You are on page 1of 41

TEMA 2 : SISTEM GEOMORFOLOGI

2.1 PENGENALAN PROSES GEOMORFOLOGI

Satu bidang sains bumi yang mengkaji interaksi antara proses, faktor dan bentuk di permukaan bumi
secara saintifik.

Jenis Proses Geomorfologi

i) Proses Endogenik

Proses yang berpunca dari dalam bumi, mampu membentuk serta mengubah permukaan bumi seperti
pergerakan tektonik, lipatan kerak bumi, gelinciran, gempa bumi, gunung berapi dan aktiviti igneus serta
metamorfosisme batuan.

ii) Proses Eksogenik

Proses yang berlaku di luar bumi atau di permukaan bumi seperti proses luluhawa, hakisan,
pengangkutan, pemendapan serta gerakan jisim.

Proses-Proses Endogenik

1) Pengangkutan dan penurunan blok-blok bumi apabila mengalami pemulihan isostasi.

2) Proses orogenesis atau proses pelipatan kerak bumi yang menghasilkan banjaran gunung lipat.

3) Proses gelinciran atau sesaran kerak bumi yang reahan di kerak bumi, lurah gelinciran serta
gunung bongkah yang berpunca daripada daya mampatan dan tegangan yang dialami oleh kerak bumi.

4) Gempa bumi atau gegaran yang dialami oleh kerak bumi apabila berlakunya perlanggaran atau
pencapahan plat-plat tektonik.

5) Aktiviti gunung berapi.

6) Proses metamorfosisme yang melibatkan perubahan tekstur, struktur dan kandungan kimia
sesuatu jenis batuan yang berada di dalam bumi apabila ia menerima haba dan tekanan yang tinggi dan
mengalami penjelmaan.

Proses-Proses Eksogenik

1)Luluhawa

· Proses pemecahan dan penguraian atau pereputan batuan dan berlaku secara insitu.

· Terbahagi kepada tiga jenis

a) Luluhawa kimia

b) Luluhawa fizikal
c) Luluhawa biologi

2) Proses hakisan

· Proses penghausan yang dialami oleh permukaan bumi akibat tindakan agen-agen yang bergerak
seperti air mengalir, angin dan ombak.

· Hakisan terbahagi kepada dua jenis

a) Hakisan geologi.

§ Proses hakisan berlaku secara semulajadi dikawasan yang belum diganggu oleh manusia. Proses
hakisan goelogi berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa yang lama serta proses hakisan ini
melibatkan keseluruhan permukaan bumi.

b) Hakisan tanih

§ Proses hakisan yang berpunca daripada manusia apabila manusia mengganggu keadaan semulajadi
alam sekitar akibat aktiviti-aktiviti manusia.

3) Proses pengangkutan dan pemendapan

Pengangkutan adalah satu proses pemindahan bahan-bahan terluluhawa dan terhakis akan diangkut
oleh agen-agen yang bergerak seperti air yang mengalir, cairan glasier, angin dan ombak. Proses
pengangkutan bergantung kepada tenaga potensi dan tenaga kinetik agen bergerak. Apabila halaju agen
bergerak semakin perlahan, maka bahan-bahan yang diangkut akan mengalami proses pemendapan.

4) Proses gerakan jisim

Gerakan jisim melibatkan pergerakan regolit dari atas cerun ke bahagian bawah akibat daya tarikan
graviti. Proses endogenik membentuk muka bumi atau landskap fizikal manakala eksogenik lebih banyak
mengubah atau memperkembangkan bentuk-bentuk bumi tersebut.

2.2 KONFIGURASI BENTUK BUMI

Pelbagai jenis atau keanekaan muka bumi yang ditinjau sama ada pada skala makro atau mikro.

Struktur Bumi terdiri daripada 3 lapisan utama :

a) Lapisan kerak bumi

Kerak bumi ialah lapisan bumi paling luar.Lapisan paling nipis.Ia terdiri daripada lapisan SIAL (benua) dan
SIMA (lautan). Kerak bumi banyak mengandungi batuan jenis granit dan basalt. Ketumpatan batuan 2.7
– 3mg3.

b) Lapisan mantel
Lapisan pertengahan yang tidak stabil.Lapisan dalam bentuk pepejal dan cecair.Zon astenosfera
berbentuk separa cair.Lapisan bawah berbentuk batuan pejal. Batuan jenis granit dan basalt.
Ketumpatan 5.5.Suhu antara 800^C hingga 1600^C.

c) Lapisan teras bumi

Lapisan paling dalam yang dipisahkan dari mantel oleh ketakselanjaran Gutenberg. Dikenali sebagai
lapisan barisfera.Terbahagi kepada dua iaitu teras luar (cecair) dan teras dalam (pepejal).Ketumpatan
batuan 13. Batuan jenis nikel dan bes.

JENIS-JENIS BATUAN

1) BATUAN IGNEUS

Terbentuk daripada penyejukan dan pemejalan magma di dalam lapisan kerak bumi atau di luar
permukaan kerak bumi.Terdapat dua jenis batuan igneus iaitu igneus rejahan dan igneus terobosan.

Igneus rejahan terbentuk apabila terdapat pembekuan magma di dalam rekahan kerak bumi. Batuan
igneus rejahan seperti granit mempunyai warna yang cerah, tekstur kasar dan kandungan mineral utama
ialah feldspar, kuartza dan mika. Manakala batuan gabro pula berwarna lebih gelap, tekstur kasar dan
kandungan mineral utama ialah feldspar, piroksin dan olivine. Batuan granit menghasilkan bentuk muka
bumi seperti kubah, kelupasan, tanah tinggi dan banjaran gunung. Contohnya Banjaran Titiwangsa.

Igneus terobosan merupakan penyejukan magma di permukaan bumi.Basalt dan obsidian ialah antara
contoh batuan igneus terobosan.Kedua-duanya mempunyai warna yang gelap dan kandungan mineral
utama ialah feldspar.Basalt mempunyai tekstur halus manakala obsidian bertekstur berkaca.

2) BATUAN ENAPAN @ MENDAP

Ia terbentuk daripada bahan-bahan yang dimendapkan oleh air mengalir, ais dan angin. Bahan enapan
berbentuk berlapis-lapis. Pembentukan batuan enapan dapat dilihat melalui dua proses iaitu proses
pemadatan bahan-bahan mendapan (sedimen dan fosil) dan proses penyimenan. Fosil ialah bahan-
bahan enapan yang terdiri daripada lumpur, pasir, kerikil, kulit-kulit kerang, sisa tumbuhan dan haiwan
yang telah mati.

Proses pemadatan berlaku apabila bahan-bahan enapan berkumpul secara lapisan, selapis demi selapis.
Apabila bahan enapan menjadi semakin tebal, lapisan bawah akan mengalami tekanan daripada lapisan
atasnya. Lama-kelamaan bahan-bahan enapan akan mampat dan melekat di antara satu sama lain.

Penyimenan adalah proses pelekatan mineral-mineral dengan adanya bahan perikat. Bahan enapan
yang kasar tidak melekat di antara satu sama lain dan hanya akan terlekat apabila adanya bahan terikat.
Bahan-bahan perikat ini terdiri daripada lempung, kalsit, silika yang bertindak memasuki ruang-ruang
yang wujud di antara mineral-mineral kasar. Tekanan daripada lapisan atas menyebabkan ia terkeluar
dan bahan- bahan perikat akan terhablur dan mengikat mineral-mineral kasar.
Jenis-jenis batuan enapan

Batuan klastik

Contoh batuan klastik seperti konglomerat, batu pasir dan syal.Konglomerat mempunyai komposisi
kerakal, kerikil dan batu tongkol serta membentuk bentuk muka bumi seperti permatang dan
gunung.Komposisi batu pasir ialah pasir dan membentuk muka bumi seperti tebing tinggi dan daratan
tinggi.Komposisi utama syal ialah lempung dan bentuk muka bumi yang terhasil ialah cerun landai,
lembah dan tanah pamah.

Batuan kimia

Batuan terdiri daripada batu garam dan batu gipsum.Batu garam membentuk tasik-tasik cetek di Laut
Mati.

Batuan organik

Batuan ini terdiri daripada batu kapur dan batu arang. Batu kapur mempunyai komposisi kalsit dari sisa
haiwan dan ia membentuk pelbagai landskap karst seperti di lembah kinta dan sekitar Ipoh,Perak. Arang
batu mengandungi fosil tumbuhan dan ia bolah membentuk muka bumi seperti tanah pamah dan
pinggir laut.

3) BATUAN METAMORFOSIS

Batuan metamorfosis ialah batuan jelmaan, ia terbentuk apabila batuan igneus dan batuan enapan
mengalami tekanan dan suhu yang tinggi semasa gerakan tektonik di dalam kerak bumi. Hasilnya
menyebabkan batuan berkenaan berubah bentuk, warna dan komposisi mineralnya. Proses ini akan
membentuk batuan baru. Batuan baru ini lebih stabil, amat keras, bersinar-sinar, cantik dan
menarik.Terdapat dua jenis batuan metamorfosis iaitu batuan berjalur yang mempunyai susunan
mineral berlapis-lapis secara selari.Batuan tidak berjalur pula tidak mempunyai lapisan.

Batuan syis berasal dari batuan basalt dan granit danmempunyai tekstur sederhana kasar. Gneis
mempunyai tekstur kasar dan berasal daripada batuan granit. Batu kapur yang mempunyai tekstur kasar
berasal dari batu kapur.Kuarzit yang berasal dari batu pasir adalah sederhana kasar.

KEPENTINGAN BATUAN KEPADA AKTIVITI MANUSIA

Aktiviti Manusia
Kepentingan

Pertanian

Batuan basalt (igneus terobosan) mudah terluluhawa membentuk tanah yang subur untuk tujuan
pertanian- Pulau Jawa

Riolit (igneus rejahan) terluluhawa hasil laterit sesuai untuk tanaman getah dan kelapa sawit.

Perlombongan

Batu permata (metamorfosis) digunakan sebagai batu pengisar, pemotong dan gerudi dalam
perlombongan petroleum kerana sifatnya yang paling keras.

Perindustrian

Arang batu (enapan organik) bahan bakar utama dalam perusahaan besi dan keluli.

Arang batu melalui proses pemisahan kimia boleh menghasilkan lebih kurang 200, 000 hasil sampingan
seperti tar, minyak wangi, racun rumpai, baja, racun serangga dan bahan letupan.

Lempung (enapan klastik) jenis kaolin penting dalam perusahaan tembikar

Fostat (enapan) buat baja

Pembinaan

Batuan marmar (metamorfosis) digunakan sebagai lantai, dinding bangunan dan perhiasan.

Granit (igneus) bina jalanraya, rumah, bangunan, pelabuhan dsbg.

Perhiasan

Batu metamorfik menghasilkan pelbagai jenis batu permata yang digunakan untuk membuat barang
kemas. Antaranya ialah intan, garnet, delima,nilam dan zirkon.

PROSES ENDOGENETIK

Tenaga yang berpunca dari dalam kerak bumi iaitu lapisan mantel bumi yang menghasilkan berbagai
fenomena di lapisan kerak bumiseperti gampa bumi, letusan gunung berapi, lipatan gelinciran,gerakan
tektonik termasuk juga proses metamorfosisme batuan.

i. Tenaga graviti daripada mampatan jisim dan perambahan momentum sudut semasa
pembentukan planet.

ii. Tenaga radiogenikatau atom daripada pencerakinan nucleus atom yang wujud dalam
mineral radiogenik seperti uranium, plutonium dan thorium.

iii. Tenaga haba ini wujud dalam lapisan atas mantel iaitu di astenosfera.

iv. Arus-arus perolakan yang panas dari astenosfera boleh menggerakkan lapisan kerak bumi.
v. Pelanggaran antara kerak bumi boleh menghasilkan gelombang seismik menyebabkan
kejadian gempa bumi.

LIPATAN

Berlaku akibat adanya daya mampatan dan tekanan secara mendatar semasa pertembungan antara
plat-plat tektonik yang menyebabkan lapisan kerak bumi terhimpit lalu terlipat.Iajuga dipengaruhi oleh
tarikan graviti berhampiran dengan permukaan bumi.

Proses-proses Lipatan

a) Proses peleburan batuan yang pejal dalam lapisan kerak bumi. Lapisan batuan yang berada dalam
bumi adalah cair lalu mudah lentur.

b) Proses mampatan secara mendatar. Apabila berlaku mampatan atau tolakan dari kiri dan kanan
lapisan kerak bumi maka lapisan kerak bumi yang cair dan mudah lentur tadi akan melengkung keatas
atau kebawah.

JENIS-JENIS BENTUK MUKA BUMI LIPATAN

i. Antiklin atau lintap mungkum – lipatan yang melengkung ke atas.

ii. Sinklin atau lintap lendut – bahagian yang menggeleding (melendut ke bawah)

iii. Lipatan simetri – kedua-dua cerunnya mempunyai kecerunan yang sama atau hampir sama.

iv. Lipatan tak simetri – satu cerun lipatan berkeadaan lebih curam atau landai berbanding cerun
lipatan di sebelahnya.

v. Lipatan lampau – keadaan lipatan tertekan dan herot ke depan.

vi. Antiklin rebah – lipatan tertekan dengan kuat dan jatuh ke depan.

vii. Nappe – antiklin rebah mengalami tekanan sehingga wujudnya rekahan seterusnya pematahan lintap
mangkum dan adanya garis gelinciran antara lintap mungkum dan lintap lendut.

GELINCIRAN

Konsep gelinciran

Retakan pada kerak bumi apabila berlaku anjakan lapisan kerak bumi atau blok batuan secara mendatar
atau menegak.

Jenis-jenis gelinciran

i. Gelinciran biasa

Gelinciran biasa berlaku apabila adanya daya-daya tekanan yang menarik kerak bumi atau daya-daya
menolak bumi dari bawah.Mempunyai satah rekahan curam atau hampir tegak.Ia menghasilkan sesar
curam dan lurus dan ketinggian berbeza-beza mengikut ketinggian anjakan blok.
ii. Gelinciran songsang

Gelinciran songsang terjadi apabila daya mampatan dan tegangan yang bertindak terhadap blok batuan
dari dua arah yang bertentangan menghasilkan garis gelinciran pada blok batuan tersebut. Salah satu
daripada blok batuan tersebut terangkat atau terjulang ke atas. Dikenali juga sebagai sesar julang.

iii. Gelinciran rabak

iv. Gelinciran rabak apabila daya mampatan dan tegangan pada lapisan kerak bumi menyebabkan
terjadinya pergerakan secara melintang blok-blok batuan tersebut dari kedua-dua arah yang
bertentangan.Pergerakan secara mendatar.

GUNUNG BERAPI

Igneus Jalar Dalam (REJAHAN)

Bentuk muka bumi daripada proses pemejalan magma dalam kerak bumi.

JENIS BENTUK MUKA BUMI IGNEUS JALAR DALAM DAN PROSES PEMBENTUKAN

i) Daik

Apabila magma yang panas daripada lapisan mantel mengalir ke luar dan menembusi lapisan batuan
seterusnya membeku secara menegak sama ada dalam lapisan kerak bumi atau di permukaan bumi.
Ketebalannya antara 2 - 6m.

ii) Sil

Magma membeku secara mendatar diantara lapisan batuan terutama bagi kumpulan batuan mendak
dan ia tipis dan selari dengan lapisan batuan.

iii) Lakolit

Magma membeku di dalam lapisan kerak bumi secara kubah.


iv) Lopolit

Magma membeku di dalam lapisan kerak bumi mengikut lengkung kerak bumi dan kelihatan seperti
piring.Bahagian tengahnya lebih tebal berbanding kedua-dua bahagian hujungnya.

v) Pakolit

Magma membeku di bahagian puncak lintap mangkum atau bahagian dasar lintap lendut.Ia berbentuk
seperti kanta.

vi) Batolit

Terbentuk hasil daripada sekumpulan magma yang membeku secara besar-besaran di dalam kerak
bumi.Membentuk teras sesebuah gunung.

IGNEUS JALAR LUAR (TEROBOSAN)

Bentuk muka bumi yang terbentuk daripada magma yang membeku di permukaan bumi.Ia dicirikan oleh
aktiviti gunung berapi yang meletus dan memuntahkan lavanya.

Jenis Bentuk Muka Bumi Igneus Jalar Luar dan Proses Pembentukannya

i. Kon lava asid

Kon lava asid bercerun curam kerana lava asid yang likat dan cepat membeku lalu tudak mampu
mengalir jauh.

ii. Kon lava bes

Kon lava bes bercerun landai kerana lava bes adalah cair dan mampu mengalir jauh sebelum membeku.
Kaya dengan mineral ferum atau besi.Juga dikenali sebagai gunung berapi perisai.

iii. Kon abu

Kon abu cerunnya berbentuk cekung dan curam.Terdiri daripada debu, abu dan serpihan batu atau batu
tongkol yang keluar semasa letusan gunung berapi yang dikenali sebagai aliran piroklastik dan bom
gunung berapi.

iv. Kon komposit


Terdiri daripada pelbagai jenis kon lava dan abu yang keluar dari pelbagai lohong di sekeliling gunung
berapi.Kon-kon kecil terbentuk menerusi rekahan-rekahan batuan di sekeliling gunung tersebut.
Sebahagian kon mengeluarkan lava asid atau bes dan sesetengahnya mengeluarkan debu, abu dan
bahan piroklastik.

v. Krater

Krater ialah kawah besar yang terbentuk di puncak gunung berapi akibat letusan gunung berapi.Apabila
magma membeku kawah tersebut menakung air dan membentuk tasik kawah.

vi. Kaldera

Kaldera terbentuk akibat cantuman beberapa krater gunung berapi yang terletak berhampiran antara
satu sama lain. Membentuk tasik kawah yang sangat besar.

LAVA GUNUNG BERAPI

i. Lava asid

Lava asid sangat likat dan mengalir perlahan.Lava jenis asid cepat membeku.Ia kaya dengan silika. Takat
lebur lava asid tinggi iaitu suhu di antara 800^C – 1000^C. Letusan gunung berapi lava asid adalah kuat.

ii. Lava bes

Lava bes adalah cair dan mengalir laju. Ia lambat membeku dan kaya dengan besi dan magnesium. Takat
lebur lava bes adalah rendah dan sangat panas. Suhu takat lebur ialah 1100^C – 1200^C.

JENIS DAN TABURAN GUNUNG BERAPI

i) Gunung berapi hidup

- Selalu meletus dan sangat aktif.

ii) Gunung berapi mati

- Tidak aktif, tidak akan meletus lagi

iii) Gunung berapi pendam

- Pernah meletus dan akan meletus lagi pada masa hadapan.


Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kepelbagaian Rupa dan Bentuk Gunung Berapi

i) Jenis bahan yang diletuskan

ii) Sifat lohong gunung berapi

iii) Sifat dan jenis letusan

iv) Kuantiti bahan dan bahan piroklas yang dikeluarkan

v) Proses gondolan yang dialami

HANYUTAN BENUA

Teori Hanyutan Benua

- Dikemukakan oleh Alfred Weneger, 1910. Menurut Weneger, 200 juta tahun dahulu semua
benua bercantum dan membentuk satu daratan besar yang dikenali sebagai Pengea. Lautan
disekelilingnya dipanggil Panthalassa.

- 180 juta tahun dahulu, Pangea telah berpecah kepada Laurasia di utara dan Gonwanaland
di selatan serta menghasilkan Laut Tethys. Laurasia mengandngi benua-benua seperti Amerika Utara,
Eropah dan Asia sementara Gonwanaland meliputi benua Amerika Selatan, Afrika,Semenanjung Arab,
Indiadan Australia.

- Wegener menyatakan terdapat dua arah utama hanyutan benua iaitu pergerakan ke arah
barat yang disebabkan oleh kuasa-kuasa tektonik dan pergerakan dari kutub akibat daripada tekanan ke
atas benua yang seolah-olah terapung di atas lautan magma yang panas. Hipotesis Weneger amat
berkait dengan daya mampatan dan daya tegangan yang wujud dalam bumi yang boleh menggerakkan
lapisan bumi. Kedua-dua daya ini wujud akibat adanya arus perolakan yang panas. Batuan di dalam
lapisan mantel mengalami suhu dan tekanan yang tinggi dan berada dalam keadaan separa cair, arus
perolakan wujud di lapisan ini dan lapisan kerak bumi dikatakan terapung di atas lapisan astenosfera.

Toeri Peluasan Dasar Laut

Menurut teori ini, apabila magma yang panas dari lapisan mantel tertolak naik ke lapisan kerak bumi
(dasar laut), mengisi ruang rekahan yang dihasilkan oleh sempadan pencapahan di dasar laut. Magma ini
akan membeku dan seterusnya membentuk permatang dasar lautan. Proses yang berterusan, rekahan
menjadi semakin besar, magma berterusan keluar dan membeku. Kesannya, dasar lautan yang lama
akan tertolak ke sebelah bagi membolehkan dasar lautan yang baru terbentuk. Dasar laut dikatakan
telah mengalami proses rebakan.
Teori ini dibuktikan dengan kajian terhadap batuan di dasar lautan.Batuan yang terletak berhampiran
dengan permatang lautan didapati lebih muda berbanding dengan batuan yang terletak lebih jauh
daripada permatang lautan.

Toeri Tektonik Plat

Mengikut Teori Plat Tektonik, lapisan kerak bumi boleh dibahagikan kepada kepingan-kepingan yang
dikenali sebagai plat. Terdapat plat benua dan plat lautan. 7 plat benua yang besar seperti Plat Pasifik,
Plat Amerika Utara, Plat Amerika Selatan, Plat Eurasia, Plat Afrika, Plat Indo-Australia dan Plat Antartika.
Manakala plat benua yang kecil seperti Plat Nazca, Plat Cacos, Plat Filipina, Plat Karibia, Plat Arab, Plat
Scotia dan lain-lain. Plat lautan adalah seperti Plat Pasifik dan Plat Antartika.

Plat-plat ini sentiasa bergerak disebabkan adanya arus perolakan magma panas di lapisan astenosfera.
Pergerakan plat berlaku sangat perlahan dan plat bergerak pada arah yang berbeza-beza antara satu
sama lain. Plat-plat ini boleh bergerak dengan 3 cara iaitu secara pertembungan, pencapahan atau
pemisahan dan secara perselisihan.

a) Pertembungan plat

· Ia berlaku apabila dua plat bertembung antara satu sama lain. Pertembungan ini melibatkan plat
benua dengan plat benua, plat lautan dengan plat lautan atau plat benua dengan plat lautan.

· Apabila dua plat lautan yang bertembung,plat yang tumpat akan terjunam ke bawah. Di zon ini
terbentuk jurang lautan yang sangat dalam seperti Jurang Mindanao di Filipina yang terhasil menerusi
pertembungan Plat Pasifik dan Plat Filipina. Plat yang terbenam ke bawah ini akan membentuk magma
setelah mengalami pencairan dan peleburan akibat suhu dan tekanan yang tinggi di lapisan mantel.

· Magma yang panas dan cair ini akan bergerak ke luar permukaan kerak bumi di dasar lautan
membentuk barisan-barisangunung berapi di dasar laut. Melalui proses ataman bumi, gunung berapi ini
akan muncul di permukaan laut membentuk pulau dan rangkaian gunung berapi seperti di Kepulauan
Jawa (Indonesia), Kepulauan Filipina dan Kepulauan Jepun.

· Apabila plat lautan bertembung dengan plat benua,plat lautan yang lebih tumpat akan terbenam ke
bawah. Di zon benam, plat lautan akan mencair dan membentuk magma. Jurang lautan terbentuk di
sepanjang sempadan pertembungan antara plat lautan dengan plat benua. Manakala di bahagian plat
benua kerak bumi akan termampat. Proses mampatan ini akan menghasilkan gunung lipat yang selari
dengan jurang lautan tersebut. Jika terdapat rekahan di gunung lipat, magma akan keluar sebagai
fenomena gunung berapi. Pertambunagn antara Plat Nazca dengan Plat Amerika Selatan menghasilkan
Jurang Peru-Chile dan banjaran Andes sebagai gunung lipat.
· Apabila plat benua bertembung dengan plat benua, maka pinggir kedua-dua benua tersebut akan
termampat dan terlipat lalu membentuk banjaran gunung lipat. Tidak ada plat yang terjunam ke bawah
kerana kedua-dua plat benua mempunyai ketumpatan yangsama. Pertembungan Plat Indo-Australia
dengan Plat Eurasia telah menghasilkan Sistem Pergunungan Himalaya.

b) Pencapahan plat

Plat-plat akan berpisah dan bergerak menjauhi antara satu sama lain. Pencapahan menghasilkan
tegangan yang kuat pada lapisan kerak bumi, kesannya kawasan sempadan pencapahan yang akan
merekah. Ini menyebabkan wujud satu garisan kelemahan pada kerak bumi, magma yang panas akan
mengalir keluar. Jika plat lautan yang mengalami pencapahan ini, maka magma akan mengalir keluar,
menyejuk dan membeku di dasar laut membentuk lapisan kerak bumi yang baru dan dikenali sebagai
permatang tengah lautan. Contohnya Permatang Tengah Lautan Atlantik yang berada di tengah-tengah
lautan Atlantik.

c) Perselisihan plat

Pergerakan plat tektonik juga berlaku secara berselisih di sepanjang garis gelinciran. Ia juga dikenali
sebagai garis neutral. Fenomena yang sering berlaku di kawasan ini ialah gelinciran dan gempa bumi.

TABURAN DAN BUKTI KEJADIAN HANYUTAN BENUA

1. Bukti keselanjaran benua

Garis pinggir pantai di beberapa benua boleh dicantumkan walaupun kedudukan benua-benua kini
adalah jauh dan dipisahkan oleh lautan pinggir laut di bahagian barat Afrika boleh dicantumkan dengan
pinggir laut timur Amerika Selatan Pinggir Laut Eropah Barat boleh dicantumkan dengan pinggir laut
Amerika Utara.

2. Bukti geoglogi

Geologi enapan awal yang berada didasar laut yang terletak disekitar Lautan Antlantik adalah sama
dengan yang ditemui di benua-benua Amerika Selatan dan Afrika dari jenis dan usianya. Ini menguatkan
bukti kemungkinan benua tersebut telah berpecah dari satu jisim benua yang sama sebelumnya.

3. Bukti bahan fosil

Fosil dinosaur dari zaman Jurasik telah ditemui di Amerika Utara, Amerika Selatan dan China. Fosil ini
adalah sama dari segi jenis dan usia.
4. Bukti paleomagnet

Pengukuran yang telah dibuat berhubung dengan kemagnetan fosil yang ditemui menunjukkan kutub
magnet utara telah berubah sejauh 21 000 km dari sebelah barat Amerika Utara kesebelah utara Asia
dan ke kawasan Artik. Fenomena ini berlaku pada masa pra kanbrian hingga ke Zaman Pertengahan
Tersier

5. Bukti oseanik

Bahan mendak lautan yang paling tua iaitu berusia kira-kira 160 juta tahun telah ditemui di Lautan
Pasifik dan Lautan Antlantik. Kedua-dua bahan mendak adalah seusia dan jenis yang sama.

2.3 PEMBENTUKAN LANSKAP DI KAWASAN TROPIKA LEMBAP

LULUHAWA

Konsep Luluhawa

Luluhawa merupakan satu proses pemecahan dan penguraian atau pereputan batuan kepada saiz yang
lebih kecil. Ia berlaku secara insitu (setempat).

Luluhawa Fizikal / Mekanikal

Konsep luluhawa Fizika/Mekanikal

Proses penyepaian dan pemecahan batuan kepada saiz yang lebih kecil akibat tindak balas unsur-unsur
iklam seperti suhu. Ia tidak terlibat perubahan kandungan kimia batuan dan berlaku secara in-situ.

Proses- proses Luluhawa Fizikal

1. Perubahan Suhu

· Proses luluhawa ini berkesan di kawasan iklim panas seperti gurun yang mempunyai julat suhu
harian yang tinggi. Suhu yang mencapai 35^C hingga 40^C pada waktu siang menyebabkan lapisan luar
batuan lebih cepat panas dan mengalami pengembangan berbanding bahagian dalam batuan.

· Suhu waktu malam yang jatuh sehingga 5^C hingga 0^C , menyebabkan bahagian luar lapisan
batuan mengalami kehilangan haba dengan lebih cepat dan mengalami proses penguncupan.
· Proses yang berulang ini menyebabkan berlakunya tegangan sehingga lapisan luar batuan retak
dan pecah serta tertanggal daripada lapisan sebelah dalamnya. Bentuk pemecahan dan penyepaian
batuan bergantung kepada sifat fizikal batuan tersebut. Terdapat tiga bentuk pemecahan batuan iaitu :

a) Pengelupasan

Proses pengelupasan berlaku pada batuan yang mempunyai struktur berlapis dan lapisan luarnya
mempunyai rekahan. Pengelupasan berlaku selapis demi selapis bermula dengan lapisan paling luar.
Keadaan ini berlaku kesan proses pengembangan dan penguncupan yang berulang pada batuan dan
akan menghasilkan serpihan batuan.

b) Penyepaian Berbiji / Granul

Proses ini berlaku sekiranya batuan pecah atau relai secara berbiji-biji. Batuan induk mempunyai
kandungan mineral yang berbagai dan setiap mineral mempunyai kadar pengembangan dan
penguncupan yang berbeza. Contohnya seperti batuan granit yang mengandungi mineral feldspar,
kuartza dan mika. Mineral yang lebih cepat mengembang dan mengecut akan lebih awal tersingkir dari
batuan induk. Butir-butir halus akan terhasil kesan pemecahan ini.

c) Pemecahan Bongkah

Proses ini berlaku pada batuan bersendi atau mempunyai rekahan bersegi empat. Proses
pengembangan dan pengecutan berlaku di sepanjang rekahan tersebut dan penyepaian terjadi
mengikut rekahan sehingga menjadi bongkah-bongkah segi empat.

2. Tindakan Ibun

· Tindakan ibun merupakan proses luluhawa fizizkal yang berkesan di kawasan sederhana dunia
terutamanya di bahagian puncak gunung atau tanah tinggi yang sering mengalami keadaan beku cair.

· Kerpasan seperti fros atau salji yang bertakung dalam rekahan batuan akan membeku pada
musim sejuk dan juga di kawasan pergunungan apabila suhu berada di bawah takat beku. Ais akan cair
apabila tibanya musim panas.

· Isipadu air yang beku ini akan bertambah sebanyak 10% dan kesannya menghasilkan tekanan yang
kuat di sekitar dinding rekahan. Proses yang berulang ini akan menghasilkan rekahan yang semakin
membesar dan akhirnya boleh memecahkan batuan. Serpihan batuan yang bersegi-segi ini jatuh di kaki
gunung dan dikenali sebagai talus atau skri.
3. Penghabluran Garam

Proses penghabluran garam ini giat berlaku di kawasan panas dan kering seperti di kawasan savana dan
monson tropika. Ia merupakan proses pemecahan batuan akibat pembentukan hablur garam di dalam
rekahan dan rongga-rongga permukaan batuan. Akibat cuaca panas yang melampau atau ketika musim
panas, air akan ditarik ke permukaan bumi oleh daya rerambut / daya tarikan kapilari. Apabila air
tersejat, hablur-hablur garam yang halus akan tertinggal dalam rekahan. Proses yang berterusan akan
menyebabkan hablur garam semakin banyak dan berkembang semakin besar. Pembesaran dan
pertambahan kuantiti hablur garam akan mewujudkan tekanan dan ketegasan yang ke atas dinding-
dinding rekahan sehingga rekahan menjadi semakin luas, dalam dan seterusnya pecah.

4. Pembasahan dan Pengeringan

· Proses ini beraku di kawasan tropika lembap. Pembasahan apabila batuan ditimpa hujan lebat
sehingga membolehkan batuan menyerap air dan berada dalam keadaan tepu. Pada masa ini, lapisan
batuan yang lembap akan mengalami pengembangan. Manakala pancaran matahari yang terik pula akan
mengeringkan batuan dan lapisan batuan akan mengalami pengecutan. Proses pengembangan dan
pengecutan yang berulang menyebabkan lapisan batuan tersepai dari batuan asalnya.

· Pembasahan dan pengeringan juga berlaku di kawasan pantai yang menerima pengaruh air
pasang-surut. Semasa air pasang, batuan akan tenggelam dan mineral-mineral dalam batuan menjadi
lembap dan mengembang. Semasa air surut pula, batuan yang timbul akan dikeringkan oleh pancaran
matahari. Batuan menjadi kering dan mengecut dengan cepat. Proses yang berulang ini turut
memecahkan batuan.

5. Pelepasan Tekanan

Proses ini berlaku terhadap batuan yang terletak jauh ke dalam kerak bumi. Batuan ini berada dalam
keadaan menguncup kerana tertekan oleh batuan yang lain yang terletak di atasnya. Apabila batuan di
atasnya mengalami hakisan, diangkut dan direndahkan batuan yang terletak jauh di dalam kerak bumi
akan terdedah ke permukaan ini. Pengurangan beban atau pelepasan tekanan ini akan menyebabkan
lapisan atas batuan berkenaan mengalami proses pengembangan sehingga menyebabkannya merekah
dan pecah.

Luluhawa Kimia

Konsep Luluhawa Kimia

Semua proses pereputan dan penguraian batuan apabila mineral batuan tersebut bertindakbalas
dengan air, asid, ion dan larutan sehingga mineral itu bertukar dari peringkat primer ke peringkat
sekunder. Tindakan ini boleh mengubah kandungan kimia batuan.

Proses Luluhawa Kimia


1. Pengoksidaan

Proses ini berlaku apabila mineral dalam batuan bertindakbalas dengan oksigen dalam udara.
Pengoksidaan berlaku terhadap batuan yang banyak mengandungi mineral besi (ferum). Sebatian besi
akan teroksida apabila terdedah kepada kepada udara (oksigen) dan air. Ia akan bertukar kepada warna
perang kemerahan atau berkarat. Sebatian ferum yang teroksida ini boleh melemahkan struktur
batuan.

2. Pengkarbonan

Ia merupakan tindakbalas antara kalsium karbonat dengan asid karbonik. Asid karbonik lemah terbentuk
apabila air hujan bercampur dengan karbon dioksida dalam udara. Air hujan yang mengandungi asid
karbonik lemah ini mudah bertindakbalas dengan batu kapur dan menghasilkan kalsium bikarbonat.
Proses pengkarbonan ini boleh menghasilkan pelbagai pandang darat karst di kawasan batu kapur
seperti klint, gua batu kapur, stalaktit, stalagmite dan lain-lain.

3. Penghidratan

Penghidratan berlaku apabila mineral batuan menyerap air. Ketegasan dan pengembangan terhasil
dalam batuan dan akhirnya boleh melemahkan struktur batuan dan menghancurkannya. Contohnya
pembentukan limonit.Terdapatjuga keadaan di mana mineral bergabung dengan air dan membentuk
mineral lemah. Proses ini boleh melemahkan dan mengurai batuan induk.

4. Larutan

Air hujan atau air larian bertindak sebagai pelarut.Air berupaya melarutkan mineral batuan yang mudah
larut seperti gipsum, natrim klorida dan kalsium karbonat. Kalsium, natrium dan magnesium mempunyai
kadar kelarutan yang tinggi berbanding dengan silika. Dengan itu ia mudah dilarutkan dan disingkirkan
daripada jisim asalnya dalam bentuk larutan.

5.Hidrolisis

Ia merupakan proses pengasingan mineral dalam batuan oleh tindakan air. Tindakbalas ion hidrogen
dengan ion mineral batuan akan menghasilkan sebatian baru dengan mineral yang berlainan dari batuan
asal. Kesannya batuan asal akan berubah kepada jenis lain. Contohnya feldspar dalam batuan granit
bertukar kepada kaolin (tanah liat berwarna putih) yang lembut apabila air hujan bertindak ke atasnya.

Luluhawa Biologi

Konsep Luluhawa Biologi


Ia melibatkan tindakan tumbuh-tumbuhan, haiwan, mikroorganisma dan manusia. Proses ini berlaku
secara fizikal atau kimia dan melibatkan proses pemecahan dan penguraian batuan.

Proses Luluhawa Biologi

1. Tumbuhan

Akar tumbuhan yang menjalar masuk ke dalam rekahan batuan akan semakin membesar dan akhirnya
meretakkan batuan. Akar tumbuhan juga boleh bertindak mereputkan batuan melalui asid humik yang
dikeluarkan.Contohnya akar lumut dan kulampair.Penguraian olek bakteria terhadap daun, ranting,
dahan yang gugur juga boleh menghasilkan asid humik yang boleh bertindakbalas dengan mineral
batuan.

2. Haiwan

Haiwan seperti arnab, tikus, ular akan memecahkan batuan dengan mengorek lubang di dalam tanah.
Struktur tanah yang longgar dan polos ini memudahkan ini memudahkan kadar resapan ke dalam tanah.

3. Manusia

Tindakan manusia seperti meletupkan batuan di kuari dan lombong telah mendedahkan batuan kepada
proses luluhawa seterusnya.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Luluhawa

a) Iklim

Suhu dan hujan merupakan dua unsur iklim yang mempengaruhi luluhawa.Proses-proses luluhawa kimia
seperti larutan, pengkarbonan dan hidrolisis amat bergantung kepada kehadiran air. Menurut Prinsip
Lee Chatlier, ‘tindakbalas luluhawa kimia akan berganda apabila kuantiti air bertambah’. Kawasan
Tropika Lembap mendapat bekalan hujan tahunan yang banyak maka luluhawa kimia adalah berkesan di
kawasan ini. Purata suhu tahunan yang tinggi (27^C hingga 32^C) di Tropika Lembap juga merupakan
penyumbang utama kepada proses luluhawa kimia. Suhu yang tinggi sepanjang tahun dengan beza
antara suhu harian yang kecil membolehkan operasi kimia berlaku dengan berkesan.

b) Jenis batuan

Batuan yang lembut seperti batu kapur, dolomite dan gipsum merupakan jenis batuan yang tidak stabil
dan mudah mengalami luluhawa berbanding dengan batuan keras seperti granit.

c) Rekahan
Rekahan juga merupakan faktor penentu keberkesanan luluhawa.Rekahan merupakan garisan lemah
batuan. Batuan yang mempunyai kepadatan rekahan yang tinggi dan rekahan berada dalam keadaan
menegak, mempunyai kadar luluhawa yang tinggi. Ini kerana air, asid dan laritan boleh bertakung dan
menembusi batuan ini.Luluhawa kimia boleh bertindakbalas di sepanjang dinding rekahan.

d) Relief

Relief ialah keadaan cerun sesuatu kawasan.Luluhawa kimia pesat berlaku di kawasan cerun landau dan
tanah pamah. Kawasan ini menggalakkan kadar simpanan air berbanding kawasan cerun curam.
Luluhawa akan lebih berkesan di kawasan cerun yang menghadap pancaran matahari berbanding
dengan cerun yang membelakangkan matahari. Pancaran matahari (suhu) diperlukan untuk tindakan
luluhawa kimia.

Kesan Luluhawa Terhadap Pembentukan Landskap Aktiviti Manusia

a. Di kawasan batu kapur, luluhawa mewujudkan pandang darat karst yang menarik seperti gua,
sungai bawah tanah, stalaktit, staglamite dan lain-lain. Gua-gua batu kapur seperti Gua Niah dan Gua
Mulu di Sarawak sering menjadi tarikan pelancong.

b. Pembentukan tanah liat. Pembentukan tanah liat berkait rapat dengan proses hidrolisis terhadap
batuan feldspar. Tanah liat ini sangat penting dalam industri tembikar.

c. Tanah laterit terbentuk hasil proses pengoksidaan. Tanah laterit yang berwarna keperangan ini
sesuai untuk tanaman getah dankelapa sawit.

d. Proses luluhawa di kawasan gurun menghasilkan gurun batu dan gurun pasir.

PERGERAKAN JISIM

Konsep Pergerakan Jisim

Pergerakan regolit tanah dari atas cerun ke bawah cerun akibat daya tarikan graviti dengan dibantu oleh
air sebagai pelincir.

Jenis-jenis pergerakan jisim

a. Aliran Lambat

Pergerakan regolit dan tanih secara perlahan-perlahan menuruni cerun. Proses pergerakan ini tidak
dapat dilihat dengan mata kasar. Cuma dapat dilihat seperti tiang elektrik.Tiang telefon yang condong
daripada kedudukan asalnya yang tegak.
Ia berlaku dikawasan yang mempunyai permukaan cerun yang tidak terlalu landau dan tidak dilitupi oleh
tumbuhan yang tebal.

Proses-proses Aliran Lambat

· Kesotan tanah-tanih

· Kesotan Talus

· Kesotan Batuan

· Kesotan batu glaseir

· Gelangsaran tanah

b. Aliran cepat

Aliran lambat melibatkan pergerakan regolit, tanah dan lumpur pada kadar yang lebih cepat dan di atas
cerun yang lebih curam berbanding aliran lambat.

Proses-proses aliran cepat:

· Aliran tanah

· Aliran lumpu

· Puin salji runtuh

c. Geluncuran

Geluncuran melibatkan pergerakan tanih, regolit dan bongkah batuan secara besaran di cerun yang
curam dan hampir tegak.Ia berlaku lebih cepat dan tiba-tiba berbanding dengan proses dalam aliran
cepat.

Poses-proses Geluncuran

· Robohan

· Geluncuran puin

· Geluncuran batuan

d. Runtuhan
Pergerakan regolit yang berlaku di cerun-cerun yang sangat curam. Antara faktor yang
menyebabkan berlakunya runtuhan ialah kadar turunan hujan yang lebat dan perubahan cerun yang
semakin curam.

Proses-proses runtuhan:

· Runtuhan tanah

· Runtuhan batuan

Faktor yang mempengaruhi proses pergerakan jisim

a. Kecerunan

Kecerunan sesuatu permukaan bumi mempengaruhi proses pergerakan jisim. Di kawasan yang bercerun
curam pergerakan jisim berlaku dengan giat akibat daya tariakan graviti ke bawah adalah tinggi.

b. Jenis batuan

Jenis batuan yang berlainan mempengaruhi proses pergerakan jisim. Proses pergerakan jisim berlaku
dengan giat di cerun yang terdiri daripada batuan yang lembut berbanding dengan kawasan yang dilitupi
batuan keras.

c. Hujan

Kawasan yang menerima hujan yang lebat mengalami proses pergerakan jisim yang giat. Ini kerana air
bertindak sebagai pelincir yang mempercepatkan lagi proses pergerakan jisim. Akibat curahan hujan
yang lebat berat jisim sesuatu cerun akan bertambah hasil daripada proses susupan dan larut resap dan
akhirnya cerun akan runtuh secara besar-besaran.

d. Litupan tumbuh-tumbuhan

Tumbuhan menjadi pelindung semulajadi yang paling berkesan untuk menstabilkan sesuatu cerun.
Selain daripada proses cegatan silar terhadap titisan air hujan, akar memainkan peranan dalam
menentukan kadar kejeleketan ketara tanah. Sistem akar yang komplek akan mencengkam tanah dan
menghalang kejadian gerakan jisim.

e. Gegaran

Kawasan yang berada di kawasan Lingkaran Api Pasifik merupakan kawasan yang tidak stabil dan mudah
berlaku gempa dan gegaran. Kejadian gempa bumi dan gegaran sesuatu kawasan mendorong kepada
berlakunya pergerakan jisim terutama jisim secara cepat.Gegeran yang kuat membawa kepada
terjadinya tanah runtuh dan runtuhan batuan.

f. Tindakan manusia

Tindakan manusia banyak mempengaruhi kejadian pergerakan jisim.Tindakan manusia seperti


pembalakan, pembinaan jalan raya di lereng-lereng bukit, pembinaan pusat peranginan di kawasan
tanah tinggi, pembinaan petempatan, perlombongan kauri dan sebagainya menyebabkan banyak
kawasan bukit digondol, ditarah dan dipotong untuk pelbagai tujuan. Keadaan ini menyebabkan
kawasan cerun bukit kehilangan kestabilan dan terdedah kepada agen-agen hakisan yang akhirnya akan
memudahkan berlakunya pergerakan jisim seperti tanah runtuh,runtuhan batuan dan juga banjir
lumpur.

Langkah-langkah untuk mengawal proses pergerakan jisim

a. Langkah perundangan

Mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat pemaju sesebuah projek yang
melanggar peraturan EIA ( Environment Impact Assessment ). Tindakan mahkamah seperti denda,
penjara, menarik balik lesen, arahan pembayaran pampasan dan ganti rugi dan lain-lain.

b. Langkah penstrukturan

· Menanam pokok-pokok pelindung yang kekal di atas permukaan cerun bukit supaya
kestabilan cerun secara semulajadi terpelihara.

· Membina benteng serta tembok penahan hakisan di kaki cerun yang tidak stabil dan berisiko
untuk runtuh. Benteng yang dibina boleh mengukuhkan kaki cerun untuk mengelaknya runtuh secara
besaran. Benteng yang dibina dalam bentuk konkrit, sangkar dawai yang diisi dngan batu konkrit dan
lain-lain lagi.

· Menggunakan sungkupan plastik di atas permukaan cerun yang tidak stabil. Ini bertujuan
untuk mengelakkan air hujan daripada terus terkena pada permukaan cerun terutama permukaan cerun
yang telah tergondol.

· Memperbaiki sistem saliran dan laluan air di permukaan cerun atau kawasan tanah tinggi.
Menyediakan sistem perparitan longkang di permukaan cerun. Ia boleh dibuat secara berteres di
bahagian cerun atas hingga cerun bawah. Dengan cara ini, limpahan air permukaan dan ketepuan tanih
dapat dielakkan dan seterusnya pergerakan jisim tidak berlaku.

c. Langkah bukan perundangan


Melaksanakan kempen kesedaran dan pendidikan alam sekitar kepada semua lapisan masyarakat
khususnya pemaju perumahan, pekebun sayur dan pengusaha hotel.Kempen boleh dilakukan melalui
pelbagai media cetak dan elektronik, menganjurkan kursus-kursus serta seminar dan lain-lain.Di
samping itu, pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah, rendah, menengah hingga ke universiti
diperkukuh dengan memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar secara khusus.

LEMBANGAN SALIRAN

Konsep Lembangan Saliran

Lembangan saliran ialah kawasan yang disaliri oleh sebatang sungai dan cawangan-cawangannya.
Contohnya, Lembangan Sungai Kelantan.

Hakisan Permukaan

a. Hakisan Percikan

Hakisan percikan berlaku di kawasan yang terhad litupan bumi apabila titisan air hujan akan terus ke
tanah. Hentaman titisan air hujan berupaya menghempaskan butiran dan jatuh semula ke permukaan.

b. Hakisan Kepingan

Hakisan kepingan berlaku akibat dari air larian permukaan menghakis lapisan tanah di permukaan.

c. Hakisan Galir

Hakisan permukaan cerun yang lebih meluas, terdiri daripada alur-alur air yang kecil. Terbentuk oleh
hujan lebat dan kewujudannya sering berubah-ubah.

d. Hakisan Galur

Hakisan galur merujuk kepada alur-alur air yang kekal dan berisi air semasa hujan lebat.Alur lebih besar
dari galur dan biasanya kekal dalam jangka masa lama.

HAKISAN SUNGAI

Jenis hakisan
a. Hakisan mendalam/ hakisan menegak

Hakisan mendalam berlakuapabila sungai menghakis pada dasarnya menjadikannya semakin dalam
mewujudkan lurah yang sempit berbentuk V.

b. Hakisan melebar

Hakisan melebar berlaku pada bahagian sungai yang mempunyai dasar sungai tidak begitu curam tetapi
isi padu air yang banyak.Hakisan berlaku ke arah tebing secara melebar dan mewujudkan profil rentas
berbentuk U.

c. Hakisan kebelakang/ unduran

Hakisan ini menyebabkan cerun dasar sungai berundur kearah hulu, banyak berlaku di kawasan hulu
sungai dan bahagian-bahagian yang tidak mempunyai ketidakrataan dasar.

Cara-cara Hakisan

a. Tindakan hidraul - Tindakan hidraul melibatkan kuasa air sungai itu wujud akibat hempasan
atau rempuhan aliran air sungai ke atas struktur rekahan batuan yang lemah seperti struktur rekahan
dan ke atas batuan lembut.

b. Lelesan @ geseran - Melibatkan geselan antara muatan sungai (batu kelikir) dengan air
sungai terhadap tebing dan dasar sungai.

c. Lagaan - Merujuk kepada pergeseran batuan itu sendiri apabila berlaga sesame sendiri
semasa pengalirannya.

d. Larutan – air sungai bertindakbalas secara kimia terhadap batuan. Proses ini sangat berkesan
di kawasan batuan kapur yang mudah larut.

Faktor-faktor yang mempengaruhi hakisan

a. Isipadu dan Halaju Air


Amat berkesan untuk proses larutan dan proses hidraul.Semakin tinggi isipadu air sungai, semakin tinggi
tenaga potensinya dan juga kelarutan air sungai tersebut.Semakin tinggi halaju air di dalam alur sungai,
semakin tinggi tenaga sungai itu untuk menjalankan kerja-kerja hakisan.

b. Kecerunan

Dasar alur yang curam mempengaruhi halaju arus. Kecuraman cerun membolehkan air sungai mengalir
deras dan ini meninggikan kadar hakisan, terutama hakisan cara lelasan dan lagan.

c. Bentuk alur

Bentuk alur yang lurus pasti mengalami kadar hakisan yang hebat kerana taburan tenaga bagi
keseluruhan geometri alur adalah sama dan seimbang. Jadi keseluruhan tebing alur sama ada di kiri atau
kanan akan mengalami hakisan pada kadar yang sama. Bagi alur yang berliku, taburan tenaga tidak sama
menyebabkan kadar hakisan tidak seimbang bagi keseluruhan tebing alur sungai.

d. Jenis batuan

Sekiranya tebing dan dasar sungai terdiri daripada batuan lembut maka kadar hakisan sungai adalah
tinggi berbanding dengan batuan keras.

e. Bahan muatan

Kuantiti dan kualiti bahan yang dibawa oleh air sungai pula dilihat secara relatif dengan keras-lembut
batuan tebing dan dasar alur sungai. Faktor ini amat mempengaruhi keberkesanan proses lagaan dan
geselan. Sekiranya bahan-bahan yang dibawa oleh air sungai itu adalah banyak maka kebarangkalian
untuk berlaku pergeselan dan lagaan adalah tinggi.

Bentuk Muka Bumi Hakisan Sungai

a. Air terjun

Air terjun merupakan aliran air terjun setingkat yang terjun dari poin yang tinggi dipengaruhi oleh proses
hakisan. Air terjun biasanya terbentuk di kawasan batuan yang berstruktur mendatar antara batuan
keras dan lembut.Lapisan atas terdiri daripada lapisan batuan keras, sukar dihakis dan aliran sungai
mengalir di atasnya.Manakala lapisan batuan lembut yang berada di bawah sangat mudah dihakis
khususnya oleh hempasan air dari tingkat terjun.
b. Jeram

Jeram ialah air terjun bertingkat atau bersiri mengikut tingkat terjun yang berbeza.

c. Lubuk

Satu lekukan atau lubang di dasar sungai yang berbatu yang dikorek oleh pusaran arus sungai.Aliran
sungai yang deras dan berpusar bertindak mengorek rekahan-rekahan di dasar sungai yang tidak rata,
pemperdalam rekahan tersebut menjadi lubang dinamakan sebagai lubang periuk.

d. Gaung

Gaung mempunyai tebing yang sangat curam dan dalam. Hakisan menegak bertindak dengan berkesan
di dasar alur sungai menyebabkan dasar alur dikorek dan diperdalamkan.

e. Lurah

Air sungai yang mengalir laju berupaya menghakis ke dasar sungai melalui hakisan jenis mendalam.Oleh
itu, lurah sungai semakin mendalam, sempit dan curam membentuk lurah V.

PENGANGKUTAN SUNGAI

Konsep Pengangkutan Sungai

Pengangkutan adalah proses pemindahan muatan sungai seperti batu tongkol, kerikil, pasir, tanah,
bahan-bahan ampaian dari peringat hulu ke peringkat hilir serentak dengan aliran air tersebut.

Cara Pengangkutan Sungai

a. Larutan – melibatkan pemindahan zat-zat galian yang terlarut dalam aliran dari batuan. Cara
larutan ini lebih giat jika sistem aliran terdapat di permukaan batuan yang lembut seperti batu kapur.

b. Ampaian – berlaku terhadap puin-puin yang halus dengan adanya arus dasar yang kuat.
Biasanya mautan ampaian menentukan warna air, contohnya tanah liat.

c. Loncatan – melibatkan pergerakan muatan sungai yang berbentuk bujur seperti batu kelikir
di dasar sungai, ia giat berlaku selepas hujan lebat.

d. Seretan – melibatkan pergerakan bongkah batu yang besar, dianggap muatan dasar kerana
pergerakannya hanya berlaku di dasar-dasar sungai. Ia sangat giat berlaku apabila isipadu air yang
banyak atau halaju air yang tinggi terutama ketika banjir.
e. Golekan – melibatkan pergerakan batuan yang sederhana besar dan dianggap muatan dasar.

f. Apungan – melibatkan beban sungai yang ringan dan halus, pergerakannya di atas
permukaan air.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pengangkutan Sungai

a. Tenaga

Semakin laju pergerakan arus sungai maka sungai semakin bertenaga dan dapat menjalankan proses
pengangkutan dengan lebih berkesan. Beban sungai yang besar dan berat dapat diangkut ke hilir sungai
dengan lancar.

b. Cerun

Kawasan yang bercerun curam menyebabkan sungai mengalir dengan deras berbanding dengan sungai
yang beraliran perlahan.Sungai yang terletak di cerun yang curam mempunyai tenaga yang tinggi untuk
kerja-kerja pengangkutan berlaku.

c. Halangan

Di dalam alur sungai seperti tanah runtuh akan memperlahankan aliran air.

d. Kekasaran alur

Alur sungai yang kasar menyebabkan aliran sungai perlahan. Ini mengurangkan keupayaan sungai
tersebut untuk menjalankan proses pengangkutan. Sungai ini juga akan menyebabkan pengangkutan
sungai turut perlahan.

e. Bentuk alur

Alur yang lurus aliran sungai adalah laju. Proses pengangkutan giat kerana sungai bertenaga. Alur yang
berliku-liku menyebabkan aliran sungai adalah perlahan maka sungai tidak bertenaga untuk
menjalankan kerja-kerja pengangkutan.

f. Saiz bahan

Saiz bahan merujuk kepada jisim dan ketumpatan beban sungai.Saiz beban yang kecil dan ringan,
pengangkutan sungai adalah giat.Manakala saiz beban yang besar dan berat, pengangkutan sungai
adalah perlahan.

g.Bentuk beban

Bentuk beban yang berlainan memerlukan jumlah tenaga yang berlainan untuk diangkut. Bentuk beban
merujuk kepada ciri-ciri beban tersebut apabila di dalam air, sama ada ia larut, terapung atau tertinggal
sebagai pepejal. Contohnya beban larut adalah sejenis beban yang menyebabkan kandungan mineral
larut dalam air misalnya kalsium karbonat dan bahan-bahan toksid. Beban ini akan diangkut secara
larutan.

PEMENDAPAN SUNGAI

Konsep Pemendapan Sungai

Penimbunan atau longgokan bahan seperti pasir dan kelikir yang diangkut oleh sungai dari bahagian atas
sungai ke peringkat rendah dan mendap apabila tenaga aliran dan halaju sungai semakin perlahan
khasnya di kawasan yang bercerun landai.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pemendapan

a. Isipadu air

Isipadu air yang tinggi akan menyebabkan aliran sungai menjadi perlahan,beban sungai akan
dimendapkan. Contohnya di kawasan hilir sungai, isipadu air tinggi kerana sungai menerima luahan dari
cawangan-cawangan sungai menyebabkan aliran perlahan dan memendapkan beban yang dibawanya.

b. Halaju air

Halaju air yang perlahan akan menyebabkan sungai kehilangan tenaga untuk kerja-kerja pengangkutan
maka sungai tersebut akan memendapkan semua beban yang dibawanya.

c. Kecerunan

Kawasan yang mempunyai kecerunan yang landai, aliran adalah perlahan dan tidak bertenaga maka
proses pemendapan akan berlaku.

d. Bentuk alur

Alur yang berliku-liku menyebabkan aliran sungai adalah perlahan menyebabkan kerja-kerja
pemendapan berlaku dengan berkesan.

e. Jenis batuan

Batuan yang keras dan membentuk alur biasanya kerja-kerja hakisan berlaku berbanding dengan batuan
yang lembut yang menyebabkan proses pemendapan berlaku.

f. Bahan muatan

Bahan muatan yang besar dan berat akan dimendapkan lebih dulu seperti di kawasan hulu sungai.
Contohnya, batu-batu besar yang terdapat di kawasan air terjun adalah hasil pemendapan aliran sungai
yang tidak mampu untuk mengangkut ke kawasan hilir. Bagi bahan muatan yang kecil dan halus seperti
pasir akan diangkut dan dimendapkan di kawasan hilir sungai.

g. Halangan-halangan di dalam alur sungai seperti tanah runtuh akan menyebabkan aliran
sungai terhenti maka beban sungai yang diangkut akan dimendapkan.

Bentuk muka bumi pemendapan sungai

a. Dataran banjir
Bermaksud kawasan tanah pamah yang terletak di bahagian hilir sungai yang melimpah air banjir.Ia
amat luas, landai dan rata.

b. Tetambak

Ialah jaluran permatang yang wujud di sepanjang tebing sungai dan memisahkan antara sungai dengan
dataran banjir.

c. Tasik ladam

Kejadian tasik ladam dapat dijelaskan melalui tiga peringkat :

Peringkat 1 – hakisan sisi berlaku di tebing-tebing cekung dan akan menghasilkan alur yang baru.

Peringkat 2 – pembentukan alur yang baru ini dipercepatkan lagi dengan pemendapan bahan-bahan
yang terhakis. Proses pemendapan yang berterusan menyebabkan likuan sungai akan terpisah daripada
alur sungai yang terbentuk tadi. Likuan ini dinamakan sebagai likuan terpenggal.

Peringkat 3 – proses pemendapan yang berterusan menyebabkan likuan terpenggal terpisah langsung
daripada alur-alur sungai. Air dalamlikuan terpenggal ini akan terperangkap menjadi sebuah tasik yang
dinamakan tasik ladam.

d. Delta

Terbentuk apabila timbunan bahan mendap berlaku secara meluas di muara sungai.Di kawasan muara
ini, halaju arus sungai amat perlahan kerana sungai kehilangan tenaga untuk mengangkut lalu
memendapkan bahannya dengan giat dan membentuk delta.

PINGGIR PANTAI

Konsep Pinggir Pantai dan Pantai Seimbang

Secara umumnya, pantai adalah zon yang terletak di antara tikas air pasang dengan tikas air surut
ombak.Secara khususnya, pantai merupakan satu jalur linear daratan yang terdiri daripada timbunan
bahan mendap yang peroi seperti pasir, kulit kerang dan siput, lumpur dam kelodak uyang berasal dari
laut dan sungai.Pelbagai agen geomorfologi yang bertindak di zon pinggir pantai.Antara agen-agen
tersebut termasuklah ombak, arus lautan, arus pasang surut dan tindakan angin.

Pantai seimbang iaitu pantai yang mengalami kadar hakisan dan kadar pemendapan yang hampir sama.
(skima peperiksaan)

Tindakan ombak

Ombak ialah permukaan air laut yang beralun akibat daripada tiupan angin.Terdapat dua jenis ombak
iaitu ombak pembina dan ombak pembinasa.Ombak Pembina ialah ombak yang mampu membawa
bahan-bahan pasir dan kelodak dan mendamparkan ke daratan untuk membina pantai. Ombak ini
kurang berkemampuan menyeret bahan tersebut semula ke laut semasa berlaku proses basuhan balik.
Ombak pemusnah ialah ombak yang mampu mengangkut banyak bahan pasir dan kelodak ke laut
semasa basuhan balik. Walaubagaimanapun, ombak ini kurang berupaya untuk membawa dan
mendamparkan bahan-bahan tersebutke pantai semasa proses damparan berlaku.

Tindakan ombak menyebabkan berlakunya proses hakisan, pengangkutan dan pemendapan.

HAKISAN OMBAK

Tindakan ombak menghakis melalui tindakan hidraul, lagaan, kikisan, lelasan dan larutan.

Tindakan Hidraul

Hakisan hidraul berlaku apabila ombak mendamparkan dan menghempaskan air laut ke dinding
cenuram dan rekahan serta retakan batuan di kawasan pinggir laut.Akibatnya, udara yang terperangkap
di dalam rekahan dan retakan batuan menjadi mampat. Apabila ombak mengundur, udara yang
termampat di dalam rekahan dan retakan batuan akan dilepaskan. Proses pemampatan dan pelepasan
yang berlaku secara berterusan dan berulang kali akan membesar dan mendalamkan lagi rekahan dan
retakan yang ada pada batuan. Lama-kelamaan, batuan akan menjadi pecah dan runtuh.

Lagaan

Proses lagaan berlaku apabila bahan-bahan yang dibawa oleh ombak, sama ada besar ataupun kecil,
berlaga sesama sendiri dan pecah menjadi serpihan yang lebih kecil.

Kikisan dan lelasan

Proses hakisan secara kikisan dan lelasan dilakukan oleh bahan-bahan yang dibawa oleh ombak, seperti
batu tongkol, batu kelikir dan serpihan batuan lain yang pelbagai bentuk dan saiz. Bahan-bahan ini
menghentam, menggeser dan melelaskan dinding dan kaki cenuram laut semasa damparan ombak lalu
menyebabkan cenuram laut pecah dan roboh.

Proses hakisan secara lelasan berlaku pada bahagian dasar cenuram. Puin-puin batuan yang terdapat
dalam pelbagai bentuk dan saiz yang diangkut oleh ombak akan menggeser dan melelaskan bahagian
dasar cenuram.

Larutan

Proses larutan berlaku secara tindakan kimia di kawasan pinggir laut yang terdiri daripada batuan yang
mudah larut. Semasa ombak menghempas tebing batu kapur misalnya, air laut akan melarutkan batu
kapur dan membawa bersama-samanya bahan yang dilarutkan ke dalam laut sewaktu basuhan balik
berlaku.

Faktor-faktor yang mempengaruhi hakisan pinggir pantai

a. Kecerunan pantai

Pantai yang curam akan mengalami hakisan yang lebih tinggi berbanding pantai yang bercerun landai.
Keadaan ini disebabkan ombak pecah yang beraku di pinggir pantai yang landau akan mengalami
geseran dan melemahkan tenaga ombak untuk melakukan hakisan. Keadaan ini berbeza dengan pantai
yang curam kerana tenaga ombaknya adalah tinggi.Hal ini demikian kerana kedalaman air di pinggir
pantai tersebut menyebabkan ombak pecah pada kedudukan tinggi.

b. Pengaruh struktur geologi @ jenis batuan

Tindakan ombak terutamanya secara kikisan dan tindakan hidraul yang menghakis di sepanjang garis
geologi yang lemah seperti gelinciran akan menghasilkan bentuk seperti geo dan gua, pintu gerbang,
batu tunggul dan batu sisa serta semua rupa muka garis tebing tinggi yang telah terhakis secara tidak
sekata.

c. Jenis ombak

Umumnya, ombak dapat dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu ombak pembinasa dan ombak
pembina. Ombak Pembina mempunyai damparan yang kuat tetapi lurutan yang lemah kerana
diperlahankan oleh geseran air laut dengan kecerunan pantai yang melandai. Sebaliknya, ombak
pembinasa yang merupakan satu siri ombak ribut, mempunyai turutan ombak yang cepat dengan
junaman hampir tegak apabila memecah dan mempunyai daya lurutan yang lebih tinggi daripada
damparan. Dengan demikian, ombak pembinasa akan meraut pantai dan membawa bahan ke arah laut.

d. Arus lautan dan pesisir pantai

Arus lautan juga memainkan peranan sebagai pengangkutan laut terutama di pantai yang lurus.Air yang
telah dibawa pantai oleh angin mengalir balik sebagai air pasang yang kuat. Air pasang akan berlaku
pada waktu malam dan surut pada waktu siangnya. Pada waktu malam, pemendapan akan berlaku
hampir di tepi pantai sahaja. Pada masa air pasang, imbangan kenaikan aras laut diseimbangkan oleh
unduran bawah yang mengakibatkan hakisan mengaut longgokan ke laut. Gerakan longgokan ini lebih
cepat jika unduran bawah diperkuatkan oleh arus sungai yang kuat yang mengalir ke laut dan
memendapkan bahan muatan ke laut.

e. Kuantiti beban muatan ombak

Bahan pinggir pantai sama ada banyak atau sedikit serta saiz bahan tersebut juga merupakan kuasa
geselan yang turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi hakisan pinggir pantai. Di
kawasan pinggir pantai yang mempunyai banyak bahan pasir, batu pasir, kelikir dan serpihan batuan,
kadar hakisan geselan terhadap batuan pinggir pantai yang berlaku dengan giat sekali.

f. Kedudukan pantai @ orientasi pantai


Kawasan pinggir pantai yang terdedah kepada pergerakan ombak dan angin akan menyebabkan kadar
hakisan menjadi lebih giat berbanding dengan pinggir pantai yang terlindung.

g. Litupan tumbuh-tumbuhan

Pantai yang mempunyai litupan tumbuh-tumbuhan seperti pokok bakau, rhu dan kelapa lebih berupaya
menahan hakisan ombak kerana akar pokok-pokok tersebut bertindak sebagai pengcengkam tanih dan
pasir di pantai. Sebaliknya, kawasan yang tiada litupan tumbuh-tumbuhan akan menyebabkan proses
hakisan giat berlaku di kawasan tersebut.

h. Proses pasang surut

Bagi kawasan pinggir oantai yang mengalami proses pasang dan surut dalam yang tinggi akan
mengalami proses hakisan secara berleluasa berbanding dengan kawasan yang tidak mengalaminya.

i. Tindakan manusia

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh manusia boleh mempengaruhi kecerunan pantai. Aktiviti seperti
penebangan hutan pantai untuk didirikan chalet atau resort pengambilan pasir pantai dan juga aktiviti
memperdalamkan muara sungai akan menyebabkan cerun pantai menjadi lebih curam. Hal ini demikian
kerana pantai ini akan mengalami hakisan yang kuat oleh ombak dan arus. Aktiviti menanam pokok dan
membina benteng pemecah ombak akan menambahkan pasir di tepi pantai dan seterusnya menjadikan
cerun pantai lebih landai.

Bentuk Muka Bumi Hakisan Ombak

1) Teluk dan tanjung

Teluk dan tanjung berbentuk secara serentak di kawasan pinggir pantainya yang mempunyai susunan
batuan jenis lembut dan keras secara berselang-seli. Ombak akan menghakis bahagian batuan yang lebih
lembut dan melengkuk ke daratan. Bahagian ini disebut teluk.

Bahagian batuan keras yang lebih sukar dihakis akan tertinggal dan mengunjur ke laut lalu membentuk
tanjung.

2) Cenuram dan teres hakisan ombak

· Peringkat 1 – ombak menghakis kawasan ‘X’, iaitu satu kawasan yang terletak di antara aras
air pasang dan aras air surut.
· Peringkat 2 – akibat hakisan ombak di peringkat 1, satu lekukan terbentuk di ‘X’.bahan-bahan
yang terhakis ditimbunkan di kawasan ‘Y’ lalu menyebabkan terbentuknya teres luar pesisir.

· Peringkat 3 – proses luluhawa dan hakisan yang berterusan menyebabkan lekukan runtuh dan
membentuk cenuram. Pengunduran cenuram ke darat oleh tindakan hakisan menyebabkan
pembentukan teres hakisan ombak.

3) Gua laut

Gua laut terbentuk akibat daripada hakisan ombak secara hidraul dan lelasan terhadap cenuram yang
banyak mempunyai rekahan.Air yang memasuki rekahan cenuram meluaskan lagi rekahan lalu
membentuk lubang besar di kaki cenuram.Lubang ini juga disebut gua laut.

4) Gerbang laut

Gerbang laut terbentuk apabila dua buah gua yang letaknya bertentangan di sebuah tanjung bergabung
akibat hakisan ombak secara hidraul dan lelasan.

5) Batu tunggul dan tunggul sisa

Batu tunggul dan tunggul sisa terbentuk akibat runtuhan bumbung gerbang laut yang mengalami
hakisan dan luluhawa. Pendedahan batu tunggul yang berterusan terhadap hakisan ombak akan
membentuk tunggul sisa.

6) Lohong ombak @ gloup

Lohong ombak terbentuk apabila ombak yang kuat bertindak terhadap bahagian dalam gua dan
berupaya menembus dinding bumbung gua. Akibat daripada kejadian ini, ait laut akan tersembur keluar
melalui lubang atau lohong ombak yang dikenali juga sebagai gloup.

7) Anak teluk @ geo

Anak teluk terjadi akibat daripadahakisan ombak yang berterusan terhadap bumbung gua. Lama-
kelamaan gua yang terdedah pada hakisan ombak ini akan runtuh dan membentuk satu serokan yang
panjang dan sempit lalu menyebabkan air laut memasuki bahagian dalam cenuram.

PENGANGKUTAN OMBAK

Arus dan ombak memainkan peranan penting dalam mengangkut dan memindahkan beban ombak.
Pergerakan damparan dan basuhan balik dalam proses pengangkutan mbakberlaku secara zig-zag.
Pergerakan bahan di sepanjang garisan persisir disebut pengangkutan litoral dan bahan yang diangkut
disebut hanyutan litorel.Pengangkutan litorel terdiri daripadahanyutan susur pesisirdan pengangkutan
luar pesisir.

Beban ombak yang diangkut terdiri daripada serpihan dan ketulan batuan seperti gersik, kerikil dan batu
tongkol serta bahan-bahan yanag lebih halus seperti pasir, kelodak dan lumpur. Basuhan balik akan
mengangkut dan menghanyutkan bahan-bahan yang lebih halus dan ringan turun ke laut secara
bersudut tepat manakala damparan ombak pula akan mengangkut dan memindahkan muatannya ke
pantai secara menyerong.

Faktor-faktor yang mempengaruhi pengangkutan ombak

a. Tenaga arus

Arus pesisir pantai yang kuat akan menggalakkan proses pengangkutan bahan sebaliknya arus pesisir
yang lemah melambatkan proses pengangkutan bahan.

b. Tenaga ombak

Tenaga ombak yang kuat akan menggalakkan proses pengangkutan berlaku berbanding tenaga ombak
yang lemah akan melambatkan proses pengangkutan.

c. Pasang surut

Pantai yang terdedah kepada perubahan pasang surut yang besar akan menggalakkan proses
pengangkutan berbanding kawasan yang tidak mengalami pasang surut. Ini disebabkan oleh tindakan
pengangkutan lebih giat berlaku semasa pasang surut kerana tenaga ombak bertambah.

d. Cerun

Cerun yang landai lebih mudah untuk pengangkutan ombak menghimpunkan bahan ke pantai
berbanding pantai yang bersifat curam hanya sampai di bahagian yang lebih rendah.

e. Halangan

Semasa pergerakan ombak ke pantai atau dari pantai ke laut, terdapat halangan seperti timbunan atau
beting pasir. Keadaan ini secara tidak langsung akan memperlahankan pergerakan dan pengangkutan
ombak.

f. Orientasi pantai
Kawasan paantai yang terdedah akan menyebabkan tenaga ombak menjadi besar dan ini meningkatkan
keupayaan ombak untuk menjalankan proses pengangkutan berbanding dengan kawasan pantai yang
terlindung yang akan memperlahankan pengangkutan ombak.

g. Saiz bahan

Saiz bahan mempengaruhi pengangkutan ombak. Jika saiz bahan kecil dan ringan seperti bahan kelodak
dan lumpur akan lebih mudah diangkut melalui proses ampaian berbanding kerikil dan batu tongkol
yang memerlukan tenaga ombak yang lebih kuat.

h. Jenis bahan

Bahan terhakis yang diangkut oleh ombak dikenali sebagai beban.Beban ombak terdiri daripada
serpihan dan ketulan batuan seperti kerikil, batu tongkol dan bahan-bahan yang lebih halus seperti
pasir, kelodak dan lumpur.Jenis bahan seeperti kerikildan batu tonkol lebih sukar diangkut berbanding
pasir, kelodak dan lumpur.

i. Bentuk bahan

Bahan yang berbentuk bulat lebih mudah diangkut melalui proses golekan tetapi bahan yang tebal dan
leper lebih sukar diangkut kerana beban seperti ini bergerak dalam bentuk seretan.

PEMENDAPAN OMBAK

Faktor-faktor yang mempengaruhi pemendapan ombak

1. Tenaga arus

Arus membantu memindahkan puin-puin yang terhakis dan menimbunkannya sebagai kelodak pasir dan
batu kelikir di sepanjang pantai.Pertembungan arus laut dan arus sungai menyebabkan kedua-dua arus
ini kehilangan tenaga lalu memendapkan bahan muatannya di dasar muara sungai.Banyak dan
sedikitnya bahan mendapan ini bergantung kepada kuantiti bahan yang dibawa oleh kedua-dua arus
tersebut.

2. Tenaga ombak

Ombak bertindak sebagai agen pemendapan.Ombak ini dipanggil ombak pembina.Ombak pembina
mempunyai damparan yang kuat tatapi lurutan yang lemah kerana diperlahankan oleh geseran air laut
dengan kecerunan pantai yang melandai. Ombak pembina mempunyai jarak gelombang yang panjang
dan masa untuk menggulung pantai dengan kadar ulangan 6 hingga 8 kali seminit. Dengan demikian,
ombak ini cenderung untuk menggerakan bahan terutama batu lada ke atas pantai dan memendapkan
beban muatan tersebut yang kemudiannya membentuk permatang pasir. Pemendapan ombak berlaku
sama ada di dalam lautan ataupun di kawasan pesisir. Kawasan pesisir adalah kawasan di antara air
surut dan air pasang penuh.Pemendapan di kawasan pesisir menghasikan pantai.

3. Kecerunan

Pantai yang landai akan mengalami pemendapan yang lebih tinggi berbanding pantai yang bercerun
curam. Keadaan ini disebabkan ombak pecah yang berlaku di pinggir pantai yang landai akan mengalami
geseran dan melemahkan tenaga ombak menyebabkan ombak melakukan proses pemendapan. Hal ini
berbeza dengan pantai yang curam.Tenaga ombak yang melanda pantai yang curam adalah tinggi
kerana kedalaman air di pinggir pantai tersebut menyebabkan ombak pecah pada kedudukan tinggi.

4. Angin

Halaju akan mempengaruhi saiz dan kekuatan ombak. Pada hari yang tenang apabila angin bertiup
perlahan, ombak pembina terbentuk dan memendapkan bahan muatannya.

5. Arus pasang surut

Perbezaan antara arus pasang surut mempengaruhi zon yang boleh dihakis dan dimendapkan. Semakin
besar perbezaan tersebut maka zon yang boleh dihakis dan dimendapkan akan menjadi semakin besar.
Arus pasang yang tinggi dan arus surut yang rendah di muara mempengaruhi kelebaran bahan muatan
yang dimendapkan.

6. Tumbuh-tumbuhan

Tumbuh-tumbuhan seperti bakau yang mempunyai akar jangkang bertindak memerangkap bahan
mendapan yang dibawa oleh arus pesisir pantai atau damparan ombak. Pokok rhu dan lelapa yang
tumbuh secara rapat juga dapat bertindak sebagai penampan dan menggalahkan proses pemendapan
serta menghalang hakisan ombak.

7. Orientasi pantai

Pantai yang terlindung oleh pulau akan mengalami kadar pemendapan yang tinggi kerana dikawasan ini
halaju ombak adalah perlahan.

8. Jenis dan saiz bahan


Bahan-bahan pinggir pantai samaada banyak atau sedikit menentukan keupayaan pemendapan berlaku
pada kadar yang banyak atau sedikit. Sekiranya ombak membawa batuan yang lembut dalam kuantiti
yang banyak seperti batu lada, kulit kerang, siput dan pasir laut akan menentukan kadar pemendapan di
pinggir pantai tersebut. Di kawasan pinggir pantai yang mempunyai banyak bahan pasir, batu pasir,
kelikir dan serpihan batuan, kadar pemendapan terhadap pinggir pantai berlaku dengan giat sekali.
Walaubagaimanapun, hal ini bergantung kepada pengaruh kelandaian cerun pinggir pantai dan
kehadiran onmbak pembina dan arus pesisir pantai.

9. Halangan

Pantai yang terbuka dan terdedah kepada lautan tanpa halangan daripada pulau-pulau biasanya akan
mengalami tenaga ombak dan arus yang kuat berbanding pantai yang terlindung. Pantai yang terlindung
oleh pulau akan mengalami kadar pemendapan yang tinggi kerana dikawasan ini halaju ombak menjadi
perlahan. Di zon pantai barat contohnya, pantainya dilindungi Kepulauan Sumatera Indonesia dari
pengaruh angin Monson Barat Daya.Halangan ini menyebabkan tiupan angin Monson Barat Daya
menjadi perlahan dan seterusnya menjadikan ombaknya turut perlahan.

Bentuk muka bumi akibat pemendapan ombak

1. Pantai

Pantai meliputi kawasan pinggir laut di antara takas air surut dengan takas aras air pasang yang
tertinggi. Pembentukannya dipengaruhi oleh jumlah bahan yang ditimbunkan, luas permukaan pinggir
laut dan kekuatan ombak. Di kawasanyang ombaknya tidak selalunya bergelora atau tidak kuat, bahan-
bahan yang dibawa oleh ombak akan dimendapakan dengan banyak dan membentuk pantai yang luas.
Terdapat dua jenis pantai iaitu pantai gersik dan pantai berpasir.Pantai gersik ialah pantai yang bahan-
bahan timbunannya terdiri daripada gersik.Pantai yang berpasir ialah pantai yang terdiri daripada
mendapan pasir dan bercerun landai.

2. Tetanjung

Tetanjung terbentuk daripada pemendapan bahan-bahan seperti pasir, kelikir dan serpihan batuan yang
dibawa oleh ombak ke kawasan teluk atau muara sungai. Proses pemendapan yang berterusan dan
pergerakan ombak secara menyerong ke pantai menyebabkan terbentuk tetanjung. Tetanjung dikenali
sebagai anak tanjung.

3. Beting pasir dan tombolo

Beting pasir terbentuk akibat penimbunan pasir dan kelikir yang membentuk permaan yang selari
dengan pantai.Beting pasir yang menghubungkan daratan dan pulau oleh hanyutan susur pesisir,
membentuk tombolo.
PERUBAHAN ARAS LAUT

Konsep perubahan

Perubahan aras laut ialah kenaikan atau penurunan aras laut berbanding dengan daratan.

Jenis-jenis perubahan aras laut:

i.Perubahan eustatik

Perubahan yang dialami oleh aras laut di seluruh dunia yang berkait dengan pencairan glaseir secara
besar-besaran pada zaman ais pliestosen dan meningkatkan aras laut.

ii.Perubahan isostatik

Perimbangan blok-blok bumi apabila bumi mengalami pertambahan atau pengurangan berat beban. Jika
blok bumi bertambah berat beban, blok bumi akan menurun yang bererti aras laut akan meningkat.
Sebaliknya jika berat beban berkurangan blok bumi akan terangkat yang bermakna aras laut akan jatuh.

Faktor-faktor berlaku perubahan eustatik

1. Eustatik glasieran

Eustatik glasieran merujuk perubahan aras laut akibat pencairan ais secara besar-besaran pada masa
lampau iaitu pada zaman ais pleistosen. Kesannya aras laut telah meningkat dan menenggelami
kawasan pinggir pantai yang rendah.

2. Eustatik tektonik

Eustatik tektonik merujuk perubahan aras laut akibat gerakan-gerakan tektonik di dasar laut seperti
gempa bumi dasar laut, letusan gunung berapi dasar laut, pelanggaran dan pencapahan plat-plat dasar
laut serta gerakan epirogenik dan gerakan orogenisis.

Contoh gempa bumi yang berlaku di Laut Andaman pada 26 Disember 2004 mewujudkan ombak
tsunami menenggelamkan sebahagian pantai Acheh.

3. Eustatik enapan

Eustatik enapan merujuk perubahan aras laut akibat pertambahan bahan yang dienapkan di dasar laut.

4. Eustatik meteorit

Eustatik meteorit merujuk perubahan aras laut akibat metorit yang jauh ke dalam laut mewujudkan
gelombang besar.

5. Faktor manusia
Faktor manusia merujuk aktiviti manuusia seperti pengangkutan, pembandaran, penyahhutanan,
pembakaran terbuka menyumbang kepada kesan rumah hijau dan penipisan lapisan ozon. Kesannya
berlaku pemanasan global yang mencairkan litupan ais di Kutub dab Pergunungan yang melimpah ke
laut dan meningkatkan isipadu air laut.

Faktor-faktor berlaku perubahan isostatik

1. Proses pembekuan dan pencairan glasier

Pembebanan dan pengurangan beban akibat proses pembekuan dan pencairan glasier pada zaman
pliestosen.

2. Proses penggondolan dan pemendapan

Pertambahan dan pengurangan beban bahan enapan oleh air mengalir khususnya sungai.

3. Akibat letusan gunung berapi

Letusan gunung berapi memuntahkan lava, piroklas serta debu. Kesannya, kenaikan aras laut berlaku
dan banyak pulau-pulau kecil di sekitarnya tenggelam di dasar laut.

Bukti-bukti berlaku Perubahan Aras Laut

1. Wujudnya pinggir pantai tenggelam dan hutan pantai yang tenggelam.

Peningkatan aras laut menenggelamkan pantai dan garis pantai sehingga terbentuk paya,

daratan berlumpur dan anak-anak teluk.

2. Wujudnya pelbagai jenis pantai iaitu :

i) Pantai Ria

Terbentuk apabila aras laut naik menenggelamkan sebahagian pinggir pantai asal yang bertanah tinggi
dan bergunung-ganang. Mempunyai teluk-teluk yang semakin cetek, tirus dan sempit ke arah daratan.

ii) Pantai Fiord

Terjadi apabila aras laut yang naik menenggelamkan lurah-lurah sungai glasier yang terletak di pinggir
pantai.

iii) Pantai Dalmatia

Terbentuk apabila kenaikan aras laut dan menenggelamkan pinggir laut yang mempunyai banjaran
gunung yang terletak selari atau memanjang dengan garis pantai. Pantai ini mempunyai garis pantai
yang agak lurus dengan selat-selat panjang dan sempit serta pulau-pulau yang selari dengan pantai.

3. Wujudnya terumbu karang.

Peningkatan aras laut mewujudkan terumbu karang seperti terumbu pinggir, terumbu penghalang dan
pulau cincin @ atol. Pembentukan terumbu karang dipengaruhi oleh kenaikan aras laut yang dijelaskan
oleh dua teori berikut :
i) Teori kawalan glasier – menurut Daly, pembentukan terumbu karang amat berkait rapat
dengan kenaikan aras laut akibat cairan glasier pada zaman pliestosen.

ii) Ataman bumi – mengikut Darwin, terumbu karang asalnya tumbuh di pinggir pulau yang lebih
tinggi berbanding aras laut pada masa itu. Apabila pulau tersebut mengalami pertambahan berat beban
maka ia akan tenggelam (ataman) bersama-sama dengan terumbu pinggirnya. Pada masa ini, aras laut
telah meningkat dan terumbu pinggir beransur-aansur berkembang menjadi terumbu penghalang.
Terumbu ini akan terus berkembang sehingga menutup seluruh bahagian atas pulau yang tenggelam
lalu membentuk pulau cincin @ atol.

Bukti Penurunan Aras Laut

· Wujudnya pantai timbul atau pantai terangkat.

Pantai timbul (pantai tanah tinggi timbul dan pantai tanah pamah timbul). Kedua-dua pantai ini
bertingkat dengan mempamerkan tebing tinggi yang terbentuk lebih awaldan lebih tinggi daripada aras
laut sekarang.

2.4 KAITAN SISTEM GEOMORFOLOGI DENGAN MANUSIA

Kawasan Tanah Tinggi

a. Pertanian

Tanah Tinggi Cameron, Pahang dan Tanah Tinggi Kundasang, Sabah telah dimajukan sebagai kawasan
pertanian sayur-sayuran, teh dan bunga-bungaan kerana suhunya yang sederhana sejuk – sekitar 19^C.
Lereng-lereng gunung berapi yang subur dengan lava bes di Filipina dan Indonesia (selatan Surabaya,
Semarang dan Surakarta) ditanam dengan padi sawah. Teres dibina untuk tujuan menghalang hakisan
dan memudahkan pengairan di sawah padi.

b. Pelancongan

Kawasan pelancongan dimajukan dengan eko-pelancongan.Suhu yang nyaman, landskap seperti gua, air
terjun, jeram berjaya menarik ramai pengunjung. Pusat-pusat rekreasi, hotel, resort, chalet, padang golf
dan kemudahan sistem pengangkutan serta perhubungan disediakan. Genting Highland, Cameron
Highland, Kundasang, Bukit Fraser ialah antara kawasan pelancongan tanah tinggi di Malaysia.Gunung
Matterhorn di Switzerland terkenal sebagai destinasi pelancongan tanah tinggi kerana mempunyai
pemandangan yang menarik dengan gunung-ganang yang sentiasa dilitupi salji.Aktiviti meluncur salji
dapat dijalankan sepanjang tahun.

c. Menjanakuasa hidroelektrik
Tanah tinggi merupakan kawasan tadahan hujan.Kawasan tadahan hujan yang luas dan aliran air sungai
deras menyumbang kepada pembinaan empangan untuk menjanakuasa hidroelektrik. Empangan Kenyir,
Empangan Temenggor, Empaangan Chenderoh ialah antara empangan yang dibina untuk tujuan
menjana hidroelektrik.

d. Pembalakan

Tanah tinggi yang kurang daripada 1 200 meter dari aras laut biasanya terdiri daripada hutan tebal.
Hutan Hujan Tropika di Malaysia ditumbuhi dengan pelbagai kayu keras yang berharga seperti cengal,
meranti, keruing, seraya, balau dan lain-lain.Dengan itu kawasan tanah tinggi merupakan kawasan
pembalakan utama.

Tanah Pamah dan Dataran Pantai

a. Pusat petempatan penduduk

Kawasan tanah pamah yang rata, luas dan mempunyai sistem pengangkutandan darjah ketersampaian
yang tinggi akan menjadi tumpuan penduduk untuk membina petempatan. Petempatan ini akan
berkembang pesat sehingga menjadi bandar-bandar besar contohnya seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor
Bharu dan Kuching. Dataran pantai juga sering menjadi tumpuan kerana ia kaya dengan sumber
perikanan. Pembinaan pelabuhan akan mempercepatkan proses perkembangan petempatan.

b. Pertanian

Kawasan tanah pamah yang rata seperti delta sungai merupakan kawasan pertanian utama.Delta
Kelantan, Delta Kedah, Delta Chao-phraya di Thailand, Delta Mekong di Indo-China merupakan kawasan
penanaman padi yang utama.Manakala kawasan tanah pamah yang beralun ditanam dengan getah dan
kelapa sawit.Dataran pantai yang berpasir sesuai dengan tanaman kelapa.

c. Pengangkutan

Jaringan pengangkutan mudah dibina di kawasan tanah pamah kerana tidak memerluka kos yang
banyak dan ianya lebih selamat. Bentuk muka buminya rata memudahkan pembinaan jalanraya,
lebuhraya, landasan keretapi dan lapangan terbang.Dengan itu, kawasan tanah pamah mempunyai
darjah ketersampaian yang tinggi. Kawasan dataran pantai yang berteluk dan terlindung akan dibina
pelabuhan perdagangan dan pelabuhan perikanan. Contoh pelabuhan seperti Pelabuhan Klang,
Pelabuhan Puala Pinang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

You might also like