You are on page 1of 34

BMCO 3106

KRITIKAN DALAM SASTERA

TAJUK TUGASAN:

TEORI KONSEPTUAL KATA KUNCI: SATU PENGANALISISAN SAJAK LAYU


KARYA MALIQUE IBRAHIM

DISEDIAKAN OLEH:

UMAR MUSTAQIM BIN MD HESHAMUDIN

1627093

DISEDIAKAN UNTUK:

DR. MOHAMAD ZUBER BIN ISMAIL

KULLIYYAH BAHASA DAN PENGURUSAN, UIAM PAGOH

SEMESTER 1, 2019/2020

i
TEORI KONSEPTUAL KATA KUNCI: SATU PENGANALISISAN SAJAK LAYU

KARYA MALIQUE IBRAHIM

ABSTRAK

Sastera ialah wadah hiburan yang mengandungi mesej dan nilai estetika apabila diolah
dengan perasaan yang diluahkan oleh penulisnya. Bidang pengajian kesusasteraan
mengandungi tiga disiplin ilmu, iaitu sejarah sastera, teori sastera dan kritikan sastera.
Sehingga kini, pelbagai teori kritikan sastera telah diasaskan oleh pengkritik sastera
tempatan. Antaranya ialah teori Puitika Sastera Melayu, Takmilah, Rasa-Fenomenologi,
Persuratan Baharu, dan Konseptual Kata Kunci. Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih
sajak berjudul Layu sebagai bahan kajian untuk dianalisis dengan berpandukan teori
Konseptual Kata Kunci yang diasaskan oleh Mohamad Mokhtar Hassan. Sajak tersebut telah
ditulis oleh seorang penyanyi rap tempatan, iaitu Malique Ibrahim. Kajian ini dijalankan
kerana kurangnya kajian kritikan sastera yang menerapkan teori Konseptual Kata Kunci
terhadap bahan kajian berbentuk sajak. Seterusnya, pengkaji telah menetapkan dua objektif
bagi kajian ini: i.) mengenal pasti kehadiran prinsip Pemilihan Kata (Diksi) dan prinsip
Kesan berdasarkan teori Konseptual Kata Kunci dalam sajak Layu oleh Malique Ibrahim dan
ii.) menganalisis prinsip-prinsip tersebut berdasarkan teori Konseptual Kata Kunci dalam
sajak Layu oleh Malique Ibrahim. Tiga prinsip bagi teori tersebut ialah prinsip
Kepengaruhan, Pemilihan Kata (Diksi) dan Kesan. Kemudian, garis panduan bagi kajian ini
telah diperlihatkan dalam bahagian Kerangka Konseptual Kajian. Setelah bahan kajian
dibaca dan diteliti oleh pengkaji, empat konsepsi dalam bahagian Pengklasifikasian Prinsip
Pemilihan Kata (Diksi) telah dikenal pasti- Konsepsi Lemah, Kealpaan, Ketakutan dan
Kesedihan. Selain itu, bahagian Pengklasifikasian Prinsip Kesan pula merangkumi tiga
konsepsi kesan pembacaan sajak tersebut kepada pembacanya, iaitu keperluan untuk
bermuhasabah terhadap segala kekurangan yang wujud dalam sesebuah bangsa, nasihat yang
diberikan oleh penulis kepada bangsanya sendiri dan amanat atau harapan yang penulis
tinggalkan. Kesimpulannya, prinsip Pemilihan Kata (Diksi) lebih menguasai gaya sajak ini
ditulis dalam menyampaikan mesej asal penulis kepada pembacanya.

Kata Kunci: Konseptual Kata Kunci, Prinsip Pemilihan Kata (Diksi), Prinsip Kesan, Sajak

& Malique Ibrahim

ii
CONCEPTUAL KEYWORD THEORY: AN ANALYSIS ON LAYU POEM BY

MALIQUE IBRAHIM

ABSTRACT

Literature is an entertainment medium which contains messages and aesthetic values when it
is delivered with its writer’s feelings. Literary studies field consists of three disciplines,
which are literary history, literary theory and literary criticism. To this day, various literary
criticism theories have been founded by Malaysian literary critics such as Puitika Sastera
Melayu, Takmilah, Rasa-Fenomenologi, Persuratan Baharu, and Konseptual Kata Kunci
theories. In this research, the researcher has chosen a poem entitled Layu as the research
material to be analysed based on Keyword Conceptual (Konseptual Kata Kunci) theory
founded by Mohamad Mokhtar Hassan. The poem was written by Malique Ibrahim, a local
rapper. This research is conducted due to the lack of literary criticism research which
adapted the Keyword Conceptual theory on research material in form of a poem. After that,
the researcher has determined two objectives of this research: i.) to identify the presence of
Word Selection (Diction) and Effect principles of the Keyword Conceptual theory in Layu
poem by Malique Ibrahim and ii.) to analyse the principles mentioned based on the Keyword
Conceptual theory in Layu poem by Malique Ibrahim. The three principles of the theory are
Influence, Word Selection (Diction) and Effect principles. After that, research guidelines has
been listed in Research Conceptual Framework (Kerangka Konseptual Kajian) section. After
the research material has been read and studied, there are four concepts- Weak (Lemah),
Negligence (Kealpaan), Fear (Ketakutan) and Sadness (Kesedihan) determined in
Classification of Word Selection (Diction) Principle [Pengklasifikasian Prinsip Pemilihan
Kata (Diksi)] section. Besides that, Classification of Effect Principle (Pengklasifikasian
Prinsip Pemilihan Kesan) section consists of three concepts of the reading outcomes on the
readers, such as the crucialty of reflecting on the weaknesses which reside in ones own race,
the advices given by the poet to his own race and the poet’s wills or ambitions. In conclusion,
Word Selection (Diction) principle is more dominant in this poem’s style in conveying the
poet’s original messages toward his readers.

Keywords: Keyword Conceptual, Word Selection (Diction) Principle, Effect Principle,


Poem
& Malique Ibrahim

iii
ISI KANDUNGAN

TAJUK KAJIAN i
ABSTRAK ii
ABSTRACT iii
ISI KANDUNGAN iv

BAB 1: PENGENALAN
1.1 Pendahuluan 1
1.2 Latar Belakang Kajian 1
1.3 Sorotan Kajian 6
1.4 Permasalahan Kajian 7
1.5 Objektif Kajian 8
1.6 Bahan Kajian 8
1.7 Batasan Kajian 10
1.8 Kaedah Kajian 11
1.9 Kepentingan Kajian 11
1.10 Definisi Operasional 12
1.10.1 Teori 12
1.10.2 Konseptual 13
1.10.3 Kata Kunci 13
1.10.4 Kesan 13
1.10.5 Diksi 13
1.10.6 Sajak 13
1.11 Kerangka Bab 14

BAB 2: KERANGKA TEORITIS


2.1 Pendahuluan 15
2.2 Latar Belakang Teori 15
2.3 Prinsip Teori 16
2.3.1 Prinsip Kepengaruhan 16
2.3.2 Prinsip Pemilihan Kata (Diksi) 17
2.3.3 Prinsip Kesan 17
2.4 Kerangka Konseptual Kajian 18
2.5 Rumusan 20

BAB 3: PENGKLASIKIFIKASIAN DATA KAJIAN


3.1 Pendahuluan 21
3.2 Pengklasikifikasian Data Kajian 21
3.2.1 Pengklasifikasian Prinsip Pemilihan Kata (Diksi) 21
3.2.1.1 Konsepsi Lemah 22
3.2.1.2 Konsepsi Kealpaan 23
3.2.1.3 Konsepsi Ketakutan 24
3.2.1.4 Konsepsi Kesedihan 25
3.2.2 Pengklasifikasian Prinsip Kesan 26
3.3 Rumusan 28
RUJUKAN 29

iv
BAB 1

PENGENALAN

1.1 Pendahuluan
Dalam bab ini, pengkaji akan membincangkan latar belakang kajian, sorotan kajian,
permasalahan kajian, objektif kajian, bahan kajian, batasan kajian, kaedah kajian,
kepentingan kajian, definisi operasional dan juga kerangka bab bagi kajian ini.

Pengkaji akan menghuraikan maksud sastera, dunia kesusasteraan Melayu, tiga


disiplin ilmu dalam bidang pengajian kesusasteraan, perkembangan kritikan sastera di
Malaysia serta teori-teorinya, teori yang akan digunakan, tajuk bahan kajian, dan biodata bagi
penulis bahan tersebut dalam Latar Belakang Kajian. Seterusnya, pengkaji menyenaraikan
kajian-kajian lepas yang berkait rapat dengan kajian ini dalam bahagian Sorotan Kajian.
Selain itu, bahagian Permasalahan Kajian akan menghuraikan masalah dan cabaran yang
menjadi pencetus kepada pelaksanaan kajian ini. Tambahan lagi, pengkaji menyatakan dua
tujuan kajian ini dijalankan dalam bahagian Objektif Kajian. Kemudian, dalam bahagian
Bahan Kajian, pengkaji mengupas tema utama sajak Layu karya Malique Ibrahim. Dalam
bahagian Batasan Kajian pula, pengkaji akan menyatakan ruang lingkup yang telah
ditetapkan oleh pengkaji bagi memastikan kajian ini tidak menyimpang daripada tujuan
asalnya. Di samping itu, Kaedah Kajian akan menghuraikan cara pelaksanaan kajian ini
dengan terperinci. Pengkaji juga menghuraikan kepentingan kajian ini dilaksanakan bagi
melengkapkan kekurangan pada kajian-kajian lepas dalam bidang kritikan sastera dalam
bahagian Kepentingan Kajian. Sementara itu, bahagian Definisi Operasional akan
menyenaraikan definisi bagi istilah-istilah yang telah digunakan dalam kajian ini. Akhir
sekali, susunan perbincangan dan analisis bagi dua bab seterusnya, iaitu Bab 2: Kerangka
Teoritis dan Bab 3: Pengklasifikasian Data Kajian akan dibuat dalam bahagian Kerangka
Bab.

1.2 Latar Belakang Kajian


Bahasa merupakan wadah bagi menyampaikan sesuatu maklumat yang digunakan oleh
manusia sejagat. Namun, bahasa juga boleh menjadi wadah hiburan yang mengandungi mesej

1
dan nilai estetika jika diolah dengan menggunakan hati dan perasaan penulis tersebut. Hal ini
dapat dilahirkan dan dizahirkan dengan kewujudan bidang seni kreatif yang dipanggil sebagai
sastera. Menurut Arba’ie (et al, 2008, hlmn 3), sastera yang terhasil merupakan satu alternatif
kepada penulis untuk meluahkan perasaan, melepaskan ancaman dan bauran rasa yang
terbuku di dada. Ianya bertepatan dengan fungsi sastera sebagai alat pelepasan nilai rasa dan
jerit naluri kehidupan manusia sejagat.

Dunia kesusasteraan Melayu dapat dibahagikan kepada dua genre, iaitu prosa dan
puisi. Prosa merupakan karangan yang ditulis dalam bahasa biasa, manakala puisi merupakan
penulisan bebas yang tidak mematuhi hukum tatabahasa dalam bentuk berangkap. Prosa
Melayu tradisional Melayu terdiri daripada sastera rakyat, sastera pengaruh Hindu, sastera
zaman peralihan, sastera pengaruh Islam, sastera panji, sastera ketatanegaraan, sastera
undang-undang, sastera saduan dan sastera berbingkai, manakala prosa Melayu moden
terbahagi kepada cerpen, novel dan drama. Puisi Melayu tradisional pula terdiri daripada
pantun, syair, peribahasa, teromba, talibun nyanyian kanak-kanak, jampi mantera, gurindam
zikir dan seloka kit’ah masnawi, manakala puisi moden hadir dalam bentuk sajak (Ruslee,
2012, hlmn 5-6). Bidang pengajian kesusasteraan terdiri daripada tiga disiplin ilmu yang
saling berkaitan, iaitu sejarah sastera, teori sastera dan kritikan sastera. Sejarah sastera ialah
wadah yang memperlihat perkembangan serta kemajuan bidang kesusasteraan sejak dari
dahulu. Teori sastera pula ialah bidang asas dalam menghasilkan kritikan, manakala kritikan
sastera ialah kajian dan penilaian hasil kesusasteraan dengan menggunakan teori-teori sastera
tersebut (Aziz, 2016).

Kewujudan teori dan kritikan sastera amat penting bagi membedah dan menghuraikan
isi kandungan sesuatu karya sastera itu. Hal ini adalah demikian kerana, kritikan
berlandaskan teori dan ilmu yang benar dan tanpa sebarang prejudis akan memberi ruang
kepada para pengkarya untuk membaiki kualiti karya sastera mereka pada masa hadapan.
Menurut Hashim Awang (1988:102), kritikan sastera di Malaysia sudah melalui tiga tahap
perkembangan yang penting- tahap sebelum Perang Dunia Kedua (1930-an hingga 1940-an),
tahap sebelum kemerdekaan (1950-an) dan tahap zaman kemerdekaan (1960-an hingga kini).
Sehingga kini, terdapat pelbagai teori kritikan sastera yang telah diasaskan oleh pengkritik
sastera di Malaysia sendiri. Antaranya ialah teori Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad
Haji Salleh, Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang, teori Takmilah oleh Shafie Abu
Bakar, teori Teksdealisme oleh Mana Sikana, teori Rasa-Fenomenologi oleh Sohaimi Abdul

2
Aziz, teori Persuratan Baharu oleh Mohd Affandi Hassan dan teori Konseptual Kata Kunci
oleh Mohamad Mokhtar Hassan. Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih sebuah sajak
sebagai bahan kajian untuk dianalisis dengan berpandukan salah satu daripada teori-teori
bidang kritikan sastera, iaitu teori Konseptual Kata Kunci yang diasaskan oleh Mohamad
Mokhtar Hassan. Sajak tersebut telah ditulis oleh seorang penyanyi rap tempatan, iaitu
Malique Ibrahim seperti yang dapat dilihan dalam Gambar 1 di bawah.

Gambar 1: Malique Ibrahim

Malique Ibrahim atau nama sebenarnya, Cairil Edrin bin Ibrahim merupakan seorang
penyanyi rap, penulis lirik, penerbit rakaman dan komposer. Beliau dilahirkan pada 21 Ogos
1977 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Beliau mula
berkecimpung dalam dunia hip-hop dengan menubuhkan kumpulan hip-hop duo Too Phat
bersama Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan bin Ishak pada tahun 1998. Ketika ini,
peminatnya menggelar Malique Ibrahim sebagai Mr. General dan Joe Flizzow sebagai Mr.
President. Antara lagu-lagu yang popular mereka ialah lagu bertajuk Anak Ayam,
Alhamdulillah (bersama Yasin), Dua Dunia (bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan juga Ala
Canggung (bersama Lil’ Marissa). Namun, segala yang baik pasti akan berakhir. Kumpulan
hip-hop duo ini akhirnya dibubarkan pada tahun 2007 atas faktor-faktor peribadi. Sejak
pembubaran tersebut berlaku, Joe Flizzow kemudiannya bergerak sendiri menerusi karier
solonya dalam dunia hip-hop, manakala Malique tidak lagi muncul dalam khalayak.

3
Sebaliknya, beliau memilih untuk meneruskan kerjayanya dalam industri muzik di belakang
tabir menerusi syarikat rakamannya sendiri, Qarma Musiq sejak tahun 2008.

Sepanjang karier solonya sehingga kini, Malique telah menghasilkan tiga buah LP
(Long Play) atau album, iaitu OK (2008), K.O The Mixtape (2009) dan TKO: Pejamkan Mata
(2016). Sila rujuk Gambar 2, 3 dan 4 untuk gambar album-album tersebut. Album OK
mengandungi dua keping cakera padat yang masing-masingnya dimasukkan dengan 10 buah
lagu termasuklah sebuah sajak berjudul Sayu. Album K.O The Mixtape pula mengandungi 19
buah lagu, manakala album TKO: Pejamkan Mata memuatkan 11 buah lagu sahaja. Pengkaji
menggunakan sajak Layu daripada album OK tersebut sebagai bahan kajian ini.

Gambar 2: Album OK (2008)

4
Gambar 3: Album K.O The Mixtape (2009)

Gambar 4: Album TKO: Pejamkan Mata (2016)

5
Terdapat beberapa pengiktirafan yang telah diterima oleh Malique sepanjang
kerjayanya dalam industri muzik ialah beliau telah menerima 18 anugerah Anugerah Industri
Muzik (AIM) dan 14 carta single. Selain itu, sehingga penghujung tahun 2015, sebanyak 5.4
juta unit rakaman digital telah terjual. Walaupun beliau tidak lagi muncul di khalayak awam,
Mr.General tetap dianggap sebagai penyanyi rap penaung (OG, Original Gangster atau
Original) dan terulung (GOAT, Greatest of All Time) dalam dunia hip-hop tanah air. Ramai
pelapis rap tempatan dan penyajak menjadikan beliau sebagai pembakar semangat dalam
menceburi bidang muzik rap serta menjadikan karya-karyanya sebagai rujukan dalam
menulis lirik-lirik lagu yang puitis dan mendalam. Ini adalah kerana kehebatan beliau dalam
menulis lirik dengan menggunakan kosa kata bahasa Melayu yang jarang didengari oleh
masyarakat umum. Rentetan itu, pengkaji terpanggil untuk menjadikan salah satu karya
beliau sebagai bahan kajian ini.

1.3 Sorotan Kajian


Bahagian ini merupakan antara bahagian yang terpenting dalam kajian ini. Hal ini adalah
demikian kerana, Sorotan kajian memainkan peranan penting bagi pengkaji dalam
mendapatkan gambaran jelas dan panduan dalam menjalankan kajian ini. Bahagian ini akan
menghuraikan kajian-kajian lepas yang berkait rapat dengan kajian ini dari segi penggunaan
teori kritikan sastera, iaitu teori Konseptual Kata Kunci oleh Mohammad Mokhtar bin
Hassan. Walau bagaimanapun, bahan kajian yang digunakan dalam kajian-kajian lepas ini
adalah berbeza berbanding dengan kajian ini, iaitu lirik dikir barat dan skrip drama. Namun,
perbezaan pemilihan bahan kajian ini tidak menghalang pengkaji daripada memahami konsep
teori yang digunakan dalam kajian-kajian tersebut. Kekurangan atau kelompongan yang
wujud dalam kajian-kajian lepas tersebut memberi ruang untuk penambahbaikan kepada
pengkaji.

Sorotan kajian yang pertama ialah satu kertas kerja berjudul Unsur Amanat dan
Impak Lirik Dikir Barat Halim Yazid oleh Mohd Fahmi Ismail, Salmah Jan Noor
Muhammad, dan Mohd Firdaus Che Yaacob (2016). Pengkaji menggunakan teori Konseptual
Kata Kunci sebagai teras utama kajian tersebut dalam menganalisis amanat serta impak yang
terkandung dalam lirik Dikir Barat Halim Yazid. Pengkaji telah menggunakan ketiga-tiga
prinsip dalam teori tersebut, iaitu prinsip Kepengaruhan, Pemilihan Kata (Diksi) dan Kesan.
Setelah analisis dapatan dibuat, pengkaji tersebut merumuskan bahawa ketiga-tiga prinsip

6
tersebut memainkan peranan utama dalam menghasilkan sesebuah lirik yang memberi impak
kepada khalayak pendengar dengan membawa mesej atau amanat yang sarat dengan ilmu,
didikan dan hiburan.

Sorotan kajian yang kedua dipetik daripada kajian oleh Nik Fazli Mohamad yang
berjudul Puisi Melayu dalam Drama-Drama Noordin Hassan (2015). Pengkaji telah memilih
15 buah skrip drama yang telah ditulis oleh Noordin Hassan, iaitu 13 buah skrip drama
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dan dua buah skrip drama eceran yang
diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera. Pengkaji tersebut menggunakan prinsip
Kepengaruhan, Pemilihan Kata (Diksi) dan Kesan yang terkandung dalam teori Konseptual
Kata Kunci sebagai landasan kajian bagi tujuan menganalisis fungsi-fungsi puisi Melayu
dalam skrip-skrip drama tersebut. Berdasarkan Dapatan Kajian, pengkaji merumuskan
bahawa puisi-puisi tersebut berfungsi sebagai unsur nilai estetika, nasihat dan teladan,
hiburan serta pemerian bagi skrip drama yang telah ditulis oleh Noordin Hassan.

Kesimpulannya, kedua-dua sorotan kajian menggunakan satu teori yang sama, iaitu
teori Konseptual Kata Kunci sebagai garis panduan kajian yang dijalankan walaupun kedua-
dua kajian menggunakan bahan yang berbeza, iaitu lirik Dikir Barat dan skrip drama.
Tambahan pula, kedua-dua kajian ini berkongsi tujuan utama yang sama, iaitu menganalisis
fungsi atau peranan bahan kajian tersebut dalam menyampaikan mesej kepada pendengarnya.
Maka, kajian-kajian tersebut telah dipilih oleh pengkaji untuk dijadikan sebagai sorotan
kajian atau rujukan untuk menjalankan kajian ini. Di samping itu, pengkaji melihat potensi
bagi kajian ini untuk dijadikan sebagai rujukan bagi kajian pada masa hadapan disebabkan
oleh masih tiada kajian yang menggunakan sajak dari sebuah album lagu sebagai bahan
kajiannya.

1.4 Permasalahan Kajian


Sorotan kajian yang telah dipilih oleh pengkaji jelas menunjukkan bahawa wujudnya
kekurangan dalam kajian teori Konseptual Kata Kunci yang diterapkan ke dalam hasil karya
sajak, khususnya sajak yang diambil daripada album lagu. Masalah ini berlaku kerana
kebanyakan pengkaji lebih mementingkan karya sastera moden yang lebih sinonim dengan
masyarakat umum seperti cerpen, novel dan juga drama. Meskipun terdapat kekurangan dari
segi sumber rujukan sekunder, pengkaji mengambil inisiatif untuk menyahut cabaran dengan

7
menjadikan kajian ini sebagai kajian pertama dalam menganalisis sajak yang terkandung
dalam album lagu berpandukan teori kritikan sastera tersebut. Justeru, kajian ini dilakukan
bagi menyelesaikan masalah tersebut.

1.5 Objektif Kajian


Kajian ini dijalankan atas dua tujuan utama, iaitu:
i. Mengenal pasti kehadiran prinsip Pemilihan Kata (Diksi) dan prinsip Kesan
berdasarkan teori Konseptual Kata Kunci dalam sajak Layu oleh Malique Ibrahim
ii. Menganalisis prinsip-prinsip tersebut berdasarkan teori Konseptual Kata Kunci dalam
sajak Layu oleh Malique Ibrahim

1.6 Bahan Kajian


Bagi menyelesaikan masalah yang telah dinyatakan dalam Permasalahan Kajian di atas,
pengkaji telah memilih pendekatan teori Konseptual Kata Kunci bagi menganalisis sajak
Layu karya Malique Ibrahim. Sajak ini telah dideklamasikan oleh Malique dan telah
dimasukkan sebagai lagu yang keempat dalam cakera padat kedua di dalam album OK yang
telah diterbitkan pada tahun 2008. Bait-bait sajak Layu adalah seperti berikut:

Aku lihat layu dalam Melayu


Aku pasti bukan aku sorang saja yang nampak
Ada juga bercadang bertanya tuan punya
Tapi bercampur risau dengan tak tergamak
Nanti dikata tak bersyukur, dikata tak sedar diri
Jadi aku menyendiri
Memerhati
Dan akhirnya mengakui

Yang kita sendiri membiarkan bunga raya melayu ke kanan


Dan dibiar bunga tak cantik mekar di kiri
Aku lihat layu dalam Melayu
Tanah air kita yang punya
Kita siram, kita baja
Tapi angin api kita lupa
Mereka merancang masa menjilat bangsa
Tiga belas harimau bertukar menjadi mangsa

8
Kita lupa
Nenek moyang kaya raya
Jangan sekali-kali digadai harta bendanya

Kulihat layu dalam Melayu


Kulihat layu dalam Melayu
Kulihat layu dalam Melayu
Takkan Melayu hilang di dunia, ya

Tapi apa guna tak hilang di dunia


Kalau kewujudan tidak dirasa
Petah berbahasa, kudrat tak berjasa
Orang berbudi, kita hanya tahu merasa
Selalu lari bila dirapat
Selalu malu bila soalan diaju
Selalu segan memberi pendapat
Rela mengikut dari meneraju
Belum menyanyi sudah bersorak
Suka berjanji dalam borak
Bukan kata tak ada otak
Cuma tak berfikir di luar kotak

Kulihat layu dalam Melayu


Kulihat layu dalam Melayu
Kulihat layu dalam Melayu

Aku jadi sayu


Bunga menangis diam mendayu
Mahu jadi cantik tapi ragu
Aku merayu
Bangunlah semula hidup kembali
Jangan tunggu matahari mati
Cepatlah mekar sebelum terlerai
Perjuangan kita belum selesai...
Perjuangan kita belum selesai...
Perjuangan kita belum selesai...

Sajak Layu yang berdurasi 2 minit dan 53 saat ini dibina dalam enam rangkap.
Pengkaji tertarik untuk memilih sajak ini sebagai bahan kajian disebabkan oleh keunikannya
yang terzahir apabila pendeklamasian sajak ini dimulai dan diakhiri dengan sampel ucapan
tentang perjuangan bangsa Melayu yang telah disampaikan oleh bekas Perdana Menteri
Malaysia ke-4 dan Perdana Menteri Malaysia ke-7, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

9
Tambahan pula, pendeklamasian sajak tersebut diiringi oleh dendangan lagu Warisan atau
lebih dikenali sebagai lagu Anak Kecil Main Api yang telah ditulis oleh Tan Sri Dato’ Nordin
Kardi. Lirik lagu Warisan telah diubah sedikit dan dendangan tersebut dinyanyikan oleh
Malique sendiri.

Sajak ini ditulis untuk memberi kritikan, peringatan, nasihat dan cabaran, khusus bagi
bangsa Melayu. Walaupun mesej yang ingin disampaikan dalam sajak ini bersifat tegas dan
keras, nada dan kata-kata yang digunakan adalah melankolik dan mendayu-dayu. Sajak ini
menzahirkan rasa kekecewaan yang dirasai oleh penyajak terhadap bangsanya sendiri.
Penyajak berasa kecewa terhadap sikap bangsanya yang sering lalai daripada berusaha untuk
mengatasi kelemahan-kelemahannya sendiri. Di penghujung sajak ini, penyajak menyeru
supaya bangsanya sedar dan bangkit daripada lena untuk memperjuangkan nasibnya sendiri.

1.7 Batasan Kajian


Dalam bahagian ini, pengkaji menyatakan ruang lingkup atau skop kajan ini bagi memastikan
kajian ini tidak menyimpang daripada tujuan asalnya.

Teori yang digunakan dalam kajian ini, iaitu teori Konseptual Kata Kunci oleh
Mohamad Mokhtar Hassan mengandungi tiga prinsip- Kepengaruhan, Pemilihan Kata
(Diksi) dan Kesan. Namun, pengkaji telah mengecilkan skop kajian ini dengan memilih dua
prinsip sahaja, iaitu prinsip Kepengaruhan dan Pemilihan Kata (Diksi) sebagai landasan
kajian. Hal ini adalah demikian kerana, pengkaji berpendapat bahawa penyanyi rap kelahiran
Johor Bahru tersebut tidak memberikan pengaruh yang kuat terhadap penulisan sajaknya.
Sajak tersebut ditujukan kepada bangsa Melayu secara menyeluruh dan bukannya secara
khusus kepada pihak-pihak tertentu.

Selain itu, bahan kajian ini ialah album OK yang telah diterbitkan pada tahun 2008.
Album tersebut mengandungi dua keping cakera padat yang masing-masingnya dimasukkan
dengan 10 buah lagu. Pengkaji telah membataskan kajian ini dengan hanya memilih satu
sajak yang juga merupakan lagu keempat dalam cakera padat kedua di dalam album tersebut.
Tambahan itu, pengkaji hanya menganalisis sajak yang dideklamasikan oleh Malique dan
tidak menganalisis sampel ucapan tentang perjuangan bangsa Melayu yang telah disampaikan
oleh bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan Perdana Menteri Malaysia ke-7, iaitu Tun Dr.

10
Mahathir Mohamad dan iringan dendangan lagu Warisan atau lebih dikenali sebagai lagu
Anak Kecil Main Api yang telah ditulis oleh Tan Sri Dato’ Nordin Kardi.

Kesimpulannya, pengkaji membataskan kajian ini kepada dua batasan sahaja, iaitu
pengaplikasian dua prinsip teori Konseptual Kata Kunci- prinsip Pemilihan Kata (Diksi) dan
prinsip Kesan, dan pemilihan sajak Layu daripada 10 buah lagu dalam cakera padat kedua di
dalam album OK sebagai bahan kajian ini.

1.8 Kaedah Kajian


Pengkaji telah menggunakan beberapa kaedah untuk mengumpul data kajian, iaitu kaedah
kepustakaan, transkripsi video dan analisis teks.

Kaedah kepustakaan ialah kaedah yang digunakan oleh pengkaji dengan


mengumpulkan sumber rujukan sekunder yang berkaitan melalui carian internet dan bahan-
bahan bacaan. Pengkaji telah mengumpulkan jurnal atas talian menerusi enjin carian Google
Scholar untuk dijadikan sebagai sorotan kajian dan rujukan bagi pengaplikasian teori
Konseptul Kata Kunci. Bagi mencari latar belakang Malique Ibrahim, pengkaji telah
melawati laman sesawang rasmi beliau di internet. Pengkaji juga telah melawati laman
sesawang Kamus Besar Bahasa Indonesia dan membuat pembacaan Kamus Dewan Edisi
Keempat sebagai usaha pencarian makna yang tepat yang berkaitan dengan kajian ini.
Tambahan itu, pengkaji menggunakan kaedah ini untuk memuat turun bahan kajian, iaitu
video sajak Layu karya Malique Ibrahim di channel rasmi studio Qarma Musiq di laman
media sosial Youtube.

Selain itu, pengkaji telah mentranskripsi video sajak Layu tersebut bagi tujuan analisis
kajian. Pengkaji telah menonton dan mendengarkan video sajak tersebut sebelum menulis
semula bait-bait sajak yang terkandung dalamnya. Kemudian, pengkaji menganalisis teks
dengan membaca dan meneliti isi kandungan sajak tersebut yang telah ditranskripsikan
dengan terperinci bagi melihat kehadiran prinsip Pemilihan Kata (Diksi) dan prinsip Kesan
berdasarkan teori Konseptual Kata Kunci.

1.9 Kepentingan Kajian


Pengkaji berharap agar kajian ini penting dan memberi manfaat kepada tiga golongan
sasaran, iaitu diri pengkaji sendiri, golongan pengkaji bidang kesusasteraan khususnya dalam

11
bidang kritikan sastera bagi penulisan sajak dan masyarakat umum. Kajian ini penting bagi
pengkaji untuk membuktikan pengaplikasian teori Konseptual Kata Kunci dalam
menganalisis sajak Layu oleh Malique Ibrahim ini dapat dilaksanakan dengan huraian yang
jelas dan kukuh.
Selain itu, kajian ini penting demi menjadikan kajian ini sebagai kajian pertama yang
mengaplikasikan teori Konseptual Kata Kunci dalam menganalisis sajak dalam sebuah album
lagu. Hal ini akan memperbanyak kepelbagaian kajian kritikan sastera berlandaskan teori
Konseptual Kata Kunci yang sedia ada di samping memberi peluang kepada pengkaji lain
dalam menjadikan kajian ini sebagai rujukan bagi kajian kritikan sastera yang menggunakan
teori tersebut terhadap bahan kajian berbentuk sajak.

Akhir sekali, kajian ini penting kepada masyarakat umum sebagai usaha pengkaji
dalam memberi pendedahan kepada penyanyi rap tempatan, Malique Ibrahim yang telah
meraih nama dan tempat di hati para peminat rap dan hip-hop. Sehubungan itu, masyarakat
umum akan lebih terbuka untuk menerima lagu rap tempatan sebagai salah sebuah bentuk
sastera yang mengandungi mesej positif dan mendalam, sama seperti bentuk karya sastera
yang lain.

Kesimpulannya, kajian ini penting untuk dilaksanakan supaya karya-karya Malique


Ibrahim lebih dikenali bukan sahaja dalam dunia hiburan, malah dalam dunia sastera dan
akademik.

1.10 Definisi Operasional


Bahagian ini akan mengemukakan definisi bagi istilah-istilah yang pengkaji gunakan dalam
kajian ini berpandukan Kamus Dewan Edisi Keempat, Kamus Besar Bahasa Indonesia dan
pandangan tokoh sastera. Istilah-istilah tersebut ialah teori, konseptual, kata kunci, kesan,
diksi dan sajak.

1.10.1 Teori
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) memberikan definisi istilah teori sebagai
pendapat (bersifat pandangan yang tidak dapat dibuktikan dengan kukuhnya) yang
dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara dan lain-lain. Selain itu, istilah ini
juga bermaksud prinsip-prinsip am atau asas-asas kasar yang menjadi dasar

12
pembentukan (perkembangan sesuatu pengetahuan). Teori juga bermaksud asas dan
dasar (bukan amalan atau apa yang biasanya berlaku).

1.10.2 Konseptual
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007, hlmn 816) mendefinisikan istilah konseptual
sebagai berkaitan dengan (mengenai) konsep dan berasaskan konsep, manakala istilah
konsep membawa maksud pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu.

1.10.3 Kata Kunci


Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia, istilah kata kunci bermaksud kata atau
ungkapan yang mewakili konsep atau gagasan yang menandai suatu zaman atau suatu
kelompok dan kata atau ungkapan yang mewakili konsep yang telah disebutkan.

1.10.4 Kesan
Menurut Kamus Dewan edisi Keempat (2007, hlmn 771), istilah kesan membawa
maksud tanda yang ditinggalkan oleh sesuatu, bekas, sesuatu (sama ada kebaikan atau
keburukan) yang timbul daripada sesuatu kejadian (keadaan, perbuatan, tindakan dan
lain-lain), kesudahan (hasil, akibat) daripada sesuatu, efek dan pengaruh (pada
pemikiran, sikap, watak, dan sebagainya) yang timbul akibat daripada menyaksikan
(mendengar atau membaca) sesuatu.

1.10.5 Diksi
Menurut Kamus Dewan edisi Keempat (2007, hlmn 351), istilah diksi boleh diberi
definisi sebagai pemilihan dan penggunaan kata yang tepat dan berkesan untuk
mengungkapkan idea (peristiwa dan lain-lain) secara bertulis atau lisan.

1.10.6 Sajak
Menurut Kamus Dewan edisi Keempat (2007, hlmn 1, 368), istilah sajak membawa
makna persamaan bunyi suku kata (dalam pantun, syair, dan lain-lain). Selain itu,
istilah sajak juga dipanggil sebagai sanjak yang bermakna puisi moden (berbeza
daripada pantun atau syair) yang digubah dalam bahasa yang indah untuk menyatakan
fikiran (perasaan, pengalaman, dan sebagainya). Sahlan (2005) menyatakan bahawa
sajak ialah puisi Melayu moden. Perkataan sajak dikatakan berasal daripada perkataan
bahasa Arab, iaitu saja’ yang membawa maksud persamaan bunyi. Namun, sajak
bukanlah salah satu daripada genre dalam kesusasteraan Arab tetapi istilah tersebut

13
digunakan bagi memberikan ciri puisi Arab seperti nazam, rubai, berzanji dan
sebagainya.

1.11 Kerangka Bab


Selepas Bab 1: Pengenalan selesai dihuraikan oleh pengkaji, terdapat dua bab lagi yang akan
dibincangkan oleh pengkaji, iaitu Bab 2: Kerangka Teoritis dan Bab 3: Pengklasifikasian
Data Kajian. Bab 2 akan membincangkan latar belakang teori, prinsip teori dan kerangka
konseptual kajian ini. Bahagian Latar Belakang Teori akan mengupas tentang pengasas dan
sejarah penciptaan teori Konseptual Kata Kunci. Bahagian Prinsip Teori akan menjelaskan
prinsip-prinsip dalam teori tersebut, iaitu prinsip Kepengaruhan, Pemilihan Kata (Diksi) dan
Kesan. Kemudian, bahagian Kerangka Konseptual Kajian akan menerangkan rangka teori
kajian yang terdiri daripada tajuk kajian, objektif kajian, teori kajian yang dipilih sebagai
rujukan kajian dan kaedah kajian yang digunakan oleh pengkaji. Perbincangan Bab 2 ini
diakhiri dengan rumusan kerangka teoritis bagi kajian ini.

Seterusnya, Bab 3 akan merungkai pengklasifikasian data kajian ini dengan


menghuraikan prinsip Pemilihan Kata (Diksi) dan prinsip Kesan yang dapat ditemukan dalam
sajak Layu karya Malique Ibrahim. Prinsip Pemilihan Kata (Diksi) akan mengupas Konsepsi
Lemah, Konsepsi Kesedihan, Konsepsi Kealpaan dan Konsepsi Ketakutan, manakala prinsip
Kesan akan mengupas impak yang diberikan kepada pembaca atau pendengar sajak Layu
tersebut. Akhir sekali, pengkaji merumuskan bahawa kewujudan kedua-dua prinsip tersebut
memberikan impak yang mendalam kepada pembaca atau pendengar sajak tersebut.

14
BAB 2

KERANGKA TEORITIS

2.1 Pendahuluan
Bab Kerangka Teoritis ini akan membincangkan latar belakang teori, prinsip teori dan
kerangka konseptual kajian ini secara menyeluruh. Dalam bahagian Latar Belakang Teori,
pengkaji akan menerangkan latar belakang teori kritikan sastera yang digunakan dalam kajian
ini, iaitu teori Konseptual Kata Kunci yang diasaskan oleh Mohamad Mokhtar Hassan.
Seterusnya, bahagian Prinsip Teori akan mengupas prinsip-prinsip yang membentuk teori
kritikan sastera tersebut, iaitu prinsip Kepengaruhan, Pemilihan Kata (Diksi) dan Kesan.
Kemudian, bahagian Kerangka Konseptual Kajian akan memperlihatkan kerangka kajian
yang terdiri daripada objektif kajian, definisi teori dan kaedah kajian yang digunakan bagi
memudahkan pengkaji menjalankan kajian. Perbincangan Bab 2 ini diakhiri dengan rumusan
menyeluruh bagi kerangka teoritis kajian ini.

2.2 Latar Belakang Teori


Bidang kritikan sastera telah diperkenalkan dengan teori Konseptual Kata Kunci yang
diasaskan oleh seorang profesor Sastera Melayu Jabatan Kesusasteraan Melayu di Universiti
Malaya, iaitu Mohamad Mokhtar Hassan pada tahun 2001. Teori ini telah diperkenalkan
melalui pembentangan kertas kerja beliau di Seminar Kritikan Sastera Melayu Serantau yang
telah dianjurkan oleh bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seminar ini telah dianjurkan pada 23 hingga 29 September 2001 di Hotel Park Royal, Kuala
Lumpur. Tajuk kertas kerja yang telah dibentangkan di seminar tersebut ialah Pendekatan
Kata Kunci: Satu Kaedah dalam Kritikan Sastera. Teori ini telah diperkenalkan sebagai satu
usaha untuk mengisi ruang dalam teori-teori sastera yang lepas, seperti teori Pengkaedahan
Melayu (Hashim Awang, 1993), teori Takmilah (Shafie Abu Bakar, 1992), teori
Teksdealisme (Mana Sikana, 1993). Teori persuratan Baru (Mohd. Affandi Hassan, 1999)
dan teori Puitika Sastera (Muhammad Hj. Salleh, 2000).

Seorang Profesor Linguistik di Australian National University, iaitu Anna Wierzika


memegang pendirian kukuh bahawa budaya dan masyarakat boleh diserlahkan kepada
khalayak hanya dengan menggunakan kata kunci. Tambahan itu, makna kata-kata yang hadir

15
dalam kehidupan khalayak membolehkan khalayak mengenali atau memahami kehidupan,
citra dan budaya sesebuah masyarakat. Rentetan itu, Mohamad Mokhtar Hassan telah
menjadikan pandangan tersebut sebagai garis panduan bagi teori Konseptual Kata Kunci.
Kemudian, bagi mengukuhkan lagi teori tersebut, beliau telah mengambil pandangan Hashim
Musa yang tertulis di dalam bukunya berjudul Pengantar Falsafah Bahasa. Pandangan
tersebut ialah kata kunci merupakan sejumlah perkataan dalam perbendaharaan kata sesuatu
bahasa yang sangat mempengaruhi bentuk pemikiran dan konsepsi masyarakat terhadap
kewujudan alam, realiti dan kehidupan yang mereka lalui.

Kesimpulannya, teori Konseptual Kata Kunci ini adalah satu konsepsi yang dimiliki
oleh seseorang pihak terhadap sesuatu idea, isu, perkara atau objek yang boleh dikenal pasti
melalui pengamatan dalam kata-kata penulis dalam karyanya. Seperti yang ditunjukkan
dalam Rajah 1 di bawah, teori ini mengandungi tiga prinsip, iaitu prinsip Kepengaruhan,
Pemilihan Kata dan Kesan.

Teori Konseptual Kata


Kunci

Prinsip Pemilihan Kata


Prinsip Kepengaruhan Prinsip Kesan
(Diksi)

Rajah 1: Teori Konseptual Kata Kunci

2.3 Prinsip Teori


Dalam bahagian ini, pengkaji akan menjelaskan tiga prinsip yang membentuk teori
Konseptual Kata Kunci oleh Mohamad Mokhtar Hassan- prinsip Kepengaruham, Pemilihan
Kata (Diksi) dan Kesan. Ketiga-tiga prinsip ini diteliti oleh pengkaji bagi menjadi garis
panduan kepada perlaksanaan kajian ini dalam menganalisis sajak Layu karya Malique
Ibrahim.

16
2.3.1 Prinsip Kepengaruhan
Prinsip pertama, iaitu prinsip Kepengaruhan berkait rapat dengan pengkarya atau
penulis sesuatu karya itu. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi konsepsi
seseorang pengkarya atau penulis terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek dan
sebagainya. Antaranya ialah faktor latar belakang penulis seperti asal usul, keluarga,
masyarakat, pendidikan, pekerjaan, budaya, kepercayaan, ideologi, politik,
perjuangannya dan sebagainya. Tambahan pula, faktor umur, masa dan peredaran
zaman turut memainkan peranan dalam membentuk, mengekal atau mengubah
konsepsi seseorang penulis itu. Justeru, seseorang pengkaji yang ingin menerapkan
teori ini harus mengetahui secara mendalam tentang latar belakang penulis yang
mungkin mempengaruhi dirinya dalam berkarya. Hal ini adalah demikian kerana, latar
belakang dan pengalaman penulis akan mempengaruhi kebolehan dan kematangan
karya yang dihasilkan. Justeru, pengkaji perlu melakukan penyelidikan tentang latar
belakang penulis supaya pengkaji dapat memahami konsepsi pengarang dengan lebih
jelas dan menyeluruh.

2.3.2 Prinsip Pemilihan Kata (Diksi)


Prinsip kedua, iaitu prinsip Pemilihan Kata atau Diksi dilihat dalam karya sastera
yang dihasilkan. Dalam prinsip ini, pengkaji akan meniliti pemilihan dan penggunaan
kata atau leksikal yang digunakan oleh pengkarya atau penulis. Kata atau leksikal
yang berada dalam lingkungan dirinya digunakan untuk menyampaikan konsepsinya
terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek dan sebagainya. Pemilihan kata ini boleh
hadir dalam dua bentuk, iaitu bentuk konkrit ataupun abstrak. Sebagai analoginya,
konsepsi ‘marah’ digambarkan oleh penulis dengan perkataan berbentuk konkrit yang
mudah difahami seperti ‘geram’, ‘berang’ dan ‘murka’. Berbeza dengan bentuk
konkrit, bentuk abstrak adalah pemilihan kata yang tidak mudah difahami dan lebih
bersifat subjektif. Sebagai contoh, perkataan yang dipilih bagi menggambarkan
konsepsi ‘marah’ dalam bentuk abstrak adalah seperti ‘panas hati’, ‘merah telinga’
dan ‘naik darah’. Maka, pengkaji dapat membuat rumusan bahawa prinsip ini sangat
berkesan dalam menyampaikan konsepsi penulis kepada pembaca kerana pemilihan
kata yang dilakukan perlu menepati maksud sebenar sehampir yang mungkin supaya
pembaca tidak terkeliru.

17
2.3.3 Prinsip Kesan
Prinsip Kesan merupakan prinsip terakhir dalam teori Konseptual Kata Kunci yang
dilihat dalam kesan pembacaan karya kepada pembacanya. Secara khususnya, kesan
ini merupakan konsepsi seorang pengkarya atau penulis terhadap sesuatu isu, hal,
perkara, objek dan sebagainya yang difahami oleh pembaca karyanya dengan meneliti
kata-kata kunci yang digunakan oleh penulis. Prinsip ini menyatakan bahawa sesuatu
karya itu berjaya memberi kesan kepada pembaca apabila konsepsi yang difahami
oleh pembaca bersamaan dengan konsepsi yang dikemukakan oleh penulis. Justeru,
bagi meneliti prinsip ini, pengkaji perlu memahami konsepsi penulis secara
menyeluruh melalui penelitian prinsip Kepengaruhan atau/dan Pemilihan Kata yang
ditemui dalam sesuatu karya itu terlebih dahulu.

2.4 Kerangka Konseptual Kajian


Dalam bahagian ini, pengkaji akan memperlihatkan kerangka konseptual kajian yang terdiri
daripada tajuk kajian, fasa objektif kajian, teori kajian yang dipilih sebagai landasan kajian
dan kaedah kajian yang digunakan oleh pengkaji. Kerangka konseptual kajian ini adalah
seperti yang terdapat dalam Rajah 2 di bawah ini:

18
TEORI KONSEPTUAL KATA KUNCI: SATU PENGANALISISAN SAJAK LAYU KARYA MALIQUE IBRAHIM

Objektif Kajian 2:
Objektif Kajian 1:
Menganalisis prinsip Pemilihan Kata (Diksi) dan prinsip Kesan berdasarkan teori Konseptual Kata Kunci dalam
emilihan Kata (Diksi) dan prinsip Kesan berdasarkan teori Konseptual Kata Kunci dalam sajak Layu oleh Malique Ibrahim

TEORI KONSEPTUAL KATA KUNCI


(Mohd Mokhtar Hassan, 2001)
nsepsi yang digambarkan oleh penulis karya sastera dengan penggunaan pemilihan kata kunci yang bersesuaian dengan peristiwa atau
Menetapkan tiga prinsip yang membentuk teori ini, iaitu prinsip Kepengaruhan, Pemilihan Kata (Diksi) dan Kesan

Kaedah Kepustakaan
Kaedah Analisis Teks 
Mencari kajian-kajian lepas di Google Scholar
Transkripsi video sajak Layu oleh Malique Ibrahim
Melawati laman sesawang rasmi Malique Ibrahim bagi mengkaji latar belakang beliau
Analisis teks dilakukan dengan membaca dan meneliti isi kandungan sajak terse
urun video sajak Layu oleh Malique Ibrahim di channel rasmi Qarma Musiq di media sosial Youtube
makna istilah kajian di Kamus Dewan Edisi Keempat dan laman sesawang Kamus Besar Indonesia
 
 
 

Rajah 2:Kerangka Konseptual Kajian

19
2.5 Rumusan
Kesimpulannya, bab kerangka teoritis ini membincangkan latar belakang teori, prinsip teori
dan kerangka konseptual kajian dengan terperinci. Teori ini telah diasaskan oleh Mohamad
Mokhtar Hassan pada tahun 2001 di Seminar Kritikan Sastera Melayu Serantau yang telah
dianjurkan di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur. Seterusnya, huraian yang ringkas dan padat
berkenaan dengan prinsip-prinsip teori Konseptual Kata Kunci, iaitu Kepengaruhan,
Pemilihan Kata (Diksi) dan Kesan telah dibuat oleh pengkaji dalam bahagian prinsip teori.
Prinsip Kepengaruhan dilihat dalam latar belakang penulis, manakala prinsip Pemilihan Kata
(Diksi) dapat ditemui dalam pemilihan kata yang dibuat dalam sesuatu karya itu. Prinsip
Kesan pula dapat ditemui dalam kesan dan kefahaman yang diperoleh oleh pembaca karya
tersebut. Sebuah karya yang berkualiti mampu meletakkan pandangan pembaca dan konsepsi
penulis dalam satu haluan yang sama. Akhirnya, pengkaji melakar kerangka konseptual
sebagai garis panduan kajian ini yang terdiri daripada tajuk kajian, fasa objektif kajian,
pemilihan teori kritikan sastera dan juga dua kaedah kajian yang digunakan bagi
mendapatkan bahan kajian dan bahan rujukan yang bersesuaian dengan kajian ini.

20
BAB 3

PENGKLASIFIKASIAN DATA KAJIAN

3.1 Pendahuluan
Dalam bab ini, pengkaji akan merungkai dan menganalisis dapatan kajian yang diperoleh
daripada pembacaan pengkaji. Dapatan kajian ini seterusnya akan menentukan sama ada
ojektif kajian tercapai ataupun sebaliknya. Seperti yang telah dinyatakan dalam bahagian
Objektif Kajian dan Batasan Kajian dalam Bab 1: Pengenalan, pengkaji telah membataskan
dua prinsip sahaja untuk dianalisis dalam sajak Layu karya Malique Ibrahim, iaitu prinsip
Pemilihan Kata (Diksi) dan Kesan. Bagi tujuan pengklasifikasian prinsip Pemilihan Kata
(Diksi), pengkaji mengenal pasti terlebih dahulu perkataan-perkataan yang boleh dimasukkan
ke dalam konsepsi yang sama sebelum konsepsi penulis dalam perkataan-perkataan tersebut
dianalisis oleh pengkaji. Selepas itu, pengkaji mengklasifikasikan prinsip Kesan dengan
menghuraikan kesan konsepsi yang ditinggalkan oleh penulis kepada pembaca melalui
pembacaan yang dibuat. Akhir sekali, pengkaji akan merumuskan dapatan yang diperoleh
daripada proses penganalisisan ini.

3.2 Pengklasikifikasian Data Kajian


Bagi tujuan analisis dan pengklasifikasian data kajian, pengkaji akan meneliti hanya dua
prinsip Konseptual Kata Kunci, iaitu prinsip Pemilihan Kata (Diksi) dan Kesan. Prinsip-
prinsip ini dianalisis berdasarkan beberapa perkataan atau frasa yang ditemui lalu dikelaskan
ke dalam konsepsi yang bersesuaian dengan persamaan makna serta kesan yang ditinggalkan
kepada pembaca sajak Layu tersebut.

3.2.1 Pengklasifikasian Prinsip Pemilihan Kata (Diksi)


Seperti yang telah dijelaskan oleh pengkaji dalam bahagian Prinsip Teori, prinsip ini
dilihat dalam sajak Layu karya Malique Ibrahim. Dalam prinsip ini, pengkaji akan
meniliti pemilihan dan penggunaan kata atau leksikal yang digunakan oleh Malique
Ibrahim bagi menyampaikan konsepsinya terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek dan
sebagainya. Kemudian, pengkaji akan menghuraikan beberapa konsepsi yang dapat
dikeluarkan daripada sajak Layu berserta perkataan atau frasa yang sesuai untuk
dimasukkan ke dalam konsepsi-konsepsi tersebut. Konsepsi yang pengkaji akan

21
huraikan ialah Konsepsi Lemah, Konsepsi Kesedihan, Konsepsi Kealpaan dan
Konsepsi Ketakutan.

3.2.1.1 Konsepsi Lemah

[Sajak Layu: Rangkap 1]


Aku lihat layu dalam Melayu
Aku pasti bukan aku sorang saja yang nampak
Ada juga bercadang bertanya tuan punya
Tapi bercampur risau dengan tak tergamak
Nanti dikata tak bersyukur, dikata tak sedar diri
Jadi aku menyendiri
Memerhati
Dan akhirnya mengakui

Berdasarkan rangkap pertama sajak Layu, Malique Ibrahim ingin


menggambarkan konsepsi lemah yang dilihatnya dalam diri bangsa Melayu
termasuklah dirinya sendiri. Dalam baris pertama, penulis telah memilih
perkataan ‘layu’ bagi menunjukkan sifat lemah yang dimiliki oleh bangsa
Melayu. Perkataan ‘layu’ merupakan perkataan berbentuk abstrak yang
digunakan bagi membandingkan sifat lemah bangsa Melayu dengan sifat
bunga yang kering, kecut, tidak berseri dan tidak segar lagi serta hampir mati.
Penulis ingin menunjukkan bahawa bangsanya berada di ambang kematian
dari segi kekuatannya.

Selain itu, penulis juga memilih perkataan ‘menyendiri’ dalam baris


keenam, iaitu baris ‘Jadi aku menyendiri’ bagi menggambarkan dirinya yang
lemah dan tidak berdaya dalam menegur sifat lemah yang dimiliki oleh
bangsanya sendiri. Penulis menggambarkan dirinya lemah kerana jika beliau
menegur bangsanya tentang sifat lemah tersebut, tiada sokongan akan
diberikan oleh mereka. Sebaliknya, tentangan akan diberikan kepadanya
dengan mengatakan dirinya tidak bersyukur dan tidak sedar diri seperti yang
dinyatakan dalam baris kelima dalam rangkap tersebut.

22
3.2.1.2 Konsepsi Kealpaan

[Sajak Layu: Rangkap 2]


Yang kita sendiri membiarkan bunga raya melayu ke kanan
Dan dibiar bunga tak cantik mekar di kiri
Aku lihat layu dalam Melayu
Tanah air kita yang punya
Kita siram, kita baja
Tapi angin api kita lupa
Mereka merancang masa menjilat bangsa
Tiga belas harimau bertukar menjadi mangsa
Kita lupa
Nenek moyang kaya raya
Jangan sekali-kali digadai harta bendanya

Pengkaji meneliti dan mengenal pasti kehadiran Konsepsi Kealpaan dalam


rangkap kedua dalam sajak ini. Baris pertama dalam rangkap ini, iaitu ‘Yang
kita sendiri membiarkan bunga raya melayu ke kanan’ membawa Konsepsi
Kealpaan kerana baris ini memberi gambaran kepada pembaca bahawa bangsa
Melayu alpa dalam kejatuhan akhlak atau sikap bangsanya sendiri. Frasa
‘bunga raya melayu ke kanan’ tersebut merujuk kepada kejatuhan akhlak atau
sikap bangsa Melayu, manakala frasa ‘Yang kita sendiri membiarkan’ dalam
baris tersebut menunjukkan bahawa kejatuhan akhlak tersebut bukanlah
sesuatu yang tidak diketahui, malah bangsa Melayu itu sedar akan
kejatuhannya tetapi memilih untuk membiarkannya tanpa sebarang tindakan
untuk mengubahnya. Hal ini adalah demikian kerana, penulis ingin
menyampaikan pandangannya bahawa mereka alpa akan kesan buruk kepada
masa hadapan bangsa tersebut jika kejatuhan akhlaknya tidak dibendung.

Seterusnya, baris kedua dalam rangkap tersebut diteruskan pula dengan


gambaran kealpaan bangsa Melayu terhadap kesan buruk yang akan mereka
hadapi jika peningkatan sikap negatif mereka tidak dibendung. Hal ini dapat
dibuktikan dengan kehadiran frasa ‘bunga tak cantik mekar di kiri’ yang
merujuk kepada peningkatan unsur negatif dalam sikap bangsa Melayu,

23
manakala frasa ‘Dan dibiar’ merujuk kepada kealpaan mereka terhadap kesan
bagi peningkatan unsur negatif tersebut.

Selain itu, dalam baris keempat hingga baris kelima, penulis


menggambarkan bangsa Melayu alpa dengan ancaman orang luar dalam
menjatuhkan bangsa Melayu di negara kita. Frasa ‘Tanah air kita yang jaga’
dalam baris keempat merujuk kepada negara kita yang dijaga sendiri oleh
bangsa Melayu, manakala penulis menggunakan frasa ‘Tapi angin api kita
lupa’ bagi menunjukkan sikap bangsa Melayu yang alpa dengan kehadiran
anasir luar kerana sering bersangka baik kepada niat sebenar mereka apabila
campur tangan dalam hal urusan negara kita.

3.2.1.3 Konsepsi Ketakutan

[Sajak Layu: Rangkap 4]


Tapi apa guna tak hilang di dunia
Kalau kewujudan tidak dirasa
Petah berbahasa, kudrat tak berjasa
Orang berbudi, kita hanya tahu merasa
Selalu lari bila dirapat
Selalu malu bila soalan diaju
Selalu segan memberi pendapat
Rela mengikut dari meneraju
Belum menyanyi sudah bersorak
Suka berjanji dalam borak
Bukan kata tak ada otak
Cuma tak berfikir di luar kotak

Bahagian ini akan menghuraikan dapatan kajian dari segi Konsepsi Ketakutan.
Merujuk rangkap keempat di atas, penulis menggambarkan ketakutan yang
dapat ditemui dalam baris kelima hingga kelapan. Dalam baris kelima, iaitu
‘Selalu lari bila dirapat’, penulis ingin menggambarkan ketakutan bangsa
Melayu apabila didekati. Perkataan ‘Selalu lari’ menunjukkan bahawa bangsa
Melayu sering mengelakkan diri mereka daripada didekati disebabkan oleh
ketakutan mereka untuk melakukan sesuatu tanggungjawab apabila diminta.

24
Seterusnya, frasa ‘Selalu malu’ dalam baris keenam, iaitu ‘Selalu malu
bila soalan diaju’ menggambarkan ketakutan bangsa Melayu untuk menjawab
soalan yang diajukan kepada mereka. Hal ini adalah berkemungkinan kerana
kegusaran mereka jika jawapan yang mereka berikan itu salah atau tidak tepat.
Penulis ingin menyampaikan kritikannya kepada bangsa Melayu yang takut
untuk mencuba sesuatu perkara hanya kerana kesalahan yang mungkin
berlaku.

Selain itu, frasa ‘Selalu segan’ dalam baris ketujuh, iaitu ‘Selalu segan
memberi pendapat’ menggambarkan bahawa bangsa Melayu takut untuk
mengutarakan pendapat atau pandangan mereka berkaitan dengan sesuatu isu
atau perkara. Hal ini adalah demikian kerana mungkin mereka berasa risau
akan mengguris hati sesuatu pihak apabila melontarkan sesuatu pandangan
dengan jujur memandangkan sikap bertoleransi, sopan santun dan menjaga
hati orang lain telah sebati dalam diri mereka.

Akhir sekali, pemilihan frasa ‘Rela mengikut’ dalam baris kelapan,


iaitu ‘Rela mengikut dari meneraju’ menggambarkan keengganan bangsa
Melayu untuk meneraju atau memimpin sesuatu tindakan, pergerakan,
persatuan, syarikat dan sebagainya kerana mereka takut untuk memikul
tanggungjawab yang besar. Mereka juga takut untuk mencabar diri mereka
dalam menghadapi risiko yang bakal dihadapi oleh seorang pemimpin atau
peneraju.

3.2.1.4 Konsepsi Kesedihan

[Sajak Layu: Rangkap 6]


Aku jadi sayu
Bunga menangis diam mendayu
Mahu jadi cantik tapi ragu
Aku merayu
Bangunlah semula hidup kembali
Jangan tunggu matahari mati
Cepatlah mekar sebelum terlerai

25
Perjuangan kita belum selesai...
Perjuangan kita belum selesai...
Perjuangan kita belum selesai...

Bahagian ini akan menghuraikan dapatan kajian dari segi Konsepsi Kesedihan.
Merujuk rangkap terakhir di atas, penulis menggambarkan kesedihan yang
dapat ditemui dalam baris pertama, iaitu ‘Aku jadi sayu’. Hal ini dapat
dibuktikan dengan penggunaan perkataan konkrit ‘sayu’ yang menggambarkan
kesedihan penulis terhadap sifat, sikap dan nasib bangsanya setelah kritikan
dan teguran diberikan kepada mereka dalam rangkap-rangkap sebelum ini.

Selain itu, baris kedua dalam rangkap di atas, iaitu ‘Bunga menangis
diam mendayu’ terdiri daripada dua frasa, iaitu frasa ‘Bunga menangis’ dan
‘diam mendayu’. Frasa ‘Bunga menangis’ menggambarkan bahawa bangsa
Melayu turut merasai kesedihan yang dirasai oleh penulis apabila
mengenangkan takdir mereka. Namun, kesedihan ini tidak diluahkan seperti
yang dinyatakan dalam frasa ‘diam mendayu’. Hal ini adalah demikian kerana
sikap bangsa Melayu yang sentiasa menyimpan hal-hal peribadi atau masalah
yang mereka hadapi dengan tidak membocorkannya kepada orang luar demi
menjaga maruah mereka.

3.2.2 Pengklasifikasian Prinsip Kesan


Prinsip Kesan merupakan prinsip terakhir dalam teori Konseptual Kata Kunci. Prinsip
ini dilihat dalam kesan pembacaan karya kepada pembacanya. Secara khususnya,
prinsip ini merupakan impak yang terhasil daripada pemahaman pembaca karya
terhadap konsepsi penulisnya terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek dan sebagainya.
Impak tersebut dapat dirasai oleh pembaca apabila konsepsi yang difahami olehnya
bersamaan dengan konsepsi yang dikemukakan oleh penulis. Rentetan itu, bagi tujuan
pengklasifikasian prinsip ini, pengkaji akan menghuraikan tiga kesan atau impak yang
dirasai oleh pengkaji setelah mengamati sajak nukilan Malique Ibrahim yang berjudul
Sayu.

26
Kesan pertama yang dirasai oleh pengkaji ialah keperluan untuk
bermuhasabah terhadap segala kekurangan yang wujud dalam sesebuah bangsa.
Sepanjang sajak tersebut ditulis, penulis telah menyatakan beberapa kekurangan yang
dimiliki oleh bangsa Melayu. Antaranya ialah keengganan mereka dalam menerima
teguran, alpa atau tidak cakna dalam isu-isu semasa dan kelemahan diri sendiri, sifat
takut yang menghalang kemajuan diri, dan pemikiran atau pandangan yang pendek
serta tidak mendahului masa hadapan. Pengkaji berpandangan bahawa penulis
mengkritik semua sifat dan sikap negatif tersebut supaya pembaca akan berasa malu
lalu terpanggil untuk berfikir sejenak bagi mencari jalan penyelesaian bagi
kelemahan-kelemahan tersebut.

Kesan kedua pula ialah impak nasihat yang diberikan oleh penulis kepada
bangsanya sendiri. Penulis telah menyampaikan mesej ini dengan melarang bangsanya
daripada menggadaikan harta benda yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Selain itu, penulis menasihati bangsanya supaya sedar bahawa kata-kata “Takkan
Melayu hilang di dunia” yang diucapkan oleh Lakasamana Hang Tuah tersebut
tidaklah membawa apa-apa makna jika bangsa Melayu tidak diiktiraf dan mendapat
tempat di mata dunia disebabkan oleh sifat dan sikap negatif mereka, iaitu tidak
kreatif dan kritis dalam berfikir dan juga takut untuk menonjolkan kelebihan diri
mereka kepada khalayak ramai.

Akhir sekali, impak yang meninggalkan kesan kepada pengkaji ialah amanat
atau harapan yang penulis tinggalkan dalam rangkap terakhir sajak tersebut. Amanat
tersebut ialah satu seruan penulis kepada semua orang Melayu untuk bangkit semula
dalam memperjuangkan nasib dan masa hadapan bangsa mereka. Rentetan itu, penulis
menyeru dan juga berharap agar kesedaran, kebangkitan dan kejayaan bangsa Melayu
sempat dilakukan sebelum hari kiamat tiba. Penulis kemudiannya mengulangi
amanatnya yang diambil daripada ucapan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad,
bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan Perdana Menteri Malaysia ke-7, iaitu
“Perjuangan kita belum selesai...” sebanyak tiga kali di penghujung sajak ini.
Pengkaji berpendapat bahawa amanat penulis dalam rangkap terakhir, terutama sekali
baris terakhir tersebut memberi impak kesan terbesar kepada konsepsi pembaca dalam
sajak Layu tersebut.

27
Kesimpulannya, prinsip Kesan dalam teori Konseptual Kata Kunci jelas
kewujudannya dalam penulisan sajak Layu. Ketiga-tiga kesan tersebut membuktikan
bahawa sajak ini berkualiti dan berjaya dalam menyelaraskan kefahaman pembaca
dengan konsepsi penulis. Oleh itu, pengkaji berharap agar penulisan sajak seperti
karya Malique Ibrahim ini akan lebih mendapat tempat di hati khalayak awam dan
mendapat perhatian pengkaji bidang kritikan sastera untuk dibaca dan dianalisis dalam
usaha menaikkan semula zaman kegemilangan penulisan sajak dan penghargaan kita
kepada penulis-penulis sajak tanah air.

3.3 Rumusan
Secara keseluruhannya, perbincangan dalam Bab 3: Pengklasifikasian Data Kajian ini
membuktikan kehadiran kedua-dua prinsip Pemilihan Kata (Diksi) dan Kesan dalam sajak
Layu karya Malique Ibrahim. Pengkaji telah membincangkan pengklasifikasian prinsip
Pemilihan Kata (Diksi) dengan menghuraikan empat konsepsi berbeza, iaitu Konsepsi
Lemah, Konsepsi Kealpaan, Konsepsi Ketakutan dan Konsepsi Kesedihan. Kemudian,
pemilihan kata yang sesuai berserta huraian pengkaji dimasukkan ke dalam konsepsi-
konsepsi berikut. Pengkaji berpendapat bahawa penulis telah berjaya dalam memudahkan
pembaca menggarap kefahaman mereka terhadap konsepsi tersebut dengan pemilihan kata
yang tepat dan mudah difahami. Seterusnya, prinsip Kesan yang dapat dijumpai dalam sajak
tersebut telah dibincangkan oleh pengkaji dalam bahagian Pengklasifikasian Prinsip Kesan.
Selepas pembacaan dan penganalisisan, pengkaji mendapati bahawa terdapat tiga impak
utama dalam sajak tersebut, iaitu keperluan untuk bermuhasabah terhadap segala kekurangan
yang wujud dalam sesebuah bangsa, impak nasihat yang diberikan oleh penulis kepada
bangsanya sendiri dan amanat atau harapan yang penulis tinggalkan dalam rangkap terakhir
sajak tersebut. Kesimpulannya, teori Konseptual Kata Kunci merupakan teori kritikan sastera
yang sangat bertepatan dengan objektif kajian dan bahan kajian kerana dapatannya sangat
mudah difahami. Pengkaji berharap agar usaha memelihara sajak Melayu semakin giat
diperjuangkan oleh pengkaji lain dengan menjalankan kajian kritikan sastera yang
menjadikan sajak sebagai bahan kajian mereka pada masa akan datang.

28
RUJUKAN

Arba‟ie Sujud. (2008). Sastera melayu suatu pengantar . Kuala Lumpur : Tinta Press Sdn
Bhd.

Aziz Ataullah. (2016). Peranan kritikan sastera dalam perkembangan pengajian kesusasteraan
dan bidang kesusasteran. Dimuat turun pada 19 Disember 2019 di
https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-
sarawak/20160201/282278139360757

Diksi. (2007). Kamus dewan edisi keempat (Ed. Ke-4). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Harun Mat Piah et al. 2006. Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang. (1988). Kritikan kesusasteraan teori dan penulisan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Kata. (n.d.). Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) Kamus versi online/daring
(dalam jaringan). Dimuat turun pada 27 Disember 2019 di https://kbbi.web.id/kata

Kata kunci (n.d.). Kamus Besar Bahasa Indonesia Daring. Dimuat turun pada 27 Disember
2019 di https://kbbi.kemdikbud.go.id/entri/kata%20kunci

Kesan. (2007). Kamus dewan edisi keempat (Ed. Ke-4). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Konseptual. (2007). Kamus dewan edisi keempat (Ed. Ke-4). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Malique Ibrahim. (n.d.). Biography. Dimuat turun pada 23 Disember 2019 di


https://www.maliqueibrahim.com/home

Melody of Death. (2013, Disember 20). Teori konseptual kata kunci [Hantaran blog]. Dimuat
turun pada 27 Disember 2019 di http://kindeadbm.blogspot.com/2013/12/teori-
konseptual-kata-kunci.html

29
Mohammad Mokhtar Hassan. (2005). Teori Konseptual Kata Kunci. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.
Mohd Fahmi Ismail, Salmah Jan Noor Muhammad, & Mohd Firdaus Che Yaacob. (2016).
Unsur amanat dan impak lirik dikir barat halim yazid. International journal of
language education and applied linguistics (IJLEAL), 4(16), 67-80. Dimuat turun
pada 26 Disember 2019 di http://journal.ump.edu.my/ijleal/article/view/486/100

Mohd Ruslee Mohd Salleh. (2012). Slideshare. Genre kesusasteraan melayu dalam bahasa
melayu. Dimuat turun pada 28 Disember 2019 di
https://www.slideshare.net/Asfanis4212/genre-kesusateraan-melayu

Mustazah GP. (2019, November 7). Selebriti. Biodata dan latar belakang rapper malique
ibrahim (too phat). Dimuat turun pada 23 Disember 2019 di
https://iluminasi.com/bm/biodata-dan-latar-belakang-rapper-tersohor-malique-
ibrahim.html

Qarma Musiq. (2013, Ogos 13). Layu – Malique [Fail Video]. Dimuat turun pada 29
November 2019 di https://www.youtube.com/watch?v=UNAh1S8qviA

Sahlan Mohd. Saman & Shaiful Bahri Md. Radzi. (2005). Persuratan melayu tradisional ke
moden. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sajak. (2007). Kamus dewan edisi keempat (Ed. Ke-4). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

SyiQah Sapian. (n.d.). Scribd. Teori teori kritikan sastera di malaysia. Dimuat turun pada 27
Disember 2019 di https://www.scribd.com/document/218290754/Teori-teori-kritikan-
sastera-di-Malaysia

Teori. (2007). Kamus dewan edisi keempat (Ed. Ke-4). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

30

You might also like