You are on page 1of 3

Kesahan dan Kebolehpercayaan dalam penyelidikan kualitatif

Kesahan dalam paradigma kualitatif telah didefinisikan oleh Othman Lebar (2009) dan Chua Yan
Piaw (2006). Menurut Othman Lebar (2009), kesahan dalam kajian kualitatif ialah sama ada
dapatan kajian adalah benar dan pasti iaitu dapatan kajian menggambarkan dengan tepat situasi
sebenar dan pasti dalam erti kata hasil kajian disokong oleh bukti dan tidak ada asas untuk
meraguinya. Suatu penyelidikan kualitatif boleh dipercayai jika orang lain bersetuju bahawa
mereka akan mempunyai pengalaman tersebut walaupun mereka hanya membaca laporan
penyelidikan (Chua Yan Piaw, 2006).
Secara umumnya terdapat dua kategori kesahan dalam penyelidikan kualitatif iaitu kesahan
dalaman dan kesahan luaran. Menurut Merriam (2001), kesahan dalaman berkait dengan
kesepadanan antara dapatan kajian dengan realiti. Sementara itu, kesahan luaran berkait dengan
sejauh mana dapatan kajian dapat digeneralisasikan dalam situasi lain (Othman Lebar, 2009).
Bagaimanapun, Lincoln dan Guba (1985) telah menyatakan penyelidik kualitatif akan kurang
memberi tumpuan kepada isu generalisasi, sebaliknya mereka menyediakan deskripsi yang
terperinci tentang konteks kajian bagi membolehkan pembaca membandingkan kesesuaian
dapatan dalam situasi mereka. Bagi penyelidik kualitatif, mereka mestilah cuba menghapuskan
ancaman ke atas kesahan selepas sahaja penyelidikan bermula, menggunakan data dan bukti
yang dikumpulkan semasa penyelidikan. Terdapat beberapa ancaman kesahan seperti data yang
tidak tepat kerana penyelidik menekankan kerangka atau makna penyelidik sendiri dan memberi
perhatian kepada data yang tidak sesuai (Othman Lebar, 2009).
Menurut Merriam (1998), kebolehpercayaan ialah dapatan penyelidikan itu mempunyai replikasi
apabila penyelidikan dilakukan dalam situasi yang sama. Chua Yan Piaw (2006) menghuraikan
kebolehpercayaan dalam sesuatu penyelidikan merujuk kepada keupayaan kajian itu untuk
memperoleh nilai serupa apabila pengukuran yang sama diulangi. Akan tetapi, kebolehpercayaan
adalah sukar untuk ditentukan dengan tepat dalam penyelidikan kualitatif disebabkan perlakuan
manusia bukan statik meskipun dalam situasi yang sama apabila membuat replikasi atau
pengulangan kajian. Justeru, dalam konteks penyelidikan kualitatif, konsep kebolehpercayaan
adalah berkait dengan soal kebolehsandaran dan ketekalan data yang dikumpul (Othman Lebar,
2009). persoalannya bukan dapatan yang sama akan ditemui semula tetapi keputusan atau
dapatan kajian itu adalah tekal dengan data yang dikumpul.
Bagi mengenal pasti kesahan dan kebolehpercayaan data penyelidikan ini adalah benar, pasti dan
mempunyai status data yang tekal tanpa ragu, beberapa kaedah dan teknik telah dijalankan dalam
penyelidikan ini seperti menggunakan kaedah triangulasi menurut Denzin (1979), analisis data
menggunakan pakej perisian Nvivo, pemeriksaan oleh rakan, pemerhatian berulang-ulang
terhadap fenomena yang sama dan deskripsi yang kaya dan terperinci. Triangulasi adalah proses
untuk mendapatkan data sah melalui penggunaan kepelbagaian instrumen. Penggunaan kaedah
triangulasi telah memperkukuhkan kesahan dan kebolehpercayaan serta memperkayakan data.
Menurut Flick (1992) triangulasi adalah membawa kepada multi-perspektif dan metainterpretasi. Menurut Denzin (1979) terdapat empat jenis triangulasi iaitu triangulasi sumber
data, triangulasi kaedah, triangulasi penyelidik dan triangulasi teori. Dalam penyelidikan ini

hanya menggunakan dua jenis triangulasi sahaja iaitu triangulasi sumber data dan triangulasi
kaedah.
Triangulasi sumber data ialah menguji kredibiliti data dilakukan dengan cara memeriksa data
yang telah diperoleh melalui beberapa sumber seperti pemerhatian, temu bual dan analisis
dokumen. Penyelidik membandingkan data hasil wawancara dengan data hasil pemerhatian, hasil
data temu bual dengan hasil data analisis dokumen. Perbandingan sumber-sumber data tersebut
dapat menemukan kesamaan atau perbezaan data. Triangulasi kaedah ialah penggunaan pelbagai
kaedah untuk menyelidiki sesuatu hal. Dalam penyelidikan ini, penyelidik menggunakan
pelbagai kaedah seperti temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen untuk mengumpulkan
sebanyak mungkin data primer. Melalui kaedah ini penyelidik telah memungut data primer
melalui pemerhatian dengan disusuli dengan sesi temu bual dengan peserta kajian terhadap
aktiviti P&P PSV di dalam kelas atau bilik seni dan seterusnya membuat pungutan hasil-hasil
karya pelajar sebagai dokumen untuk dianalisis menggunakan pakej perisian Nvivo. Sekiranya
kesimpulan bagi setiap kaedah yang digunakan adalah sama maka kesahan dapat diwujudkan.
Lincoln dan Guba (1985) menyatakan bahawa prosedur pemeriksaan oleh rakan merupakan
teknik yang paling penting dalam membina kredibiliti data dan dapatan kajian. Prosedur ini
melibatkan data dan interpretasi dirujuk kembali kepada peserta kajian untuk dikaji dan diperiksa
bagi membolehkan peserta kajian mengesahkan ketepatan dan kebenaran maklumat dan laporan
kajian. Justeru, dalam penyelidikan ini, ppemeriksaan oleh rakan ialah penyelidik memohon jasa
baik peserta kajian untuk memastikan ketepatan data yang dipungut.
Menurut Othman Lebar (2009) berada di lapangan dalam tempoh yang panjang memberi peluang
kepada penyelidik mengadakan pemerhatian yang berulang kali, membina kepercayaan peserta
kajian kepada penyelidik, membina hubungan yang baik supaya peserta kajian selesa
memberikan maklumat. Bermakna, pemerhatian berulang-ulang terhadap fenomena yang sama
akan meningkatkan kesahan data dalam penyelidikan ini. Oleh itu, penyelidik telah berada di
lapangan selama sebulan dan telah memberi peluang kepada penyelidik mengadakan
pemerhatian berulang kali, membina kepercayaan peserta kajian kepada penyelidik dan menjalin
hubungan yang baik supaya peserta kajian selesa memberikan maklumat.
Menurut Denzin (1979) deskripsi yang tebal merupakan deskripsi yang mendalam, padat dan
terperinci akan tetapi deskripsi yang nipis adalah kurang terperinci dan hanya melaporkan fakta.
Melalui deskripsi yang kaya dan terperinci seperti yang dinyatakan oleh Denzin (1979)
penyelidik meletakkan pembaca kepada situasi P&P PSV di sekolah. Deskripsi yang mendalam
tentang P&P PSV di sekolah membolehkan pembaca membuat keputusan sama ada
kebolehgunaan dapatan kajian kes ini kepada kajian kes yang serupa di tempat yang lain.
Kesimpulannya, untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan dalam penyelidikan ini,
penyelidik perlu mempunyai minda terbuka yang dapat memahami data kajian dengan jelas dan
berupaya menghuraikannya secara tepat dengan tidak terpengaruh oleh perasaan serta pandangan
diri yang subjektif.

Oleh:
Johanes Bulot@Bulat
Pensyarah Akademik
Jabatan Seni Visual & Muzik
IPG Kampus Keningau
Klik Ke Artikel Johanes
Rujukan:
Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan Buku 1. Kuala
Lumpur: McGraw-Hill ( Malaysia ) Sdn. Bhd.
Denzin, N.K. (1979). The Research Act: A theoretical Introduction to Sociological Methods.
New York: McGraw Hill.
Flick, U. (1992). Triangulation Revisited - Strategy of or Alternative to Validation of Quali-tative
Data. Journal for the Theory of Social Behaviour, 2/1992, 175-197.
Lincoln, Y. S. & Guba, E. G. (1985). Naturalistic inquiry. Beverly Hills, CA: Sage Publications,
Inc.
Merriam, S. B. (1998). Qualitative Research and Case Study Applications in Education. San
Francisco: Jossey-Bass.
Merriam, S. B. (2001). Qualitative Research and Case Study Applications in Education. San
Francisco: Jossey-Bass Pub.
Othman Lebar. (2009). Penyelidikan Kualitatif Pengenalan Kepada Teori dan Method. Tanjong
Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

You might also like