You are on page 1of 9

1.

Pengenalan

WHO melaporkan bahawa bunuh diri merupakan punca kematian kedua dalam kalangan
mereka yang berusia antara 15 hingga 29 tahun di seluruh dunia tanpa mengenal agama dan
kaum. Separuh daripada kes berkaitan mental di dunia bermula pada usia 14 tahun, demikian
fakta mengejutkan yang dikongsi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini. Lebih
menakutkan ialah anggaran bahawa bagi setiap seorang individu yang mati akibat bunuh diri,
terdapat 20 orang lagi yang cuba untuk membunuh diri. Di Malaysia, insiden bunuh diri juga
semakin meningkat dalam kalangan remaja tanpa mengira kaum. Risiko membunuh diri dalam
kalangan pelajar sekolah makin membimbangkan apabila remaja seawal usia 13 tahun disahkan
mempunyai kecenderungan atau merancang untuk berbuat demikian. Kajian itu juga mengesan
bahawa daripada kira-kira 5.5 juta remaja, seorang daripada 5 anak muda mengalami
kemurungan. Malah, seorang remaja dari 10 remaja direkodkan mengalami tekanan perasaan.

Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017, Kementerian Kesihatan


mendedahkan, 11.2 peratus remaja dalam kelompok itu mempunyai idea untuk membunuh diri,
sembilan peratus merancang untuk bunuh diri dan 10.1 peratus melakukan cubaan untuk bunuh
diri. Namun, apa yang menyedihkan, kebanyakan kes berkenaan gagal dikesan bagi
membolehkan rawatan dapat diberi secepat mungkin. Kajian turut menunjukkan wujud kaitan
antara kemurungan kronik dengan perbuatan membunuh dan biasanya mangsa cuba mencari
jalan keluar dengan mengambil dadah, pil khayal, merokok atau minum arak. Masalah
berkaitan mental kian berleluasa di negara ini dengan ada di antaranya membawa kepada
kematian. Kurangnya pengetahuan berkaitan masalah atau penyakit mental dalam kalangan
masyarakat menyebabkan ramai yang memandang ringan mengenai isu ini.

Malah, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, banyak kes bunuh diri
melibatkan remaja Malaysia dilaporkan media. Antaranya ialah pelajar perempuan berusia 14
tahun yang menggantung dirinya pada 22 Jan kerana dituduh mencuri telefon. Dia meninggal
dunia pada 1 Feb semasa diberi rawatan intensif. Pada 2 April pula, seorang pelajar institusi
pengajian tinggi yang juga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia bertindak terjun daripada
sebuah bangunan pangsapuri. Dia kemudian disahkan mengalami masalah kemurungan. Pada
19 April, seorang penuntut lelaki Malaysia di Universiti Osaka, Jepun, bertindak menamatkan
riwayatnya sendiri di negara itu akibat kemurungan. Pemuda itu membunuh diri sebulan
selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-24. Pada 26 Jun, seorang penuntut kolej swasta
menembak mati dirinya di dalam tandas di sebuah kolej swasta di Subang Jaya setelah
mengharungi kemurungan berpanjangan. Pada 1 Okt, seorang pelajar Tingkatan 3 bertindak
terjun dari Tingkat 11 sebuah bangunan, dipercayai tertekan kerana bakal menduduki
peperiksaan PT3.

2. Definisi

Bunuh diri merupakan perbuatan untuk menamatkan hayat kerana tidak dapat berhadapan
dengan perkara yang gagal ditangani, dengan kebanyakannya berlaku kepada mereka yang
menghadapi tekanan fizikal mahupun mental. Bunuh diri juga ialah perbuatan untuk
menamatkan atau menghilangkan nyawa diri sendiri. Ianya boleh dilakukan dengan pelbagai
cara, dengan cara fizikal luaran, dalaman atau kedua-duanya sekali. Contoh cara luaran iaitu
membakar diri sendiri atau cara dalaman dengan menyuntik racun ke dalam badan sendiri.
Penyebab penamatan nyawa ini biasanya kerana enggan berhadapan dengan sesuatu perkara
yang dianggap tidak dapat ditangani. Kejadian membunuh diri ini lazimnya berlaku kepada
mereka yang menghadapi tekanan sama ada dari segi mental atau fizikal. Mereka ini akan
bertindak di luar pemikiran akal yang waras. Mereka ini juga selalunya daripada individu yang
bermasalah seperti masalah dalam keluarga, putus cinta, dan sebagainya.

3. Punca Utama Masalah Kesihatan Mental

Antara punca utama masalah kesihatan mental yang membawa kepada keputusan untuk
membunuh diri dikalangan remaja adalah :

i. Faktor genetik
ii. Konflik keluarga
iii. Banyak mengalami cabaran sukar, rendah harga diri dan kurang kemahiran daya
tindak.
iv. Sejarah hidup pahit atau tragedi kehilangan orang tersayang.
v. Masalah sosio-ekonomi seperti kewangan, kemiskinan, tiada kemudahan asas atau
tempat tinggal yang sesak dan kurang selesa.
vi. Banyak mengalami krisis hidup seperti masalah perhubungan atau perceraian
ibubapa.
vii. Berlaku keganasan dalam persekitaran.

Lebih menarik, WHO memberikan fakta bahawa kemurungan adalah punca utama masalah
kesihatan dan bunuh diri punca kematian utama selepas kemalangan jalan raya untuk golongan
berumur 10 tahun hingga 19 tahun. Maka merawat kemurungan boleh membantu
mengurangkan kes bunuh diri. Perlakuan remaja untuk membunuh diri berkait rapat dengan
faktor biologi, sosioekonomi, budaya dan persekitaran, dengan faktor kemiskinan dan
kegagalan akademik menjadi pendorong utama. Peratusan itu diperoleh berdasarkan kajian
yang dibuat ke atas 30,496 sampel terdiri daripada pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga
17 tahun. Mereka ialah pelajar di 212 sekolah menengah yang dipilih secara rawak di seluruh
Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental


(MIASA), Anita Abu Bakar turut menyatakan bahawa remaja yang berada dalam peringkat
membentuk identiti diri seakan ‘terperangkap’ antara peralihan usia kanak-kanak dan dewasa,
menyebabkan mereka cenderung berkelakuan terlalu ekstrem atau terlalu pendiam. Katanya,
masalah berkaitan kekeluargaan, persahabatan, percintaan atau hubungan dengan guru dan
rakan sebaya kerap menimbulkan tekanan kepada remaja. Ada kala cubaan bunuh diri
diceritakan kepada rakan, tapi rakan pula menganggapnya sekadar remeh. Ada juga luahan
dibuat di laman sosial, namun dipersenda kerana dianggap bahan gurauan. Kes cubaan bunuh
diri ada yang dibuktikan bukan dirancang, sebaliknya disebabkan krisis yang menimpa mangsa
secara tiba-tiba membuatkan remaja rasa bimbang, ketakutan dan tidak selesa.

Sebagai remaja yang dalam peralihan ke alam dewasa, mereka perlu melalui tempoh
yang meresahkan dengan banyak perubahan fizikal, psikologi dan sosial yang mengiringi
peringkat kehidupan itu. Kesukaran menangani tekanan yang dihadapi menyebabkan remaja
mudah terperangkap dalam kecelaruan emosi sehingga menjadi murung, kata Pakar Perubatan
Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Mental, Bahagian Kawalan Penyakit di Kementerian
Kesihatan Dr Nurashikin Ibrahim. Tambah beliau lagi, apabila remaja murung, mereka
cenderung mempunyai idea untuk membunuh diri, merancang membunuh diri, mencederakan
diri, cuba membunuh diri dan akhirnya bertindak bunuh diri.

Selain itu, perbuatan buli termasuk memburuk-burukkan penampilan seseorang remaja


juga memberi tekanan mendalam kepada individu itu. Kata-kata yang memperkecilkan
seseorang remaja seperti keadaan tubuhnya atau wajahnya boleh memberi kesan mendalam
sehingga dia mempunyai idea untuk mengambil nyawa mereka sendiri. Berdasarkan kajian
Pengguna Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2016
menunjukkan kadar penembusan jalur lebar di Malaysia mencapai hampir 78 peratus dengan
golongan yang masih bersekolah menghabiskan paling banyak masa dalam talian iaitu
sebanyak 20.9 jam seminggu.

Secara puratanya, penggunaan Internet dalam kalangan pelajar sekolah di semua negeri
di Malaysia melebihi 90 peratus. Suka atau tidak, realiti penggunaan gajet seperti telefon pintar
dan komputer membolehkan remaja ‘memperoleh segala-galanya’ dengan mudah tanpa
menyedari kesan buruknya termasuklah terlibat dengan masalah sosial seperti buli siber. Buli
siber adalah perbuatan menghina, mengejek, menipu, mempersenda, menyebar berita palsu
atau mengancam seseorang dengan menggunakan medium siber. Meskipun tiada kecederaan
fizikal yang dialami, namun banyak kajian menunjukkan buli siber memberi kesan yang lebih
serius berbanding fizikal. Ini termasuk mengganggu perkembangan emosi remaja
menyebabkan mereka merasa rendah diri dan berisiko mengalami masalah mental yang serius
seperti kemurungan dan keinginan untuk membunuh diri.

Ketagihan internet khususnya melalui penggunaan gajet secara meluas serta


implikasinya turut mendapat perhatian Pengarah Eksekutif Yayasan Kesihatan Mental Datuk
Dr Abdul Aziz Abdullah, yang menyuarakan kebimbangannya berhubung perkara itu. Beliau
berkata kajian NHMS menunjukkan enam daripada daripada tujuh remaja adalah pengguna
aktif manakala dua daripada tujuh remaja ketagihan permainan dalam talian, menonton
pornografi, berhubung dengan orang tidak dikenali dalam talian selain ada yang terlibat dengan
perbuatan buli siber. Ini adalah petunjuk yang jelas tentang kesihatan mental remaja di
Malaysia. Sekiranya tidak ditangani dengan baik dan bijak, ia kelak menimbulkan masalah
lebih besar dari aspek kesihatan mental.

4. Simptom-simptom Bunuh Diri

Seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental dan kemurungan kerana berhadapan
dengan masalah dalam hidup mereka lebih cenderung untuk menamatkan nyawa sendiri.
Antara simptom-simptom bunuh diri yang boleh dikenalpasti pada diri pesakit adalah :

i. Perubahan tingkahlaku dalam tempoh dua minggu (terlalu ceria atau mengasingkan
diri).
ii. Gagal dalam percintaan, menyatakan hidup tidak lagi berguna.
iii. Tidak berminat hadir ke kelas atau merosot pencapaian pelajaran.
iv. Menyatakan hasrat pergi jauh kebiasaanya di laman sosial.
v. Mudah marah, mendengar muzik luar biasa maksud dan rentak.
vi. Perubahan biologi seperti sukar tidur, kurang selera makan, tidur berlebihan atau
makan melebihi kadar biasa.
vii. Tidak menjaga penampilan diri terutama tahap kebersihan rupa paras.

5. Langkah mencegah bunuh diri.

Jika seseorang yang kita kenali berniat membunuh diri atau menunjukkan kecenderungan
bunuh diri, kita boleh membantu mereka untuk mencegah bunuh diri. Berikut lima langkah
yang boleh diambil.

i. Tanya untuk pengesahan.

Tanya mereka secara terus, “Anda rasa hendak bunuh diri?” Ini perlu agar kita
lebih jelas dengan niat mereka. Kemudian, dapatkan bantuan untuk mereka. Ini
menunjukkan anda ambil berat tentang mereka. Mereka mungkin menafikan
niat bunuh diri, tetapi anda boleh terus memerhatikan tanda-tanda lain.
ii. Pastikan mereka selamat.

Satu cara mencegah bunuh diri adalah dengan mengehadkan akses mereka
kepada objek atau tempat berbahaya. Jangan biar mereka simpan objek tajam
atau bahan beracun. Jangan biarkan mereka ke tempat tinggi atau berdekatan air
berseorangan. Tanya jika mereka merancang untuk bunuh diri, lalu terus
singkirkan alat atau kaedah bunuh diri berkenaan.

iii. Berada di sisi dan dengar.

Sentiasa ada di sisi mereka dan tunjukkan yang anda sedia membantu. Dengar
kata-kata mereka dengan teliti untuk memahami perasaan mereka. Berbicara
tentang perasaan mereka dan memperakui keinginan bunuh diri mereka boleh
mengawal kecenderungan bunuh diri.

iv. Dapatkan bantuan.

Kebanyakan kes bunuh diri disebabkan kemurungan klinikal. Rujuk kes begini
kepada pakar kesihatan mental profesional. Kenalkan mereka dengan NGO
seperti Befrienders, penasihat spiritual atau individu lain yang dipercayai yang
boleh membantu mereka. Simpan nombor penting dalam telefon anda dan
mereka agar mudah dihubungi apabila perlu.

v. Sentiasa berhubung

Selepas sesuatu krisis atau rawatan, teruskan berhubung rapat dengan mereka.
Perhatikan kelakuan berulang yang menandakan keinginan bunuh diri.

5. Peranan ibubapa dalam Menangani pelajar bermasalah ingin bunuh diri.

Pensyarah dan Doktor Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),
Dr Hazli Zakaria, menyatakan bahawa kajian NHMS mendapati, remaja seawal usia 11 tahun
sudah mula membuat penilaian terhadap kesan daripada sebarang tindakan, sama ada yang
dilakukan sendiri atau orang di sekeliling, terutama ibu bapa. Ada sesetengah remaja gagal
menyesuaikan diri dengan perubahan dalam tempoh membentuk peribadi. Tanpa sokongan ibu
bapa, mereka mula berasakan diri kosong serta berbeza daripada orang lain.

Hal ini mendorong remaja melakukan tindak balas berunsur kerosakan seperti
mencederakan diri sendiri serta bersikap impulsif (mudah terdorong), sekaligus cenderung
bertindak luar batasan dengan hanya sedikit provokasi atau kekecewaan. Dr Hazli berkata,
kajian di beberapa negara barat mendapati 27 hingga 39 peratus kes bunuh diri berlaku dalam
tempoh enam minggu daripada sesuatu mala petaka atau trauma yang dihadapi mangsa. Ini
membuktikan remaja yang berhasrat membunuh diri sebenarnya ingin menarik perhatian
keluarga, yang masalah itu hanya dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberi perhatian
rapi kepada anak sejak mereka kecil dan sentiasa berkongsi masalah dengan mereka.

Ibu bapa sepatutnya memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak tidak
'terperangkap' dalam tekanan emosi yang teruk. Menurutnya lagi, perbuatan ibu bapa
membandingkan anak-anak sama ada dari segi penampilan atau pencapaian akademik boleh
membawa padah yang tidak dijangka. Anak-anak stres apabila ibu bapa mahu mereka memilih
jurusan pengajian atau kerjaya yang tidak diminati dan akibatnya jiwa mereka tertekan.Ibu
bapa atau penjaga yang mengesan perubahan emosi anak-anak supaya segera membawa
mereka ke klinik atau pusat perubatan untuk didiagnos. Rawatan dan terapi boleh mengawal
dan mencegah mereka daripada melakukan perbuatan yang memudaratkan diri.

6. Peranan institusi pendidikan dalam menangani masalah bunuh diri

Dalam mencegah berleluasanya masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja,


Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran melaksanakan Program
Minda Sihat Sekolah sejak 2011, yang melibatkan 2,343 sekolah menengah di seluruh negara.

Program itu secara khususnya melaksanakan saringan bagi mengenal pasti tahap stres,
keresahan dan kemurungan pelajar (Depression, Anxiety and Stress Scale) sebelum melakukan
intervensi yang bersesuaian. Guru-guru juga diberi latihan untuk mengenal pasti masalah
kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan murid melalui skop ‘Sayangi Nyawa,
Hidupkan Harapan’ yang terkandung dalam Modul Latihan Sihat Minda.

Menurutnya Program Sihat Minda turut dicadang supaya diperluaskan kepada kalangan
pelajar kolej komuniti di seluruh negara. Selain itu, skop kesihatan mental dimasukkan dalam
ko-kurikulum sekolah seperti Doktor Muda dan kurikulum subjek pendidikan kesihatan dan
pendidikan moral. Justeru itu juga, Kementerian Kesihatan turut membangunkan Pelan
Tindakan Pencegahan Bunuh Diri Kebangsaan bagi melaksanakan usaha mencegah perbuatan
bunuh diri, di samping memperhalusi penyediaan Pelan Tindakan Strategik Kebangsaan
Program Kesihatan Mental. Ini merupakan antara usaha menangani tekanan mental yang
diusahakan kerajaan demi memastikan golongan remaja ini dapat menikmati hidup secara
berkualiti dan menjadi insan berjaya. Namun, hakikatnya usaha itu tidak sewajarnya dilepaskan
kepada pihak berwajib atau sekolah semata-mata sebaliknya harus turut digalas di peringkat
asas iaitu di rumah lagi.

7. Rumusan

Realitinya, remaja bukan robot yang perlu dididik bagi memastikan kecemerlangan akademik
semata-mata. Sebaliknya, mereka perlu dipupuk menjadi insan yang kaya dengan ciri-ciri
positif agar mampu melawan pengaruh negatif yang boleh menjerumuskan mereka dalam
tekanan mental.
Rujukan
Aida Adilah Mat. (2019). Bahana Murung.https://www.hmetro.com.my/WM/2019/10/508423/
(akses pada 28 November, 2019).
Nurul Riduan Nor Ashaha.(2019). Depresi Pembunuh Senyap Remaja Malaysia.
https://www.sinarharian.com.my/article/29093/Analisis-Sinar/ (akses pada 28
November, 2019).
Rashiqah Ilmi Abd Rahim dan Siti Azila Alias. (2018). Pelajar, Remaja Cenderung Bunuh Diri.
bhnews@bh.com.my (akses pada 27 November, 2019).

You might also like