You are on page 1of 1

Menemui atau menemukan

Kita selalu mendapati bahawa pengguna bahasa menggunakan perkataan menemui dan
menemukan dengan cara yang salah. Kesalahan ini sering kita lihat dalam penggunaan
perkataan menemui pada tempat menemukan. Lihat ayat contoh di bawah ini:

(1) *Seorang pelajar telah menemui dompet di bawah meja itu.

Ayat (1) tersebut tidak gramatis kerana penggunaan perkataan menemui dalam ayat itu
tidak tepat. Untuk menentukan ketepatan penggunaan perkataan menemui dan
menemukan, marilah kita merujuk kepada Kamus Pelajar Terbitan KBSM (2000).

Perkataan menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa atau bersua dengan seseorang.
Ayat contoh yang dikemukakan ialah:

(2) Dia masih belum juga menemui orang yang dicari-carinya.

Maksud lain bagi perkataan menemui ialah pergi berjumpa dengan, menziarahi dengan
atau melawati. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:

(3) Dia pulang ke kampung menemui kaum keluarganya.

Selain itu, maksud menemui dalam konteks menemui ajal ialah meninggal dunia.

Perkataan menemukan pula bermaksud mendapat atau mencipta sesuatu yang baharu.
Ayat contoh yang dikemukakan ialah:

(4) Pakar-pakar perubatan telah menemukan cara mengubati penyakit itu.

Selain itu, menemukan bermaksud memperoleh sesuatu yang dicari. Ayat contoh yang
dikemukakan ialah:

(5) Polis telah menemukan kereta yang digunakan oleh perompak itu di sebuah ladang
getah.

Dengan berdasarkan makna menemukan yang dikemukakan ini, jelaslah bahawa


penggunaan perkataan menemui dalam ayat (1) tadi tidak tepat. Ayat tersebut sepatutnya
menggunakan perkataan menemukan.

(1) Seorang pelajar telah menemukan dompet di bawah meja itu.


Posted by agy7500 at 8:49 AM 0 comments

You might also like