You are on page 1of 3

EMBARGO : Hanya boleh diterbit atau disebarkan pada jam 1200, Jumaat, 29 Jun 2018

JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA

SIARAN AKHBAR
STATISTIK PERDAGANGAN PERKHIDMATAN ANTARABANGSA 2017
Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa Malaysia merekodkan RM341.1 bilion pada 2017

Pada 2017, jumlah perdagangan perkhidmatan antarabangsa Malaysia merekodkan RM341.1 bilion dan menyumbang 25.2
peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK pada harga semasa). Eksport perkhidmatan berkembang kepada RM159.2 bilion
daripada RM147.6 bilion pada 2016 manakala import perkhidmatan meningkat 9.3 peratus kepada RM182.0 bilion.

Eksport perkhidmatan menunjukkan momentum peningkatan sejak 2010, di mana dalam tempoh tujuh tahun, ia telah meningkat
RM47.7 bilion. Kenaikan eksport ini disokong terutamanya oleh perjalanan khususnya kemasukan pelancong yang lebih tinggi,
perkhidmatan perniagaan lain terutamanya dalam perkhidmatan profesional dan rundingan pengurusan; dan telekomunikasi,
komputer dan maklumat. Sementara itu, import meningkat lebih pantas dengan nilai RM77.1 bilion dalam tempoh tujuh tahun
dipacu oleh pembayaran yang lebih tinggi untuk perjalanan, pengangkutan dan pembinaan.

Statistik ini menunjukkan kekuatan eksport perkhidmatan bagi Malaysia adalah terutamanya dalam perjalanan, pengangkutan
yang diterajui oleh penumpang udara, kontrak pembuatan khususnya dalam produk elektrik dan elektronik, perniagaan dan
rundingan pengurusan dan perkhidmatan komputer. Malaysia sentiasa mendapat manfaat daripada eksport perjalanan kerana
peningkatan ketibaan pelancong terutamanya dari Singapura, Indonesia dan China.

Bagi import pula, dalam tahun 2010 hingga 2017, import barangan menunjukkan momentum yang semakin meningkat dan
mendorong kepada pembayaran lebih tinggi kepada aktiviti pengangkutan muatan dan insurans asing. Projek berterusan dalam
industri minyak dan gas dan projek infrastruktur bernilai tinggi telah menyumbang kepada pengembangan kukuh dalam import
pembinaan.

Pada tahun 2017, destinasi utama eksport dan import perkhidmatan Malaysia ialah Asia yang masing-masing menyumbang 70.4
peratus dan 68.2 peratus. Bagi Asia, Singapura kekal sebagai rakan dagang utama bagi kedua-dua eksport dan import
perkhidmatan. Sementara itu, China telah mengatasi Indonesia sebagai destinasi eksport kedua terbesar dan kekal sebagai pasaran
import kedua terbesar.

Secara keseluruhannya, eksport utama Malaysia ialah Singapura, diikuti oleh Amerika Syarikat dan China. Import perkhidmatan
pula terutamanya dari Singapura, manakala China dan Amerika Syarikat merupakan pasaran import kedua dan ketiga terbesar.

Statistik ini sangat penting kerana ia menyediakan mekanisme untuk penggubal dasar bagi memberi tumpuan kepada pasaran
utama eksport Malaysia dan membuka peluang kepada sektor perkhidmatan yang berpotensi.

Muat turun: Jadual Statistik Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa, 2017

Dikeluarkan oleh:

DATO' SRI DR. MOHD UZIR MAHIDIN


KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
DrUzir_Mahidin Dr_Uzir

29 Jun 2018
Pegawai dihubungi:
Ho Mei Kei
Pegawai Perhubungan Awam
Bahagian Komunikasi Strategik dan Antarabangsa
Jabatan Perangkaan Malaysia
Tel : +603-8885 7942
Faks : +603-8888 9248
Emel : mkho[at]dosm.gov.my

You might also like