran dan pelaksanaan program-program pembangunan negara.Antara badanbadan berkanun yang terdapat di Malaysia ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut

Penyelidikan Getah Malaysia (FRIM) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia


(MIDA).
Peranan Agama Islam
Agama Islam memainkan peranan yang sangat penting pada zaman kesultanan
Melayu Melaka. Kita lihat agama Islam telah berkembang pesat di Melaka. Terdapat
beberapa cara kedatangan Islam di Melaka antaranya melalui perkahwinan. Perkahwinan
terbahagi kepada dua iaitu perkahwinan politik dan perkahwinan biasa. Perkahwinan
politik berlaku di kalangan raja-raja. Misalnya di Melaka, Sultan Mansur Syah dan Sultan
Muzafar Syah telah mengahwinkan puteri-puteri mereka dengan raja Jambi, Kampar,
Inderagiri dan Siak di Sumatera Utara. Di samping itu, puteri raja Melaka juga
dikahwinkan dengan raja Pahang dan raja Kedah. Kesan daripada perkahwinan ini,
negeri-negeri tersebut dapat diIslamkan kemudiannya. Perkahwinan biasa pula
melibatkan antara pedagang Islam atau ulama dari Semenanjung Tanah Arab atau India
dengan penduduk tempatan. Kemudiannya agama Islam

pula tersebar di kalangan

masyarakat sekeliling keluarga yang dikahwini oleh pedagang tersebut.


Peranan mubaligh juga memainkan peranan penting bagi menyebarkan agama
Islam ke Melaka. Pendakwah yang terawal berdakwah di Asia Tenggara ialah Syeikh
Ismail dan Fakir Muhammad. Di Melaka, pendakwah yang berperanan besar dalam
kegiatan dakwah islamiah termasuklah Syeikh Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar dan
Maulana Yusuf. Pada peringkat awal penyebaran Islam, perkara yang diajar oleh ulama
adalah perkara asas tentang Islam secara tidak formal. Apabila Islam berkembang pesat,
perkara-perkara asas diajar secara formal.
Rumah ulama, masjid-masjid dan istana dijadikan tempat untuk mempelajari ilmu
Islam. Intitusi pendidikan awal itu kemudian menjadi pusat pendidikan seperti pondok
dan pesantren. Selain itu penyebaran Islam berlaku apabila pedagang Islam yang datang
berdagang di Melaka. Misalnya pedagang dari Tanah Arab dan India. Sambil berdagang
mereka ini menyebarkan agama Islam kepada penduduk tempatan. Terdapat juga

pedagang-pedagang yang berkahwin dengan anak pembesar Melaka. Dengan cara ini,
maka agama Islam tersebar luas di Melaka.
Peranan golongan istana juga memainkan peranan penting bagi penyebaran
agama Islam di Melaka. Antaranya menjemput ulama datang dan mengajar agama Islam
kepada penduduk tempatan, menjadikan istana tempat penyebaran agama Islam dan pusat
menterjemah agama Islam serta mengumpul kitab-kitab agama. Maka tidak hairanlah
negeri Melaka merupakan pusat penyebaran dan pengajian agama Islam yang terulung
pada kurun ke-15.
Peranan agama Islam pada masa kini merupakan kesinambungan zaman kerajaan
Melayu Melaka. Ianya telah berkembang pesat dan agama Islam telah dijadikan agama
rasmi negara kita, walaupun penduduk di negara kita terdiri daripada berbilang bangsa
dan agama. Ini menunjukan bahawa agama Islam merupakan agama yang sangat
dihormati dan masih terpelihara walaupun negara kita telah dijajah oleh tiga kuasa asing.
Pada masa ini beberapa agensi kerajaan terlibat secara langsung dalam
memelihara dan menjaga martabat agama Islam. Contohnya seperti Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia, JAIS, MAIS, Tabung Haji dan sebagainya. Mereka secara tidak langsung
bertanggungjawab memelihara agama Islam. Agama Islam berkembang dengan hikmah
untik memajukan umat Islam, malah tidak memudaratkan yang bukan Islam. Kejayaan
kita pada hari ini merupakan suatu yang perlu dipandang dan diperhalus oleh negaranegara lain bukan hanya negara-negara Islam tetapi juga negara-negara bukan Islam.
Susun Lapis Masyarakat Melayu Melaka
Masyarakat Melayu tradisi boleh dikatakan satu masyarakat yang mempunyai
nilai-nilai setempat dan belum menerima pengaruh barat. Corak serta sistem masyarakat
Melayu tradisi banyak mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakatnya. Terdapat
dua golongan utama dalam masyarakat Melayu tradisi iaitu golongan pemerintah dan
golongan diperintah. Golongan perintah terdiri daripada raja atau sultan, kerabat diraja,

golongan bangsawan, dan golongan ulama istana. Manakala golongan diperintah pula
ialah golongan rakyat biasa yang merdeka dan golongan hamba. Berdasarkan kepada
taraf, kedudukan serta fungsi seseorang dalam masyarakat, dapat dikatakan masyarakat
Melayu tradisional adalah masyarakat yang berkelas-kelas.

Raja/Sultan Yang Dipertuan


Keluarga dan Kerabat Diraja
Golongan Bangsawan (Pembesar
dan Pentadbir) + Golongan Ulama Istana
Rakyat Jelata Yang Merdeka
Hamba (Abdi, Tawanan, Hulur, Serah dan lain-lain)

Rajah : Susun lapis Masyarakat Melayu Tradisional


Golongan Pemerintah
Raja atau sultan menduduki tingkat yang tertinggi dalam susun lapis masyarakat
Melayu tradisi. Sultan adalah ketua dalam segala hal ehwal negaranya iaitu mengetuai
struktur politik, pentadbiran, dan agama. Sultan-sultan dikatakan mempunyai ciri-ciri
khusus yang dimiliki oleh golongan raja sahaja, antaranya daulat dan derhaka. Daulat
bererti kesetiaan rakyat kepada sultan dengan tidak berbelah bahagi. Sementara derhaka
pula membawa maksud perbuatan mahupun kata-kata yang mengingkari perintah dan
titah sultan. Kedua-dua konsep ini menjadikan sultan lebih mulia dan dianggap
mempunyai kuasa kewibawaan yang mutlak.
Kedudukan status yang kedua tinggi selepas sultan ialah golongan anak raja dan
kerabat diraja. Daripada segi adat-istiadat, sesuai dengan kedudukannya yang merupakan
kedudukan yang tertinggi dalam hieraki masyarakat Melayu, sultan dan keluarga juga
mendapat peruntukan khusus dalam istiadat Melayu. Dalam keseluruhan aspek dalam
masyarakat Melayu tradisi, raja ataupun sultan serta keluarganya telah diberikan

keutamaan yang begitu tinggi walaupun mereka merupakan kumpulan yang terkecil
daripada jumlah keseluruhan masyarakat Melayu pada masa itu. Segala peruntukan yang
diberikan jarang dipersoalkan kerana perkara ini telah diterima oleh pihak rakyat sejak
turun temurun.
Di bawah lapisan golongan istana ialah golongan pemerintah yang terdiri daripada
bukan keturunan raja. Mereka terdiri daripada pembesar-pembesar, ulama, dan penghulu.
Pembesar dilantik oleh sultan. Pembesar-pembesar yang diberi hak mentadbir daerah
kebanyakannya lebih kaya daripada sultan. Selain itu, setiap pembesar Melayu
mempunyai pengikut masing-masing. Kebanyakan pengikut para pembesar ini secara
sukarela akan berkerja untuk para pembesar iaitu tuan mereka tanpa sebarang upah.
Kesanggupan ini berlaku kerana rasa ketaatan pengikut kepada pembesar. Namun begitu
mereka diberi perlindungan dan ada antara mereka diberi tempat tinggal, makan minum,
dan sara hidup yang lain. Para pengikut ini biasanya sangat taat kepada para pembesar
dan adakalanya mereka sanggup mati demi mempertahankan tuan mereka.
Satu lagi golongan yang tidak kurang pentingnya dalam masyarakat Melayu
tradisional ialah ulama. Pada peringkat awal perkembangan dan penyebaran agama Islam
di Tanah Melayu, kebanyakan ulama terdiri daripada para mubaligh dan saudagarsaudagar Arab. Mereka datang untuk tujuan perdagangan dan juga penyebaran agama
Islam. Sebelum Islam bertapak kukuh di negeri-negeri Melayu, peranan ulama tidak
begitu penting dan hanya khusus bagi penyebaran agama Islam sahaja. Namun demikian,
apabila Sultan Muzafar Shah menaiki takhta kerajaan Melaka dan menerima Islam
sebagai agama rasmi, peranan ulama menjadi penting. Ulama seperti Maulana Sadar
Jahan dan Maulana Abu Bakar sangat menonjol terutama ketika memberi pandangan dan
nasihat berkaitan agama kepada sultan.
Golongan Diperintah
Bagi golongan yang diperintah, mereka terdiri daripada golongan rakyat biasa.
Walaupun terdiri daripada kumpulan atau golongan yang diperintah, namun rakyat adalah

kumpulan majoriti dalam masyarakat tempatan pada masa dahulu. Mereka adalah asas
kepada kekuatan bagi sesebuah negeri atau kerajaan. Sehubungan itu, kerajaan dianggap
kuat dan berkuasa sekiranya jumlah rakyat atau orang awam di negeri itu lebih ramai
berbanding negeri-negeri lain.
Rakyat harus patuh dan setia kepada pemerintah. Segala permintaan raja mesti
dijunjung dan kerja sendiri diketepikan. Hal ini jelas dilihat di bawah sistem kerah di
mana rakyat terpaksa menyumbangkan tenaga kerja secara percuma. Secara umumnya,
walaupun mereka terlibat dalam system kerah, mereka adalah orang awam yang bebas
dan merdeka. Kebanyakan daripada orang awam ini melakukan tugas-tugas biasa seperti
bertani, bertukang, dan berdagang untuk menyara hidup.
Golongan yang menduduki hieraki terbawah dalam masyarakat Melayu
tradisional ialah golongan hamba. Golongan ini adakalanya merupakan satu kelas yang
terpisah dan merupakan kelas yang khusus. Terdapat dua jenis iaitu hamba berhutang dan
hamba abdi. Hamba berhutang akan menjadi orang biasa apabila mereka selesai
menjelaskan hutang. Hamba abdi mempunyai berbagai-bagai jenis dan berbeza antara
satu sama lain. Jenis-jenis hamba ialah hamba tawanan, hamba habshi, hamba hulur, dan
hamba serah.
Masyarakat Malaysia Kini
Sehubungan dengan sejarah kependudukan di negara kita, proses migrasi
penduduk dari luar merupakan proses yang sentiasa berlaku. Namun ia lebih merupakan
penghijrahan yang kecil dan ada kalanya bersifat penempatan sementara. Walau
bagaimanapun, struktur demografi di Tanah Melayu semasa penjajahan Inggeris
mendatangkan impak secara langsung kepada struktur politik, ekonomi, dan sosial yang
kemudiannya membentuk masyarakat majmuk di negara ini.
British bertanggungjawab sepenuhnya ke atas ke atas kewujudan masyarakat
majmuk di Malaysia. Masyarakat di Malaysia terdiri daripada Melayu sebagai penduduk

asal dan masyarakat migran iaitu Cina dan India. Berasaskan kepada kepentingan untuk
meningkatkan ekonomi dalam masa yang sama desakan tehadap keperluan buruh,
menyebabkan British menggalakkan kemasukan buruh-buruh asing khususnya penduduk
dari negara China dan India supaya bekerja di lading-ladang getah dan lombong bijih
timah di negara ini.
Masyarakat Malaysia kini hanya terdiri daripada golongan diraja, pemimpin, dan
rakyat biasa. Sistem pemeintahan beraja masih menjadi identity politik masyarakat
Melayu. Raja bagi orang Melayu ialah lambang kekuatan, kekuasaan, dan keabsahan
politik mereka. Oleh yang demikian, raja merupakan tempat orang-orang Melayu
menumpahkan ketaatsetiaan mereka yang tidak berbelah bagi. Dalam masyarakat moden
kini, kedudukan, darjat, dan jawatan sudah tidak banyak membezakan kedudukan
seseorang dalam masyarakat seluruhnya.
Bahasa Melayu Zaman Kerajaan Melayu Melaka
Bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam pentadbiran kerajaan Melayu
Melaka. Malahan digunakan secara meluas dalam urusan perdagangan di Melaka. Pada
masa itu, Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan bahasa perdagangan. Semua pedagang
asing yang datang ke Melaka akan menggunakan bahasa Melayu untuk berhubung atau
menjalankan apa sahaja urusan dengan rakyat tempatan. Penggunaan bahasa Melayu
memudahkan urusan perdagangan antara pembesar-pembesar Melayu dengan pedagangpedagang asing.
Pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka, Bahasa Melayu menjadi
lingua franca. Bahasa Melayu merupakan bahasa utama bagi masyarakat di gugusan
kepulauan Melayu. Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pedagang juga sangat
berkesan kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang senang difahami dan mudah
dipelajari. Semua pedagang yang datang atau ulama dari pelbagai negara menggunakan
bahasa Melayu dalam melaksanakan urusan mereka. Penggunaan bahasa Melayu yang
meluas membolehkan pegawai-pegawai Melaka menjalankan tugas dengan lebih

berkesan. Dengan kata lain, bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam sistem
pentadbiran negara, perdagangan, pertuturan harian, kegiatan dakwah dan ilmiah.
Bahasa Melayu Kini
Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu telah menjadi
bahasa kebangsaan menggantikan bahasa Inggeris yang termaktub dalam perkara 152
perlembagaan Malaysia. Dalam perlembagaan Malaysia, menegaskan bahasa kebangsaan
yang ditetapkan ialah Bahasa Melayu. Tiada siapa akan dihalang atau disekat daripada
menggunakan atau mengajar atau belajar sebarang bahasa lain. Kerajaan berhak
mengekalkan penggunaan dan pembelajaran bahasa sebarang komuniti lain dalam
persekutuan.
Setelah setengah abad Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan,
peranannya melalui perkara 152 sudah tercapai. Penggunaan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi disegenap peringkat sudah terlaksana termasuk parlimen dan mahkamah. Di
peringkat universiti pula sebanyak 70-80% pengajaran telah dilaksanakan dalam bahasa
Melayu.
Bagaimanapun perkembangan tahun 90-an hingga kini menampakkan sikap
terbuka kerajaan dan rakyat terhadap pengunaan bahasa. Penggunaan bahasa Melayu
dalam urusan rasmi dan sebagai bahasa pengantar ilmu kini lebih fleksibel. Contohnya
dalam bidang pendidikan, bahasa Inggeris telah digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik.
Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih belum 100% di
semua peringkat dan arena rasmi, namun kewibawaan bahasa Melayu sudah terbukti.
Bahasa kita semakin dikenali di negara lain. Beberapa buah universiti asing temasuk
England, China, Korea sudah mula menawarkan bahasa Melayu sebagai salah satu
bahasa moden yang boleh dipelajari secara rasmi oleh pelajar. Hingga hari ini kira-kira
129 pusat pengajian tinggi dunia menawarkan pengajian bahasa Melayu.

Penutup
Warisan Melayu Melaka sememangnya masih dapat dilihat sehingga hari ini
walaupun telah banyak perubahan yang dilakukan untuk disesuaikan dengan dunia
moden. Perubahan yang dilakukan perlu memikirkan kepentingan warisan kepada
generasi akan datang. Ketuanan Melayu akan hilang sekiranya masyarakat Melayu kini
tidak memikirkan kesan dikemudian hari. Semua ini perlu dikekalkan bagi menjadi satu
identiti bagi Negara Malaysia yang tercinta.

You might also like