You are on page 1of 3

Ulasan Isu Pendidikan - GGGD5022 Sekolah dan Masyarakat

Kesan Pemansuhan Peperiksaan Di Peringkat UPSR Terhadap Pendidikan Di Malaysia

Ditulis oleh : Mohamad Zul Luqman Bin Mohd Zulkefli (P122731)

Sistem pendidikan sering kali mengalami perubahan seiring dengan peredaran masa
dan keperluan negara. Peralihan tersebut adalah wajar dan perlu dilaksanakan agar
generasi pelapis mempunyai kemahiran yang tepat dan selari dengan permintaan industri.
Ini kerana, selain menjadi modal insan yang berguna, sekolah atau institusi pengajian
memainkan peranan yang sangat besar dalam mencorak dan mengubah masa depan atau
kerjaya seseorang individu.

Bagaimanapun, sistem berkenaan kini menerima pelbagai kritikan dan pandangan


berikutan ia disifatkan tidak begitu berkesan apabila sebanyak 71.2 peratus lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan tidak mahu melanjutkan pengajian selepas tamat
sekolah menengah. Baru-baru ini dilaporkan bahawa sebahagian ibu bapa merayu kepada
Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) yang telah dimansuhkan akibat resah melihat prestasi anak-anak di
sekolah.

Sebelum pergi lebih mendalam, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR,


dahulunya dinamakan sebagai Ujian Penilaian Sekolah Rendah) merupakan program
pengujian untuk menilai pencapaian kognitif pelajar di akhir sekolah rendah di Malaysia.
Ujian ini diambil oleh pelajar-pelajar di akhir Tahun Enam pendidikan sekolah rendah. Ia
diperkenalkan pada tahun 1987 bagi menggantikan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

Pada tahun 1995, format Matematik diubah dengan memperkenalkan soalan


subjektif. Pada tahun 2001, penilaian ujian diambil kira termasuk dengan kerja sekolah
calon. Pada tahun yang sama, subjek Sains telah diperkenalkan dalam kertas peperiksaan
UPSR dan melibatkan amali Sains. Mulai 2016 juga, soalan-soalan dalam kertas UPSR
mempunyai elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang melibatkan soalan
berbentuk subjektif untuk kertas soalan Bahasa Melayu Pemahaman (Bahagian B) dan
kertas Bahasa Inggeris Pemahaman (Section B). Hal ini menjadikan keputusan lulus penuh
UPSR ialah 4A/6A (tambahan 2 kertas Pemahaman dan Penulisan untuk sekolah SJKC dan
SJKT) (1988-2001), 5A/7A (2001-2015), dan 6A/8A (2016).

Objektifnya ialah untuk menilai pencapaian pelajar sekolah rendah dalam kemahiran
asas mereka di dalam Sains, Matematik dan juga bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan
Bahasa Malaysia. Ujian ini dilaksana berdasarkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
(KBSR). Pada 2020, berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara, pihak KPM pada
15 April telah membuat keputusan untuk membatalkan UPSR pada tahun tersebut bersama-
sama dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dan penilaian kaedah baharu akan
digunakan untuk menggantikan UPSR.

Isu mula timbul apabila kerajaan mengumumkan pemansuhan bagi UPSR yang
berkuatkuasa serta merta. Perkara itu dibangkitkan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan
Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad. Beliau
berpendapat ada beberapa tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat kurang
sesuai dan menimbulkan lebih banyak isu berbanding penyelesaian. Misalnya pemansuhan
UPSR secara tergesa-gesa (sepatutnya difasakan) telah menimbulkan banyak kekeliruan
pada guru dan masyarakat khususnya ibu bapa.

Beliau juga berkata Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk tujuan peperiksaan
dengan PdP untuk pentaksiran berterusan memerlukan pendekatan yang berbeza. Ramai
guru yang keliru dan belum mahir dengan perubahan pendekatan pengajaran untuk
melengkap amalan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sepenuhnya. Perkara itu membuatkan
pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dilihat banyak menganggu fokus
pembelajaran murid-murid dan ibubapa hilang kawalan dalam meningkatkan motivasi
pembelajaran anak-anak mereka.

Guru juga didapati belum bersedia untuk PBD sepenuhnya dengan bilangan murid
yang terlalu ramai dalam kelas, sukatan pelajaran yang banyak dan padat serta tiada
autonomi dalam melakukan pentaksiran. Banyak perkara yang perlu dititik beratkan terlebih
dahulu sebelum melaksanakan sesuatu sistem yang baharu antaranya kemerosotan
penguasaan murid dalam membaca, menulis dan mengira. Pihak kerajaan terutama
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyelesaikan masalah yang semakin
meruncing ini supaya tiada golongan murid yang tercicir dalam pelajaran. Hal ini dapat
memastikan supaya sistem pendidikan negara berada pada landasan yang tepat.

Saya berpandangan pemansuhan UPSR menyebabkan murid-murid acuh tak acuh


untuk belajar dan tiada hala tuju yang jelas apabila mereka ke sekolah. Mereka ke sekolah
hanya untuk memenuhi kehendak ibubapa mereka dan perkara ini yang menyebabkan
kebanyakan murid tercicir dari segi pendidikan. Mereka beranggapan habis sekolah darjah
enam mereka akan ke sekolah menegah juga tanpa memikirkan penilaian sebagaimana
murid-murid dahulu yang akan menduduki UPSR sebelum membawa haluan masing-masing
sewaktu di sekolah menengah.

Bagi pendapat saya, KPM perlu untuk memperhalusi terlebih dahulu sistem yang
sedia ada sebelum melaksanakan sistem yang baharu supaya guru-guru dapat
menyesuaikan diri dengan latihan system yang baru sehingga system baru itu menjadi
efektif. Tidak dinafikan terdapat banyak juga kebaikan hasil daripada pemansuhan UPSR ini
akan tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat. Perkara ini menyebabkan
berlaku kekeliruan dalam kalangan guru, ibubapa serta murid-murid itu sendiri dan kesannya
terhadap murid-murid. Secara kesimpulannya, kita berharap supaya KPM melaksanakan
tindakan yang terbaik demi masa depan negara.

You might also like