You are on page 1of 17

isu pencemaran udara

By Tpb Love Mf in Pengajian Malaysia Ambilan Kedua · Edit doc

1.0 PENGENALAN

Pencemaran udara merupakan satu keadaan yang melibatkan kehadiran sebarang gas atau
zarahan dalam atmosfera yang terhasil daripada kegiatan manusia (antropogenik) ataupun secara
semulajadi. Isu ini sering biasanya terjadi di bandar besar misalnya Kuala Lumpur. Dewasa ini
pencemaran udara banyak terhasil daripada kegiatan manusia. Biasanya pencemaran udara
dikaitkan dengan pelepasan asap atau bahan-bahan cemar lain daripada ekzos kenderaan, stesen
penjana kuasa, kilang, loji penuaan serta pembakaran bahan api fosil secara domestik di kawasan
bandar dan industri. Namun demikian, bahan cemar udara juga boleh terhasil daripada kegiatan
di kawasan pedalaman, seperti penyemburan racun perosak, atau perlombongan yang
menghasilkan habuk ataupun amalan pertanian seperti pendebungaan dan penyemburan baja.
Pencemaran udara juga terjadi secara semulajadi menerusi penyerakan habuk atau debu akibat
tiupan angin, letusan gunung berapi, tiupan wap air oleh ombak dan sebagainya (Zaini Ujang,
1997).

1.1 Definisi Pencemaran Udara

Pencemaran udara adalah kehadiran satu atau lebih bahan cemar atau gabungannya di dalam
atmosfera dalam kuantiti tertentu pada sesuatu jangka waktu yang boleh atau kecenderungan
menyebabkan mudarat kepada kehidupan manusia, tumbuhan dan haiwan, harta benda,
menganggu suasana kehidupan yang tenteram atau harta benda, dan kelangsungan sesuatu
kegiatan. Mengikut Akta Pencemaran Udara di Amerika Syarikat 1960, telah mendefinisikan
bahawa,
“pencemaran udara terutamanya di kawasan bandar adalah keadaan di mana wujudnya apa-
apa bentuk pengotoran sekalipun di udara yang dianggap merbahaya, ataupun mungkin akan
menjadi bahaya kepada kesihatan, keselamatan awam atau kepada manusia, tumbuhahan,
haiwan dan harta benda atau menghalang manusia daripada menikmati hartanya atau dalam
kehidupan yang baik”.

Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dalam Perlembagaan Malaysia, definisi
pencemaran udara dikaitkan dengan “bendasing udara” atau bahan-bahan cemar udara.
Pendefinisian ini dimuatkan dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih),
1978 sebagai bendasing udara termasuklah asap, jelaga, habuk, abuk (termasuk abu berterbang),
arang, hancuran, kumin pejal dari apa-apa jenis, termasuklah kumin-kumin, gas-gas, wap-wap,
kabus bau dan bahan radioaktif yang terpancar dari pembakaran bahan api dan bahan-bahan yang
seumpamanya.

Pencemaran udara juga ialah perubahan langsung atau tidak kepada sifat-sifat fizikal, haba,
kimia, biologi atau radioaktif mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan,
mengeluarkan atau meletakkan buangan-buangan hingga menjejaskan apa-apa kegunaan
berfaedah, menyebabkan suatu keadaan yang berbahaya atau mungkin berbahaya kepada
kesihatan, keselamatan, atau kebajikan awam, atau kepada binatang, burung, hidupan liar, ikan
atau hidupan-hidupan dalam air, atau kepada tumbuh-tumbuhan atau menyebabkan suatu
perlanggaran terhadap apa-apa syarat, had atau sekatan yang dikenakan ke atas sesuatu lesen
yang dikeluarkan di bawah Akta ini (Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974).

Berdasarkan beberapa definisi tersebut, maka bolehlah dirumuskan bahawa pencemaran udara
adalah sebagai kehadiran sebarang bahan cemar udara dalam atmosfera dengan ciri-ciri serta
jangka masa tertentu sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang yang kesannya boleh
mengakibatkan apa jua mudarat kepada kehidupan manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan atau
harta benda, atau mengganggu keselesaan serta kedamaian hidup sesuatu komuniti (Zaini Ujang,
1997).
2.0 JENIS-JENIS BAHAN PENCEMAR

Secara umumnya jenis-jenis pencemar udara ini boleh dikelaskan kepada tiga kategori utama
iaitu pepejal, cecair dan gas. Namun demikian, pengelasan tersebut akan menjadi semakin
rencam kerana sesuatu bahan pencemar udara biasanya wujud dalam atamosfera dalam bentuk
yang bercampur-baur. Bahan zarahan (partikel) misalnya, bukan hanya terdapat dalam bentuk
dan fasa pepejal sahaja, bahkan turut merangkumi bentuk cecair. Selain daripada bahan-bahan
pencemaran jenis partikel ini, terdapat satu lagi kumpulan bahan pencemar udara, iaitu bahan
pencemaran jenis gas. Di antaranya termasuklah sebatian sulfur, sebatian nitrogen, sebatian
karbon, hidrokarbon dan unsur halogen.

3.0 FAKTOR-FAKTOR PENCEMARAN UDARA

3.1 Faktor Semulajadi

3.1.1 Pembakaran Hutan Semulajadi

Pembakaran hutan semulajadi adalah salah satu penyebab utama kepada berlakunya pencemaran
udara di negara ini. Pembakaran hutan semulajadi banyak berlaku di Amerika Syarikat, Mexico
dan negara-negara lain ekoran kemarau yang melampau sehingga menyebabkan berlakunya
fenomena pencemaran udara. Musim kemarau yang berlaku di Malaysia telah menyebabkan
kawasan hutan menjadi kering dan mudah terbakar secara semulajadi kerana kekurangan air
dalam tanah. Hal ini kerana cuaca yang terlalu panas iaitu melebihi 37°C telah menyebabkan
beberapa kawasan mengalami kebakaran secara semulajadi sehinga melibatkan beribu-ribu
hektar kawasan hutan terbakar seperti Hutan Rompin dan Batang Berjuntai sehingga
menyebabkan berlakunya jerebu. Malah, dijangkakan juga bahawa suhu di Malaysia akan
mencecah sehingga 41°C apabila berlaku ekuinoks di mana matahari berada di atas garisan
khatulistiwa (Kosmo, 2005).

3.1.2 Angin

Angin memainkan peranan penting di dalam menyebarkan partikel dan zarah-zarah terampai ke
kawasan lain sehingga menyebabkan berlakunya jerebu. Biasanya angin akan berada dalam
keadaan tenang pada waktu tengah hari iaitu sekitar jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang.
Waktu tersebut merupakan waktu puncak bagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan di bandar. Asap
kilang yang berada di ruang udara disebarkan di merata-rata tempat kerana ketika itu keadaan
lapse menjadi kuat. Keadaan ini dipanggil sebagai proses looping manakala peringkat
cooning yang berlaku pada waktu petang telah menyebabkan angin membantu menyebarkan
zarah-zarah habuk jauh dari kawasan bandar. Pada peringkat fanning yang berlaku pada waktu
malam, angin bertiup perlahan dan tenang. Masalah pencemaran asap amat merbahaya sekiranya
cerobong kilang lebih rendah dari bangunan di sekitarnya kerana partikel asap tidak dapat
diserakkan dengan lebih jauh kerana dihalang oleh bangunan. Bandar Kuala Lumpur merupakan
kawasan yang giat dalam perindustrian yang sering menghadapi masalah pencemaran udara

Peringkat seterusnya adalah lofting, yang mana kosentrasi bahan-bahan pencemar akan
dicairkan dengan cepat dan tidak sempat sampai ke bumi. Fumigation pula mempunyai 3
peringkat yang mana pada ketika ini bahan-bahan pencemar yang keluar dari cerobong asap
kilang akan sampai ke permukaan bumi kerana olak suhu hanya berlaku di atas. Seterusnya
trapping yang mana olak suhu dibahagian atas mampu memerangkap bahan-bahan pencemar
yang dikeluarkan oleh cerobong asap (Sham Sani,1982). Secara keseluruhannya, angin
memainkan peranan penting dalam menyebarkan partikel dan zarah-zarah terampai agar ia
hanya tertumpu di kawasan bandar sehingga mewujudkan pulau haba bandar, kesan rumah hijau,
kubah debu dan pemanasan global.

Kebiasaanya, tiupan angin membawa habuk dari kawasan industri terutama dari pinggir bandar
ke bandar. Sebagai contoh di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, angin telah membawa asap,
habuk dan debu dari kawasan industri di Petaling Jaya ke pusat bandaraya Kuala Lumpur
sehingga menyebabkan suhu di kawasan bandaraya tersebut meningkat disebabkan kosentrasi
karbon dioksida (CO²) dan lain-lain gas (Sham Sani, 1982). Keadaan ini juga biasanya terdapat
di kawasan tandus yang terdedah dan mengalami tiupan angin kencang seperti kawasan gurun
tropika.

3.1.3 Letusan gunung berapi

Kejadian ini juga berlaku pada musim sejuk kerana zarah-zarah asid sulfur menjadi beku dan
tidak mampu untuk bertindakbalas di atmosfera. Namun, apabila berlaku musim panas selama 6
bulan, zarah-zarah ini akan mula bertindakbalas dan mengurai molekul ozon di lapisan
stratosfera sehingga menyebabkan lubang ozon semakin membesar. Di samping itu, habuk dan
asap yang dikeluarkan juga menyebabkan kawasan penempatan di persekitarannya termasuk
bandar-bandar di Filipina dilanda jerebu dan habuk. Kesannya bukan sahaja kepada alam sekitar
tetapi juga kepada kesihatan manusia.

3.2 Faktor Antropogenik

3.2.1 Pembakaran Terbuka

Di kawasan perumahan, perdagangan, kawasan pembinaan mahupun di kawasan pertanian,


pembakaran sisa pepejal telah dilakukan secara terbuka sehingga menghasilkan asap dan habuk.
Pembakaran sisa pepejal seperti serpihan kayu, sampah sarap dan sebagainya menghasilkan
zarah pepejal terampai (bersaiz 10 mikron) yang merbahaya kerana boleh memudaratkan
kesihatan manusia. Zarah yang bersaiz 10 mikron ini sukar memasuki ke saluran pernafasan
kerana di bahagian atas sistem pernafasan hanya zarah yang berukuran 2 mikron sahaja mampu
ditapis oleh sistem pernafasan tersebut (Abdullah Mohamad Said, 1999). Hal Ini akan
memburukkan lagi kesihatan manusia apabila pembakaran secara terbuka dilakukan tanpa
kawalan.
Pembakaran ini banyak dilakukan ditempat pelupusan sampah terutama di kawasan
bandar bagi mengurangkan sampah sarap yang ada. Amalan pembakaran terbuka akan
menghasilkan partikel-partikel halus, bau yang tidak diingini dan asap yang bertoksid yang
membahayakan kesihatan manusia. Pembakaran terbuka daripada bahan organik seperti minyak
dan kayu yang mengandungi karbon, apabila dibakar akan menghasilkan asap atau jerebu yang
banyak. Menurut bahagian Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar telah
menganggarkan bahawa bahan-bahan sisa bandaran ini berjumlah kira-kira 3.7 juta tan setahun
bagi Semenanjung Malaysia. Lebih 55% daripada kerajaan tempatan mengamalkan pembakaran
yang terdedah untuk memusnahkan sisa-sisa tersebut.

3.2.2 Pelepasan Asap Kenderaan Darat dan Udara

Asap kenderaan turut menjadi penyumbang kepada pencemaran udara. Kenderaan bermotor
telah menyumbangkan 90% daripada pencemaran CO di bandar-bandar besar. Di bandar besar
seperti Kuala Lumpur nitrogen dioksida (NO²) yang dibebaskan oleh kenderaan terutama pada
waktu puncak yang akan memenuhi ruang udara dan bercampur dengan lain-lain enapan serta
wap air dalam atmosfera akan menghasilkan kabut berwarna kelabu.

Di Malaysia, jenis kenderaan yang paling banyak menyumbang kepada pencemaran ini adalah
lori. Statistik kenderaan yang dikenakan kompaun oleh Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2002,
kenderaan lori mencatatkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 85%. Ini kerana lori lebih banyak
menggunakan petrol berbanding kenderaan lain (sumber:http://www.jas.sains.my). Keadaan ini
akan menjadi bertambah buruk pada waktu siang kerana rata-rata penduduk di bandar
menggunakan kenderaan persendirian mahupun perkhidmatan awam. Contohnya di Malaysia,
pada tahun 1974 jumlah kenderaan bermotor yang berdaftar di Kuala Lumpur-Petaling Jaya
sahaja melebihi 31,000 unit dan ini menunjukkan tiga kali ganda jumlah kenderaan yang terdapat
dalam tahun 1964 (Utusan Melayu, 1974). Dalam tahun 2004 pula, sebanyak 14 juta kenderaan
berdaftar yang telah digunakan di negara ini yang mana angkanya meningkat dua kali ganda
berbanding dengan sedekad lalu.
Kualiti udara persekitaran sebenarnya amat bergantung kepada jenis sistem pengangkutan yang
digunakan, jenis sumber tenaga, tahap teknologi enjin dan juga jumlah tenaga yang diperlukan.
Kenderaan bermotor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara. Oleh yang demikian,
bagi mengatasi masalah ini penggunaan pengangkutan awam merupakan salah satu alternatif
bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian bagi mengurangkan impak pencemaran
udara. Namun begitu, masyarakat pada hari ini lebih gemar menggunakan kenderaan
persendirian ke tempat kerja kerana cepat dan menjimatkan masa.

3.2.3Pembakaran Bahan Api

Di Malaysia, pembakaran bahan api banyak dilakukan di stesen-stesen janakuasa termasuk


dandang (boiler) dan relau-relau (furnaces) telah mengeluarkan sulfur dioksida, nitrogen oksida
dan juga partikel-partikel kecil. Menurut Sham Sani (1982), daripada jumlah 140, 000 tan sulfur
dioksida yang dikeluarkan hasil dari pembakaran bahan api pada tahun 1975, stesen janakuasa
bertanggungjawab bagi 53.2%, industri 39.2% sementara kilang-kilang pembersihan minyak
petrol bertanggungjawab bagi 5.6%.

Menjelang tahun 1997, penggunaan bahan api seperti kayu, fiber kelapa sawit dan kulit
kerang kira-kira lebih daripada 1.5 juta tan yang digunakan oleh dandang-dandang. Pembakaran
bahan-bahan ini sebenarnya mengeluarkan jumlah partikel yang banyak. Manakala pembakaran
bahan api yang tidak lengkap menyebabkan jumlah habuk dalam udara di bandar adalah 4-1000
kali lebih besar berbanding di luar bandar. Semuanya berpunca dari asap kenderaan (Grifftith,
1985). Oleh itu, apabila bahan-bahan hidrokarbon (HO) dan nitrogen oksida (NO) yang
dikeluarkan hasil daripada pembakaran petrol terdedah kepada matahari selama lebih kurang satu
jam, bahan ini akan mengalami perubahan kimia (fotokimia) dan seterusnya menghasilkan O³.
Molekul ozon ini pada dasarnya tidak baik untuk manusia walaupun terdiri daripada 3 atom
oksigen. Molekul ini hanya berfaedah di lapisan stratosfera yang berfungsi untuk menyerap sinar
UV (Sham Sani, 1982).
3.2.4 Aktiviti Perindustrian dan Pembangunan

Di negara ini, sektor perindustrian dan pembangunan semakin rancak dijalankan memandangkan
Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun dan peningkatan dalam sektor
pembinaan sebenarnya telah menimbulkan banyak kesan buruk atau negatif kepada penduduk.
Penghasilan bahan pecemar oleh kilang-kilang memburukkan lagi keadaan. Ekoran daripada
kadar pengeluaran yang kian meningkat telah menyebabkan penambahan kepada pencemaran
gas organik dan bukan organik serta bahan kimia dan juga habuk. Sebagai contohnya, ialah
industri kimia yang mana dilihat melepaskan pencemar yang mengandungi pelbagai kompaun
yang berasaskan nitrogen dan sulfur manakala kilang penapis minyak pula mengeluarkan asap
yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. Menurut Abdullah Mohamad Said (1999),
kilang yang menggunakan bahan kimia sebenarnya banyak menghasilkan gas beracun seperti
ammonia. Manakala kuari, kilang simen, kilang batu-bata dan kilang papan akan menghasilkan
asap hitam yang berpunca daripada proses pembakaran disamping mengeluarkan habuk dan debu.

3.2.5 Urbanisasi (Perbandaran)

Proses urbanisasi yang pesat menyebabkan penduduk semakin bertambah terutamanya di bandar-
bandar besar di dunia. Ekoran kepesatan ini menyebabkan penggunaan perkhidmatan
pengangkutan contohnya kereta, bas dan motor amat diperlukan. Proses urbanisasi yang berlaku
ini secara tidak langsung mempengaruhi sektor perindustrian. Peningkatan bilangan penduduk di
kawasan bandar telah menyebabkan jumlah pencemaran udara semakin meningkat lebih-lebih
lagi dengan aktiviti-aktiviti bandar yang giat dijalankan.

3.2.6 Aktivit Harian (Domestik)

Aktiviti harian seperti penggunaan Klorofluorokarbon (CFC) turut menyumbang kepada


peningkatan pencemaran udara. Jika diteliti, isi rumah turut menjadi penyumbang kepada
pencemaran terutamanya melalui penggunaan barangan elektrik dan elektronik.
Penggunaan tenaga mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk, penghawa dingin sebenarnya
menyumbangkan kepada penggunaan CFC yang tinggi. Peti sejuk dan penyaman udara bukan
sahaja menggunakan banyak tenaga malah alat-alat ini turut mencemarkan udara apabila cecair
penyejuk yang digunakan melepaskan ke udara yang menyebabkan pencemaran udara seterusnya
boleh menipiskan lapisan ozon bumi.

4.0 KESAN-KESAN PENCEMARAN UDARA

4.1 Kesihatan manusia terejas

Golongan yang mudah terganggu apabila terdedah kepada bahan pencemar adalah golongan tua,
kanak-kanak dan golongan yang mengidap penyakit kardiovaskular. Contoh penyakit yang
berisiko dihadapi oleh penduduk bandar terutamanya ialah kanser paru-paru, sakit tekak, sukar
bernafas, sakit dada dan batuk (Abdullah Mohamad Said, 1999). Mengikut laporan ketua
bahagian program alam sekitar Bangsa Bangsa Bersatu (UNEP), pencemar di dalam jerebu juga
mampu menyebabkan kematian berjuta-juta manusia di rantau Asia hampir setiap tahun.

Selain daripada penyakit yang berkaitan dengan kardiovaskular terdapat juga penyakit lain
seperti ketidaksuburan dan kecacatan bayi iaitu Polisiklik Aromatik Hidrokarbon (PAH). PAH
terdiri dari lebih 100 jenis bahan kimia yang terdapat meluas di alam sekitar hasil daripada
proses pembakaran yang tidak lengkap seperti pembakaran tar, arang batu, dandang industri,
rumah asap, incinerator, asap rokok, asap kayu, asap ekzos kenderaan dan sebagainya. Apabila ia
telah dilepaskan ke udara ia boleh mencemarkan alam sekitar terutamanya udara, air dan tanah.

4.1.2 Menghalang Jarak Penglihatan

Apabila berlaku kejadian jerebu, jarak kurang dari 100 meter mengikut piawaian dianggap
merbahaya kerana kemalangan mudah berlaku akibat daripada penglihatan yang kabur (sumber:
http://www.kjc.gov.my/malay). Oleh itu, masyarakat tidak digalakkan keluar dari rumah serta
mengurangkan aktiviti luar rumah untuk menghindarkan daripada terdedah kepada penyakit dan
berlaku kemalangan.

4.1.3 Mengotorkan Persekitaran Banda

Habuk dan debu hasil daripada aktiviti industri dan pergerakan kenderaan melekat pada
cermin dan dinding-dinding bangunan, struktur monumen turut mudah rosak akibat
daripada hujan asid sehingga memberi imej negatif terhadap bandar Tambahan pula,
kerajaan semakin aktif membangunkan sumber-sumber yang ada dengan membuka
kilang-kilang perusahaan yang baru bagi mengimbangi pengeluaran perindustrian untuk
bersaing dengan negara-negara lain. Aktiviti perkilangan mengeluarkan pelbagai jenis gas
yang merbahaya seperti SO², Co, HO, NO, asap dan habuk. Perbezaan bahan udara yang
dilepaskan adalah berdasarkan jenis industri. Kilang yang menggunakan bahan kimia
akan menghasilkan gas beracun seperti amonia. Sebagai contoh, masalah pencemaran
udara yang berlaku di Kuala Lumpur adalah berpunca daripada kegiatan industri
perkilangan yang pesat membangun di negeri tersebut

4.2 Tumbuhan dan Haiwan


Apabila berlaku pencemaran udara, hujan asid akan terjadi. Keasidan hujan yang kurang
daripada pH 4 boleh meyebabkan tumbuh-tumbuhan hutan mati kerana asid mampu
memusnahkan nutrien dalam tanah dan akhirnya menghalang proses pembuatan makanan oleh
tumbuhan. Apabila tumbuhan mati, habitat haiwan akan terganggu dan kehidupan haiwan
terancam ekoran kemusnahan hutan musnah. Habuk dan debu yang dikeluarkan oleh kilang
seperti kilang papan dan kilang simen malah juga asap kenderaan boleh mengurangkan kadar
proses fotosintesis kerana liang-liang stoma pada daun tertutup terutamanya tumbuhan yang
berada di dalam kawasan bandar. Sebagai contoh, pencemaran udara menyebabkan sinaran
matahari tersekat untuk sampai ke permukaan bumi. Tumbuh-tumbuhan sekurang-kurangnya
memerlukan kadar optimum tenaga matahari yang diterima dalam gelombang pendek untuk
melakukan proses fotosintesis. Hal ini akan mengurangkan O² di udara dan meningkatkan
kandungan CO² di bandar.

4.3 Atmosfera dan Hidrofera

Peningkatan gas-gas merbahaya seperti CFC, karbon monoksida dan sulfur oksida, HO, NO,
habuk dan debu yang dikeluarkan oleh industri, asap kenderaan dan pembakaran sampah ke
udara di bandar mampu mengurai molekul ozon sehingga menyebabkan ozon semakin menipis.
Wujud juga fenomena-fenomena lain seperti kubah debu, jerebu, hujan asid, pulau haba dan
pemanasan global. Apabila membincang tentang hujan asid, secara tidak langsung ia boleh
memberi kesan kepada kitaran hidrosfera termasuklah dengan kehidupan laut iaitu spesis ikan
dan fitoplankton. Disamping itu, hujan asid yang turun juga boleh menyebabkan ketidaksuburan
kepada sumber tanah sehingga mampu memusnahkan hutan dan kawasan tadahan.

Kesan pencemaran udara juga turut menyumbang kepada penyusutan lapisan ozon yang
melindungi hidupan di bumi daripada sinaran terus matahari. Penggunaan kloroflorokarbon
dalam alat-alat penyembur dan penyaman udara dan peti sejuk telah menyumbang kepada
penipisan lapisan ozon. Apabila hal ini berlaku, sinaran matahari akan terus sampai ke bumi
dalam kuantiti yang banyak. Pendedahan terus cahaya matahari akan menyebabkan manusia
terdedah kepada kanser kulit yang membahayakan nyawa dan turut mengancam hidupan lain.
Pancaran matahari juga menyebabkan ais-ais di kawasan kutub utara akan mencair menyebabkan
kandungan paras air bumi semakin meningkat dari semasa ke semasa dan berlakunya
ketidakseimbangan ekosistem di dunia.

5.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN UDARA

5.1 Langkah Perundangan

Sistem perundangan telah lama digunakan dalam usaha untuk menguruskan masalah alam sekitar
seperti pencemaran udara. Langkah perundangan bagi mengatasi masalah ini boleh terbahagi
kepada dua iaitu peringkat antarabangsa dan peringkat tempatan. Di Malaysia, perundangan alam
sekitar melibatkan sistem sumberjaya, sementara di peringkat antarabangsa perundangan seperti
Protokol Montreal dan Environment Polluted Agency (EPA) dijadikan panduan dalam usaha
untuk menangani isu pencemaran udara.

5.1.1 Peringkat Tempatan (Malaysia)

JAS menguatkuasakan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam


Sekeliling 1974 dan Bahagian IV Akta Zon Eksklusif Ekonomi 1984. Antaranya ialah
mengehadkan pelepasan asap kenderaan bermotor. Kenderaan bermotor merupakan salah satu
kumpulan yang menyumbang kepada pencemaran udara. Justeru itu, perundangan bagi
mengawal pelepasan bahan pencemar oleh kenderaan telah digubal melalui Ordinan Lalu Lintas
Jalan Raya, 1958 Kaedah-kaedah Kereta Motor. Melalui peraturan ini, pelepasan asap kenderaan
telah dihadkan,iaitu ketumpatan tidak melebihi 50 unit asap Hartridge (HDU). Hal ini dapat
mengurangkan pelepasan asap ke udara sekaligus dapat mengurangkan pencemaran udara.

Selain itu, mengenakan denda kepada pihak kilang yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar.
Denda akan dikenakan kepada pihak kilang sekiranya melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar
dengan mengeluarkan asap kilang yang merbahaya seperti sulfur, karbon dan sebagainya.
Penapis udara juga perlu dipasang disetiap cerobong udara agar dapat mengurangkan
pengeluaran bahan cemar yang dikeluarkan oleh kilang-kilang tersebut. Rondaan dan pemantaun
yang kerap juga perlu dilakukan bagi mengawal masalah pencemaran ini. Bagi memastikan
prestasi pematuhan industri seperti pemasangan penapis asap, JAS sentiasa mengadakan lawatan
ke kilang-kilang. Langkah ini sedikit sebanyak dapat mengelakkan pemaju atau pihak yang
berkenaan daripada melanggar peraturan-peraturan yang telah termaktub dalam Akta Alam
Sekitar.

Ahli kaji cuaca pula berperanan mengadakan kempen atau ceramah untuk mendedahkan kepada
orang awam dan pihak yang terlibat dalam industri perkilangan khususnya dengan
mengesyorkan cara atau kaedah untuk mengurangkan pencemaran udara serta fenomena
berlakunya pencemaran udara (sumber: Sham Sani, 1982). Di samping itu, pusat kaji cuaca perlu
menempatkan stesen permonitoran kualiti udara. Hal ini demikian agar tahap kualiti udara
khususnya di kawasan bandar yang menjadi penyumbang utama pencemaran udara dapat
ditentukan serta dikenalpasti.

Dibawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Udara Bersih, 1978), jarak industri dengan kawasan
kediaman perlu dihadkan kepada 1000 meter. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang
masalah yang bakal dihadapi oleh penduduk dikawasan kediaman seperti masalah kesihatan dan
sebagainya. Selain itu, kedudukan yang sesuai adalah perlu bagi kawasan industri terutamanya,
supaya kekotoran udara tidak membahayakan penduduk dan tumbuhan yang berhampiran
(Sham Sani, 1982)

5.1.2 Peringkat Antarabangsa

Protokol ini ditubuhkan pada tahun 1987 di United Nation (UN) yang bertujuan untuk
mengurangkan kadar penggunaan bahan CFC (Cloroflourocorban). Protokol ini juga sentiasa
membuat kajian dan pemantauan terhadap lapisan ozon yang kosentrasi atau kandungan gas-gas
pencemarnya banyak memberi kesan negatif kepada manusia.

Penubuhan EPA ini adalah untuk memberi maklumat kepada masyarakat tentang
penyumbang bahan pencemar udara di dunia. Malah agensi ini turut menjalankan kajian tentang
masalah pencemaran udara dan kesan semasa terhadap bumi dan atmosfera. Oleh yang demikian,
kerjasama rapat dalam kalangan semua agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan serta badan
perundangan global yang berkaitan serta media massa amat diperlukan dalam membuat
pemantauan. Selain itu, Sebarang nasihat maklumat hendaklah disebarkan dengan cepat kepada
orang awam. Contohnya diperingkat serantau, ASEAN telah memulakan Pelan Kerjasama
ASEAN iaitu ‘Pengurusan Pencemaran Rentas Sempadan’ untuk menangani isu-isu pencemaran
udara seperti jerebu rentas sempadan.

5.2 Langkah Bukan Perundangan

5.2.1 Pendidikan

Langkah pendidikan yang dijalankan ini pula dibahagikan kepada dua iaitu pendidikan secara
formal dan juga pendidikan secara tidak formal. Pendidikan yang dijalankan secara formal ini
adalah supaya melahirkan insan yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya hubungan
manusia dengan persekitaran. Hal ini akan menyebabkan mereka dapat menyelesaikan masalah
yang berkaitan alam sekitar serta menghalang pencemaran daripada terus berlaku terutamanya
pencemaran udara. Pendidikan secara formal ini melibatkan tiga tahap iaitu, tahap rendah,
menengah dan tinggi. Misalnya menerusi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)
iaitu pada peringkat sekolah menengah telah diperkenalkan mata pelajaran Geografi yang khusus
mempelajari mengenai alam sekitar. Mata pelajaran ini telah diambil oleh pelajar dari Tingkatan
1 hingga Tingkatan 6 Atas namun begitu, bagi pelajar Tingkatan 6 mereka tidak diwajibkan
untuk mengambil mata pelajaran Geografi. Melalui mata pelajaran yang diperkenalkan ini,
diharapkan supaya dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar seperti dapat
menyayangi alam sekitar seterusnya menjaga alam sekitar dari terus berlakunya pencemaran
udara, air serta pembuangan sampah-sarap.

Manakala, di peringkat institusi pengajian tinggi juga pendidikan alam sekitar turut diberi
penekanan terhadap mahasiswa. Hal ini dapat dilihat apabila kewujudan Universiti Putra
Malaysia (UPM) yang diberi khusus untuk pertanian telah memartabatkan pendidikan alam
sekitar ke peringkat yang lebih tinggi. Di samping itu juga, Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) turut memperkenalkan beberapa subjek berkaitan dengan alam sekitar, antaranya adalah
Pembangunan Wilayah, Perbandaran serta Pembangunan Lestari. Dengan adanya inisiatif-
inisiatif seperti ini dapat melibatkan mahasiswa secara langsung dengan alam sekitar dan
seterusnya dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar di dalam diri mahasiswa.

Pendidikan secara tidak formal ini dilakukan untuk membantu menjayakan pendidikan secara
formal dalam memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan dengan kepentingan alam sekitar
serta mencegah masalah alam sekitar daripada terus berlaku. Hal ini dapat dilihat apabila
Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang merupakan salah satu daripada badan bukan kerajaan yang
terlibat telah menjalankan beberapa program kepada masyarakat yang bertujuan untuk
mempertingkatkan kesedaran orang awam serta bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar.

Antara program yang telah dilaksanakan oleh JAS adalah seperti perkhemahan, seminar serta
motivasi khusus kepada pelajar sekolah semasa cuti sekolah berlangsung. Serta telah
melancarkan kempen, menerbitkan majalah serta risalah. Sebagai contohnya adalah penerbitan
Laporan Tahunan Kualiti Alam Sekeliling bagi memudahkan masyarakat mengetahui tentang
masalah dan kualiti pencemaran yang wujud di negara ini. Tujuan kempen ini dilancarkan adalah
untuk menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai perlunya satu tindakan yang
proaktif dalam menangani isu pemanasan global.

5.2.2 Pemonitoran dan Penyelidikan

Bagi mengawal pencemaran udara, pengawasan dan pemonitoran kualiti udara yang telah
berfungi untuk mengetahui ciri-ciri kualiti udara ambien serta mengenal pasti trend jangka
panjang kualiti udara. Aktiviti ini juga, mewujudkan data bagi menilai akibat projek
pembangunan dalam sesebuah kawasan. Bagi menjayakan pengawasan kualiti udara ini, Jabatan
Alam Sekitar telah mewujudkan dua jenis stesen pemonitoran iaitu stesen jangka panjang dan
stesen jangka pendek. Stesen tetap atau juga digelar stesen jangka panjang telah diwujudkan
dalam jarak yang jauh antara satu sama lain di seluruh negara. kewujudan stesen ini adalah untuk
mengenal pasti kualiti udara dan trendnya secara keseluruhan bagi sesuatu wilayah ataupun
negara. Manakala stesen jangka pendek pula digelar stesen sementara yang diwujudkan bagi
pemonitoran sesuatu kawasan tertentu yang berada berhampiran punca pencemar. Program
pemonitoran kualiti udara ini telah dimulakan pada tahun 1977 di sekitar kawasan Batu Caves
dan di sekitar kilang simen di Rawang.

6.0 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, pencemaran udara banyak mendatangkan impak negatif yang serius
kepada manusia dan juga alam sekitar. Semakin hari fenomena ini berlaku dengan berleluasa
walaupun banyak usaha atau langkah yang telah diambil bagi mengatasi masalah ini. Kerakusan
manusia dalam mengecapi nikmat hidup mendorong sesetengah individu untuk mencapai hasrat
mereka itu tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut. Oleh itu, sesuatu
perkara yang hendak dijalankan perlulah difikirkan akan kesan dan akibatnya agar tidak berlaku
perkara yang tidak diingini.

Pencemaran udara merupakan masalah yang harus dipandang serius untuk menjaga bumi ini
daripada kesan-kesan seperti pemanasan global, penipisan lapisan ozon dan sebagainya. Jika
kesan-kesan serius seperti pemanasan global dan juga penipisan lapisan ozon ini terus berlaku
tanpa dikawal, pelbagai masalah akan timbul bukan sahaja kepada manusia malah benda hidup
lain, harta benda, ekosistem bumi, alam sekitar dan lain-lain lagi. Pencemaran udara berpunca
daripada pelbagai sebab, jenis dan sumber-sumber pencemaran yang dihasilkan oleh setiap
negara di seluruh dunia. Oleh yang demikian, semua pihak sama ada negara maju mahupun
negara sedang membangun harus berganding bahu bagi mengurangkan masalah pencemaran
udara dari terus berleluasa. Semua pihak perlulah mengambil bahagian dalam menjamin kualiti
udara agar sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terkawal.

You might also like