You are on page 1of 7

-Biografi Ibn Taimiyah-

(ditulis oleh: Mohammad Syafiq bin Ismail/Syafiq atTauhidi – semoga Allah mengampunkannya)

(selesai ditulis pada subuh Selasa, 22.6.2021m)

(Makam Syeikh alIslam Ibn Taimiyah yang sederhana, kini terletak di dalam kawasan
Universiti Damsyik, Syria)

Beliau bernama Ahmad bin Abd alHalim bin Abd alSalam alKhidir alNumairi alHarrani
alDimasyqi. Diberi kuniah Abu alAbbas. Berasal daripada kabilah Bani Numair. Terkenal
dengan laqab Taqiyuddin Ibn Taimiyyah, Syeikh alIslam pada zamannya.

Beliau dilahirkan di Harran (kini: Urfa, Turki), pada 10 Rabiul Awwal tahun 661H, dalam
sebuah keluarga ilmu, di mana datuknya Majduddin Ibn Taimiyyah dan bapanya
Syihabuddin Ibn Taimiyyah masing-masing merupakan faqih Hanbali dan alim
kebanggaan Harran pada zamannya. Beliau hidup di zaman perang, ketikamana Harran
dijajah Mongol, beliau berusia sekitar tujuh tahun, bapanya memutuskan untuk berhijrah
ke Damsyik, bersama keluarganya. Setibanya di Damsyik, bapanya ditugaskan untuk
berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Masjid Umawi, dan menjadi guru besar di Dar
alHadits alSukkariyah. Berkat kepintaran dan keberkatan ilmu di Damsyik, kota para wali
dan ulama itu, beliau menyelesaikan pengajian asasnya dalam usia yang sangat muda,
menghafal alQuran dan Sunnah, mendalami ilmu aqli dan naqli, mendalami Fiqh,
hinggakan beliau diijazahkan untuk memberi fatwa (yakni menjadi mufti) ketika berusia
17 tahun!

Hafalan beliau luarbiasa, dimanfaatkannya untuk menghafal alQuran, serta kitab-kitab


hadis, di antaranya ialah Musnad Ahmad yang menghimpunkan sekitar 12 ribu hadis.
Beliau menghafal alMughni karangan Ibn Qudamah. Disifatkan muridnya Abu Hafs
alBazzar, sebagai „ibto‟ al-nisyan‟-lambat lupa, beliau memanfaatkan hafalan yang kuat ini
untuk menekuninya secara dirayah dan kefahaman, di mana sahaja beliau berada. Bacaan
beliau juga tidak terhad kepada alQuran dan Sunnah sahaja, ke tahap beliau menguasai
perbahasan-perbahasan dalam ilmu Kalam dan karya-karya filsuf serta sufi sebelumnya;
hal yang diiktiraf oleh sesiapa sahaja yang meneliti betapa „bisa‟nya penelitian beliau
dalam alRadd „ala alMantiqiyyin.

Pada tahun 693H, ketika Ibn Taimiyah berusia 30an, beliau dipenjara buat kali
pertamanya di Damsyik. Kerana membela Rasulullah sallAllah alaihi wa sallam.
Dikisahkan bahawa sekumpulan orang mendengar assaf si kristian telah menghina
Rasulullah, dan mereka melaporkannya kepada Ibn Taimiyah. Ibn Taimiyah bersama
alFariqi, guru besar ilmu Hadis di Damsyik, melaporkan kepada pemimpin Damsyik
tentang insiden ini. Tetapi, assaf dan pelindungnya/mujirnya amir aal ali dengan jahatnya
meningkah tuduhan tersebut dan mendakwa dirinya muslim, sedangkan ketika itu dia
beragama kristian. Hal yang menyebabkan Ibn Taimiyah dan alFariqi dipenjara atas sebab
kononnya membuat tuduhan palsu. Tidak cukup dengan itu, mereka berdua dilempar
dengan batu oleh hadirin, serta pemimpin Damsyik yang menghakimi sidang telah
memukul kedua-dua imam ini di depan assaf, di depan khalayak. Dikisahkan, assaf
dibunuh oleh adik beradiknya ketika dalam perjalanan ke Hijaz. Boleh jadi, ini adalah
caranya Allah membersihkan nama para waliNya dan menghukum si kafir yang telah
menganiaya Rasulullah, dan memfitnah Ibn Taimiyah dan alFariqi. Setelah berita
kematiannya sampai kepada pemimpin Damsyik, dia memanggil mereka berdua, dan
pencerahan sebenar tentang isu ini diperolehi, di mana pemimpin Damsyik meminta
maaf daripada kedua-dua alim ini dan memberikan kurnia (harta) sebagai tanda
penyesalannya dan keikhlasannya meminta maaf. Peristiwa inilah yang telah melahirkan
sebuah kitab, alSorim alMaslul ala syatim alRasul (lit. alSorim yang terhunus kepada
sesiapa yang menghina Rasul), mengambil berkat nama salah satu pedang Nabi sallAllah
alaihi wa sallam yang bernama alSorim. Kitab ini menerangkan hukum-hakam Islam bagi
sesiapa yang menghina Rasulullah, membela kemuliaan Rasulullah.

Beliau meneruskan kehidupannya dalam ilmu dan amal, berkhidmat mengajar,


mengadakan majlis ilmu, dan menerima ketibaan pelajar-pelajar yang datang daripada
segenap ceruk dunia Islam ketika itu. Beliau bersama anak-anak muridnya secara aktif
dan vokal melaksanakan amar makruf nahi mungkar, membanteras kejahatan dan sarang-
sarang maksiat di Damsyik; hal yang kadang-kala menimbulkan ketegangan antaranya
dan pihak pemerintah.

Kemasyhuran Ibn Taimiyyah ini tidak disenangi oleh lawannya. Permusuhan terhadap
beliau menjadi-jadi, khususnya selepas beliau mengarang kitabnya berjudul al‟Aqidah
alHamawiyah, sebuah risalah menjawab pertanyaan penduduk Hama, Syria berkenaan
akidah Ahli Hadis. Beberapa majlis perdebatan diadakan di Damsyik untuk mematahkan
hujahan beliau, namun kesemuanya tanpa hasil. Akhirnya, pada tahun 705H, beliau
dipanggil oleh Ruknuddin Baibars alJashankir (yakni Baibars Kedua) ke Kaherah, untuk
berdebat dengan Ibn Makhluf alMaliki –salah seorang musuh ketat Ibn Taimiyyah- yang
lucunya, Ibn Makhluf ini jugalah yang dilantik menjadi pengadil kepada debat tersebut.
Ibn Taimiyyah menolak tawaran debat itu yang jelas sekali berat sebelah, dan akhirnya
dipenjara di Qal‟at Jabal di Kaherah, bersama adik-beradiknya Abdullah dan Abd
alRahman. Beliau dipenjara selama setahun lebih, hinggalah pada tahun 707H, beliau
dibebaskan atas bantuan alAmir Husamuddin Muhanna, seorang pemimpin berbangsa
Arab pada ketika itu.

(Qal‟at alJabal, Kaherah. Juga terkenal dengan nama Kubu Salahuddin atau Kubu
Kaherah)

Beliau bermukim di Kaherah selama beberapa ketika, untuk menyampaikan ilmu di bumi
Kinanah itu. Namun, para pendengkinya tidak membenarkannya duduk lama di Kaherah
dan menggugat populariti mereka. Mereka berkomplot untuk mengeluarkannya daripada
Kaherah dan menghantarnya pulang ke Syam. Namun, pada saat-saat akhir, ketika Ibn
Taimiyah dalam perjalanan pulang ke Syam, mereka menukar keputusan komplot itu
kepada pemenjaraannya buat kali kedua.

Ibn Abd alHadi menyifatkan barakah yang ada pada Ibn Taimiyyah, yang menukar
penjara Kaherah itu menjadi sebaik-baik pusat ilmu, “Apabila beliau masuk ke dalam
penjara, beliau mendapati mereka yang dipenjara itu menyia-nyiakan masa dengan
bermain alSyatranj (catur) dan alNard (backgammon), serta mengabaikan solat. Syeikh
mengingkari amalan mereka ini, dan memerintahkan mereka untuk menjaga solat dan
bertawajjuh kepada Allah dengan amal soleh, tasbih, istighfar dan doa. Beliau
mengajarkan ilmu Sunnah yang mereka perlukan, menggesa mereka melakukan amal
kebaikan, hinggalah penjara itu dipenuhi dengan suasana ilmu dan agama, yang lebih baik
situasinya berbanding zawiyah sufi dan sekolah-sekolah agama. Mereka yang dipenjara
ini, bila habis masanya dan dilepaskan, mereka memilih untuk kekal berada dalam
penjara bersama beliau. Banyak sekali yang masuk semula demi menemuinya, hatta
hampir saja penjara itu penuh oleh mereka (murid-murid Ibn Taimiyyah).” (ruj. al‟Uqud
alDurriyyah).

Hal ini menyebabkan beliau dipindah ke penjara Iskandariyah (Alexandria). Namun, atas
bantuan daripada Sultan Muhammad bin Nasir Qalawun – yang pada ketika itu
merupakan seteru politik kepada Baibars alJashankir- , beliau dijemput semula ke
Kaherah, dan dibenarkan untuk mengajar. Beliau tinggal berdekatan dengan Masjid
alHusain (yang berhampiran dengan Universiti alAzhar), berdakwah dan melaksanakan
amar makruf nahi mungkar, dengan jaminan dan perlindungan daripada Sultan Qalawun.
Dalam tempoh keberadaannya di Mesir inilah, beliau telah menulis sebuah warkah buat
ibunya di Damsyik, dengan tujuan untuk menenangkannya dan mengkhabarkannya
tentang perkembangan dan dakwahnya di Mesir, di samping memohon doa dan berkat
ibunya.1

Beliau terlibat dalam jihad melawan Mongol, di mana pada tahun 712H, beliau pulang ke
Syam bersama tentera Mesir untuk menghalang kemaraan Mongol ke tanah airnya itu.
Setelah api perang mereda –kerana urusan diplomasi yang diketuai beliau mendepani
Mongol- beliau menetap di Damsyik untuk menyebarkan ilmu. Namun, musuh-
musuhnya sekali lagi berusaha untuk menumpaskan pengaruhnya, dengan fitnah
kononnya beliau mengharamkan ziarah kubur para Nabi dan ulama. Sedangkan pada
hakikatnya seperti yang dijelaskan Ibn Katsir di dalam alBidayah wa alNihayah, Ibn
Taimiyyah gurunya itu cuma membahaskan pendapat ulama yang mengupas hukum
ziarah kubur para Nabi dan ulama secara mutlak tanpa syaddu al-rihal (bersusah payah) –
yang menurut Ibn Taimiyyah dibolehkan, dan syaddu al-rihal semata-mata untuk
menziarahi kubur –yang menurut Ibn Taimiyyah tidak dibolehkan. Dua isu yang berbeza,
namun kerana fitnah daripada kaum sufi yang ghuluw, dan Sultan Qalawun yang
terpengaruh dengan musuh-musuh Ibn Taimiyyah, menjadikan beliau terpenjara buat

1
Ia telah kita terjemahkan ke dalam bahasa melayu, walhamdulillah, dan diterbitkan dalam bentuk digital,
dengan judul ‘WARKAH BUAT IBU: Surat Shaykh al-Islām Ibn Taymiyyah Kepada Ibunya’ (terb. ABIM Press,
2020) Pautan: https://bit.ly/3vM5jG7 (akses terakhir: 22.6.2021)
kali terakhirnya, hinggalah ke tahun kewafatannya sebagai syahid penjara pada 20
Zulkaedah 728H, rahimahullah.

Ibn Taimiyyah berkata, sepertimana diriwayatkan muridnya Ibn alQayyim di dalam


alWabil alSoyyib,

َ‫حبسَي َخَلىَةَ َ َوقَتلَي َشَهَادَ َة‬


َ َ َ‫ارقَنَي َإَن‬
َ َ‫ستانَي َفَي َصَدرَي َإَن َرَحتَ َفَهَيَ َمَعَي َلَ ََُف‬
َ َ‫مَا َيَصنَعَ ََأعدَائَي َبَي؟ َأَنَا َجَنَتَي َوَب‬
‫وَإَخرَاجَيَمَنَبََلدَيَسَيَاحَ َت‬

“Apakah yang ingin dilakukan oleh musuh-musuhku? Tamanku di dalam hatiku, di mana
sahaja daku pergi ia akan bersamaku dan takkan berpisah daripadaku. Sesungguhnya,
pemenjaraanku ini adalah khalwat (bersendirianku bersama Allah dalam ibadat),
membunuhku ialah syahadah (mati syahid), dan mengeluarkanku daripada negeriku
merupakan bentuk siyahah (keluar mencari pahala).”

Kata-kata ini keluar daripada hati pemberani demi kebenaran, yang bersabar atas
kebenaran, yang sentiasa positif meski apapun ujian yang menimpanya; bahawa kesemua
ini merupakan ujian daripada Allah untuk mengampunkan dosanya, dan mengangkat
darjatnya di sisiNya.

Beliau dikebumikan di Perkuburan alBarmakiyah, Damsyik. Jenazahnya dihadiri ratusan


ribu orang, bahkan sesetengah penulis biografinya menganggarkan bilangan orang yang
mengiringi jenazahnya seramai 200 ribu orang. Ini merupakan petanda husnul khatimah,
dan petanda kewafatan seseorang alim itu dimuliakan Allah kerana banyaknya manusia
yang digerakkan Allah untuk mendoakan kebaikannya.

Ibn Katsir berkata tentang gurunya, “Ibn Taimiyah meninggal dunia, maka dakupun
membuka kafan penutup mukanya, dan daku cium beliau. Ubannya tumbuh terlalu
banyak berbanding sebelum kami berpisah dengan beliau (kerana dipenjara). Beliau tidak
meninggalkan seorangpun anak yang soleh yang mendoakan beliau, akan tetapi beliau
meninggalkan sebuah umat yang soleh yang mendoakan kebaikan buat beliau!' (ruj.
alBidayah wa anNihayah)

Beliau disifatkan alDzahabi sebagai berkulit cerah, rambut dan janggutnya hitam, dengan
sedikit uban, berbadan sedang dan berbadan bidang. Memiliki suara yang kuat, petah
dalam bicara, laju dalam membaca. (ruj. Dzail Tarikh alIslam) Beliau bermazhab Hanbali,
dan berakidah dengan akidah Ahli Hadis.

Beliau hidup dalam keadaan membujang, hinggalah ke akhir hayatnya. Hayatnya, diisi
dengan ilmu, amal dan jihad – jihad dengan senjata, lisan, dan penulisan. Hayat yang
dicemburui setiap penuntut ilmu; hayat sebagai pendakwah Islam dan Islah!
Sayyid Rasyid Ridha menyifatkan Ibn Taimiyyah sebagai mujaddid pada kurun 8H.
Hingga ke hari ini, ilmu Ibn Taimiyyah dimanfaatkan oleh ulama-ulama Islah, hal
membuktikan penerimaan Ilahi akan amal baik Ibn Taimiyyah.

Semoga Allah yang baik menempatkan Ibn Taimiyyah di sebaik-baik tempat, di sisiNya
yang Maha Kasih. Tiada manusia yang maksum melainkan Rasulullah, dan Syeikh alIslam
telah berijtihad sebaik mana yang tercapai dalam kemampuannya. Sebagai muslim, kita
berdoa,

‫ان‬ َ َ‫إلخ َوا ِوىَا الَّذِيه‬


ِ ‫سبَقُووَا ِباإلي َم‬ ْ ‫َربَّىَا ا ْغ ِف ْز لَىَا َو‬

“Wahai Allah, ampunkanlah kami, dan saudara-saudara kami, yang telah mendahului
kami dalam iman..” (alHasyr, 10)

Beliau meninggalkan ramai anak murid, yang kebanyakannya menjadi tokoh besar dalam
bidang yang pelbagai. Kita senaraikan sebilangannya, dan sertakan nama kitab yang
popular yang dikarang mereka;

1- Ibn Qayyim alJauziyyah, murid kanan beliau, pengarang Zad alMa‟ad.


2- alHafiz Ibn Katsir, pengarang Tafsir Ibn Katsir.
3- alHafiz Ibn Muflih, faqih Hanbali pengarang kitab alFuru‟, antara kitab tahap
tinggi dalam Fiqh Hanbali.
4- alHafiz Ibn Abd alHadi, pakar hadis dan ilmu „illah dalam hadis, pengarang
alMuharrar fi alHadits.
5- alHafiz alDzahabi, pakar hadis dan sejarah Islam, pengarang Siyar A‟lam alNubala‟
dan Tarikh alIslam.
6- alFaqih Ibn Rusyaiq alMaliki, penyalin ilmu Syeikh alIslam, pengarang kitab
Musonnafat alSyeikh Ibn Taimiyyah (yang sebelumnya silap dinisbahkan kepada
Ibn alQayyim).
7- Fatimah bin Abbas alBaghdadiyyah, guru alQuran yang telah mentasmik dan
mengkhatamkan hafalan alQuran ramai alim wanita, di antaranya Aisyah binti
asSiddiq isteri kepada alHafiz alMizzi, dan Zainab isteri kepada Ibn Katsir (alMizzi
merupakan mertua Ibn Katsir), sepertimana diiktiraf Ibn Katsir sendiri dalam
alBidayah. Ibn Taimiyah dikatakan banyak bersiap sebelum memulakan pengajian,
kerana ingin bersedia menjawab persoalan-persoalan yang bakal diajukan anak
muridnya ini Fatimah. Fatimah menghafal hampir keseluruhan kitab alMughni
Ibn Qudamah.

Beliau telah mengarang ribuan kitab, yang dijumlahkan oleh Ibn Hajar alAsqalani dalam
alDurar, sebanyak 4000 kurrasah (naskah kecil). Dinyatakan dalam Fawat alWafiyyat,
karangan beliau berjumlah 300 mujallad (naskah berkulit tebal). Hal ini berkat hafalan
beliau yang kuat, di mana, maklumat yang diingininya itu bersama dirinya, meskipun
beliau dalam keadaan terpenjara atau dalam permusafiran. Kebanyakan karya-karya
beliau yang ringkas telah dikumpulkan dalam Majmu‟ alFatawa, sementara karya-karya
beliau yang besar seperti Dar‟u Ta‟arudh –dalam 6 jilid tebal- diterbitkan berasingan
daripada Majmu‟ ini.

Sungguh, sumbangan dan keistimewaan Syeikh alIslam tidak mampu dihimpunkan


kesemuanya dalam karangan ringkas ini. Namun, kerana tujuannya ialah untuk
menyingkap sedikit sebanyak mengenai sirah hidup alim mujahid ini, maka kita
bercukupan dengan kadar ini sahaja. Untuk kajian lanjut, disarankan untuk merujuk
kitab-kitab ini, untuk mengenali sirah Syeikh alIslam Ibn Taimiyyah;

1- al‟Uqud alDurriyyah min manaqib Syeikh alIslam Ahmad bin Taimiyyah,


karangan alHafiz Ibn Abd alHadi (murid Syeikh alIslam).
2- alA‟lam al‟Aliyyah fi manaqib Syeikh alIslam Ibn Taimiyyah, karangan alFaqih
Abu Hafs alBazzar (murid Syeikh alIslam).
3- alBidayah wa alNihayah, karangan alHafiz Ibn Katsir (murid Syeikh alIslam).
4- Dzail Tarikh alIslam, karangan alHafiz alDzahabi (murid Syeikh alIslam).
5- alKawakib alDurriyyah fi manaqib alMujtahid Ibn Taimiyyah, karangan Mar‟i
alKarami.
6- alJami‟ li Sirah Syeikh alIslam Ibn Taimiyyah khilal Sab‟at Qurun, karangan
Muhammad Aziz Syams & Ali al‟Amran.
7- alDurar alKaminah, karangan alHafiz Ibn Hajar alAsqalani.
8- alA‟lam, karangan alZirikli.

You might also like