You are on page 1of 9

1.

0 PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2012), rokok merupakan tembakau yang
digulung sama ada menggunakan daun nipah, kertas dan lain-lain. Tabiat merokok pula
ditakrifkan sebagai menghirup dan menghembus asap bahan tumbuhan yang terbakar seperti
ganja dan hashish (Hilton, Sweanor, Rose & Henningfield, 2019). Namun, tabiat merokok
lazimnya dikaitkan dengan tembakau yang digunakan di dalam rokok, cerut dan paip. Dalam
menongkah era dunia tanpa sempadan, masyarakat Malaysia masih lagi disogokkan dengan
gejala merokok yang membimbangkan. Malahan, merokok turut dilabel sebagai faktor risiko
kesihatan kedua terbesar yang menyebabkan kematian pramatang di seluruh dunia amnya
dan di Malaysia khususnya (2019, Myhealth). Menurut Nazirah Baharudin (2016), amalan
gaya hidup masyarakat Malaysia yang tidak gemar menjalankan aktiviti fizikal seperti
bersenam dan lebih cenderung kepada gaya hidup bebas seperti merokok, bersosial, minum
arak dan sebagainya mengakibatkan banyak masalah kesihatan yang kronik.

Gambar 1 Ilustrasi masyarakat kini yang terjebak dengan kegiatan merokok.

Isu rokok dan tabiat merokok merupakan masalah yang amat sukar untuk dibendung
kerana masyarakat pada masa kini masih kurang pengetahuan dan kesedaran mengenai
impak negatif tabiat merokok. Seperti yang diketahui umum, dalam tempoh jangka masa
panjang, individu yang kerap merokok akan mengalami kesan buruk khususnya dalam aspek
kesihatan. Statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut
menyatakan bahawa 10,000 rakyat Malaysia yang mati setiap tahun disebabkan penyakit
secara langsung dengan tabiat merokok, (Leong, 2019). Kerajaan dianggarkan perlu
memperuntukkan sebanyak RM7.4 bilion bagi menampung kos rawatan bagi penyakit kesan
daripada merokok seperti kanser paru-paru dan masalah jantung menjelang tahun 2025 jika
kawalan tembakau di Malaysia tidak dipertingkatkan dan kekerapan merokok tidak
dikurangkan (Tharanya Arumugam, 2018).

1
2.0 KANDUNGAN BAHAN KIMIA BERACUN DALAM ROKOK

Setiap batang rokok yang dinyalakan mengeluarkan lebih 4,000 bahan kimia
berbahaya dan terdapat sebilangan besar bahan kimia tersebut boleh menyebabkan kanser
dan membawa maut (Nordqvist, 2015). Gambar 1 menunjukkan beberapa bahan kimia
beracun yang mempunyai kandungan tertinggi dalam asap rokok. Setiap bahan kimia beracun
dalam asap rokok memberikan impak negatif kepada sama ada perokok mahupun bukan
perokok. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh National Health & Morbidity Survey III
(NHMS III) pada tahun 2015, seramai 8.09 juta rakyat Malaysia berumur 15 dan ke atas
terdedah kepada asap rokok secara langsung (secondhand smoker). Dapat dilihat bahawa
impak daripada asap rokok bukan sahaja kepada individu yang secara langsung
menggunakan rokok malahan kepada masyarakat di sekitar akibat kandungan bahan kimia
beracun yang dibebaskan melalui asap rokok (Samsuri Tirtosastro & A. S. Murdiyati, 2010).

Gambar 2 Bahan kimia beracun yang terkandung dalam sebatang rokok.

Sumber: https://www.stopsmokinghypnosisbayarea.com/what-
are-the-main-ingredients-in-cigarettes/

2
3.0 ISU – ISU MEROKOK DALAM KALANGAN MASYARAKAT DI DUNIA DAN
MALAYSIA

Penggunaan tembakau telah menurun kerana penguatkuasaan undang-undang yang


semakin berleluasa seperti larangan merokok di tempat awam yang sudah mula dilancarkan
sejak beberapa tahun di beberapa buah negara termasuklah Malaysia, China, Amerika
Syarikat dan Kanada. Walau bagaimanapun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan
bahawa aktiviti merokok semakin meningkat khususnya di negara-negara yang membangun.
Malahan, sesetengah negara menganggap tabiat merokok sudah sebati dengan budaya
masyarakat mereka seperti di negara Indonesia dan Lubnan.

3.1 10 NEGARA PALING RAMAI PEROKOK

Menurut Kay Suhaimi (2019), terdapat 10 negara yang tersenarai sebagai


negara yang mempunyai jumlah perokok tertinggi di dunia. Berikut merupakan statistik
jumlah perokok bagi 10 negara yang tersenarai :

PERATUS (%) PEROKOK


BIL. NEGARA (LELAKI DAN WANITA)

1. Kiribati 52.2%
2. Nauru 47.5%
3. Ukraine 43.3%
4. Greece 43.2%
5. Serbia 42.3%
6. Indonesia 39.8%
7. Rusia 39.1%
8. Lubnan 38.3%
9. Bosnia 38.2%
10. Chile 38%

Jadual 1 Senarai 10 negara yang mempunyai peratus perokok tertinggi di dunia.

Sumber: https://iluminasi.com/bm/10-negara-paling-ramai-perokok-di-dunia.html

3
Berdasarkan Jadual 1, negara Kiribati mencatatkan peratus tertinggi, iaitu
52.2% daripada jumlah penduduknya adalah perokok. Negara Kiribati yang terletak di
Pasifik Selatan ini mempunyai undang-undang tembakau yang longgar dan
kebanyakan tempat awam di negara ini tidak mempunyai larangan merokok.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengakui penggunaan tembakau di negara ini
sebagai satu “wabak”. Menduduki senarai kedua adalah negara Nauru dengan
bilangan perokok sebanyak 47.5% daripada jumlah penduduk di negara tersebut yang
populasinya kurang daripada 10,00 orang. Negara Nauru mempunyai lebih ramai
perokok dalam kalangan wanita berbanding lelaki yang hanya kurang daripada 50%
merokok. Seterusnya, Ukraine mencatatkan sebanyak 43.3% daripada jumlah
penduduknya adalah perokok dalam kalangan orang dewasa di mana mereka merokok
sekitar 15 batang rokok setiap hari. Walau bagaimanapun, kerajaan Ukraine telah
melaksanakan larangan merokok di semua tempat awam. Berikutan daripada tindakan
tersebut, terdapat penurunan aktiviti merokok di negara tersebut. Namun, peningkatan
terus berlaku 4 kali lebih banyak dalam kalangan remaja berbanding orang dewasa.

Diikuti dengan negara Greece dengan peratus perokok kira-kira 43.3%


daripada jumlah penduduknya. Walaupun larangan merokok telah dimulakan di negara
tersebut, namun kegiatan masih berleluasa. Negara Serbia mencatatkan peratus
perokok sebanyak 42.3% ekoran daripada undang-undang merokok yang longgar dan
masyarakat di negara tersebut mendakwa merokok adalah sebahagian daripada
kebudayaannya. Berdasarkan Jadual 1, negara Indonesia adalah satu-satunya negara
Asia dalam senarai tersebut di mana 39.8% daripada penduduknya merokok, iaitu
sekitar 106 juta orang. Di Indonesia, menghisap kretek dianggap sebagai aktiviti
budaya oleh orang ramai. Kretek merupakan sejenis rokok yang diperbuat daripada
campuran tembakau dan bunga cengkih. Namun, merokok dilabel sebagai penyebab
utama kematian pramatang di Indonesia setiap tahun. Manakala bagi negara Rusia
dan Lubnan, sebanyak 39.1% dan 38.3% daripada jumlah penduduk di kedua-dua
negara tersebut adalah perokok. Bagi negara Lubnan, merokok sudah sebati dengan
budaya masyarakat di negara tersebut. Bosnia dan Chile mencatatkan peratus perokok
sebanyak 38.2% dan 38% daripada jumlah populasinya.

4
3.2 STATISTIK PENGGUNAAN ROKOK DALAM KALANGAN REMAJA DAN
DEWASA DI MALAYSIA

Tingkah laku merokok dianggap sebagai aktiviti negatif dan sebahagian


perokok di Malaysia adalah daripada golongan remaja. Menurut Kobus (2003),
golongan remaja adalah paling mudah terpengaruh dengan aktiviti merokok. Pada fasa
remaja, sifat keinginan yang tinggi untuk mencuba menyebabkan remaja menjadi
seorang perokok dan ketagihan (Johnston, O’Malley & Bachman, 2001). Tinjauan yang
dilakukan oleh Global Youth Tobacco Survey (GYTS) Malaysia pada tahun 2003 dan
2009 mendapati, hampir 20% daripada perokok terdiri daripada golongan remaja. Bagi
setiap kumpulan 3 orang perokok remaja lelaki terdapat seorang perokok remaja
perempuan, iaitu dengan nisbah remaja perempuan ke remaja lelaki adalah 1:4. Dapat
dilihat bahawa penggunaan rokok dalam kalangan remaja pada masa kini menjadi
masalah endemik. Menurut Hafizah Sa’ari (2007), dianggarkan antara 50 hingga 60
peratus remaja memulakan tabiat merokok setiap hari. Daripada anggaran ini,
sebahagian besar daripada mereka mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk
menjadi penagih rokok apabila dewasa kelak.

Di samping itu, berdasarkan kajian yang telah dijalankan membabitkan seramai


7.499 pelajar sekolah menengah di 500 buah sekolah di seluruh Semenanjung
Malaysia mendapati seramai 5,628 (47.9%) remaja merokok bagi tempoh kurang
setahun, manakala sejumlah 2,113 (28.3%) merokok bagi tempoh tiga hingga enam
tahun dan seramai 294 (2.6%) merokok antara tujuh hingga sepuluh tahun. Dapatan
kajian tersebut juga menunjukkan seramai 6,750 (62.9%) remaja adalah perokok
terbaru, iaitu kurang dua tahun dalam peringkat mencuba. Manakala, Pelan Strategik
Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau 2015-2020 pula menyatakan bahawa seramai
4.7 juta orang berumur 15 tahun ke atas adalah perokok. Daripada angka tersebut,
kajian GYTS Malaysia pada tahun 2011 mendapati statistik bagi lelaki yang merokok
adalah seramai 4.64 juta, manakala seramai 0.10 juta adalah perempuan. Secara
puratanya, sebanyak 20.9% mengambil rokok setiap hari dan 2.3% merokok secara
berkala.

5
Bagi golongan dewasa pula, berdasarkan laporan NMHS III (2015), perokok
lelaki mewakili hampir 50% daripada jumlah perokok di Malaysia, iaitu seramai 276,913
lelaki dewasa yang berumur 25 tahun ke atas. Menurut Lim, Amal NM, Hanjeet K, Wan
Rozita WM & Sumarni MG (2005), seramai 60% lelaki mula merokok seawal usia 18
tahun. Dianggarkan 56.0% lelaki dewasa merokok kurang daripada 11 batang rokok
sehari dan 38.8% lelaki dewasa merokok sekurang-kurangnya 11-20 batang rokok
dalam sehari. Manakala, data daripada kajian Global Adults Tobacco Survey (GATS)
Malaysia pada tahun 2011 menyatakan seorang perokok menghabiskan 14 batang
rokok sehari dimana seramai 48.1% adalah lelaki yang lebih cenderung untuk
mempunyai rokok pertama mereka 30 minit selepas bangun pagi.

3.3 FAKTOR DAN KESAN PENGGUNAAN ROKOK

Tabiat merokok dalam kalangan penduduk Malaysia dipengaruhi oleh


beberapa faktor. Antaranya, faktor pengaruh rakan sebaya yang lazimnya berlaku
dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana, tinggal berjauhan daripada keluarga
menyebabkan rakan-rakan di universiti, kolej atau rakan sekerja menjadi individu
paling rapat dan lebih banyak masa diluangkan bersama bagi menjalankan kehidupan
seharian mereka. Oleh itu, tanpa pengawalan daripada ibu bapa, remaja mudah
terpengaruh dengan tingkah laku negatif seperti merokok. Selain itu, faktor tekanan
juga menyebabkan individu terjebak dalam kegiatan merokok kerana mereka
menganggap merokok sebagai cara untuk mengurangkan tekanan yang dialami.
Faktor sifat ingin tahu dalam diri individu juga menyebabkan seseorang individu
terjebak dalam gejala merokok. Tambahan pula, sifat ingin tahu ini didorong oleh
pemerhatian dan peniruan individu terhadap komuniti di sekitarnya. Berdasarkan teori
pembelajaran sosial Albert Bandura (1977), peniruan dan pembelajaran berlaku hasil
daripada pemerhatian individu semasa proses interaksi manusia dan persekitarannya.

6
Gambar 3 Faktor yang mendorong individu untuk merokok

Sumber: https://www.google.com/

Umum ketahui bahawa tabiat merokok memberikan banyak kesan negatif


kepada kesihatan diri individu dan persekitarannya. Menurut Hafizah Sa’ari (2007), di
Malaysia terdapat kira-kira 10,000 kematian setiap tahun yang dikaitkan dengan
amalan merokok. Daripada jumlah tersebut, digambarkan terdapat 38 kematian sehari
yang berpunca daripada amalan merokok. Memetik daripada laporan tersebut, rokok
direkokdkan sebagai penyumbang utama kematian dengan 20,000 kematian setiap
tahun. Dalam masa yang sama, kadar kematian yang dianggarkan adalah seorang
bagi setiap 1 jam. Menurut Hasmirizal Lubis (2014), tembakau menjadi penyebab
tingginya angka kematian, angka penyakit yang terjejas akibat rokok dan peningkatan
kos rawatan kesihatan Hal ini demikian kerana, dalam tempoh jangka masa yang
panjang, orang yang kerap merokok akan mengalami kanser paru-paru dan penyakit
jantung (Mahathir Yahaya, Noremy Md Akhir & Mohd Nazrie Sulaiman, 2018). Malah,
amalan merokok turut dikatakan sebagai satu elemen yang menjejaskan kualiti
kehidupan di hari tua.

7
Gambar 4 Kesan rokok terhadap jantung

Sumber: https://twitter.com/klinikmedifirst/status/1069069782614339585?lang=fr

Menurut Berman dan Snyder (2012), tabiat merokok juga boleh menjejaskan
kesihatan mental individu seperti kebimbangan (anxiety), skizofrenia dan kemurungan
(depression) malah menyebabkan perkembangan bayi dalam kandungan terbantut.
Selain itu, kesan jangka masa panjang merokok juga boleh mengakibatkan mati pucuk
dan mandul bagi golongan lelaki. Bagi golongan individu yang terdedah dengan asap
rokok atau lebih dikenali dengan secondhand smoker, risiko keguguran semasa
kehamilan dan kelahiran pramatang boleh berlaku. Kanak-kanak turut berisiko
mendapat penyakit asma akibat daripada jangkitan saluran pernafasan melalui asap
rokok (Bach, 2017). Bagi golongan dewasa yang terdedah kepada asap rokok berisiko
mendapat kanser paru-paru, kanser hidung, penyakit jantung dan iritasi pada mata.
Golongan bukan perokok yang tinggal bersama individu yang merokok mempunyai
20% hingga 30% kebarangkalian untuk mendapat kanser paru-paru dan strok akibat
daripada asap rokok.

8
Gambar 5 Kesan buruk jangka panjang akibat tabiat merokok

Sumber: https://twitter.com/kkmputrajaya/status/1077779780693413888

4.0 RUMUSAN

Kesimpulannya, isu merokok ini perlu diberi perhatian daripada semua pihak bagi
memperkasakan usaha menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan merokok hanya
memberikan impak negatif. Tingkah laku merokok tidak hanya memberikan kesan buruk
kepada individu itu sendiri malah kepada keluarga dan masyarakat di sekitarnya. Ibu bapa
wajar menjadi teladan yang baik kepada anak-anak. Di samping itu, Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM), pihak sekolah dan pihak media massa juga perlu memainkan peranan
signifikan untuk memastikan bilangan perokok dapat dikurangkan agar dapat mewujudkan
masyarakat yang sihat dan sejahtera. Masyarakat sendiri perlu sedar dan memandang serius
terhadap masalah endemik ini, lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja yang menjadi peneraju
masa hadapan agar kualiti produktiviti negara sentiasa terjamin dan dapat melahirkan sebuah
masyarakat yang seimbang dan harmonis secara menyeluruh.

(1,650 patah perkataan)

You might also like