You are on page 1of 1

PERPADUAN KAUM

Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu dipupuk dari masa ke semasa. Usaha ini amat penting dilakukan untuk memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara. Sememangnya kegiatan sukan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan perpaduan kaum di kalangan masyarakat Malaysia. Sukan merupakan satu kegiatan yang tidak mengenal batasan kaum, negeri ataupun negara. Setiap orang boleh terlibat dalam kegiatan sukan, misalnya dalam pertandingan bola keranjang, setiap orang tanpa mengira warna kulit boleh menyertainya. Dengan penglibatan masyarakat yang berbilang kaum dalam kegiatan sukan, kaum-kaum di Malaysia dapat mengenali antara satu sama lain. Malahan, penglibatan atlet negara dalam pertandingan sukan juga dapat mewujudkan samangat perpaduan di kalangan ahli masyarakat apabila rakyat Malaysia turut menyokong mereka demi kejayaan pasukan Malaysia. Amalan bergotong-royong juga dapat merapatkan perpaduan kaum. Kawasan perumahan yang dihuni oleh pelbagai kaum dapat dipererat hubungan mereka apabila masyarakat berganding bahu menjalankan kegiatan bergotong-royong. Suansana aktiviti bergotong-royong yang informal lebih memudahkan seseorang mengenali antara satu sama lain. Misalnya, semasa sama-sama membersihkan longkang ataupun menebas lalang, mereka berpeluang untuk mengenali jiran mereka yang berlainan kaum dan seterusnya persefahaman dapat dipupuk bagi mewujudkan perpaduan kaum. Amalan kunjung-mengunjungi semasa perayaan keagamaan juga dapat memupuk perpaduan kaum. Misalnya, semasa Hari Raya Puasa, kaum-kaum lain dapat memahami sebab Hari Raya Puasa dirayakan dan ini dapat mengelakkan perselisihan faham apabila kaum-kaum lain turut menghormati orang Islam yang sedang berpuasa. Pemahaman tentang adat resam semasa mengunjungi rumah kaum lain dapat memupuk perpaduan kaum. Penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi juga dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana pengetahuan dan penggunaan satu bahasa membolehkan setiap rakyat Malaysia berkomunikasi semasa sendiri dan dengan itu, perselisihan faham dapat dielakkan. Dengan penggunaan satu bahasa, setiap kaum dapat mengenali adat resam kaum-kaum yang lain serta bekerjasama bagi membangunkan negara. Buktinya, kemampuan Amerika Syarikat menjadi sebuah negara termaju di dunia menunjukkanbahawa perpaduan kaum telah dicapai di negara tersebut dan salah satu saluran ke arah perpaduan kaum adalah dengan menggunakan satu bahasa. Pendidikan yang berasaskan kurikulum yang sama juga dapat memupuk perpaduan kaum. Sebelum kemerdekaan, terdapat empat jenis sistem pendidikan di Malaya, iaitu sekolah aliran bahasa Inggeris, sekolah aliran bahasa Melayu, sekolah aliran bahasan Mandarin, dan sekolah aliran bahasa Tamil. Sukatan pelajaran di sekolah-sekolah itu berasaskan negara asal bahasa tersebut dan perpaduan kaum tidak dapat dijalinkan. Kesimpulannya, kegiatan sukan memang merupakan salah satu daripada cara bagi memupuk perpaduan kaum. Namun begitu, kegiatan-kegiatan lain seperti amalan bergotong-royong, amalan kunjung-mengunjungi pada masa perayaan keagamaan, penggunaan satu bahasa, dan sistem pendidikan berasaskan kurikulum yang sama juga dapat memupuk perpaduan kaum.

You might also like