You are on page 1of 2

Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah

Kewajaran Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah

Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan
menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat
membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia.
Sehubungan dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan
sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita selari dengan era moden yang
penuh kecanggihan ini.

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan.
Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun
hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan
perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS). Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah
dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman
web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.

Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi.
Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid
sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta
dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak
menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah
walaupun tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit di sekolah boleh mendatangkan kemudaratan.


Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah
disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap
materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih setahun jagung itu. Pelajar yang tidak mempunyai
telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang
mempunyai telefon bimbit.

Oleh hal yang demikian, mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin
mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian
sehingga menyebabkan proses pemelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita membebankan
guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit? Sudah tentu
perkara sebegini ingin dijauhi lebih-lebih lagi banyak masalah lain yang ditimbulkan oleh para pelajar.

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka
akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses
pembelajaran dan pengajaran akan berhadapan dengan gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh
menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain.
Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain.

Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu
kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan
menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip
video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan.
Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat yang mungkin boleh merosakkan
masa depan mereka.
Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan
kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak
sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka.
Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat.
Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah
diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.

Natijahnya, melalui perbincangan yang disampaikan di atas, kita dapat mengetahui impak
penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara
tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti
kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi. Namun demikian, semua hal ini
tertakluk kepada diri individu itu sendiri bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera.

You might also like