You are on page 1of 28

BAB 1

PENGENALAN

1.1 Pendahuluan

Pengurusan Kewangan merupakan nadi untuk menggerakkan sesebuah organisasi meneruskan


kelangsungan dan fungsinya. Kewangan memberikan sumber utama kepada setiap
perancangan dan program yang akan dijalankan sepanjang tahun. Di peringkat sekolah,
pengurusan kewangan perlu ditadbir dengan cekap dan berhemat, agar kewangan boleh
diperolehi secukupnya, dibelanja dan diurus mengikut tatatacara yang betul serta dapat
memenuhi matlamat sekolah. Menurut Soaib Asimiran (2003), sumber kewangan adalah faktor
penentu dan pengawal utama kepada sistem pengurusan organisasi sekolah. Ini kerana setiap
aktiviti yang dirancang memerlukan kos atau perbelanjaan yang besar untuk menyediakan
bahan dan peralatan yang diperlukan untuk menjayakan sesuatu aktiviti yang akan atau sedang
diadakan.

Steiss (2003) mendifinisikan pengurusan kewangan sebagai satu perancangan


menyeluruh yang meliputi pelbagai bentuk urusan seperti barangan, perkhidmatan, aktiviti, dan
termasuk juga projek kecil mahupun projek mega. Pengurusan kewangan merupakan suatu
bidang yang memerlukan kebijaksanaan dan integriti pihak pentadbir. Pengurus kewangan
sekolah haruslah mematuhi Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahawa pengurusan
kewangan perlu diurus dengan cekap dan bersistematik. Berdasarkan sistem yang ada
sekarang, pengetua selaku pentadbir sekolah adalah individu yang bertanggungjawab

1
mengetuai organsasi dalam merancang, mengurus, mengawal serta menentukan pengurusan
kewangan di sekolahnya dengan cekap dan berkesan. Pengetua juga harus menyimpan rekod-
rekod kewangan sekolah secara teratur dan semua akaun sekolah bagi tahun semasa mesti
dihantar untuk diaudit sebelum tahun berikutnya seperti yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling
Kewangan Kementrian Pelajaran Malaysia Bil. 4 Tahun 1988. Selain itu, pengetua
bertanggungjawab dalam menentukan samada pentadbiran kewangan sekolah dapat
dikendalikan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam Perintah Kewangan.
Segala prosedur kewangan haruslah dikaji dan dipatuhi untuk melicinkan pengurusan kewangan
sekolah. Kemahiran, kepimpinan dan sikap pengetua menjadi pemangkin sejauhmana
pengurusan kewangan di sekolah dilaksanakan dengan sistematik.

Mengurus perolehan secara berkesan merupakan sebahagian daripada aspek


pengurusan kewangan sekolah yang perlu diketahui oleh pengetua bagi mengelakkan
pembaziran, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa terhadap perolehan. Menurut Ellison
(2007), prinsip akauntabiliti awam perlu dijadikan amalan oleh setiap pegawai yang terlibat
dalam mengurus perolehan kerajaan. Kemampuan pengetua untuk memahami perkara
berkaitan kewangan dengan lebih teliti dan mendalam membolehkan organisasi atau sekolah
menyediakan perancangan perbelanjaan dengan lebih terperinci agar dasar perancangan kerja
dan tugas-tugas pengurusan dapat dibentuk. Pengurusan kewangan yang sistematik sudah
tentu akan dapat memberikan kesan positif terhadap pengurusan organisasi sekolah secara
keseluruhannya. Justeru, pengurusan kewangan yang berkesan dapat mengelak sebarang
pembaziran dan penyelewangan daripada berlaku.

1.2 Latar Belakang Kajian

Menurut Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 tahun 1996 Ketua Audit Negara membangkitkan
kelemahan-kelemahan pengurusan kewangan dan akaun dalam laporannya setiap tahun.
Kelemahan-kelemahan ini timbul kerana Arahan Perbendeharaan dan lain-lain peraturan yang
terkandung dalam Akta Prosedur Kewangan 1957 (pindaan 1972), pekeliling-pekeliling dan
surat-surat Pekeliling Perbendeharaan tidak dipatuhi sepenuhnya.

Pengurusan kewangan melibatkan pengurusan perbelanjaan dan pengurusan


perakaunan. Kelemahan dalam pengurusan perbelanjaan adalah seperti perbelanjaan melebihi

2
peruntukan, perbelanjaan kurang daripada peruntukan, peruntukan tidak dibelanjakan
langsung, pindahan peruntukan yang diluluskan tidak dibelanjakan dan peruntukan tambahan
yang diluluskan tidak dibelanjakan langsung. Kawalan perbelanjaan yang tidak efektif
menyebabkan penyelarasan perbelanjaan tidak selaras dengan kelulusan yang diberikan dan
juga tidak mematuhi tatacara perolehan perbelanjaan (Surat Pekeliling Perbendeharaan Bil. 2,
1996).

Kelemahan dalam pengurusan perakaunan menyebabkan Buku Tunai Kumpulan Wang


Kerajaan, Buku Tunai Kumpulan Wang SUWA dan Buku Tunai Panjar Wang Runcit tidak
diselanggarakan dengan lengkap dan kemas kini, penyata perbelanjaan bulanan tidak
dikemaskinikan, penyesuaian bank tidak dibuat dan diselenggara dengan baik (surat Pekeliling
Perbendaharaan Bil. 2, 1996).

Kelemahan dalam pengurusan kewangan oleh pentadbir sekolah menyebabkan


program-program kurikulum dan kokurikulum sekolah tidak dapat berjalan lancar dan memberi
kesan kepada organisasi sekolah. Zaidatol Akmaliah (2011) menjelaskan kepimpinan sekolah
yang dilantik tanpa sebarang pendedahan mengenai pengurusan kewangan telah menyebabkan
mereka mentadbirkan kewangan sekolah secara cuba jaya. Senario ini berlaku disebabkan
sistem perlantikan pengetua sekolah masih berdasarkan kekananan dan bukan berdasarkan
peningkatan pengetahuan dan kemahiran (Loo, 2005). Meskipun begitu, terdapat banyak pihak
yang mempengaruhi pengurusan kewangan sekolah. Komitmen daripada bahagian-bahagian
lain dalam Kementrian Pelajaran Malaysia seperti Bahagian Kewangan, Bahagian Sumber
Manusia, Bahagian Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, dan Jabatan Pendidikan Negeri,
mempengaruhi kewangan dalam pengagihan peruntukan dan sebagainya.

Antara kelemahan-kelemahan lain dalam menguruskan kewangan sekolah yang


dikenalpasti oleh bahagian Audit Sekolah adalah; kelewatan penyerahan penyata akaun
tahunan sekolah ke Jabatan Audit, lewat memasukkan wang pungutan ke dalam akaun bank,
perbelanjaan tanpa dokumen sokongan sebagai bukti pembayaran, perbelanjaan yang tidak
dibenarkan iaitu pembelian barangan atau perkhidmatan masih dibuat walaupun peruntukan
aktiviti mencukupi atau perbelanjaan bagi aktiviti itu diambil daripada peruntukan di bawah
tanpa kebenaran, dan lain-lain lagi.

3
Secara keseluruhannya, kewujudan kelemahan dalam pengurusan kewangan adalah
berpunca daripada kelemahan diri individu, kelemahan organisasi dan sistem kawalan serta
kelemahan dan keadaan persekitaran. Implikasi daripada kelemahan ini menyebabkan
pengurusan kewangan yang tidak terkawal.

1.3 Pernyataan Masalah

Dalam organisasi sekolah, salah satu sebab mengapa objektif suatu program tidak tercapai
ialah kewujudan kelemahan pengetua dalam pengurusan kewangan sekolah. Kelemahan-
kelemahan ini mungkin disebabkan oleh kekurangan pengetahuan dan kemahiran seorang
pengetua dalam organisasi sekolah. Pengetua sekolah kurang memahami akauntabiliti terhadap
pengurusan kewangan yang melibatkan proses memperolehi, mengagihkan, menggunakan dan
mengawal sumber-sumber kewangan untuk menambahbaik pengurusan kewangan sekolah
serta mencapai matlamat yang ditetapkan dalam pengurusan kewangan. Kekurangan latihan
kepada pengetua turut menjadi punca kepada kelemahan pengurusan sekolah. Setelah dilantik,
pengetua cuma diberi latihan dalam kursus jangka pendek yang tidak cukup untuk difahami
secara mendalam kepada setiap aspek pengurusan kewangan yang rumit dan memerlukan
kemahiran.

Kajian mendapati pengetua sekolah tidak menguasai pengetahuan dan kecekapan yang
diperlukan untuk menguruskan kewangan sehingga menyerahkan kepada kakitangan
pentadbiran (Shahril Marzuki, 2005). Pengetua banyak bergantung kepada kerani kewangan
atau guru khas yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pungutan dan kutipan, pembelian
dan pembayaran, dan menyelenggarakan akaun sekolah sedangkan pengurusan kewangan
sekolah terletak pada bahunya. Selain itu, didapati terdapat pengetua sekolah yang
memperuntukkan dana sekolah untuk tujuan yang salah. Sekolah banyak yang tidak konsisten
dalam mengawasi catatan dan kewangan semasa penggunaan dana sekolah (Muhammad Faizal
A. Ghani, Norfaiza Mohd Radzi & Saedah Siraj, 2013).

Sehubungan dengan itu, kajian ini dibuat untuk melihat amalan pengetua dalam
pengurusan kewangan sekolah sama ada mereka memahami dan dapat mengurus kewangan
sekolah berdasarkan akta, perbendeharaan dan pekeliling yang dinyatakan oleh pihak
kementerian. Kajian ini juga mahu melihat sejauh mana kefahaman dan kemahiran pengetua

4
untuk menguruskan segala bentuk dana kewangan yang ada berdasarkan pengalaman-
pengalaman mereka dalam pengurusan kewangan sekolah. Selain itu, masalah-masalah yang
dihadapi oleh pengetua dalam merancang dan menguruskan kewangan akan dikenalpasti serta
langkah-langkah yang sudah diambil untuk mengatasinya.

1.4 Soalan Kajian

Berdasarkan pernyataan masalah, soalan-soalan kajian dibentuk seperti berikut:

(i) Apakah pengetahuan dan kemahiran yang ada pada pengetua sekolah dalam
pengurusan kewangan?
(ii) Adakah amalan pengurusan kewangan pengetua sekolah berlandaskan tatacara
pengurusan kewangan yang betul?
(iii) Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh pengetua sekolah dalam
pengurusan kewangan?
(iv) Apakah usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pengetua untuk mempertingkatkan
pengurusan kewangan sekolah?

1.5 Objektif Kajian

Berdasarkan soalan-soalan kajian, kajian ini akan memfokuskan kepada objektif-objektif kajian
seperti berikut:

(i) Mengenalpasti pengetahuan dan kemahiran yang ada pada pengetua sekolah
dalam pengurusan kewangan.
(ii) Mengenalpasti sama ada amalan pengurusan kewangan pengetua sekolah
berlandaskan tatacara pengurusan kewangan yang betul.
(iii) Mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pengetua dalam pengurusan
kewangan.
(iv) Mengenalpasti usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pengetua untuk
mempertingkatkan pengurusan kewangan sekolah.

5
1.6 Kepentingan dan Skop Kajian

Kajian ini memberikan manfaat kepada banyak pihak dalam memperkasakan lagi pengurusan
kewangan di sekolah secara khususnya. Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan
Negeri dan Jabatan Pendidikan daerah boleh menerima maklumat tentang tahap pengurusan
kewangan yang diamalkan oleh pengetua-pengetua sekolah, seterusnya boleh memberi
maklum balas, merancang dan merangka kursus yang berkaitan dengan penguapayaan di
sekolah. Kajian ini juga boleh dijadikan sumber maklumat kepada pengetua tentang tahap
pengupayaan berdasarkan dimensi membuat keputusan, perkembangan profesional, status,
efikasi diri, pengurusan kewangan yang cekap dan berkesan, mengenalpasti isu dan masalah
dalam menguruskan kewangan serta mengambil langkah yang sewajarnya dalam mengatasi
kelemahan-kelamahan yang dihadapi. Akhir sekali, dengan informasi ini dapat membantu dan
mendorong pelbagai pihak yang berminat untuk meneruskan kajian lanjutan di dalam aspek
pengurusan kewangan sekolah.

Kajian ini dilakukan ke atas pengetua-pengetua di sekolah menengah Kebangsaan di


Daerah Pitas dan Kota Marudu. Kajian ini dilakukan dengan meninjau dan mengenal pasti
amalan pengurusan kewangan sekolah dan bagaimana pengetua menghadapi isu dan
kelemahan, serta cadangan-cadangan untuk mengatasinya.

Penyelidik telah memilih tujuh buah sekolah menengah kebangsaan berdasarkan latar
belakang sekolah dan laporan audit sekolah. Laporan audit menunjukkan beberapa tahap
prestasi audit pengurusan kewangan bagi sekolah-sekolah ini. Subjek kajian ini terdiri daripada
tujuh orang pengetua yang terpilih secara persampelan tidak rawak daripada sekolah-sekolah
tersebut. Di samping itu, kajian ini juga terbatas mengkaji amalan pengurusan kewangan
sekolah sahaja manakala bidang lain tidak akan dibincangkan dalam kajian ini.

1.7 Definisi Operasianal

1.7.1 Pengurusan

Mary Parker Follet, seorang pelopor pengurusan klasik mentakrifkan pengurusan sebagai satu
seni melakukan kerja melalui sumbangan orang lain. Takrif pengurusan yang diberi oleh Follet

6
ini banyak didapati dalam buku pengurusan moden. Harold Koontz pula mentakrifkan
pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui dan bersaa orang lain di dalam satu
kumpulan yang dibentuk. Pengurusan ini mempunyai hala tuju untuk mencapai objektif dengan
memberikan penugasan kerja di pelbagai peringkat.

Pengurusan secara fitrahnya melibatkan perhubungan pengurus dengan pekerja


bawahannya atau subordinat. Frederick W. Taylor (1911) mentakrifkan pengurusan sebagai
satu proses perancangan, pengelolaan, pengarahan dan kawalan terhadap usaha-usaha ahli
organisasi dan penggunaan sumber-sumber organisasi yang lain dalam usaha untuk mencapai
matlamat yang ditetapkan.

Menurut perspektif Islam, pengurusan ditakrifkan sebagai satu proses melakukan kerja
dan menyempurnkan kerja melalui fungsi-fungsi pengurusan secara fitrah melalui dan bersama
orang lain dalam usaha mencapai objektif kerja secaraberkesan dan menggunakan sumber-
sumber organisasi dengan cekap dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah
bagi mencapai objektif organisasi.

1.7.2 Kewangan

Kewangan menuntut dan mengemukakan cara-cara dalam mana individu, perniagaan, dan
kenaikan pertubuhan-pertubuhan, peruntukan dan menggunakan sumber kewangan sepanjang
masa, mengambil penting risiko-risiko yang dihadapai dalam melaksanakan projek. Maka,
dengan itu terma kewangan membawa maksud-maksud kajian wang dan aset-aset, pengurusan
dan pengawalan aset-aset berkenaan, membentuk profil dan pengurusan risiko projek, dan
sebagai pembiayaaan untuk menyediakan dana-dana untuk perniagaan.

1.7.3 Pengurusan Kewangan

Clarke (2008), menghuraikan pengurusan kewangan seperti berikut: “Adalah penting bagi
pegurus kewangan untuk memastikan bahawa dia mempunyai pengetahuan dan kefahaman
tentang proses asas yang terlibat dalam pengurusan akaun sekolah, pengurusan belanjawan,
dan sistem kawalan yang penting untuk memastikan pengurusan kewangan berjalan dengan
lancar.”

7
Shapiro (2005), menyatakan pengurusan kewangan melibatkan perancangan kewangan
dan belanjawan, akaun, analisis, keputusan dan tindakan dalam aspek kewangan.

1.7.4 Pengetua

Caldwell dan Spinks (2006), menjelaskan pentadbir atau pengetua merupakan indivdu yang
mentadbir dan mengawal segala sumber, intipati dan maklumat dalam sekolah. Pengetua
mempunyai kuasa dan tangunggjawab untuk membuat keputusan berkaitan dengan
pengawalan sumber dan sistem dalam pendidikan demi mencapai matlamat dan akauntabiliti
dalam proses pengurusan.

Raywind dan Botha (2004) menyatakan pentadbir atau pengetua memainkan peranan
untuk membentuk dan mengawal suatu mekanisma dalam meningkatkan prestasi sekolah
melalui keputusan-keputusan yang diambil berdasarkan sumber daripada peringkat pusat ke
peringkat sekolah.

1.7.5 Sekolah

Sekolah merupakan sebuah bangunan atau tempat yang berfungsi untuk memberikan
pendidikan kepada pelajar yang merujuk sesiapa yang belajar di situ. Struktur sekolah model
mungkin dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat atau sekadar bilik darjah sahaja.
Selain itu, sekolah mempunyai beberapa tenaga pengajar atau guru untuk mendidik dan
membimbing pelajar.

8
1.8 Kerangka Kajian

Pengetua

Pengetahuan Kemahiran

Pengurusan
Kewangan Sekolah Sumber Kewangan Sekolah
a. Peruntukan Kerajaan
b. Pungutan Sekolah

Mematuhi Peraturan Kewangan


Melaksanakan a. Arahan Perbendeharaan
Pengurusan b. Akta Acara Kewangan 1957
Kewangan (Amalan) c. Surat-surat Pekeliling.

Merancang
Penambahbaikan

Rajah 1.1: Kerangka Kajian

Tujuan Kajian ini dilaksanakan adalah untuk melihat amalan pengurusan kewangan oleh
pengetua sekolah. Terdapat beberapa dimensi yang akan diberi tumpuan dalam kajian ini iaitu;

1. Pengetahuan dan kemahiran pengetua dalam pengurusan kewangan sekolah


2. Amalan pengetua dalam pengurusan kewangan sekolah
3. Sumber kewangan sekolah

9
4. Masalah-masalah yang dihadapi dalam pengurusan kewangan sekolah
5. Usaha-usaha penambahbaikan dalam pengurusan kewangan sekolah.

Dapatan kajian terhadap beberapa dimensi ini nanti akan menjawab persoalan kajian
yang sudah dinyatakan.

1.9 Kesimpulan

Dalam bab ini, penyelidik telah mengemukakan latar belakang kajian, pernyataan masalah,
persoalan dan objektif kajian, kepentingan serta skop kajian dalam meninjau amalan
pengurusan kewangan sekolah, kelemahan, isu dan cadangan-cadangan untuk mengatasinya di
kalangan pengetua sekolah. Bagi memastikan istilah-istilah yang digunakan dalam kajian ini
dapat difahami, definisi operasi dan kerangka konsep telah diberikan dan dinyatakan dengan
jelas.

10
BAB 2

KAJIAN LITERATUR

2.1 Pendahuluan

Dalam bab pertama, penyelidik telah menghuraikan secara menyeluruh latar belakang kajian
yang dijalankan. Bab ini, penyelidik akan menghuraikan definisi-definisi konsep yang digunakan
dalam kajian, mengemukakan teori-teori dan model-model berkaitan kajian, serta kajian-kajian
lepas yang sudah pernah dilaksanakan berkaitan pengurusan kewangan sebelum ini.

2.2 Definisi Konsep

2.2.1 Konsep Kewangan

Kewangan merupakan suatu disiplin yang melibatkan wang dan bagaimana ia dijana, dilaburkan
dan di kekalkan dalam suatu organisasi. Kewangan juga adalah cabang ekonomi yang berkaitan
dengan sumber peruntukan, sumber pengurusan, perolehan serta pelaburan. (Wikipedia, 2009).

Menurut Campbell (2004), kewangan merupakan satu disiplin yang berkaitan dengan
penentuan nilai dan proses membuat keputusan. Kewangan melibatkan fungsi peruntukan,
melibatkan perolehan, melabur dan mengurus sumber. Definisi ini menandakan bahawa

11
kewangan merangkumi fakta, prinsip dan teori berkaitan dengan peningkata dan penggunaan
dana oleh individu, firma perniagaan, institusi pendidikan dan kerajaan.

2.2.2 Konsep Pengurusan

Pengurusan boleh didefinisikan sebagai penggunaan bijak dalam pengurusan untuk


mengelakkan pembaziran dan untuk mencapai objektif suatu organisasi.

Menurut Kamus Webster (2008), pengurusan merupakan tindakan dan tingkahlaku


dalam menangani, mengawal dan mengarah suatu kumpulan organisasi.

Pengurusan turut didefinisikan sebagai koordinasi aktiviti bagi suatu organisasi yang
berkaitan dengan polisi-polisi dan proses-proses kejayaan dalam mencapai suatu matlamat.
Selain itu, pengurusan sering dilibatkan dengan faktor penghasilan seiring dengan tenaga,
material dan sumber kewangan.

Sebagai suatu disiplin, pengurusan terdiri daripada fungsi inter-locking bagi formula
polisi korporat dan organisasi, perancangan dan pengawalan, dan pengarahan bahagian sumber
untuk mencapai objektif polisi yang disediakan. Saiz pengurusan boleh berlaku daripada satu
individu kepada banyak individu yang melibatkan pelbagai pihak pengurusan.

2.2.3 Konsep Pengurusan Kewangan

Menurut Oliobi Ogbonnaya (2000), pengurusan kewangan melibatkan sumber-sumber


kewangan, kecekapan dalam penggunaan dan memaksimumkan kos atau kerugian untuk profit
yang tinggi dalam perniagaan. Pandey (1995), menggambarkan pengurusan kewangan sebagai
aktiviti pengurusan yang mana berkaitan dengan perancangan dan pengawalan suatu sumber
kewangan organisasi. Ebinna (1995) melihat pengurusan kewangan sebagai dana pentadbiran
dibawah bimbibingan suatu badan pengetahuan dan satu disiplin cara untuk bergerak mencapai
matlamat.

Implikasi daripada semua definisi ini adalah pengurusan kewangan berkaitan dengan
proses membuat keputusan tentang cara terbaik penggunaan dana yang ada. Dalam sektor

12
pendidikan, pengetua mengambil peranan sebagai pengurus kewangan. Pengurusan kewangan
di sekolah adalah satu isu yang penting dalam menggerakan sistem di sekolah. Pengurus
sekolah hendaklah berpengetahuan dalam ekonomi, politik dan pengurusan bajet untuk
menguruskan segala sumber dengan efektif.

2.2.4 Konsep Pengetua

Peranan yang dimainkan pengetua adalah memerhati guru-guru di bawahnya untuk


memastikan perkara-perkara yang berlaku dalam sekolah berlaku dengan baik, disiplin pelajar,
menghantar laporan, melaksanakan segala tugas pengkeranian dan memastikan proses
pembelajaran pelajar berjalan dengan baik. Semua perkara ini perlu dijalankan seiring demi
mencapai matlamat yang sudah dirancang dan ditetapkan.

Pengetua memikul tanggungjawab untuk menjalankan tugas dan bersedia menerima


kritikan daripada ibu-bapa pelajar, pihak atasan dan masyarakat sekeliling. Pengetua harus
sedar setiap tindakan atau aktiviti yang berlaku di sekolah diperhatikan oleh masyarakat
sekeliling, oleh itu seorang pengetua harus bersedia dan mempunyai cara pengurusan yang
baik untuk menangani segala cabaran dan tanggungjawab yang diberikan oleh kementerian
pendidikan dalam mengurus sekolah, pelajar mahupun komuniti.

2.3 Teori dan Model

Teori merupakan perspektif di mana manusia membuat kesimpulan berdasarkan pengalaman


dan kajian yang dilakukan. Teori menghuraikan idea, konsep, prinsip dan kaedah dalam sesuatu
bidang pengetahuan. Amalan pengurusan yang diamalkan oleh pengurus pada masa ini adalah
hasil sumbangan daripada pemikir-pemikir pengurusan pada masa lalu. Terdapat beberapa teori
yang telah diperkenalkan dalam bidang pengurusan. Kebanyakan teori ini berasaskan ilmu
daripada bidang-bidang berkaitan psikologi, sosiologi, antrapologi, ekonomi, dan sains politik.
Teori-teori ini menerangkan struktur, tugas, prestasi atau perjalanan pengurusan dalam
organisasi, dan tingkah laku di kalangan anggota-anggota organisasi sama ada pekerja
mahupun sebagai pengurus.

13
Teori-teori pengurusan berkembang sesajar dengan peredaran zaman, persekitaran dan
keperluan organisasi pada masa kini. Tajuk in akan mengemukakan tiga teori iaitu teori
pengurusan saintifik, teori pengurusan klasikal dan teori pengurusan tingkah laku.

2.3.1 Teori Pengurusan Kewangan Gerald Miller

Teori yang yang seiring dengan pengurusan kewangan sekolah adalah teori pengurusan
kewangan kerajaan daripada Gerald Miller. Menurut teori ini, seorang pengurus kewangan
bekerja dengan memanipulasi simbol dan menghasilkan ritula yang berpusat pada unsur-unsur
kekangan sumber (Gianakis & McCue, 1999). Manipulasi simbol dan pengeluaran ritual ini
ditujukan untuk menghadapi ketidakpastian dan kekaburan yang dihasilkan oleh pembinaan
sosial pelbagai watak dalam organisasi pendidikan. Kepelbagaian pembinaan sosial ini wujud
kerana tidak ada satu pengeluaran sosial umum. Biasanya pengeluaran sosial umum ini adalah
untuk mendapatkan keuntungan, tetapi ini tidak berlaku pada organisasi kerajaan seperti
sekolah. Oleh itu, semakin kompleks sesuatu organisasi, maka semakin besar ketidakpastian
dan kekaburan yang terjadi kerana penglibatan watak yang ramai. Masing-masing watak
tersebut memilik perspektif dan tafsiran sendiri terhadap mekanisma dan peruntukan dana bagi
sesebuah sekolah. Oleh itu, bagi mengelakkan kekaburan dan ketidakpastian yang seterusnya
akan mewujudkan masalah, maka model kewangan yang disentralisasi diperlukan bagi
mendorong autonomi sekolah dalam mengelola kewangan. Teori ini boleh membuka fikiran
pentadbir sekolah atau pengetua dalam mentadbir kewangan sekolah dengan lebih baik iaitu
pengetua boleh melihat pelbagai sumber dan pengaruh yang ada dalam kewangan dan
menyelesaikannya dengan efektif.

2.3.2 Teori Pengurusan Saintifik

Teori pengurusan saintifik merupakan suatu pendekatan saintifik bagi meningkatkan kemahiran
dan kecekapan pekerja serta meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi. Frederick W.
Taylor (1856 – 1915) merupakan pelopor dalam bidang pengurusan saintifik. Beliau
memperkenalkan teori ini melalui sebuah buku yang bertajuk The Principle of Scientific
Management yang diterbitkan pada tahun 1911. Teori ini mengkaji hubungan di antara pekerja
dan tugas yang dibentuk untuk dilaksanakan oleh pekerja tersebut. Beliau menyatakan bahawa
jika masa dan usaha yang dilakukan oleh pekerja dalam pengeluaran seunit barangan dapat
dikurangkan dengan meningkatkan pengkhususan dan pembahagian kerja maka proses

14
pengeluaran akan menjadi bertambah cekap. Dengan adanya pekerja yang cekap maka
pengeluaran dan produktiviti juga akan meningkat. Untuk mengukuhkan teori ini, Taylor telah
mengenalpasti empat prinsip dalam pengurusan.

Prinsip pertama adalah untuk mengkaji dan memperkembangkan secara saintifik setiap
elemen dalam suatu pekerjaan. Dengan cara itu, pengurus dapat mencari cara yang terbaik
dalam masa yang paling singkat untuk melaksanakan pekerjaan itu. Prinsip kedua adalah
pengkhususan pekerjaan. Kerja-kerja akan dibahagikan, dan setiap pekerja akan melaksanakan
kerja yang lebih sedikit dan lebih rutin untuk mencapai hasil yang terbaik. Ketiga, pekerja akan
dipilih secara saintifik, kemudian dilatih dan diajar sehingga pekerja memahami tugas yang
perlu dilakukan serta mahir dan menjadi pekerja yang cekap. Pekerja-pekerja yang tidak
berkemampuan akan ditukarkan kepada kerja-kerja yang mampu dilaksanakan oleh mereka.
Prinsip yang keempat menekankan kepada sistem pekerjaan yang lebih adil dan hubungan yang
mesra antara pengurus dan pekerja. Gaji mestilah setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan
oleh pekerja. Untuk menggalakkan pekerja bekerja pada prestasi yang paling tinggi, Taylor
mencadangkan supaya pekerja diberi intensif yang lebih baik.

Secara ringkas, Taylor mengutarakan satu cara yang efisien untuk mengatur perjalanan
kerja sesebuah organisasi. Teori ini penting dalam pengurusan kewangan oleh seseorang
pengetua. Sebuah pentadbiran boleh diurus dengan baik melalui pengkhususan dan kajian
saintifik dalam setiap elemen pekerjaan. Dalam aspek kewangan, setiap pengkususan kerja
kewangan akan lebih teratur dan dapat membantu pengetua untuk menyelesaikan masalah
dalam menentukan koordinasi dan rancangan kewangan.

2.3.3 Teori Pengurusan Klasikal

Teori pengurusan oleh Henri Fayol (1841 – 1925) memfokuskan pengurusan sebagai satu
proses khusus yang perlu diikuti oleh setia pengurus. Fayol percaya bahawa pengurusan
mempunyai lima fungsi utama yakni perancangan, pengorganisasian, pengarahan,
penyelarasan dan pengawalan. Seiring dengan itu, Fayol turut memperkenalkan 14 prinsip
pengurusan umum untuk dijadikan panduan kepada pengurus dalam menguruskan organisasi.
14 prinsip tersebut ialah: pembahagian kerja, autoriti serta tanggungjawab, disiplin, kesatuan
dalam perintah, kesatuan dalam tujuan, mementingkan kepentingan organisasi, imbuhan
kepada staff, pemusatan, rantaian skala, arahan, ekuiti, kestabilan staff, inisiatif dan ‘espirit de

15
corps’. Fayol menyatakan usaha personel dan dinamik kumpulan merupakan sebahagian
daripada organisasi yang ideal.

Pengurusan kewangan oleh pengetua sekolah akan lebih terancang dan teratur jika
mengaplikasikan teori ini. Perancangan yang teratur akan menghasilkan produktiviti yang baik
dalam organisasi sekolah.

2.3.4 Teori Pengurusan Tingkah Laku

Hubungan manusia merupakan aspek penting dalam pendekatan tingkah laku. Elton Mayo
(1880 – 1949), mengemukakan teori ini berdasarkan satu kajian ini telah membuktikan bahawa
kepuasan kerja dan prestasi bergantung kepada persekitaran pekerjaan dan sikap pekerja
dalam komunikasi, pengurusan yang positif dan juga galakan dikalangan pekerja. Selain itu,
teori ini menyatakan perubahan dan peningkatan dalam produktiviti tidak begitu dipengaruhi
oleh perubahan yang diwujudkan dalam persekitaran kerja tetapi dipengaruhi oleh hubungan
dan sikap individu dalam kumpulan tersebut. Keakraban dan persahabatan di kalangan ahli
kumpulan merupakan faktor yang signifikan terhadap peningkatan dalam produktiviti.
Semangat bekerja, perasaan kepunyaan, gaya pengurusan pengurus dan saling berhubung
antara anggota kumpulan kerja melalui pengurusan berkesan adalah faktor-faktor yang
meningkatkan daya pengeluaran dan produktiviti sesebuah organisasi. Sebagai kesimpulan,
teori ini menekankan bahawa pekerja lebih dimotivasikan oleh hubungan antara individu
berbanding dengan faktor ekonomi.

Mary Paker Follet (1868 – 1933) juga menjelaskan teori pengurusan tingkah laku
dengan membincangan bagaimana pengurus seharusnya melayan pekerja. Mary menyatakan
jika pekerja mempunyai pengetahuan yang lengkap mengenai apa yang perlu dilakukan maka,
pekerja boleh mengawal kerja-kerja tersebut tanpa bantuan daripada pengurus. Dalam
menyeleras suatu pekerjaan, pengurus hendaklah berhubungan secara langsunga dengan
semua pekerja yang bertanggungjawab dalam organisasi. Penyelarasan hendaklah dilakukan
daripada peringkat awal pentadbiran dan dilakukan secara berterusan.

Secara keseluruhan, signifikan teori pengurusan tingkah laku kepada pengurusan


pengetua dalam kewangan sekolah adalah, pengetua harus menjalinkan hubungan baik dengan
setiap staf dan organisasi sekolah agar wujud jalinan kerja yang baik dan sihat. Dengan
wujudnya perhubungan yang erat dan profesional, sudah tentu pengurusan kewangan yang

16
dipikul pengetua berjalan baik selaras dengan perbendaharaan dan pekeliling-pekeliling yang
dikeluarkan oleh kementerian pendidikan.

2.3.5 Teori Sistem

Pendekatan sistem membuat analisis berasaskan interaksi keseluruhan dan bukan terhadap
setiap bahagian yang terdapat sesuat organisasi. Penekannya ialah terhadap keseluruhan,
gabungan, pertalian antara satu sama lain yang dapat memberikan gambaran-gambaran yang
paling jelas tenatang sesuatu matlamat,dan objektif. Pendekatan sistem merupakan satu
langkah dalam usaha untuk meluaskan kajian pentadbiran sebagai satu bidang luas.
Pendekatan ini melihat sistem pendidikan dan fungsi-fungsi pentadbiran sebagai rangka konsep
yang kompleks dan menganalisis secara saintifik. Dengan menggunakan pendekatan sistem,
model-model dibentuk dan digunakan untuk menganalisis masalah-masalah pentadbiran yang
dihadapi dalam situasi yang sebenarnya

Pendekatan sistem melihat suatu organisasi kewangan sekolah sebagai satu sistem yang
mengandungi beberapa sistem kecil yang berkaitan. Sistem boleh didefinisikan sebagai satu
keseluruhan yang kompleks yang dibentuk dari pelbagai bahagian yang kadang kala berbeza-
beza, tetapi tertakluk kepada keperluan yang lebih besar dan sama. Sistem-sistem kewangan
yang kecil di sekolah mempunyai tujuan-tujuan tertentu untuk menghasilkan produk atau hasil
tertentu terutamanya dalam meningkatkan sumber demi kebaikan pelajar sekolah.

Pendekatan analisis sistem digunakan untuk memahami dengan lebih berkesan lagi
tingkah laku bagi keseluruhan dalam proses pentadbiran kewangan sekolah. Melalui pendekatan
ini, analisis pertalian antara komponen-komponen dan mengeluarkan data yang relevan untuk
membantu pentadbir membuat keputusan. Masalah yang dihadapi adalah berkaitan dengan
persoalan-persoalan yang ditimbulkan dan menentukan pertalian-pertalian di antara bahagian.
Terdapat lima komponen yang penting dalam analisis sistem iaitu; objektif sistem secara
menyeluruh dan alat-alat pengukuran prestasi sistem, iklim sistem, sumber-sumber sistem,
komponen-komponen sistem seperti aktiviti, matlamat, alat-alat pengukuran, dan penilaian,
serta pengurusan sistem dijalankan.

Pentadbiran pengurusan kewangan adalah satu proses yang wujud dalam sistem sosial
sekolah. Pencapaian matlamat ialah melalui hubungan unit-unti berhierarki di dalam sesuatu

17
institusi pendidikan. Model sistem pengurusan Knight berikut menggambarkan sistem yang
dijalankan disekolah dalam proses pengurusan kewangan.

Dana Sekolah Pelajar


 Kerajaan  Bilangan
 Derma  Umur
 Yuran  Kebolehan
 Sumber  Akademik
lain  Motivasi

Proses
Keluaran
Pendidikan
 Kurikulum  Pengetahuan
 Kaedah  Kemahiran
Sumber Manusia
dan Aset Fizikal
Penggunaan Masa  Teknologi  Sikap
Sumber  Latihan
 Kalander
Kewangan  Guru
persekolahan
 c
Modal  Kakitangan
 Jadual Kelas Pengalaman
 Pendapatan am pembelajaran
 Hari dan
 Belanjawan  Peralatan pelajar
waktu bekerja
 Bangunan
Perkhidmatan
Manfaat
sokongan
 Tenaga kerja
 Warganegara
baik
 Individu
seimbang

Dasar pendidikan,
Sumbangan Masa
Sumbangan dana Polisi dan
 Staff
Peraturan
 Yuran Sumbangan Sumber  Pelajar
 Kerajaan
 Fund raising  Ibubapa
 PIBG
 Komuniti
 Politik

Petunjuk
Sumber yang masuk
Maklumbalas dalaman
Maklumbalas luaran

Rajah 2.1: Model Sistem Pengurusan Kewangan Knight

18
2.4 Kajian Lepas

Kewangan adalah faktor penting dalam pengurusan sekolah. Pengurusan kewangan


mempengaruhi pengurusan sekolah keseluruhan. Pengurusan kewangan sekolah merialisasikan
keberkesanan pendidikan di kalangan murid. Pencapaian pelajar bergantung kepada
peruntukan dan pendidikan di seluruh negara. Oleh itu, sumber kewangan menentukan
kejayaan dan pencapaian murid (Heilig & Williams, 2010).

Pengurusan kewangan adalah proses bagaimana sumber kewangan awam diuruskan


oleh jentera kerajaan menerusi kaedah-kaedah tertentu dimana dana untuk membiayai
perkhidmatan awam diperolehi, dibelanja dan diakaunkan. Kerajaan berperanan mengurus
peruntukan kewangan pendidikan menerusi Kementrian Pelajaran Malaysia (KPM). Manakala
Muhammad Faizal A. Ghani, Norfariza Mohd Radzi & Saedah Siraj (2013) menyatakan bagi
mengekalkan kualiti pendidikan, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah wang yang
tinggi untuk sektor pendidikan. Walaubagaimanapun, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan
tidak memainkan sebarang peranan dalam pembiayaan pendidikan.

Kerajaan persekutuan Malaysia memastikan setiap tahun semua sekolah mendapat


bantuan persekolahan. Menurut Husainan Banu Kenayathulla (2014), sejak kemerdekaan,
kerajaan Malaysia telah mengekalkan tahap pelaburan yang tinggi dalam pendidikan. Secara
umumnya, sekolah merupakan input kepada pembanguan Negara Malaysia. Pembiayaan dalam
pendidikan semakin ditekankan kerana ia dapat meningkatkan pencapaian prestasi pelajar dan
pertumbuhan ekonomi (saedah Siraj, Muhammad Faizal A. Ghani, Norfariza Mohd. Radzi, 2008).
Oleh itu, kerajaan persekutuan memperuntukkan pembiayaan yang tinggi dalam bidang
pendidikan. Di Malaysia, kerajaan memberi peruntukan persekolahan berdasarkan bilangan
murid. Menurut Shahril @ Charil Marzuki (2005), peruntukan wang kerajaan adalah
berdasarkan bilangan pelajar sesebuah sekolah dan tidak menurut keperluan sekolah.

Suatu kajian untuk mengenalpasti tahap amalan pengurusan kewangan pengetua-


pengetua sekolah menengah dalam Kumpulan Wang Bantuan Kerajaan (KWBK) negeri Melaka
telah dilaksanakan oleh Foo, Zakaria Kasa, Rosnani Jusoh dan Noridah Rahim (2004). Kajian
yang melibatkan 56 orang pengetua ini menunjukkan bahawa pengetua-pengetua di sekolah
kajian mempersepsikan amalan pengurusan kewangan di sekolah mereka berada pada tahap
yang baik. Kajian juga mendapati bahawa terdapat perbezaan yang signifikan pada tahap

19
amalan merancang pengurusan KWBK berdasarkan jantina pengetua. Ketidakpatuhan paling
ketara adalah dari segi membuat pembelian tanpa penelitian.

Kajian mengenai disentralisasi kewangan di sekolah-sekolah Malaysia yang menjurus


kepada strategi pelaksanaan berkesan telah dilakukan oleh Nor Fariza Mohd Radzi, Muhammad
Faizal A. Ghani, Saedah Siraj dan Mojgan Afshari (2012). Kajian mereka membentangkan
dapatan tentang strategi penting yang diperlukan di lapangan sekolah dan orang-orang yang
bertanggungjawab untuk pelaksanaan pengurusan kewangan berasaskan sekolah di Malaysia.
Pendekatan kualitatif secara kaedah temu bual dengan sepuluh orang pengetua terpilih
menunjukkan terdapat beberapa strategi pentung yang perlu difokuskan oleh sekolah-sekolah
di kedua-dua peringkat individu dan sekolah agar berjaya menguruskan kewangan sekolah.
Kerjasama dan usaha bersama daripada semua pihak yang berkepentingan dijangka membawa
transformasi terhadap sekolah berkesan berasaskan pengurusan kewangan di Malaysia.

Kajian bagi melihat perbezaan dari segi sumber-sumber kewangan bagi sekolah SRJK(T)
dan SRJK(C) serta masalah yang dihadapi telah dilakukan oleh Shahril @ Charil Marzuki (2005)
di Rawang, Selangor. Kajian kes di sebuah sekolah rendah (Tamil) menemui bahawa sumber
kewangannya diperolehi daripada sumber kerajaan dan daripada pungutan yang dibuat oleh
guru besar dengan bantuan kerani kewangan. Antara masalah yang dihadapi oleh sekolah ini
ialah peruntukan pendapatan per kapita yang tidak mencukupi, kegagalan ramai pelajarnya
menjelaskan yuran persekolahan dan kursus pengurusan kewangan bagi kerani kewangan.
Kajian kes di sebuah sekolah rendah (Cina) turut mendapati bahawa sekolah tersebut mendapat
peruntukan per kapita daripada kerajaan. Kutipan wang yuran daripada pelajar turut dibuat
selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri. Sumber kewangan sekolah
ini turut diperolehi daripada sewa kantin sekolah, hasil jualan kedai buku sekolah dan
sumbangan derma. Sekolah ini mempunyai dua buku akaun bagi merekodkan urusan kewangan
yang dilaksanakan iaitu Buku Wang Tunai Kerajaan dan Buku Wang SUWA. Guru besar SRJK(C)
ini menyatakan beliau tidak mengalami sebarang masalah ketara dari segi pengurusan
kewangannya. Namun beliua berpendapat bahawa peruntukan Geran Per Kapita perlu
ditambah. Secara umumnuya, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti amalan dalam
pelaksanaan pengurusan kewangan di SRJK(T) dan SRJK(C). Ianya menyiasat kepatuhan
kedua-dua jenis sekolah terhadap pekeliling kewangan yang berkuatkuasa dan masalah yang
dihadapi oleh kedua-duanya yang merupakan sekolah bukan pusat tanggungjawab.

20
2.5 Kesimpulan

Bagi memenuhi keperluan asas pedagogi dalam pendidikan, bab ini menghuraikan konsep-
konsep kajian. Teori dan model yang terlibat turut diterangkan untuk mengukuhkan konsep-
konsep kajian. Kajian-kajian lepas dirujuk untuk dijadikan garis panduan bagi menentukan
halatuju kajian.

21
BAB 3

METODOLOGI KAJIAN

3.1 Pendahuluan

Bab 2 telah memfokuskan pada kajian literatur mengenai pengurusan kewangan di sekolah,
menjurus kepada peranan pengetua di sekolah dalam merancang, mengawal, mengorganisasi
dan membuat keputusan berkaitan dengan kewangan sekolah. Untuk mengkaji intipati dan
memperkembangkan kajian literartur, suatu pendekatan kualitatif dalam pengumpulan data,
analisis dan intepretasi data telah dipilih.

Teknik pengumpulan data adalah berdasarkan temubual bersama pengetua-pengetua


sekolah, guru, pegawai di Pejabat Pendidikan Daeah, dan ibu-bapa. Satu dokumen kebeneran
bercetak telah diminta daripada pihak UMS untuk melaksanakan temubual ini. Borang
kebenaran tersebut mempunyai beberapa syarat iaitu;

i. Tiada sekolah atau individu yang dipaksa untuk bekerjasama dalam kajian
ii. Akses terhadap sekolah perlu dibincangkan dengan pentadbir sekolah
iii. Sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah hendaklah tidak diganggu
iv. Data individu hendaklah dirahsiakan dan dihormati.

22
3.2 Reka Bentuk Kajian

Reka bentuk dan metodologi kajian ditentukan oleh objektif kajian yang telah dinyatakan pada
Bab 1. Denzin dan Lincoln (2008) menyatakan bahawa tiga aktiviti generik mendefinisikan
proses kajian kualitatif iaitu, penyelidik mendekati dan memerhati suatu tempat dengan
pelbagai idea, penyelidik melihat teori dan ontologi berkaitan, dan penyelidik membuat
persoalan dan epistemologi yang boleh dinilai dalam kaedah yang spesifik.

Bagi menentukan amalan pengurusan kewangan pengetua sekolah, satu kajian kualitatif
telah digunakan. Patton (1989) menyatakan bahawa data kualitatif boleh menghasilkan banyak
maklumat dan pengetahuan daripada beberapa orang individu. Pengalaman, pendapat,
perasaan dan pengetahuan responden boleh dikenalpasti berdasarkan soalan lisan yang
diajukan semasa proses temubual. Semasa proses temubual, penyelidik dibenarkan untuk
menyoal soalan lanjutan untuk mengkaji lagi persoalan-persoalan yang diajukan. Menurut
McMillan dan Schumacher (2001), kajian kualitatif ada satu inkuiri di mana penyelidik
memungut data berdasarkan situatasi muka-dengan-muka iaitu interaksi antara individu di
lokasi kajian. Kajian kualitatif juga membenarkan penyelidik untuk memahami maksud
responden dengan masuk ke dalam lokasi kajian yang dilakukan. Kajian kualitatif menerangkan
dan menganalisis tindakan sosial, kepercayaan, buah fikiran dan perspektif individu. Penyelidik
akan menerangkan fenomena dalam terma bagi maksud-masud individu yang akan terlibat
dalam kajian ini.

Dalam kajian kualititaif, penyelidik dibenarkan untuk menyelidik satu kumpulan individu
melalui pemerhatian dan temubual yang mempunyai pengalaman yang sama walaupun tidak
berinteraksi antara satu sama lain. Oleh itu, amat sesuai pada kajian ini, iaitu pengetua dari
pelbagai sekolah mempunyai pengalaman dalam pengurusan kewangan untuk tujuan yg sama
walaupun tidak berinteraksi antara satu dengan yang lain.

3.3 Lokasi dan Sampel Kajian

Menurut Cohen, Manion dan Morrison (2007), kualiti suatu kajian bukan sahaja bergantung
kepada kaedah dan instrumen yang digunakan tetapi juga oleh sampel kajian yang ditentukan.
Limititasi kajian seperti kos dan masa menyebabkan agak mustahil bagi penyelidik untuk

23
mendapatkan maklumat daripada seluruh populasi. Oleh itu, data hanya diambil daripada
kumpulan kecil sebagai sampel daripada populasi kajian.

Daerah Pitas dan Daerah Kota Marudu dipilih untuk kajian ini kerana ianya adalah dua
daerah yang berdekatan dan mempunyai kawasan bandar dan luar bandar. Terdapat 12
sekolah menengah di kedua daerah ini.

Pengetua merupakan individu yang dijadikan sebagai peserta atau responden dalam
kajian ini. Penyelidik menggunakan kajian kes, dan memilih responden daripada gender, latar
belakang individu dan sekolah yang berbeza. Tujuh orang pengetua daripada daerah-daerah ini
akan dipilih berdasarkan kriteria-kriteria yang diperhatikan iaitu pencapaian sekolah, jarak
sekolah, kemudahan sekolah dan pengalaman pengetua.

3.4 Pengumpulan Data

Kajian ini dilaksanakan di daerah Kota Marudu dan Pitas, Sabah bersama pengetua-pengetua
sekolah. Kajian ini dijalankan dalam bentuk temu bual dalam Bahasa Melayu. Temu bual akan
dijalankan dalam tempo lebih kurang 30 minit. Setiap proses temu bual akan di rakam
menggunakan perakam video. Selain rakaman temu bual, penyelidik turut membuat rakaman
tempat lokasi kajian untuk memerihalkan kawasan dan juga merakam komunikasi bukan verbal.
Analisis dokumen turut dilaksanakan untuk menyokong maklumat yang diberikan oleh
responden. Penyelidik akan mengumpul dan menganalisis data.

3.5 Analisis Data

Menurut Malan (2001), kajian kualitatif menerima kewujudan pelbagai realiti. Melalui implikasi
data yang dikumpul mewakili realiti subjektif kawasan dan subjek yang diselidiki. Data yang
dikumpul adalah bukan dalam bentuk statistik seperti dalam kajian kuantitatif, tetapi dalam
bentuk perkataan, gambar rajah, jadual dan simbol. Malan juga menyatakan, laporan kajian
kualitiatif akan menggambarkan keadaan dan situasi dengan menyediakan deskripsi yang
lengkap untuk membawa pembaca kepada konteks di mana kajian telah dilaksanakan. Melalui

24
itu, laporan kajian kualititatif membenarkan pelbagai interpretasi dan menyediakan peluang
kepada pembaca untuk membuat pemahaman sendiri mengenai teks yang ada.

Proses data analsis disusun dan di urus secara manual dan tematikal oleh penyelidik.
Data akan dikategorikan merujuk kepada persolan kajian yang sudah dinyatakan. Bimbingan
temu bual digunakan untuk membentuk pokok tema. Dapatan kajian akan dibentangkan dalam
bentuk perbincangan naratif mengikut tema-tema berdasarkan soalan kajian.

3.6 Prosedur Kajian

Kajian ini dilakukan dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Penyelidik akan membuat
surat permohonan kebenaran membuat temubual, pemerhatian dan merujuk dokumen bagi
menjalan kajian melalui Pusat Luar Pengajian Siswazah Universiti, Kementrian Pelajaran
Malaysia (KPM), dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah kemudian diserahkan kepada pengetua
sekolah yang akan dikaji. Setelah mendapat kebenaran, penyelidik akan berhubung dengan
pengetua dengan cara menelefon dan membuat temujanji dengan pegawai yang
bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan bagi sesi temubual, pemerhatian dan
merujuk dokumen berkaitan.

Sebelum proses temubual, penyelidik akan menyediakan beberapa set soalan untuk
mendalami kajian ini. Persediaan temubual ini dikembangkan dan dikumpul melalui kajian
literatur. Untuk mendapatkan soalan-soalan temubual, penyelidik juga telah melakukan
penyiasatan terhadap responden, agar soalan-soalan bersesuaian dengan situasi dan keadaan
persekitaran kajian. Menurut Patton (2001), temubual kualitatif adalah sumber penting bagi
data kualitatif dalam kajian lanjutan. Temubual kualitatif boleh digunakan untuk meneroka
persepsi semasa, tanggapan atau pengalaman peserta berkaitan fenomena yang sedang dikaji.

Semasa proses temubual, penyelidik akan menjelaskan secara ringkas rasional terhadap
soalan-soalan yang bakal diajukan kepada responden. Ini membolehkan responden jelas akan
kehendak kajian dan kepentingan kajian ini. Selain itu, penyelidik akan cuba mendalami setiap
jawapan responden agar data dan intipati utama dapat ditemui dalam kajian ini. Penyelidik juga
akan melihat persekitaran responden dan fail-fail berkaitan yang dibenarkan sebagai justifikasi
terhadap data yang sudah diberikan oleh responden.

25
Selepas proses temubual dan pemerhatian, penyelidik akan mengumpulkan dan
mengkelaskan semua maklumat yang ada melalui pembacaan dan pengekodan. Data ini akan
dianalisis, dan rumusan dan laporan terhadap kajian ini akan dibincangkan.

Jadual dibawah akan menunjukkan perkembangan temubual dan penulisan laporan.

Jadual 3.1: Perkembangan temubual dan penulisan laporan kajian

Tahap Perkembangan Temubual


(a) Temubual responden kajian
(b) Pengesahan peserta kajian
1 (c) Rakaman temubual
- Pita Rakaman
- Catatan Temubual
(d) Menulis transkripsi
- Mendengar rakaman
2 - Menyalin dari rakaman
- Menyemak Catatan
- Menaip transkripsi
(e) Membaca dan mengekod
- Membaca dan menggariskan ayat/ unit
3 - Menandakan ayat dan istilah
- Memberikan kod bersebelahan ayat
- Penilaian pakar: Dua orang pakar
(f) Analisis data
4
- Bentuk rajah mengikut tema dan subtema
5 (g) Membuat rumusan dan laporan

26
3.7 Etika Penyelidikan

Kebenaran untuk menjalankan kajian dan temubual bersama pengetua didapatkan daripada
pihak pengajian dan Jabatan Pendidikan sebelum proses kajian ini.

Hasil temubual bersama pengetua tidak akan didedahkan kepada bahagian pendidikan
atau mana-mana bahagian lain. Perkara ini diterangkan kepada setiap peserta dan responden
kajian, untuk menjamin kerahsiaan mereka. Sejajar dengan itu, perkara ini ditekankan dalam
surat kebenaran yang diberikan kepada responden sebelum proses temubual. Selain itu,
kebenaran untuk merakam audio dan video semasa proses temubual akan didapatkan terlebih
dahulu daripada responden. Penyelidik akan menyalin atau mentraskripsikan rakaman tersebut.
Perkara kerahsiaan profil individu dan tempat turut dilindungi dalam setiap tahap penyelidikan
ini. Semasa analisis dan dapatan, tidak akan ada rujukan terhadap nama sekolah pengetua
yang diselidiki akan dinyatakan. Setiap peserta akan dilabel menggunakan pemboleh ubah atau
nama samaran seperti, a, b, c dan sebaginya.

3.8 Triangulasi

Secara general, penyelidik mensahkan data melalui triangulasi. Triangulasi bermaksud integrasi
kaedah yang berbeza bagi mendapatkan lebih dari satu bentuk data supaya dapatan kajian
kualitatif yang bersifat subjektif akan lebih meyakinkan dan dapat meningkatkan kesahan data
yang dikumpul. Triangulasi dapat dilakukan dengan menggunakan teknik yang berbeza
(Nasution, 2003) iaitu temubual, pemerhatian dan kajian dokumen. Terdapat empat bentuk
triangulasi (Denzin, 1978);

i) Triangulasi data, iaitu penggunaan pelbagai sumber data dalam suatu kajian
ii) Triangulasi penyelidik, iaitu penggunaan beberapa penyelidik yang berbeza
disiplin ilmunya dalam suatu kajian.
iii) Triangulasi teori, iaitu penggunan sejumlah perspektif dalam mentafsir satu set
data.
iv) Triangulasi teknik metodologi, iaitu penggunaan sejumlah teknik dalam suatu
kajian.

27
Dalam kajian ini, penyelidik lebih menggunakan triangulasi data untuk membandingkan
dan menyemak balik darjah kepercayaan suatu informasi yang diperoleh melalui proses
pemerhatian, temubual bersama pengetua dan semakan dokumen. Penyelidik akan membuat
perbandingan beberapa kriteria melalui tindakan kajian yang telah dilaksanakan iaitu;

i) Membandingkan data hasil pemerhatian dengan data hasil temubual.


ii) Membandingkan apa yang dikatakan secara umum dengan apa yang dikatakan
secara peribadi.a
iii) Membandingkan keadaan dan perspektif seseorang dengan berbagai pendapat
dan pandangan masyarakat.
iv) Membandingkan hasil temubual dengan isi suatu dokumen yang berkaitan.

Dalam sesebuah kajian kualitatif, lagi banyak data ditriangulasikan maka lagi tinggi
ketepatan fakta dan lagi kuat kesahannya. Penyampaian data dalam kualitatif sekarang ini juga
dapat dilakukan dalam pelbagai jenis matriks, grafik, dan jaringan. Semuanya direka untuk
menggabungkan informasi yang tersusun dalam suatu bentuk yang padu padan dan mudah
difahami. Justeru, triangulasi data amat diberi perhatian dalam meningkatkan mutu data.

3.9 Kesimpulan

Dalam bab ini, segal aspek yang berkaitan dengan kaedah, pendekatan dan cara pelaksanaan
kajian telah dibincangkan sebagai panduan dan petunjuk arah kepada penyelidik dalam
melaksanakan kajian yang sebenar. Bab ini juga membincangkan populasi, sampel dan lokasi
kajian. Selain itu, teknik penganalisisan kajian diterangkan bagi membolehkan data yang
diambil akan dapat dibincangkan.

28

You might also like