You are on page 1of 7

ULASAN ARTIKEL / ARTICLE REVIEW

Pembinaan Negara Bangsa Malaysia: Peranan Pendidikan Sejarah


Dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, 2009, Oleh Mohamad Rodzi
Abd Razak, Jebat 36 90-106, UKM, 17 hlm.

PENGENALAN
Artikel ini merupakan hasil kajian dan oleh Mohd Rodzi Abd Razak yang merupakan
pensyarah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap kepentingan kepentingan
sejarah dan matapelajaran sejarah sebagai mekanisme pengukuhan negara bangsa
Malaysia di samping menjayakan matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Perbincangan dalam artikel ini adalah untuk memberi gambaran yang jelas kepada
kumpulan sasarnya tentang pentingnya sejarah dibangunkan sebagai satu mata
pelajaran bagi membangunkan berperanan sebagai wahana utama membentuk
perpaduan masyarakat dan seterusnya mencorakkan pembentukan negara bangsa.
Penulis juga telah menekankan pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama
sesebuah negara dan boleh dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara,
pentadbiran serta penduduknya. Walaupun sudah melampaui abad ke 21 ini, persoalan
pembinaan negara bangsa masih berlegar dalam perbahasan dikalangan pelbagai pihak
khususnya para sarjana. Dalam hal ini, penulis menyatakan pengetahuan sejarah
khususnya sejarah nasional akan membolehkan sesuatu bangsa terutamanya generasi
muda menjadi lebih prihatin terhadap bangsa dan pembangunan negaranya.

PENILAIAN KANDUNGAN KESELURUHAN


Secara keseluruhan kandungan penulisan ini adalah mengenai kepentingan sejarah dan
matapelajaran sejarah sebagai mekanisme pengukuhan negara bangsa Malaysia di
samping menjayakan matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan. Penulis juga telah
memberikan hujah-hujah dengan melihat persoalan-persoalan yang sensitif dan
menggugat sentimen masyarakat berbilang bangsa diungkitkan kembali secara
berleluasa oleh individu dan pihak tertentu. Demi memperjuangkan kepentingan kaum
masing-masing, isu-isu yang melibatkan hak keistimewaan, persoalan ketuanan, serta
peranan mahupun sumbangan ditimbulkan bagi memperlihatkan kerelevanan tersebut.
Hujah-hujah penulis juga disokong dengan memberi pendapat dan amalan yang telah
dilakukan dalam proses pembinaan negara bangsa Malaysia.
Penulis telah berjaya memberikan banyak pendapat daripada para sarjana dan
ilmuan tentang kesedaran tentang pentingnya subjek sejarah ini diperluas
penggunaannya dalam sistem pendidikan. Selain itu, penulis juga menelusuri ucapan
tokoh-tokoh pemimpin dalam membahaskan dan menjelaskan penting sebuah negara
bangsa itu dilahirkan di Malaysia. Hal ini ditegaskan dengan hanya perpaduan mampu
untuk mencapai matlamat tersebut. Walaupun bangsa Malaysia dianggap masih jauh
dari jangkauan namun usahausaha bagi mencapai matlamat tersebut sewajarnya
dilaksanakan secara konsisten khususnya melalui pendidikan
Pendidikan pula dilihat sebagai alat bagi mencapai tujuan tersebut khususnya
melalui tinjauan terhadap perkembangan Dasar Pendidikan Negara. Penulis telah
menilai sejauhmana keberkesanan kedua-dua elemen berkenaan serta beberapa saranan
bagi memantapkan usaha membina negara bangsa Malaysia melalui saluran
pendidikan. Di sebalik kesukaran dan pelbagai alasan yang memungkinkan kegagalan
mencapainya ia sebenarnya sesuatu yang tidak mustahil untuk dikecapi. Melalui
pengalaman sejarah yang disalurkan secara sistematik khususnya melalui sektor
pendidikan impian untuk membentuk negara bangsa yang selama ini berteraskan
kepada bangsa idaman mungkin akan menjadi kenyataan. Sejarah dan pendidikan
berupaya menjadi alat bagi mencapai matlamat tersebut seterusnya membentuk bangsa
Malaysia yang mempunyai jati diri dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada
negara.
Penulis menjelaskan bahawa matlamat ini tidak mustahil dicapai jika semua
rakyat Malaysia mempunyai kesedaran, menghayati sejarah, menyedari kedudukan diri
dan menjadikan pendidikan sejarah sebagai alat terpenting bagi mencapai matlamat
tersebut. Akta Pendidikan 1995 umpamanya menekankan kepentingan ilmu sebagai
penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa. Akta yang sama turut
menegaskan peri penting Dasar Pendidikan Kebangsaan yang akan diterapkan melalui
sistem pendidikan kebangsaan bagi memenuhi keperluan negara serta memupuk
perpaduan negara dalam pelbagai bidang melalui sektor pendidikan.
Penulis juga menjelaskan bagi melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu,
bidang pendidikan akan berfungsi untuk membimbing dan mendidik murid-murid di
sekolah ke arah perpaduan. Keseimbangan ini mampu menjadi murid-murid sebagai
individu yang berguna kepada matlamat pengisian negara bangsa. Falsafah pendidikan
negara pula diperkenalkan sebagai kerangka kerja pendidikan ke arah penghasilan
individu seimbang tersebut. Dalam usaha merealisasikan matlamat pembentukan
negara bangsa, satu mekanisme sahaja tidak mampu berdiri sendiri. Semua elemen baik
bahasa, budaya, ideologi, politik, sosial, sejarah, pendidikan dan sebagainya perlu
diadun dan digembelingkan bagi memudahkan pencapaian hasrat tersebut. Sebagai
elemen wajib bagi setiap warganegara sekurang-kurangnya hingga ke peringkat
menengah, pendidikan merupakan mekanisme terbaik. Di samping matapelajaran lain
khususnya Bahasa Melayu sebagai alat pemersatu atau sebagai asas pembentukan
identiti nasional, sejarah seharusnya diajar dan dipraktikkan di semua peringkat atau
tahap pengajian. Namun, mewajibkan sahaja tentunya tidak memadai.
Oleh itu, sumbangan kaum, masyarakat dan tokoh yang terlibat dalam
perkembangan sejarah negara harus dicakupi secara menyeluruh dan bukannya terpilih-
pilih (selected). Pandangan pelbagai pihak perlu diambilkira dalam merangka sukatan
matapelajaran bagi mengelakkan kesinambungan status quo sedia ada. Sehubungan
dengan orientasi pembelajaran, sumber pengajaran dan pembelajaran sejarah hendaklah
bersandarkan kepada sumber bacaan yang lebih akademik dan ilmiah. Penggunaan
sumber-sumber juga perlu diperluaskan kepada bacaan-bacaan seperti jurnal, karya-
karya ilmiah kepada pelajar diperingkat sekolah menengah atas didedahkan dengan
penggunaan sumber-sumber primer. Melalui pendekatan ini, ufuk pembacaan guru dan
pelajar akan menjadi lebih meluas bagi membolehkan mereka memahami hakikat atau
pengertian sebenar sejarah dan pensejarahan.
Penulis juga menjelaskan bahawa bahan bacaan yang selama ini menjadi kitab
rujukan pelajar-pelajar seperti nota-nota ringkas dan panduan menjawab peperiksaan
hendaklah dihadkan kerana ia menggalakkan pelajar-pelajar kepada kaedah menghafal
semata-mata tanpa menilai secara kritis pengajaran disebalik sesuatu peristiwa sejarah.
Bagi memperkukuhkan hasrat tersebut asas pembelajaran sejarah perlulah
diperkenalkan disemua peringkat pengajian termasuk sekolah rendah. Walaupun
terdapat matapelajaraan kajian tempatan diajar pada tahap dua sekolah rendah namun
orientasi pembelajaran tidak memberi penekanan terhadap pemahaman sejarah yang
sebenarnya. Oleh itu, pelajar-pelajar seharusnya didedahkan dengan asas sejarah sejak
di peringkat akar umbi walaupun pada tahap yang paling minima.
Bagi pendapat pengkaji, terdapat kredibiliti yang tinggi terhadap kandungan
penulisan penulis. Ini kerana setiap hujah penulis disertakan dengan sokongan pendapat
para ilmuan, bukti-bukti amalan dan siri-siri kejayaan yang meyakinkan. Bagi pengkaji
penulis Berjaya menyakinkan pembaca dengan kredibiliti kandungan yang
dikemukakan ini. Gaya penulisan penulis ini lebih kepada memberi hujah, pendapat dan
bukti serta sokongan daripada para sarjana, ilmuan, ahli politik tidak kira dari luar atau
dalam negara. Namun begitu penulis menggunakan bahasa yang terus dan mudah
difahami tentang massage yang cuba dibawa dalam penulisannya ini. Melalui sokongan
dan bukti kejayaan yang dikemukakan juga, penulis difikirkan berjaya meyakinkan
pembaca tentang keperluan kepada kemahiran kreativiti, invensyen dan inovasi dalam
membangunkan modal insan masa kini.

KEKUATAN ARTIKEL
Penulisan jurnal ini mempunyai banyak kekuatan memandangkan penulis berpegang
kepada fakta dan pendapat-pendapat ahli sarjana dan pakar dalam menguatkan hujah
yang diberikan. Penulis ini juga, berjaya membawakan kesedaran kepada pembaca
tentang perkembangan dan impak terhadap subjek sejarah ini dalam sistem pendidikan
di Malaysia dari dahulu sehingga sekarang. Dari penulisan ini juga penulis berjaya
menyedarkan pembaca tentang kepentingan pembangunan sistem pembelajaran sejarah
yang lebih terarah kepada kefahaman akademik dan ilmiah kepada masyarakat
Malaysia supaya dapat mewujudkan masyarakat yang benar-benar memahami sejarah,
mewujudkan masyarakat bersatu padu serta merealisasikan pembinaan sebuah negara
bangsa.
Seterusnya adalah penulis jurnal ini telah menyusun maklumat dengan
sistematik dan teratur. Ini memudahkan lagi penyampaian maklumat dengan lebih jelas
dan mudah. Maklumat yang berlainan telah disusun dengan menggunakan subtopik
yang berlainan. Malah perincian telah dibahagikan dengan bahagian-bahagian utama.
Dalam abstrak kajian juga telah diletakkan beberapa kata kunci bagi memudahkan
pembaca. Selain itu, penulis jurnal ini juga berusaha untuk menunjukkan perubahan
yang dialami oleh sistem pendidikan Malaysia secara teratur dan menerangkan dengan
jelas tentang sistem pendidikan Malaysia yang turut disertakan dengan statistik dan
pencapaian. Apabila membaca jurnal ini, para pembaca mendapat pelbagai info tentang
sistem pendidikan Malaysia dan objektifnya.
Seterusnya ialah sumber yang dirujuk dalam penghasilan jurnal ini. Penulis
telah merujuk bahan rujukan yang mempunyai banyak fakta dan dapatan kajian
termasuk melalui temubual. Malah, dapatan kajian ini telah disokong dengan dapatan
kajian yang lain serta maklumat tambahan seperti Report of the Education Committee,
surat-surat khabar dan bahan-bahan lain. Ini telah menguatkan lagi hasil dapatan kajian
ini serta fakta yang diutarakan oleh penulis.
KELEMAHAN ATIKEL
Melalui penulisan ini pengulas menyedari keperluan penting bagi membangunkan
sejarah dan pendidikan yang berupaya menjadi alat bagi mencapai matlamat dalam
memperluaskan fahaman sejarah seterusnya membentuk bangsa Malaysia yang
mempunyai jati diri dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara. Namun
demikian, menyedari rakyat Malaysia yang agak kurang berminat dalam bidang sejarah
ini yang terdapat dalam sistem pendidikan adalah kerana bagi mereka bidang sejarah
merupakan kisah masa lampau yang telah lepas tidak perlu untuk terus dibicarakan dan
dikaji. Tidak semua masyarakat benar-benar meminati bidang ini terutama mereka yang
lebih berminat dengan bidang kemahiran kerana bagi mereka sejarah hanya sekadar
membaca dan menghafal untuk memenuhi keperluan peperiksaan mereka di sekolah
dan universiti.
Masalah dalam artikel ini hanya mengutarakan isu-isu berkenaan keperluan
yang diperlukan oleh setiap pelajar bagi mencapai tahap kefahaman matapelajaran
sejarah yang efektif dalam bilik darjah. Selain itu, penulis hanya mengetengahkan isu
pendekatan pembelajaran dan sukatan pelajaran sejarah termasuk ciri-ciri guru yang
perlu mengajar. Namun kajian ini tidak memberikan kriteria-kriteria atau personaliti
yang spesifik bagi setiap pelajar yang mana harus di ambil perhatian. Faktor
persekitaran, dan latar belakang kehidupan juga perlu diberi perhatian untuk meneliti
sebab dan berlakunya sesuatu isu atau permasalahan yang menyebabkan kurangnya
penghayatan pelajar terhadap matapelajaran sejarah.
Menyedari, selama ini walaupun dalam sistem pendidikan juga mengemukakan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1988. Kurikulum KBSR dan KBSM
dihasilkan bagi tujuan untuk membentuk individu murid yang menyeluruh dan
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Akta Pendidikan yang
berfokuskan kepada kesinambungan dasar-dasar sedia ada dan kepada pembangunan
pentadbiran pendidikan dan pembangunan beberapa jenis pendidikan, khususnya
pendidikan pra-sekolah, pendidikan khas, pendidikan tinggi, dan pendidikan swasta.
Namun ia sebenarnya gagal dilaksanakan. Keperluan menjana pemikiran dan fahaman
mengenai subjek sejarah ini hendaklah lebih bersifat praktikal dan berorentasikan
kepada pelajar agar mereka boleh membudayakan integrasi nasional serta kerjasama
perpaduan ini dalam kehidupan seharian mereka.
Di samping itu juga, kesedaran sahaja terhadap keperluan menguasai kemahiran
ilmu pendidikan ini tidak mencukupi jika tidak diikuti dengan tindakan dan pelaksaan
secara menyeluruh dan adil menentukan sukatan pelajaran sekolah serta peranan yang
dimainkan oleh pemerintah, penggubal dasar mahupun tenaga kerja yang terlibat dalam
sektor pendidikan bagi menggalakkan matapelajaran ini dari terus berkembang.
Menyedari akan hal ini perlu diberi penekanan termasuklah sukatan matapelajaran yang
harus mengesampingkan kepentingan politik semata-mata di samping aspek geografikal
yang lebih meluas khususnya yang melibatkan sejarah Sabah dan Sarawak. sumbangan
kaum, masyarakat dan tokoh yang terlibat dalam perkembangan sejarah negara harus
dicakupi secara menyeluruh dan bukannya terpilih-pilih.
Menurut penulis, kaedah pengajaran sejarah hendaklah menekankan kepada
persoalan yang lebih bersifat sejarah gunaan (applied history) berbanding kaedah
konvensional yang memberi perhatian kepada kaedah hafalan khususnya aspek tarikh
dan peristiwa (date and event). Bagi meningkatkan keberkesanan kesedaran dan
pemahaman, sejarah perlu diajar sebagai disiplin akademik bukannya alat memenuhi
keperluan kenegaraan semata-mata. Orientasi pembelajaran pula sewajarnya
ditekankan kepada matlamat pembangunan bersepadu dan bukannya untuk tujuan
peperiksaan semata-mata. Apa yang jelas berlaku sehingga kini, baik dipihak pelajar,
sekolah apatah lagi ibubapa, kejayaan cemerlang dalam peperiksaan adalah kemuncak
segala-galanya. Bagi mencapai matlamat tersebut matapelajaran sejarah perlu diajar
secara berkesan oleh guru-guru yang berkelulusan sejarah sahaja. Pada masa kini,
mungkin disebabkan oleh permasalahan lambakan guru atau disebabkan prinsip
tangkap muat terdapat sekolah-sekolah yang menugaskan guru-guru yang bukan dari
opsyen sejarah untuk mengajar matapelajaran ini. Keadaan ini menimbulkan
permasalahan besar kerana guru berkenaan tidak memiliki asas pengetahuan sejarah.
Namun demikian, pihak terlibat perlu mencari alternatif untuk menyelesaikan masalah
guru ini dengan mengadakan khusus sejarah atau pengkajian sejarah dengan lebih
mendalam dan secara akademik dan ilmiah kepada guru-guru yang perlu mengajar
sejarah. Melalui kelulusan khusus tersebut, guru tersebut dikatakan layak untuk
mengajar pelajar agar lebih memahami sejarah.
Penulis sangat sedar dalam usaha merealisasikan matlamat pembentukan negara
bangsa, satu mekanisme sahaja tidak mampu berdiri sendiri. Semua elemen baik bahasa,
budaya, ideologi, politik, sosial, sejarah, pendidikan dan sebagainya perlu diadun dan
digembelingkan bagi memudahkan pencapaian hasrat tersebut. Apa yang lebih penting
di sini adalah keperluan membina jati diri yang kuat bagi setiap pelajar supaya
pembelajaran sejarah yang didikuasai bukan akan hanya membawa kepada impak
positif dan membantu perkembangan ekonomi, politik, sosial dan perpaduan dalam
negara tetapi juga ke arah sebuah negara maju dan mewujudkan bangsa Malaysia yang
bersatupadu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama, berintegrasi
di peringkat Wilayah dan antara kaum berasaskan persamaan hak dan keadilan seperti
yang diaspirasikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia dalam Wawasan 2020.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Antara cadangan untuk penambahbaikan artikel ini yang mungkin boleh
dipertimbangkan adalah penulis boleh mengupas dengan lebih lanjut dan jelas
mengenai langkah dan strategi bagi menangani kekangan dan permasalahan yang
timbul dalam perlaksanaan pendidikan matapelajaran sejarah bukan sekadar
membincangkan mengenai permasalahan dalam pelaksanaan semata-mata dalam
memberi lebih kefahaman sebenar mengenai sejarah Malaysia itu bagaimana perlu
dipraktikkan. Ini mampu memberikan nilai yang lebih kepada artikel ini kerana
pandangan penyelidik dan dapatan kajian boleh menjadi maklumat kepada pihak
pengurusan kurikulum, guru malah pihak Kementerian Pelajaran dalam menangani
masalah yang timbul bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.
Selain daripada mencadangkan mata pelajaran sejarah diperkenalkan di semua
peringkat sekolah, universiti dalam sistem pendidikan di Malaysia, pengulas
mencadangkan agar mata pelajaran ini diadakan lebih awal, seawal di peringkat
prasekolah atau tadika kerajaan atau swasta. Hal ini juga memerlukan peranan ibu bapa
supaya mendedahkan ilmu sejarah ini di rumah. Pengetahuan asas mengenai sejarah
sekurang-kurangnya mampu diketahui lebih awal oleh kanak-kanak ini. Hal ini kerana,
bagi pendapat pengulas di peringkat awal kanak-kanaklah lebih mudah membentuk
pemikiran berbanding setelah meningkat dewasa. Pendapat ini sesuai dengan pepatah
Melayu yang menyatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Selain itu, kebanyakan pelajar tidak minat belajar Sejarah kerana tidak
mengetahui manfaat mempelajarinya. Bahan P&P tidak menarik dan membosankan.
Pelajar berasa dipaksa untuk mempelajarinya kerana subjek teras. Mereka juga
mengambil masa terlalu lama untuk mempelajarinya. Beberapa cadangan diberikan
antaranya, menggubal semula sukatan pelajaran sejarah sedia ada. Kaedah, teknik dan
pendekatan yang lebih sesuai terkini dan mudah difahami oleh pelajar melalui P&P
sejarah. Sebelum subjek sejarah diajar di tingkatan satu, guru sejarah mestilah
menekankan kepentingan sejarah sebagai ilmu yang dapat memperkukuhkan jati diri,
akar bangsa dan semangat patriotisme. Guru Sejarah diberi kursus untuk teknik
pengajaran kerana P&P guru sejarah kurang berkesan memberikan penghayatan dan
pemahaman sejarah tanah air kepada para pelajar. Setiap guru mestilah menggunakan
pelbagai kaedah seperti aplikasi teknologi maklumat (IT) dan P&P terkini seperti
kaedah multimedia dalam pendidikan yang menggabungkan teks, kesan bunyi, vokal,
muzik, filem, animasi, video berserta perisian komputer yang interaktif. Proses P&P
akan menjadi lebih menarik, iaitu interaktif antara guru dan murid, interaktif guru
dengan bahan pengajaran, interaktif murid dengan bahan pengajaran dan interaktif
murid dengan murid. Sesekali lakukan interaktif tokoh sejarah dengan murid di sekolah.
Sehubungan itu, kurikulum Sejarah yang sedang dilaksanakan ketika ini,
diberikan penekanan berasaskan kesepaduan dan kesinambungan. Di samping
pengetahuan sejarah, konsep dan kemahiran asas disiplin sejarah seperti pemikiran
sejarah dan unsur patriotisme diperkukuh dalam proses P&P. Dalam usaha melahirkan
generasi yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara, pendekatan P&P Sejarah
menjurus kepada pemupukan pemikiran sejarah di kalangan pelajar di samping
kandungan kurikulum Sejarah. Apa yang paling penting pelajar dapat menghayati dan
memahami jalur sejarah bangsa dan negara sebagai asas membina jati diri, ke arah
pembinaan negara bangsa dan semangat patriotisme.

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya dapatlah disimpulkan bahawa, penulisan artikel ini dapat
menyedarkan pembaca tentang kepentingan sejarah dan matapelajaran sejarah sebagai
mekanisme pengukuhan negara bangsa Malaysia di samping menjayakan matlamat
Dasar Pendidikan Kebangsaan. Membina sebuah negara-bangsa yang sempurna
bukanlah tugas mudah apatah lagi bagi sebuah negara seperti Malaysia. Dengan
kepelbagaian kaum serta etnik dari latar sejarah, bahasa dan budaya yang berbeza serta
diperkukuhkan pula oleh sentimen warisan berbeza menyumbang kepada munculnya
persoalan dan masalah yang kompleks
Di sebalik kesukaran dan pelbagai alasan yang memungkinkan kegagalan mencapainya
ia sebenarnya sesuatu yang tidak mustahil untuk dikecapi. Melalui pengalaman sejarah
yang disalurkan secara sistematik khususnya melalui sektor pendidikan impian untuk
membentuk negara bangsa yang selama ini berteraskan kepada bangsa idaman mungkin
akan menjadi kenyataan. Sejarah dan pendidikan berupaya menjadi alat bagi mencapai
matlamat tersebut seterusnya membentuk bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri
dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara. Penulisan ini sedikit sebanyak
mendedahkan kita kepada pelbagai kaedah dan prosedur yang boleh digunakan sebagai
bahan kajian di masa hadapan untuk mencari penyelesaian atau kaedah yang lebih
berkesan dalam meningkatkan kualiti pengajaran yang berkesan dalam Dasar
Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum pendidikan sejarah dalam penbinaan sebuah
negara bangsa Malaysia.

You might also like