You are on page 1of 33

Topik X Pemerkasaan

Pendidikan ke
9 Arah
Kesepaduan
Sosial
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menerangkan sistem pendidikan vernakular di Malaysia;
2. Menganalisis peranan pendidikan sebagai alat kepada pembinaan
negara bangsa; dan
3. Menilai cabaran memperkasakan pendidikan ke arah kesepaduan
sosial.

X PENGENALAN
Sistem pendidikan merupakan mekanisma terpenting dan berkesan bagi
membina kesedaran etnik. Pepatah mengatakan „melentur buluh, biarlah dari
rebungnya‰. Ini menggambarkan, jika kita menginginkan hasil yang terbaik, kita
perlu bermula pada peringkat awal lagi dan dalam konteks kita ialah peringkat
sekolah. Maka, peranan pendidikan adalah penting dalam perkara ini dan tidak
boleh dipandang rendah oleh pihak pemerintah. Peranan pendidikan di sini
bukan sahaja pada peringkat sekolah, tetapi merentas hingga peringkat
pengajian tinggi. Usaha kerajaan dalam dasar pendidikan sekolah rendah,
menengah dan universiti tidak pernah meminggirkan pendidikan sebagai
mekanisme penting ke arah mewujudkan hubungan etnik yang harmonis.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 229

Dalam konteks ini, walaupun sistem pendidikan kita berada dalam satu sistem
sekarang ini, tetapi sistem ini mengalami proses pembinaan sistem dan kurikulum
yang rumit disebabkan kewujudan masyarakat yang bersifat heterogen. Dalam
keadaan ini, kewujudan masyarakat Malaysia yang majmuk sifatnya telah
membentuk kurikulum dan sistem pendidikan yang berasaskan etnik dan
bukannya etnik disesuaikan dengan pendidikan. Tidakkah ini agak unik sifatnya?
Pelaksanaan sistem sekolah vernakular ialah sistem yang menggambarkan
keunikan ini. Adakah negara lain di dunia yang mempunyai sistem pendidikan
seperti kita? Sudah pasti jawapannya anda sudah tahu. Oleh yang demikian,
kewujudan sistem pendidikan di Malaysia ini menarik untuk dikaji. Ini kerana
sistem pendidikan kita ini terus menyumbang kepada pembinaan negara,
walaupun meliputi sistem pelbagai aliran. Topik ini akan cuba membincangkan
perkara berkaitan dengan perkembangan sistem pendidikan kita dan peranannya
dalam menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik.

9.1 SEJARAH PERKEMBANGAN SISTEM


PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Tahukah anda asas pendidikan yang diberikan kepada kaum Melayu tradisi
suatu masa dahulu? Mungkin terdapat pelbagai andaian yang dapat diberikan.
Walau bagaimanapun, asas pendidikan masyarakat tradisional Melayu ialah
pendidikan tidak formal yang berasaskan survival masyarakat mereka. Dalam
usaha untuk hidup, mereka akan melakukan pelbagai kerja yang berasaskan
aktiviti pertanian dan perikanan. Justeru, inilah asas pekerjaan orang Melayu
dan mereka menerima pendidikan bersesuaian dengan tahap pekerjaan mereka
dan tiada pendedahan dalam sistem pendidikan yang memerlukan pemikiran
aras tinggi. Jika ada pun pekerjaan yang menggunakan otak ialah ustaz atau
ustazah dan menyumbang dalam aspek agama kepada masyarakat. Kewujudan
kurikulum mereka yang mendalami agama adalah berasaskan kurikulum dari
Timur Tengah. Maka, wujud banyak sekolah pondok di pantai timur dan utara
Semenanjung Malaysia dalam merealisasikan perkara ini.

Kehadiran British di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 sedikit sebanyak
mengubah sistem pendidikan kita yang berasaskan survival menjadi sistem
pendidikan yang lebih sistematik dan mempunyai sijil yang diiktiraf. Ini
merupakan modenisasi dalam sistem pendidikan kita yang tidak berlaku
sebelum ini. Namun, masyarakat Melayu kurang berminat dengan sistem
pendidikan yang diperkenalkan oleh British pada awalnya. Ini kerana ia dilihat
sebagai satu proses Kristianisasi.

Sementara itu, dengan perkembangan ekonomi yang berlaku, Tanah Melayu


telah menarik kaum lain untuk datang ke Tanah Melayu pada waktu itu yang
merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber bahan mentah. British
230 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

mengamalkan satu dasar iaitu menggunakan pengetahuan mereka tentang ilmu


kolonial masyarakat asal negara dijajah supaya ia tidak menggangu sistem
sosiobudaya masyarakat tempatan. Tujuannya adalah supaya mereka dapat
menguasai sesebuah masyarakat berkenaan dalam jangka masa yang lama. Oleh
itu, orang Melayu lambat menerima sistem pendidikan yang terbaik. Sementara
itu, masyarakat Cina dari China dan India dibawa masuk ke Tanah Melayu
secara besar-besaran dengan tujuan untuk bekerja di lombong dan estet yang
dibuka oleh British di Tanah Melayu. Kesan kedatangan kaum Cina dan India
menyebabkan kemunculan aliran pendidikan vernakular. Sekolah vernakular
merujuk pada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam
pengajaran mereka di sekolah. Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) ialah
manifestasi sistem pendidikan vernakular. Terdapat dua bentuk sekolah
vernakular iaitu sekolah aliran Cina dan Tamil. Sistem pendidikan vernakular
menjadi pola penting dalam mencorakkan sistem pendidikan di Malaysia hingga
kini.

Dalam konteks Malaysia, penjajahan telah mengubah dan menentukan hala tuju
sistem pendidikan seperti yang wujud sehingga kini. Dalam tempoh penjajahan,
pihak British melaksanakan Dasar Pecah dan Perintah dengan mengasingkan
etnik mengikut komuniti masing-masing. Dasar ini mengukuhkan lagi sistem
pendidikan vernakular yang berteraskan kepada bahasa ibunda masing-masing.

Sistem pendidikan di negara ini berorientasikan komuniti etnik tertentu


yang berkongsi kurikulum yang sama. Pengekalan sistem sedemikian akan
menggalakkan pemisahan kanak-kanak daripada komuniti etnik yang berbeza.
Sekiranya langkah-langkah tidak diambil untuk memupuk kesepaduan sosial
antara anggota masyarakat, tidak mustahil matlamat kerajaan untuk memupuk
kesepaduan sosial menerusi sistem pendidikan tidak akan dicapai.

Namun begitu, matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan


Kebangsaan terus menjadi teras dalam apa jua perubahan dalam sistem
pendidikan, khususnya perubahan dalam kurikulum. Matlamat akhir yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan cukup jelas bertujuan untuk
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri, serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru, perbincangan dalam topik ini akan mengupas tentang kepelbagaian


bentuk aliran pendidikan, perubahan dasar yang mempengaruhi hala tuju dalam
sistem pendidikan dan akhir sekali cabaran untuk memperkasakan sistem
pendidikan ke arah kesepaduan sosial akibat daripada pelbagai aliran sistem
persekolahan yang wujud di negara kita.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 231

SEMAK KENDIRI 9.1

1. Apakah yang anda faham tentang sistem pendidikan vernakular?

2. Pada pendapat anda, mengapakah sistem ini sukar membentuk


kesepaduan sosial?

9.2 PENDIDIKAN DALAM PELBAGAI BENTUK


ALIRAN
Sistem pendidikan di Tanah Melayu sebelum kedatangan British lebih ke arah
pendidikan agama dengan kanak-kanak Melayu belajar di surau, pondok dan
masjid. Bagi sekolah vernakular Cina dan Tamil, kerajaan British mengamalkan
dasar tidak campur tangan. Kerajaan British berpendapat bahawa bukan
tanggungjawabnya menyediakan pendidikan untuk kaum pendatang. Walau
bagaimanapun, pada tahun 1902, kerajaan British mula memberi bantuan
kewangan untuk mendirikan sekolah vernakular Tamil. Perbincangan seterusnya
lebih melihat pada pelbagai bentuk aliran sistem persekolahan yang menjadi
cabaran ke arah kesepaduan sosial. Rajah 9.1 menunjukkan sistem pendidikan
dalam pelbagai bentuk aliran di Tanah Melayu.

Rajah 9.1: Sistem pendidikan dalam pelbagai bentuk aliran di Tanah Melayu
232 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

9.2.1 Sekolah Aliran Agama


Sebelum kehadiran British, sistem pendidikan yang berasaskan agama
memainkan peranan yang penting sebelum digantikan dengan sistem
pendidikan moden atau sekular. Tahukah anda bahawa pada masa dahulu
kriteria pemilihan calon suami atau isteri mestilah khatam al-Quran?
Bagaimanakah dengan keadaan sekarang? Masa berubah maka penilaian juga
berubah. Keadaan masyarakat Melayu pada ketika itu dibentuk dengan sistem
nilai dan adat Melayu serta disulami dengan agama Islam. Persekolahan
secara tidak formal diadakan di surau, rumah guru, pondok dan sebagainya.
Kebanyakan persekolahan ini terdapat di Pantai Timur seperti Kelantan dan
Terengganu dan di bahagian utara semenanjung iaitu di Kedah dan Perlis, iaitu
tempat yang ramai didiami oleh orang Melayu. Dari segi kurikulum, mereka
menekankan perkara asas dalam agama Islam seperti membaca dan memahami
al-Quran, belajar bahasa Arab dan kemahiran asas dalam membaca, menulis dan
mengira. Mereka yang ingin melanjutkan pelajaran pada waktu ini akan dihantar
belajar ke Timur Tengah seperti Mesir. Justeru, orang Melayu yang berlatar
belakangkan pendidikan agama yang kuat menyebabkan mereka menolak sistem
pendidikan aliran Inggeris yang diperkenalkan oleh British.

Kesedaran orang Melayu mula terbina apabila kedatangan British bersama-sama


gerakan mubaligh mengancam kedudukan agama Islam. Madrasah yang
menggunakan kurikulum yang lebih tersusun dan lebih bersistematik
ditubuhkan bagi menggantikan sekolah pondok. Antara madrasah yang terawal
ditubuhkan adalah Madrasah Al-Iqbal di Singapura pada tahun 1907. Pada
tahun 1917, ditubuhkan pula Sekolah Al-Hadi di Melaka dan diikuti dengan
Madrasah Muhammadiyah di Kelantan pada tahun yang sama. Selain itu, di
Pulau Pinang ditubuhkan Madrasah Al-Mashyur Al-Islamiyyah dua tahun
kemudian. Selain itu, terdapatnya madrasah di beberapa tempat lain seperti di
Johor (1920), Kedah (1925), Selangor (1933), Terengganu (1933), Perak (1936),
Pahang (1936), Perlis (1937), Pulau Pinang (1939) dan Melaka (1940). Selepas
merdeka, kebanyakan madrasah ini telah diambil alih oleh kerajaan dan
dinaiktarafkan sebagai sekolah agama.

9.2.2 Sekolah Aliran Inggeris


Sekolah aliran Inggeris ditubuhkan secara sukarela oleh mubaligh Kristian,
kecuali Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada peringkat awalnya.
Disebabkan sekolah-sekolah ini ditubuhkan oleh para mubaligh, wujud konotasi
dalam pemikiran masyarakat Melayu bahawa sekolah Inggeris ialah satu cara
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 233

British untuk menyebarkan agama Kristian. Sementara itu, sekolah aliran


Inggeris selalunya terletak di kawasan bandar sehingga sukar orang Melayu
untuk menghantar anak mereka belajar di sekolah Inggeris.

Hal ini disebabkan ramai orang Melayu tinggal di kawasan luar bandar.
Malahan, sekolah Inggeris mengenakan yuran kepada para pelajar dan ramai
orang Melayu tidak mampu untuk menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris.
Dalam satu segi, sekolah Inggeris ini bersifat elit dan mereka yang belajar di sini
mempunyai peluang untuk belajar hingga ke England. Disebabkan sekolah
Inggeris terletak di kawasan bandar, ramai anak yang belajar terdiri daripada
etnik Cina dan segelintir etnik India. Sekolah Inggeris mengikut kurikulum dari
England dan mempunyai sijil bertaraf „Senior Cambridge School Certificate
Examination‰. Peluang ini tidak dibolot oleh anak orang Melayu, tetapi kaum
bukan Melayu banyak mendapat manfaat daripada pelaksanaan sekolah Inggeris
ini.

Konsep yang digunakan oleh para mubaligh untuk menubuhkan sekolah aliran
Inggeris ini ialah melalui kerjasama dengan kerajaan British dan berbentuk „Free
School‰. Misalnya, pihak British dan para mubaligh telah menubuhkan Penang
Free School pada tahun 1816, Singapore Free School pada 1824 dan Malacca Free
School pada 1826. Asas penubuhan sekolah Inggeris menggariskan beberapa
perkara seperti berikut:

(a) Untuk semua kaum;

(b) Mendidik supaya berdisiplin, berkelakuan baik dan rajin;

(c) Ibu bapa yang berkemampuan dikehendaki membayar yuran sekolah


dengan kadar berpatutan;

(d) Murid akan belajar membaca dan menulis bahasa Inggeris dan mempelajari
ilmu kira-kira;

(e) Murid Melayu akan diajar bahasa Melayu;

(f) Rancangan yang sama diadakan juga untuk bangsa lain;

(g) Murid akan diajar tentang pekerjaan seperti pertukangan, menjahit dan
lain-lain; dan

(h) Murid diajar menghormati ibu bapa.


234 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

Kebanyakan orang Cina menghantar anak mereka untuk belajar di sekolah


Inggeris terutamanya orang Cina di Negeri Selat dan di kawasan bandar kerana
berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Sementara itu, hanya segelintir
anak orang India yang pergi ke sekolah Inggeris. Sistem ini disambut dingin oleh
orang Melayu. Bagi masyarakat Melayu, terdapat pusat pengajian yang khas
untuk mereka iaitu MCKK yang dibina di Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1905
dengan tujuan untuk mengeluarkan para pelajar yang mampu bekerja dalam
bidang pentadbiran dan berpendidikan Inggeris.

Dari segi kurikulum, terdapat tiga peringkat persekolahan iaitu:

(a) Peringkat Kelas Bawah 1, 2 dan darjah satu;

(b) Peringkat Sekolah Rendah Pertengahan iaitu dari darjah dua hingga lima;
dan

(c) Peringkat Sekolah Menengah dari darjah enam hingga Kelas Sijil Sekolah
(School Certificate).

Subjek yang diajar di sekolah merangkumi Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah


Eropah, Ilmu Alam, Sastera Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Lukisan.
Kurikulum sekolah Inggeris adalah tersusun dan melalui penambahbaikan dari
semasa ke semasa. Para pelajar yang mendapat kelulusan yang cemerlang akan
dihantar belajar ke luar negara seperti universiti di England. Selain itu, ramai
juga yang belajar ke peringkat diploma di Maktab Perguruan King Edward VII
dan Maktab Raffles di Singapura.

Kewujudan sekolah Inggeris pada masa itu hanya tertumpu pada golongan
bangsawan dan anak orang atasan yang mampu membayar yuran sekolah.
Kerajaan British mula melibatkan diri dalam perkembangan sekolah Inggeris,
terutamanya di Negeri Selat dengan memberi bantuan kewangan penuh kepada
sekolah Inggeris. Sementara itu, bantuan separa diberikan kepada sekolah
mubaligh. Di Sabah dan Sarawak, badan mubaligh Kristian tetap memainkan
peranan yang penting dari aspek pendidikan. Pendidikan di Sabah telah bermula
sejak zaman British. Ketika itu, sebuah sekolah telah dibina pada tahun 1883 di
Sandakan oleh pihak mubaligh Kristian. Semasa penjajahan Jepun dalam Perang
Dunia Kedua, pendidikan Jepun juga diajar kepada penduduk Sabah. Selepas
tamatnya Perang Dunia Kedua, pelan pendidikan lima tahun telah dilaksanakan
dan digubal dari tahun 1947 hingga 1952 oleh pihak British. Antara perkara yang
ditekankan dalam pelan pendidikan ini ialah (lihat Rajah 9.2):
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 235

Rajah 9.2: Perkara yang ditekankan dalam pelan pendidikan

Di Sarawak pula, Kesultanan Brooke kurang mengambil berat berkaitan


pendidikan. Walau bagaimanapun, melalui inisiatif daripada para mubaligh
pada 29 Jun 1848, James Brooke telah mengambil beberapa orang individu
seperti Francis Thomas McDougall, isterinya Harriette dan beberapa yang lain ke
Kuching. Sebagai paderi dan doktor, beliau telah memulakan pendidikan untuk
orang dewasa yang disertai oleh enam orang pelajar lelaki. Kesan penubuhan
sekolah pertama itu telah mencetuskan perkembangan yang menyebabkan
kepada tertubuhnya dan berkembangnya sekolah aliran Inggeris di beberapa
buah tempat di Sarawak.
236 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

9.2.3 Sekolah Melayu


Kewujudan sekolah Melayu ialah manifestasi penolakan orang Melayu terhadap
sekolah aliran Inggeris yang diperkenalkan lebih awal. Tujuan sekolah aliran
Melayu ini diperkenalkan tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan anak
orang Melayu tidak bergaul dengan kaum lain dalam sebuah sekolah. Selain itu,
ianya bertujuan memberikan pendidikan yang terbaik kepada kaum Melayu,
namun hakikatnya adalah untuk menjadikan orang Melayu lebih cerdik
berbanding dengan ibu bapa mereka.

Winstedt (1905) dalam Special Report of Education menggambarkan bahawa


matlamat sekolah vernakular Melayu adalah untuk membolehkan anak Melayu
menjadi petani, pesawah dan nelayan yang lebih baik dan berupaya untuk
menulis, mengira dan membaca perkara yang mudah. Umumnya, jawatan
tertinggi yang mampu dipegang oleh anak Melayu dalam pentadbiran British
adalah sebagai kerani. Ini kerana tujuan British menyediakan pendidikan kepada
anak Melayu bukan untuk menguasai ilmu dan dapat mengubah nasib mereka,
tetapi hanya bertujuan untuk mengekalkan orang Melayu dalam pekerjaan
tradisional di kampung sama ada sebagai petani, pesawah atau nelayan. Sistem
ini telah menyebabkan pemencilan masyarakat Melayu, terutamanya yang
tinggal di luar bandar atau desa.

Dalam sistem pendidikan sekolah Melayu, British mengekalkan penggunaan


Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan tumpuan lebih pada perkara asas
seperti membaca, menulis dan mengira. Sekolah Melayu yang pertama didirikan
ialah sekolah Melayu cawangan Penang Free School yang ditubuhkan pada
tahun 1821 dan diikuti oleh sekolah Melayu di Teluk Belanga, Singapura pada
tahun 1853 dan Kampung Gelam, Pulau Pinang pada tahun 1856 atas usaha A.
M. Skinner. Selain itu, sekolah Melayu terus mendapat tempat dan bertambah
menjadi 16 buah menjelang tahun 1872. Antaranya sekolah Melayu di Seberang
Perai, Permatang Pauh dan Penaga. Pada tahun 1875, sekolah Melayu juga turut
dibuka di Klang, Selangor hasil usaha Residen British, J. G. Davidson.

Dari segi kurikulum, pembelajaran di sekolah Melayu menekankan tiga perkara


asas sahaja iaitu membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu dan mengira, di
samping pembelajaran untuk hidup seperti berkebun dan bertukang. Selain itu,
sekolah Melayu memasukkan elemen agama Islam dengan memastikan adanya
kelas agama dan mengaji al-Quran pada sebelah petang dengan tujuan untuk
menarik minat ibu bapa orang Melayu untuk menghantar anak mereka. Lepasan
sekolah ini yang berkelayakan mendapat peluang menyambung pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 237

Ada dua pola dalam orientasi pendidikan dalam kalangan masyarakat Melayu
iaitu pendidikan berbentuk Melayu elit dan pendidikan Melayu peringkat
rendah. Bagi pendidikan Melayu elit, mereka akan ditempatkan di Maktab
Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang terdiri daripada kaum Melayu elit yang
kaya dan mempunyai latar belakang keluarga yang mempunyai hubungan rapat
dengan British. Satu kelompok lagi adalah masyarakat Melayu daripada status
rendah dan orang kebanyakan yang mendapat pendidikan tinggi di Maktab
Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak.

Peningkatan kesedaran dalam kalangan ibu bapa Melayu menyebabkan


sambutan terhadap sekolah Melayu semakin meningkat. Misalnya, jumlah
pelajar sekolah Melayu pada tahun 1872 yang berjumlah 596 orang meningkat
menjadi 13,479 orang pada tahun 1906. Namun begitu, kesedaran pendidikan
untuk anak perempuan Melayu masih rendah. Tanggapan bahawa anak
perempuan hanya layak di dapur masih segar dalam kotak pemikiran orang
Melayu. Maka, usaha untuk menggalakkan pendidikan diberikan kepada anak
perempuan telah dilaksanakan pada tahun 1890 dengan tertubuhnya sekolah
Melayu Perempuan di Perak dan pada tahun 1895 pula sebuah lagi sekolah
dibuka di Selangor untuk anak perempuan Melayu. Namun begitu, pendidikan
yang diterima oleh orang Melayu masih pada tahap rendah. Sehingga merdeka,
tiada sekolah menengah dibuka untuk orang Melayu.

Bagaimana pula dengan penduduk bumiputera di Sabah dan Sarawak?


Sebenarnya, nasib bumiputera di Sabah dan Sarawak kurang dibela berbanding
di Semenanjung disebabkan Kompeni Borneo Utara British tidak berminat untuk
memajukan bumiputera Sabah dari aspek pendidikan. Sekolah Melayu pertama
di Sabah pada tahun 1915 ditubuhkan di Kota Kinabalu. Tetapi, sekolah ini telah
ditutup pada tahun 1930. Sehingga tahun 1934, hanya terdapat lapan buah
sekolah Melayu sahaja yang didirikan. Sarawak juga mengalami nasib yang lebih
kurang sama malahan lebih ke belakang apabila raja-raja Brooke tidak langsung
berminat dengan pendidikan untuk bumiputera. Kesannya, perkembangan
sekolah Melayu di Sarawak menjadi lambat berbanding Semenanjung Tanah
Melayu.

9.2.4 Sekolah Cina


Kedatangan kaum Cina ke Tanah Melayu dikaitkan dengan faktor tarikan dan
tolakan dari China. China berada dalam keadaan yang miskin dengan sumber
alam yang terhad, sementara Tanah Melayu menyediakan peluang dari segi
pekerjaan sebagai buruh di lombong. Mereka datang ke Tanah Melayu atas tujuan
mencari nafkah untuk keluarga mereka dengan bekerja di lombong. Kebanyakan
kaum Cina yang datang berasal dari wilayah seperti Kwantung, Fukien, Hainen
238 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

dan Kwangi. Kawasan ini dikaitkan dengan kemiskinan yang ketara di China.
Kedatangan mereka bukan semata-mata kerana mencari harta, tetapi atas sebab
kesusahan hidup akibat pergolakan politik, bencana alam dan populasi yang
padat. Berteraskan ajaran Confucius yang menekankan kepentingan peringkat
rendah dan tinggi, komuniti Cina mendirikan sekolah di setiap wilayah yang
mereka duduki. Oleh itu, kaum Cina menyediakan kemudahan pendidikan
kepada anak bangsa mereka apabila mendirikan penempatan.

Pada peringkat awal, sistem pendidikan lebih bercorak ke arah sistem pendidikan
China dan British mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam pendidikan
orang Cina di Tanah Melayu. Sekolah Cina dibiarkan berkembang bebas tanpa
kawalan (leissez faire) yang amat sesuai dengan budaya orang Cina. Orang Cina
mempunyai budaya iaitu apabila mereka berhijrah, mereka akan menubuhkan
sekolah Cina yang dikenali „negeri China kecilÊ dengan mekanisme sendiri untuk
memastikan Bahasa Cina dijadikan bahasa pengantar dan merangkumi guru,
buku teks dan kurikulum untuk memastikan pembinaan negara bangsa idaman
mereka akan terus mekar. Dalam keadaan ini, biasanya gaji guru sekolah akan
dibayar oleh ibu bapa murid dan bukannya kerajaan. Dari segi kurikulum pula
buku teks dan guru dibawa khas dari China untuk mengajar anak mereka di
Tanah Melayu.

Pendidikan yang diterima menanamkan pemikiran dalam kalangan anak kaum


Cina bahawa China ialah tanah air mereka yang sebenar. Namun begitu, bermula
tahun 1920an British mula mengambil tindakan memeriksa sekolah berkenaan
kerana dikatakan terlibat dengan gerakan subversif dan politik kiri China.
Keadaan ini juga dikaitkan dengan Revolusi 1911 di China yang mempunyai
unsur negatif dari China yang dibawa masuk ke Tanah Melayu. Sekolah Cina di
Tanah Melayu dijadikan sebagai alat propaganda British oleh parti Kuomintang
dan kemudiannya parti Komunis dari China. Akibat daripada keadaan ini
menyebabkan pihak British mewujudkan Enakmen Pendaftaran Sekolah pada
tahun 1920 di Tanah Melayu. Di bawah enakmen ini, sekolah yang telah dan akan
ditubuhkan diwajibkan untuk berdaftar dengan pihak kerajaan. Tujuannya untuk
mengawal kegiatan sekolah dan guru terlibat. Realitinya, sekolah Cina ini amat
daif dan mempunyai kemudahan yang kurang memuaskan. Keadaan ini tidak
kondusif dan tidak sesuai untuk pembelajaran dengan ramai guru yang tidak
terlatih dan tidak berupaya mengajar dengan baik.

Apabila sekolah Cina ini didaftarkan, sekolah ini menikmati bantuan kewangan
daripada kerajaan British. Malahan jawatan Timbalan Pengarah bagi mentadbir
urus sekolah Cina juga diwujudkan. Keadaan ini telah wujud lebih awal bagi
Negeri Selat iaitu pada tahun 1924 dan diikuti dengan Negeri Melayu Bersekutu
pada tahun 1935.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 239

Dari segi kurikulum pula, sekolah Cina mempunyai tiga peringkat persekolahan
iaitu:

Rajah 9.3: Tiga peringkat persekolahan sekolah Cina

Sehingga tahun 1940, terdapat lebih dari 1100 buah sekolah vernakular Cina.
Keadaan ini menggambarkan jumlah etnik Cina yang ramai di Tanah Melayu.
Menurut sumber, jumlah penduduk etnik Cina di Tanah Melayu adalah berjumlah
2.5 juta orang pada tahun 1941.

Semasa pendudukan Jepun, sekolah vernakular Cina mengalami zaman malap.


Sekolah Cina ditutup dan digantikan dengan sekolah Jepun. Kezaliman berleluasa
menyebabkan ramai orang Cina menyertai gerakan menentang Jepun yang
dikenali sebagai, Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) dan kemudiannya
memperjuangkan Parti Komunis Malaya (PKM) dengan matlamat untuk
menubuhkan negara komunis untuk Tanah Melayu. Sekembalinya British selepas
kekalahan Jepun dalam Perang Dunia kedua, antara perkara yang perlu dilakukan
oleh British ialah menjalankan kawalan rapi terhadap sekolah Cina. Kurikulum
sekolah Cina disusun semula supaya berorientasikan Tanah Melayu dan Bahasa
Melayu mula diajar sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah Cina.

Senario yang sama juga berlaku di sekolah Cina di Sabah dan Sarawak yang
mana penubuhannya atas inisiatif sendiri dan menggunakan model dari China.
Menjelang tahun 1940, terdapat 59 buah sekolah Cina termasuk di Sarawak.
Sekolah Cina mula ditubuhkan pada tahun 1870an seperti di Paku pada tahun
1872 dan di Bau pada tahun 1874 sebelum berkembang ke tempat lain di Sarawak.

9.2.5 Sekolah Tamil


Dalam usaha mencari kehidupan yang lebih baik, manusia sanggup melakukan
apa sahaja termasuk meredah lautan. Senario ini dialami oleh masyarakat India
dari India. Mereka sanggup datang ke Tanah Melayu semata-mata untuk mencari
nafkah dan kehidupan yang lebih baik berbanding keluarga mereka di India
akibat kehidupan yang dikuasai oleh kemiskinan dan keadaan sosial yang
menekan. Sebahagian besar kaum India yang datang adalah dari kelas atau kasta
bawahan. Hanya segelintir sahaja daripada mereka berasal daripada kasta yang
tinggi. Mereka bekerja dalam sektor yang dianggap elit seperti pentadbiran British
di Tanah Melayu. Sebahagian besar berkhidmat di estet sebagai buruh dan ciri ini
240 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

menyebabkan mereka sesuai bekerja di estet. Kedatangan kaum India ke Tanah


Melayu dilihat sebagai sistem yang saling bergantungan. Bagi orang India,
penghijrahan ke Tanah Melayu ialah satu cara untuk keluar daripada belenggu
kemiskinan. Bagi peladang atau pengusaha estet pula, orang India ialah bekalan
buruh yang murah.

Kedatangan kaum India banyak dikaitkan dengan aktiviti perladangan dan


penerokaan kawasan estet untuk tujuan komersil seperti wujudnya ladang
getah dan sawit. Kedatangan orang India ke Tanah Melayu bukan untuk
tinggal menetap di negara ini. Pendidikan yang diterima oleh mereka adalah
berorientasikan negara India. Sistem pendidikan di estet tidak begitu tersusun dan
kurikulum berorientasikan India terlalu daif dan menyedihkan. Guru-guru tidak
terlatih dan mereka mengajar atas kesedaran sendiri untuk mendidik anak bangsa
mereka. Mereka yang bekerja sebagai buruh ialah tenaga pengajar bagi anak
mereka. Justeru, tidak hairanlah jika kerani ladang, penyelia, pembancuh ubat dan
sebagainya merupakan guru-guru yang mengajar anak-anak orang India.

Jika British tidak mengawal sekolah aliran Cina dan India, sekolah-sekolah ini
akan wujud secara bebas tanpa kawalan. Ini kerana British berpegang kepada
dasar tidak campur tangan hal ehwal kebajikan imigran pada awalnya. Namun
begitu, pada 1920an perhatian mula diberikan terhadap aspek pendidikan kaum
India apabila terdapat pertambahan kedatangan kaum India ke Tanah Melayu
atas keperluan tenaga buruh yang tinggi dalam sektor perladangan. Dalam dasar
yang diwujudkan iaitu Kod Buruh 1923, satu undang-undang digubal untuk
mewajibkan pihak majikan atau pengurusan ladang menyediakan kemudahan
pendidikan Tamil sekiranya terdapat lebih daripada 10 orang kanak-kanak
berbangsa India yang dalam lingkungan umur 7 hingga 14 tahun, yakni mereka
yang berada dalam umur persekolahan. Tujuan sistem pendidikan ini dirangka
supaya majikan dapat menarik kaum India supaya datang ke Tanah Melayu dan
bekerja dalam sektor perladangan. Ini penting kerana kaum India merupakan
kaum yang sanggup menerima upah yang murah selain rajin dan tahan lasak.

Walaupun terdapat Kod Buruh 1923 tetapi infrastruktur asas masih dalam tahap
yang menyedihkan dan guru terdiri daripada mereka yang hanya mempunyai
asas pembacaan dan tidak terlatih. Pihak majikan hanya menyediakan sekolah
ala kadar sahaja dan tidak komited dalam menjaga kebajikan anak peladang.
Kurikulum yang diajar pula merangkumi kemahiran membaca dan menulis dalam
Bahasa Tamil, Ilmu Kira-kira dan Ilmu Alam. Sementara itu, Bahasa Melayu dan
Bahasa Inggeris tidak diajar di sekolah aliran Tamil. Pendidikan Tamil hanya
disediakan sehingga ke peringkat sekolah rendah sahaja yakni hingga darjah lima.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 241

Pada tahun 1930, terdapat empat jenis sekolah Tamil iaitu sekolah kerajaan,
sekolah estet, sekolah persendirian yang dibangunkan oleh masyarakat India
sendiri dan juga sekolah persendirian yang dibangunkan oleh mubaligh Kristian.
Menjelang tahun 1938, terdapat 13 buah sekolah Tamil kerajaan, 511 buah sekolah
Tamil estet, 23 buah sekolah Tamil mubaligh dan 60 buah sekolah Tamil
persendirian di seluruh Tanah Melayu. Selain daripada estet, di sekolah aliran
Tamil juga dibina di kawasan bandar yang mempunyai penduduk kaum India.

Perkembangan sekolah Vernakular Tamil bermula semasa perkembangan ladang


getah, kelapa sawit, kopi dan tebu di Tanah Melayu. Kedatangan komuniti India
ke Tanah Melayu sekitar tahun 1880-1890 adalah untuk memenuhi keperluan
tenaga buruh pihak British. Pendidikan dalam bahasa Tamil diberi di salah sebuah
sekolah cawangan Singapore Free School mulai tahun 1834. Kumpulan mubaligh
Kristian banyak memberi sumbangan pendidikan formal dalam bahasa Tamil
pada peringkat awal. Pihak estet telah menubuhkan sekolah vernakular Tamil
dengan menerapkan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang mana sukatan
pelajaran, guru dan semuanya berasaskan negara India dan Sri Lanka. Namun
dengan persekitaran yang serba kekurangan, sekolah Tamil ini kurang mendapat
tempat dalam kalangan ibu bapa komuniti India pada waktu itu.

SEMAK KENDIRI 9.2

Nyatakan lima bentuk aliran pendidikan yang muncul di Tanah


Melayu:

1. ______________________________________________________

2. ______________________________________________________

3. ______________________________________________________

4. ______________________________________________________

5. ______________________________________________________
242 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

AKTIVITI 9.1

1. Pada pandangan anda, mengapakah sistem pendidikan di Tanah


Melayu berada dalam keadaan terpisah dengan pelbagai aliran?
Bincangkan bersama rakan sekelas.

2. Bincangkan konsep nations of intent dalam konteks pembinaan


negara bangsa dalam sistem yang terpisah ini dan bentangkan
hasil perbincangan anda.

9.3 PENYATUAN SISTEM PENDIDIKAN


Mana mungkin negara bangsa akan terbina di bawah satu bumbung Malaysia
sekiranya sistem pendidikan yang diamalkan terpisah antara satu sama lain.
Maka, di sinilah peranan pendidikan dalam usaha pembinaan negara bangsa
supaya setiap kaum yang berbeza budaya dan latar belakang dapat disatukan
perasaan dan jiwa mereka pada asas utama negara Malaysia. Peranan
pendidikan adalah untuk memupuk nations of intent dalam kalangan warga
negara semenjak kanak-kanak lagi iaitu pada peringkat sekolah hingga ke
menara gading sebelum mereka berkhidmat dengan masyarakat atau komuniti
mereka. Sistem pendidikan yang terpisah mengalami proses yang memakan
bertahun-tahun lamanya untuk disatukan. Namun begitu, penggabungan ini
akhirnya menjadi pemisah kerana unsur vernakular zaman penjajah masih
lagi sebati dengan masyarakat Malaysia. Justeru, usaha kesepaduan sistem
pendidikan secara sistematik telah dimulakan pada zaman penjajahan British
lagi. Perbincangan seterusnya menilai usaha yang dilaksanakan oleh pelbagai
pihak untuk merapatkan jurang aliran sistem pendidikan melalui dasar
pendidikan negara dari tahun 1945 hingga 1970 (lihat Rajah 9.4).
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 243

Rajah 9.4: Dasar dan laporan ke arah penyatuan sistem pendidikan negara
244 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

9.3.1 Dasar Cheeseman 1946


Kerajaan British menggubal dasar pendidikan yang menumpukan ke arah
penyatuan etnik yang berbeza. Justeru, dasar Cheeseman diketengahkan pada
tahun 1946. Antara inti pati utama dasar ini ialah:

(a) Peruntukan pendidikan peringkat rendah secara percuma dan penggunaan


bahasa ibunda masing-masing dibenarkan;

(b) Pendidikan Inggeris akan didedahkan pada peringkat rendah. Mereka


yang berkelayakkan boleh meneruskan pelajaran pada peringkat
menengah; dan

(c) Peluang pendidikan yang sama kepada golongan wanita.

Dasar ini diperdebatkan dari sudut penggunaan bahasa perantaraan dan jangka
masa perubahan yang telah dibuat. Manakala bagi komuniti Cina, isu yang
dibangkitkan ialah setiap pihak perlu diberi peluang secara percuma untuk
memasuki sekolah Inggeris sama ada pada peringkat rendah atau pun
menengah. Dasar ini tidak mampu dilaksanakan kerana kekurangan tenaga
pengajar untuk sekolah Inggeris dan ketiadaan kuasa untuk melaksanakannya.

9.3.2 Jawatankuasa Car-Saunders 1947


Jawatankuasa ini dibentuk oleh kerajaan British untuk merangka pendidikan
tahap universiti di Tanah Melayu. Matlamat penyatuan menerusi penggunaan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sukar dicapai kerana komuniti bukan
Melayu melihat langkah berkenaan dapat menggugat kedudukan bahasa
mereka. Misalnya, komuniti Cina berpendapat penekanan yang kuat terhadap
bahasa Melayu akan menggugat kedudukan mereka pada peringkat pengajian
tinggi. Manakala komuniti India pula lebih menekankan kepentingan bahasa
Tamil untuk diketengahkan di Jabatan Pengajian India. Bagi komuniti Melayu,
percanggahan pandangan berlaku antara golongan pendidikan Melayu tradisi
dengan golongan Melayu yang berpendidikan Inggeris. Kelompok yang
mendapat pendidikan Inggeris dilihat gagal menjaga kebajikan komuniti
Melayu.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 245

9.3.3 Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum 1949


Jawatankuasa hubungan antara kaum ditubuhkan pada Januari 1949. Tujuan
penubuhan jawatankuasa ini untuk memupuk penyatuan dalam masyarakat
majmuk bagi membina sebuah negara baharu. Antara tokoh yang menyertai
jawatankuasa ini ialah DatoÊ Onn Jaafar, Tan Cheng Lock dan E. E. C.
Thuraisingham. Beberapa kata sepakat dicapai dan diusulkan seperti berikut:

(a) Bahasa Melayu dan bahasa Ingeris wajib diajar di sekolah rendah;

(b) Sekolah kebangsaan akan ditubuhkan bagi menyatukan komuniti etnik yang
berbeza. Manakala bahasa Melayu dan bahasa Inggeris digunakan sebagai
bahasa perantaraan; dan

(c) Bahasa ibunda masing-masing boleh diajar di sekolah masing-masing.

Walau bagaimanapun, penyatuan sukar untuk dicapai kerana setiap komuniti


etnik masih mempertahankan sistem pendidikan yang diwarisi.

9.3.4 Laporan Barnes 1951


Pada tahun 1951, Jawatankuasa Barnes mencadangkan rombakan dalam segala
sistem pendidikan dengan menubuhkan dua jenis sekolah sahaja iaitu sekolah
Melayu dan sekolah Inggeris. Bahasa Cina dan bahasa Tamil diajar sebagai satu
mata pelajaran sahaja. Namun begitu, usul ini mendapat bantahan daripada
masyarakat Cina atas alasan pelaksanaan laporan ini akan menggugat pelajaran,
bahasa dan budaya mereka. Sementara itu, orang India juga membantah atas
alasan mereka juga ingin mempertahankan bahasa dan budaya mereka daripada
pupus. Hanya kaum Melayu sahaja yang menerima laporan ini. Oleh sebab
terdapatnya bantahan masyarakat Cina dan India, satu jawatankuasa baru
dilantik untuk mengkaji sistem pendidikan pelbagai kaum di Tanah Melayu.
Jawatankuasa itu kemudian mengemukakan laporannya yang dikenali sebagai
Laporan Fenn Wu.
246 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

9.3.5 Laporan Fenn Wu 1951


Laporan Fenn Wu ditubuhkan untuk mengkaji semula Laporan Barnes, serta
melayan kehendak masyarakat Cina yang menganggap laporan tersebut
bertujuan menghapuskan bahasa dan budaya komuniti Cina. Laporan ini
diketuai oleh Dr Fenn daripada Setiausaha Kerja Bersekutu Negara China serta
Dr Wu dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Terdapat beberapa cadangan
yang dibuat, kemudiannya menjadi asas Ordinan Pelajaran 1952.

Laporan Fenn Wu 1951 mencadangkan sekolah Cina patut dikekalkan. Malah,


sukatan pelajarannya juga hendaklah berasaskan negara China. Tujuannya
supaya tidak berlaku penghakisan budaya dan adat orang Cina. Selain itu,
sekolah vernakular Cina dibenarkan berfungsi dengan menggunakan bahasa
Cina sebagai bahasa pengantar. Murid akan mempelajari tiga bahasa iaitu bahasa
Cina, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris semasa sesi persekolahan. Laporan
Fenn Wu mengemukakan bahawa sekolah vernakular Cina perlu diteruskan
kerana menyumbang ke arah Tanah Melayu yang bersatu padu dengan
penggunaan buku teks yang berorientasikan negara ini. Buku teks yang
diperkenalkan khasnya di sekolah Cina perlu disesuaikan dengan keadaan di
Tanah Melayu.

Selepas laporan ini dikemukakan, terdapat pelbagai reaksi daripada banyak


pihak. Orang Melayu menolak Laporan Fenn Wu kerana mereka berpendapat
cadangan dalam laporan tersebut hanya menguntungkan komuniti Cina.

9.3.6 Ordinan Pelajaran 1952


Oleh sebab perselisihan yang didapati dalam Laporan Barnes dan Laporan Fenn
Wu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji dan menyelaraskan
cadangan dalam kedua-dua laporan itu. Jawatankuasa khas itu kemudian
menerima cadangan daripada Laporan Barnes untuk alasan perpaduan rakyat
berbilang kaum. Ordinan Pelajaran agak keras kerana menolak sistem sekolah
vernakular dan mengiktiraf hanya dua jenis sekolah rendah kebangsaan diiktiraf
dengan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai pengantar.
Justeru, Ordinan Pelajaran ditolak disebabkan ia tidak mengiktiraf sekolah
vernakular Cina. Orang Cina mengganggap ia merupakan kaedah untuk
menjatuhkan kedudukan bahasa dan sekolah mereka. Sementara kaum Melayu
pula mendesak supaya bahasa Melayu diiktiraf dan sekolah Melayu diberikan
keutamaan. Laporan jawatankuasa khas kemudian diluluskan dan dikuatkuasakan
dalam Ordinan Pelajaran 1952. Walau bagaimanapun, rancangan itu tidak dapat
dilaksanakan kerana kekurangan kewangan dan keadaan kurang stabil
disebabkan zaman darurat.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 247

9.3.7 Laporan Woodhead 1955 (Sabah dan Sarawak)


Laporan Woodhead 1955 diperkenalkan kerana terdapat perbezaan yang ketara
dalam aspek pembangunan pendidikan bagi Sabah dan Sarawak. Beberapa
rumusan telah dibuat dalam laporan ini iaitu:

(a) Kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa lingua franca;

(b) Kerajaan perlu mengambil bahagian dalam menyediakan kemudahan di


sekolah;

(c) Kerajaan perlu menyediakan latihan untuk pasca sekolah;

(d) Biasiswa perlu disediakan untuk golongan yang kurang berkemampuan;

(e) Satu sistem pembiayaan pendidikan yang lebih teratur diwujudkan;

(f) The Grand Code 1955 diperkenalkan; dan


(g) Penyelarasan syarat perkhidmatan guru di semua sekolah.

Laporan ini diambil maklum oleh kerajaan di Sabah dengan melakukan beberapa
pindaan. Misalnya, cara penyatuan sistem pendidikan yang berbeza dalam satu
bentuk kebangsaan yang boleh diterima oleh semua kaum. Tindakan drastik
diambil oleh kerajaan Sabah dengan memperbaiki kaedah pengajaran bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris di sekolah Cina, bahasa Inggeris di sekolah Melayu
dan bahasa Melayu di sekolah Inggeris. Selain itu, kerajaan Sabah juga akan
memberikan pendidikan percuma kepada semua kaum. Di Sarawak pula, Laporan
Woodhead mencadangkan buku teks mestilah berorientasikan Sarawak
menggantikan buku teks dari luar seperti China, England dan Tanah Melayu.
Laporan ini juga meminta supaya lebih banyak sekolah rendah dibina di kawasan
pedalaman Sarawak.

9.3.8 Penyata Razak 1956


Laporan Razak atau Penyata Razak dipengerusikan oleh Tun Razak di bawah
Jawatankuasa Pelajaran 1956 yang terdiri daripada pelbagai etnik yang mewakili
kaum masing-masing iaitu sembilan Melayu, lima Cina dan seorang India.
Laporan Razak dijadikan Dasar Pendidikan yang pertama di Tanah Melayu.
Dasar ini lebih berpengaruh dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam sistem
pendidikan dan seterusnya untuk membina negara bangsa. Antara usul utama
dalam Penyata Razak ialah:

(a) Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan sekolah
menengah;
248 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

(b) Sekolah Jenis Kebangsaan akan menggunakan bahasa Cina, bahasa Tamil
dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar;

(c) Penggunaan sukatan pelajaran, sistem peperiksaaan, latihan perguruan dan


sistem nazir yang sama;

(d) Bagi memupuk kesatuan, Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib
untuk semua pelajar;

(e) Pendidikan dengan menggunakan bahasa Melayu dilanjutkan ke peringkat


menengah dan universiti;

(f) Sistem sekolah terbahagi pada tiga peringkat iaitu sekolah menengah rendah
(tiga tahun), sekolah menengah atas (dua tahun) dan sekolah pra universiti
(dua tahun);

(g) Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris wajib diajar di semua sekolah rendah
dan menengah; dan

(h) Integrasi kaum boleh dicapai melalui penggunaan sukatan pelajaran yang
sama bagi semua sekolah dan kandungan buku teks mesti berorientasikan
kehidupan di Tanah Melayu.

Penyata Razak dibentangkan dan diluluskan sebulat suara oleh Majlis


Perundangan Persekutuan pada 7 Mac 1957 dan dikuatkuasakan sebagai
Ordinan Pelajaran 1957.

9.3.9 Ordinan Pelajaran 1957


Dalam Ordinan Pelajaran dinyatakan, „Bahawasanya dasar pelajaran seperti
yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan
satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan
mengalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya...‰.
Ordinan ini dikemukakan hasil daripada Laporan Barnes dan Laporan Fenn Wu.
Kerajaan British mencadangkan:

(a) Penubuhan dua jenis sistem persekolahan iaitu sekolah yang menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan satu lagi sekolah yang
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar;

(b) Kemudahan mata pelajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil akan disediakan
sekiranya terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan bilangan 15 orang
murid; dan
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 249

(c) Bahasa Inggeris akan menjadi mata pelajaran wajib bagi sekolah Melayu,
manakala Bahasa Melayu akan menjadi mata pelajaran wajib bagi sekolah
Inggeris.

Ordinan ini tidak menghasilkan perubahan yang besar dalam dasar pendidikan
kerana kaum Cina meneruskan pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan
daripada kerajaan. Manakala, struktur persekolahan Melayu berjalan seperti
sediakala.

9.3.10 Laporan Rahman Talib 1960


Matlamat penubuhan laporan Rahman Talib 1960 ialah untuk mengkaji
pelaksanaan sistem pelajaran dan syor yang terkandung di dalam Penyata
Razak. Laporan ini juga menyemak dan membuat penambahbaikan mengikut
situasi pendidikan pada masa itu. Antara perubahan utama yang berlaku di
bawah Laporan Rahman Talib ialah:

(a) Pendidikan percuma untuk semua jenis sekolah rendah kerajaan dan
bantuan;

(b) Umur persekolahan murid dinaikkan daripada 12 tahun kepada 15 tahun.


Murid boleh naik darjah secara automatik hingga peringkat sekolah
menengah rendah;

(c) Penubuhan Sekolah Pelajaran Lanjutan untuk menampung murid yang


gagal mendapat tempat di sekolah menengah akademik;

(d) Menganjurkan peperiksaan awam dalam bahasa rasmi sahaja dan


memansuhkan peperiksaan yang bukan menggunakan bahasa Inggeris dan
Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar;

(e) Memberi bantuan kewangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan


(aliran bahasa Melayu) dan sekolah jenis kebangsaan (aliran bahasa
Inggeris). Di samping itu bantuan kepada sekolah menengah yang tidak
akur dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan akan ditarik balik;

(f) Memberi tempat percuma kepada semua murid yang sedang belajar di
sekolah rendah, tidak kira apa jenis aliran pun; dan

(g) Penubuhan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional untuk melatih murid
dalam berbagai-bagai bidang jurusan.
250 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

Pendidikan diberi secara percuma kerana taraf kemiskinan penduduk masih


tinggi. Di samping itu, bantuan ini menggalakkan rakyat meningkatkan taraf
hidup dan mampu memberi sumbangan untuk pembangunan negara dengan
menjadi tenaga rakyat yang mahir dan mempunyai jati diri.

9.3.11 Akta Pelajaran 1961


Akta Pelajaran 1961 digubal berdasarkan syor yang dikemukakan oleh Laporan
Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Akta ini memberikan penekanan
terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di
sekolah dan dalam peperiksaan awam. Berdasarkan Akta Pelajaran 1961, antara
usul utamanya ialah:

(a) Bahasa kebangsaan ialah medium perhubungan di Malaysia dan


dipraktikkan bukan setakat pada peringat sekolah rendah, tetapi juga pada
peringkat menengah dan universiti;

(b) Hanya terdapat dua jenis sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan dan
Sekolah Jenis Kebangsaan;

(c) Menyeragamkan sistem peperiksaan dan persekolahan walaupun terdapat


perbezaan bahasa di peringkat rendah dan menengah;

(d) Memberi penekanan terhadap pendidikan teknik dan vokasional;

(e) Memberi penekanan terhadap pendidikan moral dan keagamaan bagi


mengukuhkan semangat saling menghormati antara etnik yang berbeza;

(f) Penyediaan pendidikan Islam kepada pelajar beragama Islam yang berumur
melebihi 15 tahun; dan

(g) Pendidikan akhlak dan rohani perlu diberikan penekanan.

Perkembangan pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu pada tahun seterusnya


berpandukan dasar pendidikan kebangsaan yang diperuntukkan dalam Akta
Pelajaran 1961. Akta ini masih mengekalkan tujuan asas dalam Penyata Razak
1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 251

9.3.12 Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970


Masyarakat di negara kita terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai latar
belakang dan budaya yang berbeza. Malah, perbezaan ini ditambah dengan
perbezaan taraf hidup, ekonomi, bandar dengan luar bandar, serta perbezaan
wilayah Sabah dan Sarawak. Jurang perbezaan ini sedikit sebanyak
mempengaruhi corak ketidakseimbangan antara kaum yang akhirnya akan
menghalang proses ke arah kesepaduan sosial. Atas kesedaran ini, Dasar
Pendidikan Kebangsaan 1970 digubal dengan menerapkan prinsip yang
terkandung dalam Rukun Negara agar setiap penduduk menghayati dan
berpegang teguh terhadap lima prinsip yang terkandung di dalamnya.

9.3.13 Laporan Kabinet 1979


Pada tahun 1974, kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet yang
ditugaskan untuk mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Jawatankuasa ini mengkaji semula matlamat dan kesan sistem pendidikan,
termasuk kurikulumnya untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat di
negara ini dapat dipenuhi. Namun apa yang lebih penting bagi kerajaan ialah
sistem pendidikan ini dapat memenuhi matlamat negara ke arah pembentukan
masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Beberapa pendekatan
telah dirancang dalam Laporan Kabinet 1979 antaranya ialah:

(a) Penekanan terhadap pendidikan asas 3M (membaca, menulis dan mengira);

(b) Penekanan terhadap pendidikan kerohanian, iaitu Pendidikan Agama dan


Moral serta nilai-nilai disiplin yang diingini;

(c) Penekanan terhadap kurikulum sekolah yang mencerminkan identiti negara;

(d) Pelaksanaan pendidikan menengah atas melalui dua jurusan iaitu akademik
dan vokasional;

(e) Peluang diberi untuk melanjutkan persekolahan daripada sembilan tahun ke


sebelas tahun, iaitu hingga ke tingkatan lima;

(f) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan kebangsaan; dan

(g) Meningkatkan mutu pendidikan dan pelajaran keseluruhannya.


252 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

Pembentukan Laporan Kabinet 1979 ialah hasil respons Jawatankuasa Kabinet


1974. Pembentukan Jawatankuasa Kabinet 1974 pula rentetan daripada rusuhan
kaum 13 Mei 1969, pembentukan Rukun Negara 1970 dan Dasar Ekonomi Baru
1970. Laporan kabinet 1979 telah menetapkan dengan jelas ciri warganegara
Malaysia yang ingin dibentuk melalui sistem pendidikan kita iaitu „mereka bukan
sahaja perlu cekap malahan boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada
secara sendiri, mahupun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca
akhlak yang mulia. Tegasnya, individu yang lahir daripada sistem persekolahan
negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan manusia‰.

SEMAK KENDIRI 9.3

1. Terangkan proses ke arah penyatuan sistem pendidikan di


Malaysia.

2. Senaraikan laporan jawatankuasa pendidikan yang diterbitkan


sebelum merdeka.

9.4 JENIS SEKOLAH


Tahukah anda jenis sekolah yang wujud di Malaysia? Sebagai sebuah negara
yang terdiri daripada pelbagai etnik, maka sudah pasti kita mempunyai jenis
sekolah tertentu. Perubahan jenis sekolah ini dikaitkan dengan proses ke arah
usaha untuk mengintegrasikan para pelajar sebagai satu bangsa dalam sebuah
negara. Negara kita bergerak daripada sistem pendidikan yang terpisah ke arah
satu sistem pendidikan. Proses ini tidak dapat dielakkan sebagai usaha ke arah
penyatuan sistem pendidikan dan membolehkan para pelajar daripada pelbagai
etnik bertemu secara fizikal di satu tempat. Kewujudan sistem pendidikan
terpisah apabila kita mengiktiraf sistem pendidikan vernakular. Dalam usaha
penyatuan sistem pendidikan ini, kerajaan menjelmakan sekolah kebangsaan
yang memberikan peluang para pelajar daripada pelbagai etnik belajar di bawah
satu bumbung. Sambutan yang dingin dalam kalangan ibu bapa daripada etnik
bukan Melayu telah melahirkan satu sistem pendidikan lagi yang dipanggil
sebagai Sekolah Wawasan. Walaupun konsep Sekolah Wawasan masih belum
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 253

mampu menterjemahkan usaha penyatupaduan kerajaan, tetapi konsep ini


adalah yang terbaik setakat ini. Dalam subtopik ini, kita akan membincangkan
tiga jenis sekolah yang mendasari perkembangan para pelajar di Malaysia iaitu
Sekolah Kebangsaan, Sekolah Vernakular dan Sekolah Wawasan seperti yang
dapat dilihat dalam Rajah 9.5.

Rajah 9.5: Jenis sekolah di Malaysia

9.4.1 Sekolah Kebangsaan


Sistem pendidikan negara pelbagai aliran menyebabkan tidak ada acuan
khusus yang boleh digunakan untuk membentuk kesepaduan sosial. Hal ini
menyebabkan ibu bapa cenderung memilih aliran mengikut kaum masing-
masing. Kita perlu sedar usaha memupuk kesepaduan sosial harus bermula pada
peringkat awal lagi. Oleh itu, sekolah kebangsaan perlu diperkasakan bagi
menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Pelajar perlu dilatih
untuk hidup saling bekerjasama dan mempunyai semangat patriotisme serta
berakomodatif yang tinggi.
254 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

Fokus memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) pada peringkat sekolah rendah


dan menengah adalah untuk menjadikan sekolah ini lebih beraspirasi nasional,
meningkatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan meningkatkan kualiti
prasarana supaya sekolah kebangsaan kekal sebagai sekolah pilihan utama
masyarakat Malaysia sepertimana yang disarankan oleh DatoÊ Sri Hishammuddin
Tun Hussein, mantan Menteri Pendidikan:

„KPM akan berusaha menjadikan Sekolah Kebangsaan lebih beraspirasi


nasional, meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar,
membangunkan budaya sekolah yang cemerlang, meningkatkan kualiti
kepimpinan, pengurusan dan guru-guru, menyeimbangkan nisbah guru dari
pelbagai etnik serta meningkatkan penglibatan dan rasa kepunyaan ibu bapa
serta komuniti terhadap Sekolah Kebangsan‰
(DatoÊ Sri Hishammuddin Tun Hussein, 2005)

Sasaran jangka panjang Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah untuk


menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan
daripada semua segi seperti prasarana, disiplin dan keselamatan pelajar,
pencapaian kokurikulum dan sukan, pengurusan ICT, kualiti guru dan
kepimpinan sekolah.

Walaupun KPM memberikan penekanan terhadap usaha memperkasakan


sekolah kebangsaan, namun Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) tidak akan
diabaikan supaya pendidikan untuk anak bangsa Malaysia di sekolah tersebut
terjamin. Perkasanya sesebuah sekolah bermaksud sekolah tersebut telah
mencapai tahap kecemerlangan yang boleh diukur berasaskan output atau hasil
pencapaian dalam bidang akademik, selain daripada disiplin murid yang baik,
kepuasan kerja guru yang tinggi, serta keadaan infrastruktur sekolah yang
lengkap, bersih dan ceria.

9.4.2 Sekolah Vernakular


Tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan panggilan vernakular? Menurut
Kamus Dewan, Edisi Keempat, perkataan vernakular merujuk pada bahasa yang
dipertuturkan oleh golongan atau kaum tertentu. Justeru, dalam konteks sekolah
kita, ia merujuk pada sekolah yang terikat menggunakan bahasa ibunda masing-
masing. Misalnya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT). Dalam konteks Malaysia, seperti yang dijelaskan dalam
topik sebelum ini, kewujudan pendidikan kita adalah dalam keadaan terpisah
berasaskan kaum. Kaum Melayu dengan sistem pendidikan yang berasaskan
pendidikan agama dan pendidikan moden yang diperkenalkan British.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 255

Namun begitu, perbincangan kali ini lebih tertumpu pada sekolah vernakular dan
menyentuh tiga aliran sekolah dengan lebih mendalam. Khususnya, terdapat tiga
jenis sekolah vernakular iaitu Melayu, Cina dan Tamil. Pada zaman penjajahan
British, terdapatnya sekolah aliran Inggeris, tetapi sekolah aliran Inggeris berakhir
setelah tamatnya penjajahan British di Tanah Melayu. Sekolah vernakular Melayu
yang pertama ditubuhkan adalah pada tahun 1855, iaitu di Bayan Lepas, Pulau
Pinang. Sekolah vernakular Melayu telah ditubuhkan pertama kalinya di Negeri
Selat dengan sokongan kerajaan British. Pada tahun 1856, terdapat dua buah
sekolah vernakular Melayu yang ditubuhkan pertama kalinya di Singapura pada
tahun 1858 hingga 1863. Selain itu, British juga menubuhkan beberapa buah
sekolah lagi di Pulau Pinang dan Melaka. Kekurangan guru merupakan faktor
tiada sekolah menengah Melayu pada waktu itu. Ini mendorong sehingga
tertubuhnya dua buah maktab perguruan, iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris
(MPSI) di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1922 dan Maktab Perguruan
Perempuan Melaka (MPPM) di Melaka pada tahun 1935.

Sementara itu, sekolah vernakular Cina ditubuhkan pada tahun 1815 di Melaka
dan 1819 di Singapura. Menurut sejarah pada tahun 1900, terdapat dua orang
menteri dari China iaitu Kang You Wei dan Liang Oi Chau membangunkan
sekolah vernakular China dengan menggabungkan kaedah pengajaran menurut
Confucius dan sains barat. Sekolah vernakular Tamil dibuka di kawasan ladang
seperti getah, sawit, kopi dan tebu di Tanah Melayu. Terdapat pelbagai usaha
dilakukan oleh kerajaan untuk merapatkan jurang perbezaan antara sekolah
vernakular. Antara sumbangan terbesar ialah menerusi Penyata Razak 1956
hingga mewujudkan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1970 yang menyeragamkan
sistem pendidikan kita yang terdiri daripada pelbagai aliran. Walaupun timbul
pelbagai isu tentang sekolah vernakular, tetapi ia termaktub di bawah perjanjian
atau kontrak antara kaum Melayu dan bukan Melayu bagi menjaga adat, bahasa
dan budaya kaum yang terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

9.4.3 Sekolah Wawasan


Antara usaha kerajaan dalam menjayakan matlamat integrasi nasional ialah
pelaksanaan Sekolah Wawasan. Konsep Sekolah Wawasan dikemukakan buat
pertama kali pada tahun 1995 oleh Kementerian Pendidikan dengan matlamat
meningkatkan tahap integrasi masyarakat, khasnya dalam kalangan pelajar
sekolah rendah. Ini kerana konsep sekolah vernakular gagal untuk memupuk dan
merapatkan hubungan antara etnik dan mengurangkan perasaan „ethnocentrism‰
dalam kalangan pelajar bukan Melayu, serta mengurangkan gambaran
„stereotype‰ dalam kalangan pelajar Melayu. Perkembangan ini sudah tentu
bertentangan dengan hasrat dan cita-cita kerajaan untuk mewujudkan
perhubungan yang erat tanpa mengira etnik.
256 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

Sekolah Wawasan ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang memberi


peluang yang luas kepada pelajar pelbagai kaum untuk bergaul dan berinteaksi
melalui pelbagai aktiviti, tanpa menjejaskan status dan perkembangan sekolahnya.
Konsep Sekolah Wawasan adalah berasaskan idea belajar bersama di bawah satu
bumbung atau satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama.
Jelasnya, konsep sekolah ini adalah untuk melahirkan perpaduan kaum yang kuat
dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Menurut
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), N.
Siva Subramaniam dan aktivis masyarakat, Datuk Lee Lam Thye, Sekolah
Wawasan akan dapat menghapuskan polarisasi kaum dan meningkatkan
semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik. Sekolah Wawasan ini akan
mempunyai nama, lencana, lagu dan peperiksaan yang tersendiri selain sistem
pentadbiran yang diketuai oleh guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) masing-masing. Selain itu, bahasa ibunda dibenarkan untuk digunakan
sebagai bahasa pengantar, selain bahasa kebangsaan.

Antara matlamat Sekolah Wawasan adalah:

(a) Mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid yang pelbagai etnik dan
latar belakang;

(b) Memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran;

(c) Melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang
tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu; dan

(d) Menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah


melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti lain di
sekolah.

Justeru, Sekolah Wawasan sebenarnya mempunyai matlamat yang murni iaitu


mengintegrasikan para pelajar sekolah yang pelbagai etnik. Setakat ini terdapat
lima Sekolah Wawasan telah dibina iaitu:

(a) Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar Perak;

(b) Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar Kedah;

(c) Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai Pulau Pinang;

(d) Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya Selangor; dan

(e) Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung Perak.


TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 257

SEMAK KENDIRI 9.4


1. Jelaskan kaitan antara Falsafah Pendidikan Negara dengan
perpaduan kaum di Malaysia.

2. Selain sebuah badan induk dalam sisitem pendidikan negara,


apakah peranan yang seharusnya dimainkan oleh Kementerian
Pendidikan dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

3. Bagaimanakah Sekolah Wawasan boleh memainkan peranan


dalam mewujudkan integrasi kaum di Malaysia.

4. Apakah peranan yang perlu dimainkan oleh sekolah kebangsaan


dalam meningkatkan perhubungan antara kaum?

x Pendidikan memainkan peranan penting dalam mewujudkan hubungan


etnik yang baik dalam kalangan para pelajar pelbagai etnik pada peringkat
sekolah lagi.

x Asas sistem pendidikan kita adalah sistem pendidikan vernakular dengan


pendidikan yang berasaskan bahasa ibunda masing-masing.

x Perkembangan sistem pendidikan kita mengalami sejarah yang panjang.


Bermula dengan sistem yang terpisah-pisah iaitu dalam bentuk lima aliran
iaitu berbentuk:

 Sekolah pondok;

 Sekolah aliran Melayu;

 Sekolah aliran Inggeris;

 Sekolah aliran Cina; dan

 Sekolah aliran Tamil.

x Sistem pendidikan yang terpisah terdiri dari lima aliran ini telah mengalami
proses ke arah penyatupaduan dan keseragaman sistem di peringkat sekolah
pelbagai aliran.
258 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

x Usaha penyatupaduan sistem pendidikan bermula dengan laporan yang


dikeluarkan oleh Laporan Cheeseman 1946. Laporan ini membenarkan
penggunaan bahasa ibunda masing-masing di peringkat sekolah rendah.
Jawatankuasa Car Saunders 1947 melihat peluang bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar di peringkat universiti, tetapi sukar dilaksanakan kerana
tidak mendapat sokongan daripada kaum bukan Melayu.

x Pada tahun 1949, Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum diwujudkan untuk


memupuk penyatuan dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai
kaum melalui peranan sekolah.

x Laporan Barnes 1951 mencadangkan pembentukan sekolah kebangsaan


untuk semua kaum, tetapi ditentang oleh orang bukan Melayu.

x Laporan Fenn-Wu 1951 dikemukakan untuk menyelesaikan masalah ini


apabila berjaya menyakinkan kerajaan bahawa sekolah vernakular Cina
harus diteruskan. Laporan Fenn-Wu juga mengiktiraf peranan sekolah
pelbagai aliran di Tanah Melayu.

x Ordinan dikeluarkan pada 1952 dikenali sebagai Ordinan Pelajaran 1952.


Antara perkara penting yang diberikan penekanan dalam ordinan ini adalah
menolak sistem sekolah vernakular. Ordinan ini juga mencadangkan ke arah
penguasaan bahasa ibunda masing-masing di sekolah kebangsaan. Namun
begitu, cadangan tidak dapat direalisasikan kerana mengalami masalah
kewangan dan berlakunya darurat.

x Pada tahun 1955, Laporan Woodhead 1955 berkaitan sistem pendidikan di


Sabah dan Sarawak dilaksanakan. Kajian ini mengemukakan resolusi
berkaitan dengan sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak untuk semua
kaum.

x Penggubalan sistem pendidikan yang bersepadu untuk semua kaum telah


bermula apabila Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956 yang dinamakan
Laporan Razak dikeluarkan. Laporan ini dipengerusikan oleh Tun Razak.
Laporan ini penting kerana menyediakan asas penting untuk sistem
pendidikan dan kurikulum pendidikan sekarang. Antara perkara yang
penting dalam laporan ini adalah integrasi kaum hanya akan dapat dicapai
apabila setiap sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama.
TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL W 259

x Laporan Rahman Talib 1960 dikemukakan sebagai kesinambungan daripada


Laporan Razak. Antara yang diberikan penekanan dalam Laporan Rahman
Talib ialah pengiktirafan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris
dalam peperiksaan awam, serta penggunaan bahasa selain daripada bahasa
ini tidak diiktiraf.

x Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib menyediakan asas yang penting
untuk Akta Pelajaran 1961. Akta pelajaran 1961 mengekalkan syor yang
dikemukakan oleh Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib di samping
memperuntukkan cara untuk manjayakan rancangan tersebut.

x Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970 menjadi asas Dasar Pendidikan


Kebangsaan yang diamalkan hingga hari ini. Dasar Pendidikan Kebangsaan
mengambil kira Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960
yang kemudiannya dimaktubkan ke dalam Akta Pelajaran 1961. Dasar
Pendidikan Kebangsaan merupakan dasar yang digubal untuk mewujudkan
persefahaman dan perpaduan kaum melalui pendidikan.

Akta Pelajaran 1961 Ordinan Pelajaran 1957


Akta Pendidikan 1996 Pendidikan vernakular
Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970 Penyata Razak 1956
Laporan Barnes 1951 Sekolah Inggeris
Laporan Fenn-Wu 1951 Sekolah kebangsaan
Laporan Rahman Talib 1960 Sekolah pondok
Laporan Woodhead 1955 Sekolah vernakular
Ordinan Pelajaran 1952 Sekolah wawasan
260 X TOPIK 9 PEMERKASAAN PENDIDIKAN KE ARAH KESEPADUAN SOSIAL

Abu Bakar Nordin. (1994). Reformasi pendidikan dalam menghadapi cabaran


2020. Kuala Lumpur, Malaysia: Nurin Enterprise.

Berita Harian, 6 Ogos 2000.

Berita Harian, 8 November 2000.

Ee Ah Meng. (1989). Pendidikan di Malaysia untuk guru pelatih. Petaling Jaya,


Malaysia: Fajar Bakti.

Kamus Dewan. (2005). Ed.ke-4. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Mahdi Shuib et al. (2010). Pendidikan negara bangsa Malaysia. Puchong,


Malaysia: Penerbitan Multimedia.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). (2006-2010). Rancangan Malaysia


ke-9. Kuala Lumpur, Malaysia: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Falsafah pendidikan kebangsaan,


matlamat dan misi. Kuala Lumpur, Malaysia: Kementerian Pendidikan
Malaysia.

Sanusi Osman. (1989). Ikatan etnik dan kelas di Malaysia. Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Shahril@Charil Marzuki, & Habib Mat Som. (1999). Isu pendidikan di Malaysia:
Sorotan dan cabaran. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publication &
Distributos.

Suffean Hussin. (1996). Pendidikan di Malaysia: Sejarah, sistem dan falsafah.


Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Winstedt, R.O. (1905). Special Reports on Educational Subjects CMD 2379,


London, England: Colonial Office.

You might also like