You are on page 1of 7

Nama Izzudin Al-Qassam sering kita dengari dari

corong-corong radio atau kaca televisyen tambahan


kebelakangan ini apabila Gaza diserang. Apa yang kita
tahu ia adalah nama bagi sebuah briged, sayap kanan
kepada HAMAS dan juga nama yang diberikan kepada
roket buatan sendiri oleh HAMAS yang gunakan bagi
menyerang Israel. Tahukah anda ia merupakan nama
seorang ulama' yang dikurniakan oleh Allah dengan
syahid. Siapakah Izzudin Al-Qassam ini ? Apakah
kehebatannya hingga menjadi kebanggaan kepada
para pejuang Palestin ? Nama beliau ialah Muhammad
Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan pada
tahun 1882 M di Jibillah, Syria. Keluarganya amat
berpegang kuat dengan ajaran Islam. Bapanya
seorang guru Al-Quran yang mengajar anak-anak di
kampung mereka membaca dan menghafaz Al-Quran.
Beliau pernah menuntut di Universiti Al-Azhar di Mesir
ketika berumur seawal 14 tahun sekitar tahun 1906.
Sewaktu menuntut beliau sempat belajar daripada
tokoh terkenal, Syeikh Muhammad Abduh r.anhu dan
bersahabat dengan Syeikh Muhammad Rashid Redho.
Semasa di zaman menuntut lagi beliau telah pun gigih
melakukan usaha dakwah.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam adalah seorang imam,


guru dan juga syeikh bagi Tariqat As-Syazuliyah di
Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara
Syria. Beliau menggunakan ilmu dan kedudukannya
untuk menerangkan kepada umat bahawa tugasnya
bukan sekadar asas-asas agama Islam semata-mata
tetapi juga menerangkan setiap isu yang menyentuh
kepentingan umat dan negara dari sudut pandangan
Islam. Kepimpinannya telah menyedarkan masyarakat
untuk kembali kepada Islam. Pentarbiyahan beliau
telah berjaya merubah pemikiran masyarakat. Beliau
juga berjaya mempamerkan kepada masyarakat
makna tariqat dan tasawuf sebenarnya bahkan wirid
dan ajaran tasawufnya telah berjaya menguatkan
rohaninya menentang kemungkaran. Beliau juga telah
menolak salah tanggap masyarakat Islam kepada
tasawuf dan tariqat yang menganggap golongan tariqat
dan tasawuf ini hanya duduk di masjid atau atas
sejadah sambil membaca ratib tanpa mengambil tahu
keadaan umat Islam.

Ketika Perancis menjajah negara Syria, beliau juga


turut ikut serta dalam memerangi penjajah. Antara
usahanya ialah dengan menjual rumahnya lalu
membeli 34 pucuk senjata sebagai persediaan bagi
menentang penjajah. Namun, perjuangan suci Syeikh
Izzuddin dikhianati oleh revolusi pimpinan Ibrahim
Hanano yang menyerahkan Syria kepada penjajah dan
menangkap para pejuang. Revolusi tersebut berakhir
dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun
1920. Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit
apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati
kepadanya. Beliau hanya mempunyai dua pilihan iaitu
hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan. Beliau
mengambil keputusan untuk berhijrah ke Haifa di
Palestin. Tujuan lain perpindahannya ke kota Haifa
adalah kerana kewujudan pendatang haram Yahudi
yang semakin bertambah ramai di bumi Palestin.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam berhijrah ke Palestin


kerana beliau amat memahami rancangan jahat Yahudi
yang dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di
Basel, Swizland pada 29 hingga 30 Ogos tahun 1896.
Mereka telah membuat resolusi untuk mendirikan
sebuah negara kebangsaan untuk masyarakat Yahudi
di Palestin. Beliau juga melihat pakatan sulit
antarabangsa yang mendapat sokongan kaum
penjajah umumnya dan British khususnya.

Di Haifa beliau tinggal di rumah Haji Amin Nuruddin


dan bergiat dengan aktiviti mengajar dan berceramah
di Masjid An-Nasr. Kemudiannya berpindah tugas di
Masjid Al-Istiqlal iaitu masjid terbesar ketika itu. Pada
tahun 1927 beliau mendirikan pejabat cawangan
Jam'iyah Asy-Syubban Al-Muslimin (Persatuan
Pemuda Muslim) di Kota Haifa dan bertindak sebagai
pemimpinnya.

Beliau mengajak para warga Arab Palestin berbincang


mengenai ancaman Yahudi ini walaupun sebahagian
mereka mempunyai pendapat yang ganjil. Ini kerana
ada antara mereka yang berpandangan bahawa cukup
untuk menghadapi Yahudi dengan demonstrasi atau
dengan perundingan sahaja. Bahkan ada yang pergi ke
Britain untuk mencari jalan penyelesaian. Selama tujuh
tahun digunakan oleh beliau untuk mengadakan
hubungan dengan orang ramai, mengenali mereka,
membina serta melatih organisasi dan mempersiapkan
mereka untuk berhadapan dengan saat yang bakal
menentukan masa depan. Dalam tempoh tujuh tahun
itu juga beliau menjalankan pelbagai tugasan; guru di
sekolah, pembimbing rohani di masjid, pekerja di
Pejabat Syariat dan ketua pergerakan. Hubungan baik
beliau dengan segenap lapisan masyarakat juga telah
mengizinkan beliau memiliki dana kewangan yang
kukuh.

Operasi pertamanya adalah menyerang perkampungan


Yahudi Nahlal di kawasan Marj Amir. Hasilnya, ketua
penjara Haifa terbunuh. Tentera Inggeris
mengumumkan akan memberi hadiah 500
poundsterling bagi sesiapa yang dapat memberikan
maklumat hingga tertangkap atau terbunuhnya Syeikh
Izzuddin. Beliau bijak melepasi buruan pasukan
Inggeris. Hingga anak perempuannya yang bernama
Maimunah sempat memintanya untuk ‘membuat
gencatan senjata' dan seterusnya diganti dengan cara
perdamaian saja. Syeikh Izzuddin lantas marah sambil
berkata, "Diamlah wahai Maimunah! Tidaklah
kemuliaan tercapai dan tercabut dari segala
penderitaan kecuali melalui titisan darah."

Sementara itu, di kawasan Nashirah, Syeikh Izzuddin


dan pasukannya berjaya membunuh 11 orang Yahudi.
Kemarahan Inggeris terhadapnya semakin meningkat
dan pelbagai operasi telah dilancarkan untuk
menghentikan jihadnya tapi tetap menemui kegagalan.

Pada tahun 1931, pasukan yang beliau bentuk telah


menyerang perkampungan Yahudi di Yagur. Dalam
penyerangan tersebut tiga orang tentera Yahudi telah
terbunuh. Pasukan Syeikh Izzuddin Al-Qassam
meneruskan penyerangannya dan menyebarkannya ke
seluruh wilayah pergunungan. Setelah pasukan
Inggeris yang bekerjasama erat dengan Zionis
bertindak menyempitkan ruang geraknya di Haifa,
maka Syeikh Izzuddin bersama enam orang sahabat
karibnya berpindah ke daerah pergunungan pada
tahun 1935. Pasukan ketenteraan yang beliau bentuk
mencapai jumlah seramai 200 orang. Dari jumlah
tersebut beliau membahagikannya kepada beberapa
kelompok. Setiap kelompok terdiri daripada lima orang
dan salah seorang daripada mereka akan diangkat
sebagai pemimpin dan pemberi arahan. Dalam tempoh
yang agak singkat, pasukannya bertambah
bilangannya dan mencapai keanggotaan seramai 800
orang. Setiap unit yang asalnya terdiri daripada lima
orang membesar menjadi sembilan orang.

Rancangan berjalan sebagaimana yang diharapkan. Di


tahun 1935, Syeikh Izzuddin dalam usianya yang telah
mencapai 60 tahun keluar pada satu malam dengan
mengenakan pakaian pejuang setelah meninggalkan
pakaian tokoh agama. Beliau mengumpulkan anggota
keluarganya lantas memberitahu niatnya dan
menjanjikan untuk berjumpa di syurga.

Pada pagi Rabu tanggal 20 November 1935 bertempat


di Kota Ashrasy Ya'bad, Kota Jenin, Palestin terjadilah
pertempuran atau peperangan yang tidak seimbang
antara ratusan pasukan Inggeris yang bersenjatakan
lengkap dengan bantuan helikopter serta pesawat
menggempur sepuluh orang mujahidin pimpinan
Syeikh Izzuddin dengan sebarang kekurangan dari segi
persenjataan. Dalam tragedi yang penuh menyayat hati
itu, Syeikh Izzuddin Al-Qassam memerintahkan
pasukannya untuk memilih mati syahid daripada
berundur, ketika mana para mujahidin telah dikepung
oleh pasukan Inggeris itu. Akhirnya Syeikh Izzuddin Al-
Qassam bersama sembilan orang pasukannya meraih
kematian yang dimuliakan dan menjadi cita-cita
seorang mujahid iaitu syahid yang menjemputnya
menemui Tuhannya. Dalam poket baju Syeikh Izzuddin
terselit mashaf Al-Quran yang menjadi sumber inspirasi
seorang muslim.

Umat Islam di Palestin dan seluruh dunia melakukan


solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah As-Syahid
Izzudin Al-Qassam dengan bajunya yang berlumuran
darah dibawa oleh ribuan pencintanya ke perkuburan di
kampungnya. Gugurnya beliau telah mencetuskan
lebih banyak penentangan, pergolakan dan bantahan
terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi
Palestin.
Puluhan tahun telah berlalu hingga waktu ini.
Persoalan yang perlu kita tanya, di mana musuh-
musuh yang memusuhi perjuangan Syeikh Izzuddin?
Di mana mereka yang membunuh Syeikh Izzuddin dan
teman-temannya? Mereka hanya mampu membunuh
jasad Syeikh Izzuddin tapi gagal mematikan roh
perjuangan beliau dan teman-teman yang lain. Di
manakah pula Syeikh Izzuddin dan teman-temannya
berada sekarang? Tanpa syak dan ragu-ragu, dengan
penuh keimanan kepada Allah dan ayat suci-Nya
dalam kitab Al-Quran yang kita imani bahawa orang-
rorang yang mati syahid tidak mati bahkan mereka
hidup di sisi Allah s.w.t malahan diberikan rezeki.
Alangkah bertuahnya Syeikh Izzuddin dan teman-
temannya kini dalam rahmat Allah, sementara merana
dan sengsara pula musuh-musuh mereka diazab oleh
Allah.

Jasa Syeikh Izzuddin Al-Qassam sentiasa dikenang


oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin. Nama
beliau diabadikan oleh HAMAS dengan menamakan
sayap ketenteraannya serta pada senjata dan bendera
mereka. Mari sama-sama kita sedehkan al-Fatihah
kepada beliau serta teman-teman beliau yang lain.
Semoga kita semua akan dihimpunkan di akhirat kelak
bersama-sama beliau serta syuhada' yang lain. Amin.

You might also like