You are on page 1of 3

PERPADUAN ASAS KEMAKMURAN NEGARA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Baru.

Yang Berusaha, Guru Besar SK Putra, Pn Hajah Norliah bt Shukor. Yang Dihormati, En Razali
b Osman, Pengerusi PIBG SK Putra, guru penolong kanan, guru-guru cemerlang, guru-guru
dan seterusnya murid-murid SK Putra yang disayangi sekalian. Bersyukur kehadrat Illahi di
atas limpah kurnianya dapat kita berkumpul bagi meraikan Sambutan Hari Guru peringkat
Sekolah Kebangsaan Putra bagi tahun 2018.

Guru-guru serta murid-murid sekalian,

Perpaduan asas kemakmuran negara merupakan satu perkataan yang perlu kita telesuri dan
dalami dengan penuh rasa cinta. Seperti yang diketahui umum, Malaysia terdiri daripada
pelbagai etnik kaum yang menjadikannya sebagai sebuah negara yang unik di Asia Tenggara.
Inilah rahsia kejayaan hasil dari perpaduan dan integrasi nasional yang merupakan asas
kukuh bagi menjamin negara dan rakyatnya hidup dalam suasana aman dan makmur.

Secara amnya perpaduan dan integrasi nasional adalah matlamat asas bagi sebuah negara
berbilang kaum seperti Malaysia. Konsep perpaduan merupakan asas dalam menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh dan bersatu padu. Secara tidak langsung,
perpaduan dapat menjamin keselamatan negara, kestabilan ekonomi, politik dalam jangka
masa panjang. Bagi memantapkan lagi perpaduan di kalangan rakyat pelbagai etnik dan
kaum, kerajaan telah mewujudkan beberapa strategi melalui pendekatan ekonomi, politik dan
pendidikan utamanya untuk mencapai matlamat-matlamat perpaduan.

Belajar dari rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, kerajaan telah menjadikannya satu anjakan ke
arah pemikiran semula dasar-dasar negara dan proses menyusun semula masyarakat
dilakukan dengan komprehensif meliputi semua bidang iaitu ekonomi, sosial dan politik.
Antaranya ialah usaha memperkukuhkan politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. Langkah ini
dijalankan secara serentak dan saling bertindan. Ia bertujuan merapatkan semula jurang
antara kaum yang selama ini wujud dalam hubungan sosial mereka

Hadirin yang saya kasihi,

Apabila bercakap dalam bidang pendidikan suka saya mengambil contoh negara luar iaitu
United Kingdom. United Kingdom adalah negara yang majoritinya orang berkulit putih, namun
terdapat ramai masyarakat yang berasal dari India, Pakistan dan China yang menetap dan
menjadi warganegara United Kingdom. Jika diteliti, kita dapat lihat bagaimana mesranya
hubungan antara penduduk tempatan dengan golongan pendatang ini. Malah, anak-anak
mereka bermain antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit. Hubungan yang begitu intim
ini menjamin perpaduan antara kaum dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di United
Kingdom. Salah satu faktor yang membawa ke arah perpaduan ini ialah dengan
menggunakan satu bahasa perantaraan yang sama antara satu sama lain. Sistem pendidikan
mereka yang menggunakan satu bahasa sebagai bahasa rasmi juga menyemai sifat bersatu
padu dikalangan pelajar-pelajar yang menjadi teras keharmonian masyarakat berbilang kaum
dan agama di United Kingdom.

Berbalik kepada situasi kita di Malaysia. Sejak dahulu lagi, selepas sahaja kita mencapai
kemerdekaan. pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha mewujud dan
mengekalkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Namun, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan, mahupun oleh setiap
individu termasuklah pihak sekolah seperti guru-guru bagi memastikan erti perpaduan bukan
sahaja bermain di bibir masyarakat semata-mata tetapi biarlah ianya sentiasa tersemat di
dalam dada.

Saya yakin, seluruh rakyat yang berbilang kaum akan setuju dengan cadangan penggunaan
satu bahasa sebagai bahasa penghantar. Buktinya, hari ini telah jelas bahawa ramai pelajar
berbangsa cina dan india, telah dihantar oleh ibu bapa mereka, untuk belajar di sekolah
kebangsaan yang majoritinya pelajar melayu walaupun sekolah jenis kebangsaan juga
terdapat berhampiran kawasan kediaman mereka. Keadaan ini akan membantu menyemai
benih perpaduan dalam kalangan murid sejak kecil lagi seperti kata pepatah meluntur buluh
biarlah dari rebungnya. Apabila perpaduan tercapai maka tidak hairanlah jika Malaysia diiktiraf
sebagai antara negara yang termakmur di dunia.

Hadirin hadirat sekalian,

Matlamat pendidikan Negara adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dalam
memupuk semangat kewarganegaraan dan rasa bangga terhadap bangsa dan agama. Dasar
yang dimainkan oleh pendidikan pula sangat penting dalam proses integrasi dan
pembangunan sesebuah negara. Oleh itu sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya
mempertahankan nilai-nilai perpaduan yang diasaskan sebelum ini. Hanya menerusi
pendidikan sahaja rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, dapat menyemai rasa semangat
perpaduan dan persaudaraan sejak kecil hinggalah meningkat dewasa.
Suka saya memetik kata-kata Tun Dr Mahathir, "Manusia yang lemah sekalipun jika bersatu
padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan”. Perkara inilah
yang menjadi asas kepada perpaduan negara kita sehingga ke hari ini. Oleh itu, setiap guru
perlu memainkan peranan yang penting sebagai agen perpaduan anak murid. Akhir kata,
marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadi agen perpaduan demi merealisasikan
Malaysia sebagai sebuah negara maju di persada antarabangsa.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirahim, saya merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat


Sekolah Kebangsaan Putra bagi tahun 2018.

Sekian, saya sudahi dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum


Warahmatullahi Wabarakatuh

You might also like