You are on page 1of 5

Contoh esei PT3 Sejarah

Tajuk :
Nama : Sofiah Khalid Surend
Pengenalan
Menjelang tahun 1874 British melaksanakan dasar campur tangan secara langsung dalam
pentadbiran negeri-negeri Melayu. Namun begitu langkah mencampuri urusan dalam negeri
Melayu telah bemula lebih awal di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka melalui penubuhan
Negeri-negeri Selat dan selepas termeterainya Perjanjian Inggeris Belanda 1824. Antara sebab
campur tangan tersebut antara lain ialah kebimbangan Inggeris terhadap kuasa Eropah lain yang
sedang berada di Asia Tenggara seperti Perancis di IndoChina, Sepanyol di Filipina, Belanda di
Indonesia. British tidak mahu kepentingan ekonominya di Negeri Melayu diancam oleh kuasa
ini.
Natijahnya British berjaya menguasai negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan
terakhir ialah negeri Pahang. Di keempat-empat negeri ini British melaksanakan sistem Residen
sebagai cara pentadbiran atau pemerintahan. Kejayaan British menguasai negeri tersebut banyak
disebabkan oleh pertelingkahan antara raja dan pembesar negeri di samping berebut pengaruh
dan kuasa.
Namun begitu sistem Residen memiliki beberapa kelemahan yang ketara yang turut
disedari oleh British sendiri. Bagi raja Melayu pada masa itu kuasa Residen telah menjadi
dominan dalam pentadbiran negeri. Residen mengambil alih kuasa pentadbiran dan pungutan
cukai. Hal ini terjadi kerana Residenlah yang menjalankan semua urusan pentadbiran. Nasihat
resdien sebenarnya merupakan kata putus yang perlu diikuti oleh sultan. Namun ada sesetengah
Residen juga turut campur dalam isu berkaitan adat resam pembesar dan raja pada masa itu.
Sistem Residen juga bukanlah satu sistem yang terancang kerana kuasa Residen di setiap
negeri dilihat berbeza, tidak seragam dan tidak memiliki satu panduan tugas yang sama antara
keempat-empat buah negeri ini. Hal ini menyebabkan terdapatnya idea menyatukan pentadbiran
keempat-empat negeri ini dalam sebuah pentadbiran.
Idea menyatukan pentadbiran negeri Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan
Selangor dikemukakan oleh Frank Swettenham pada tahun 1892 kepada Gabenor Negeri-negeri
Selat, Cecil Smith. Pada tahun 1893, Cecil Smith menghantar laporan kepada Pejabat Tanah
Jajahan mencadangkan penubuhan persekutuan . Dalam laporan itu, beliau menegaskan
penubuhan persekutuan akan menguntungkan British dan negeri tersebut dari segi politik,
ekonomi dan sosial. Frank Swettenham mengambil inisiatif dengan mendapatkan persetujuan
Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terhadap penubuhan
persekutuan. Pada 1 Julai 1895, Sultan tersebut menandatangani perjanjian persekutuan. Pada 1
Julai 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan semasa Sir Charles Mitchell menjadi
Gabenor Negeri-negeri Selat.

Faktor-faktor penubuhan
1. Untuk mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran
Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan Residen dilantik di Perak
pada 1874, Selangor ( 1874 ), Pahang (1888 ) dan Negeri Sembilan(1895 ). Pada awalnya
Residen dihantar sebagai penasihat untuk menasihati sultan dalam semua hal kecuali hal-hal
yang berkaitan dengan agama Islam dan adat-istiadat orang Melayu. Walau bagaimanapun,
Residen tidak diberi garis panduan di dalam melaksanakan tugas di Negeri-negeri Melayu.
Perlaksanaan sistem Residen bergantung kepada sepenuhnya di atas kebijaksanaan Residen yang
dilantik. Kejayaan dan kegagalan menjadi tanggungjawab Residen. Akibatnya, berlaku
ketidakseragaman dalam pentadbiran di negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.
Kemajuan di antara negeri ini juga tidak seimbang kerana kebolehan dan cara pentadbiran
Residen berbeza-beza.
Terdapat juga perbezaan-perbezaan dalam pentadbiran Undang-undang Tanah, keadilan
dan sistem cukai di antara negeri-negeri tersebut. Kemajuan juga tidak seimbang di mana negeri
yang kaya iaitu Perak dn Selangor lebih maju dari negeri yang miskin seperti Pahang. Kerjasama
antara negeri sukar dijalankan sebab negeri ini mempunyai unit politik yang berasingan. Frank
Swettenham berpendapat penubuhan persekutuan akan mewujudkan keamanan dan kecekapan
pentadbiran kerana pentadbiran akan dijalankan mengikut arahan pusat. Perkara yang berkaitan
seperti sistem pentadbiran, cukai, undang-undang tanah dan keadilan akan dapat disatukan dan
diselaraskan. Hal ini akan menjimatkan kos pentadbiran. Usaha memajukan sistem perhubungan
juga dapat dilaksanakan dengan menghubungkan jalan raya dan keretapi di negeri tersebut. Pada
dasarnya, penubuhan persekutuan akan mewujudkan kerjasama ekonomi, politik dan sosial.
2. Menghadkan kuasa Residen
Perlaksanaan sistem Residen telah menyebabkan perlantikan Residen di keempat-empat
negeri yang diperkatakan. Walaupun Residen dilantik sebagai penasihat, mereka muncul sebagai
kuasa paling berkesan kerana segala urusan pentadbiran dijalankan atas arahan Residen. Sultan
dan Majlis Negeri tidak dapat menyekat kuasa Residen. Malah Sultan dan pembesar Melayu
terpaksa merujuk kepada Residen dalam menjalankan pentadbiran negeri. Majlis Mesyuarat
Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran kerana Residen mempunyai kuasa mutlak.
Semua undang-undang yang diluluskan seperti Undang-undang Tanah mesti
ditandantangani oleh Residen sebelum berkuatkuasa. Gabenor Negeri-negeri Selat juga tidak
dapat mengawal kuasa Residen kerana beliau berada di Singapura dan sibuk dengan urusanurusan Negeri-negeri Selat. Penubuhan persekutuan akan mengurangkan kuasa Residen kerana
mereka terpaksa tertakluk kepada arahan kerajaan pusat dan pentadbiran negeri.
3. Masalah kewangan Pahang
Ahli-ahli sejarah seperti Profesor Khoo Kay Kim dan K.G. Tregonning berpendapat
bahawa masalah kewangan Pahang menyebabkan British menubuhkan Negeri-negeri Melayu
Bersekutu. British menduduki Pahang pada tahun 1886 di mana J.P. Rodgers menjadi Residen
pertama. British mengambil Pahang dengan harapan Pahang mempunyai prospek ekonomi
cemerlang. Apa yang sebenarnya ialah Pahang merupakan negeri miskin dengan jumlah
penduduk dan hasil bumi yang kurang.

Pada tahun 1890-an, Pahang menghadapi masalah kewangan. Dalam menjalankan pentadbiran,
British mendapat bantuan kewangan dari Negeri-negeri Selat. Pada akhir tahun 1891, hutang
Pahang pada Negeri-negeri Selat ialah $600 ribu. Pada akhir tahun 1892, hutang meningkat
kepada $800 ribu. Masalah kewangan Pahang semakin runcing apabila berlaku kebangkitan
Pahang 1891-1895.
Diharapkan dengan penubuhan persekutuan, hasil negeri kaya seperti Perak dan Selangor
dapat digunakan untuk membantu negeri-negeri miskin seperti Pahang jika negeri-negeri ini
digabungkan sebagai satu unit politik. Frank Swettenham dan C.D. Cowan (Pegawai Tanah
Jajahan) menegaskan British tidak sepatutnya berundur dari Pahang sebaliknya memajukan
Pahang daripada hasil Perak dan Selangor apabila ia bergabung.
4. Keselamatan
Sejarawan A.C. Miller menegaskan faktor keselamatan menyebabkan penubuhan Negerinegeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896. British bimbang kekacauan seperti Perang Perak
pada 1875-an dan Kebangkitan Pahang 1891-1895 akan berlaku lagi. Penubuhan persekutuan
akan membolehkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai kemampuan dan keupayaan
dari segi ketenteraan, khususnya dalam menjaga keamanan persekutuan tanpa mengharapkan
bantuan luar.
5. Dasar British
Memang menjadi dasar British pada akhir abad ke-19 untuk menggabungkan negeri kecil
di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai persekutuan. Penubuhan persekutuan akan
memberi kebaikan politik, ekonomi dan sosial kepada British dan Negeri Melayu. Negeri-negeri
Melayu Bersekutu ditubuhkan selepas kejayaan British dalam penubuhan persekutuan di
Amerika Utara, India, Afrika, Australia dan New Zealand. Pendapat ini disokong oleh ahli
sejarah seperti A.C. Miller dalam bukunya Federation Decision of 1895 dan Jagjit Singh dalam
bukunya Administration of the Federation Malay States 1896-1920.
Kesan-kesan
1. Mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran.
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjaya mewujudkan keseragaman dan
kecekapan pentadbiran di seluruh persekutuan. Keamanan dan peraturan yang stabil dan
menyeluruh berjaya diwujudkan di seluruh persekutuan. Perkara yang berkaitan dengan
persekutuan seperti sistem pentadbiran, cukai, keadilan, Undang-undang Tanah dapat disatu dan
diselaraskan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat, khususnya
arahan Residen Jeneral yang mengenai persekutan. Bagi memudahkan pentadbiran, beberapa
jabatan seperti kewangan, polism kastam, perhutanan, hal-ehwal orang Cina, kerja raya, keretapi
ditubuhkan. Frank Swettenham dilantik sebagai Residen Jeneral pertama pada 1 Julai 1896.
2. Residen Jeneral menjadi kuasa pentadbir yang baru
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menyebabkan Residen Jeneral muncul
sebagai orang paling berkuasa dalam persekutuan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan

atas arahannya. Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri tidak dapat mengawal kuasanya.
Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran negeri.
Gabenor Negeri-negeri Selat yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan juga
tidak dapat mengawal kuasa Residen Jeneral kerana beliau berada di Singapura untuk mentadbir
Negeri-negeri Selat. Selain itu, sudah menjadi kecenderungan Residen Jeneral menjalankan
pentadbiran tanpa merujuk kepada Pesuruhjaya Tinggi. Majlis Mesyuarat Persekutuan yang
diharap mengawal kuasa Residen Jeneral tidak ditubuhkan sehingga tahun 1909.
Penubuhan persekutuan juga menyebabkan Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri
kehilangan kuasa. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan
pentadbiran. Kuasa Sultan hanya dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu. Residen
tidak lagi bebas menjalankan pentadbiran negeri kerana mereka tertakluk di bawah arahan
Residen Jeneral. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran.
Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi undang-undang digubal
oleh Pegawai Persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang. Majlis Mesyuarat
Negeri tiada kuasa pembatal dan terpaksa meluluskan undang-undang yang dipersetujui.
Penubuhan Jabatan Persekutuan telah menyebabkan lebih ramai Pegawai British yang diambil
tugas. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditadbir secara
langsung oleh British.
Pemusatan kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan, contohnya, dalam
Majlis Mesyuarat Raja-raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903, Sultan Idris (Perak) telah
mengecam hebat pemusatan kuasa dan mendesak diambil langkah melaksanakan desentralisasi
(pengagihan kuasa) bagi mengembalikan kuasa Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri.
Sultan Idris juga mendesak lebih ramai orang Melayu dilantik dalam jabatan persekutuan.
Penubuhan persekutuan membolehkan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar
Negeri Sembilan bertemu dan berbincang bersama-sama kepentingan bersama dalam Majlis
Mesyuarat Raja-raja sejak tahun 1897 dan Majlis Mesyuarat Persekutuan sejak 1909.
3. kestabilan ekonomi
Perkembangan ekonomi yang pesat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan kestabilan
politik telah membawa kepada kestabilan ekonomi. Keseragaman dan kecekapan, keamanan dan
keaturan serta pentadbiran yang berkesan telah menyebabkan lebihan hasil dan hasil persekutuan
dapat digunakan oleh semua negeri dalam semua gabungannya.
Kedatangan pelabur dari luar juga telah menyebabkan berlakunya pertambahan hasil di Negerinegeri Melayu Bersekutu, contohnya hasil Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896
berjumlah $8.5 juta telah meningkat kepada $24 juta pada tahun 1909. Pembinaan sistem jalan
raya dan jalan keretapi terutamanya yang menghubungkan negeri telah memajukan lagi kegiatan
ekonomi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1904, sudah terdapat jalan raya sepanjang
2400 km dan jalan keratapi sepanjang 340 batu. Pada tahun 1903, terdapat jalan keretapi dari
Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909.
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memajukan perusahaan bijih timah dan getah.
Pada tahun 1889 eksport bijih timah dari negeri Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan
berjumlah 20000 tan. Dan menjadi 700000 tan pada tahun 1904. Ianya berdasarkan faktor
penggunaan kapal korek yang digunakan oleh pelabur tersebut.

Begitu juga dengan perusahaan getah yang semakin berkembang selepas penubuhan
Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar, 1905 50 ribu ekar
dan 1909 meningkat kepada 200 ribu ekar yang ditanami getah.
4. mewujudkan keamanan
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah berjaya mewujudkan keamanan dan
peraturan. Jaminan keselamatan dan persamaan hak di sisi undang-undang telah menggalakkan
imigran Cina dan India memasuki bidang perlombongan bijih timah. Dan perushaan getah
.Kedatangan imigran telah menyebabkan pertambahan penduduk di Negeri-negeri Melayu
Bersekutu.
Selain itu, kedatangan imigran juga mewujudkan masyarakat majmuk. Orang-orang Cina dan
India adalah masyarakat yang berasingan dan tidak dapat mengasimilasikan diri dalam
masyarakat Melayu. Penubuhan pesekutuan menyebabkan perutmbuhan dan perkembangan .
bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Lumpur, Kelang dan lain-lain lagi.
5. kemajuan perkhidmatan sosial
Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan sosial seperti perhubungan, kesihatan, pelajaran
dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kemudahan sosial itu mempunyai kepentingan ekonomi
kerana ia disediakan di kawasan yang mempunyai kegiatan ekonomi. Pada tahun 1909, terdapat
52 buah klinik di persekutuan dan 1904 kemudahan perhubungan diadakan (2400 km jalan raya
dan 340 batu jalan keretapi).
Dalam bidang pelajaran, banyak sekolah-sekolah didirikan di Negeri-negeri Melayu
Bersekutu. Pada tahun 1907, terdapat 266 buah sekolah Melayu, 1903 terdapat 15 buah sekolah
Tamil dan 1911, 50 buah sekolah Cina. Selain itu, terdapat sekolah Inggeris yang didirikan oleh
kerajaan dan mubaligh.

You might also like