You are on page 1of 5

DASAR PEMERINTAHAN BRITISH DAN CIRI-CIRI PENDIDIKAN MAJMUK. ABSTRAK.

Dasar pendidikan yang diperkenalkan semasa pemerintahan British adalah berteraskan pendidikan Inggeris. Pada zaman penjajahan ini, dasar pendidikan terutamanya sistem persekolahan tidak menghasilkan keberkesanan yang positif, terutama untuk perpaduan dan pelaksanaannya mempunyai banyak kelemahan. Ini kerana British hanya mementingkan keuntungan ekonomi dan kedudukannya sahaja. Pihak British juga telah mewujudkan sekolah vernakular Melayu, Cina dan Tamil. Kewujudan sekolah vernakular telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina dan India dipisahkan mengikut sistem persekolahan dan hubungan antara mereka semakin renggang. Setelah 54 tahun mengecapi kemerdekaan, masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa masih lagi tidak menunjukkan hubungan perpaduan yang kukuh. Sehingga kini, masyarakat Malaysia masih terpisah melalui sistem persekolahan. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengambil perhatian serius dalam memastikan isu-isu pendidikan dikawal dengan sebaiknya supaya hubungan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa sentiasa berada dalam keadaan yang harmoni atau akan menemui kegagalan sekiranya sistem pendidikan tidak dilaksanakan dengan baik dan telus. PERBINCANGAN Terdapat banyak kajian yang dibuat berkaitan pendidikan semasa pemerintahan British dan ciri-ciri pendidkan majmuk. Namun artikel dalam jurnal Sosiohumanika, Vol 4 No. 1, May 2011 iaitu artikel yang bertajuk Sistem Pendidikan di Malaysia : Dasar, Cabaran, dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional yang ditulis oleh Mior Khairul Azrin Bin Mior Jamaluddin, Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM (Universiti Sains Malaysia) ini amat sesuai kerana ia merangkumi tajuk ulasan yang diberi. Artikel ini membincangkan corak pendidikan yang dilaksanakan bermula dari sebelum kedatangan British di Tanah Melayu sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Sistem pendidikan telah mengalami banyak perubahan kerana ia bukan sahaja berperanan untuk memberi pendidikan tetapi juga merupakan wadah perjuangan Negara yang sangat mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum demi mencapai perpaduan. Ini kerana Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan adat resam yang dikenali sebagai masyarakat majmuk. Pelaksanaan sistem pendidikan yang dijalankan perlu mengikut keperluan dan kesesuaian masyarakat Malaysia.

Terdapat pelbagai kelemahan dasar pemerintahan British dalam sistem pendidikan di negara ini. Antaranya ialah pelaksanaan dan perpaduan terhadap sistem persekolahan. Ini berikutan daripada British hanya mementingkan kedudukannya sendiri dan keuntungan ekonomi. Pihak Inggeris telah mewujudkan sekolah vernakular yang terdiri daripada sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina dan sekolah vernakular Tamil.Ini telah menyebabkan wujudnya hubungan yang semakin renggang antara masyarakat Melayu, Cina dan India akibat masyarakat-masyarakat ini telah dipisahkan mengikut system persekolahan. Kewujudan sekolah vernakular ini telah menyebabkan sekolah vernakular Melayu, Cina dan India mempunyai kepentingan tersendiri, iaitu sekolah Cina untuk kepentingan Orang Cina, sekolah Melayu untuk kepentingan orang Melayu dan sekolah Tamil untuk kepentingan Orang India. Selain daripada itu, sekolah vernakular Melayu dan sekolah vernakular Tamil hanya terhad untuk sekolah rendah sahaja, dan sekolah vernakular Cina memperolehi keistimewaan melalui sekolah rendah ( 6 tahun ), junior middle ( 3 tahun ), dan senior middle ( 3 tahun ). Lulusan bagi sekolah Melayu hanya setakat memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling rendah. Ini menunjukkan bahawa British tidak memainkan peranan dengan adil terutama dari segi layanan yang sama rata dan setaraf kepada semua bangsa. Dengan pendidikan yang rendah ini, contohnya masyarakat Melayu tidak dapat bersaing dengan kaum-kaum yang lain yang mempunyai taraf pencapaian akademik yang lebih tinggi, khasnya murid-murid yang berkelulusan tinggi dari Sekolah Inggeris. Sistem pendidikan orang Melayu seperti ini telah menimbulkan jurang besar sosio-ekonomi di antara kaum. Dasar pendidikan pemerintahan British di Tanah Melayu adalah hanya membekalkan pendidikan Sekolah Inggeris hingga tahap menengah sahaja dan menentang penubuhan sebarang pendidikan universiti. Tujuannya ialah mengekalkan pentadbiran selama-lamanya di Tanah Melayu. Di bawah dasar pendidikan semasa pemerintahan British ini, kebolehan dan aspirasi orang tempatan telah disekat sampai pekerjaan tengahan sahaja. Ciri-ciri pendidikan majmuk ialah sistem persekolahan yang sama pada semua. Pada asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah umum yang

menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa pengantar Cina, Tamil dan Inggeris. Kepentingan bahasa Melayu

sebagai bahasa untuk perpaduan jelas dinyatakan.Seterusnya walaupun pada peringkat rendah ini sekolah-sekolah diasingkan oleh bahasa pengantar yang berbeza namun sukatan pelajaran dan sistem persekolahan disamakan. Pada peringkat menengah pula ditubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan dengan pengantar bahasa Melayu dan semua kanak-kanak akan memasuki sama ada Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Inggeris tanpa mengira bahasa pengantar yang dilaluinya pada peringkat rendah. Selain itu,ciri-ciri pendidikan majmuk yang lain ialah Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini. Ciri-ciri yang lain ialah mengadakan Kurikulum yang sama. Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukunegara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara. Sukatan pelajaran yang seragam juga merupakan ciri-ciri pendidikan majmuk. Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak adalah dianggap sebagai salah satu asas sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara.Ke arah matlamat pembangunan, mata pelajaran Sejarah memainkan peranan yang penting. Semangat perpaduan dan perasaan hormat menghormati terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat resam dapat dibina melalui mata pelajaran Sejarah. Antara yang lain ialah peperiksaan yang seragam. Rancangan kerajaan untuk

menseragamkan kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah.

Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan pelajar berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang sama. Sekolah wawasan juga merupakan antara salah satu contoh sekolah yang mengamalkan ciri-ciri pendidikan majmuk.Sekolah wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira agama dan kaum. Bagi membawa perubahan dalam sistem pendidikan Negara, sekolah wawasan ini telah diwujudkan yang mana merupakan percubaan yang dilakukan oleh kerajaan.Di bawah konsep sekolah wawasan ini, tiga buah sekolah rendah yang dibawah aliran yang berlainan ditempatkan dalam kawasan yang sama iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, dan Tamil.Sekolah wawasan bertujuan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid yang berbagai bangsa dan latar belakang, memupuk semangat integrasi antara pelajar dari aliran yang berbeza, menggalakkan interaksi maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah, dan melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahan yang tinggi demi mewujudkan sebuah Negara yang bersatu padu. Kesedaran yang tinggi kepada masyarakat tentang pentingnya perpaduan di kalangan masyarakat yang perlu dipupuk sejak kecil lagi dapat dinyatakan melalui cara ini.

KESIMPULAN Terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam cirri-ciri pendidikan majmuk di Malaysia, terutama sejak zaman penjajahan British hinggalah zaman selepas merdeka. Isu ketidaksamarataan yang timbul dalam sistem pendidikan yang wujud pada masa itu adalah disebabkan oleh tiada dasar yang merangkumi kesemua golongan masyarakat di negara ini. Ternyata, perbincangan mengenai pelaksanaan dan keberkesanan sistem pendidikan yang diterangkan secara panjang lebar tadi dapat diberi perhatian dalam menjana kejayaan strategi yang telah dirangka oleh kerajaan Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Semua ini adalah bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Jika tiada pelaksanaan dasar pendidikan yang terancang dan hubungan masyarakat menjadi kacau-bilau, sudah tentu negara ini tidak akan maju. Oleh itu, seluruh masyarakat perlu sering bertolak-ansur, berganding bahu, dan sentiasa bersama-sama dengan kerajaan supaya dapat meralisasikan Wawasan 2020.

BIBLIOGRAFI
Ibrahim Saad (1986), Pendidikan dan Politik di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Mok Soon Sang (2012), Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia (Edisi Semakan Terkini), Puchong. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. http//www.tutor.com.my [dilayari di Universiti Sains Malaysia, Penang. Malaysia: 5 Mac 2012]

You might also like