You are on page 1of 7

APA ITU WASIAT?

Wasiat telah lama diamalkan dalam tamadun manusia. Dalam masyarakat Rome
dahulu, ketua keluarga mempunyai kuasa ke atas harta dengan cara wasiat
memberikan harta kepada sesiapa sahaja dan menghalang anaknya daripada menjadi
pewaris. Manakala dalam masyarakat Arab Jahiliah pula mereka membuat wasiat
sebagai satu kebanggaan dan membiarkan kerabat dalam kefakiran.

Islam telah memperbetulkan keadaan tersebut dengan meletakkan asas kebenaran dan
keadilan dalam membuat wasiat.

Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum
kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Diwajibkan ke
atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia
meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya
secara ma'ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.
(Surah Al-Baqarah:180)

Kemudian, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turunnya ayat


mawarith dalam surah Al-Nisa, iaitu yang menerangkan hak-hak dan pembahagian
pusaka melalui hukum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud: “Bagi orang laki-
laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang
wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik
sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”.
(Surah Al-Nisa’: 7)

Manakala Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak wajar bagi
seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan, membiarkan dua
malam berlalu tanpa menulis wasiatnya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Melalui hadis di atas, jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan
wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.

KAEDAH BERWASIAT
Wasiat merupakan dokumen penyelesaian pusaka berbentuk arahan kepada Wasi
untuk menyempurnakan segala hasrat pewasiat termasuklah melaksanakan segala
strategi perancangan dan pengagihan harta selepas kematian.

Ia mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu wasiat kepada bukan waris dan ahli waris yang
terlindung daripada menerima harta pusaka melalui faraid. Hanya satu pertiga (1/3)
daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan boleh
diwasiatkan. Manakala dua pertiga (2/3) daripada harta pewasiat adalah merupakan hak
ahli waris menurut Hukum Faraid. Pewasiat boleh mewasiatkan hartanya melebihi satu
pertiga (1/3) sekiranya semua ahli waris bersetuju dengan pembahagian tersebut
selepas kematian pewasiat. Pewasiat juga boleh mewasiatkan hartanya kepada ahli
waris yang layak menerima faraid sekiranya dipersetujui oleh ahli-ahli waris yang lain
selepas kematian pewasiat. Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan
oleh waris yang lain.”
(Riwayat Abu Daud)
SIAPA YANG LAYAK BUAT WASIAT?
Semua umat Islam layak membuat wasiat asalkan anda berumur lebih 18 tahun,
sempurna akal, sukarela dan tidak dipaksa, tidak dihalang mengurus hartanya dan jika
pewasiat sedang sakit, dia hendaklah waras fikiran, baik ingatan dan memahami wasiat
dibuat.

Dari segi harta yang boleh diwasiatkan adalah harta alih seperti kenderaan, wang tunai,
wang simpanan, barang kemas, saham, insurans, hutang dan lain-lain dan harta tak alih
seperti rumah, tanah, bangunan dan lain-lain.

Jika anda orang yang berharta, orang yang lanjut usia, orang yang tidak berkahwin,
orang yang mempunyai anak angkat, orang yang berhutang, orang yang tiada waris dan
muallaf adalah sangat digalakkan membuat wasiat. Bermakna semua kita adalah
digalakkan membuat wasiat.

KENAPA WASIAT ITU PENTING?


Berwasiat merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat
terhadap pembahagian harta yang dikumpul semasa hidup. Perwarisan harta yang
dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga
yang tersayang selepas kematian.

Menulis wasiat adalah sangat berfaedah kerana pelantikan wasi melalui dokumen
wasiat akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian.
Pelantikan penjaga yang dipercayai melalui wasiat akan menjamin kebajikan anak-anak
di bawah umur selepas kematian anda. Pada masa yang sama, ia juga akan
mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris-waris yang ditinggalkan.

Dari segi undang-undang, di bawah Seksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai
wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau
sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”

Menepati hasrat peruntukan di atas, maka MAIS telah memperluaskan fungsinya untuk
menerima permohonan wasiat dan melaksanakan wasiat daripada seluruh umat Islam di
negeri Selangor. Fungsi MAIS sebagai agensi yang mengurusan wasiat orang Islam
telah menjadi tulang belakang kepada perjalanan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri
Selangor) 1999 yang dijadikan sebagai panduan dan amalan melaksanakan
pengurusan wasiat orang Islam dalam negeri Selangor. Enakmen Wasiat Orang Islam
(Negeri Selangor) 1999 merupakan pelopor kepada perjalanan pengurusan wasiat
orang Islam di negara ini. Ia memperuntukkan beberapa perkara berkaitan
pelaksananan wasiat, penarikan balik wasiat, penerimaan dan penolakan wasiat dan
beberapa peruntukan penting yang memandu perjalanan sistem wasiat orang Islam
berdasarkan hukum syarak.

Bagi melancarkan perjalanan pengurusan wasiat di MAIS, maka satu kaedah yang
dinamakan sebagai Kaedah-Kaedah Pengurusan Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor)
2008 telah digubal dan diwartakan berdasarkan peruntukan Seksyen 29, Enakmen
Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999.
PERKHIDMATAN WASIAT DI MAIS
Penyediaan Surat Wasiat Bertulis dan Pelantikan Wasi
Pelaksanaan Wasiat

FI WASIAT
Fi: RM 318 (Pendaftaran, Penyediaan dan Penyimpanan Wasiat)

Fi Pelaksanaan:
• 2% = Nilai harta RM 25,000 pertama;
• 1.5% = Nilai harta RM 50,000 berikutnya;
• 1% = Nilai harta RM 75,000 berikutnya;
• 0.5% = Nilai harta RM 100,000 berikutnya; dan
• 0.25% = Nilai harta RM 200,000 ke atas.

MUAT TURUN BORANG WASIAT


Borang A

SUDAHKAH ANDA MENULIS WASIAT?


Ramai dalam kalangan anda tentu menganggap menulis wasiat adalah perkara yang
tidak begitu penting dalam menguruskan perancangan harta di masa hadapan. Maka,
tidak hairanlah dilaporkan ramai orang Islam tidak membuat persiapan menulis wasiat
kerana beranggapan urusan harta diletakkan di bawah faraid sahaja.

Penulisan wasiat seharusnya perlu dilakukan mulai dari sekarang iaitu semasa hayat
anda masih ada dan semasa tubuh anda masih sihat. Jangan mengambil sikap tunggu
dan lihat orang lain buat atau tangguh untuk beberapa waktu. Ia kelak boleh merugikan
anda sendiri.

Ada yang mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai harta yang hendak diwasiatkan.
Harta yang ada berupa sebuah kereta dan sebuah rumah dianggap hanya hal yang kecil
dan remeh untuk difikirkan. Sebagai seorang yang bertanggungjawab dan selagi anda
mempunyai hutang, anda mestilah menyediakan satu penulisan berbentuk pesanan
untuk waris anda menjelaskan hutang yang bakal ditinggalkan.

Kecenderungan masyarakat kini pula yang sibuk mengumpul kekayaan buat diri dan ahli
keluarga seringkali menimbulkan polemik bila mana si pemilik harta meninggal dunia
tanpa membuat apa-apa persediaan ke atas harta-harta mereka. Acapkali berlaku
pergeseran di kalangan ahli keluarga terutama yang membabitkan harta pusaka.
Kesannya, ikatan silaturrahim yang terbina selama bertahun-tahun lamanya terlerai oleh
sebab perebutan harta di kalangan mereka. Lebih buruk dari itu, hubungan ibu bapa dan
anak-anak terputus begitu sahaja kerana sikap tamak haloba dan dendam kesumat di
dalam diri anggota keluarga. Oleh kerana itu, persediaan mengurus harta secara
bijaksana perlu dilakukan bagi mengelakkan pergeseran di kalangan ahli keluarga dan
kaum kerabat.

Namun, tidak kurang juga, terdapat umat Islam yang tidak memahami konsep wasiat
dan pelaksanaannya mengikut hukum syarak. Ada yang berpendapat wasiat boleh
dibuat kepada sesiapa sahaja termasuk di kalangan ahli waris dengan tujuan harta
tersebut tidak mengalir kepada waris yang tidak diingininya atau hanya waris tertentu
sahaja berhak mewarisi harta.
Pengenalan Harta Pusaka

Dalam Islam terdapat suatu kaedah pembahagian harta pusaka yang dinamakan
dengan faraid sebagaimana yang diputuskan di dalam Al-Quran. Ia diperoleh daripada
seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan waris yang layak menerima harta
pusaka mengikut Hukum Syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dibayar hutang
piutangnya dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada).

Ia dibahagikan mengikut kadar yang telah ditetapkan ataupun secara permuafakatan.

Pembahagian tersebut tertakluk kepada sebab dan syarat-syarat tertentu dan tiada yang
menghalang ahli waris daripada menerima harta pusaka.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Allah perintahkan kamu (mengenai


pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki
menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu
lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan
oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah
seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari
keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai
anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu
bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai
beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam.
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si
mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak
mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada
kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti
yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana."

(Surah Al-Nisa: 11)

"Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan isteri kamu jika
mereka tidak mempunyai anak, jika isteri kamu mempunyai anak maka kamu mendapat
satu perempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang
dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka pula (isteri) memperoleh
seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, jika
mempunyai anak, maka isteri memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu
tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Jika
seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak
meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara
perempuan seibu, maka bagi masing-masing ialah satu perenam harta. Tetapi jika
saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga,
sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak
memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai
syariat yang benar dari Allah."

(Surah Al-Nisa': 12)

"Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa
kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai
anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu
seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh
harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara
perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan.
Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka
bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan.
Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha
Mengetahui segala sesuatu."

(Surah Al-Nisa': 176)

Walau bagaimanapun hak faraid seseorang boleh gugur apabila ahli waris itu
membunuh. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
"Tidak mewarisi orang yang membunuh itu sesuatu".

Dalam beberapa hadis yang lain pula daripada Ibnu ‘Abbas r.a. berkata: Sabda
Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada
pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya."

Daripada Ibnu Mas'ud pada menyatakan hukum berkenaan anak perempuan, cucu
perempuan daripada anak lelaki dan saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa)
"Maka telah menghukumkan Rasulullah S.A.W. bagi anak perempuan 1/2 dan bagi cucu
perempuan daripada anak lelaki 1/6 mencukupkan 2/3 dan bakinya bagi saudara
perempuan."

(Hadis riwayat Imam Bukhari)

Manakala daripada Ibnu Buraidah daripada bapanya: "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W.


memberikan kepada nenek 1/6 apabila (si mati) tidak mempunyai ibu."

(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa'ie)

Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama
sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid, sesungguhnya Rasulullah S.A.W.
bersabda: "Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang
Islam.

Pengurusan Harta Pusaka

Kedudukan Baitulmal dalam Pengurusan Harta Pusaka

Harta pusaka merupakan salah satu sumber Baitulmal yang telah ditetapkan mengikut
hukum faraid di mana Baitulmal merupakan tempat rujukan terakhir sekiranya sesuatu
harta pusaka itu tiada pewaris atau terdapat baki harta setelah diberikan kepada waris-
waris yang berhak. Ia berdasarkan kitab Raudah al-Talibin karangan Imam An-Nawawi
jilid 5, halaman 6-7 bermaksud: "Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris fardu, dan
tidak meninggalkan waris asabah, maka hendaklah diwarisi oleh dzawil arham. Pada
pandangan kami, sesungguhnya pendapat yang sahih dzawil arham itu tidak mewarisi
dan tidak juga dipulangkan lebihan harta, iaitu dalam keadaan bilamana urusan
baitulmal ditadbir dengan baik dengan diperintah oleh pemimpin yang adil."

Di dalam kitab Al-Mawarith fi Al-Syariah Al-Islamiyyah fi Dhauil Kitab wa Al-Sunnah,


karangan Al-Syeikh Muhammad Ali Al-Sobuni, cetakan kelima, percetakan Al-Sobuni,
tahun 1407H/1987M menyatakan, pendapat Imam Malik dan Imam Syafi'e bahawa
dzawil arham atau para kerabat tidak berhak mendapat waris. Lebih jauh mereka
mengatakan bahawa bila harta pusaka bagi waris yang tidak ada ashabul furudh atau
'asabah yang mengambilnya, maka hendaklah dilimpahkan kepada Baitulmal kaum
muslimin untuk disalurkan demi kepentingan masyarakat Islam pada umumnya. Dengan
demikian, tidak dibenarkan jika harta tersebut diberikan kepada dzawil arham. Di antara
mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Thabit r.a. dan Ibnu Abbas r.a. dalam
sebahagian riwayat darinya.

Dalil yang dijadikan landasan oleh Imam Malik dan Syafi'e ialah:

1.Asal pemberian hak waris atau asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas
syar'ie dan qat'ie dari Al-Qur'an atau Al-Sunnah. Dalam hal ini tidak ada satu pun nas
yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya dzawil arham untuk mendapat waris.
Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (dzawil arham) bererti kita
memberikan hak waris tanpa berpandukan kepada dalil yang pasti dan kuat. Hal seperti
ini menurut syariat Islam adalah batil.

Rasulullah S.A.W. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara baik dari sebelah bapa
ataupun ibu, baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku
bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun."

Memang sangat jelas betapa dekatnya kekerabatan saudara perempuan bapa ataupun
saudara perempuan ibu dibandingkan kerabat lainnya. Maka jika keduanya tidak berhak
untuk menerima harta waris, kerabat lain pun demikian. Sebabnya tidak mungkin dan
tidak dibenarkan kita memberikan hak waris kepada kerabat lain, sedangkan ibu
saudara tidak layak mendapatkannya. Berdasarkan kaedah fiqh ianya dikenali sebagai
tarjih bilaa murajjih yang bererti batil.

3.Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik
dari ashabul furudh ataupun para 'asabah bila diserahkan ke Baitulmal akan dapat
mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan
kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan
dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang
merasakannya. Padahal dalam kaedah usul fiqh telah ditegaskan bahawa kemaslahatan
umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan peribadi.

Berdasarkan undang-undang negara, ia juga telah diperuntukkan di bawah Seksyen


13(1), Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 iaitu antara lain menyebut, "Dengan
syarat jika ada undang-undang bertulis yang berkuat kuasa berhubungan dengan
Baitulmal, Pentadbir Tanah hendaklah sebelum membahagikan apa-apa bahagian harta
pusaka si mati beragama Islam, memuaskan dirinya bahawa apa-apa bahagian harta
pusaka yang kena dibayar kepada Baitulmal telah dibayar sewajarnya atau peruntukan
sesuai telah dibuat bagi pembayarannya."

Manakala secara praktisnya di Selangor, ia telah diperuntukkan di bawah Seksyen 5(4),


Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, "Majlis hendaklah
mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir
harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah."

You might also like