You are on page 1of 3

PERANAN GENERASI MUDA DALAM USAHA MEMUPUK PERPADUAN

MELALUI DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN

Perpaduan ialah proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara melalui
ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai
bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Terdapat empat dasar
yang telah ditetapkan kerajaan dalam membentuk perpaduan. Antaranya adalah melalui dasar
pendidikan, akta Bahasa kebangsaan, dasar kebudayaan kebangsaan dan sukan alat perpaduan.

Selain itu, perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan dan
kemajuan negara. Sejak merdeka lagi, kerajaan telah memupuk semangat perpaduan dalam
memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk mencapai proses perpaduan
ini. Tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk masa hadapan tidak mungkin
akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan.

Namun begitu, generasi muda juga haruslah memainkan peranan penting dalam usaha
memupuk perpaduan di dalam negara. Hal ini kerana perpaduan merupakan asas pembentukan
sebuah negara yang progresif dan maju. Generasi muda adalah sebagai pewaris negara ini dan
mereka memainkan peranan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Mereka hendaklah
memikul tanggungjawab yang besar ini kerana mereka adalah harapan bangsa dan tiang negara.

Peranan pertama yang perlu dipegang oleh generasi muda adalah mereka sendiri
menjadi suri teladan kepada rakan-rakan sebaya. Generasi muda mestilah mengamalkan dan
menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakan sebaya. Selain itu, mereka juga
haruslah menunjukkan sikap saling menghormati rakan-rakan yang berbeza latar belakang
budaya dan agama. Sebagai contoh, mereka perlu menghormati amalan dan anutan agama
rakan-rakan. Di samping itu, generasi muda perlu mengelakkan diri daripada membangkitkan
isu-isu yang sensitif dan dapat menaikkan kemarahan rakan-rakan dari bangsa dan agama yang
lain. Setiap perselisihan pendapat hendaklah diatasi secara bijaksana dan berhemah. Oleh yang
demikian, generasi muda perlu menjadi suri teladan untuk memupuk semangat perpaduan.

Selain itu, generasi muda juga hendaklah menghayati dan mengambil iktibar daripada
sejarah negara. Hal ini demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah tanah
air dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat dihindarkan. Sebagai contoh,
peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat semangat
perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Ahli falsafah George
Santayana mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang
sama. Oleh itu generasi muda hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara
lebih serius. Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan mengambil iktibar daripada
sejarah, maka mereka akan menjadi golongan yang lebih bertanggungjawab, rasional, dan
berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Jadi,
generasi muda mestilah mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semangat
perpaduan yang jitu.

Peranan yang berikutnya ialah generasi muda mestilah mengasimilasikan budaya


pelbagai kaum dalam kehidupan seharian. Ini kerana Malaysia adalah negara yang unik
dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Oleh yang demikian, generasi
muda mestilah sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan
kehidupan. Misalnya daripada perayaan, rakyat Malaysia meraikan pelbagai perayaan yang
tersendiri. Untuk merasai kemeriahannya, generasi muda mestilah turut merayakan perayaan-
perayaan yang disambut oleh rakan mereka dengan hati yang ikhlas. Jelaslah bahawa asimilasi
budaya dapat mewujudkan semangat perpaduan yang ampuh dalam kalangan generasi muda di
negara ini.

Selain itu, generasi muda hendaklah mengelakkan diri daripada mementingkan diri dan
bersikap etnosentrisme atau berpuak. Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan
kelompok etnik sendiri. Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lagi
di negara ini. Generasi muda perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan 1 Malaysia yang
menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah pembentukan sebuah negara yang
progresif. Generasi muda perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara
ini dengan hati yang terbuka. Contohnya, generasi muda tidak harus menyentuh isu-isu sensitif
seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Mereka
hendaklah mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jika semangat
ini dapat diamalkan oleh setiap generasi muda, nescaya negara kita akan terhindar daripada
sebarang malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.

Kesimpulannya, generasi muda bertanggungjawab untuk memainkan peranan penting


ke arah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi
muda. Kita tidak mahu generasi muda hari ini mengabaikan peranan mereka untuk memupuk
perpaduan dan menghancurkan negara yang bakal diwarisi kelak. Kesungguhan generasi muda
dalam memupuk semangat perpaduan adalah dituntut demi mewujudkan semua negara yang
bersatu padu, aman, maju, dan berdaya saing di peringkat global. Hal ini tidak mustahil untuk
dilakukan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

You might also like