You are on page 1of 7

1.

0 PENGENALAN

Dalam konteks Malaysia, isu perpaduan adalah isu yang sangat diberi perhatian
kerana sifat masyarakatnya yang berbilang kaum atau lebih dikenali sebagai masyarakat
majmuk. Pada hakikatnya, formula perpaduan yang tulen adalah terletak kepada kesatuan
(solidarity) rakyat pelbagai kaum untuk hidup saling persefahaman, bertoleransi serta
menerima kepelbagaian antara satu sama lain. Perkara pokok yang mesti disedari ialah
kepelbagaian kelompok etnik di negara ini mesti dilihat sebagai sumber kekuatan kepada
negara. Ia bermakna kerjasama dan ikatan perpaduan pelbagai bangsa dan kaum di negara
harus dimanifestasikan dalam semangat penerimaan, permuafakatan, bermusyuawarah dan
perundingan.

Pendidikan merupakan satu komponen teras dalam membina generasi yang bersatu
padu. Perkara ini terkandung dalam Penyata Razak (1956) yang memperakukan satu sistem
pelajaran yang dapat menyatukan rakyat pelbagai kaum. Penyata Rahman Talib (1960) turut
memperkukuhkan kepentingan dan nilai-nilai perpaduan dalam sistem pendidikan negara.
Perpaduan tidak boleh dibina begitu sahaja tanpa merangka dasar dan haluan perpaduan
secara konkrit dan berkesan. Justeru, pendidikan dilihat sebagai platform terbaik untuk
mewujudkan persefahaman dan perpaduan antara kaum.

Isu dan cabaran pendidikan pada hari ini begitu mencabar sekali. Isu-isu pendidikan
yang wujud memerlukan usaha yang dirancang secara sistematik untuk menangganinya
dalam memastikan perpaduan kaum dapat dicapai. Guru perlu bersikap glokal dengan
mengadunkan aspek tempatan dengan kepelbagaian entiti dunia yang berlaku dengan
pelbagai isu yang harus ditanggani secara bijak dan penuh perhatian.

Dalam memenuhi tugasan projek Guru Dan Cabaran Semasa (EDU 3093), saya
telah memilih artikel hasil penulisan Mior Khairul Azrin bin Mior Jamaluddin yang merupakan
Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakat Universiti Sains Malaysia untuk dikupas
secara kritis. Artikel yang bertajuk sistem pendidikan di Malaysia : Dasar, Cabaran dan
Pelaksanaan ke arah perpaduan Nasional ini telah diterbitkan di Universiti Sains Malaysia
pada tahun 2011. Artikel yang berkisarkan tentang perkembangan pendidikan di Malaysia
ternyata mengalami pelbagai perubahan terutama zaman sebelum merdeka sehinggalah
negara mencapai kemerdekaan. Kerajaan sentiasa menambahbaik dasar-dasar negara
selaras dengan kehendak dan keperluan rakyat. Perubahan dalam sektor pendidikan
menjadi intipati penting dalam pengukuhan perpaduan negara kerana pendidikan menjadi
peneraju pembentukan masyarakat.
2.0 RINGKASAN ARTIKEL

Secara umumnya, artikel ini membincangkan tentang pelaksanaan dan keberkesanan


sistem persekolahan negara dalam konteks perpaduan nasional melalui analisis terhadap
strategi yang telah dirangka oleh kerajaan Malaysia sejak sebelum merdeka lagi sehingga
kini. Artikel ini turut menerangkan tentang keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi
kerajaan terhadap hubungan masyarakat, masalah-masalah yang timbul serta penyelesaian
masa hadapan.

Sistem pendidikan di Malaysia bermula sejak sebelum merdeka lagi di mana ia


bermula dengan sistem pendidikan tidak formal bagi kaum Melayu. Seterusnya dengan
kehadiran penjajah British ke negara kita, sistem pendidikan mengalami sedikit perubahan
daripada pendidikan tidak formal kepada pendidikan formal. Sistem pendidikan pada zaman
penjajahan British ini berteraskan kepada pengasingan kaum. Setiap kaum diasingkan
sistem persekolahannya menyebabkan hubungan antara kaum menjadi renggang. Dalam
usaha untuk merapatkan jurang perbezaan antara kaum ini, Ordinan Pelajaran 1952 telah
ditubuhkan impak daripada hala tuju Laporan Barnes 1950 dan Laporan Fenn-Wu.

Seterusnya, penguatkuasaan Akta Pendidikan 1961 selepas negara mendapat


kemerdekaan merupakan usaha kerajaan dalam membentuk dan memupuk perpaduan
negara. Dasar-dasar penting yang terkandung dalam Laporan Razak 1956 dan Laporan
Rahman Talib 1960 dikuatkuasakan dalam Akta Pendidikan 1961. Ekoran daripada
tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kerajaan telah mengambil langkah
mengemaskini sistem pendidikan dengan memberi perhatian kepada tiga perkara utama
melalui Bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar utama, kesamarataan peluang
pendidikan melalui pembinaan kemudahan sekolah selain mewujudkan kurikulum
persekolahan yang sama iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Dalam membawa sistem pendidikan Malaysia ke arah perpaduan nasional, pihak


Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PIPP) 2006-2010 selain mewujudkan sekolah wawasan yang menghimpunkan 3
buah sekolah berlainan aliran dalam satu kawasan yang sama serta berkongsi pelbagai
kemudahan secara bersama. Tidak dilupakan juga, kerajaan telah menubuhkan sekolah
bestari bagi meningkatkan penggunaan ICT serta sekolah kluster bagi melonjakkan
kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan negara.

Pelaksanaan dasar dan juga strategi kerajaan ke arah perpaduan nasional bukan
hanya berjaya memberi impak positif ke arah perpaduan malahan turut menimbulkan
beberapa isu dan masalah kepada sistem pendidikan. Antara isu dan masalah yang timbul
ialah sistem persekolahan pelbagai aliran. Negara masih lagi meneruskan kesinambungan
sistem persekolahan lama dengan mengekalkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis
kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Kewujudkan sekolah pelbagai aliran
ini merupakan salah satu punca perpaduan kaum di Malaysia sukar untuk dicapai. Isu
seterusnya ialah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI). PPSMI kemudiannya dimansuhkan ekoran daripada beberapa masalah yang
timbul.

Masalah lain yang turut timbul ialah berkenaan dengan pengisian dalam kurikulum
dan ko-kurikulum yang merupakan penentu kepada perkembangan murid-murid. Seterusnya
ialah masalah dalam merealisasikan Wawasan 2020 yang telah dicetuskan oleh Tun Dr.
Mahathir Mohamad. Isu perpaduan menjadi halangan kepada pencapaian matlamat untuk
merealisasikan Wawasan 2020 di mana sekolah menjadi peneraju utama ke arah
perpaduan kaum. Tanpa perpaduan, Wawasan 2020 tidak akan berjaya direalisasikan.

Bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam sistem pendidikan, pihak kerajaan
telah melaksanakan beberapa langkah pendidikan ke arah perpaduan. Langkah pertama
ialah melalui peranan dasar kerajaan. Dasar-dasar awam dibentuk dan dirangka selaras
dengan kehendak dan keperluan masyarakat. Jika tidak, masalah dan ketidakpuasan akan
timbul sekaligus mengganggu gugat keamanan dan perpaduan negara.

Langkah kedua adalah melalui sistem penyampaian. Sistem penyampaian


merupakan alat yang sangat penting yang berperanan sebagai pemberi maklumat yang
tepat dan berinformasi. Sistem penyampaian yang sistematik dan berkesan penting supaya
maklumat yang ingin disampaikan dapat diterima oleh semua pihak. Penyampaian
maklumat secara sistematik boleh dilakukan melalui peranan media massa, sama ada
media cetak mahupun media elektronik, membuat promosi dengan lebih kerap serta
membuka pusat sehenti supaya masyarakat dapat mengetahui perkara yang sebenar.
Seterusnya ialah dengan menggunakan van bergerak di seluruh negara dan yang paling
penting menjadikan sekolah sebagai pusat sumber maklumat bagi segala dasar-dasar dan
program yang dijalankan oleh kerajaan.

3.0 ULASAN KRITIS

Artikel ini membincangkan tentang sistem pendidikan di Malaysia yang merangkumi dasar,
cabaran dan pelaksanaan ke arah perpaduan nasional. Menurut penulis, kewujudan
sekolah vernakular pada zaman penjajahan British telah menyebabkan masyarakat
Melayu, Cina dan India dipisahkan mengikut sistem persekolahan, menyebabkan hubungan
mereka semakin renggang. Keretakan hubungan antara ketiga-tiga kaum ini menyebabkan
perpaduan negara tidak dapat dicapai. Menurut Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Ahmad
Mazlan Zulkifly (2006), “Tanpa perpaduan, negara itu akan terdedah kepada pelbagai-bagai
kelemahan dan ancaman yang boleh menjejaskan kedaulatan negara itu sendiri.”

Menurut penulis lagi, pihak British tidak memberi layanan yang setaraf kepada
semua bangsa dari segi akses kepada peluang pendidikan. Contohnya, sekolah vernakular
Cina mendapat keistimewaan melalui sekolah rendah dan sekolah menengah sedangkan
sekolah vernakular Melayu dan Tamil hanya terhad untuk sekolah rendah sahaja.
Ketidaksamarataan peluang pendidikan yang diterima adalah bercanggah dengan kehendak
aspirasi pendidikan Malaysia yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mana setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak
mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi mengembangkan potensi diri masing-
masing.

Penulis seterusnya membincangkan tentang sekolah wawasan yang merupakan


percubaan yang dilakukan oleh kerajaan bagi membawa perubahan dalam sistem
pendidikan negara ke arah perpaduan nasional. Pada pandangan pengulas, sekolah
wawasan merupakan platform terbaik untuk membentuk perpaduan kaum. Ini kerana,
pengumpulan semua kaum di satu tempat yang sama berupaya membentuk semangat
integrasi dan interaksi secara maksimum.

Kenyataan ini disokong oleh Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika mengulas tentang
sekolah wawasan di Dewan Rakyat. Beliau mengatakan bahawa sekolah wawasan adalah
wadah untuk memupuk integrasi nasional bermula di sekolah rendah. Ia mampu menjalin
semangat perpaduan dan ini mencapai matlamat Rancangan Integrasi Murid Untuk
Perpaduan. Penubuhan sekolah wawasan adalah bertepatan dengan kehendak aspirasi
pendidikan Malaysia yang terkandung dalam PPPM dari aspek perpaduan di mana sekolah
menjadi tempat pemupukan perpaduan antara kaum melalui interaksi dan juga integrasi..

Di dalam artikel ini, penulis telah menekankan beberapa isu yang timbul dalam
sistem pendidikan. Isu pertama adalah berkaitan dengan sistem persekolahan pelbagai
aliran. Penulis menyatakan bahawa kewujudan sekolah pelbagai aliran seperti sekolah
kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah menjejaskan perpaduan
kaum di Malaysia. Idea menubuhkan satu aliran sistem persekolahan perlu dilaksanakan
supaya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dapat dipupuk.

Pengulas merasakan bahawa, idea untuk menubuhkan sekolah satu aliran adalah
sangat baik dan berkesan dalam membentuk semangat perpaduan. Kaum Melayu secara
dasarnya tidak memiliki sekolah sendiri berbanding dengan kaum Cina dan India yang
memiliki sekolah mereka sendiri iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan Cina. Jadi
adalah wajar untuk mewujudkan satu jenis sistem persekolahan sahaja yang tidak mewakili
mana-mana kaum tetapi melambangkan sekolah Malaysia.

Menurut Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong yang merupakan Timbalan Pengarah Institut
Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia, kerajaan perlu
mengembalikan semula sekolah satu aliran dan memansuhkan SJK. Menurut beliau, sistem
satu aliran berkesan dalam melahirkan modal insan yang sarat dengan semangat
patriotisme dan cintakan negara. Kenyataan beliau bertepatan dengan perkara yang
terkandung dalam Penyata Razak 1956 iaitu perpaduan masyarakat melalui pendidikan
hanya dapat dicapai melalui sistem persekolahan dengan kurikulum yang sama untuk
semua kaum.

Kewujudan sekolah satu aliran adalah selaras dengan kehendak aspirasi pendidikan
Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan di mana setiap murid daripada pelbagai etnik,
agama, budaya dan latar belakang sosioekonomi menggunakan ruang yang ada untuk
berinteraksi dan belajar bersama-sama. Konsep perpaduan yang merangkumi elemen
keterangkuman iaitu wujud perasaan menerima, menghormati dan meraikan kepelbagaian
bertepatan dengan kewujudan sekolah satu aliran. Selain itu, sekolah satu aliran akan
mewujudkan kecekapan dalam pentadbirannya. Sekolah satu aliran akan memudahkan
Kementerian Pelajaran Malaysia dalam mengoptimumkan kecekapan sistem pendidikan dan
mewujudkan pengurusan yang sistematik dan berkualiti .

Isu seterusnya yang diutarakan oleh penulis dalam artikel ini ialah isu Pengajaran
Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Seperti yang
diketahui, PPSMI diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bertujuan untuk
memperkukuhkan penguasan Bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Namun, PPSMI dibubarkan pada tahun 2009 disebabkan masalah-masalah tertentu.

Pelaksanaan PPSMI pada pandangan pengulas tidak berjaya mencapai


matlamatnya. Usaha untuk memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris adalah satu
usaha yang bagus tetapi pelaksanaannya perlu melibatkan bahasa itu sahaja tanpa
melibatkan mata pelajaran lain. PPSMI menyebabkan murid yang lemah dalam Bahasa
Inggeris menghadapi masalah dalam memahami konsep asas Sains dan Matematik serta
tidak menunjukkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik terutamanya murid-murid
luar bandar.
Pelaksanaan PPSMI menyebabkan kualiti pendidikan sedikit terjejas. Laporan
Trends in Mathematics and Science Study 2007 (TIMMS) menunjukkan bahawa skor purata
pencapaian pelajar Malaysia dalam Sains dan Matematik merosot. Kajian universiti-universiti
tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah
nominal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan
Bahasa Inggeris dalam kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah
menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam
bahasa Inggeris.

Jurang yang timbul antara murid-murid luar bandar dengan murid bandar juga
semakin melebar sejak pelaksanaan PPSMI. Hal ini bertentangan dengan kehendak aspirasi
ekuiti dalam PPPM iaitu untuk merapatkan jurang pencapaian antara luar bandar dan
bandar. Keputusan kerajaan memansuhkan pelaksanaan PPSMI pada pandangan pengulas
dilihat sebagai satu tindakan yang bijak demi masa depan pendidikan negara amnya dan
perpaduan nasional khususnya.

Untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam sistem pendidikan, penulis telah
menekankan peranan dasar kerajaan ke arah perpaduan. Menurut penulis, dasar-dasar
awam merupakan alat yang digunakan untuk memastikan pentadbiran kerajaan berjalan
dengan lancar dalam membangunkan masyarakat dan negara. Pada pandangan pengulas,
kerajaan memainkan peranan penting dalam membentuk perpaduan nasional. Kecekapan
pengurusan sesuatu dasar dan strategi mempengaruhi pembentukan perpaduan dalam
kalangan masyarakat.

Melalui peranan dasar kerajaan, murid-murid di sekolah memperolehi akses kepada


pelbagai maklumat seperti contoh penggabungan elemen-elemen kebudayaan, pemakanan
dan adat resam kaum lain. Kualiti pendidikan juga akan dapat ditingkatkan melalui
penyelarasan semula sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menggunakan isi
kandungan yang sama dan menambah Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa wajib.
Pada pandangan pengulas, penggunaan isi kandungan yang sama serta pengekalan
bahasa kaum masing-masing ini menyediakan peluang menyediakan pendidikan yang
terbaik kepada setiap kanak-kanak.
4.0 PENUTUP

Misi kementerian pelajaran Malaysia ialah membangunkan sistem pendidikan yang


berkualiti dan bertaraf dunia, di samping memperkembangkan potensi individu sepenuhnya
dan memenuhi aspirasi negara. Sistem pendidikan merupakan asas penting bagi
membangunkan masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik. Malaysia merupakan
negara yang mempunyai masyarakat majmuk di mana setiap dasar yang dilaksanakan perlu
selari dengan keperluan masyarakat. Dasar pendidikan yang dilaksanakan bukan sahaja
bertujuan untuk memberi pelajaran di sekolah semata-mata malahan sebagai alat untuk
merealisasikan perpaduan bangsa.

Dasar dan strategi yang dirangka oleh kerajaan Malaysia sejak sebelum merdeka
sehingga kini mengalami perubahan sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa.
Dasar sebelum merdeka di mana kewujudan sekolah vernakular merupakan pencetus
kepada pengasingan kaum dan sekaligus menghalang kepada hasrat untuk perpaduan
nasional. Hasil daripada pelaksanaan dasar dan strategi oleh kerajaan Malaysia, wujud
pelbagai rancangan ke arah perpaduan nasional. Rancangan pelaksanaan adalah meliputi
pembentukan pelan pembangunan pendidikan yang mampu membawa perubahan kepada
sistem persekolahan sebagai alat untuk perpaduan. Seterusnya dengan kewujudakan
sekolah-sekolah khas seperti sekolah wawasan untuk perpaduan, sekolah bestari untuk
perkembangan ICT dan sekolah kluster untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah.

Dalam melaksanakan segala dasar dan strategi ke arah perpaduan nasional, timbul
beberapa halangan dalam sistem pendidikan. Isu dan masalah yang timbul meliputi sistem
persekolahan pelbagai aliran, Pengajaran Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris, pengisian kurikulum dan ko-kurikulum serta merealisasikan wawasan 2020. Bagi
mengatasi masalah dan isu yang wujud dalam sistem pendidikan, pelbagai langkah boleh
dilaksanakan di mana pihak kerajaan memainkan peranan yang paling utama ke arah
perpaduan nasional. Pelaksanaan dasar kerajaan, sistem penyampaian maklumat dan
hubungan dengan masyrakat perlu sentiasa dijaga.

Sesungguhnya, perpaduan dan integrasi adalah suatu unsur yang sangat penting
bagi mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur, kestabilan politik dan
perkembangan ekonomi yantg pesat. Tugas ini tidak seharusnya dipertanggungjawabkan
hanya kepada pihak kerajaan sahaja, tetapi semua lapisan masyarakat harus
menyumbangkan tenaga bagi merealisasikan impian murni ini.

You might also like