You are on page 1of 11

CIRI-CIRI KAUNSELOR YANG

EFEKTIF
Dr Sapora Sipon
Universiti Sains Islam Malaysia(USIM)
PENGENALAN
Keperluan mempunyai ciri-ciri efektif adalah sangat perlu bagi
seorang kaunselor. Banyak faktor yang menyumbang kepada ciri-ciri
efektif seorang kaunselor. Bab ini akan membincangkan ciri-ciri
efektif kaunselor mengikut pandangan beberapa penulis.
CIRI-CIRI KAUNSELOR YANG EFEKTIF
Corey (2001) menjelaskan kaunselor yang efektif perlu
mempunyai cirri-ciri seperti di bawah;

Mempunyai kesedaran kendiri

Kaunselor sepatutnya berterusan membentuk kesedaran nilai dan


perasaan untuk terus berkembang
Mempunyai minat
Kaunselor yang efektif menunjukkan minat dengan perkara-perkara
yang berlaku dan juga pengetahuan mengenai budaya lain
Pengetahuan dan kemahiran
Dalam usaha menjadi kaunselor yang efektif, kaunselor perlu bersedia
untuk mengaplikasikan teori psikologikal dan latihan dalam diri
mereka. Kaunselor mesti mengintegrasi kecekapan pelbagai budaya
yang ada dalam bentuk pengetahuan dan kemahiran.
Gibson and Mitchell (2003) menjelaskan keberkesanan seorang
kaunselor dan kaunseling bergantung kepada beberapa faktor termasuk

Personaliti dan latar belakang kaunselor

Pendidikan formal yang diterima oleh kaunselor


Kebolehan kaunselor untuk melibatkan diri dengan aktiviti
kaunseling yang bersifat profesional seperti pendidikan berterusan,
penyeliaan dan perundingan.

Sementara itu, Patterson & Welfel (2000) menjelaskan ciriciri kaunselor yang efektif sebagai mempunyai kestabilan, bersifat
harmoni dan mempunyai tujuan. Personaliti kaunselor adalah penting
selain daripada penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran ataupun
teknik (Cavanagh, 1990). Pendidikan sahaja tidak mampu untuk
mengubah ciri-ciri individu.
Seorang kaunselor yang efektif akan berkembang sebagai
seorang individu dan membantu individu lain untuk berkembang.
Dengan erti kata lain, kaunselor yang efektif adalah sensitif kepada
diri mereka dan orang lain. Kaunselor yang efektif juga memantau
sikap diri, mendengar, bertanya dan meneroka perbezaan budaya dan
etnik dalam cara yang terbuka dan positif (Ford, Harris, & Schurger,
1993).
Zainal Abidin Ahmad dan Wan Abdul Kader Wan Ahmad
(2004) menggariskan ciri-ciri kaunselor yang efektif seperti di bawah,

Kepercayaan bahawa klien adalah individu yang unik dan berharga


Kepercayaan bahawa kliennya berkeupayaan untuk berubah
Memahami dan mengetahui bagaimana individu yang efektif
berfungsi.
Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk
membantu individu yang terbatas perfungsiannya
Mempunyai kesanggupan melibatkan dirinya dalam proses
interpersonal
Mengenal diri sendiri dan kemahiran yang ada serta batasannya.

Cormier dan Cormier (1998) menyenaraikan ciri-ciri kaunselor


yang efektif seperti berikut iaitu;

Mempunyai keupayaan intelek.


-keinginan dan kebolehan untuk belajar dan juga bersifat kreatif.

Bertenaga.
kebolehan untuk bersifat aktif dalam sesi dan mengekalkan tenaga
yang ada.

Bersifat fleksibel.

keupayaan untuk mengubah suai keadaan untuk memenuhi


keperluan klien.

Bersifat menyokong
keupayaan memberi galakan kepada klien dalam mebuat
keputusan.

Perasaan ingin membantu


keinginan untuk bekerja di pihak klien dalam cara yang konstruktif
yang membawa kepada sikap tidak bergantung.

Kesedaran diri
pengetahuan tentang diri sendiri termasuk sikap, nilai, perasaan
dan juga keupayaan unutk mengenal pasti faktor-faktor yang
berkaitan

Cottle (1973) menjelaskan kaunselor adalah individu di mana


latar belakang profesional dalam bidang sains tingkah laku telah
menyediakan dirinya untuk membantu klien dalam membuat
pemilihan mengenai perkembangan kerjaya dan kehidupan peribadi
yang diperlukan untuk tingkah laku yang efektif dalam masyarakat
sekarang.
Pengetahuan mengenai psikologi perkembangan, teori
pembelajaran, perkembangan personaliti, sosiologi, seting pendidikan,
perkembangan kerjaya dan penilaian digunakan dalam usaha
membantu klien mengenal pasti, menyusun serta membincangkan
bahan-bahan yang berkaitan dengan pemilihan klien. Kaunselor juga
berupaya untuk berfungsi dengan klien dari pelbagai sosioekonomi,
etnik, agama dan kumpulan budaya.
Di samping itu, kaunselor juga mempercayai bahawa beliau
mempunyai keupayaan untuk membantu klien memodifikasikan
tingkah laku. Pada waktu yang sama, kaunselor mengggunakan segala
sumber dalam agensinya dalam komuniti untuk menyediakan segala
bantuan kepada kliennya.
Dalam membincangkan mengenai kualiti kaunselor yang
efektif, Foster (1996) dan Guy (1987) menyenaraikan ciri-ciri seperti
di bawah iaitu;

bersifat ingin tahu


berkebolehan untuk mendengar
selesa dengan perbualan
bersifat empati dan memahami

mempunyai celik akal emosi


intropeksi
kebolehan untuk ketawa

Rogers (1942) berpendapat kaunselor perlu mempunyai ciri seperti


berikut,

bersifat sensitif kepada perhubungan manusia


bersikap objektif
menghargai, menghormati individu serta mempunyai keupayaan
dan kesediaan untuk menerima klien.
memberi kebebasan kepada klien mencari jalan penyelesaian
sendiri
memahami diri sendiri dan juga limitasi emosi dan kekurangan
mengetahui tingkah laku manusia

Weitz (1957) telah menjelaskan tiga tret yang dilihat perlu untuk
keberkesanan kaunseling iaitu;

rasa selamat
bersifat sensitif
mempunyai kapasiti untuk membezakan antara tingkah laku
objekitf dan simbolik dan pada masa yang sama memahami
perhubungan

Menurut Stewart et al (1978), kecekapan profesional kaunselor


boleh dibahagikan kepada beberapa komponen. Komponen-komponen
tersebut adalah seperti berikut;
(i)Kaunselor seharusnya menghormati harga diri dan maruah diri
klien tanpa mengambil kira tingkah laku, sikap, kepercayaan,
bangsa, jantina, peringkat umur atau status sosio-ekonomi klien.
Sesungguhnya, kaunselor membantu klien yang mempunyai
pelbagai persoalan dalam dirinya. Kaunselor haruslah berusaha
membantu klien melihat masalahnya dari pelbagai perspektif dengan
menunjukkan sikap hormat terhadap setiap klien tanpa prasangka dan
prejudis supaya dapat berkembang untuk menghormati harga diri dan
maruah diri klien.
Kaunselor haruslah berkemampuan untuk mengubah perasaan
negatif beliau terhadap sesetengah klien supaya klien akan dihormati
sebagai seorang individu yang memerlukan bantuan untuk
menyelesaikan persoalan dalam hidupnya di samping menunjukkan

bahawa kaunseling adalah satu usaha dalam proses memberikan


pertolongan.
Sesetengah kaunselor tidak menyedari dan menafikan sikap
prejudis yang terdapat dalam dirinya yang berkemungkinan
mendatangkan kesan-kesan sampingan dalam perhubungan
kaunseling.
Sesorang kaunselor dikatakan mempunyai sikap prasangka dan
prejudis terhadap kaunselor apabila beliau menunjukkan sikap
kebosanan semasa sesi temuduga, tidak memberikan tumpuan
perhatian kepada tingkah laku lisan dan bukan lisan klien, kurang
bersemangat, kurang berminat, ketakutan untuk menghadapi klien dan
jenis masalah tertentu atau memberikan respons yang berbentuk
sindiran, stereotaip serta menunjukkan pelbagai ancaman langsung dan
tidak langsung terhadap klien.
(ii) Kaunselor seharusnya berusaha
perhubungan yang fasilitatif dengan klien.

mewujudkan

satu

Matlamat kaunseling membentuk perhubungan yang fasilitatif


adalah bertujuan untuk membantu klien memahami dan menghadapi
persoalan hidup yang dihadapinya. Dengan demikian, kaunselor
mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan satu perhubungan
yang fasilitatif dengan klien sejak dari sesi temuduga yang pertama
lagi.
Dalam erti kata yang lain, kaunselor seharusnya membentuk
satu persekitaran atmosfera yang dapat mendorong klien merasakan
kebebasan untuk membincangkan persoalan-persoalan yang di bawa
bersama secara terbuka, lebih yakin terhadap kaunselor, jujur terhadap
dirinya sendiri dan juga terhadap diri kaunselor serta dapat memahami
bahawa kaunselor secara ikhlasnya berhasrat untuk memberikan
bantuan kepadanya. Dalam konteks ini, klien selalunya dikatakan
mempunyai tahap motivasi yang tinggi untuk menjalankan sesi
kaunseling.
Bagi sesetengah klien, perhubungan fasilitatif selalunya
berkembang secara beransur-ansur melalui beberapa proses temuduga.
Klien yang sedemikian biasanya tidak bermotivasi untuk mendapatkan
perkhidmatan kaunseling tetapi telah dirujuk kepada kaunselor melalui
guru, ibu bapa, majikan atau agensi kerajaan.
Klien ini berkemungkinan tidak sedar akan matlamat
kaunseling malahan ada klien yang berasa takut terhadap proses
kaunseling. Selain itu, terdapat juga klien yang tidak mempercayai
atau kurang yakin terhadap kecekapan profesional seseorang kaunselor
dalam perhubungan menolong.
Perhubungan kaunselor-klien yang fasilitatif ialah satu tanda
kecemerlangan. Kecemerlangan ini dikaitkan dengan proses

pembelajaran yang telah berlaku dalam diri klien untuk menceritakan


persoalan hidup yang dihadapinya dengan bebas.
Perhubungan yang fasilitatif boleh memperlihatkan peluang
yang baik untuk melakukan perubahan yang membawa kepada
perkembangan apabila klien diberikan peluang untuk mempelajari
bahawa kaunselor adalah seorang yang cekap, boleh dipercayai dan
menghormati diri klien sebagai seorang individu yang mempunyai
harga dan maruah diri.
Perhubungan kaunseling yang fasilitatif dilihat oleh klien
secara keseluruhan. Klien selalunya tidak akan melihat konsep empati,
hormat, konkrit, mesra, tulen dan kongruen sebagai entiti yang
berasingan di antara satu sama lain tetapi lebih kepada memperolehi
satu gambaran secara keseluruhan supaya beliau lebih yakin dan
percaya kepada diri kaunselor.
Oleh itu, peneguhan terhadap
perhubungan kaunselor-klien adalah bergantung kepada tingkah laku
lisan dan bukan lisan kaunselor, kemahiran mendengar, postur badan,
pergerakan tangan, ekspresi muka dan lain-lain.
Selain daripada itu, masa yang diperuntukkan dalam sesi
kaunseling juga adalah satu penentu penting yang mendorong kepada
proses penyesuaian dan perkembangan perhubungan yang fasilitatif di
antara kaunselor dan klien.
Perhubungan yang fasilitatif kaunselor-klien biasanya
memerlukan masa yang panjang untuk terbina. Ini berlaku khususnya
terhadap klien yang suka memendamkan isi hatinya terutama sekali
yang berkaitan isu-isu yang sensitif seperti isu seksual, bangsa, sosial,
dadah atau alkohol. Klien yang sedemikian biasanya berasa sukar
untuk mendedahkan perasaannya.
Kemahiran-kemahiran seperti bersifat empati, menunjukkan
rasa hormat, bersifat konkrit, mesra, tulen dan kongruen wujud
sebagai agen pendorong perhubungan yang fasilitatif antara kaunselor
dengan klien. Ini berlaku apabila kaunselor menunjukkan kemahirankemahiran tersebut secara sintesis dan konsisten dalam bentuk satu
keseluruhan yang dapat dilihat oleh klien dalam perhubungan
menolong.
Konsep-konsep yang sedemikian merujuk kepada tumpuan
perhatian yang tidak berbelah bagi terhadap tingkah laku lisan dan
bukan lisan, kemahiran berkomunikasi secara lisan dan bukan lisan,
pendengaran yang aktif, perasaan empati, boleh dipercayai, pemikiran
yang objektif, kawalan kendiri terhadap tingkah laku dan emosi,
kontak mata yang selesa, jarak sosial yang selesa, sambutan mesra
terhadap klien, tidak bertingkah laku suka menunjuk-nunjuk serta
bertingkah laku dalam keadaan yang relaks.
(iii) Kaunselor seharusnya sentiasa berusaha membantu klien
untuk mengenal pasti dimensi-dimensi biologikal, persekitaran

dan psikologikal dari aspek kognitif, afektif dan tingkah laku


klien.
Dalam kaunseling, klien membawa bersama pelbagai konflik
yang disimpan dalam dirinya. Konflik-konflik ini wujud dalam bentuk
integrasi yang unik di antara aspek biologikal, persekitaran dan
psikologikal kerana sifatnya yang saling mempengaruhi di antara satu
sama lain.
Kaunselor seharusnya mempunyai pengetahuan am yang luas
untuk melihat dimensi-dimensi biologikal, persekitaran dan
psikologikal yang terdapat dalam proses perkembangan klien.
Pengetahuan ini akan dijadikan asas untuk membuat penilaian
terhadap keunikan organisasi aspek-aspek tersebut dalam kehidupan
klien.
Kaunselor haruslah sentiasa menambahkan pengetahuannya
melalui proses pembelajaran daripada pemerhatian ke atas tingkah
laku lisan dan bukan lisan, kognitif, afektif dan respons psikomotor
daripada klien semasa sesi temuduga. Kaunselor juga boleh merujuk
individu-individu yang signifikan di persekitaran klien.
Dalam konteks ini, kaunselor akan membantu klien melihat
ketiga-tiga dimensi tersebut supaya memperolehi satu pemahaman
yang lebih sempurna terhadap faktor-faktor yang bertanggungjawab
dalam persoalan klien. Oleh itu, model kaunseling yang lebih tepat
dan bersesuaian dengan persoalan yang dibawa oleh klien dapatlah
direka bentuk.
(iv).Keperluan peribadi kaunselor untuk menjalankan sesi
kaunseling
haruslah dikaji dari masa ke semasa untuk
menentukan bahawa perhubungan kaunseling yang dibentuk
dapat mendorong klien berkembang ke arah pencapaian
matlamat.
Pada hakikatnya, terdapat kaunselor yang mendapat kepuasan
daripada kebergantungan kliennya dalam perhubungan menolong sama
ada secara langsung atau pun tidak langsung. Sesetengah kaunselor
yang lain pula seolah-olah menceburkan diri dalam profesion
kaunseling dengan tujuan utama untuk mendapatkan keuntungan atau
mendapatkan prestij daripada kedudukannya dalam masyarakat. Di
samping itu, sebahagian daripada kaunselor pula seolah-olah tidak
memainkan peranannya sebagai kaunselor.
Dalam erti kata yang lain, proses memberikan bantuan kepada
klien adalah berlaku secara tidak teraputik ataupun tidak
menghiraukan persoalan yang dibawa oleh klien. Oleh yang demikian,
penilaian terhadap motivasi kaunselor melaksanakan kaunseling
haruslah sentiasa dikaji dari masa ke semasa supaya proses kaunseling
dapat membantu klien berkembang ke arah pencapaian matlamat.

(v) Kaunselor seharusnya menjadi satu model sosial yang baik


dalam profesion kaunseling.
Dalam konteks masyarakat, kaunselor dilihat sebagai model
sosial yang baik. Ketidakcekapan seorang kaunselor selalunya akan
digeneralisasikan secara keseluruhannya oleh sesetengah individu ke
atas profesion kaunseling. Oleh itu, kaunselor sentiasa menerima
kritikan daripada kebanyakan masyarakat walaupun mereka sering
memberikan sumbangan yang penting dalam proses menolong klien
melalui kaunseling. Kritikan ini telah membentuk stereotaip secara
keseluruhannya terhadap profesion kaunseling. Oleh itu, kaunselor
haruslah mengambil langkah-langkah positif untuk memperbaiki
pencapaiannya supaya dapat mengurangkan kesilapan dan
meningkatkan keberkesanan kaunseling.
(iv) Kaunselor seharusnya mempunyai pengetahuan yang luas
tentang proses kaunseling untuk menyediakan satu pendekatan
yang bersesuaian dalam perhubungan menolong.
Kaunselor yang profesional berkemampuan membina
perhubungan yang fasilitatif, membantu kliennya melihat perbezaan di
antara dimensi-dimensi kognitif, afektif dan tingkah laku, malahan
bermotivasi dalam proses memberikan bantuan. Walau bagaimanapun,
sehingga kini kaunselor masih dikatakan gagal membantu kebanyakan
klien mencapai matlamat dalam kaunseling.
Kaunselor yang sedemikian dikatakan kurang cekap dan
kurang faham tentang keseluruhan proses kaunseling. Oleh yang
demikian, kaunselor haruslah berlatih berulangkali supaya menjadi
lebih profesional mengendalikan kaunseling secara teratur. Dalam erti
kata yang lain, kaunselor secara relatifnya akan berasa lebih yakin dan
tahu apa, bila dan bagaimana untuk melakukan pelbagai fungsi dalam
proses kaunseling.
(vi) Kaunselor seharusnya sentiasa mempertingkatkan ilmu
sepanjang kerjayanya.
Dewasa ini, banyak peluang telah disediakan untuk kaunselor
meneruskan pembelajaran dalam bidang kaunseling terutamanya
dalam bidang sains tingkah laku manusia. Salah satu pilihan dalam
menambahkan kemahiran kaunseling adalah dengan mengkaji sesi
temuduga yang telah dirakamkan. Penilaian terhadap setiap kes serta
tingkah laku klien dan kaunselor sendiri akan menambahkan
kecekapan kaunselor dalam menjalankan proses kaunseling.
Di samping itu, kaunselor haruslah merujuk kepada kaunselor
yang lebih berpengalaman untuk membuat penilaian terhadap

kemahiran-kemahiran yang diaplikasikan dalam perhubungan


menolong serta mendapatkan pandangannya sebelum membuat sesuatu
keputusan. Ini bertujuan supaya dapat mengurangkan risiko kesilapan
dalam proses kaunseling.
Selain daripada itu, sesorang kaunselor haruslah mengetahui
aspek-aspek budaya, nilai dan tingkah laku manusia melalui interaksi
dengan pelbagai etnik yang berbeza-beza dalam masyarakat.
Pengetahuan yang sedemikian merupakan satu cara yang terbaik untuk
mengkaji dan mengubah sikap prasangka dan prejudis kaunselor
terhadap klien yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Namun
begitu, terdapat juga bengkel-bengkel dan penyelidikan sains tingkah
laku manusia yang dapat membantu proses menambah pengetahuan
dengan menjadi ahli dalam organisasi profesional.
Di samping itu, banyak kursus yang boleh memberikan
peluang kepada kaunselor untuk melanjutkan pendidikan pada tahap
yang lebih tinggi. Tambahan pula, terdapat pelbagai bahan yang boleh
dimanfaatkan oleh kaunselor untuk meluaskan ilmu pengetahuan.
Patterson & Welfel (1994) menggariskan 5 prinsip-prinsip
menjadi pembantu yang efektif iaitu;

Memahami tingkah laku manusia

Untuk menjadi seorang yang berkesan, kaunselor perlu


memahami secara mendalam tingkah laku manusia dalam konteks
sosial dan budayanya. Kaunselor juga mesti
berupaya untuk
menggunakan pemahaman tersebut untuk menangani permasalahan
klien.

Perubahan diri klien

Tujuan utama sesi kaunseling adalah untuk membantu klien


mencapai perubahan yang diinginkan.

Meningkatkan perhubungan

Kualiti perhubungan membantu adalah signifikan dalam


menyediakan satu persekitaran perkembangan.

Satu proses yang berurutan

Kaunseling adalah satu proses yang berlaku secara berurutan.

Penerokaan kendiri dan konfrontasi

Proses kaunseling mengandungi penerokaan kendiri dan juga


konfrontasi di pihak klien dan dibantu melalui interaksi antara klien
dengan kaunselor.
RUMUSAN
Keperluan mempunyai ciri-ciri efektif adalah sangat perlu bagi
seorang kaunselor. Banyak faktor yang menyumbang kepada ciri-ciri efektif
seorang kaunselor. Bab ini telah membincangkan ciri-ciri efektif kaunselor
mengikut pandangan beberapa penulis.

RUJUKAN
Cavanagh, M.E. (1990). The counseling experience. Prospect Heights,IL; Waveland.
Cottle, W.C. (1973). Beginning Counseling Practicum. Grune & Straton: New York &
London.
Corey, G. (2001). Theory and practice of counseling and psychotherapy (6th ed.).
Pacific Grove.CA: Brooks/Cole.
Cormier,W.H., & Cormier,L.S (1998). Interview strategies for helper (4th ed). Pacific
Grove, CA Brooks/Cole.
Foster, S. (1996). Characteristics of an effective counselor. Counseling Today.
Gibson, R.L. & Mitchell, M.H. (2003). Introductuion to counseling and guidance.
Upper Saddle River. New Jersey. Columbus Ohio.
Guy,J.D. (1987). The personal life of the psychotherapist. New York: Wiley.
Patterson,L.E., & Welfel, E.R. (1994). The counseling process (4th ed). Brooks/Cole
Publishing Company. Pacific Grove: California.
Rogers, C.R. (1942). Counseling and Psychotherapy. Boston: Houghton Miffilin
Company.
Stewart, N.R., Winborn, B.B., Burks, H.M., Johnson, R.R., & Englekes, J.R. (1978).
Systematic Counseling. Prentice Hall, Inc. Englewood Cliffs, New Jersey.
Zainal Abidin Ahmad & Wan Abdul Kader Wan Ahmad (2004). Modul Bimbingan
dan Kaunseling. Universiti Terbuka Malaysia

Weitz, H. (1957). Behaviour change through guidance. New York: Wiley.

You might also like