You are on page 1of 8

ULASAN BUKU

(CTU 555 – MALAYSIAN HISTORY)

TAJUK :

SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA : DASAR, CABARAN,


DAN PELAKSANAAN KE ARAH PERPADUAN NASIONAL

DISEDIAKAN OLEH

FAIZAL BIN MOHD

(2016447152)

DISEDIAKAN UNTUK

USTAZAH FATIMAH BINTI SALLEH

CLASS

NAMAF4B
[ULASAN BUKU / CTU555]

ISI KANDUNGAN m/s

1.0 PENDAHULUAN 1
2.0 ULASAN KESELURUHAN 2 -5
3.0 REFLEKSI DAN KESIMPULAN 6
PENDAHULUAN

Untuk menyiapkan tugasan ulasan buku bagi subjek CTU 555 (Malaysian
History), saya telah memilih jurnal setebal 16 muka surat berjudul
‘Sistem Pendidikan di Malaysia : Dasar, Cabaran, dan Pelaksanaan Ke Arah
Perpaduan Nasional’.

Jurnal ini adalah sebuah kajian ilmiah yang diterbitkan pada tahun 2011 dalam
Sosiohumanika : Jurnal Pendidikan Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Penulisnya adalah Mior Khairul Azrin bin Mior Jamaluddin yang merupakan
seorang pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti
Sains Malaysia, Pulau Pinang.
ULASAN

Jurnal yang ditulis oleh Mior Khairul Azrin bin Mior Jamaluddin ini berkaitan dengan
dasar, cabaran dan pelaksanaan sistem pendidikan Malaysia ke arah perpaduan
Nasional. Penulisan ini membincangkan mengenai pelaksanaan dan keberkesanan
sistem persekolahan negara dalam konteks perpaduan nasional melalui analisis
terhadap strategi yang telah dirangka oleh kerajaan Malaysia sejak sebelum merdeka
hingga kini. Dalam membincangkan pelbagai isu yang diutarakan satu persatu,
penulis memberikan maklumat dalam gaya bahasa yang mudah difahami oleh
pembaca.

Penulis menekankan betapa pentingnya sistem pendidikan menjadi alat untuk


merealisasikan perpaduan bangsa pada bab pengenalan. Menurutnya lagi, Malaysia
sebagai sebuah negara yang dihuni pelbagai kaum dengan latar belakang agama dan
adat resam yang berbeza. Sistem persekolahan bukan sahaja berperanan untuk
memberi pelajaran kepada masyarakat semata-mata, bahkan ia merupakan saluran
untuk menyampaikan kepada rakyat berkenaan dengan wadah perjuangan negara
yang sangat mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum demi
mencapai perpaduan. Pada bab ini juga penulis telah memberikan definisi pendidikan
dengan merujuk sarjana terdahulu seperti Plato dan Jean Jacues Rousseau selain
menjelaskan manfaat pendidikan kepada masyarakat.

Bab seterusnya mengajak pembaca mengimbau mengenai latar belakang pendidikan


di Malaysia sebelum dan selepas kedatangan British ke Tanah Melayu. Pada zaman
kesultanan Melayu dahulukala, sistem pendidikan Melayu adalah berlandaskan
kepada ajaran Islam dengan surau dan masjid dijadikan sebagai lokasi menuntut ilmu.
Ianya kemudian mula berkembang melalui institusi sekolah pondok dan madrasah.
Semasa zaman British, sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar diperkenalkan. Penulis menjelaskan bahawa pelajar-pelajar Melayu
terutama daripada golongan bawahan tidak mendapat akses yang sempurna kepada
sistem pendidikan Inggeris kerana masalah kekangan bahasa. Selain itu, dasar British
yang menyekat kemasukan pelajar Melayu kerana bimbang kedudukan dan pengaruh
mereka di negara ini terjejas jika bangsa Melayu sebagai bangsa peribumi menjadi
pandai.
[ULASAN BUKU / CTU555]

Era penjajahan British menyaksikan sekolah Cina dan Tamil mula diperkenalkan.
Kewujudan sekolah vernakular telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina dan
India yang telah sedia terpisah akibat dasar pecah dan perintah penjajah menjadi
semakin renggang. Pihak British juga bersikap pilih kasih apabila lulusan sekolah
Melayu hanya sekadar untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling
rendah berbanding lulusan sekolah Cina dan Tamil. Laporan Barnes pada tahun 1950
telah membuktikan bahawa kewujudan sekolah vernakular tidak menyumbang ke
arah perpaduan kaum di negara ini malah mengesyorkan agar sekolah kebangsaan
menggantikan sekolah vernakular Melayu, Cina dan Tamil. Tetapi masyarakat Cina
masih ingin mempertahankan kewujudan sekolah Cina di negara ini yang
menyebabkan terhasilnya Laporan Fenn-Wu 1951. Penulis menyimpulkan kesan
daripada penjajahan British mewujudkan lima ( 5 ) aliran persekolahan iaitu Sekolah
Pondok dan Madrasah, Sekolah Melayu, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah
Inggeris.

Bab ‘Pendidikan di Malaysia Selepas Merdeka’ dimulakan dengan huraian mengenai


Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang menjadi perintis ke arah
pengukuhan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia. Kerajaan telah menjadikan
dasar-dasar penting dalam Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960
untuk menggubal Akta Pendidikan 1961. Meletusnya peristiwa hitam dalam sejarah
Malaysia iaitu Peristiwa 13 Mei 1969 telah memberi kesan besar kepada sistem
pendidikan negara. Selain Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenal untuk
mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional, rancangan pendidikan negara
semasa Rancangan Malaysia kedua (1971-1975) menumpukan kepada tiga bidang
yang mana salah satunya adalah untuk menyatukan sistem pelajaran bagi
menggalakkan perpaduan negara. Strateginya adalah dengan memperkenalkan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, mengurangkan jurang
perbezaan dalam memberi peluang pelajaran di antara kawasan dan kaum serta
meningkatkan mutu pelajaran. Pada dekad 80-an, kerajaan telah memperkenalkan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) yang mempunyai objektif yang sama iaitu sebagai alat perpaduan
kaum dan negara.

1
[ULASAN BUKU / CTU555]

Seterusnya dalam bab Hala Tuju Sistem Pendidikan di Malaysia : Ke Arah Perpaduan
Nasional penulis menyentuh mengenai peranan yang dimainkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia dalam membawa perubahan pendidikan. Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan yang dilancarkan pada tahun 2007 misalnya mempunyai 6
teras strategik iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan
memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan,
memartabatkan profesyen perguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi
pendidikan. Penulis menekankan bahawa strategi pertama iaitu membina negara
bangsa sangat perlu untuk dilaksanakan bagi mengukuhkan perpaduan kaum. Oleh
itu sekolah memainkan peranan utama bagi menyatupadukan masyarakat Malaysia.
Penulis berhujah bahawa selain sekolah, amat sukar untuk menemukan rakyat
Malaysia berlainan kaum di satu tempat kerana sudah menjadi kelaziman untuk
masyarakat negara ini berinteraksi dengan sahabat yang sama bangsa, agama dan
budaya. Justeru itu, hanya melalui sistem persekolahan, pelajar daripada etnik
berbeza dapat saling berkenalan dan berinteraksi yang akhirnya dapat mewujudkan
perpaduan nasional. Dalam bab ini juga penulis mengulas mengenai Sekolah
Wawasan yang merupakan satu inisiatif yang baik untuk menjalin integrasi antara
kaum melalui penempatan 3 buah sekolah iaitu sekolah kebangsaan, sekolah Cina
dan sekolah Tamil dalam satu kawasan yang sama.

Pada bab berikutnya penulis membincangkan iaitu mengenai isu dan masalah dalam
sistem pendidikan. Masalah yang dikenalpasti adalah isu sistem persekolahan
pelbagai aliran, Pengajaran Pendidikan Sains dan Matemaik Dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI), pengisian kokurikum dan ko-kurikulum dan merealisasikan Wawasan 2020.
Penulis seperti terkilan kerana sistem persekolahan Malaysia masih tidak banyak
berubah berbanding dulu kerana mengamalkan sistem persekolahan pelbagai aliran.
Malah penulis merasakan sistem sebegini sudah tidak relevan untuk diamalkan
kerana hanya menjauhkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di negara
ini. Sekali lagi penulis mengulangi pendiriannya bahawa sekolah adalah merupakan
tempat pertama untuk warga negara ini mula mengenali rakan daripada bangsa
berbeza.

1
[ULASAN BUKU / CTU555]

Penulis mencadangkan beberapa langkah bagi memupuk perpaduan melalui


pendidikan. Pertama adalah melalui dasar kerajaan. Sebagai contoh, melalui dasar
pendidikan, kerajaan boleh memainkan peranan dengan menggalakkan semua
sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah Tamil menganjurkan program secara
bersama selain mewajibkan mata pelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di semua
jenis sekolah. Langkah kedua ialah memperkemas sistem penyampaian kerajaan
supaya rakyat mengetahui sebarang perubahan dasar kerajaan dengan tepat. Ini
boleh dicapai melalui peranan media cetak dan elektronik serta menjadikan sekolah
sebagai pusat sumber maklumat bagi segala dasar dan program dianjurkan kerajaan.
Akhir sekali penulis mengusulkan supaya masyarakat Malaysia perlu sentiasa
menjaga perhubungan antara kaum bagi mengelakkan risiko timbulnya konflik.
Melalui dasar pendidikan yang terancang dan hubungan masyarakat yang baik, maka
tentunya perpaduan antara kaum dapat dieratkan lagi.

Dalam bab penutup, penulis mengingatkan bahawa masih ada kelemahan yang wujud
dan perlu diambil serius meskipun kerajaan telah berusaha melakukan perubahan
dalam sistem pendidikan negara. Masalah-masalah yang melibatkan isu-isu antara
kaum perlu diselesaikan dengan segera dan bukannya dibiarkan begitu sahaja. Akhir
sekali, penulis berharap agar seluruh masyarakat berganding bahu, seiring dengan
usaha murni kerajaan melalui dasar-dasar dan rancangan baru bagi merealisasikan
Wawasan 2020.

1
[ULASAN BUKU / CTU555]

REFLEKSI DAN KESIMPULAN

Tugasan ini menimbulkan kesedaran kepada saya betapa pentingnya sistem


pendidikan sebagai asas untuk membina perpaduan. Saya dapat merasakan bahawa
penulis amat mengambil berat mengenai isu sistem persekolahan negara ini yang
menurutnya tidak mampu membina integrasi antara kaum. Berulang kali dalam artikel
ini, penulis menyebut tentang sekolah sebagai asas permulaan ke arah membentuk
hubungan baik di antara murid daripada kaum berbeza.

Saya juga berkongsi keperihatinan penulis mengenai perkara ini. Pada pandangan
saya, amat sukar untuk memansuhkan sistem persekolahan pelbagai aliran seperti
yang dipraktikkan hari ini. Ini adalah kerana ahli politik daripada kaum tertentu tidak
kira daripada parti kerajaan dan pembangkang begitu seia sekata dalam
mempertahankan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Namun begitu, saya
berpendapat ada baiknya jika pihak kerajaan mempekenalkan semula Sekolah
Wawasan yang menempatkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di
dalam satu kawasan. Kompleks Sekolah Wawasan boleh dibina di kawasan kejiranan
baru yang mempunyai penduduk berbilang bangsa. Kembalinya Tun Dr Mahathir
menerajui tampuk kepimpinan negara memungkinkan konsep Sekolah Wawasan
dipopularkan semula memandangkan beliaulah yang mengilhamkan idea ini pada
tahun 2000.

Kesimpulannya, jurnal ini telah digarap dengan baik oleh penulis. Diharapkan hasil
kajian ini dapat memberikan input berguna kepada para perancang dasar bagi untuk
merangka langkah yang sesuai untuk memantapkan lagi perpaduan mayarakat
Malaysia melalui sistem pendidikan.

You might also like