You are on page 1of 17

Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 1

Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh


Dari laman web PENYAMPAIAN KHIDMAT PENJAGAAN KESIHATAN
http://drdollah.com/versi-bahasa/amalan-klinikal/penjagaan-pesakit-2/ hasil tulisan:
Dr Abdollah Salleh,
Perunding Pengurusan Maklumat Kesihatan,
Bekas Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Am,
Hospital Selayang.
"kalau boleh sembuhkan; kalau tidak legakan deritanya; tetapi sentiasalah prihatin"
Ambroise Pare, Doktor Perancis 1510-1590

1 PENGENALAN
Penjagaan pesakit secara menyeluruh ialah suatu pendekatan yang berasaskan falsafah
memberi perkhidmatan yang memenuhi semua keperluan pesakit dari segi fizikal,
psikologi dan sosial. Pendekatan ini juga disebut sebagai amalan holistic medicine.
Objektif, strategi dan pendekatan yang jelas diperlukan untuk membolehkan konsep ini
dipraktikkan. Konsep ini membolehkan dua tujuan utama dicapai, iaitu:
Pengolahan kaedah dan komponen penjagaan pesakit
Rangka kerja pelan penjagaan pesakit yang bersepadu dan menyeluruh

2 KANDUNGAN AKTIVITI PENJAGAAN PESAKIT


Skop aktiviti penjagaan seseorang pesakit merangkumi semua usaha kearah
menyelesaikan masalah kesihatannya dan juga perkhidmatan lain yang membolehkan
aktiviti ini dijalankan dengan lancar. Aktiviti penjagaan pesakit (patient care) boleh
dibahagikan kepada:
01. Penjagaan klinikal pesakit (clinical patient care)
02. Perkhidmatan hospitaliti (menyediakan persekitaran dan suasana yang kondusif)
03. Prosedur pentadbiran dan komunikasi (mengaturkan aktiviti dan memberi
penerangan)
Perbincangan ini ditumpukan kepada aktiviti penjagaan klinikal pesakit. Komponen-
komponen pengurusan pesakit yang lain walaupun sama penting disentuh sepintas lalu.

3 PROSES KERJA PENJAGAAN PESAKIT


Aktiviti penjagaan klinikal pesakit (clinical patient care) merupakan prosedur kerja yang
terdiri dari proses proses berikut:
A. Pengutipan dan pengumpulan data klinikal (melalui temubual, pemeriksaan,
pelbagai ujian dan dari sumber sediada seperti rekod pesakit, surat rujukan dsb.)
B. Penganalisaan dan pentafsiran data untuk membuat diagnosis dan menentukan
keperluan pesakit
C. Perancangan penjagaan kes
D. Perawatan
E. Pemantauan perkembangan penyakit
F. Pengawasan kesan dan hasil rawatan
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 2

G. Kajian semula diagnosis


H. Penilaian semula rawatan
I. Rumusan kes dan Penjagaan berterusan
Penjagaan klinikal pesakit boleh juga dianggap sebagai aktiviti pengumpulan dan
penggunaan data. Data dianalisa serta ditafsir untuk membolehkan kesimpulan dicapai
dan keputusan dibuat. Seterusnya, tindakan diambil berdasarkan keputusan tersebut.
Setiap aktiviti direkodkan supaya pelaksanaan pelan dapat dipantau. Selepas itu, lebih
banyak data dikumpulkan untuk membuktikan kejayaan pencapaian matlamat rawatan.
Penjagaan pesakit secara menyeluruh memerlukan data yang mencukupi, sesuai, tepat
dan terkini.
Aliran proses kerja penjagaan pesakit secara umum ditunjukkan di rajah dibawah.
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 3
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 4

4 PELAN PENJAGAAN BERSEPADU


Pelan penjagaan pesakit perlu digubah supaya pelan secara bersepadu (integrated care
plan) denagn merangkumi kesemua keperluan pesakit. Penentuan keperluan tersebut
memerlukan maklumat yang mencukupi.
Secara asasnya, dua perkara utama menentukan jumlah dan jenis data yang perlu dikutip,
iaitu:
Skop penjagaan
Objektif penjagaan
Maklumat yang terkumpul perlu dianalisa dengan teliti sebelum kesimpulan dibuat.
Didalam penjagaan pesakit klinikal, kesimpulan ini dinyatakan sebagai diagnosis, yang
menjadi asa kepada penentuan bentuk rawatan selanjutnya. Data yang lengkap, tepat dan
berkualiti membolehkan diagnosis ditentu dengan tepat. Tahap ketepatan digambarkan
dengan istilah seperti diagnosis sementara (provisional), terkini (working), andaian
(presumptive), pasti/muktamat (definitive) dan terakhir (final).
Kesesuaian rawatan bergantung besar kepada diagnosis dan juga profil pesakit.
4.1 Membina Profil Pesakit Daripada Data Yang Lengkap
Suatu keperluan asas bagi mengurus pesakit ia-lah mengenali pesakit dan masalahnya
dengan teliti bersandarkan set maklumat yang lengkap. Sebanyak mungkin maklumat
mengenai pesakit dikumpul secara berterusan. Data ini digunakan sebagai landasan
kepada tindakan selanjutnya terutama bagi menentukan kandungan pelan penjagaan
pesakit itu.
4.2 Sumber Data dan Cara Mengumpulnya
Perawat biasanya mengumpul data melalui proses berikut:
01. Temubual untuk:
mengambil sejarah / riwayat penyakit
mengenalpasti profil pesakit
02. Pemeriksaan fizikal
03. Ujian klinikal ringkas
04. Penyiasatan termasuk
Penyiasatan makmal,
Pengimejan,
Pemeriksaan Endoskopi dan lain-lain
05. Mendapatkan data dari surat rujukan dan rekod lampau
06. Merekodkan penemuan semasa membuat rawatan contohnya semasa pembedahan
07. Memerhati dan memantau pesakit secara berterusan
Pemberi khidmat klinikl (doctor, jururawat, jurupulih serta petugas lain) akan mengumpul
kesemua data ini, mentafsirkannya, merumuskan kesimpulan dan membuat keputusan
menegenai masalah kesihatan yang dihadapi pesakit. Tindakan dalam bentuk pelbagai
terapi akan diambil dan lebih banyak data dikumpulkan untuk mengawasi kejayaan
rawatan dan memantau perkembangan penyakit.
Kesemua data yang diperlukan tidak mungkin dikumpul sekaligus diperingkat awal. Tetapi
setelah lebih banyak data mengenai pesakit dikumpulkan sepanjang tempoh penjagaan,
profil sepenuhnya perlulah dibina dan segala keperluannya dikenalpasti.
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 5

5 MENENTUKAN SKOP PENJAGAAN


5.1 Skop Penjagaan dari Diagnosis yang Komprehensif
Untuk menawarkan penjagaan yang lengkap, skop penjagaan pesakit klinikal perlu
meliputi kesemua aspek kesihatan pesakit. Lazimnya istilah diagnosis terbatas kepada
penyakit yang sedang dialami oleh pesakit. Sepatutnya, diagnosis yang lebih komprehensif
perlu merangkumi semua masalah kesihatan yang dialaminya. Pengamal perubatan
memberi perhatian kepada jenis penyakit termasuk:
A. Penyakit utama
B. Penyakit sampingan
C. Penyakit kronik sediada (yang telah dikenalpasti sebelumnya)
D. Penyakit terdahulu yang belum sembuh atau masih aktif
Bagi petugas dari profesion kejururawatan, focus diberikan kepada
a. Kehilangan upaya untuk menjaga diri sendiri dan dengan ini kebergantungan kepada
bantuan (degree of dependency)
b. Kesan pesakit kepada keselesaan pesakit
c. Gangguan kepada fungsi asas seperti makan, minum, buang air, tidur dan lain lain
d. Keperluan memahami masalah kesihatan yang dihadapi
Jurupulih dan petugas lain pula menumpukan kepada kesan penyakit keatas:
i. Keupayan melakukan pergerkan dan pelbagai aktiviti
ii. Fungsi deria (sensori, penglihatan, pendengaran)
iii. Kebolehan berinteraksi dengan orang lain
iv. Pemakanan
5.2 Skop Penjagaan yang Merangkumi Pelbagai Aspek
Bagi setiap penyakit yang dikenalpasti, adalah penting untuk menghuraikan masalahnya
dengan mengambilkira pelbagai aspek berikut:
01. Pathologi penyakit yang dialami
02. Tahap keterukan penyakit
03. Komplikasi dan perubahan morfologi (anatomi) dan kesan fisiologi pelbagai sistem
04. Gejala dan ganguan keselesaan yang perlu dikurangkan atau dihapuskan
05. Kehilangan upaya atau fungsi yang disebabkan oleh penyakit
06. Gangguan pemakanan (nutrition)
07. Kesan psikologikal dan kesejahteraan sosial
08. Kesan dari penyakit kronik sediada
09. Kesan keatas penyakit terdahulu yang belum sembuh
Disamping tumpuan kepada penyakit itu sendiri, pertimbangan keatas keadaan pesakit
sebelum dilanda penyakitnya juga penting; termasuklah:
a. Tahap kesihatan sediada (sebelum sakit)
b. Status pemakanan (nutrition)
c. Gaya hidup dan tahap aktiviti
d. Pengetahuan dan sikap terhadap kesihatan secara umumyang dan penyakit dihidapi
e. Latar belakang mengenai alahan (allergi), kesan rawatan terdahulu seperti
pembedahan/prosedur/bius (anaesthesia) dan kecederaan masa lepas
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 6

6 PELAN PENJAGAAN YANG KOMPREHENSIF


6.1 Objektif Penjagaan Pesakit
Objektif rawatan perlu ditentukan pada peringkat terawal pengurusan pesakit. Walupun
rawatan muktamad hanya boleh diberikan setelah diagnosis yang tepat ditentukan,
namun sebelum itu pelbagai rawatan boleh ditawarkan kepada pesakit.
Secara amnya objektif rawatan atau terapi adalah untuk:
01. Menghapuskan atau mengurangkankan kesan-kesan penyakit
02. Mengekalkan, mengembalikan atau memperbaiki tahap kesihatan
03. Mengelakkan atau mengurangkankan komplikasi rawatan
04. Mengawal penyakit dari menjadi lebih teruk
05. Mencegah penyakit dari berulang
Bergantung kepada jenis penyakit, keterukannya dan keadaan pesakit, bentuk rawatan
ditentukan oleh objektif yang diharapkan dan boleh dibahagikan secara umum kepada tiga
kategori utama:
A. Terapi penyembuhan
B. Terapi pengawalan
C. Terapi paliatif
Terapi penyembuhan ialah usaha sedaya upaya untuk mencapai hasrat menghilangkan
terus ataupun menghentikan proses penyakit yang berpotensi untuk disembuhkan. Terapi
pengawalan digunakan untuk penyakit yang tidak boleh sembuh (contohnya penyakit
diabetes dan darah tinggi) tetapi dengan rawatan, komplikasi dapat dihindarkan, kualiti
hidup diperbaiki dan hayat pesakit dilanjutkan. Terapi paliatif terdiri dari beberapa kaedah
rawatan yang diberikan bagi mengurangkan kesan penyakit yang sudah teruk dan tiada
mungkin sembuh sepenuhnya.
Ketigatiga pendekatan utama ini mengandungi komponen yang serupa iaitu :-
a. Terapi hakiki/muktamad
b. Terapi melegakan gejala (symptomatic treatment)
c. Terapi sokongan
d. Usaha pencegahan
e. Pemulihan (rehabilitasi)
f. Penggalakan (promosi)
Unsur rawatan yang perlu diberi perhatian teliti dan diutamakan ditentukan oleh dua
faktor penting ia-itu tahap keterukan (severity) penyakit dan kesannya keatas keselesaan
pesakit.

7 CARA MENCAPAI OBJEKTIF PENJAGAAN PESAKIT


Perhatian yang sepatutnya harus diberi kepada semua masalah kesihatan yang sedang
dihidapi oleh pesakit samada yang baru berlaku ataupun telah lama wujud.
7.1 Penilaian Penyakit Utama
7.1.1 Menentukan Gred Penyakit dan Tahap Keterukkan
Tahap (stage) dan gred (grade) keterukkan sesuatu penyakit perlu ditentukan untuk
tujuan:
I. Menentukan prognosis
II. Memilih jenis rawatan yang paling sesuai
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 7

Tahap dan gred seharusnya tidak bertumpu hanya pada penyakit utama tetapi meliputi
keseluruhan kesihatan pesakit iaitu keterukkan gejala, ganguan fisiologi, kesan
kekurangan pemakanan, gangguan psikologi dan gangguan sosial.
7.1.2 Penyakit Sampingan Yang Berlaku Serentak/Seiring
Pesakit yang menghidapi penyakit yang melibatkan satu sistem mungkin sedang
menderita daripada patologi pada sistem lain. Contohnya, pesakit yang menghidapi
Radang Pundi Hempedu Akut (Acute Cholecystitis) atau Jangkitan Appendiks (Perforated
Appendicitis), mungkin juga menghidapi Jangkitan Para-paru (Pneumonia) di mana
sekiranya tidak dikesan boleh mendatangkan kesan yang buruk.
7.1.3 Status Kesihatan Sediada
Sesuatu penyakit mengakibatkan gejala dan perubahan fungsi yang berbeza dikalangan
pesakit. Begitu jua tindakbalas setiap individu dalam menghadapi penyakit begitu
berlainan. Faktor utama yang memberi perbezaan ini adalah tahap kesihatan sediada yang
bergantung pula kepada:
i. Kewujudan penyakit sediada
ii. Taraf imuniti
iii. Taraf pemakanan
iv. Kestabilan minda dan perasaan
v. Kehadiran sokongan sosial
7.1.4 Penyakit Sediada
Masalah kesihatan sediada (yang telah wujud sebelum berlakunya penyakit terkini) boleh
dikesan semasa mengambil sejarah pesakit atau ujian saringan. Sumber lain ialah dari
rekod perubatan terdahulu. Dengan itu rawatan terdahulu boleh diteruskan atau pun,
dalam situasi tertentu, diubah atau ditangguhkan untuk sementara waktu.
7.1.5 Penyaringan Penyakit Kronik Lazim
Saringan melalui penilaian kesihatan dan penyiasatan secara umum perlu dibuat untuk
mengenalpasti penyakit-penyakit kronik yang lazim; walaupun pesakit tidak
menyatakannya secara sukarela. Jika dikesan, rawatan haruslah dimulakan dan diteruskan.
Perawat digalakkan merujuk atau membuat konsultasi dengan perawat lain yang lebih
pakar atau berkemahiran khusus dalam bidang berkaitan.
Antara pelbagai penyakit kronik yang lazim termasuklah:
a. Asma / Chronic Obstructive Pulmonary Disease (penyakit sumbatan salur pernafasan
kronik)
b. Kencing manis
c. Darah tinggi
d. Sakit jantung (Ischemic Heart Disease)
e. Ganguan fungsi ginjal (Renal impairment)
f. Penyakt kulit yang kronik
g. Penyakit psikiatrik
Seringkali, pesakit gagal mendapatkan rawatan bagi penyakit-penyakit yang kurang serius
dan juga tidak meminta nasihat mengenai aspek kesihatan mereka yang terjejas. Mungkin
mereka menganggap bahawa perkara tersebut adalah remeh atau mereka tidak
menyedari masalah mereka boleh dielesaikan. Penyakit kurang serius atau masalah
kesihatan yang kerapkali tidak diendahkan termasuklah :
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 8

i. Immunisasi yang tidak lengkap dikalangan kanak-kanak


ii. Keadaan kesihatan gigi yang tidak memuaskan
iii. Penyakit kulit
iv. Jangkitan cacing
v. Masalah pemakanan (anemia, obesiti)
vi. Masalah psikiatri
vii. Kecacatan dan kehilangan upaya (angota badan, penglihatan, pendengaran,
pertuturan, dan sebagainya)
Memandangkan pengetahuan pesakit adalah terhad, perawat perlu bertindak sebagai
penganjur bagi pihak pesakit dengan menggalakkannya memeberi perhatian kepada
kesihatan dirinya. Apabila diminta oleh pesakit, perawat hendaklah memberikan bantuan
yang diperlukan atau merujuk pesakit kepada pusat rawatan atau perawat yang sesuai.

8 RAWATAN HAKIKI ATAU KHUSUS


8.1 Objektif Rawatan
Keberkesanan sesuatu rawatan bergantung kepada jenis penyakit dan tahap
keterukannya. Banyak penyakit dapat disembuhkan. Sesetengahnya dapat distabilkan dan
kemudianya dikawal supaya komplikasi tidak berlaku atau menjadi lebih serius. Ada pula
penyakit yang sudah terlanjur dan rawatan yang dapat diberikan terhad kepada usaha
melegakan serta meningkat kualiti hidup. Oleh itu rawatan yang optimum untuk sesuatu
penyakit yang menjadi rawatan hakiki hanya boleh ditentukan secara khusus apabila
penyakit yang dihidapi oleh pesakit dikenalpasti dengan tepat. Dengan kata lain, objektif
rawatan hakiki (definitive) bergantung kepada diagnosis pasti dan mengandungi kesemua
atau sebahagian dari langkah berikut:
A. Menyembuhkan
B. Mengawal dan mengurangkan akibat
C. Melegakan dan memperbaiki fungsi
8.2 Pemilihan Modaliti Rawatan
Kini terdapat pelbagai bentuk modaliti (teknologi) yang digunapakai untuk rawatan.
Hampir setiap hari kaedah rawatan baru ditemui dan diperkenalkan. Namun begitu,
kebanyakan jenis rawatan perubatan moden boleh dibahagikan kepada modaliti berikut:
01. Penggunaan ubat-ubatan (medication or medical therapy)
02. Pembedahan dan prosedur invasif (surgery or invasive procedures)
03. Penggunaan tenaga fisikal (contohnya manipulasi, radioterapi, stimulasi elektrik dsb.)
04. Kaedah psikologi (Psikoterapi, Kaunseling) serta Bantuan Sosial
Perawat memilih untuk menggunakan sebahagian atau kesemua kaedah asas mengikut
kelayakan, kemampuan dan kemahiran mereka. Rawatan lazimnya diberi secara
berpasukan. Biasanya pengamal perubatan berperanan sebagai perancang serta perawat
utama. Ahli pasukan dari profesion perubatan lain menjalankan rawatan atau memberi
khidmat bantuan.
Rawatan perubatan digunakan oleh kebanyakan kategori pengamal perubatan. Begitu
juga kaedah pembedahan. Pembahagian doktor kepada pakar perubatan dan pakar
pembedahan, sudah tidak begitu jelas kerana kebanyakan doktor menggunakan keduadua
pedekatan itu disamping modaliti lain.
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 9

Rawatan pembedahan boleh ditakrifkan sebagai teknik merubah morphologi sesuatu


anggota atau bahagian badan. Kaedah surgeri kini berubah dengan penggunaan saluran
akses yang kecil (minimal access surgery) atau melalui saluran semulajadi (endoscopic
surgery), peralatan yang digunakan juga kecil dan mengakibatkan perubahan morphologi
yang sedikit. Ternyata, pakar pakar seperti Pakar Radiologi, Kardiologi dan Endoskopi
semuanya memakai kaedah pembedahan. Kaedah surgery sangat bergantung kepada
sumbangan dari ramai petugas dari pelbagai profesion perubatan. Kejyaan bergantung
kepada kesepakatan diantara mereka.
Kaedah psikologi, juga digunakan oleh seluruh petugas kesihatan tidak semestinya Pakar
Psikiatri dan kaunselor sahaja.
8.2.1 Penggunaan Pelbagai Modaliti dengan Berkesan dan Selamat
Perubatan moden boleh memberi banyak kebaikan tetapi berkemungkinan mendatangkan
keburukan melalui kesan sampingan jangka pendek dan jangka panjang. Bagi setiap
kaedah rawatan dan ujian, beberapa prasyarat tersendiri (pre-requisite requirement) perlu
diikuti untuk memastikan supaya:
a. hasilnya berkesan (effective),
b. keselamatan pesakit terjamin (safe)
Sesetengah rawatan atau ujian hanya berkesan dalam keadaan tertentu sahaja. Jadi
adalah menjadi kewajipan seseorang perawat untuk memilih modaliti yang paling sesuai
(appropriate). Ia juga perlu memastikan bahawa pesakit berada didalam keadaan optima
untuk menjalani rawatan atau ujian tersebut.
Setiap rawatan serta ujian mempunyai potensi mendatangkan keburukan. Oleh itu
sebelum membuat keputusan untuk menggunakan sebarang bentuk modaliti, perawat
perlu membandingkan potensi kebaikan rawatan dengan risikonya. Dengan mengetahui
dan menjangka kesan sampingan yang mungkin berlaku, perawat dapat
menghindarkannya (jika boleh) dan bersedia untuk bertindak dengan segera dan wajar
jika komplikasi berlaku. Pemantauan parameter yang sesuai, semasa dan selepas rawatan
merupakan prasyarat utama ketika menggunakan sebarang bentuk rawatan dan ujian.
Perlu juga ada persediaan untuk tindakan segera jika berlaku apa apa kecenasan atau aral,
seperti penyedian alat/ubatan resusitasi, bantuan dari petugas lain dan sebagainya.
8.3 Rawatan Paliatif
Walaupun pesakit menghidapi penyakit yang tidak dapat disembuhkan atau dikawal,
pelbagai rawatan dapat ditawarkan kepadanya untuk melegakan gejala, memperbaiki
fungsi serta memberi keselesaan (Rawatan Paliatif). Modaliti yang digunakan untuk
menyembuh penyakit boleh juga digunakan untuk rawatan paliatif dengan tujuaan
berlainan seperti mengekalkan atau memperbaiki fungsi dan melegakan kesengsaraan.
Dengan itu, pesakit dapat meneruskan baki kehidupannya dengan kualiti hidup yang
memuaskan. Dalam konteks ini, jika diketahui prognosis penyakitnya adalah tidak baik,
adalah tidak wajar untuk mendedahkan pesakit kepada risiko dan kesan sampingan
sesuatu rawatan serta membelanjakan wang yang bayak. Rawatan melegakan gejala dan
rawatan sokongan merupakan teras utama bagi rawatan paliatif. Ia dihargai oleh pesakit
serta keluarganya dan sepatutnya memberi kepuasan kepada perawat.

9 RAWATAN MELEGAKAN GEJALA (Symptom)


Harapan utama pesakit ketika mendapatkan rawatan ialah supaya gejala penyakit yang
dihadapinya dapat dihilangkan atau dikurangkan.
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 10

9.1 Penilaian dan Rawatan Gejala


Wujudnya sesuatu gejala dapat diketahui dengan memberi perhatian teliti terhadap apa
yang di rungutkan oleh pesakit secara spontan (explicit complaints) semasa menemubual
pesakit. Perawat perlu meluangkan masa untuk mendengar rungutan pesakit atau
warisnya. Ada juga gejala yang tidak enak yang tidak disebut oleh pesakit secara sukarela
(explicitly) tetapi boleh difahami; antara lain dari riak muka atau tingkah lakunya (implicit
complaints).
Antara gejala utama yang mengganggu pesakit ialah:
a. Kesakitan (dalam pelbagai bentuk)
b. Ketidakselesaan
c. Kurang selera makan
d. Tidak boleh tidur atau tidur terganggu
e. Ganguan pelbagai deria
f. Ganguan fungsi membuang air kecil dan besar
g. Masalah seksual
h. Gangguan psikososial
i. Kehilangan keupayaan berinteraksi dengan orang lain
j. Kehilangan ingatan serta fungsi berfikir lain
Perawat perlu memberi perhatian yang cepat dan setimpal untuk melegakan gejala sejajar
dengan usaha menentukan diagnosa dan memberi rawatan definitif.

10 RAWATAN SOKONGAN
Rawatan sokongan merupakan sebahagian dari rawatan keseluruhan dan memainkan
peranan yang sama penting dengan rawatan khusus.
10.1 Resusitasi dan Penstabilan
Gangguan fisiologi melibatkan pelbagai sistem utama sering belaku akibat kesan penyakit.
Yang selalu terlibat ialah sistem respiratori, pengaliran darah, sistem kumbahan serta
keseimbangan cecair dan elektrolit. Tindakan segera perlu dibuat untuk menstabilkan
kembali fungsi sistem yang terlibat.
10.2 Menilai Serta Memperbaiki Tahap Pemakanan
Kebanyakan penyakit memberi kesan kepada tahap pemakanan dengan mengurangkan
selera makan, menganggu kemampuan untuk makan dan minum serta sistem
penghadaman. Dengan mengetahui tahap pemakanan, perawat dapat memastikan
maknanan yang diberikan adalah mencukupi dan seimbang. Sokongan pemakanan sangat
diperlukan semasa rawatan pembedahan, kemoterapi atau radioterapi.
10.3 Penilaian dan Terapi Psikologi
Keadaan psikologi pesakit adalah sama penting dengan aspek fizikalnya. Keadaan minda
pesakit sebelum berlakunya penyakit perlu diketahui. Kesan penyakit, dan tindakbalas
pesakit terhadap kesan itu juga perlu dinilai. Pesakit perlu diberi penjelasan tentang
penyakit yang dihidapi supaya ia bersedia dari segi mental untuk menerima kenyataan,
faham dan yakin terhadap apa yang akan berlaku, dan teransang untuk menerima
rawatan.
Kesan penyakit kepada kehidupan sosial pesakit harus dipertimbangkan termasuk dari
aspek perhubungan dan interaksi pesakit dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 11

Untuk sesetengah penyakit, kemampuan pesakit untuk bekerja atau melakukan aktiviti
lain (termasuk riadah dan hobi) turut terjejas.

11 USAHA PENCEGAHAN
Pencegahan adalah perkara yang sangat penting dalam penjagaan pesakit. Pesakit yang
menghidapi sesuatu penyakit terdedah kepada kemungkinan untuk mendapat penyakit
lain atau mengalami kecederaan semasa rawatan. Petugas berpeluang dan sepatutnya
melakukan usaha pencegaan diketiga peringkat:
Primer
Sekunder
Tertiari
Dalam konteks penjagaan pesakit, pencegahan primer merujuk kepada pencegahan
daripada kemungkinan belakunya penyakit-penyakit atau kecederaan baru dalam tempoh
penjagaan. Penyakit dan kecederaan yang mungkin berlaku semasa rawatan yang boleh
dicegah termasuklah jangkitan (nasocomial infection), kudis akibat tekanan (pressure
sore), kecederaan mata, kesilapan pemberian ubatan dan sesetengah komplikasi surgeri
mahupun bius. Penyakit lain yang boleh dicegah termasuklah Paru paru kuncup
(Pulmonary atelectasis) dan Deep vein thrombosis.
Pencegahan sekunder boleh ditakrifkan sebagai usaha menghadkan kesan buruk yang
disebabkan oleh penyakit yang dialami. Ini termasuk langkah untuk:
menghentikan penyakit daripada melarat,
menyingkatkan jangkamasa serta tahap penderitaan
mencegah berlakunya kecacatan atau kehilangan upaya
Pencegahan tertiari berbentuk usaha pemulihan untuk:
menghadkan kecacatan atau
mengembalikan fungsi yang hilang

12 PEMULIHAN
Pemulihan (rehabilitation) ialah suatu komponen yang penting dalam penjagaan pesakit.
Ia bermula dari peringkat awal penjagaan pesakit dan diteruskan sehingga fungsi pulih
sepenuhnya atau kehilangan upaya dikurangkan semaksimum yang mungkin.
Objektif umum rehabilitasi adalah untuk mengembalikan pesakit kepada masyarakat
sebagai seorang yang berguna dan mempunyai kehidupan yang berkualiti.
Rawatan pemulihan (rehabilitasi) mempunyai dua fungsi dan objektif yang berkait rapat
ia-itu:
A. Pencegahaan
B. Penyembuhan
Komplikasi yang boleh dihindarkan atau diperbaiki melalui rehabilitasi ia-lah:
a. Kehilangan upaya
b. Kecacatan
c. Kekurangan deria
Untuk mencegah, petugas perlu menjangka kemungkinan berlakunya komplikasi dan
mengambil tindakan pro-aktif untuk menghindarkannya dari berlaku.
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 12

Penilaian kehilangan upaya, kecacatan atau kekurangan deria, samada disebabkan


penyakit terkini ataupun sudah sediada, adalah sebahagian dari diagnosis yang
komprehensif.
Kaedah yang digunakan untuk rehabilitasi termasuklah:
i. Pemulihan fizikal
ii. Latihan melakukan aktiviti tertentu
iii. Pengunaan alat bantuan
iv. Sokongan psikologikal
v. Kaunseling
vi. Bantuan sosioekonomi
Tanggungjawab untuk menjalankan semua ini tidak bergantung pada jurupulih anggota
(physiotherapist), jurupulih cara kerja (occupational therapist), jurupulih suara (speech
therapist) atau kaunselor sahaja, tetapi seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab
bersama doktor, jururawat dan petugas penjagaan kesihatan lain.

13 PENDIDIKAN PESAKIT
Pendidikan pesakit semestinya disertakan dalam strategi pengurusan setiap pesakit.
Pendidikan bertujuan memastikan pesakit memahami:
a. Selok belok penyakitnya
b. Rawatan yang dirancang dan sedang dijalankan oleh perawat untuk memulihkan
kesihatannya
c. Peranan pesakit sendiri dalam penjagaan kesihatannya
Tugas memberi penjelasan kepada pesakit juga menjadi tanggungjawab bersama semua
petugas yang menjaga pesakit.
13.1 Penglibatan Pesakit dan Waris Dalam Proses Penjagaan
Pesakit dapat menglibatkan diri dalam proses penjagaan penyakitnya jika ia digalakkan
untuk berbuat demikian dan diberi maklumat serta latihan yang mencukupi. Berbekalkan
pemahaman yang jelas dan motivasi yang tinggi, pesakit akan lebih bersedia mematuhi
arahan rawatan, berupaya mengambil bahagian dalam penjagaan diri mereka dan kurang
berkemungkinan untuk menyalah tafsir tujuan dan kesan rawatan. Pendidikkan juga
diberikan kepada keluarga pesakit atau penjaga mengikut kesesuaian dan keperluan.
13.2 Promosi Kesihatan
Terdapat peluang yang luas untuk meyampaikan promosi kesihatan setiap kali pesakit
datang ke hospital, klinik atau pusat kesihatan. Ia boleh dilakukan dengan cara memberi
pendidikkan dan nasihat untuk semua aspek kesihatan yang tidak semestinya ada kena
mengena dengan penyakit yang sedang dihadapinya. Aspek-aspek tersebut termasuk :
a. Mengamal gaya hidup yang sihat
b. Kebersihan diri
c. Pengambilan makanan yang betul
d. Pencegahan penyakit (immunisasi, pencegahan kemalangan, perancangan keluarga,
dan sebagainya)
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 13

14 MEMANTAU, MENYEMAK, MENILAI DAN MENJAGA SECARA


BERTERUSAN
14.1 Pemantauan Berkala dan Berterusan
Pemantauan adalah suatu proses kerja yang sangat penting dalam prosedur penjagaan
pesakit. Ia mewujudkan kesinambungan antara fasa pengenalan masaalah dengan fasa
rawatan dan menentukan arahtuju selanjutnya. Perkara yang perlu dipantau secara
berterusan ia-lah:
a. Tahap kesihatan pesakit
b. Perkembangan penyakit termasuk kesan pelbagai rawatan terhadapnya
c. Kesan yang tidak dikehendaki atau kesan sampingan rawatan
Oleh itu pemantauan perlu dimulakan dari peringkat awal lagi dan berakhir hanya selepas
penyakit telah dianggap sembuh ataupun penjagaan telah dihentikan.
Pemantauan adalah berasaskan pelbagai kriteria dan bagi setiap kriteria cara pengukuran
yang sesuai digunakan termasuklah:
i. Pemerhatian berterusan gejala dan tanda
ii. Pengukuran berulangan parameter Fisiologi
iii. Pengukuran bersiri parameter Biokimia
iv. Ujian semula Mikrobiologi & Hematologi
v. Ujian semula Pengimejan
vi. Ujian diagnostik berkala termasuk Endoskopi
Pemerhatian gejala dan tanda secara beterusan akan memberi gambaran sama ada
pesakit bertambah sihat atau sebaliknya. Ia juga dapat menunjukkan sama ada penyakit
bertambah teruk atau beransur pulih. Ukuran sesuatu parameter yang direkod secara
berterusan boleh dipersembahkan dalam bentuk jadual (table) atau carta (chart), untuk
mengambarkan alunan pergerakan naik-turun (trend). Sesetengah perubahan perlu
tindakan segera. Sesetengah perubahan lain pula perlu dikaji dengan teliti sebelum
sebarang perubahan dibuat.
14.2 Penilaian Semula
Prosedur penilaian semula dilakukan dengan menganalisa maklumat dari pemantauan
untuk merumuskan jawapan kepada soalan soalan berikut:
01. Sudahkah segala keperluan pesakit diambilkira?
02. Adakah semua tindakkan yang dirancang telah dilakukan?
03. Adakah objektif yang dikehendaki tercapai?
04. Apakah tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan?
Perkara perkara yang harus dikaji semula termasuklah:
i. Semakan semula perkembangan penyakit
ii. Semakan semula keadaan kesihatan pesakit
iii. Menilai kesan rawatan
iv. Semakan semula diagnosis
v. Semakan sama ada keputusan (decisions) yang tepat telah dibuat
vi. Semakan sama ada rawatan yang dipilih adalah sesuai dan berkesan
Kaedah yang digunakan untuk penilaian semula samalah seperti kaedah digunakan untuk
tujuan pemantauan. Untuk mendapat gambaran yang tepat, data dari pemeriksaaan
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 14

klinikal dan dari pelbagai jenis penyiasatan perlu dikumpulkan dan dianalisa secara
menyeluruh. Tahap pencapaian hendaklah dibandingkan dengan matlamat (objective)
rawatan untuk menentukan samada ia sudah tercapai atau terdapat kemajuan.
Sesetengah penyakit memerlukan pemantauan teliti dengan menggunakan ujian-ujian
khusus contohnya tumor markers.
Walaubagaimanapun bagi kebanyakan penyakit, petanda yang digunpakai adalah tidak
spesifik contohnya gejala, tanda dan perubahan biokimia. Dengan itu untuk mengetahui
samada penyakit makin melarat atau telah berulang memerlukan kebijaksanaan yang
terbentuk dari pengalaman, sikap berhati-hati dan tahap sangkaan yang tinggi (high index
of suspicion).
14.3 Penjagaan Berterusan
Salah satu ciri utama penjagaan holistik adalah penjagaan berterusan. Kesinambungan
penjagaan kes dipastikan supaya aktiviti rawatan menurut apa yang dirancangkan dan
diteruskan hingga selesai. Ia juga boleh memastikan supaya pencapaian terdahulu
dikekalkan dan manfaat ditambahkan. Pemantauan secara berterusan atau berkala perlu
untuk menilai semula keadaan pesakit. Langkah yang perlu digunapakai untuk memastikan
penjagaan berterusan berlaku termasuklah:
01. Memberi temujanji untuk rawatan susulan mengikut jadual yang yang sesuai dengan
perkembangan penyakit dan kaedah rawatan
02. Menyediakan dan merekodkan plan perancangan rawatan lanjutan
03. Menentukan jenis jenis gejala atau parameter yang perlu dipantau untuk mengesan
samada penyakit telah berulang ataupun komplikasi jangkapanjang telah berlaku
04. Menyediakan mekanisma untuk membolehkan pesakit sendiri mengesan lebih awal
gejala atau komplikasi dan memberi mereka kemudahan untuk mendapat bantuan
diluar jadual temujanji
Memandangkan ramai kakitangan terlibat dalam penjagaan pesakit, komunikasi yang baik
anatara mereka adalah amat penting. Ia dijayakan melalui:
a. Dokumentasi rekod pesakit yang tepat dan lengkap
b. Surat rujukan atau pesanan lisan kepada petugas selanjutnya yang ditulis /
disampaikan dengan baik
c. Ringkasan kes yang jelas dan mencukupi
d. Arahan secara lisan atau bertulis kepada pesakit yang mudah difahami
e. Galakan kepda pesakit untuk menurut plan rawatan (compliance)
Suatu perkara yang amat penting ialah menentukan siapakah perawat (doktor atau
jururawat) yang bertindak sebagai penjaga utama pesakit serta bertanggungjawab
menyelaras penjagaan kes (case coordinator, case manager). Di samping menentukan
penjagaan adalah seprti yang diatur, aspek lain yang perlu diberi perhatian adalah
memastikan segala rawatan yang diberikan oleh pelbagai kakitangan perubatan tidak
bercanggah tetapi mengikut objektif yang ditetapkan tanpa pertindihan atau konflik.
Subjek ini dibincang dengan lebih lanjut melalui artikel http://drdollah.com/artikel-
bahasa/pemantauan-semakan-kemajuaan-penilaian-semula-dan-penentuan-pencapaian/
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 15

15 PROSEDUR PENTADBIRAN & KOMUNIKASI


Untuk memastikan kepuasan pesakit, prosedur pentadbiran dan komunikasi mestilah
dilakukan secara lancar dan berkesan. Prosedur-prosedur ini termasuklah:
a. Pendaftaran / Prosedur kemasukan ke wad
b. Penerangan / Orientasi
c. Mendapatkan persetujuan (taking consent)
d. Pengeluaran bil dan Penerimaan bayaran
e. Prosedur Keluar wad / Discaj
f. Pemberian Temujanji
Semua prosedur ini perlu diubahsuai mengikut keperluan pesakit. Keberkesanan
komunikasi adalah amat penting. Kesalahan tafsir boleh menyebabkan pesakit tidak
mengikut arahan (non-compliant), berlaku kesilapan atau kelambatan dan ini boleh
membawa kesan yang tidak diingini.
Kakitangan hadapan yang memikul tanggungjawab pentadbiran seperti penyambut
tetamu, kerani dan pegawai keselamatan perlulah sensitif terhadap keperluan pesakit
yang bermasalah kesihatan tertentu dan perlu memahami secara kasar proses penjagaan
klinikal mereka. Kakitangan klinikal pula perlu membiasakan diri dengan prosedur
pentadbiran dan bersedia serta sanggup berkerjasama atau memberi bantuan.
15.1 Orientasi dan Memberi Penerangan
Orientasi dan memberi penerangan mengenai prosedur kemasukan, waktu melawat,
bayaran dan sebagainya wajib diberikan sebagai sebahagian dari proses pengurusan
pentadbiran dan komunikasi. Ia memerlukan pendekatan tersendiri dan perlu dibezakan
dari aktiviti pendidikan pesakit.

16 PERKHIDMATAN HOSPITALITI
Komponen perkhidmatan hospitaliti termasuklah:
01. Sambutan tetamu dan perkhidmatan kaunter
02. Penginapan
03. Makanan
04. Penyediaan Kemudahan dan Persekitaran yang selesa
05. Hiburan
06. Informasi
07. Kemudahan komunikasi
08. Kemudahan pengangkutan
09. Kemudahan untuk berinteraksi sosial
Perkhidmatan hospitaliti yang diberikan dengan perlu mengambilkira ciri-ciri
penghormatan kepada hak kemanusiaan asas (basic human rights) berikut:
a. keselesaan
b. pengekalan hak dan had peribadi (maintenance of privacy) dan maruah (human
dignity)
c. kerahsiaan maklumat (maintenance of confidentiality)
d. menentukan keselamatan diri dan harta kepunyaan pesakit
e. interaksi berasaskan saling menghormati dan simpati
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 16

17 MELAKSANAKAN PENJAGAAN SECARA MENYELURUH


Untuk menerapkan konsep penjagaan pesakit secra menyeluruh dalam sistem
penyampaian khidmat kepada pesakit memerlukan perubahan dalam rekabentuk dan
perancangan perkhidmatan. Manfaat optima hanya boleh dicapai jika semua yang
berkaitan bekerjasama dan bertindak sebagai suatu pasukan. Polisi, prosedur dan suasana
yang memberi ruang dan peluang kepada kalangan petugas profesional, pesakit dan
saudara-maranya bersama berganding dan menyumbang kepada penjagaan kesihatan
mestilah diwujudkan.
Pelaksanaan konsep ini memerlukan strategi berikut:
01. Penggunaan kombinasi pelbagai pendekatan
02. Penglibatan daripada semua petugas kesihatan
03. Menyediakan kemudahan dan suasana untuk integrasi
04. Memberi perhatian kepada perlunya koordinasi
05. Menyediaan mekanisma untuk penilaian berterusan
17.1 Perancangan Rawatan Berkonsepkan Penjagaan Menyeluruh
Pendekatan yang mungkin paling efektif untuk melaksanakan konsep ini adalah
penggunaan Plan Penjagaan Pesakit Komprehensif. Plan penjagaan pesakit seperti ini
menumpukan perhatian kepada semua aspek masalah kesihatan pesakit baik untuk
jangkamasa pendek mahupun jangka masa panjang. Secara konsepnya, pelan penjagaan
berbentuk penjadualan pelbagai aktiviti penjagaan pesakit mengikut edaran masa. Tugas
atau tanggungjawab semua yang terlibat juga ditentukan.
Pelan penjagaan boleh wujud sebagai konsep di sanubari kakitangan kesihatan atau
berbentuk nyata sebagai plan bertulis. Pelan penjagaan pesakit secara individu terbit
daripada pelan generik yang perlu dibentuk dahulu. Rekabentuk plan penjagaan generik
(untuk sesuatu masalah kesihatan atau penyakit) memerlukan sumbangan melalui
perbincangan antara semua kategori kakitangan kesihatan profesional yang terlibat di
dalam penjagaan pesakit, contohnya melalui penubuhan Pasukan Pelbagai Jabatan
(interdepartmental teams) atau Pasukan Gabungan Fungsi (Cross-functional teams).
Buat masa ini, Garispanduan Amalan Klinikal (Clinical Practice Guidelines) boleh dijadikan
asas untuk plan generik, namun amat sedikit daripadanya telah dimajukan berpandukan
konsep penjagaan pesakit menyeluruh. Rangkakerja untuk pelan penjagaan generik
berpandukan kepada falsafah penjagaan pesakit keseluruhan adalah seperti yang
ditunjukkan di bawah.
Pelan Penjagaan Pesakit berasaskan Proses Kerja Klinikal
Konsep Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh 17

You might also like