You are on page 1of 5

BIODATA IMAM SHAFIE

Nama penuh: Abu Abdullah Muhammad ibn Idris ibn Abas ibn Usman ibn Syafi' ibn
'Ubaid ibn Abdu Yazid ibn Hashim ibn Mutolib ibn Abdu Manaf.

Nasab keturunan dengan Nabi Muhammad S.A.W: melalui datuk baginda Abdu
Manaf dan melalui nasab ibu kepada Imam Syafie, Fatimah binti Abdullah ibn Hasan
ibn Hussin ibn Ali ibn Abi Talib. Hubungan nasab ini diakui jumhur ulamak.

Lahir: Tahun 150 H di Ghazzah, Palestin.

Kehidupan: Beliau membesar di dalam keluarga yang fakir di Palestin. Bapanya


meninggal ketika Imam Syafie kecil lagi. Ketika berumur 2 tahun ibunya telah
membawa ke Kota Makkah untuk berjumpa dengan saudara mara beliau dari
keturunan yang dihormati.

Ketika Imam Syafie berumur 7 tahun, beliau telah pun menghafaz Al Quran dan
selepas itu beliau menghafaz pula hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Imam Syafie
juga menguasai ilmu bahasa Arab fushah. Di usia mudanya, beliau menuntut ilmu
dari ramai fuqaha' di Makkah sehinggakan beliau diminta untuk memberi pandangan
dalam menyelesaikan masalah agama.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah di ceritakan bahawa setiap
malam beliau membaHAgi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau
gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam
untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Imam Syafie kerap berhijrah ke luar negara untuk mengutip mutiara ilmu dari
ramai ulamak yang tersohor pada masa itu. Beliau pergi ke Madinah Al Munawwarah
untuk berjumpa dengan Imam Malik dan tinggal bersamanya sehingga ke
penghujung hayat Imam Malik. Imam Malik meninggal dunia pada tahun 179 H.

Setelah itu Imam Syafie menyibukkan diri dengan ilmu agama dan beliau bertugas
di Yaman. Ketika beliau di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis
istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Oleh kerana
beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi,
maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Imam Syafie masuk ke Baghdad sebanyak 3 kali. Kali pertama pada tahun 183 H
ataupun sebelum Khilafah Harun Ar Rashid. kali kedua pada tahun 195 H dan
tinggal di Baghdad selama 2 tahun. Kali ketiga pada tahun 198 H.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu Khalifah Harun Ar-Rasyid sedang
marah terhadap kaum Syiah, kerana golongan tersebut berusaha untuk
meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan
Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Justru, di mana sahaja kaum
Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Satu kali datang surat khalifah dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada
Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama
kali yang paling penting adalah para pemimpinnya. Jika urusan penangkapan telah
selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan
dirantai. Imam Syafie juga ditangkap kerana di dalam surat tersebut dinyatakan
bahawa beliau termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad
dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para
tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab
Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad
belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada
rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan seorang demi seorang
masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa
soalan, mereka dibunuh dengan dipenggal leher tahanan tersebut. Agar darah yang
keluar dari leher yang dipotong itu tidak berselerak ia dialas dengan kulit binatang.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, memohon dari Allah SWT.
Beliau dipanggil ke hadapan khalifah. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya
kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau
diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap khalifah. Semua para pembesar
memerhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amir al-Mukminin wabarakatuh.”


Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu
“Warahmatullah.”

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda


bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak
diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis
ini sebelum mendapat izin dari saya?”

Imam Syafie menjawab: “Saya tidak mengucapkan kata “Warahmatullah” kerana


rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati
baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang
bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan
mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan
mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum
mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama
yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar
(keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman
sentosa.”

Setelah membaca ayat di atas, Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah
menepati janjiNya, kerana sekarang Tuanku telah menjadi khalifah, jawapan salam
Tuanku tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah
lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan
faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan Tuanku dengan baik bila saya masih
dirantai begini. Jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan
sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan
belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.
Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka
Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa
suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu
musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan
kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada Tuanku itu adalah
dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan Tuankulah
yang berhak memegang adab kitab Allah kerana Tuanku adalah putera bapa
saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga
Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada
Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini
menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan
cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid menundukkan kepalanya. Ia berkata kepada Imam Syafie:


“Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami
dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu
wahai Imam Syafie.”

Beliau menjadi masyhur di kalangan umat Islam pada ketika itu. Setelah itu beliau
berhijrah ke Mesir. Imam Syafie keluar masuk Mesir terlalu kerap sehinggakan tidak
diketahui berapa kali.

Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para
muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:
“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka
hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI iaitu: mengurangkan tidur, mengurangkan makan,


mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT iaitu: mengqadhakan kewajipan-kewajipan


yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat
persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.
KETIGA : HAK KEPADA KUBUR iaitu : membuang tabiat suka menabur fitnah,
membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan
membantu orang yang dizalimi.
KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR iaitu : Tidak berdusta, berkata benar,
meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
iaitu : menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup
menanggung kesusahan.
KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI
AKHIRAT) iaitu : membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka
membantu orang beriman dan suka berjemaah.
KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) iaitu : menangis lantaran
takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-
terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.
KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) iaitu : redha
dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah
dan bertaubat dari melakukan maksiat.
KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI S.A.W iaitu : berselawat ke atas Baginda,
berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi
para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.
KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT iaitu : mengajak manusia ke arah kebaikan,
mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci
kemaksiatan.

Sehingga pada tahun 199 H Imam Syafie masuk semula ke Mesir dan meninggal
dunia di Mesir pada malam Jumaat yang penuh barakah. Beliau dikebumikan
selepas Asar pada hari Jumaat bertarikh 29 Rejab 204 H bersamaan 19 Januari 820
M.

You might also like