You are on page 1of 5

TUGASAN 1: ULASAN KRITIS

Perlaksanaan Aktiviti Seni Kreatif dalam Pendidikan Prasekolah Malaysia

Ling Pik Kuong dan Hasnah Toran

Universiti Kebangsaan Malaysia

Ulasan kritis ini dibuat berdasarkan penulisan artikel yang ditulis oleh Ling Pik Kuong
dan Hasnah Toran. Artikel ini dilihat berfokuskan pada pelaksanaan aktiviti seni kreatif kepada
kanak-kanak di sekolah. Berdasarkan keseluruhan artikel yang ditulis, konsep yang dapat
disimpulkan ialah bahawa setiap insan berhak untuk menerima pendidikan dan pemahaman
tentang seni tanpa mengira latar belakang, bakat dan kebolehan. Oleh hal yang demikian,
jelaslah di sini bahawa setiap kanak-kanak wajar mendapat pendidikan walaupun di mana
lokasi sekolah tersebut. Seterusnya, integrasi seni visual, seni muzik dan pergerakan kreatif
secara tidak langsung akan dapat meningkatkan perkembangan insan dan minda seseorang
kanak-kanak secara holistik. Jelaslah di sini bahawa pendidikan amat penting kerana dapat
membantu meningkatkan kreativit serta ekspresi kendiri seseorang.

Seterusnya, objektif artikel ini adalah untuk melihat kepentingan pendidikan seni
kreatif di sekolah dan adakah lokasi serta persepsi ibu bapa dan guru memberi kesan
terhadap kefahaman perlaksanaan aktiviti tersebut. Pada pendapat saya, pendidikan seni
kreatif ini amat penting untuk diajarkan kepada kanak-kanak sejak dari kecil lagi. Hal ini
kerana, pendidikan ini boleh dijadikan sebagai satu ‘alat’ ataupun ‘kaedah’ yang
menyeronokkan bagi kanak-kanak dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam apa
jua jenis matapelajaran. Hal ini secara tidak langsung akan membantu memperkembangkan
lagi domain intelek, afektif, psikomotor dan emosi-sosial kanak-kanak. Namun begitu, pada
pendapat saya lokasi serta jenis sekolah tidak sepatutnya akan memberi kesan terhadap
kefahaman perlaksanaan aktviti kreatif. Hal ini kerana setiap murid hendaklah menerima
pendidikan yang sama walaupun di mana mereka berada. Menurut Terje Magnusson
Watterdal et. al. (2008) semua kanak-kanak, tanpa mengira keupayaan dan ketidakupayaan,
jantina, sosial, ekonomi, kebudayaan, latar belakang etnik dan agama serta taraf kesihatan
mempunyai hak yang sama rata untuk mendapatkan kualiti pendidikan, penjagaan dan
perlindungan. Oleh hal yang demikian, guru di setiap sekolah hendaklah mengambil peranan
dengan sentiasa memastikan diri sentiasa mempunyai ilmu yang penuh untuk dicurahkan
kepada pelajar di sekolah, tidak kira lokasi sekolah tersebut berada di mana dan status
sekolah tersebut.

1
Selain itu, matlamat artikel ini juga adalah untuk menyuburkan potensi kanak-kanak
dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas serta melahirkan pelajar
yang seimbang dari segala aspek hasil daripada pembelajaran seni kreatif di sekolah. Oleh
hal yang demikian, untuk mencapai matlamat tersebut terdapat 6 elemen yang perlu dikuasai
oleh kanak-kanak. Antaranya ialah, elemen bahasa dan komunikasi, perkembangan kognitif,
kerohanian dan moral, perkembangan fizikal serta kreativiti dan estetika. Pada pendapat
saya, elemen tersebut amat penting untuk dikuasai oleh semua pelajar bagi memastikan
setiap pelajar yang dilahirkan menjadi seorang yang seimbang dan harmoni. Sekiranya
elemen tersebut tidak diajar ataupun tidak dikuasai oleh pelajar, hal ini secara tidak langsung
akan menyebabkan pelajar tersebut menjadi tidak seimbang dan tidak mempunyai
pengetahuan yang menyeluruh. Oleh hal yang demikian, amat penting sekali bagi guru untuk
memastikan semua pelajar menguasai kesemua elemen tersebut.

Tambahan lagi, artikel ini juga menekankan bahawa untuk memastikan kesemua 6
elemen tersebut dapat disampaikan dengan terancang guru boleh mengaplikasikan pelbagai
pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan diri,
keperluan, kebolehan, bakat, minat dan latar belakang setiap pelajar. Oleh hal yang demikian,
berdasarkan artikel ini penulis menekankan terdapat 4 jenis pendekatan yang perlu
diutamakan termasuklah pendekatan belajar melalui bermain. Pendekatan ini sesuai untuk
diaplikasikan kepada pelajar pendidikan khas terutamanya bagi membolehkan mereka
menjadi lebih fokus ketika belajar. Hal ini kerana seperti sudah sedia maklum bahawa
kebanyakan kanak-kanak pendidikan khas amat sukar untuk memberikan fokus yang lama
dalam sesuatu aktiviti. Oleh hal yang demikian, antara elemen seni dalam pendidikan yang
boleh diaplikasikan di dalam pendekatan ini ialah elemen seni muzik. Guru boleh memainkan
muzik ketika belajar bagi menarik lagi minat kanak-kanak untuk belajar bersama-sama, hal ini
secara tidak langsung mereka kan menjadi lebih seronok dan memberi perhatian kepada
guru. Seterusnya, pendekatan bertema. Pendekatan ini amat sesuai untuk diaplikasikan bagi
kanak-kanak pendidikan khas terutamanya kanak-kanak autism. Tema yang hendak dipilih
mestilah menepati minat serta sesuai untuk dipelajari oleh kanak-kanak tersebut. Selain itu,
dengan mengaplikasikan elemen seni visual semasa proses pembelajaran bertema secara
tidak langsung akan menyebabkan pembelajaran tersebut menjadi lebih menarik dan tidak
membosankan. Antara contoh tema pembelajaran yang ada ialah, tema persekitaran. Oleh
hal yang demikian antara aktiviti seni visual yang boleh dilakukan ialah membuat kolaj
menggunakan bahan-bahan semulajadi dari alam sekitar. Pendekatan pembelajaran yang
seterusnya ialah penggunaan ICT. Ia amat penting untuk digunakan oleh guru pada hari ini
untuk memastikan pelajarnya tidak ketinggalan akan dunia yang moden dengan kecanggihan
teknologi. Antara elemen seni dalam pendidikan yang boleh diaplikasikan dalam pendekatan

2
pembelajaran ini ialah elemen seni muzik dan seni pergerakan kreatif. Bagi melaksanakan
aktiviti ini dengan lebih seronok, guru boleh menayangkan satu video pergerakan kepada
pelajar dan meminta mereka untuk mengikut pergerakan tersebut sambil diiringi muzik.
Tegaslah di sini bahawa, dengan mengaplikasikan elemen seni dalam pendidikan terhadap
pendekatan pembelajaran seni kreatif di dalam bilik darjah dapat menjadikan pembelajaran
tersebut menjadi lebih menarik.

Hasil analisis dapatan yang telah dibuat menunjukkan bahawa guru di sekolah
kerajaan jelas mempunyai tahap kefahaman yang lebih tinggi berbanding dengan guru di
sekolah swasta. Hal ini mungkin berlaku disebabkan oleh guru di sekolah swasta tidak
mendapat latihan keguruan dan kaedah perlaksanaan aktiviti seni kreatif sepertimana yang
diperolehi oleh guru di sekolah kerajaan. Pada pendapat saya, bagi melahirkan seorang
kanak-kanak yang mempunyai perkembangan yang seimbang dan harmoni dalam semua
aspek perlu dilatih oleh guru yang mahir dan terlatih dalam bidang tersebut. Hal ini bertepatan
dengan teori Konstruktivisme yang berpendapat bahawa, perkembangan kanak-kanak
dipengaruhi oleh bimbingan daripada orang yang sudah mahir dalam bidang-bidang tertentu
dan pengetahuan kanak-kanak akan berkembang luas melalui interaksi dengan orang lain.
Teori ini telah dipelopori oleh Vygotsky dan menjelaskan bahawa ilmu pengetahuan dibina
berdasarkan kepada interaksi sosial, alat budaya dan aktiviti yang membentuk pembinaan.

Teori yang seterusnya ialah, teori kecerdasan pelbagai. Berdasarkan artikel ini telah
menyatakan bahawa kurikulum pada masa kini banyak memberi tumpuan kepada pendidikan
berbentuk formal yang menekankan akademik sahaja. Hal ini bertentangan dengan teori
Kecerdasan Pelbagai yang dikemukakan oleh Howard Gardner yang menyatakan bahawa
bahan dan mod pengajaran dan pembelajaran mesti sepadan dengan profil kecerdasan
murid. Pada pendapat saya, kanak-kanak tidak seharusnya diberi penekanan terhadap
akademik sahaja kerana mungkin akan menyebabkan mereka mudah stress, malahan perlu
diberikan penekanan yang pelbagai serta diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang
mereka suka selagi tidak mendatangkan masalah kepada diri dan masyarakat sekeliling. Hal
ini bagi melahirkan generasi akan datang yang celik budaya, imaginatif, kritis, kreatif dan
inventif.

Selain itu, berdasarkan hasil kajian Jadual 11: Taburan kefahaman guru,
menunjukkan bahawa 59.6% guru menyatakan perlaksanaan aktiviti ini tidak mudah untuk
dilakukan manakala 40.4% lagi menyatakan bahawa mudah untuk dilaksanakan. Antara
punca yang paling mencabar dalam perlaksanaan aktiviti seni kreatif ini ialah kawalan kelas
dan pengolahan idea aktiviti yang hendak dilakukan. Seterusnya, data menunjukkan
sebanyak 39.6% guru memilih untuk melakukan latih tubi kemahiran 3M berbanding dengan

3
aktiviti seni kreatif yang menunjukkan hanya seramai 29.3% guru melaksanakannya. Pada
pendapat saya, permasalahan ini berlaku disebabkan oleh guru itu sendiri yang tidak
mempunyai ilmu pengetahuan serta kemahiran yang mencukupi untuk melaksanakan aktiviti
tersebut dengan lebih menarik. Sekiranya, aktiviti seni kreatif ini dapat dilaksanakan dengan
berkesan, secara tidak langsung akan menyebabkan pelajar menjadi lebih seronok untuk
belajar dan proses pembelajaran menjadi lebih lancar.

Hasil perbincangan artikel ini juga turut menekankan bahawa, adalah perlu bagi setiap
guru mempunyai kefahaman yang tinggi dalam perlaksanaan aktiviti seni kreatif agar ia
berjaya dilaksanakan di semua sekolah tanpa mengira lokasinya berada. Namun begitu,
artikel ini turut mencatatkan bahawa tahap kefahaman guru dalam perlaksanaan aktiviti seni
kreatif ini berada pada tahap yang rendah. Hal ini selari dengan hasil dapatan pada Jadual 11
yang menunjukkan sebanyak 59.6% guru mengatakan aktiviti seni kreatif ini sukar untuk
dilaksanakan. Oleh hal yang demikian, terdapat pelbagai usaha-usaha yang boleh
dilaksanakan untuk meningkatkan kefahaman guru dalam perlaksanaan aktiviti seni kreatif
seperti pengetahuan tentang sesuatu subjek dan pengalaman pedagogi. Selain itu, terdapat
juga segelintir guru yang masih kurang faham dan yakin untuk mengaplikasikannya ketika
berada di dalam bilik darjah. Guru sepatutnya tidak menjadikan alasan lokasi sekolah tersebut
yang berada di pedalaman sebagai satu alasan untuk tidak melaksanakannya. Hal ini kerana
setiap kanak-kanak berhak untuk mendapat pendidikan yang sama rata dengan kanak-kanak
yang tinggal di bandar

4
Secara keseluruhannya, saya amat bersetuju dengan artikel ini. Hal ini kerana artikel
ini banyak memberikan fokus untuk melaksanakan aktiviti seni kreatif di sekolah serta
perlaksanaanya harus dilakukan di mana sahaja murid itu berada tidak kira di luar bandar
ataupun di bandar. Di samping itu, pendedahan konsep dan fungsi aktiviti seni kreatif perlu di
dedahkan kepada golongan ibu bapa dan guru terutamanya yang berada di kawasan luar
bandar. Hal ini bagi membantu perlaksanaan aktiviti ini untuk lebih mudah dilakukan apabila
wujudnya sokongan daripada ibu bapa sendiri. Tambahan lagi dengan pengaplikasian,
elemen seni dalam pendidikan seperti seni visual, seni muzik dan seni pergerakan kreatif juga
secara tidak langsung menjadikan perlakasanaan aktiviti seni kreatif itu menjadi lebih menarik
dan berkesan. Selain itu, perbezaan skor min yang signifikan bagi tahap kefahaman guru
kerajaan dan swasta juga perlu dipandang serius oleh pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia bagi mengurangkan jurang pendidikan murid di sekolah swasta dan kerajaan. Jika
perkara ini tidak diambil serius mungkin akan menyebabkan permasalahan yang lebih teruk
pada masa akan datang kerana masing-masing menerima pendidikan yang berbeza dan
sudah semestinya pandangan yang akan dikeluarkan akan bercanggah sesama mereka.
Justeru itu, amat penting sekali bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan
yang sama rata bagi memastikan generasi akan datang mampu memacu negara ke persada
dunia dan menghargai nilai-nilai estetika negara ini sendiri.

You might also like