You are on page 1of 3

Pengenalan Pengurusan Harta Pusaka

Pengenalan Harta Pusaka


Dalam Islam terdapat suatu kaedah pembahagian harta pusaka yang dinamakan dengan faraid
sebagaimana yang diputuskan di dalam Al-Quran. Ia diperoleh daripada seseorang yang
meninggal dunia dan meninggalkan waris yang layak menerima harta pusaka mengikut
Hukum Syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dibayar hutang piutangnya dan
dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada).
Ia dibahagikan mengikut kadar yang telah ditetapkan ataupun secara permuafakatan.
Pembahagian tersebut tertakluk kepada sebab dan syarat-syarat tertentu dan tiada yang
menghalang ahli waris daripada menerima harta pusaka.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian
harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai
bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua,
maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika
anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu.
Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang
ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai
anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga.
Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian
ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah
diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak
kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak
manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masingmasing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Nisa: 11)
Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan isteri kamu jika mereka
tidak mempunyai anak, jika isteri kamu mempunyai anak maka kamu mendapat satu
perempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan
sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka pula (isteri) memperoleh seperempat harta
yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, jika mempunyai anak, maka isteri
memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat
yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan
yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang
saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing ialah satu
perenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu
dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan
tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai
syariat yang benar dari Allah. (Surah Al-Nisa: 12)
"Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa
kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai
anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu

seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh
harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan
itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika
mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian
seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah
menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui
segala sesuatu." (Surah Al-Nisa': 176)
Walau bagaimanapun hak faraid seseorang boleh gugur apabila ahli waris itu membunuh.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: Tidak mewarisi
orang yang membunuh itu sesuatu.
Dalam beberapa hadis yang lain pula daripada Ibnu Abbas r.a. berkata: Sabda Rasulullah
S.A.W. yang bermaksud: Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya.
Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.
Daripada Ibnu Masud pada menyatakan hukum berkenaan anak perempuan, cucu perempuan
daripada anak lelaki dan saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa) Maka telah
menghukumkan Rasulullah S.A.W. bagi anak perempuan 1/2 dan bagi cucu perempuan
daripada anak lelaki 1/6 mencukupkan 2/3 dan bakinya bagi saudara perempuan. (Hadis
riwayat Imam Bukhari)
Manakala daripada Ibnu Buraidah daripada bapanya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W.
memberikan kepada nenek 1/6 apabila (si mati) tidak mempunyai ibu. (Hadis riwayat Abu
Daud dan Nasaie)
Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama
sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid, sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda:
Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.

Posted 3rd September 2013 by permatangkuang penang

You might also like