You are on page 1of 9

PENDAHULUAN

Jurnal bertajuk "Kompetensi Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Guru

Kaunseling" merupakan ulasan tentang isu cabaran seorang kaunselor dalam

menghadapi era globalisasi khususnya dalam era teknologi maklumat (IT).

Sebagaimana kita sedia ketahui bahawa perkembangan teknologi membuatkan

peranan kaunselor semakin mencabar. Walaupun secara dasarnya teknologi itu

memudahkan tugasan harian termasuk dalam kerjaya seorang kaunselor, ia tidaklah

semudah yang disangkakan. Seorang kaunselor harus sentiasa cakna dan peka akan

perkembangan teknologi semasa yang semakin deras arusnya. Kaunselor bukan sahaja

perlu mahir di dalam ilmu-ilmu berkaitan kaunseling meliputi teori, taknik dan

kemahiran asas kaunseling serta penulisan laporan semata. Malah mereka harus

melengkapkan diri dengan pengetahuan terkini supaya menjadi lebih efektif dan

efisien sesuau dengan perkhidmatan yang diberikan. Maklumat klien dan

perkhidmatan yang ditawarkan bukan sahaja kemas, terkini dan mudah diakses sahaja.

Malah faktor keselamatan data juga harus dipertimbangkan kerana seringkali

timbulnya isu keselamatan data diperkatakan apatah lagi dalam bidang kaunseling.

Seorang kaunselor sebenarnya tidak boleh bergantung kaedah yang lama

untuk menyimpan maklumat klien atau maklumat aktiviti yang berkaitan dengan

perkhidmatan yang ditawarkan. Revolusi teknologi dan perkembangan pantas yang

melanda dunia penyimpanan maklumat menyediakan peluang kepada kaunselor untuk

menggunakan teknologi sebagai cara yang berkesan dalam menyimpan maklumat.

Selain menjimatkan ruang ia boleh memudahkan individu berautoriti lain memperoleh

maklumat pada satu-satu masa. Perkhidmatan kaunseling pada satu-satu pusat


perlulah mempunyai susunan direktori maya yang berkesan untuk tujuan yang

disebutkan.

Untuk tujuan itu, setidak-tidaknya zaman mutakhir ini kaunselor perlulah

secara asasnya mempunyai kemahiran menggunakan perisian dan aplikasi terkenal

iaitu keluaran syarikat gergasi Microsoft yang mengeluarkan produk Microsoft Office

Word, Power Point, Excel dan lain-lain (Kettel, Davis dan Simmons 2003). Perisian

ini sebenarnya telah pun mendominasi di sektor-sektor kerajaan mahupun swasta.

Menurut penulis kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia di

bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 telah pun menekankan

tentang aplikasi kemajuan teknologi maklumat ke arah usaha pembestarian sekolah.

Sejajar dengan itu para guru termasuk guru-guru kaunseling perlu cekap dalam usaha

meningkatkan martabat institusi perkhidmatan kaunseling di sekolah. Namun

persoalan yang dikemukan penulis adakah guru-guru kaunseling mempunyai bekalan

latihan yang mencukupi dalam usaha menjadikan mereka cekap dan kompeten di

dalam mengejar nikmat arus kemudahan teknologi maklumat masa kini?

Justeru penulis memfokuskan matlamat kajian adalah untuk membantu

Kementarian Pelajaran Malaysia memantau kompetasi guru kaunseling di bidang ICT

supaya perkhidmatan kaunseling dapat diselia selaras dengan perkembangan

teknologi maklumat. Selain itu, kajian bertujuan mengenal pasti status kemudahan

ICT di unit bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah serta mengenal pasti

keperluan latihan ICT dalam kalangan guru kaunseling.


METODOLOGI DAN HASIL KAJIAN

Kaedah yang digunakan adalah dengan melakukan tinjauan dengan soal

selidik yang dipos kepada 72 sekolah menengah di Selangor, Wilayah Persekutuan,

Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang. Soal selidik yang dijalankan mengandungi

soalan-soalan yang dibina untuk mendapatkan maklumat tentangn demografi dan

maklumat tentang penggunaan teknologi maklumat komunikasi dalam kalangan guru

kaunseling.

Hasil keputusan yang dijalankan seramai 57 guru kaunseling daripada 57

sekolah menengah telah mengembalikan maklumat soal selidkik yang lengkap untuk

dianalisis. Daripada 57 buah sekolah yang terlibat, kelihatan 52.6 % adalah sekolah

menengah yang terletak di kawasan bandar, 38.6 % terletak di luar bandar dan lima

sekolah (8.8 %) sekolah di pinggir bandar. Sebanyak 43 (75.4 %) adalah sekolah gred

A dan yang selebihnya adalah daripada sekolah gred B.

Daripada 57 guru kaunseling yang terlibat, seramai 12 orang (21.1 %) adalah

lelaki dan 45 orang (78.9 %) adalah perempuan. Pecahan mengikut kaum pula ialah

54 orang Melayu, dua daripada kaum India dan Cina. Seramai 56 orang merupakan

guru kaunseling sepenuh masa manakala seorang lagi responden melaporkan dia

bukan guru kaunseling sepenuh masa.

Menurut laporan, seramai 52 (91.2 %) guru kaunseling menyatakan terdapat

sekurang-kurangnya satu unit komputer di bilik bimbingan dan kaunseling manakala

lima lagi guru (8.8 %) dilaporkan tidak mempunyai kelengkapan komputer di unit
bimbingan dan kaunseling. Daripada 52 unit yang dibekalkan dengan komputer,

sebanyak 75 % dilengkapkan dengan kemudahan internet.

Secara keseluruhannya, perisian yang terdapat dalam komputer di unit

bimbingan dan kaunseling adalah Microsoft Office Word, Power Point, Excel, Adobe

Reader dan Adobe Pagemaker. Bagaimanapun dua orang guru kaunselor melaporkan

komputer mereka tidak mempunyai perisian Microsoft Office Excel, empat orang

tiada perisian Microsoft Office Power Point, 21 tiada perisian Adobe Reader dan 27

orang tiada perisian Adobe Pagemaker.

Dari segi penggunaan perisian komputer, data yang diperoleh menunjukkan

Microsoft Office Word adalah perisian yang paling popular dengan 89.5 %, diikuti

oleh penggunaan internet (35.1 %), Microsoft Office Power Point (31.6 %), perisian

Microsoft Office Excel (31.6 %), perisian Adobe Reader (5.3 %) dan perisian Adobe

Pegamaker (1.8 %).

Selain itu, menurut penulis, guru kaunseling melaporkan bahawa selain

mereka terdapat akses dari pihak lain terhadap komputer di unit bimbingan dan

kaunseling. Secara khusus dilaporkan sebanyak 36.5 % respon melaporkan guru lain

menggunakan komputer di unit bimbingan dan kaunseling dan 12.5 % memaklumkan

pentadbir mendapat akses kepada komputer berkenaan.

Penulis juga menyatakan tentang tahap persepsi guru kaunseling terhadap

kompetensi kemahiran ICT mereka. Rata-rata respoden menyatakan mereka agak

mahir dan baik di dalam menggunakan perisian untuk pengurusan pejabat seperti
khususnya perisian Word, Power Point, Excel dan penggunaan internet serta email

secara umumnya. Manakala berkenaan tahap penguasaan mereka terhadap perisian

mengenai pembangunan laman web, rekaan (design), pengurusan/pengujian data dan

komunikasi internet agak kurang kompeten.

Kesemua responden (100 %) juga menyatakan mereka menggunakan

komputer untuk tujuan menulis kertas cadangan/kertas kerja, menulis laporan

program dan menulis minit mesyuarat aktiviti. Selain itu, responden kebanyakan

menggunakan perkhidmatan ICT untuk menulis laporan kaunseling (86 %),

menyimpan laporan kaunseling (70.2 %), merekod data pelajar (70.2 %), mendapat

maklumat tambahan daripada internet untuk menambah maklumat diri sendiri dan

unit bimbingan dan kaunseling (68.4 %), menyimpan data pelajar (66.7 %),

mendapatkan maklumat kerjaya daripada internet (64.9 %) dan memuat turun

maklumat dari intenet (63.2 %).

Berkenaan dengan kajian sama ada mereka pernah menerima latihan berkaitan

penggunaan komputer sepanjang perkhidmatan mereka sebagai guru kaunseling,

seramai 46 responden (80.7 %) melaporkan 'ya' dan 11 responden (19.3 %)

menyatakan 'tidak pernah' menerima apa-apa bentuk latihan sepanjang kerjaya

mereka.

Respon mereka tentang latihan ICT yang ingin diikuti oleh guru kaunseling

seperti yang dilaporkan penulis didapati 11 daripada mereka berminat mempelajari

cara membina laman web, lapan orang guru ingin belajar kursus asas komputer seperti

Microsoft Office Word, Powerpoint dan Excel, tujuh dari mereka ingin belajar
menggunakan internet, email dan e-kaunseling, enam individu ingin berminat untuk

mempelajari Adobe Reader dan Adobe Pagemaker, tiga individu ingin belajar

membuat perisian, dan masing-masing dua individu ingin belajar SPSS dan cara

menyelenggara komputer.

PERBINCANGAN HASIL KAJIAN

Sebagaimana ditekankan oleh penulis sebelum ini bahawa kerajaan di bawah

Kementerian Pelajaran Malaysia telah pun mengambil langkah menekankan

penerapan pembudayaan ICT dalam sektor pendidikan peringkat rendah dan

menengah. Namun realiti yang berlaku ialah unit bimbingan dan kaunseling seakan

tidak diberi keutamaan penerapan teknologi ICT ini sekalipun mereka juga

merupakan warga pendidik. Masih terdapat banyak sekolah tidak mempunyai

kelengkapan komputer yang mencukupi khusus untuk unit bimbingan dan kaunseling.

Malahan masih terdapat banyak unit bimbingan dan kaunseling terpaksa berkongsi

kemudahan ICT dengan pihak lain di sekolah seperti guru-guru lain, pihak pentadbir

dan pelajar-pelajar lain. Keadaan ini sebenarnya menimbulkan implikasi yang serius

kerana umumnya unit bimbingan dan kaunseling banyak menyimpan fail-fail

maklumat sulit dan rekod sesi kaunseling. Apabila tidak dikawal akses terhadap

sesuatu komputer, kemungkinan orang lain juga dapat mengakses fail-fail dan

maklumat sulit yang disimpan. Dari sini munculnya isu kerahsiaan dan keselamatan

maklumat sulit dapat dipertikaikan.

Selain itu menurut penulis, pengetahuan tentang penggunaan teknologi

maklumat perlu dipertingkatkan lagi oleh guru-guru kaunseling. Penggunaan ICT

merupakan satu kaedah yang boleh membantu guru-guru kaunseling untuk menyusun
dan mengemas kini data-data dan fail-fail yang semakin bertambah. Isu tidak cukup

ruang dan keadaan bilik yang berselerak dapat dikurangkan dengan adanya

perkembangan teknologi perisian yang mudah dan terkini. Pengurusan maklumat

yang banyak seperti ini memerlukan kaunselor mengurus secara sistematik.

Umumnya pada masa kini unit bimbingan dan kaunseling biasanya bertanggungjawab

mengumpul dan menyimpan maklumat tentang pelbagai aktiviti sekolah seperti

kursus motivasi, latihan kepimpinan, kem kaunseling, serta kursus-kursus berkaitan

dengan akademik dan peperiksaan. Malah ada sekolah yang melibatkan penyertaan

guru kaunseling dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Tambah penulis lagi tugas unit bimbingan kaunseling pada masa kini juga

sebagai suatu wadah penyebaran dan pembekalan maklumat terkini berhubung

dengan pendidikan, psikososial dan pekerjaan kepada pelajar, guru, dan juga ibu bapa.

Justeru kemudahan capaian internet perlu diberikan kepada unit bimbingan dan

kaunseling sebagai satu kaedah yang terbaik dalam usaha melengkapkan unit mereka

dengan maklumat terkini dan segar.

Dengan kecanggihan dunia ICT, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling

bukan hanya terhad di bilik kaunseling sahaja. Penyebaran maklumat kepada

kelompok sasaran juga perlu berkesan dan sistematik. Para guru kaunseling perlu

dibekalkan dengan ilmu mereka bentuk dan perisian designing yang terkini dalam

usaha menerbitkan kertas sebaran yang menarik seperti pamphlet atau Newsletter.

Sistem kaunseling maya (e-counselling, cybercounselling, webcounselling) perlu

ditawarkan untuk memberikan peluang kepada klien yang sibuk dan malu berjumpa

secara formal sebagai alternatif menawarkan perkhidmatan kaunseling. Di sini


pengetahuan kaunselor tentang pengendalian internet, email, sistem perbualan maya

sangat perlu ditekankan. Klien kini bukan sahaja terhad kepada pelajar yang masih

bersekolah, malahan pelajar yang telah meninggalkan sekolah juga dapat mengambil

manfaat dengan menjadikan guru kaunseling sekolah lama mereka sebagai rujukan

dalam keadaan yang memerlukan.

Guru kaunseling juga perlu didedahkan kepada kursus dan latihan semasa

berkhidmat di dalam pekerjaan sekarang. Kebanyakan pengetahuan ICT yang dimiliki

mereka berdasarkan hanya apa yang dipelajari semasa di universiti dahulu. Itulah

sebabnya mereka kurang menguasai ilmu ICT selain dari perisian asas Microsoft

Office.

KESIMPULAN

Terdapat beberapa kajian menunjukkan bahawa dalam kalangan kaunselor

sekolah mereka mampu dan berminat dengan kepelbagaian penggunaan yang boleh

ditawarkan ICT (Owen 1999; Creamer 2001). Maka penulis memberi cadangan agar

guru kaunseling diberi pelbagai pendedahan tentang perkembagan teknologi

maklumat. Dengan segala bekalan pengetahuan ini, mereka mampu bekerja dengan

lebih efisien dan perkhidmatan kaunseling bukan sahaja boleh dinikmati oleh pelajar,

malah bekas pelajar dan bahkan ibu-bapa sendiri.

Secara keseluruhan guru kaunseling kebanyakan mempunyai pengetahuan dan

kemahiran tentang perisian yang asas untuk unit bimbingan dan kaunseling di

sekolah. Namun usaha perlu diteruskan untuk meningkatkan kecekapan mereka dalam

menyediakan perkhidmatan kaunseling dalam bentuk yang lebih luas.


RUJUKAN

Othman Mohamed, Maznah Baba, Wan Marzuki Wan Jaafar, (2008) Penyelidikan

Dalam Amalan Kaunseling, Penerbit Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor

Darul Ehsan.

You might also like